Sunday, July 28, 2013

Titik Tolak Perang Badar

Perang Badar merupakan peperangan pertama yang dilalui oleh umat Islam. Ia bepunca daripada sekatan ekonomi dan rampasan harta penduduk Islam di Mekah. Pada mulanya kaum Muslimin hanya keluar untuk menyekat kemaraan rombongan Abu Sufian dan merampas barang dagangan milik penduduk Islam dari kafilah tersebut, akan tetapi kehendak Allah s.w.t berjalan bertentangan dengan kehendak mereka di mana Allah s.w.t.telah mempertemukan mereka dengan rombongan tentera Abu Jahal maka berlakulah satu pertempuran yang dahsyat. 

Allah s.w.t  telah  merakamkan di dalam al-Quran :
Maksudnya : “ Supaya Allah s.w.t menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik).”

Sesungguhnya perang Badar yang bermula dan berakhir dengan pentadbiran Allah s.w.t  serta kepimpinan dan anjuranya itu merupakan pemisah di antara kebenaran dan kebatilan. Mengikut apa yang dikatakan oleh ulama’-ulama’ tafsir secara ringkasnya bahawa pemisahan (al-furqan) bermaksud lebih komprehensif, menyentuh hati, luas dan mendalam. 

Lembaran al-Quran ada menukilkan :
Maksudnya :  “ … jika kamu beriman kepada Allah s.w.t dan kepada apa yang diturunkan oleh kami (Allah) kepada hamba kami (Muhammad) pada hari “al-furqan”, iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan Kafir di medan Perang Badar)…”

As-Syahid Sayyid Qutub menjelaskan kepada kita tentang makna pemisahan dalam perang Badar. Perang Badar merupakan pemisah kepada dua gambaran memungkinkan, kemenangan dan kekalahan. Meskipun, kemenangan secara zahirnya masih tergambar kepada kaum Musyrikin dan kekalahan secara batiniah masih tergambar kepada kaum Muslimin sehingga ada golongan Munafik berkata, “ Orang-orang Muslimin telah ditipu oleh agama mereka sendiri”. Namun hakikatnya Allah s.w.t sengaja menghendaki kaum Musyrikin lebih ramai berbanding kaum Muslimin. Ini bertujuan untuk membezakan di antara yang kalah dan yang menang tanpa melihat kepada kekuatan mereka sendiri. Allah s.w.t  juga menyedarkan kaum Muslimin bahawa kekuatan sebenar terletak pada aqidah yang kukuh, dan bukan pada tentera atau canggihnya senjata semata-mata.

 Perang Badar juga merupakan pemisah antara dua era di dalam sejarah kemanusiaan. Manusia keseluruhannya sebelum muncul perundangan Islam adalah sangat berbeza berbanding selepas terlaksananya sebuah perundangan Islam. Dengan sifatnya tersendiri, ia memberi lembaran baru bagi kehidupan manusia, manhaj baru bagi kewujudan insani, sistem baru dalam sesebuah masyarakat serta pengisytiharan umum bagi kebebasan manusia di atas muka bumi berlandaskan ketetapan ketuhanan semata-mata disamping mengenepikan kuasa taghut yang mencabul keagungan Tuhan dan kekuasan-Nya. Islam tidak akan mampu berterusan dengan akidah penganut-penganutnya yang hanya zahir di celah-celah slogan penghambaan diri kepada Allah s.w.t semata-mata dan hanya zahir di dalam akhlak kewibawaan sesama mereka. Islam tidak mungkin bertahan tanpa bangun menuju ke arah pembentukan sebuah lembaran baru, manhaj baru, kerajaan baru dan masyarakat baru di dalam realiti sebuah kehidupan akan tetapi Islam juga dengan sifatnya yang tersendiri telah menghakis segala halangan materialisme yang mengekang kehidupan umat Islam di dalam proses melaksanakan ajarannya dan seterusnya melangkah ke arah pembentukan kehidupan manusia sejagat. Sesungguhnya pembelajaran secara langsung ini datang daripada Allah s.w.t.

Kebanyakan golongan Zionis yang datang dari Barat untuk memerangi Islam serta memusnahkannya turut terpengaruh dengan nilai-nilai murni yang terdapat di dalam masyarakat Islam. Seterusnya mereka kembali ke negara mereka untuk memusnahkan undang-undang diktator yang terdapat di negara mereka selepas mereka menyaksikan saki baki perundangan masyarakat Islam. Seperti mana yang kita ketahui, golongan Tatar yang datang dari Timur untuk memerangi Islam serta memusnahkannya turut sama terpengaruh dengan aqidah Islam pada akhirnya. Mereka membawa dan menyebarkannya di serata dunia dan menegakkannya di bawah sebuah pemerintahan bermula dari kurun ke lima belas hingga kurun  ke dua puluh di tengah-tengah bumi Eropah. Walau bagaimanapun, sejarah manusia bermula dari ekspidisi Badar telah terpengaruh dengan pemisahan ini.

