Monday, December 23, 2013

Itu Bukan Jalan Dakwah

سم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد

Perjalanan sebagai seorang naqib atau naqibah merupakan suatu jalan yang cukup mencabar serta betul-betul menguji ketahanan diri. Seringkali kita sebagai nuqaba' atau naqibat mengharapkan kalau boleh setiap hari, jam bahkan detik, hidup ini sentiasa dalam keadaan yang menyoronokkan dan menggembirakan hati. Apa yang saya maksudkan disini ialah hidup sebagai seorang yang senang, tiada yang marah, semua orang suka, selalu dipuji, selalu dirai, selalu disapa, selalu dihargai dan sebagainya.

Tapi, percayalah wahai nuqaba' dan naqibat sekalian, sebenarnya jalan yang kita pilih bukanlah jalan yang mempunyai sifat-sifat yang sedemikian. Jalan yang kita pilih adalah jalan dakwah dan tarbiyah iaitu jalan yang pasti tidak ramai yang akan melaluinya.

Firman Allah SWT dalam Al-Taubah ayat 42 :

"Sekiranya apa yang kamu seru kepada mereka mempunyai keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya pasti mereka akan mengikutimu, tetapi apa yang kamu seru ini adalah sangat jauh dan terdapat duri kesusahan".

Kadang-kadang hidup kita akan diuji dengan Istiqamah. Itulah ujian yang selalu saya rasai sejak ditaklifkan menjadi naqib membawa usrah sejak daripada tingkatan dua lagi.

Bukan senang untuk istiqamah dalam jalan dakwah. Saya akan senaraikan sebahagian istiqamah yang perlu ketika membawa dakwah dan usrah.

1) Istiqamah untuk menjalankan usrah setiap minggu.
2) Istiqamah untuk mengenali anak usrah.
3) Istiqamah dengan manhaj usrah yang kita sampaikan.
4) Istiqamah dengan mengamalkan ilmu yang dipelajari.
5) Istiqamah dengan pembacaan kitab-kitab ilmu dan ktab-kitab haraki.
6) Istiqamah dengan usaha melebihkan diri berbanding dengan anak usrah.
7) Istiqamah untuk sentiasa berada dalam jalan Nuqaba'.

Ulamak sufi yang haraki sering memberi pesanan bahawa istiqamah dalam keimanan kepada Allah SWT dan menyampaikan agamanya akan menghasilkan 3 perkara sepertimana yang disebutkan dalam al-Quran.

1) Berani
Iaitu tidak akan berasa takut dengan keimanan dan kerja yang kita lakukan.
2) Ketenangan
Iaitu tidak akan berasa sedih dengan gerak kerja yang kita lakukan.
3) Optimis
Iaitu suatu semangat yang berapi-api oleh kerana dijanjikan dengan balasan syurga yang penuh dengan nikmat.

Wahai nuqaba' dan naqibat sekalian.

Syaitan akan menghasut manusia daripada pelbagai sudut dan keadaan. Kalaulah kita sebagai seorang yang miskin, maka dia akan datang sebagai seorang yang miskin. Kalau kita sebagai seorang ulamak maka dia akan datang sebagai seorang ulamak. Kalau kita sebagai seorang yang berpangkat, maka dia akan datang sebagai seorang berpangkat. Begitu jugalah kita sebagai seorang naqib atau naqibah, pasti dia akan menguji kita sebagai seorang naqib atau naqibah. Waktu itulah kita akan merasakan bahawa "aku adalah seorang yang hebat sebab pandai bercakap, berhujah, dan mencernakan pemikiran. Maka timbullah riyak, sum'ah, ujub dan sebagainya.

Aku hebat sebab mampu membaca kitab-kitab arab.
Aku hebat sebab mampu berceramah dan memberi tazkirah di hadapan khalayak ramai.
Aku hebat. Oleh sebab itulah aku dipuji, disanjungi dan disantuni.

Firman Allah SWT dalam Al-A'raf ayat 17 :

"Kemudian pasti aku (syaitan) akan mendatangi mereka (manusia) dari depan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur".

Wahai nuqaba' dan naqibat sekalian,

Ketika kita mengharapkan agar senantiasa dipuji dalam hidup, dihargai, disantuni dan seumpamanya, apakah kita mengharapkan semuanya itu datang daripada jiwa yang tulus, jujur dan ikhlas atau sekadar menyedapkan mata dan telinga? Jika kita mahu pujian dan semua itu hanya sekadar untuk menyeronokkan penglihatan, maka sebenarnya kita telah berjaya meraihnya, bahkan berlebihan.

Tetapi, apabila timbul perasaan-perasan tersebut tersebut dalam jiwa nuqaba' dan naqibat, maka sudah tiba masanya fatrah kefuturan dan fatrah perubahan bukan lagi sebagai seorang naqib dan naqibah. Kerana jalan tersebut tidak menguntungkan aku. Tidak menjadikan aku sebagai seorang yang dipandang mulia.

Selamat tinggal jalan dakwah.
Selamat tinggal jalan tarbiyah.
Selamat tinggal jalan yang penuh dengan duri-duri kesusahan.
Selamat tinggal jalan yang selalu mengalirkan air mata.
Selamat tinggal jalan yang belum pasti kesudahannya.

Ketika saya mengaji kitab Al-Qadaya Al-Fiqhiyah, perbahasan berkenaan ciri-ciri seorang kepimpinan islam, Sheikh mendatangkan contoh sirah Khulafak ar-Rasyidin sebagai teladan bagi pimpinan. Satu kata-kata yang diucapkan oleh seorang sahabat besar Nabi SAW iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Ucapan pertama beliau ketika menggantikan Rasulullah SAW sebagai khalifah umat islam ketika itu…..

