Thursday, July 27, 2023

LAPORAN | PROGRAM SAMBUTAN IBADAH KORBAN DAN RAYA HAJI 2023 (QARNI ’23)

LAPORAN | PROGRAM SAMBUTAN IBADAH KORBAN DAN RAYA HAJI 2023 (QARNI ’23)
Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah & Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023

KAHERAH- Program Sambutan Ibadah Korban dan Raya Haji 2023 (QARNI ‘23) anjuran Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah dan Jabatan Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023 dengan bertemakan “Semurni Pengorbanan, Pembuktian Ketaatan”.

       Program Sambutan Ibadah Korban dan Raya Haji 2023 (QARNI ‘23) ini bermula pada 27 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijah 1444H sehingga 2  Julai 2023 bersamaan 14 Zulhijah 1444H. Program ini diadakan untuk meraikan hari perayaan yang tidak asing lagi bagi umat Islam di seluruh dunia umumnya serta menghidupkan suasana keramaian dalam kalangan anak-anak Perak agar berpeluang untuk merasai nikmat kekeluargaan walaupun berjauhan dari keluarga di Malaysia.

      Objektif utama yang ingin dicapai di peringkat program Sambutan Ibadah Korban dan Raya Haji 2023 (QARNI ‘23) ini adalah meraikan Sambutan Hari Raya Aidiladha bersama anak-anak Perak seperti mengadakan hari sembelihan binatang korban dan Jamuan Hari Raya Aidiladha. Objektif seterusnya ialah meningkatkan nilai thaqafah berkaitan ibadah korban dan haji dengan mengadakan bacaan hadis musalsal dan pengisian berkaitan kertas kerja pembahagian daging  korban. Seterusnya, mengeratkan tautan ukhuwah dalam kalangan anak Perak. Antara aktiviti yang menjayakan objektif terakhir ini adalah goyong-royong perdana dan iftar jamaie.
 
      Program ini dimulakan dengan pengisian Majlis Bacaan Hadis Musalsal pada sebelah petang yang bertarikh pada 27 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijah 1444H. Bacaan Hadis Musalsal ini dibaca oleh al-fadil Prof. Dr. Syeikh Ali Abdul Basit Muzid merupakan pensyarah Hadis dan Ulum Hadis, Universiti al-Azhar yang bertempat di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan. Selepas pengisian bacaan Hadis Musalsal, anak-anak Perak menunggu di dewan untuk iftar jamaie bersama-sama sempena puasa sunat hari Arafah. Seusai sahaja solat Maghrib secara berjemaah, anak-anak Perak telah mengumandangkan takbir raya Aidiladha bersama-sama.

        Pada sebelah malam pula, majlis diteruskan dengan malam perutusan dan majlis perasmian. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada  pengarah program QARNI ‘23 iaitu Ustaz Muhammad Khalil Husory bin Khaidir dan perutusan Aidiladha yang disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023 Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari. Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan perasmian yang telah disempurnakan oleh Ustaz Aiman bin Mohd Yusoff, Setiausaha Badan Penasihat KPIPM sesi 2022/2023. Kemudian, majlis diserikan pula  dengan gimik perasmian dan tayangan video pengenalan QARNI ‘23.

       Antara taklikan dalam gimik tersebut ialah Tema QARNI ‘23 “Semurni Pengorbanan, Pembuktian Ketaatan” bertepatan dengan Kisah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya. Pengorbanan yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim AS merupakan bukti kecintaan serta ketaatan pada Allah SWT. Daripada kisah ini jugalah bermulanya asal usul Aidiladha. Kemudian berus yang mewarnakan Nama Program, berus adalah simbolik kepada keluarga KPIPM yang komited dalam menjaga kebajikan ahli dan warnanya pula tanda kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal kita raikan. Akhir sekali pada perhiasan unta dan Kaabah, unta sebagai simbolik salah satu binatang yang boleh menjadi haiwan korban manakala Kaabah pula sebagai simbolik ibadah haji yang dilaksanakan pada hari raya haji.
     
      Pada hari Rabu yang bertarikh 28 Jun 2023 bersamaan 10 Zulhijah 1444H, ahli-ahli KPIPM telah menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berhampiran kediaman masing-masing seawal jam 5.30 pagi. Pada sebelah petang pula, pihak program mengadakan pengisian berkaitan pembentangan kertas kerja pembahagian daging korban yang telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Rusydan bin Rosihan, Timbalan Setiausaha Agung KPKM sesi 2022/2023 yang bertempat di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada ahli untuk mengenal perkara berkaitan ibadah korban sebelum hari sembelihan.

