Thursday, November 29, 2012

PERMOHONAN DERMASISWA BAGI MAHASISWA/WI PERAK TELAH DIBUKA



Makluman kepada seluruh mahasiswa/wi Perak, permohonan Dermasiswa Zakat Perak bagi sesi 2012/2013 telah dibuka. Bagi sesiapa yang ingin memohon, sila rujuk laman http://www.maiamp.gov.my/dermasiswa/ untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu, bagi :

  • Permohonan KALI PERTAMA anda perlu:
1. Membuat pendaftaran online terlebih dahulu di laman web: http://www.maiamp.gov.my/dermasiswa/

2. Dinasihatkan kepada pemohon supaya mengisi dengan LENGKAP tanpa meninggalkan mana-mana bahagian kosong untuk memudahkan proses permohonan.

3. Sila cetak (print )permohonan anda yang sudah lengkap, kemudian lampirkan dokumen-dokumen seperti berikut:

               1. SALINAN PASSPORT DAN VISA PEMOHON.

               2. SALINAN KAD PENGENALAN PEMOHON DAN SIJIL KELAHIRAN.

               3. SALINAN SURAT TAWARAN SAMBUNG BELAJAR / PENGESAHAN KULIAH.

               4. SALINAN SIJIL PENGAJIAN ( SPM /STAM/SYAHADAH THANAWI / SIJIL  
                   I’DADI (BU’UTH).

              5. SALINAN SURAT KEBENARAN MELANJUTKAN PELAJARAN KELUAR 
                  NEGARA DARI KEMENTERIAN PENDIDIKAN.

              6. SALINAN KAD PENGENALAN IBU DAN BAPA / PENJAGA.

              7. PENYATA GAJI IBU BAPA / PENJAGA ATAU SURAT PENGESAHAN 
                  PENDAPATAN DARI KETUA KAMPUNG / PENGHULU BAGI YANG BEKERJA 
                  SENDIRI.

  • Bagi yang PERNAH MEMOHON anda perlu: 
1. Mengemaskini online terlebih dahulu di laman web : http://www.maiamp.gov.my/dermasiswa/

2. Dinasihatkan kepada pemohon supaya mengisi dengan LENGKAP tanpa meninggalkan mana-mana bahagian kosong untuk memudahkan proses permohonan.

3. Sila cetak (print) permohonan anda yang sudah lengkap serta lampirkan dokumen-dokumen seperti berikut :

1. PENGESAHAN PENGAJIAN TERKINI.

2. KEPUTUSAN PEPERIKSAAN TERKINI.


Diingatkan kepada pemohon untuk menghantar permohonan serta salinan dokumen yang lengkap SELEWAT-LEWATNYA 28 DISEMBER 2012 kepada Setiausaha Agung KPIPM atau Setiausaha HEWI KPIPM untuk memudahkan sebarang urusan permohonan.

Sebarang permasalahan dan pertanyaan, sila RUJUK

· Setiausaha Agung KPIPM sesi 2012/2013 - USTAZ MOHAMMAD AINUDDIN BIN MOHD ISHAK (01146626390)

· Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2012/2013 - USTAZAH NOR ATIQAH BT HAMDAN (01141738859)

Makluman Pemangkuan Jawatan Presiden PMRAM



Adalah dimaklumkan bahawa ;
Saudara Abdul Aziz bin Ali (Presiden PMRAM) 2012, telah pulang ke Malaysia buat sementara waktu. Oleh itu, Jawatan beliau akan dipangkuoleh Saudara Zulhafeez Bin Ahmad Zahidi (Timbalan Presiden PMRAM) 2012. 

Jawatan pemangkuan ini mula berkuatkuasa pada 27 November 2012 sehingga kembalinya Presiden ke Mesir pada 17 Disember 2012. Sebarang permasalahan yang berkaitan dengan jawatan tersebut, bolehlah terus berhubung dengan pemangku yang dilantik.