"Sesungguhnya aku bukanlah seorang yang paling layak untuk menduduki takhta sebgai seorang khalifah, tetapi aku diberikan taklifan untuk memimpin kamu semua. Maka taatilah aku selagi mana aku tidak menyuruh kamu melakukan maksiat kepada Allah SWT. Dan perbetulkanlah aku sekiranya aku melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT."

Wahai Nuqaba' dan Naqibat sekalian.

Sebenarnya inilah salah satu ciri-ciri kepimpinan islam. Tidak mengharapkan pujian dan sanjungan daripada orang ramai. Sentiasa bersedia untuk ditegur sekiranya melakukan kesalahan. Sentiasa berpegang dengan prinsip dan mauqif demi untuk mencapai hadaf dan matlamat.

Oleh kerana itu, janganlah membina tembok ketahanan diri dengan mad’u yang sentiasa memuji dan menyanjungi kita tetapi pasakkanlah ketahanan diri dengan sifat-sifat para alim ulamak dan sifat-sifat para pejuang Allah SWT. Mereka langsung tidak mengharapkan pujian dan sanjungan daripada orang ramai kerana mereka tahu bahawa….. Itu Bukan Jalan Dakwah


BIODATA PENULIS
Nama penulis adalah Ustaz Shahrizan Bin Hazime merupakan graduan Universiti Al-Azhar dalam bidang Syariah Islamiah. Beliau pernah memegang amanah sebagai Presiden PMRAM pada tahun 2010. Kini beliau sedang bergiat aktif berdakwah di Malaysia.

Sunday, December 22, 2013

Neo-Orientalisme: Wacana Baru Barat Dalam Menguasai Politik Antarabangsa

Pendahuluan

Neo-orientalisme merujuk kepada usaha barat untuk menguasai dunia khasnya dunia Islam pada era 11 September. Dunia Islam diletakkan sebagai sasaran penting yang perlu dicapai kerana cabaran yang terbesar kepada US datang dari orang Islam. Sebelum ini, istilah orientalisme digunakan yang merujuk kepada usaha penjajahan yang membawa misi politik, ekonomi dan agama. Ketika itu, sempadan geografi sangat signifikan kerana siapa yang menguasai sesuatu geografi maka ia menguasai keseluruhan kawasan itu. Kalau dulu, penguasaan sesuatu geografi sangat penting kerana siapa yang menguasai kawasan yang banyak menandakan bahawa mereka menjadi kuasa besar. Namun, di zaman globalisasi ini, semua perkara dapat dilakukan dengan pantas merentasi sempadan geografi walaupun tidak berada di lokasi itu. Justeru, sesiapa yang menguasai media dan mengawal maklumat, ia boleh menjadi kuasa besar. Ringkasnya, orientalisme merujuk kepada usaha barat untuk menguasai dunia timur secara tradisional manakala neo-orientalisme merujuk kepada usaha yang ingin mencapai matlamat yang sama di dalam era globalisasi.


Seperti yang dilakukan oleh orientalis dahulu, mereka datang ke tempat orang Islam dan cuba memahami Islam dan orang Islam. Hasil kajian mereka telah digunakan oleh pihak tentera untuk mempengaruhi dan menguasai pemikiran orang Islam, malah menjajah negara Islam. Hal ini dilakukan oleh badan-badan kajian tajaan negara barat khasnya US seperti National Security Research Division (RAND) yang cuba memahami orang Islam dalam usaha mendefinisikan musuh yang mengancam kepentingan US. Mereka ini dinamakan dengan neo-orientalisme.


Orientalisme dan zionisme
Gerakan orientalisme dapat dikaitkan dengan kegagalan Kristian untuk menakluki Islam selepas Peperangan Salib. Peperangan yang berlanjutan hampir 200 tahun itu yang akhirnya dimenangi oleh tentera Islam yang dipimpin oleh Salahuddin al-Ayyubi. Dunia kristian dan barat amnya mengambil pengajaran bahawa kekuatan orang Islam tidak dapat ditumpaskan menerusi gerakan bersenjata dan kekerasan, tetapi menerusi cara diplomasi. Pendekatan kekerasan hanya akan menyebabkan umat Islam menjadi kuat kerana faktor jihad yang ditanamkan di dalam jiwa orang Islam. Terdapat beberapa faktor lain yang mencetuskan kepada orientalisme seperti ... tetapi ke semua faktor itu tidak lepas dari faktor kristianisasi yang menyambung usaha itu selepas kegagalan di dalam Perang Salib.

Pasca Perang Salib (1097-1280), orang barat mula menubuhkan pusat pembelajaran bahasa arab dan bahasa-bahasa yang lain di pusat pengajian tinggi termasuk mengkaji budaya dan cara hidup orang timur. Mereka juga mempelajari ekonomi, pentadbiran, politik dan sebagainya sebagai persediaan asas untuk datang ke dunia Timur untuk tujuan penjajahan dan sekaligus membawa misi agama. Mereka mengambil masa sekitar 200 tahun sehingga dapat menjajah dunia Timur pada awal 1500 seperti Tanah Melayu (1511) dan Filifina (1521).

Orientalisme bukan sekadar menguasai negara umat Islam tetapi mereka cuba memesongkan akidah umat Islam. Perkara yang pertama sekali ialah cuba menjauhkan umat Islam dari al-Quran dan meragukan mereka dengan autoriti al-Quran dan kesahihan hadis. Mereka cuba memberikan salah faham dan persepsi yang buruk terhadap Islam sama ada kepada orang Islam dan juga kepada bukan Islam. Mereka adalah pengkaji Islam sehingga membuka pusat kajian tentang Islam seperti pusat kajian timur tengah, asia barat dan agama wahyu untuk mendapatkan hujah untuk melemahkan umat Islam. Ini adalah tema-tema penting yang menjadi asas kepada kajian orientalisme. 