Perang Badar jika kita lihat dari sudut kesannya adalah merupakan fenomena alam yang telah dirayakan oleh semua makhluk Allah s.w.t  termasuk jin dan malaikat. Manakala di atas pentas dunia pula, disebutkan bahawa surah ar-Rum ketika diturunkan ke atas baginda seolah-olah merealisasikan harapan ribuan kaum Muslimin Mekah untuk melihat bangsa Rom yang terdiri dari golongan ahli kitab dapat mengalahkan bangsa Parsi yang terdiri daripada golongan penyembah berhala. Dua negara ini merupakan pemegang paksi dunia ketika itu. Kaum Muslimin dan kaum Musyrikin merupakan kekuatan sejarah dan pelbagai fenomenanya telah memaparkan peristiwa dramatik yang besar di pentas dunia yang patut dijadikan contoh pelajaran bagi gerakan Islam pada hari ini. 

Inilah isyarat kepada hakikat ketentuan yang besar, di mana hak mahupun batil tidak akan terlaksana jika hanya berdasarkan teori, ia perlu bersifat realiti di mana kebatilan perlu dihapuskan dan kebenaran di angkat tinggi dengan tangan umat Islam sendiri. Bukan sekadar bercakap, berdebat ataupun berdialog kosong tanpa bergerak ke arah itu. 

Kebenaran tidak akan tertegak selagi kebatilan tidak dikalahkan dengan kuasa Islam. Itulah agama yang bermanhajkan gerakan yang nyata bukan sekadar kepercayaan untuk mencapai pengertian atau untuk bahan berdebat mahupun untuk kepercayaan negatif. 


Justeru itu, semua kejadian di atas merupakan titik pemisah di antara sifat manhaj Islam itu sendiri. Tabiat dan hakikat sistem ini terserlah apabila dipamerkan oleh keperibadian umat Islam tersebut. Kini fenomena perbezaan (al-furqan) itu akan selalu kita saksikan dikala keberadaan Islam dalam mengalami detik-detik cemas. Hal ini sangat jelas jika pemahaman kaum Muslimin terhadap agamanya bersifat padu dalam keadaan semasa, sehingga pemahaman kaum Muslimin ini dipengaruhi oleh jiwa-jiwa para pendakwah. Itulah fenomena perang Badar merupakan petunjuk-petunjuk yang begitu menyentuh lubuk hati. Sesungguhnya Allah s.w.t  jualah yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. 


Friday, July 26, 2013

MAK ’13: “Suara Disepakati, Kepimpinan Berintegriti”



Kaherah, 24 Julai 2013 – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir baru-baru ini telah mengadakan sebuah mesyuarat agung khas tergempar bagi membincangkan hala tuju KPIPM pada masa akan datang. Perbincangan yang bertujuan utama untuk meminda perlembagaan KPIPM itu dihadiri seramai 103 orang ahli KPIPM yang terdiri daripada 53 orang ikhwah dan 50 orang akhawat.

Mesyuarat Agung Khas 2013 dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Muhammad Hanif Bin Abdullah. Di dalam ucapan tersebut, beliau telah mengulas serba sedikit berkenaan dengan objektif pelaksanaan mesyuarat tersebut diadakan. Seusai sahaja ucapan tersebut, sidang mesyuarat melantik beberapa pelaksana mesyuarat yang terdiri daripada pengerusi sidang, setiausaha sidang dan pengira undi.

Sidang perbahasan dibahagikan kepada empat slot iaitu slot perkara yang dipinda, slot perkara yang ditambah, slot perkara yang dibuang dan slot perkara yang ditambah selepas dibuang. Ahli mesyuarat saling bertukar-tukar pandangan dan memberi komitmen yang baik sepanjang mesuarat tersebut dijalankan. Akhirnya seluruh ahli mesyuarat sebulat suara bersetuju akan kesemua usul pindaan perlembagaan.

Sidang perbahasan yang mengambil masa kira-kira 5 jam itu diakhiri dengan ucapan penggulungan daripada Ustaz Ibnu Abbas Bin Azizuddin selaku anggota Badan Penasihat KPIPM bagi sesi ini. Di dalam ucapan penggulungan tersebut, beliau telah mengulas serba sedikit resolusi mesyuarat yang telah disepakati oleh ahli KPIPM.

“Keputusan yang telah diputuskan oleh ahli KPIPM di dalam mesyuarat ini perlu disandang bersama bagi menentukan hala tuju KPIPM yang lebih baik.” Ulas beliau di dalam ucapan penggulungan. Mesyuarat Agung Khas KPIPM 2013 disudahi dengan bacaan doa rabithah yang diketuai oleh Ustaz Ahmad Shazwan Bin Khalid selaku Pengerusi Badan Penasihat KPIPM bagi sesi ini.

