Saturday, December 29, 2018

KENYATAAN YDP | SOLIDARITI KPIPM BERSAMA BKKIMM

KENYATAAN YDP | SOLIDARITI KPIPM BERSAMA BKKIMM
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2018/2019

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam yang telah mengurniakan selautan nikmat yang tidak berpenghujung. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dengan kejerihan Baginda, dapat lagi kita merasai kelestarian nikmat iman dan Islam sehingga ke hari ini.

Allah SWT telah berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah perbuat (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala yang kamu kerjakan."  [Al-Hasyr : 18]

Sejarah adalah satu item penting bagi seorang muslim untuk diteladani kandungan dan perkembangannya. Islam mendidik kita agar sentiasa meneladani dan mengambil iktibar melalui kisah-kisah umat terdahulu yang dirakamkan di dalam Al-Quran sebagai sumber rujukan yang paling konkrit. Memperingatinya bertujuan mengambil pedoman untuk diimplementasikan dalam kehidupan sepanjang zaman.

Kita menyaksikan, 28 Disember 2010 menjadi titik hitam peristiwa pahit yang pastinya terpahat kukuh dalam memori kita yang mencintai kesatuan Islam. Sebuah episod yang begitu signifikan apabila seluruh mahasiswa di Mesir bersolidariti menyatakan kebersamaan mereka bersama anak-anak Melaka di Mesir.

Secara umumnya, detik penarikan pengiktirafan BKKIMM ini merupakan permulaan kepada plot-plot penafian seterusnya yang dilemparkan kepada Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM). Bermula dengan tindakan pihak kerajaan negeri menarik pengiktirafan BKKIMM seterusnya menyatakan hasrat kepada organisasi yang lain, dalam keadaan ianya tidak mendapat persetujuan, bahkan tidak dibincangkan secara tuntas di antara pihak-pihak yang terlibat.

BKKIMM, gerakan mahasiswa Melaka yang lahir daripada rahim Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) ini jelas matlamatnya menyatukan anak-anak Melaka di Mesir di bawah payung kesatuan Islam selain komited menyalurkan kebajikan dalam segenap aspek kehidupan mahasiswa Melaka di Mesir. Dengan keutuhan dasar perjuangannya iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, BKKIMM mampu melayari bahtera kesatuan, menerjang badai mehnah yang pelbagai berdekad lamanya.

42 tahun sejak penubuhannya menjadikan BKKIMM terus matang membawa gagasan mahasiswa Melaka setelah dibuktikan menjadi perantaraan penting, suara mahasiswa kepada pihak-pihak berwajib terutamanya kerajaan negeri Melaka. Bukan itu sahaja, pasca 28 Disember menyaksikan penafian demi penafian ke atas BKAN Melaka apabila dihadapkan dengan isu penempatan anak Melaka yang tidak berkesudahan, ditutup ruang dan peluang berprogram di rumah negeri, diugut akan dihentikan bantuan zakat dan pelbagai lagi diskriminasi yang mencabar hak selaku mahasiswa.

Semangat juang anak-anak Melaka tidak pernah luntur dan goyah. Interaksi yang jitu antara pimpinan dan ahlinya menjadikan BKKIMM terus kuat di atas landasan kesatuan. BKKIMM meneruskan survivalnya di Rumah Melaka Sementara (RMS) serta menanggung sendiri kos penempatan tersebut lebih kurang 4 tahun lamanya sejak dinafikan hak penempatan mereka di Wisma Seri Melaka. Ianya menjadikan gerakan BKKIMM ini terus relevan sebagai satu-satunya kesatuan yang komited dan konsisten menjaga kebajikan anak Melaka di Mesir.

Peristiwa ini menjadi salah satu fenomena yang membuktikan jalan yang harus diharungi dalam menyeru manusia ke arah kesatuan dan kebaikan bukanlah suatu jalan yang mudah. Ianya menjadi saudara kepada keimanan dan musuh kepada kekufuran yang pastinya akan dihadapkan dengan hamparan tribulasi.

