Thursday, August 27, 2009

Mahasiswa/wi Baru Selamat Tiba Di Kaherah


KAHERAH, 26 OGOS - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir hari ini menerima kedatangan adik-adik baru bagi sesi 2009/2010. Mereka yang menaiki pesawat Qatar Airlines, tiba di lapangan terbang Kaherah pada jam 3.30 petang selepas transit di Doha untuk beberapa ketika.

Ketibaan mereka telah disambut oleh AJK Pelaksana Unit Sambutan Mahasiswa Baru (USMB)yang diketuai oleh Ustaz Zulhafeez bin Ahmad Zahidi, Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Ashraf Mohamad Khir, Ketua HEWI, Ustazah Siti Salamah binti Hamzah, serta wakil daripada badan pengurus PMRAM, Ustaz Taufiq bin Dahlan.

Kehadiran seramai 64 orang mahasiswa sekurang-kurangnya menambah lagi golongan pelapis yang akan menerajui Negara dengan berlandaskan alQuran dan Sunnah. Mereka terdiri daripada 41 orang mahasiswa dan 23 mahasiswi dengan 3 orang daripadanya merupakan mahasiswi perubatan.

Kesemuanya dibawa terus ke Wisma Darul Ridzuan Baru dengan menaiki dua buah bas. Perjalanan yang mengambil masa hampir 45 minit itu diisi dengan ucapan aluan dan pengenalan oleh wakil KPIPM dan PMRAM.

Keterlibatan anak-anak perak yang menanti ketibaan mereka di Wisma Darul Ridzuan Baru, melicinkan lagi kerja-kerja pengagihan penempatan. Mereka kemudiannya dibawa masuk ke dewan untuk taklimat keselamatan sebelum dibenarkan beristirehat dalam bilik masing-masing.

Keberadaan mahasiswa baru di bumi anbiya' ini, akan diberi pengisian oleh usmb sebelum urusan kuliah bermula. Mereka dijangkakan untuk mengikut pengisian dan program-program yang telah dirancangkan oleh pihak USMB sehingga bulan November.

Thursday, August 20, 2009

Kepimpinan Islam

Selama ini begitu banyak kekeliruan pemahaman mengenai erti kepimpinan. Pada umumnya orang melihat pemimpin adalah satu kedudukan atau posisi semata-mata. Akibatnya, ramai orang mengejar untuk menjadi seorang pemimpin dengan menghalalkan pelbagai cara demi mencapai tujuan tersebut. Akibat dari perkara tersebut maka lahirlah pemimpin yang tidak dicintai, tidak disegani, tidak ditaati malah dibenci. Pemimpin seperti ini akan mempergunakan kekuasaannya untuk mengarah, memperalat atau menguasai orang lain, supaya orang lain mengikutinya.

Umumnya pemimpin seperti ini suka menekan. Tetapi, alam diciptakan dengan hukum keseimbangan. Setiap sesuatu diciptakan berpasang-pasangan sesuai dengan neraca keadilan. Begitu jugalah dengan pemimpin dan pengikut. Mungkin kita masih mengingati makanisme ‘per’. Apabila ‘per’ ditekan, maka ‘per’itu akan mengeluarkan daya lenting atau daya dorong sebesar tekanan yang dikeluarkan untuk mencapai titik keseimbangannya kembali.

Begitu juga dengan jiwa manusia, apabila ditekan maka jiwa itu akan mengeluarkan energi atau daya untuk mencapai titik keseimbangannya kembali. Energi itulah yang akan timbul dalam bentuk perjuangan, perlawanan atau revolusi. Tentu kita masih ingat sejarah Hitler, Mussolini dan Kaisar Hirohito yang telah cuba menekan dan menjajah dunia. Namun, akhirnya mereka hancur akibat daya perlawanan yang sangat dasyat yang harus dihadapinya.

Jadi, pastilah setiap individu muslim ingin berada dibawah kepimpinan yang tidak melanggar ajaran Al-quran dan sunnah nabi Muhammad s.a.w. Tapi yang menyedihkan masih ramai lagi manusia yang tidak menyukai apabila dipimpin. Hakikatnya, setiap umat yang wujud di muka bumi ini, pasti Allah s.w.t telah mengutuskan bagi umat itu seseorang untuk mengkoreksi akidahnya da meluruskan penyimpangan umat tersebut. Ini telah dibuktikan dengan firmannya:

Maksudnya :-

Dan sesungguhnya kami telah mengutus seorang rasul pada setiap umat (untuk menyerukan) Sembahlah Allah SWT (semata-mata)dan jauhilah Thagut itu.

Jadi, makna sebenar kepimpinan dalam Islam adalah merealisasikan khalifah di muka bumi, demi mewujudkan kebaikan dan proses islah. Nabi s.a.w memerintahkan kepemimpinan walaupun dalam kumpulan yang berjumlah sedikit atau sasarannya sederhana.