Sekian dimaklumkan,

''Memartabat Keilmuan, Memimpin kesatuan"

Jabatan Setiausaha Agung,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2012.

Monday, November 26, 2012

Bersama CEO Maipk: KPIPM bawa isu kebajikan ahli


Kaherah,19 Nov 2012- “Kecil tapak tangan,nyiru kami tadahkan.” Bersempena dengan kedatangan Dato Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan, Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam dan Istiadat Perak, satu perjumpaan khusus telah diadakan antara barisan Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM 2012/2013 dengan Ketua Eksekutif Maipk bagi membincangkan permasalahan serta kebajikan anak-anak perak di Mesir. Turut hadir pada malam tersebut ialah Encik Yusuf selaku Juruaudit Maipk serta Barisan AJK Penasihat KPIPM.

Perjumpaan ringkas ini bermula pada jam 8.15 malam dengan sesi taaruf bersama semua yang hadir seterusnya kepada perbincangan seputar isu kebajikan anak-anak Perak. Dalam perbincangan tersebut, beberapa proposal telah diserahkan oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2012/2013, Saudara Muhammad Hanif bin Abdullah kepada pihak Maipk.

Antara perkara utama yang dibawa oleh pihak persatuan dalam proposal tersebut adalah berkenaan isu kebajikan pelajar Markaz Bahasa yang mengambil Imtihan Qabul baru-baru ini. Persatuan memohon daripada pihak Maipk agar mempertimbangkan berkenaan zakat serta sumbangan bagi pelajar Markaz Bahasa yang terpaksa menanggung kos pembelajaran yang tinggi. Selain itu, pihak persatuan juga memohon bantuan akademik bagi Pengajian Islam & Sains Kesihatan (seperti buku-buku rujukan dan alatan keperluan pembelajaran), dana tahunan bagi program-program KPIPM 2012 serta kelengkapan cyber cafe (Silver Net). Selain itu, beberapa aspek keperluan perumahan bagi Wisma Darul Ridzuan, keselamatan dan persekitaran penempatan juga turut menjadi topik perbincangan.

 Perbincangan yang dibawa mendapat perhatian yang baik oleh Dato’ Syed Omar Sharifuddin selaku CEO Maipk dan diteruskan dengan persoalan-persoalan yang berbangkit serta cadangan. Pada jam 10.30 malam, perjumpaan bersurai dan diakhiri dengan jamuan makan malam. Semoga perjumpaan ringkas ini memberikan seribu satu makna terhadap hubungan baik telah yang terjalin antara Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir dan Majlis Agama Islam Perak dan besar harapan agar segala perbincangan mendapat respon yang baik bagi memastikan agenda kebajikan anak-anak Perak dapat diteruskan.  “Pihak KPIPM mengharapkan agar pihak Maipk memberikan respon yang positif berkenaan dengan permohonan kami. Moga dengan perjumpaan kali ini mengeratkan lagi kerjasama di antara KPIPM dengan pihak Maipk dalam menangani masalah kebajikan anak-anak Perak di bumi Mesir ini.” Ujar saudara Hanif Abdullah dalam ucapannya.

Saturday, November 24, 2012

Bulan Muharram Dan Puasa 'Asyura


Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. telah bersabda :

عن أبي هريرة عن النبي (ص) قال : "أفضل الصيام بعد شهر رمضان شهر الله الذي تدعونه المحرم وأفضل الصلاة بعد الفريضة قيام الليل"

“Sebaik-baik puasa selepas puasa pada bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah iaitu pada bulan Muharram dan semulia-mulia solat selepas solat fardhu (lima waktu) adalah qiamullail (berdiri malam untuk solat)”. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Daripada hadis yang diriwayatkan tersebut maka keluarlah beberapa perkara penting yang boleh diambil pengajaran dan faedah daripadanya untuk diamalkan.