Justeru, saya selaku Yang Dipertua KPIPM, mewakili seluruh anak-anak Perak, menyatakan kebersamaan dengan BKKIMM sepertimana usul yang telah disepakati dalam Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-50 yang lalu iaitu:

“Bersama mempertahankan hak Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dan Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM) bagi menyatakan solidariti mahasiswa.”

Saya juga menyeru seluruh mahasiswa di Mesir untuk menzahirkan kebersamaan kita dengan memperingati peristiwa ini sebagai simbol keprihatinan kita di bumi Mesir. Moga-moga dengan prakarsa yang kecil ini mampu membuktikan kekuatan mahasiswa selaku pemuda yang bersatu mendepani cabaran membawa kebenaran. Didoakan agar BKKIMM terus tangkas mengatur langkah mempersada kebajikan di arena mahasiswa bagi memenuhi tuntutan Islam.

Siiru 'Ala Barakatillah.

#BKKIMM28DISEMBER
#SolidaritiBersamaBKANMelaka

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak
Yang Dipertua,
Keluar Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2018/2019

Saturday, December 22, 2018

KANTA SISWA | UYGHUR : PEMBANTAIAN UMAT ISLAM

KANTA SISWA | UYGHUR : PEMBANTAIAN UMAT ISLAM !
Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019

Uyghur merupakan etnik beragama Islam yang hidup di wilayah Xinjiang, iaitu di utara China. Suku minoriti ini berasal daripada Turki yang dahulunya dikenali sebagai Republik Turkistan Timur di Asia Tengah sebelum kedaulatannya dicabul, menjadi sebahagian dari wilayah China melalui Gerakan Komunis Tiongkok (China) pada tahun 1949.

Etnik Uyghur juga pada asalnya merupakan penggerak utama yang menunjangi Gerakan Islam Turkistan Timur yang dianggap sebagai kelompok teroris (pengganas) oleh China (Timur) dan Amerika Syarikat (Barat).

⭕ STRATEGI CHINA

Salah satu strategi membanteras muslim Uyghur yang dianggap pengganas oleh pemerintah China hari ini adalah dengan meningkatkan imigrasi etnik Han yang bukan beragama Islam. Ditiup pula dengan semangat kebencian kepada muslim Uyghur.

Maka, pengaruh Islam semakin lemah dan berkurang setelah wilayah Xinjiang didominasi oleh etnik Han yang semakin lama semakin meningkat populasinya di wilayah tersebut.

Tambahan pula, tahun 2009 mencatatkan keadaan muslim Uyghur yang semakin terhimpit menyebabkan kemarahan mereka terhadap diskriminasi yang dilakukan oleh majoriti etnik Han dan pihak kerajaan China.

Dengan itu, kerajaan bertindak balas dengan mengerahkan tentera menahan ribuan demonstran. Jaringan internet juga dimatikan di wilayah itu bagi memutuskan capaian maklumat tentang kondisi yang dialami muslim Uyghur.

⭕ PENINDASAN YANG TIDAK BERPENGHUJUNG

Perlu difahami bahawasanya kekejaman dan kezaliman terhadap etnik minoriti Uyghur ini telah berlaku sejak sekian lama. Direkodkan pada tahun 1952 sahaja, China telah menghukum bunuh ratusan ribu umat Islam di sana yang kebanyakkannya terdiri daripada para cendekiawan dan ilmuwan Islam.

Selain itu, dalam tempoh lebih kurang 30 tahun, ratusan ribu masjid telah ditutup dan dimusnahkan, begitu juga pusat-pusat tahfiz dibakar bagi merencatkan perkembangan Islam di wilayah tersebut.

Lebih menyedihkan, pihak berkuasa dan rejim komunis China sedaya upaya menyembunyikan operasi penindasan ini daripada pengetahuan dunia sekaligus menyemarakkan lagi kebencian terhadap minoriti muslim Uyghur yang dikatakan pengganas.