Baginda bersabda seperjuangan.:

“Jika tiga orang keluar dalam suatu perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah seorang antaranya sebagai pemimpin.”

Jadi, apatah lagi jika kita berada di dalam kelompok yang besar dan sasarannya tinggi. Pemimpin dan pengikut mempunyai jalur pengaruh antara satu sama lain. Definasi pemimpin yang sebenar adalah seseorang individu apabila ditaklifkan, dia mempunyai semangat sebagai khalifah. Manakala, pengikut adalah semua orang yang berada dibawah kepimpinan dan membantu supaya kepimpinan sentiasa berada dalam landasan yang betul.

Oleh itu, adakah kita sebagai mata rantai perjuangan Rasululullah s.a.w hanya menjadi pemerhati tanpa memberi sumbangan kepada kepimpinan yang mewarisi risalah nabi tercinta. Malah, kita menjadi penyumbang kepada kehancuran. Fikir-fikirkanlah wahai sahabat..


Oleh :
Biro Dakwah dan Tarbiah,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
2008/2009

Mesyuarat Tahunan HEWI Kali Ke 22 Dan Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM Kali ke 43


KAHERAH, 19 OGOS - Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke 43 telah digabungkan dengan Mesyuarat Tahunan HEWI sepertimana yang telah biasa dilakukan.

Pada tahun ini, Mesyuarat Tahunan HEWI kali ke 22 telah diadakan pada 18 Ogos, manakala Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 43 telah diadakan pada keesokan harinya.

Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 43 telah bermula seawal jam 8 pagi sepertimana yang telah tertera di dalam surat panggilan. Namun, mesyuarat masih belum dapat dijalankan kerana menunggu bilangan ahli sidang mencukupi korum yang telah ditetapkan.

Ahli KPIPM yang masih berada di Mesir ketika ini adalah seramai 409 orang. Oleh itu korum untuk mencukupi bilangan satu perdua ialah 205 orang.

Namun, pada jam 8.40 pagi, ahli sidang yang hadir telah mencadangkan supaya Mesyuarat Agung Tahunan dimulakan dengan bilangan korum seramai seperempat ahli. Cadangan tersedbut telah disokong sepertimana yang telah disebut di dalam perlembagaan sendiri.

Mesyuarat dimulakan pada jam 9 pagi dengan bilangan ahli sidang seramai 115 orang ketika itu.

Pada permulaannya, mesyuarat telah dikendalikan oleh Yang Dipertua sendiri bagi melantik Pengerusi dan Setiuasaha Sidang, dan pengira undi.

Mesyuarat pada sebelah pagi telah dikendalikan oleh Ustaz Khairul Azri manakala sebelah petang dikendalikan oleh Ustaz Azizuddin bin Abdullah.

Pada sesi pagi, mesyuarat dimulakan dengan pembentangan minit mesyuarat oleh Timbalan Setiuasaha Agung, dan telah dicadangkan dan disahkan oleh ahli sidang pada jam 9.21 pagi.

Program diteruskan lagi dengan perkara-perkara berbangkit dan pembentangan laporan aktiviti tahunan setiap jabatan dan biro.

Pada jam 10.40 pagi, ahli sidang mencadangkan supaya mesyuarat ditangguhkan bagi menikmati sarapan pagi.

Program diteruskan lagi pada jam 11 pagi dengan pembentangan laporan aktiviti tahunan setiap jabatan dan biro sehingga jam 12.35 tengahari.

Mesyuarat ditangguhkan sekali lagi kerana memberi laluan makan tengahari dan solat fardhu Zohor.

Program disambung kembali dengan pembentangan laporan kewangan pada jam 1.30 petang. Laporan kewangan telah dibentangkan oleh Bendahari Kehormat, Ustaz Muhammad Amin bin Abd Rahman.

Pada jam 2.10 minit petang, mesyuarat diteruskan lagi dengan pembentangan usul bertulis oleh Ustaz Fareez Izhar bin Zainuddin tentang pindaan perlembagaan. Usul ini telah disokong oleh Ustaz Ahmad Faisal bin Mehamod.

Usul bertulis kedua pula tentang menolak anasir perpecahan dan pemerkasaaan biah solehah yang telah dibentangkan oleh Ustaz Khairul Asyraf bin Muhammad Khir. Usul ini telah disokong dengan usul tergempar yang dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Aminuddin, dan beberapa ahli sidang yang lain.

Ia diteruskan lagi dengan pembentangan usul tergempar yang meminta supaya dibenarkan menggunakan komputer dan internet di dalam bilik-bilik. Usul ini telah dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Saiful Ammar bin Ismail.