Penguasaan dunia timur tidak boleh dilepaskan dari gerakan zionisme atau illuminati. Pada zaman Rasulullah, Yahudi telah diusir dari Madinah dan mereka akhir terus beselerak membuka petempatan baru. Zionisme merupakan gerakan sulit Yahudi untuk mengembalikan Yahudi yang bertebaran ke seluruh dunia ke suatu tempat di Jerussalem. Ia bermula pada tahun akhir 1800 yang digerakkan oleh Yahudi seperti Dr. Theodor Herzl dan Dr. Chaim Weizmann yang akhirnya berjaya menubuhkan negara haram Israel pada 15 Mei 1948.

Pada hakikatnya, Agama Kristian dan Yahudi berbeza dan bertentangan antara satu sama lain. Orang yang membunuh Jesus (baca: Nabi Isa) adalah Yahudi. Agama Kristian bersifat pengembangan manakala Agama Yahudi bersifat eksklusif. Sungguh pun demikian, apabila berhadapan dengan dunia Islam, mereka boleh bersatu. Hasil dari kelicikan helah politik Yahudi menerusi konspirasi peringkat tertinggi yang dinamakan dengan freemason dan illuminati, US (baca: Yahudi) berjaya mengawal perjalanan politik antarabangsa pada masa ini. Kemunculan Islam sebagai sebuah agama dan cara hidup menjadikan Islam sebagai ancaman sepanjang zaman kepada kuasa besar dunia. Kini, agama kristian tidak lagi menjadi teras kepada mana-mana negara barat kerana telah ditukar dengan dasar sekularisme. Manakala, Zionisme pula hanya tertutup dengan orang Yahudi sahaja. Ini menjadikan pengembangan agama tidak menjadi tumpuan sangat utama tetapi kepada penguasaan politik dan ekonomi.

Berdasarkan kepada kajian lepasan, istilah Neo-orientalism merujuk kepada kritikan terhadap sikap barat terhadap Islam dan dunia Islam selepas 11 September. (Tuastad, 2003). Menurut Samiei (2010) pula, globalisasi memainkan peranan yang mengalih tumpuan kajian ketimuran yang tertakluk kepada geografi kepada kajian yang bersifat tanpa sempadan. Beliau menekankan bahawa dalam dunia yang global pada hari, wacana tidak lagi dalam bentuk dualism kerana semua hidup dalam dunia yang global. Justeru, neo-orientalism adalah paradigma baru di dalam kajian ketimuran dan beliau memberikan contoh beberapa penulis yang membuat kajian di dalam bidang ini. Walaupun kajian lepasan ini mengaitkan neo-orientalisme dengan kajian ketimuran dalam globalisasi, tetapi mereka tidak mengaitkan secara jelas kaitannya dengan zionisme dan teori konspirasi. Berdasarkan kepada Islam adalah agama dakwah yang membawa keamanan sejagat, kedudukannya sebagai agama dan cara hidup tersendiri tidak disenangi oleh kuasa barat kerana ia berlawanan dengan nilai-nilai barat. Justeru, neo-orientalisme perlu untuk memasukkan dimensi ini bagi menyempurnakan maksud asal dari orientalisme itu.

Latar belakang politik antarabangsa pasca perang dingin

Kejatuhan The Union of Soviet Socialist Republics (USSR) pada tahun 1991 menandakan berkahirnya perang dingin antara blok kapitalis dan komunis. Sejak itu, dunia mengalami suatu era baru yang diketuai oleh kuasa bipolar atau hanya satu kuasa besar iaitu United State (US). Sebelum ini persaingan antara kedua blok untuk meluaskan pengaruh berlaku begitu hebat sehingga ada negara yang tidak mahu dicop berpihak kepada mana-mana pihak yang digelar sebagai Pergerakan Negara Berkecuali (NAM). Menjelang kejatuhan USSR, pentadbiran George Bush meneruskan misi mereka untuk menguasai dunia menerusi suatu pelan yang dinamakan sebagai “New World Order” yang dibincangkan pada Disember 1989 di Malta. Bush telah membuat pengumuman tentang order baru ini pada 11 September 1990 dengan tujuan untuk memastikan pengaruh komunis berjaya ditundukkan dan sekaligus terus dapat menguasai dunia. Pada asasnya, order bertujuan untuk kerjasama antara kuasa-kuasa besar yang boleh menangani masalah seperti mengurangkan persenjataan dan pergerakan tentera, menyelesaikan pertikaian serantau, merangsang pertumbuhan ekonomi, mengurangkan sekatan perdagangan Timur-Barat, kemasukan Soviet di institusi ekonomi antarabangsa, dan melindungi alam sekitar. Kelihatan ia nampak konstruktif tetapi dalam masa yang sama mereka memang berusaha untuk menghapuskan pengaruh USSR yang akhirnya terbubar pada 1991.