⭕ TEKANAN MEMUNCAK

Dengan slogan pembasmian pengganas yang dipalitkan pada kelompok muslim Uyghur oleh rejim komunis China, siri-siri kezaliman dan penindasan tidak berhenti sehingga kini. Antaranya:

1) Sekitar 1 juta muslim Uyghur ditahan di sebuah penjara tahanan rahsia yang kononnya didakwa kerajaan China sebagai pusat anti keganasan atau kem latihan. Dikenali sebagai "Re-education Camp" (Pendidikan Semula) kerana menyifatkan mereka mengalami masalah mental.

2) Didoktrin meninggalkan agama Islam dan mentaati rejim komunis. Malah, pemimpin China melancarkan propaganda membanteras keganasan yang memangsakan muslim Uyghur sehingga dipaksa murtad daripada Islam dan menerima anutan komunis dan atheis.

3) Larangan mengekalkan identiti muslim seperti berhijab, berjanggut dan menamai anak dengan nama Islam sehingga ditutup serta dihancurkan masjid, institusi pendidikan (sekolah) Islam, Al-Quran dan buku-buku Islam disita dan dibakar. Ada yang dirogol bagi kaum wanita, diseksa dan dibunuh manakala kanak-kanak pula dimasukkan ke pusat asuhan China bagi menghakis identiti muslim mereka.

4) Tambahan, sebilangan mereka turut dilarang menjalankan sebarang aktiviti keagamaan seperti berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan solat Jumaat, mempelajari Al-Quran dan ilmu Islam. Pihak berkuasa menyediakan Al-Quran versi mereka sendiri. Mudahnya, ibadah mereka diawasi oleh rejim China!

5) Pergerakan Muslim Uyghur juga sentiasa dipantau dan dikawal ketat oleh pihak rejim dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan pemeriksaan pihak berkuasa di seluruh wilayah Xinjiang. Sistem penjejakan satelit juga dikatakan wajib dipasang di dalam kereta.

6) Sumber lain, Kerajaan China juga dikatakan telah melancarkan kempen anti produk makanan halal bagi mengekang sumber makanan halal di sana. Muslim Uyghur juga dipaksa minum alkohol dan makan babi jika melawan undang-undang yang telah ditetapkan.

⭕ HAYATI SEJARAH DAN DISKRIMINASI KE ATAS DUNIA ISLAM

Fenomena penindasan yang terjadi di seluruh dunia Islam khususnya ke atas etnik Muslim Uyghur hari ini membuktikan ketidakadilan dan kekejaman yang dilakukan oleh kuasa-kuasa besar berkuku besi dengan mengeksploitasi kelemahan umat untuk terus mencengkam dan menekan umat Islam.

Dalam pada itu, isu ini seharusnya tidak mempengaruhi dan menghanyutkan kecaknaan kita dalam mengamati setiap penindasan yang berlaku di seluruh dunia Islam yang lain seperti Palestin, Mesir dan lain-lain yang tidak kurang galaknya digasak oleh kuasa-kuasa besar berkepentingan.

Umat Islam perlu membuka semula lembaran sejarah kegemilangan Islam yang pernah melebarkan tamadunnya sehingga menguasai benua-benua gergasi seperti Asia dan Eropah sekaligus menyebarkan Islam di negara-negara seperti India, China, Amerika Syarikat dan Perancis yang hari ini menjadi salah satu daripada kuasa-kuasa besar yang memanipulasi kelebihan mereka untuk menggandakan tekanan kepada umat Islam seluruhnya.

Firman Allah SWT:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنزعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. تُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَتُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ وَتُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَتُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَتَرْزُقُ مَنْ تَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. "Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya". (Ali Imran : 26-27)

Justeru, sebagai saudara seakidah khususnya mahasiswa Islam, tidak boleh berpeluk tubuh dengan hanya merasa cukup memikirkan diri sendiri sahaja tanpa perlu prihatin dan mengambil penting isu ini. Tugas kita amat besar dalam menyedarkan sesama kita akan perihal umat Islam sejagat di samping mengutuskan doa-doa kesejahteraan dan kemenangan buat saudara-saudara Islam kita di seluruh pelosok dunia.