Usul tergempar ini telah diadakan undian, dan majoriti ahli sidang tidak bersetuju dengan usul tergempar ini.

Program ditangguhkan pada 5.24 petang bagi memberi ruang kepada ahli sidang mendirikan solat fardhu Asar.

Pada jam 5.56 petang, mesyuarat diteruskan lagi dengan membuka ruang untuk cadangan dari semua ahli sidang untuk meningkatkan prestasi KPIPM. Terdapat 19 cadangan lisan yang telah dikemukakan dan dua cadangan bertulis yang telah diterima di dalam mesyuarat kali ini.

Mesyuarat diteruskan lagi dengan pelantikan 2 orang pemeriksa kira-kira bagi sesi 2009/2010. Pemeriksa kira-kira yang telah dilantik ialah Ustaz Mohamad Azizuddin bin Aznan dan Ustaz Khairul Jamal.

Mesyuarat diteruskan lagi dengan ucapan setiap AJKT dan barisan penasihat. Seterusnya ucapan penangguhan yang telah disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil, dan membubarkan kepimpinan sesi 2008/2009.

Majlis telah diserahkan sepenuhnya dibawah kendalian Ahli Jawatankuasa Khas Pilihanraya bagi membentangkan keputusan pilihanraya.

Setalah selesai Solat Fardhu Maghrib, Pengarah AJKKPR, Ustaz Muhamad Ibrahim bin Mansor telah mengumumkan seramai 8 calon AJKT yang telah memenangi pilihanraya tersebut.

Mereka ialah Muhammad Firdaus bin Aznan, Mohd Zahid bin Abu Bakar, Muhd Syazwan bin Khalid, Muhd Ridhwan bin Othman, Muhammad Hafizuddin bin Zakariya, Mohd Aliff Hadi bin Mohd Razi Ibnu Abbas bin Azizuddin dan Mohammad Omar bin Adam.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada mereka yang menang dalam pilihanraya ini, dan mengumumkan bahawa bilangan pengundi seramai 230 orang, yang merupakan bilangan teramai setakat ini.

Manakala Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 43 telah dihadiri seramai 221 sepertimana yang telah tercatat di dalam buku kehadiran MAT.

Tuesday, August 18, 2009

Kemeriahan Majlis Kesyukuran Dan Anugerah Cemerlang


KAHERAH, 17 OGOS - Majlis Kesyukuran dan Anugerah Cemerlang KPIPM adalah salah satu program tahunan yang bertujuan meraikan kecemerlangan ahli KPIPM dalam segenap bidang.

Pada tahun ini, majlis yang gilang gemilang ini telah diadakan pada hari ini, yang juga menjadi perasmian bagi Mesyuarat Tahunan HEWI kali ke 22 dan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 43.

Majlis bermula pada jam 9.05 malam dengan dimulakan dengan alunan Nasyid Asma al Husna dan Lagu PMRAM.

Majlis Perasmian telah bermula pada jam 9.15 minit dengan dimulakan dengan ucapan Pengarah Program, Ustaz Ahmad Faisal bin Mehamod.

Kemudian disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil.

Majlis perasmian telah disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh Ustaz Shahrizan bin Mohd Hazime, Timbalan Presiden PMRAM. Ia disusuli pula dengan gimik perasmian dan tayangan slide.

Program diteruskan lagi dengan penyampaian beberapa anugerah. Antara anugerah-anugerah tersebut ialah Qudwah Hasanah yang telah disandang oleh Ustaz Mohd Zahid bin Abu Bakar dan Ustazah Nufhafsah binti Awaluddin.

Anugerah Mahasiswa/wi kreatif pula disandang oleh Ustaz Muhammad Saiful Ammar bin Ismail dan Ustazah Aisah binti Nasaruddin. Anugerah peserta EGP PMRAM yang terbaik pula telah disandang oleh Ustaz Mohd Omar bin Adam, dan Ustazah Zahidah binti Wafir.

Manakala pemenang bagi pertandingan Baiti Jannati telah disandang oleh Bait Bujang dan Darul Muttaqin. Usrah Terbaik pula dimenangi oleh Usrah Saidina Omar, yang dikendalikan oleh Ustaz Hanif bin Musa, dan Usrah Saudah Zam'ah bagi akhawat.

Seterusnya Anugerah Yang Dipertua KPIPM yang disempurnakan oleh beliau sendiri kepada 16 orang penerima anugerah tersebut.

Biro Terbaik untuk sesi ini ialah Biro Dakwah dan Tarbiah, dan program anjuran biro/jabatan terbaik ialah Program Rabi' Camp dan KPIPM Cup.

Acara terakhir pada majlis kali ini ialah persembahan nasyid oleh kumpulan al Muhazzirun dan diteruskan lagi dengan persembahan daripada Ahli Jawatankuasa Tadbir sendiri.