Perang Iraq-Kuwait dijadikan sebagai batu loncatan kepada US untuk menjayakan misinya. Apabila Iraq menakluki Kuwait pada Ogos 1990, US telah datang ke Tanah Arab dan bertapak di bumi Hijaz mengajak semua negara untuk menentang penaklukan Iraq. Pada Januari-Februari 1991, tentera yang dikepalai oleh US telah berjaya menghalau keluar Iraq dari Kuwait. Di sebalik dari peperangan ini, US telah mengambil kesempatan di atas konflik ini untuk menguji pengaruhnya di Timur Tengah dan di seluruh dunia. Secara tidak langsung, US ingin membendung pesaing utama di peringkat global dan internasional dan sekaligus membina pengaruh baru di Timur Tengah. Pada ketika itu, Iraq dilihat sebagai pengacau utama kepada kepentingan US kerana mereka mengambil sikap menentang US dalam isu minyak. Maka penaklukan Irqa terhadap Kuwait - yang dipercayai hasil dari konspirasi US juga – telah diambil kesempatan oleh US untuk menundukkan Iraq.

Setelah berjaya pada peperangan Teluk, US telah memulakan kempen untuk menguasai dunia Islam. Pada tahun 1993, seorang pengkaji sains politik dari US iaitu Huntington telah memulakan cetusan idea yang menjadi topik perbincangan hangat selepas itu dengan membawa idea “pertembungan antara tamadun” atau “Clash of Civilization”. Bagi beliau, selepas berkahirnya perang dingin, terdapat lapan janis tamadun yang dirasakan mampu menguasai dunia iaitu: (i) Barat, (ii) Latin American, (iii) Islam (iv) Cina (v) Hindu, (vi) Orthodox, (vii) Japanese, and (viii) the African. Meskipun ada perbezaan dan pertentangan antara tamadun-tamadun ini, tetapi perbezaan terlalu ketara antara tamadun Islam dan barat. Kedua-dua tamadun ini sukar untuk disekalikan. Ini berbeza dengan tamadun lain yang boleh berkompromi antara satu sama lain hasil dari pendekatan pluralisme. Bagi beliau, tamadun yang dilihat dominan nanti ialah tamadun yang berasaskan kepada Islam. Menurut beliau, tamadun tidak lagi dibangunkan berasaskan kepada sempadan geografi tetapi berasaskan kepada penguasaan terhadap maklumat yang merangkumi semua bidang.

Pada pertengahan era 90an, perkataan globalisasi telah diperkenalkan dan digunakan secara meluas sejajar dengan perkembangan pesat internet pada bahagian kedua dekad itu. Globalisasi ditafsirkan sebagai “dunia tanpa sempadan” bagi menunjukkan bahawa penguasaan geografi secara fizikal tidak lagi suatu yang signifikan tetapi penguasaan maklumat merupakan modal untuk menakluki dunia. Internet datang bukan dengan maklumat sahaja, tetapi turut mempunyai misi amerikanisasi atau agenda pembaratan. Globalisasi menjanjikan kemajuan kerana kemajuan moden berasaskan kepada kemajuan teknologi maklumat yang merupakan ciri penting kepada globalisasi.

Sungguhpun internet mampu membawa misi US menerusi globalisasi, tetapi US masih belum berpuas hati dengan pencapaian mereka. Dalam masa yang sama, pengaruh Islam mula menjalar pantas ke Eropah. Justeru, mereka perlu melakukan sesuatu untuk menjaga kepentingan ekonomi dan meluaskan pengaruh politik. Tragedi 11 September 2011 dipercayai telah dirancang lebih awal utuk mencetuskan game baru di Timur Tengah. Terdapat banyak penulisan, malah video yang menjelaskan bahawa tragedi tersebut merupakan suatu yang terancang. Ini berdasarkan kepada beberapa teori yang dibuktikan dengan petunjuk dan persoalan yang mengiyakan bahawa ia merupakan hasil dari perancangan yang rapi. Matlamat jangka masa pendek US dari tragedi itu ialah untuk membuktikan kepada dunia kesungguhannya dalam bagi memerangi keganasan yang mengikut definisi mereka. Matlamat jangka masa panjang ialah untuk menundukkan negara-negara yang sudah mereka gariskan dengan alasan memerangi keganasan. Berbagai cara dan helah telah digunakan bagi memastikan pergolakan berlaku di dalam negara berkenaan yang akhirnya mewajarkan US untuk campur tangan secara langsung di dalam negara berkenaan.

Memerangi pengganas dijadikan alasan oleh US untuk memerangi Afghanistan pada tahun 2001 kononnya untuk memerangi pengganas iaitu Osama ben Laden. Matlamat sebenar US bukanlah sangat untuk menangkap Osama ben Laden tetapi untuk memenuhi agenda politik dan ekonominya.

Dasar luar US

Dasar luar ialah polisi yang telah dirangka oleh sesebuah negara dalam menentukan hala tuju, tindakan, strategi dalam menjalin hubungan dengan negara lain. Biasanya, dasar luar sesebuah negara bertujuan untuk memastikan sesebuah negara mencapai kemakmuran, keamanaan dan kestabilan serta menjaga kepentingan negara dalam suasana hubungan antarabangsa yang sentiasa berubah-ubah. Dasar luar berbeza antara sebuah negara dengan negara yang lain berdasarkan kepada struktur, kedudukan dan kedaulatan sesebuah negara. Ada negara yang mengamalkan dasar yang difensif, offensive dan sebagainya. Ia bergantung kepada bagaimana sesebuah negara itu mendefinisikan kepentingan politik, ekonomi, sosial diperingkat antarabangsa.