"Memacu Legasi Berinformasi"

Disediakan oleh:
Unit Pengkajian dan Informasi
Unit Penerangan dan Penerbitan
Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Saturday, December 8, 2018

KANTA SISWA | ICERD : PEDULIKAH KITA

KANTA SISWA | ICERD : PEDULIKAH KITA?
Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019

ICERD merupakan singkatan kepada International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination. Dikenali dalam Bahasa Melayu sebagai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum.

Secara faktanya, konvensyen ini telah dibuka untuk ditandatangani serta diratifikasi sejak 21 Disember 1965 dan dikuatkuasakan bermula 4 Januari 1969. Uniknya, Malaysia merupakan satu daripada 15 buah negara yang tidak meratifikasi konvensyen tersebut sehingga ke hari ini.

⭕ ICERD DAN PERLEMBAGAAN

Dalam konteks negara Malaysia, sekiranya konvensyen ini disahkan, ia mampu memberi implikasi yang besar terhadap perpaduan kaum yang telah terbina sekian lamanya di tanah air ini dalam erti kata lain perjanjian ini mampu mengundang perpecahan kaum.

ICERD juga mampu mengganggu-gugat serta menjejaskan peruntukan perlembagaan negara khususnya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan Hak-hak Keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Hal ini kerana ICERD yang kononnya berperanan membawa aspirasi kesamarataan yang menjadi tunjang idea liberalisme juga membasmi segala bentuk diskriminasi yang berlegar sekitar negara-negara anggota menganggap pemberian keistimewaan kepada sesebuah kumpulan adalah satu bentuk diskriminasi yang mesti dihapuskan.

Hakikatnya, ICERD itu sendiri mempunyai unsur diskriminasi yang tersendiri dengan nilai kesamarataan serta tidak menghormati kewujudan perbezaan agama dan bangsa yang menjadi perjuangan utama golongan liberalis. Jika menerimanya sebagai solusi diskriminasi, bererti membuka ruang tuntutan pihak tertentu bagi mendapat lesen sehingga melanggar sempadan agama, hak bumiputera serta keadilan terhadap semua kaum yang mesti dipertahankan.

⭕ KEDUDUKAN ISLAM

Keamanan telah wujud di negara ini dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan halangan mendiskriminasi kelompok bukan Islam dengan berkonsepkan hak keadilan dan persamaan yang semestinya sudah memenuhi keperluan masyarakat majmuk di negara ini dan pastinya peruntukan ini lebih baik berbanding ICERD. Tinggal saja, aspek pelaksanaannya perlu diperkemas dan diperkasakan dengan cara kita sendiri melalui pihak berautoriti tanpa melibatkan campur tangan luar.

Lebih parah apabila ICERD juga sebenarnya mampu mengancam kedudukan Islam di Malaysia dengan dasarnya yang pincang dan tidak adil menganggap perjuangan Islam sebagai satu unsur rasisme (perkauman). Kewajipan-kewajipan yang terpundak ke atas umat Islam seperti menutup aurat, berhijab, ikhtilat, membanteras ajaran sesat, menghalang agama lain disebarkan kepada umat Islam dan sebagainya dilihat sebagai rasisme dan diskriminasi agama.

Begitu juga hukum-hakam Islam yang melibatkan perbezaan jantina dalam ibadah seperti pembahagian faraid dan sebagainya turut akan dipersoal yang akhirnya menggugat kedudukan Islam. Lebih besar lagi jika diratifikasi ICERD ini, undang-undang yang termaktub di dalam artikel perlembagaan, akta serta enakmen bersifat Islamik turut terjejas malah diklaim juga sebagai rasisme.

Terjejas dengan maksud sekiranya artikel perlembagaan berkaitan undang-undang, akta atau enakmen yang melibatkan kepentingan umat Islam dibawa ke badan kehakiman antarabangsa yang diketahui menganggap agama sebagai satu bentuk rasisme dan penindasan yang bercanggah dengan resolusi ICERD tersebut, tidak dapat tidak undang-undang Malaysia berisiko untuk dipinda.