Program tamat pada jam 11.35 malam.

Monday, August 17, 2009

Majlis Pengenalan Calon Menyerlahkan Persaingan Sihat


16 OGOS - Ahli Jawatankuasa Khas Pilihanraya KPIPM semalam telah mengumumkan bahawa pada hari ini akan dilangsungkan Majlis Pengenalan Calon, seterusnya menjadi permulaan bagi tempoh berkempen.

Majlis Pengenalan Calon ini telah berlangsung pada jam 9.45 malam dengan dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Ibrahim bin Mansor, Pengarah Ahli Jawatankuasa Khas Pilihanraya KPIPM 2008/2009.

Seramai 12 orang calon telah diperkenalkan, dan masing-masing diberi peluang untuk memperkenalkan diri, menyatakan misi dan visi.

12 calon tersebut ialah, Muhammad Husairi bin Mohamed Wildan, Muhammad Firdaus bin Aznan, Mohd Zahid bin Abu Bakar, Muhd Syazwan bin Khalid, Muhammad Hafiz bin Shamsuddin, Jamaluddin Hafiz bin Abdullah Aisha, Muhd Ridhwan bin Othman, Muhammad Hafizuddin bin Zakariya, Fakhruddin bin Daud, Mohd Aliff Hadi bin Mohd Razi Ibnu Abbas bin Azizuddin dan Mohammad Omar bin Adam.

Ia diselang seli dengan pengenalan calon HEWI yang telah menang tanpa bertanding. Mereka ialah Norzihan binti Mohd Rafidi, Huzaifa binti Hassan, Dzulyalyna binti Ahmad Zahidi, Nurul Aimi binti Muhamad Razi, Nuraimi Jalwati binti Mohd Rani, Noor Shuhada binti Zolkafli, Nur Syuhada binti Hashifuddin, Saidatul Yuhanis binti Dahwani dan Hazila binti Abdul Hamid.

Pengenalan terakhir ialah calon Yang Dipertua yang juga telah menang tanpa bertanding, Muhammad Khairul Asyraf bin Muhd Khir.

Peluang calon memperkenalkan diri ini selesai pada jam 11.20 malam.

Kemudian disambung kembali dengan kempen beberapa penyokong bagi mana-mana individu yang dicalonkan.

Setelah selesai slot ini, AJKKPR mengambil kesempatan menerangkan tentang etika berkempen dan mengundi yang akan diadakan pada 19 Ogos nanti.

Sunday, August 16, 2009

Program Penutup DUAT Menilai Prestasi KPIPM Selama Setahun


KEHERAH, 15 OGOS - Program Pemantapan DUAT (PEMANDU) yang telah diadakan sebanyak 7 siri, akhirnya ditutup pada hari ini. Majlis penutupan DUAT kali ini disifatkan sebagai slot esklusif bersama Yang Dipertua, dan pimpinan KPIPM.

Program kali ini dinamakan sebagai Penjelasan Tentang Isu-Isu KPIPM, dan bertemakan "Santai Bersama Pimpinan".

Majlis bermula pada jam 9.25 malam, dengan dipengerusikan oleh Ustazah Rasyidah binti Arzemi sebagai pemangku Timbalan Pengarah PEMANDU.

Ia dimulakan dengan alunan nasyid asma' al husna dan bacaan ayat-ayat suci al Quran oleh Ustaz Ibnu Abbas bin Azizuddin, johan pertandingan tilawah peringkat PMRAM dalam program EGP '09.

Pada jam 9.40 malam, majlis diserahkan kepada Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil untuk mengendalikan slot.

Panel dalam slot ini ialah Yang Dipertua sendiri, Ketua HEWI Ustazah Nor Azlina binti Idris, Pengerusi Badan Penasihat Ustaz Ahmad Arifin bin Zakariya dan Ustazah Asma binti Mohammad Aziz sebagai pemangku Badan Penasihat.

Di dalam slot ini, ia lebih membincangkan tentang muhasabah sepanjang sesi pemerintahan 08/09, cadangan, pandangan, lontaran idea dan sebagainya. Program diakhiri dengan menikmati jamuan yang disediakan pada jam 11.25 malam.

Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil menyifatkan bahawa pertemuan pada malam ini lebih berbentuk suara hati ke hati, untuk membincangkan masalah-masalah yang boleh diselesaikan bersama dalam KPIPM sendiri.

Beliau mengharapkan agar masalah-masalah yang disuarakan dapat diselesaikan segera dan tidak berulang. Beliau juga mengharapkan agar semua ahli dapat bersama-sama di dalam Mesyuarat Agung Tahunan nanti, dan bersama-sama turun mengundi.