Bagi negara yang merupakan kuasa besar seperti US, dasar luarnya bersifat aktif untuk menjaga kepentingan politik, ekonomi, tentera dan ideologi. US memposisikan dirinya sebagai sebuah kuasa yang perlu mengawal order dunia. Justeru, matlamat dasar luar mereka ialah untuk menyebarluaskan ideologi kapitalisme sekularisme, demokrasi, hak asasi, pluralisme, pasaran bebas di seluruh dunia  bagi kepentingan nasional US. Untuk mencapai matlamat ini, pelbagai usaha dan cara yang diusahakan seperti di dalam bidang ekonomi, politik, budaya, pendidikan, campur tangan tentera dan lain-lain

Selepas 11 September, US memposisikan diri mereka sebagai pihak yang aktif memerangi sebarang bentuk keganasan. Peristiwa 9/11 dipercayai hasil dari perancangan strategik US yang membolehkan mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk menundukkan kuasa di bawah pengaruh mereka. Mereka terpaksa mencipta suatu alasan yang lojik untuk menjayakan kempen mereka. Keganasan merupakan topik yang universal yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat namun definisi keganasan itu suatu yang diperdepatkan. Keganasan menjadi alasan yang kuat kepada US untuk menakluki Iraq pada 2001 dan Afghanistan (2003). Mereka tidak mahu wujud sebarang kuasa yang boleh mengancam kedudukan dan pengaruh politik dan ekonomi. Sekiranya ada ancaman, usaha untuk menghapuskan fahaman ini perlu dilakukan.

Kajian RAND berkenaan Islam
National Security Research Division (RAND) merupakan “think tank” di bawah tentera US yang ditubuhkan untuk membuat kajian strategik terutama bagi menghadapi kebangkitan Islam pasca 11 September. RAND telah mengeluarkan laporan kajian yang boleh diakses oleh umum meliputi pelbagai sudut strategik. Antara 2011 hingga 2008, terdapat empat laporan yang terperinci tentang usaha US untuk memposisikan diri mereka dalam dunia Islam dan mendefinisikan musuh kepada US. Tulisan ini akan memberikan sorotan kepada penulisan itu yang akan menjelaskan matlamat dan hala tuju US di dalam neo-orientalisme.

Ulasan Buku “Civil Democratic Islam: Partners, Resources, Strategies”



Buku “Civil Democratic Islam” yang ditulis oleh Cheryl Bernard merupakan siri kedua dari empat siri penulisan yang berkaitan dengan perancangan US untuk menguasai umat Islam pasca 11 September 2001. Buku ini membahagikan orang Islam kepada empat kategori berasaskan kepada penerimaan mereka terhadap idea-idea barat; ada yang dianggap sebagai musuh yang perlu ditundukkan dan ada yang boleh dijadikan sebagai rakan. Secara umumnya mereka yang menolak nilai-nilai barat dan memperjuangkan negara Islam dianggap sebagai musuh. Bagi US, mana-mana pihak yang memperjuangkan negara Islam atau politik Islam boleh mengancam kepentingan mereka. Berikut adalah penjelasan ringkas kepada setiap kategori:

1.      Fundamentalis
Golongan ini merupakan musuh utama US kerana impian mereka untuk kembali kepada ajaran Islam yang syumul, iaitu merangkumi aspek ibadat khusus hinggalah soal politik dan pemerintahan. Mereka mahu mendapatkan kuasa politik dan memaksakan nilai-nilai agama diwajibkan ke atas semua masyarakat mengikut tafsiran mereka. Bernard menafsirkan bahawa ciri utama golongan ini ialah menolak demokrasi, hak asasi manusia dan seluruh nilai-nilai barat. Mereka mahu melaksanakan negara Islam yang tertegak di dalamnya hukum Islam. Walau bagaimanapun tahap mereka tidak sama, ada yang mengambil pendekatan keganasan dan ada pula yang mengambil pendekatan yang sebaliknya. Ciri penting kepada mereka ialah penglibatan di dalam politik secara serius untuk menegakkan negara Islam.

2.      Tradisionalis
Golongan tradisionalis ini lebih menumpukan kepada meningkatkan kualiti kerohanian dan keilmuan. Mereka adalah golongan yang konservatif, mencurigai moderniti, inovasi dan bersifat pesimis terhadap kemajuan. Sungguhpun mereka mempercayai undang-undang Islam perlu diikuti sepenuhnya dan Islam patut menjadi teras kepada negara namun mereka tidak mengambil pendekatan yang serius di dalam politik Islam. Walaupun mungkin ada yang terlibat dengan politik, tetapi pemikiran mereka lebih tertumpu soal kerohanian. Mereka mempunyai pelbagai latar belakang; ada yang mengambil pendekatan yang menolak kepada pembaharuan yang boleh dinamakan sebagai konservatif dan ada yang masih menerima pembaharuan reformist. Namun ciri penting kepada mereka ialah tidak menumpukan sangat kepada soal politik dan tidak mengambil pendekatan yang keras.

3.      Modenis
Mereka cuba memberikan suatu pendekatan baru kepada Islam di bawah aspirasi kemajuan (baca: ala barat). Bagi mereka, Islam perlu ditafsirkan mengikut tuntutan semasa kerana ajaran Islam ketika diturunkan pada zaman Rasulullah adalah mengikut keperluan pada zaman itu. Justeru, undang-undang Islam yang kelihatan lapuk dan tidak mengikuti perkembangan semasa perlu ditinggalkan. Manakala, pelaksanaan Islam perlu berpandukan kepada beberapa nilai-nilai penting yang sesuai dengan tuntutan demokrasi iaitu iaitu tanggungjawab sosial, kesamaan dan kebebasan. Mereka ingin memodenkan dan mereformasi Islam dan menyesuaikannya mengikut tuntutan zaman berdasarkan kepada akal mereka. 