Sungguh, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan Malaysia manakala hak beragama lain telah termaktub melalui kontrak sosial yang telah disepakati semua wakil kaum di Malaysia. Menjadi kewajipan bagi umat Islam menolak idea dan konsep liberal yang ingin menyamakan kedudukan semua agama, secara tidak langsung menafikan sifat beragama yang akhirnya menghakis naluri manusia untuk beragama.

⭕ PERANAN UMAT

Jelas kepada kita isu agama dan bangsa ini terlebih dahulu diurus dengan baik oleh Malaysia sebelum tercetusnya ICERD pada 1965. Apakah keperluan untuk mencedok idea penjajah ini yang pastinya menatijahkan keuntungan bagi poket mereka sendiri lalu terus dengan sifat penindas ke atas negara-negara jajahan mereka?

Rakyat Malaysia seharusnya menutup serapat-rapatnya pintu yang sebenarnya akan memakan diri kita sendiri apabila ICERD ini cuba diketengahkan atas slogan pembasmian diskriminasi, hakikatnya ia adalah raksasa sebenar yang bermaharajalela melakukan penindasan sewenang-wenangnya.

Bersikap bisu dan memekakkan telinga terhadap isu ini bukanlah tindakan yang bijak. Ironinya, umat Islam, umat beragama dan semua bangsa perlu bersatu dengan tegas menentang agenda ICERD sebagai simbol kecintaan kepada negara yang juga dituntut di dalam Islam. Ini kerana konsepnya yang sebenar tidak beragama dan tiada nilai kemanusiaan.

Tambahan pula, ia digagaskan oleh pihak-pihak berhati binatang seperti barat yang sudah terbukti gagal membawa keadilan hakiki setelah meninggalkan agama dan etika kemanusiaan yang sebenarnya. Menerimanya mengakibatkan pembukaan pintu campur tangan luar ke dalam negara kita.

⭕ DI SEBALIK TOPENG ICERD

Sayogia kita perlu lebih berwaspada dengan tidak bermudah-mudah menerima masuk pengaruh bersifat jahiliah serta berunsur penjajahan yang memperbodohkan minda masyarakat. Maka, kita mesti bersolidariti dan berpadu tenaga menyatakan penolakan dan pengharaman terhadap ICERD yang diragui autoritinya dalam melindungi umat sejagat dari penindasan. Malah kita meyakini ia menuju ke arah kerosakan agama, bangsa dan negara yang sebenarnya sejajar dengan agenda parasit, Freemason.

Kita perlu menyedari usaha ini bukan sekadar menyelamatkan komuniti kecil, tetapi ia merupakan usaha mempertahankan kebenaran serta menyelamatkan kedaulatan umat dan negara yang menjadi sunnah perjuangan.

Ayuh ! Nyatakan bantahan anda.

"Memacu Legasi Berinformasi"

Disediakan oleh:
Unit Pengkajian dan Informasi
Unit Penerangan dan Penerbitan
Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Friday, December 7, 2018

MINDA PIMPINAN | FIKRAH ISLAMIAH

MINDA PIMPINAN | FIKRAH ISLAMIAH
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2018/2019

Dengan nama Allah yang  Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ

Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.

[ Surah Aali-Imran, Ayat 19 ]

Islam merupakan agama Allah yang suci yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril Alaihissalam. Islam merupakan satu-satunya agama yang diterima oleh Allah untuk dianuti di atas muka bumi ini berdasarkan ayat di atas.

Al-Quran pula merupakan buku manual yang disediakan sebagai panduan kepada umat Islam untuk  menjalani kehidupan di atas muka bumi Allah ini. Para penuntutnya diwajibkan untuk melaksanakan apa yang  ditetapkan oleh syara’ selain menjadikan agama Islam itu sendiri sebagai cara hidup.

Fikrah Islamiyah yang syumul perlu diterapkan di dalam pemikiran umat Islam selain mengamalkan segala kewajipan yang  telah ditetapkan. Kefahaman yang menyeluruh tentang Islam perlu ada dalam  setiap pemikiran umat Islam bagi mengelakkan kita mudah terikut dengan pemainan atau perancangan musuh.