Saturday, August 15, 2009

Program Bakti Siswa 09 Berjalan Lancar


KUALA KANGSAR, 14 OGOS - Program Bakti Siswa al Azhar yang sekian lama telah dirancang, akhirnya terlaksana juga. Program dijalankan pada 31 Julai sehingga 2 Ogos bertempat di Dewan Orang Ramai, Sayong, Kuala Kangsar, Perak.

Program ini bertujuan memberi pendedahan awal bagi persediaan mereka yang bakal menyambungkan pelajaran ke Mesir. Program PBSA kali ini telah diketuai oleh Ustaz Abdul Hadi bin Abdul Rahman, Setiausaha Agung KPIPM, sebagai pengarah program.

Program yang disertai seramai 56 orang, 37 orang ikhwah, dan 19 orang akhawat, telah bermula dengan pendaftaran pada Hari Jumaat, 31 Julai, pada jam 4.30 petang.

Pada sebelah malamnya, telah diadakan majlis perasmian. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ustaz Shu'ib bin Din, Mantan kepimpinan KPIPM.

Pada keesokan harinya, selepas selesai tazkirah, peserta dihidangkan dengan slot pengenalan tentang KPIPM pada jam 8 pagi. Ahli panel yang terlibat dalam slot ini ialah, Ustaz Hadi bin Abdul Rahman sebagai Setiausaha Agung KPIPM, Ustazah Nurul Afifah binti Syed Ahmad Shah sebagai Anggota Badan Penasihat KPIPM, dan Ustazah Azura binti Rahim sebagai pengerusi majlis.

Pada jam 10 pagi, peserta dihidangkan pula dengan slot pengenalan Universiti al Azhar. Panel yang terlibat dalam slot ini ialah Ustaz Hadi bin Abdul Rahman sebagai Panel Kuliah Syariah, Ustazah Syahidatul Akmal binti Dahalan sebagai Panel Kuliah Usuluddin, dan Ustazah Nurul Ain binti Yaacob sebagai panel Kuliah Bahasa.

Pada jam 11 pagi pula, telah diadakan ceramah motivasi yang bertajuk "al Azhar Digeruni dan Menggerunkan". Ceramah disampaikan oleh Ustaz Sofiuddin bin Ahmad Farid, Sarjana Muda Universiti al Azhar.

Program diteruskan lagi dengan slot ceramah umum pada jam 3 petang, dengan tajuk "Persediaan Pelajar Ke Mesir Dari Segi Mental dan Fizikal" yang disampaikan oleh Ustaz Salehuddin bin Ahmad Zabidi.

Pada sebelah malamnya, penceramah yang sama telah memberi pengisian pula tentang "Mesir dan Suasana", pada jam 8 malam.

Pada hari yang terakhir, seawal pagi lagi peserta dihidangkan dengan "Slot Madu Tiga" pada jam 8 pagi. Panel jemputan pada slot kali ini ialah, Ustaz Nabil, Ustazah Suzana binti Ali, dan Ustazah Nasuha. Ketiga-tiga mereka adalah Sarjana Muda, Universiti al Azhar.

Pada jam 2 petang, tirai program semakin berlabuh. Program Perasmian Penutup telah berlangsung dengan dirasmikan oleh Ustazah Nurul Afifah binti Syed Ahmad Shah, Anggota Badan Penasihat KPIPM.

Pengarah program, Ustaz Abdul Hadi bin Abdul Rahman memberitahu bahawa program secara keseluruhannya berjalan lancar dan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta amat memberansangkan.

Mengulas tentang usaha pelaksanaan program ini, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil, Yang Dipertua, mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Adhoc dan AJK yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Tidak dilupakan juga kepada mereka yang telah memberi sumbangan dan bantuan dalam pelaksanaan program ini.

Wednesday, August 12, 2009

Ingatlah, insafilah

Peringatan Besar buat Kaum Wanita

Dipetik dari Kitab Muhimmah karangan Sheikh Abdullah bin Abdul Rahim Fathoni 1384 Hijrah(mafhumnya)

Diceritakan oleh Sayyidina Ali RA;
Pada suatu hari aku masuk ke dalam rumah Nabi SAW. Dan bersamaku isteriku, Siti Fatimah RA. Maka apabila aku dekat dengan pintu, Nabi SAW bersabda:

"Siapa yang dipintu itu?"

Maka sahut Siti Fatimah:
"Kami dengan suami kami, Ali. Hamba datang untuk menghadap engkau ya Rasulullah".

Maka tatkala Rasulullah membuka pintu, tiba-tiba kami dapati Nabi dalam keadaannya menangis, sungguh-sungguh menangis. Maka kataku(Sayyidina Ali RA.) baginya:

"Penebusmu adalah aku, engkaulah bapaku dan ibuku Ya, Rasulullah. Apakah yang menyebabkan engkau menangis?"