“Suara Disepakati, Kepimpinan Berintegriti”

“Berilmu, Beramal, Ikhlas”
“Memartabat Keilmuan, Memimpin Kesatuan”

Wednesday, July 17, 2013

KENYATAAN RASMI YANG DIPERTUA KELUARGA PELAJAR PELAJAR ISLAM PERAK MESIR KPIPM : Mesyuarat Agung Khas (Tergempar ) ( MAK ’13 )

Mesyuarat Agung Khas (Tergempar ) ( MAK ’13 )

Mesyuarat adalah salah satu perkara sunnah yang dianjurkan oleh Baginda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam. Sepertimana dalam sirah perang Rasulullah, iaitu Perang Uhud. Rasulullah juga telah mengadakan mesyuarat tergempar bersama majlis tertinggi Baginda untuk membincangkan strategi di dalam perang tersebut. Akhirnya,mendapat persetujuan semua untuk mengadakan pertempuran di luar Madinah, iaitu Uhud.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala :

وشاورهم فى الأمر فا ذا عزمت فتوكل على الله ان الله يحب المتوكلين

“ Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.”

(Surah Ali Imran : 159)

Seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan KPIPM Pindaan 2012, Bahagian Keempat, Perkara 16 di dalam muka surat 7, telah menyatakan ‘Mesyuarat Agung Khas (Tergempar) boleh diadakan pada masa-masa yang diperlukan dengan tujuan untuk meminda perlembagaan KPIPM atau membubarkannya atau memecat mana-mana AJKT atau sebab-sebab lain yang diputuskan oleh AJKT KPIPM.

Sehubungan dengan itu, setelah mana peringkat pimpinan KPIPM melakukan penelitian dan kajian terhadap Perlembagaan KPIPM, beberapa perkara perlu dipinda atas sebab-sebab tertentu dan telah bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas ( MAK’13 ). Antara sebab konkrit terhadap keputusan ni adalah kerana berlakunya perubahan polisi di peringkat pengurusan MAJLIS AGAMA ISLAM PERAK MAIPk yang melibatkan kerjasama antara persatuan dan pegawai HEP. Hal ini menyebabkan keperluan untuk meminda perlembagaan KPIPM bagi menyelaraskan beberapa perkara di dalam perlembagaan KPIPM.

Justeru itu, sama-samalah kita bersatu bagi membincangkan perkara ini agar mendapat satu titik persefahaman sekaligus bagi melangsungkan survival KPIPM itu sendiri. Sesungguhnya, sesuatu keputusan yang dibuat hasil daripada perbincangan dan mesyuarat terselit 1001 hikmah dan keberkatan di sebaliknya. Oleh itu,sama-sama kita doakan agar kita semua mendapat keberkatan dan rahmat Ilahi terutamanya pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Saya selaku Yang Dipertua menyeru seluruh ahli KPIPM yang berada di Bumi Mesir ini agar dapat memberikan kerjasama sebaiknya bagi menjayakan MAK’13 yang bakal berlangsung dalam masa yang terdekat. Sebarang makluman berkenaan MAK’13 akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui media penerangan KPIPM.

‘’Ramadhan Memacu Bahtera Tarbiah”

BERILMU BERAMAL IKHLAS

Yang Menjalankan Tugas,
MUHAMMAD HANIF BIN ABDULLAH
Yang Dipertua,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir

Tuesday, July 9, 2013

MAKLUMAN PEMANGKUAN JAWATAN AJK HEWI & BADAN PENASIHAT KPIPM 2012/2013 YANG PULANG KE MALAYSIA


Bismillahirrahmanirrahim..

Berikutan kepulangan anggota Badan Penasihat dan beberapa orang Ahli Jawatankuasa HEWI KPIPM sesi 2012/2013 ke Malaysia, dengan ini dimaklumkan bahawa pemangkuan jawatan  adalah seperti berikut :-

1) Penyandang
     MOHAMMAD OMAR BIN ADAM
     (PENGERUSI PENASIHAT)

 dipangku oleh               
AHMAD SHAZWAN BIN KHALID
(AHLI JAWATANKUASA BADAN PENASIHAT)

2) Penyandang 
SITI MUSFIRAH BINTI SHAHARI @ HJ ABDULLAH
(KETUA BIRO PERHUBUNGAN, SAMBUTAN & REHLAH HEWI)

dipangku oleh
SITI NABILAH BINTI ZAKARIA
(KETUA BIRO PERUMAHAN HEWI)

3) Penyandang
     NORHAMIZA BINTI MAJID
     (KETUA BIRO TABUNG KEBAJIKAN, KESENIAN & RIADHAH HEWI)

 dipangku oleh
NOR ATIQAH BINTI HAMDAN
(SETIAUSAHA HEWI)



Semoga dengan makluman ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada semua pihak bagi melancarkan lagi agenda dan gerak kerja kita bersama.

" MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN "

" BERILMU BERAMAL IKHLAS”

Sekian, harap maklum.

Disediakan oleh,
MOHAMMAD AINUDDIN BIN MOHD ISHAK
(Setiausaha Agung
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
Sesi 2013

Sunday, July 7, 2013

Daurah Ilmiah Musim Panas: Penerapan Thaqafah Kebajikan Ahli

KAHERAH, 30 Jun 2013 – Biro Pelajaran dan Ilmiah Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2012/2013 telah menganjurkan sebuah program ilmiah bersempena cuti musim panas. Program yang diberi nama ‘Daurah Ilmiah’ ini telah diadakan selama 2 hari bermula pada 30 Jun dan 1 Julai 2013 dengan bertujuan meningkatkan thaqafah ahli KPIPM yang baru sahaja selesai menjalani peperiksaan fasa 2 baru-baru ini. Pelbagai pengisian yang menarik telah disajikan sepanjang program berlangsung.

Pada jam 10.00 pagi, Dewan Baru Wisma Darul Ridzuan B telah dipenuhi oleh para hadirin yang terdiri daripada seluruh mahasiswa di Mesir. Sambil menunggu kedatangan pengisi, hadirin disajikan dengan alunan qasidah. Majlis bermula tepat jam 11.00 pagi.

Tirai Daurah Ilmiah dibuka dengan diskusi kitab Fathul Mu’in oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Nazrul bin Abd Nasir Al-Azhari. Pada hari pertama, beliau menyentuh hadis pertama sehingga hadis tiga belas yang menceritakan tentang kelebihan golongan yang mempelajari al-Quran, ibadah-ibadah umum dan khusus seperti yang ditekankan ialah solat berjemaah dan ditunaikan pada awal waktu serta beberapa sifat mahmudah.
            
Pada hari kedua, Daurah Ilmiah diteruskan lagi dengan sambungan hadis empat belas sehingga hadis empat puluh. Ringkasnya, hadis-hadis ini menerangkan tentang ibadah puasa,  haji dan umrah, muamalat serta jihad.



Sesungguhnya, kesempatan berada di dalam majlis ilmu ini diharapkan dapat memberikan impak yang berkesan kepada para hadirin di samping menambahkan lagi thaqafah seterusnya, dipraktikkan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian. Perumpamaan orang yang mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkannya,dalam matan Zubad ditulis :


“Orang yang berilmu tetapi tidak beramal akan diseksa terlebih dahulu daripada penyembah berhala.”

Monday, July 1, 2013

Journey ’13: "Jauh Perjalanan, Teguh Keimanan"

Kaherah, 23 Jun 2013- Seusai sahaja imtihan fasa kedua ini, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir di bawah Biro Perhubungan Sambutan Dan Rehlah telah mengadakan rehlah ke Matruh dan Siwa. Program kembara yang disertai seramai 32 orang ahli ini dinamakan sebagai JOURNEY ’13. Para peserta program bertolak dari Kaherah pada pukul 12.00 malam.

Pada hari pertama, Isnin, 24 Jun 2013 rombongan kembara tiba di tempat penginapan pada jam 9.00 pagi terus dengan aktiviti mandi laut sebelum menjamu selera untuk sarapan pagi. Setelah itu, program diteruskan lagi dengan aktiviti lawatan ke pantai Ajiebah, Hamam Cleopatra serta membeli belah di Pasar Libya. Sepanjang perjalanan, musyrif penerangan iaitu ustaz Ahmad Hasni bin Shuhaibi telah memberikan penerangan yang jelas mengenai tempat-tempat yang dilawati disamping memberikan pengisian rohani untuk para peserta.


Seterusnya pada hari kedua, Selasa, 25 Jun 2013, program meneruskan pengembaraan ke destinasi seterusnya iaitu Siwa. Sepanjang perjalanan yang mengambil masa selama 3 jam, para peserta diisi dengan pengisian rohani serta tazkirah spontan oleh para peserta. Setelah sampai di daerah Siwa, peserta dibawa melawat Jabal Mauta, Siwa Qadim, Istana Zulqarnain dan berkelah di Kolam Cleopatra. Setelah solat berjemaah, para peserta dibawa untuk membeli belah di daerah Siwa dan setelah itu juga, rombongan  kembali semula ke Matruh.



Pada hari ketiga, Rabu, 26 Jun 2013, seusai solat subuh dan sarapan pagi , peserta rombongan bersiap sedia untuk check-out dari tempat penginapan dan bertolak ke Pantai Qubaid untuk bermandi manda serta makan tengah hari. Setelah solat berjemaah, rombongan JOURNEY ’13 bersiap sedia untuk kembali ke Kaherah.

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...