4.      Sekular
Mereka percaya bahawa agama adalah urusan peribadi dan tidak boleh dijadikan nilai yang universal. Ia tidak boleh menjadi asas kepada meletakkan undang-undang dan peraturan kerana ia bercanggah dengan hak individu. Mereka ingin memisahkan agama dari menjadi asas kepada sesebuah negara dan juga mengambil agama dalam perkara yang terpilih sahaja. Ada di kalangan mereka yang terlalu ekstrim yang menolak langsung agama dan ada yang masih menerima agama hanya dalam soal kerohanian dan hak seseorang individu.

Pembahagian di atas adalah garis panduan umum sahaja kerana setiap satu dari kategori itu tidak mempunyai garis pemisah yang jelas. Ada yang mungkin tradisionalis tetapi dalam masa yang sama dia juga adalah fundamentalis. Namun, kebanyakan modernis yang ekstrim adalah sekularis. Apa pun yang penting dari itu ialah, kelompok pertama adalah musuh utama kepada US manakala kelompok keempat secara umumnya tidak begitu masalah dari sudut ideologi dengan US sekiranya mahu mengikut telunjuk US.  Tuntasnya, Amerika tidak ingin Islam muncul sebagai satu kekuatan dalam sebuah negara.

Bernard selanjutnya memperincikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh US bagi berhadapan dengan setiap golongan di atas:

1.      Golongan sekular
Mereka dianggap sebagai rakan kerana mempunyai gaya pemikiran yang sama dengan US iaitu dalam mendokong idea sekular. Walau bagaimanapun, sokongan kepada golongan dan kerajaan sekular hanya diberi berdasarkan case by case kerana ada kerajaan yang sekular tidak menyokong aspirasi barat seperti kerajaan yang nasionalis dan menyokong idea sosialis dan autokrasi. Terdapat kerajaan yang sekular tetapi bersifat nasionalis hingga mengabaikan kepentingan US seperti di Iraq (di bawah Saddam Hussin) dan Libya (di bawah Muammar Gaddafi). Justeru, sokongan kepada mereka dibuat secara terpilih.

2.      Golongan Islam modenis
Golongan Islam modenis hendaklah diberi peluang dan diketengahkan. Mereka perlu disokong untuk mendapatkan kuasa politik di dalam negara mereka atas kesediaan mereka menerima idea dan nilai-nilai barat. Mereka boleh menarik sokongan rakyat kerana mereka berselindung di bawah nama agama tetapi memperjuangkan idea kemajuan mengikut aspirasi barat (baca: US). Orang ramai lebih tertarik kepada mereka berbanding dengan kelompok sekular atas idea yang menggalakkan kebebasan, kesamaan dan sebagainya berbanding dengan sebahagian pemerintah yang sekular. Sokongan kepada golongan Islam modenis ini boleh diberi secara langsung atau tidak secara langsung.

3.      Golongan Islam tradisionalis
Golongan ini merupakan golongan yang terbaik yang perlu digunakan untuk menyerang fundamentalis kerana golongan ini mempunyai kemuliaan yang tinggi pada pandangan masyarakat. Keupayaan mereka membahas agama perlu digunakan, untuk menyerang pemikiran-pemikiran politik golongan fundamentalis. Usaha mereka kepada kerohanian dan keilmuan wajar disokong untuk mewujudkan perseteruan sesama Islam dalam soal keagamaan dan menghilangkan fokus masyarakat dari membincangkan soal politik Islam. Mereka juga patut diberi dana untuk membina sekolah-sekolah untuk menyebarkan fahaman mereka. Ringkasnya, kerjasama antara golongan tradisionalis dan fundamentalisme mestilah dihalang dan digalakkan permusuhan sesama mereka.

4.      Golongan Islam Fundamentalis
Golongan ini adalah musuh utama kepada US yang perlu ditundukkan dan dimusnahkan kerana ideologi mereka yang menentang nilai barat. Mereka tidak boleh diberikan sebarang promosi dan segala fahaman yang dibawa oleh golongan ini perlu diperangi. Mereka perlu diberikan gelaran ekstrimis dan menentang kemajuan yang boleh menghilangkan kepercayaan masyarakat kepada mereka.

Pembahagian aliran pemikiran menurut Islam

US membahagikan orang Islam kepada beberapa kategori untuk memudahkan mereka menghadapi kebangkitan Islam. Parameter yang digunakan oleh mereka di dalam menentukan kategori ini ialah dimensi penentangan terhadap nilai-nilai barat. Memang terdapat di dalam Islam beberapa kelompok pemikiran tetapi soal menentang barat atau tidak bukan menjadi persoalan kerana yang lebih mendasar lagi dari itu ialah usaha menegakkan Islam hingga menjadi suatu agama dan cara hidup yang sesuai dengan keadaan zaman.

Di dalam tradisi pemikiran barat, fundamentalisme merupakan simbol kepada kemunduran dan konotasi yang negatif lantaran kembali kepada agama telah membawa mereka kepada zaman kegelapan. Kegemilangan tamadun mereka apabila mereka meloloskan diri dari ikatan agama dan memisahkannya dari kehidupan. Namun, di dalam tradisi Islam, fundamentalisme adalah suatu yang digalakkan kerana ia adalah kembali kepada mengamalkan ajaran Islam. Agama yang difahami oleh barat tidak sama dengan agama yang difahami oleh Islam kerana sumber agama mereka tidak fleksibel yang menjadikan urusan agama diserahkan sepenuhnya kepada gereja untuk mentafsirkannya. Pihak gereja mempunyai autoriti penuh untuk mentafsirkan Islam tetapi di dalam Islam, walaupun ulama mempunyai kelebihan untuk mentafsirkan al-Quran dan hadis, tetapi mereka terikat kepada teks itu sendiri. Mereka hanyalah sebagai pemegang amanah dan tidak mempunyai autoriti sepenuhnya seperti di dalam Kristian.