Maka sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya aku telah lihat pada malam mikraj, beberapa perempuan di kalangan umatku di dalam seksa yang amat sangat. Disebabkan sangat salahnya pekerjaan mereka itu. Kerana itulah yang menyebabkan aku menangis melihatkan keadaan mereka yang diseksa".

Berkata Sayyidina Ali RA :

"Ya, Rasulullah, bagaimanakah engkau lihat keadaan mereka itu?

"Maka sabda Rasulullah SAW:

"Aku melihat seorang perempuan yang digantung dengan lidahnya dan api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya,

Aku melihat seorang perempuan yang digantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dengan dua kakinya dalam keadaan terikat lagi terlipat dan telah mengeluarkan segala malaikat yang menyiksa itu dengan dua tangannya daripada pihak belakang lalu dilumurkan minyak tanah pada badannya dan dituangkan air panas ke dalam lehernya,

Aku melihat seorang perempuan yang digantung dengan dua susunya dan buah zaqqum itu dituangkan masuk ke dalam lehernya. (Buah zaqqum itu adalah buah kayu di dalam neraka yang amat pahit dan apabila ahlii neraka yang memakannya, nescaya menggelegak (mendidih) segala isi perut mereka, otak dan gusi mereka dan keluar lidah apinya daripada mulut mereka),

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dalam keadaan dia memakan dagingnya sendiri sedangkan api neraka dinyala-nyalakan dibawahnya,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dan sekalian malaikat menambat dua kakinya kepada dua susunya dan kemudian ditambatkan pula dua susunya kepada ubun-ubunnya dan dijadikan diatas badannya ada beberapa ekor ular dan kala yang mana ular dan kala itu akan memakan daging dan meminum darahnya,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dalam keadaannya buta, tuli dan kelu. Di dalam kerongkongnya ada api neraka yang menyebabkan keluar otak daripada kepalanya lalu mengalir pula ke dalam hidungnya.Disebabkan itu badannya berbau teramat busuk dan dia menggelupur seperti terkena penyakit yang dahsyat,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dalam keadaan dipotong segala daging di setiap anggota badannya dengan menggunakan gunting api neraka,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dalam keadaan hitam mukanya dan dua susunya dan api memakan isi perutnya,

Aku melihat seorang perempuan yang digantung kepalanya seperti kepala babi dan tubuhnya seperti tubuh keldai dan di atasnya itu beribu-ribu warna daripada azab,

Aku melihat pula seorang perempuan berupa anjing dan api neraka masuk daripada bawah duburnya dan keluar api daripada mulutnya dan sekalian malaikat memukul kepala dan badan mereka dengan pemukul api neraka.

Mendengarkan kisah itu, berdirilah Siti Fatimah RA disisi Nabi SAW lalu berkata:

"Hai kekasihku dan cahaya mataku, khabarkan kepadaku apakah dosa-dosa mereka itu sehingga mereka diseksa sedemikian rupa?"

Nabi SAWbersabda:

"Perempuan yang digantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya; ini adalah seksaan bagi perempuan yang tidak mahu menutup rambutnya didepan lelaki yang haram memandangnya,

Perempuan yang digantung dengan lidah dan api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya;ini adalah seksaan bagi perempuan yang menyakiti hati suaminya.

Perempuan yang digantung dengan dua susunya dan buah zaqqum dituangkan ke dalam lehernya; ini adalah seksaan bagi perempuan yang memberikan air susunya kepada bayi lain tanpa izin suaminya.

Perempuan yang yang digantung dengan dua kakinya dan di dalam kerongkongnya api nereka; ini adalah seksaan bagi perempuan yang keluar rumah tanpa izin suaminya.

Perempuan yang digantung dalam keadaan dia memakan dagingnya sendiri sedangkan api neraka dinyala-nyalakan di bawahnya; ini adalah seksaan bagi perempuan yang memperhiaskan dirinya didepan orang lain bukan didepan suaminya.

Perempuan yang digantung, sekalian malaikat menambat dua kakinya kepada dua susunya dan ditambat pula dua susunya kepada ubun-ubunnya,dijadikan atas badannya beberapa ekor ular dan kala yang mana ular dan kala itu akan memakan daging dan meminum darahnya; ini adalah seksaan bagi mereka yang tidak mahu bersuci daripada mandi junub, haid dan nifas dan bagi mereka yang meringan-ringan sembahyang.

Perempuan yang digantung dalam keadaan buta, tuli dan kelu. Dan di dalam kerongkongnya ada api neraka;ini adalah seksaan bagi perempuan yang berzina sehingga mendapat anak lalu mengatakan bahawa anak itu adalah anak suaminya.

Perempuan yang digantung kepalanya seperti kepala babi dan tubuhnya seperti tubuh keldai;ini adalah seksaan bagi perempuan yang suka mengadu domba/batu api) dan banyak berdusta.