Asy-Syahid Imam Hassan Albanna adalah antara individu yang sangat mementingkan kefahaman Islam yang perlu ada dalam setiap individu Muslim. Oleh kerana itu, di dalam  penulisan beliau iaitu Risalah Ta’lim, beliau meletakkan rukun faham sebagai rukun pertama di dalam rukun perjanjian. Selain itu beliau sendiri menyebut di dalam usul yang  pertama daripada usul 20 iaitu Islam adalah sistem hidup yang syumul, mencakupi seluruh fenomena kehidupan.

🔰PERANCANGAN MUSUH

Dalam era globalisasi yang penuh dengan mehnah ini, musuh-musuh Islam sentiasa merangka perancangan untuk menjatuhkan Islam daripada segenap aspek. Selepas kegagalan mereka untuk mengalahkan umat Islam melalui peperangan, perang pemikiran ( Ghazwatul Fikr) merupakan taktik licik yang kini digunakan untuk memusnahkan umat Islam bermula dari dalam.

Meringan-ringankan ajaran Islam, memperkenalkan Islam menurut pemahaman mereka, Islam mengikut akal semata merupakan antara jarum-jarum halus musuh dalam melemahkan umat Islam. Mereka mula memperkenal dan menyebarkan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri seperti Sekularisme, Pluralisme dan lain-lain.

Kesemua ini telah menyebabkan terdapat segelintir daripada kita yang tergelincir mengikut telunjuk musuh-musuh Islam. Satu perkara yang perlu kita cakna bahawa para musuh Islam tidak akan menyerah selagi mana umat Islam tidak mengikut mereka. Firman Allah SWT :

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu).

[ Surah Al-Baqarah, Ayat 120 ]

🔰KESAN BURUK TERHADAP UMAT

Hari ini bukan sahaja orang kafir yang anti kepada Islam, tetapi terdapat juga penganut Islam itu sendiri yang memperlekehkan, mengkritik, serta takut akan ajaran dan ketetapan yang ada dalam Islam itu sendiri. Kes murtad, LGBT, penindasan keatas umat Islam, memperlekeh institusi agama dan memandang rendah terhadap sistem pemerintahan Islam antara isu besar yang dialami umat Islam hari ini. Isu-isu ini semakin membarah dari hari ke hari.

Masalah-masalah tersebut perlu dipandang secara serius oleh setiap orang khususnya kita sebagai mahasiswa Islam yang cakna dan sayang akan agama kita. Perlu kita ketahui, ini semua adalah kesan-kesan daripada ghazwatul fikr yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan umat yang bertuah ini.

🔰KEMBALI KEPADA AL-QURAN

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

[ Surah Al-Baqarah, Ayat 208 ]

Al Quran merupakan kalam Allah yang suci yang tidak akan terhapus hingga hari akhirat. Ia merupakan rujukan utama yang perlu dirujuk oleh umat Islam untuk mengatasi masalah yang berlaku. Di dalamnya pelbagai ibrah yang boleh  kita ambil dan kita bandingkan dengan situasi kita hari ini.

Perbanyakkan membaca dan mentadabbur ayat-ayat Allah merupakan cara yang paling utama yang perlu kita lakukan selaku umat Islam supaya kita tidak mudah jatuh ke dalam permainan musuh. Pengamalan Islam secara syumul juga merupakan pokok utama yang perlu diketahui oleh para daie. Pengambilan atau pengamalan juzuk-juzuk daripada Islam merupakan kunci kelemahan umat Islam.