Sebagai seorang Islam, kita adalah fundamentalis, kita juga adalah tradisionalis dan juga seorang yang modernis. Seorang Islam mestilah fundamentalis kerana kita berpegang kuat dengan ajaran Islam. Seorang Islam mestilah trasionalis kerana kita berpegang dengan tradisi dan mementingkan soal kerohanian. Seorang Islam mestilah modernis kerana kita orang yang mementing kemajuan. Tetapi kita bukan orang yang sekular yang tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup dan melihat kehidupan itu tiada kaitan dengan persoalan dosa dan pahala.

Kesimpulan

RAND merupakan contoh kepada salah satu pusat kajian yang mengkaji dunia Islam secara strategik. Di sana terdapat pusat kajian khasnya yang dibiayai oleh pihak tertentu dan juga yang tidak mempamerkan hasil kajian mereka kepada umum. Mereka tergolong di kalangan neo-orientalisme yang bukan sekadar menjelaskan wacana Islam dan barat dalam dunia moden tetapi membincangkan strategi untuk menguasai dunia Islam.

Rujukan

Samiei, Mohammad. 2010. Neo-Orientalism? The relationship between the West and Islam in our globalised world. Third World Quarterly, 31:7, 1145-1160.

Tuastad, Dag. 2003. Neo-Orientalism and the new barbarism thesis: Aspects of symbolic violence in theiddle East conflict(s). Third World Quarterly, 24: 4, 591-599

Biodata Penulis

Nama penulis adalah Ustaz Muhamad Faisal Ashaari, Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Wednesday, December 18, 2013

Islam Tidak Akan Tertegak Dengan Kata-kata

Matlamat dalam menegakkan Islam adalah matlamat yang perlu disedari dan dicapai oleh sekalian umat Islam. Bermula pada era kejatuhan khilafah lagi pada tahun 1924, umat Islam masih lemah dan mundur untuk bangkit semula menguasai pemerintahan dunia. Ianya memerlukan kesedaran serta perjuangan yang lama untuk menjadikan Islam kembali berada di atas dan tidak akan ditindas lagi oleh musuh Islam.

Dalam merealisasikan matlamat perjuangan tersebut, tidak dapat tidak ianya melakukan satu gerak kerja yang mampu untuk mencapainya sekalipun susah. Amal yang dilakukan oleh umat Islam pula perlu selari dengan kefahaman dan garis panduan Islam yang betul, supaya ianya tidak lari daripada matlamat yang asal.

Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T banyak menyebut berkaitan dengan kewajiban dan keperluan amal itu sendiri. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

(وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ)
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.
(Surah At-Taubah: 105)
Sepertimana berdasarkan ayat tersebut, umat Islam perlu mengetahui akan kewajiban amal itu yang mana menjadi bekalan di akhirat. Dalam surah yang lain Allah S.W.T berfirman:

(إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ)
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
(Surah Al-Asr: 3)
Di dalam ayat ini menjadi pengecualian kepada orang-orang yang melakukan amal soleh daripada jatuh kepada kerugian dan kebinasaan. Islam bukan hanya agama yang berdasarkan teori semata-mata,oleh sebab itu, angan-angan untuk melihat kemenangan Islam bukan terhasil daripada percakapan dan omong kosong yang hanya melihat dari jauh. Sepertimana kata-kata dalam sebuah syair:

لا تكن عبد المنى # فالمنى رؤس أموال المفاليس
“Janganlah kamu menjadi hamba angan-angan, sesungguhnya angan-angan adalah modal orang muflis”

Sepertimana kata-kata Syeikh Mustafa Masyhur:

“Islam tidak akan tertegak dengan kata-kata.”

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menegaskan berkenaan dengan kebangkitan Islam memerlukan amalan dan suluk (ibadah). Antara kata-katanya:

“Kebangkitan (Islam) bukanlah kebangkitan daripada sudut pemikiran dan semangat semata-mata. Ianya adalah kebangkitan pemikiran dan semangat yang disertakan dengan kebangkitan dalam beramal dan ibadah dan seterusnya konsisten dengannya (amalan dan ibadah).”

Umat Islam yang optimis pada matlamat perjuangan Islam akan berpusu-pusu melakukan amal Islami demi melihat tertegaknya syiar dan syariat Islam di muka bumi Allah ini. Oleh sebab itulah, sejak awal-awal lagi Imam Hassan Al-Banna berusaha agar anggota Ikhwanul Muslimin menjadi seorang yang bekerja dan bukan sebagaiahli teori semata-mata.

Disamping itu juga, perlu diteliti akan kualiti sesuatu gerak kerja tersebut, supaya ianya tersusun dengan perancangan sistematik dan menghasilkan natijah yang baik. Firman Allah S.W.T:

(الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ)
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”
(Surah Al-Mulk : 2)

Kesimpulan yang perlu kita ambil disini ialah kewajipan beramal dalam merealisasikan matlamat perlu diambil cakna oleh seluruh umat Islam. Islam tidak akan tertegak berdasarkan teori semata-mata, maka teori tersebut akan menjadi sempurna sekiranya dipraktikkan dalam kehidupan. Menegakkan Islam bukan sesuatu angan-angan dan omong kosong. Ianya adalah sesuatu yang reality yang dipundakkan kepada seluruh umat Islam.

Tuesday, December 17, 2013

Jejak Auliya' 13: "Meneroka Keizzahan Auliya"

Kaherah, 8 Disember 2013 - Bersempena dengan peperiksaan yang bakal menjelma, Biro Perhubungan, Sambutan & Rehlah KPIPM telah menganjurkan Jejak Auliya '13 untuk sesi 2012/2013. Program menjelajah maqam sekitar Kaherah ini telah dijalankan selama dua hari iaitu pada 8 Disember untuk ikhwah dan 14 Disember untuk akhawat.