Perempuan yang berupa anjing, api masuk ke dalam mulutnya dan keluar dari duburnya; ini adalah seksaan bagi perempuan yang suka mengungkit-ungkit pemberian dan pertolongannya kepada orang lain dan juga bagi mereka yang suka dengki- mendengki.


~Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah kami mohon perlindungan-Mu dari segala azab yang memedihkan. Berikanlah taufiq dan hidayah-Mu. Amin Ya Rabb...

Saturday, August 8, 2009

Majlis Ramah Mesra Bersama Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah


ISKANDARIAH, 7 OGOS - Rombongan Delegasi Kerajaan Negeri Perak yang tiba pada 5 Ogos lalu, meneruskan perjalan ke Iskandariah. Kali ini, KPIPM mendapatkan keizinan PMRAM untuk menggunakan Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah untuk mengadakan Majlis Ramah Mesra.

PMRAM sebagai tuan rumah, mengalu-alukan kedatangan tetamu Malaysia, tanpa mengira parti politik.

Rombongan Delegasi tiba di Iskandariah pada 6 Ogos, jam 6.30 petang. Pada hari ini, Rombongan Delegasi telah menemui mahasiswi Iskandariah sepertimana yang telah diaturkan sebelum ini.

Pada jam 9.30 pagi, Rombongan Delegasi tiba di perkarangan Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah dengan diiringi oleh Yang Dipertua, dan Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, Ustaz Abdul Mu'izz bin Mohamad.

Majlis ramah mesra dimulakan pada jam 9.43 pagi dengan bacaan ayat-ayat suci al Quran oleh Dato' Kapten (B) Najimuddin bin Elias al Hafiz, dan majlis taaruf yang turut dikendalikan oleh beliau.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil.

Kemudian disusuli oleh ucapan Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, Ustaz Abdul Mu'izz bin Mohamad, sebagai tuan rumah.

Majlis diteruskan lagi dengan amanat yang disampaikan oleh Tan Sri Dato Seri Haji Harussani bin Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Seterusnya ucapan ramah mesra yang disampaikan oleh Dato' Dr Abdul Rahman bin Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian cenderahati daripada PMRAM dan JPMK kepada tetamu, dan sumbangan daripada kerajaan negeri.

Selesai majlis ramah mesra, para tetamu dan ahli DPMI menjamu selera. Majlis tamat pada jam 12.15 tengahari.

Proses Perpindahan Selesai Sepenuhnya


KAHERAH, 7 OGOS - Setelah perasmian rumah perak berlangsung pada 5 Ogos, semua ahli bertungkus lumus menyambung semula aktiviti pemindahan yang terpaksa ditangguhkan beberapa kali. Ini disebabkan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Pada hari ini, semua perpindahan telah berjaya disempurnakan. Kesemua barang dan keperluan telah dipindahkan, dan ahli mula mendiami rumah perak secara sepenuhnya.

Susunan ahli di bilik-bilik telah ditentukan sebelum ini, dan telah dimaklumkan melalui beberapa saluran promosi. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

Thursday, August 6, 2009

Kemeriahan Di Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Baitur Ridhwan


KAHERAH, 5 OGOS - Majlis Perasmian Baitur Ridhwan bermula pada jam 6 petang dengan ketibaan para dif kehormat, yang baru sahaja merasmikan Baitur Rahmah.

Para tetamu disambut dengan persembahan Tradisional Arab yang sangat menarik.

Majlis Perasmian pada kali ini telah dipengerusikan oleh Ustaz Muhammad Hafizul Akhbar bin Abd Rahman.

Majlis telah dimulakan dengan nasyid Asma'ul Husna dan Bacaan ayat-ayat suci al Quran oleh Qari Mesir jemputan.

Kemudian ia dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil.

Kemudian, disusuli pula dengan ucapan oleh Ustaz Abdul Mu'izz bin Mohammad, Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, sebagai wakil kepada semua mahasiswa/wi di seluruh Mesir.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Perasmian Rumah Perak Baitur Ridhwan oleh Dato Dr Abdul Rahman bin Hashim selaku Setiausaha Kerajaan Negeri. Majlis Ramah Mesra yang ditangguhkan sebentar tadi, disambung selepas ucapan perasmian ini.

Gimik perasmian telah disempurnakan oleh Tan Sri Dato Seri Haji Harussani bin Zakaria, Mufti Negeri Perak. Upacara penyerahan kunci telah dilaksanakan dengan penyerahan daripada Mr Khaled Awny al Attal kepada Tan Sri Dato Seri Haji Harussani bin Zakaria, kemudian diserahkan kepada Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil.