Sebagai daie atau khalifah di atas muka bumi ini, fikrah Islamiah itu sendiri perlu diterapkan ke dalam pemikiran umat Islam hari ini. Umat Islam perlu menjadikan Islam sebagai cara hidup yang meliputi segenap aspek kehidupan. Kita juga dilarang untuk mengambil sebahagian sahaja daripada Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain yang menyebabkan kita mudah untuk dipermainkan atau terjerumus dalam permainan musuh

🔰MEDAN KPIPM

KPIPM merupakan persatuan mahasiswa yang di dalamnya ada segenap aspek. Ia tidak membahagi-bahagikan antara satu sama lain. KPIPM sendiri sangat menekankan item fikrah ini buat ahlinya kerana ia adalah tunjang utama dalam membawa bahtera KPIPM itu sendiri. Melalui kesatuan fikrah antara ahli, akan dapat melahirkan amal yang satu.

Slogan "1 Fikrah 1 Amal" merupakan antara slogan yang dibawa oleh PMRAM supaya ahlinya terus bersatu atas satu kefahaman yang sama. Jika hari ini, berlakunya perpecahan semuanya berpunca daripada tiada kefahaman fikran yang satu.

Justeru, KPIPM sentiasa menitikberatkan item Fikrah ini untuk diterapkan kepada ahlinya. Antara contoh terbesar yang kita boleh lihat ialah Pembawaan KPIPM yang diketengahkan oleh pimpinan kali ini adalah item fikrah. Ini membuktikan KPIPM sentiasa komited untuk menekankan item tersebut selain tidak mengabaikan item-item yang lain.

Saya berharap semua pembaca khususnya ahli KPIPM dapat terus mendokong KPIPM dengan segala kepakaran yang ada pada diri pembaca semua. Selain itu, perbanyakkan tadabbur Al-Quran dan mengamalkan isi-isinya. Perbanyakkan bahan-bahan bacaan yang menceritakan tentang strategi musuh supaya kita tidak mudah untuk dipermainkan oleh musuh-musuh Allah. Wallahu Alam.

Siiruu 'Ala Barakatillah.

Disediakan oleh :
Ammar Rushdi bin Jamaluddin
Timbalan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2018/2019

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Wednesday, December 5, 2018

MAKLUMAN PENANGGUHAN PROGRAM KPIPM

MAKLUMAN | PENANGGUHAN PROGRAM KPIPM FASA 1
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2018/2019

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Firman Allah S.W.T :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.

[ Surah Al-Mujadalah, Ayat 11 ]

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan kepada kita nikmat Iman dan Islam serta menjadikan kita sentiasa dalam naungan-Nya. Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir adalah sebuah kesatuan anak-anak Perak di Mesir yang telah dibina sekian lama. Kesatuan ini berperanan penting dalam mempersiapkan mahasiswa/wi Islam yang bersifat siap saga dalam menghadapi tanggungjawab dan amanah dalam aspek pendidikan.

Sedia maklum, mahasiswa/wi pengajian Islam di Universiti Al-Azhar sesi 2018/2019 akan menghampiri satu fatrah peperiksaan yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Mahasiswa/wi juga dalam proses bertungkus lumus dan berusaha menghadiri kuliah, mengulangkaji pelajaran, menghadiri kelas tutorial dan sebagainya bagi memperoleh kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan.

Sehubungan dengan itu, KPIPM telah memutuskan bahawa penangguhan semua program di peringkat KPIPM melainkan program yang berbentuk ilmiah, motivasi dan tarbiah. Hal ini bagi memberi peluang kepada seluruh anak Perak di Mesir melakukan persiapan dan persediaan dalam menghadapi peperiksaan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Disamping itu, pihak KPIPM berharap agar mahasiswa/wi sentiasa menguatkan hubungan dengan Allah S.W.T dan memperbanyakkan doa yang menjadi kunci-kunci kejayaan bagi seorang individu muslim. Pihak KPIPM juga berharap agar anak-anak Perak dapat menjaga kesihatan dan keselamatan sepanjang tempoh menghadapi peperiksaan.

Tuntasnya, Kami mendoakan agar seluruh anak Perak meraih kejayaan yang cemerlang serta dapat memanfaatkan ilmu yang dimiliki kepada masyarakat. Semoga kejayaan yang diperoleh menjadikan kita bertambahnya ketaqwaan kepada Allah S.W.T.

Siiruu 'Ala Barakatillah

Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2018/2019

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...