PUASA MUHARRAM ADALAH PUASA YANG TERBAIK SELEPAS DARIPADA PUASA RAMADHAN
Ini menunjukkan diantara banyak-banyak puasa sunat yang kita boleh lakukan maka puasa sunat pada bulan Muharram itu adalah sebaik-baik puasa selepas daripada puasa fardhu pada bulan Ramadhan.

Inilah puasa sunat yang lebih besar ganjaran dan janjian yang Allah taala akan anugerahkan kepada seseorang hamba andai mereka menunaikannya berbanding puasa-puasa sunat yang lain seperti puasa pada hari ‘Arafah, puasa 10 Dzulhijjah, puasa 6 hari pada bulan Syawal dan lain-lain.

Dalam satu hadis lain ada menyatakan tentang kelebihan berpuasa dalam bulan Muharram ketika mana ada seorang sahabat datang menemui baginda Nabi s.a.w. lalu beliau bertanya :

يا رسول الله أخبرني بشهر أصومه بعد شهر رمضان, قال رسول الله (ص) : إن كنت صائما

 شهرا بعد رمضان فصم المحرم, فإنه شهر الله وفيه يوم تاب الله فيه على قوم ويتوب على أخرين


“Wahai Rasulullah !Khabarkan kepadaku dengan satu bulan yang lebih baik puasanya selepas daripada puasa pada bulan Ramadhan. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda : Sekiranya kamu ingin berpuasa pada sesuatu bulan maka puasalah pada bulan Muharram, kerana itu adalah bulan Allah dan padanya hari Allah telah menerima taubat keatas sesuatu kaum (Nabi Adam) dan menerima taubat daripada (hamba-hambanya) yang lain”.(Hadis Riwayat Imam Tirmizi).

Dilihat daripada hadis diatas merupakan gesaan dan saranan Nabi s.a.w. untuk berpuasa pada bulan Muharram sebagai puasa yang terbaik berbanding pada bulan-bulan yang lain kerana dua sebab utama yang paling besar :

1. BULAN MUHARRAM ADALAH BULAN HARAM

Ini kerana bulan Muharram adalah termasuk dalam kategori empat Bulan Haram أشهر الحرمiaitu Muharram, Rejab, Dzulqaedah dna Dzulhijjah yang dimuliakan oleh Allah.

Namun ada juga dikalangan ulama berselisihan dan berbeda pandangan dalam menentukan pada bulan mana yang lebih mulia untuk melaksanakan puasa sunat antara bulan-bulan Haram yang empat tersebut.

Namun secara jumhur para ulama selepas dikuatkan oleh pendapat para pandangan ulama mutakkhirin menyatakan bahawa puasa pada bulan Muharram adalah yang paling mulia disisi Allah sebagaimana pada hadis Riwayat Abu Hurairah yang telah lepas dinyatakan diatas didalam kitab Hadis Sahih Muslim berdasarkan sanad Hadis Marfu’(hadis yang sanadnya sampai kepada baginda Nabi s.a.w.)

Tapi ada sahaja pandangan lain yang menyatakan berpuasa sunat pada Bulan Haram yang lain adalah yang paling afdhal (utama) selepas daripada puasa bulan Ramadhan sebagaimana :

1. Dzulqaedah : pendapat daripada Sa’ied bin Jabir 

2. Rejab : Setengah pandangan daripada Ashab Syafieyyah (ulama-ulama yang bermazhab Syafie).

3. Dzulhijjah : pandangan daripada Abu ‘Uthman al-Hindi

2. BULAN MUHARRAM ADALAH BULAN ALLAH

Ini merujuk kepada Hadis daripada Abu Hurairah r.a. sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda :

شهر الله الذي تدعونه المحرم

bulan Allah iaitu pada bulan Muharram”. (Hadis Riwayat Muslim)

Imam ibn Rejab al-Hanbali menyatakan dalam kitabnya Lathoiful Ma’arif , disandarkan bulan Muharram kepada Bulan Allah bagi menunjukkan kelebihan dan kemuliaan bulan tersebut keatas bulan-bulan yang lain. Allah taala tidak akan meyatakan sedemikian dengan menyandarkan kepada dirinya melainkan disana ada sesuatu keutamaan yang telah dikhususkan terhadap sesuatu perkara diakalangan makhluk ciptaannya. 