Majlis diteruskan lagi dengan agenda menandatangani Surat Perjanjian. Majlis Menandatangani Baitur Ridhwan telah disempurnakan oleh Mr Khaled Awny al Attal, Dato' Syeikh Muhd Nor Mansur al Hafiz selaku Setiausaha MAIAMPk, dan Dato Ir Dr Safry Kamal bin Haji Ahmad selaku Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak.

Setelah selesai majlis menandatangi dokumen perjanjian, majlis diceriakan lagi dengan lawatan para tetamu melihat Rumah Perak (Baitur Ridhwan). Kemudian majlis disudahi dengan majlis menjamu selera bersama semua ahli.

Majlis tamat pada jam 8.50 malam.

Majlis Perasmian Baitur Rahmah Ceria


KAHERAH, 5 OGOS - Ketibaan rombongan delegasi kerajaan Negeri Perak pada pagi hari ini, telah diceriakan dengan Majlis Ramah Mesra yang diadakan pada jam 3.20 petang.

Program Delegasi diteruskan lagi pada petang itu dengan Majlis Perasmian dan Penyerahan Rumah Perak Lama. Rumah Perak Lama (Wisma Darul Ridzuan) telah diberi nama Baitur Rahmah.

Pada jam 5.40 petang, ucapacara gunting reben telah disempurnakan oleh Dato Dr Abdul Rahman bin Hashim selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Majlis tersebut disambung dengan lawatan melihat bangunan keseluruhannya.

Pada jam 6 petang, Rombongan Delegasi meneruskan aktiviti dengan perasmian Rumah Perak baru yang dinamakan sebagai Baitur Ridhwan.

Majlis Ramah Mesra Bersama Rombongan Delegasi Kerajaan Negeri Perak


KAHERAH, 5 OGOS - Ketibaan Rombongan Delegasi Kerajaan Negeri Perak yang diketuai oleh Dato Dr Abdul Rahman bin Hashim pada pagi tadi jam 7.20 telah disambung dengan beberapa aktiviti.

Setelah ketibaan rombongan yang disambut oleh wakil daripada KPIPM sendiri, para delegasi menjamu selera di Asrama Rumah Melayu Abbasiah.

Kemudian, pada jam 3 petang, telah diadakan Ramah Mesra sepertimana yang telah dirancang. Ramah Mesra tersebut juga diadakan di ARMA.

Majlis Ramah mesra tresebut telah dipengerusikan oleh Ustazah Nurhajar Nefeah binti Zuber. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al Quran oleh Yang Berhormat, Dato Kapten (B) Najimuddin bin Elias al Hafiz, dan majlis taaruf yang dikendalikan oleh beliau.

Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan oleh Prof Dr Jamil bin Hashim, selaku Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.

Kemudian ia diteruskan lagi ucapan Dato Syeikh Muhd Nor Mansur al Hafiz, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

Majlis diteruskan lagi dengan amanat yang disampaikan oleh Tan Sri Dato Seri Haji Harussani bin Zakaria, Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan.

Sesi soal jawab terpaksa ditangguhkan ke Majlis Perasmian Rumah Perak selepas itu. Di dalam majlis ini, KPIPM telah menerima sumbangan sebanyak RM 10,000 sebagai tabung kebajikan persatuan daripada kerajaan Negeri, USD 5000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak sebagai kewangan peruntukan program, dan USD 1500 sebagai sumbangan khas daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak.

Majlis yang dimulakan pada jam 3.20 petang itu, berakhir pada jam 5 petang. Majlis diteruskan lagi dengan menjamu selera.

Tuesday, August 4, 2009

Prosess Pemindahan Hampir Selesai


KAHERAH, 3 OGOS - Proses perpindahan yang bermula sejak 28 Julai lagi, dilihat semakin selesai sedikit demi sedikit. Semalam, 2 Julai, proses perpindahan bersambung semula setelah ia ditangguhkan selama sehari untuk proses pembungkusan.

Semalam, proses perpindahan bermula pada jam 12.14 tengahari. Hampir kesemua barang telah dipindahkan. Pada jam 2.50 petang, proses perpindahan telah selesai, dan akan disambung pada keesokan harinya. Semua yang terlibat menjamu selera selepas itu.

Pada hari ini, proses disambung semula pada jam 1.30 petang. Kesemua barang telah dipindahkan kesemuanya, dan masih berbaki barang-barang yang akan ditinggalkan. Proses selesai pada jam 4 petang.

Pada jam 5.35 petang, sebuah lori tiba dengan membawa tilam untuk dipasang. Namun, pada malam itu, Wisma Darul Ridzuan masih belum siap kelengkapannya sepenuhnya.

Pada hari ini juga, ahli terpaksa mendiami rumah sementara buat kali terakhir, dalam keadaan serba keperluan. Insya Allah, perpindahan sepenuhnya akan berjalan pada esok hari.

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...