      Pada hari Khamis yang bertarikh 29 Jun 2023 bersamaan 11 Zulhijah 1444H, peringkat program telah mengadakan Gotong-royong Perdana yang bertempat di Wisma Baitul Rahman pada sebelah petang. Sebelum memulakan gotong-royong, pihak program membentangkan satu pelan tindakan kepada ahli KPIPM bagi bertujuan memberi pendedahan aktiviti yang akan dijalankan pada hari sembelihan yang diketuai oleh Ustaz Amir bin Mohd Shahaini selaku Penggerak Unit Sumbangan dan Sembelihan bagi melicinkan pada hari sembelihan tersebut. Selepas itu, aktiviti diteruskan lagi dengan Gotong-royong Perdana QARNI ‘23 dengan mengasah pisau, mengemas makhzan dan sebagainya.

      Pada hari Sabtu yang bertarikh 1 Julai 2023 bersamaan 13 Zulhijah 1444H, merupakan hari kemuncak program QARNI ‘23 iaitu hari sembelihan dan agihan. Seperti tahun lalu, sembelihan telah dilakukan oleh wakil yang akan menyembelih dan beberapa wakil  penggerak di peringkat KPIPM serta beberapa ahli KPIPM. Sembelihan tersebut telah dijalankan di kawasan penyembelihan di Suq Thamin mankala aktiviti menimbang, melapah dan  memotong daging telah dilaksanakan oleh ahli KPIPM di perkarangan Wisma Baitul Rahman. Aktiviti ini telah bermula jam 8.00 pagi sehingga 12.00 tengahari. Di sebelah petang pula, telah diadakan sesi agihan daging kepada wakil dan ahli-ahli KPIPM mengikut rumah sewa. Setiap wakil rumah sewa diminta untuk mengambil daging di Baitul Rahman pada jam 12.00 tengahari. Bagi ahli yang tinggal di luar Hayyu Sabik, Unit Perhubungan dan Agihan telah menghantar daging kepada ahli yang tinggal di luar Hayyu Sabik.

       Pada hari Ahad yang bertarikh 2 Julai 2023 bersamaan 14 Zulhijah 1444H, peringkat program membuat majlis keramaian iaitu Jamuan Hari Raya Aidiladha bagi meraikan anak-anak Perak yang berada di Mesir. Pihak program menyediakan sajian yang menarik kepada anak-anak Perak iaitu nasi minyak, daging masak hitam, daging masak kari, ayam masak merah, buah tembikai dan air oren. Jamuan Hari Raya Aidiladha dibuat secara berperingkat dengan kehadiran akhawat pada jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang. 

Pelbagai aktiviti menarik yang telah dijalankan di sebelah akhawat seperti Talkshow: “Tadhiah Ibrahim Melalui Cerminan Kesatuan” yang disampaikan oleh panel yang hebat iaitu Ustazah Fadlin binti Abu Bakar Sidek, Timbalan Koordinator Pembangunan Insan MGBKAN sesi 2023 dan moderator Ustazah Nur Insyirah binti Abdul Rashid Timbalan Pengarah Unit Biah Solehah, Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2022/2023 dan aktiviti mewarna untuk kanak-kanak. Majlis diteruskan dengan Majlis Penutup QARNI ‘23  dengan kalam penutup yang disampaikan oleh Ketua HEWI KPIPM sesi 2022/2023 dan Ustazah Nur Amirah binti Alias selaku Timbalan Pengarah QARNI ‘23.

Program QARNI ’23 diteruskan lagi dengan kehadiran diperingkat ikhwah pada jam 3.00 petang sehingga  6.00 petang dan diteruskan pula dengan Majlis Penutup QARNI ‘23 dengan kalam penutup Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023 dan Ustaz Muhammad Khalil Husory bin Khaidir selaku Pengarah QARNI ‘23. Seterusnya, majlis telah diserikan lagi dengan persembahan nasyid daripada Usrah al-Muhazzirun.

Dengan selesainya Majlis Penutup dan Jamuan Hari Raya Aidiladha QARNI ‘23, maka berakhirlah program Sambutan Ibadah Korban dan Raya Haji 2023 (QARNI ‘23). Alhamdulillah, program ini telah dijalankan selama seminggu dan berjalan dengan lancar. Semoga objektif yang telah dirancang ini dapat tercapai dengan sebaiknya. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan QARNI ‘23 secara langsung atau tidak langsung. Semoga Allah SWT membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran. Insya-Allah.
Sekian, terima kasih.

“Semurni Pengorbanan, Pembuktian Ketaatan”

#RayaBersamaBKAN

#QARNI23
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh:
Ustaz Mohamad Arshad bin Mohd Nazri
Setiausaha (Promosi),
Program Sambutan Ibadah Korban dan Raya Haji 2023 (QARNI ‘23),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...