Sebagaimana juga disandarkan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Habibullah (kekasih Allah).Nabi Ibrahim sebagai Khalilullah (sahabat Allah), Nabi Musa sebagai Kalimullah (yang berkata-kata dengan Allah), Nabi Ya’akub sebagai Abdullah (hamba Allah) dan lain-lain lagi gelaran kepada Nabi-nabi Allah.

Begitu juga disandarkan kepada simbolik kepada tempat ibadah kaum muslimin iaitu Ka’abah sebagai Baitullah (rumah Allah).

Semuanya itu merupakan sandaran kemuliaan dan kelebihan disisi Allah dengan mengangkat beberapa  darjat keutamaan dikalangan makhluk-makhluknya yang lain.


PUASA PADA 10 MUHARRAM (Hari ‘Asyura)
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. pernah bersabda :

يوم عاشوراء كانت تصومه الأنبياء فصوموه أنتم

“Hari ‘Asyura adalah telah berpuasanya para Nabi maka puasalah kamu semua (pada hari tersebut)”.(Hadis Riwayat Imam al-Qurtubi dalam Kitab Musnadnya)

Tarikh 10 Muharram dianggap mempunyai kisah dan peristiwa besar dikalangan sesuatu kaum dan masyarakat tertentu.

Sebagaimana Ahli Kitab (Yahudi) mereka percaya bahawa pada hari tersebut terselamatnya Nabi Musa a.s. daripada kezaliman Fir’aun dan pada hari yang sama Allah taala telah menenggelam dan menghancurkan seluruh bala tentera Fir’uan dan kerajaannya.

Begitu juga dikalangan kafir Quraisy di Makkah ketika zaman Jahiliah dahulu. Mereka juga berpuasa pada 10 Muharram sebagaimana kalam daripada ‘Ikrimah seraya berkata ketika ditanya :

“Apabila golongan Quriasy dahulu pada zaman jahiliah melakukan sesuatu yang dianggap mereka adalah dosa lalu mereka bertambah sombong dalam diri mereka. Maka apabila ditanya kepada mereka : Apakah taubat kamu daripada perkara tersebut? Maka mereka akan berkata : Puasa pada hari ‘Asyura iaitu hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram”.

Adapun disisi Islam, berpuasa pada hari ‘Asyura merupakan antara sunnah Nabi s.a.w. yang pernah dilakukan oleh baginda s.a.w. dan ganjarannya amat besar disisi Allah taala.

Ianya sebagaimana daripada Abi Qatadah r.a. berkata bahawa seorang lelaki telah bertanya Nabi s.a.w. tentang puasa pada hari ‘Asyura :

أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله

“Aku memohohon kepada Allah taala agar menjadikannya sebagai penebus (dosa-dosa) setahun yang lalu”.(Hadis Riwayat Imam Muslim)

BEBERAPA KEADAAN NABI BERPUASA PADA 10 MUHARRAM (Hari ‘Asyura)

Kalau dilihat kepada sirah baginda Nabi s.a.w. ada beberapa keadaan Nabi berpuasa pada 10 Muharram iaitu Hari ‘Asyura.Ianya terbahagi kepada empat keadaan :

1. Bahawa Nabi s.a.w. pernah berpuasa pada Hari ‘Asyura sejak berada di Kota Makkah akan tetapi tidak memaklum dan menyuruh kepada para sahabat untuk sama-sama berpuasa bersamanya.

Ini sebagaimana dalam satu hadis daripada Sayyidatina ‘Asiyah r.a. beliau pernah berkata :

كان عاشوراء يوما تصومه قريش في الجاهلية وكان النبي يصومه فلما قدم المدينة صامه

 وأمر بصيامه فلما نزلت فريضة شهر رمضان كان رمضان هوالذي يصومه فترك يوم عاشوراء

 فمن شاء فليصمه ومن شاء أفطر

“Adapun ‘Asyura adalah hari berpuasanya kaum Quraisy padanya, dan begitu juga Nabi berpuasa padanya (‘Asyura).Maka ketika mana sampainya ke Madinah (selepas hijrah) lalu Nabi masih lagi berpuasa dan menyuruh (sahabat-sahabatnya) berpuasa. Ketika mana pula turunnya kefardhuan Ramadhan iaitu berpuasa Ramadhan, lalu Nabi meninggalkan berpuasa pada hari ‘Asyura .makasesiapa yang hendak berpuasa pada hari tersebut berpuasalah dan sesiapa yang tidak mahu maka berbukalah”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim dan Sahihnya)

2. Ketika Nabi sampai ke Madinah, baginda telah melihat beberapa orang Ahli Kitab (Yahudi) sedang berpuasa pada hari ‘Asyura dan membesarkannya. Baginda s.a.w. menyukai apa yang dilakukan oleh mereka ketika itu lalu Nabi s.a.w. pun berpuasa serta menyuruh sahabat-sahabatnya juga berpuasa sehingga kanak-kanak kecil ketika itu juga turut berpuasa sama.

Daripada Ibn Abbas r.a. berkata : “ketika mana Rasulullah s.a.w. sampai di Madinah lalu baginda dapati golongan Yahudi ketika itu berpuasa pada hari ‘Asyura, maka Nabi s.a.w. bertanyakan kepada mereka :

ماهذا اليوم الذي تصومونه؟ قالوا : هذا يوم عظيم, أنجى الله فيه موسى وقومه, وأغرق فرعون وقومه, فصامه موسى شكرا, فنحن نصومه. فقال رسول الله (ص) : فنحن أحق وأولى بموسى منكم

“Apakah hari ini yang menyebabkan kamu (Yahudi) berpuasa? Mereka berkata : Hari ini adalah hari agung, Allah taala telah menyelamatkan pada hari ini (‘Asyura) Nabi Musa a.s. bersama dnegan kaum-kaumnya, dan menenggelamkan Fir’aun dan tentera-tenteranya, lalu Nabi Musa a.s. berpuasa tanda bersyukur, maka kami juga berpuasa. Lalu Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda : Maka kami adalah lebih berhak dan layak terhadap Nabi Musa a.s. daripada kamu. Seterusnya Nabi s.a.w. pun berpuasa dan menyuruh untuk berpuasa padanya (hari ‘Asyura).” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

3. Selepas turun kefardhuan puasa pada bulan Ramadhan maka Nabi telah meninggalkan berpuasa pada hari ‘Asyura tapi tidak melarang antara salah satu andainya ada dikalangan sahabat-sahabatnya yang mahu berpuasa ataupun tidak.

Daripada Qais bin Sa’ad beliau telah berkata :

أمرنا رسول الله (ص) بصيام عاشوراء قبل أن ينزل رمضان فلما نزل رمضان لم يأمرنا ولم ينهنا

“Telah menyuruh akan kami oleh Rasulullah s.a.w. untuk berpuasa pada hari ‘Asyura sebelum turunnya kefardhuan Ramadhan (puasa).Ketika mana turunnya kefardhuan Ramadhan (puasa) tidak pula disuruh dan dilarang akan kami (untuk puasa pada hari ‘Asyura)". (Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal)

3. Nabi s.a.w. pada penghujung hayat baginda telah mencadangkan kepada sahabat-sahabatnya untuk tidak berpuasa hanya sehari sahaja pada hari ‘Asyura (10 Muharram). Akan tetapi, menggabungkannya dengan hari yang lain sebagai tambahan untuk menampakkan perbezaan antara orang-orang Islam dan Ahli Kitab (Yahudi). 

Daripada Ibn Abbas r.a. bahawasanya beliau telah berkata :

حين صام رسول الله (ص) عاشوراء وأمر بصيامه قالوا : يا رسول الله ! إنه يوم تعظمه

 اليهود والنصارى,فقال رسول الله (ص) : فإذا كان العام المقبل إن شاء الله صمنا اليوم التاسع


“Ketika mana telah berpuasanya Rasulullah s.a.w. pada hari ‘Asyura lalu baginda menyuruh (para sahabat) berpuasa sama. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah ! Hari itu (‘Asyura) adalah hari dimana kaum Yahudi dan Nasrani mengagung-agungkannya. Lalu RAsulullah s.a.w. bersabda : Maka apabila tibanya tahun yang akan datang, InsyaAllah (dengan kehendak Allah) kita akan berpuasa pada hari yang kesembilan (sebagai tambahan pada puasa ‘Asyura)”. (Hadis Riwayat Imam Muslim )

Dalam riwayat lain daripada Ibn Abbas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda :

صوموا عاشوراء وخالفوا اليهود, صومو قبله يوما وبعده يوما

“Berpuasalah kamu semua pada hari ‘Asyura dan berbezalah kamu semua daripada Yahudi, berpuasalah kamu sehari sebelumnya sehari dan selepasnya sehari”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal)

KESIMPULAN
1. Puasa sunat pada bulan Muharramsecara umum adalah yang paling afdhal (utama) selepas tuntutan puasa fardhu bulan Ramadhan berbanding puasa-puasa sunat pada bulan Haram yang lain iaitu Rejab, Dzulqaedah dan Dzulhijjah.

2. Kebanyakan ulama berpendapat, berpuasa 10 Muharram adalah sunnah Nabi s.a.w. sebagaimana diambil daripada riwayat para sahabat-sahabat Nabi yang agung antaranya Sayyidina Umar al-Khattab, Ali bin Abi Thalib, Abdurrahman bin ‘Auf, Abu Musa al-Asya’ari, Qias bin Sa’ad, Ibn Abbas dan lain-lain.

3. Berpuasa pada Hari ‘Asyura yang dianjurkan oleh RAsulullah s.a.w. adalah berbeza sebagaimana berpuasanya Ahli Kitab dan kaum Quraisy terdahulu dan sebagai langkahihtiyat (berwaspada) dengan beberapa kaifiat dan cara :


- Puasa pada 9, 10 dan 11 Muharram (afdhal)

- Puasa pada 9 dan 10 Muharram
- Puasa pada 10 dan 11 Muharram
- Puasa 10 Muharram (tasyabbuh dengan Ahli Kitab maka makruh kerana ada periwayatan daripada Rasulullah sebelum kewafatan baginda s.a.w. agar dibezakan daripada mereka).


Wallahu a’lam..


“Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar”

“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”



Disediakan oleh :

Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin 

Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2012



* Diringkaskan daripada Kitab Lathoiful Ma'ariff karangan Imam Ibn Rajab al-Hanbali : Cetakan Darul Hadis, Mesir

Friday, November 23, 2012

Persiapkan Diri Menuju Transformasi


KAHERAH, 15 NOVEMBER 2012- Program Ehya’ Jum’ah diteruskan lagi. Antara yang menarik pada kali ini, KPIPM  telah menganjurkan Qiamullail bulanan. Pada jam 4.00 pagi, agenda qiamullail dimulakan dengan alunan zikir dan disambung dengan solat sunat hajat, taubat, tahajjud dan witir.

Program tidak terhenti setakat itu malah disambung pula dengan pengisian  tazkirah subuh jemputan yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Zulhafeez bin Ahmad Zahidi, Timbalan Presiden  PMRAM 2012. Beliau telah berkongsi sedikit sebanyak tentang konsep istiqamah yang diperlu difahami oleh semua. Dalam membahaskan konsep tersebut, terdapat beberapa perkara yang perlu ditekankan oleh mahasiswa dalam membentuk generasi yang berjaya.

Beliau mengulas serba sedikit perbahasan tersebut berdasarkan karangan Dr. Majdi Hilali yang bertajuk ‘Falnabda’ Bi Anfusina’.“Istiqamah merupakan perkara yang mudah untuk dilafazkan tetapi sukar untuk dilaksanakan.” Ulas beliau mengenai konsep istiqamah.

Bersempena dengan Maal Hijrah, beliau menasihatkan supaya ahli KPIPM mengambil pengajaran daripada peristiwa Hijrah yang berlaku pada zaman kegemilangan Rasulullah S.AW. Beliau juga turut memberi penekanan tentang kepentingan mahasiswa menjaga kesatuan yang telah terbina dan melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan. “Kesatuan itu perlu dan mana mungkin seorang individu mampu bergerak secara sendirian kerana kita dituntut untuk bergerak secara kolektif.” Ujar beliau yang merupakan mantan Ketua Biro Pelajaran KPIPM sesi 2008. Majlis pada pagi itu ditutup dengan tasbih kifarah dan surah Al-Asr.

Kesungguhan Kunci Istiqamah


Senario kehidupan manusia yang diciptakan oleh  Allah SWT mempunyai pelbagai rentak dan situasi yang berbeza. Ini merupakan lumrah dan fitrah kejadian manusia juga sebagai makhluk yang diciptakan oleh  Allah SWT yang serba kekurangan dan kurang sempurna melainkan Allah SWT.

Setiap insan mempunyai cita-cita dan matlamat hidup tersendiri. Tidak kira ia sebagai seorang muslim mahupun bukan muslim. Matlamat itu adalah target dan objektif utama dalam menggapai kebahagiaan di dunia ini. Sebagai seorang muslim tujuan sudah pastilah matlamat utama adalah untuk mencari keredhaan dan kemuliaan di sisi ALLAH SWT.

Ia merujuk kepada asas penting diciptakan manusia dan jin ialah semata-mata untuk beribadat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud “tidak Aku (ALLAH SWT) ciptakan manusia dan jin melainkan untuk beribadat dan sembah kepada Ku".

Dalam kita beribadat serta melakukan perintah  Allah SWT mestilah kita melakukan bersungguh-sungguh dengan berdoa siang malam dalam keadaan menangis, bangun qiamullail, solat taubat agar segala apa yang kita minta dan dambakan dalam kehidupan diterima, diredhai dan dimakbulkan oleh ALLAH SWT. Tujuannya adalah mendapat keredhaan dan kecintaan yang sebenarnya daripada  Allah SWT.

Dalam pepatah arab ada menyebut yang bermaksud "siapa yang berusaha bersungguh-sungguh, maka dia akan berjaya".

Tanpa bersungguh-sungguh mana mungkin kita hendak istiqamah, tanpa istiqamah tiada istilah bersungguh–sungguh. Oleh itu, sifat bersungguh–sungguh perlu digabungkan dengan sifat istiqamah kerana kedua-dua elemen ini amat penting untuk kita mencapai dan menuju matlamat hidup yang sempurna.

Istiqamah merupakan satu sifat yang memerlukan kesungguhan dan pengorbanan dalam jiwa agar ia tetap di jalannya hingga ke penghujung impian. Hanya insan yang betul-betul mempunyai objektif dan matlamat hidup yang jelas akan berusaha bersungguh-sungguh dengan cara yang terbaik untuk istiqamah menuju matlamat dan cita-cita yang diimpikan dalam kehidupan.

Justeru, bersungguh-sungguh adalah intipati yang penting untuk istiqamah dalam kehidupan semua manusia dan yang paling penting ialah mendapat keredhaan, kecintaan dan kasih sayang pencipta sekalian makhluk, Allah SWT.

Pepatah arab ada menyebut yang bermaksud “Istiqamah adalah jalan menuju kejayaan".

Mardhiah binti Nordin
Ketua Unit Pendidikan Dan Komunikasi Bahasa,
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI PMRAM) 2012.

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...