Antara objektif yang digariskan adalah menanamkn sifat cintakan ilmu dan ulamak serta sentiasa berlumba-lumba menambah thaqafah. Ini selari dengan tema yang digunakan iaitu "Meneroka Keizzahan Auliya'."

Seawal jam 8 pagi rombongan bertolak ke maqam-maqam yang telah ditentukan. Antara maqam yang dilawati adalah maqam Sadah Alghumari, Ibn Hisyam, Imam Sya'rani, Imam Ramli dan lain-lain lagi. Rombongan berhenti makan tengahari dan solat asar di masjid Dandrawi yang berdekatan dengan maqam Imam Syafie.

Seusai solat asar, rombongan menuju ke destinasi terakhir iaitu di kawasan Muqattam. Antara maqam yang terdapat disini adalah maqam Ibnu Athoillah Assakandari, Ibn Daqiq Al'eidh, Imam Ibn Abi Jamrah dan lain-lain.

Selesai menziarahi maqam-maqam di sekitar muqattam, rombongan bergerak pulang ke Wisma Darul Ridzuan b dan sampai pada jam 5.15 petang.

“Ianya merupakan satu semangat kepada semua mahasiswa Islam di sini untuk mendalami ilmu agama seterusnya akan mencontohi mereka (ulamak) dan berkhidmat kepada masyarakat di Malaysia.” Ujar salah seorang peserta.


“Program Jaulah Maqam pada kali ini memberi gambaran kepada mahasiswa dan mahasiswi baru khusus sebagai permulaan mereka menimba ilmu dan pengalaman di bumi Mesir.” Ulas Saudara Asri Salim, selaku pengarah.







Friday, December 13, 2013

Beruzlah Bukan Mengasingkan Diri Daripada Orang Lain

Musim imtihan sedang rancak berjalan. Semestinya rata-rata dikalangan kita yang sedang sibuk mengulangkaji pelajaran. Mahasiswa mempunyai pelbagai situasi pembelajaran. Ada di antara kita yang suka belajar secara berkumpulan (study group) kerana ingin mengambil manfaat daripada kawan-kawan lain. Ada juga di antara kita yang tidak suka akan suasana bising lalu pergi ke tempat-tempat yang aman dan sunyi untuk belajar. Ada juga di antara kita yang terlalu fokus dalam belajar sehingga melupakan orang lain.

Antara ketiga-tiga situasi ini mempunyai kebaikan dan keburukannya. Hakikatnya, situasi pembelajaran yang perlu diaplikasikan dalam hidup mahasiswa adalah secara baik dan tidak memberi kesan negatif pada dirinya dan orang lain. Bagi situasi belajar menjauhkan diri daripada orang adalah suatu perkara yang memberikan kesan negatif kepada mereka yang suka mengaplikasikannya. Apabila ditanya, mengapa kamu melakukan sedemikian? Lalu kita menjawab: “Ini adalah uzlah....”

Kita silap dalam mendefinisikan uzlah yang sebenar. Uzlah sepertimana yang dimaksudkan oleh As-syahid Sayyid Qutb adalah mengasingkan jiwa, bukan mengasingkan jasad. Apa yang dimaksudkan adalah terus melakukan amal Islami disamping membezakan dari sudut akhlak, pemikiran, perasaan dan gaya hidup jahiliyyah sepertimana sabda Rasulullah S.A.W:

"Jangan seseorang dari kamu menjadi orang yang tidak punya pendirian dgn berkata: Aku bersama orang ramai, jika mereka berbuat baik aku pun akan berbuat baik, maka jika mereka melakukan kejahatan, aku akan turut melakukan kejahatan. Tetapi hendaklah kamu menetapkan pendirian kamu, sekiranya mereka melakukan kebaikan, maka hendaklah kamu berlaku baik, maka sekiranya kamu melakukan kejahatan, maka hendaklah kamu menjauhkan diri dari berbuat jahat terhadap mereka."

(Hadith Riwayat Tirmizi)

Tidak benar sekiranya kita beruzlah dengan mengasingkan kedua-dua elemen tersebut (jiwa dan jasad) daripada orang lain. Islam mengajar kita untuk bergaul, saling berukhuwwah dan menjaga hubungan sesama manusia.

Rugi sekiranya kita terlalu menumpukan pembelajaran sehingga kita mengabaikan solat berjemaah, tidak makan bersama kawan serumah, kurang bertanya dan berbincang dalam pelajaran dan pelbagai lagi perkara yang tidak bersifat mesra kepada orang lain.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam karangannya, ‘Sohwatul Islamiah Bainal Amal Wal Mahazir’ menegaskan berkenaan dengan pemisahan aspek ruhiyyah (spiritual) dan jasadiyyah (material) di dalam kehidupan manusia. Umat Islam sepatutnya sedar daripada lamunan dan bersama menuju kebangkitan Islam. Oleh sebab itu, kebangkitan Islam perlu disertakan dengan memahami Islam dengan baik. Antara petikan kata-katanya ialah:

“Ini adalah apa yang kami ingin daripada kebangkitan Islam supaya Berjaya untuk memberi kefahaman Islam dengan baik.Ianya bertempoh, memakan masa yang lama, berliku-liku dan payah. Apa yang aku maksudkan di sini adalah bertempoh dalam membebaskan diri kita daripada serangan pemikiran dan penjajahan….”

“Bukanlah di sini suatu perkara yang dinamakan roh, dan suatu perkara yang dinamakan jasad. Diri manusia adalah satu dan tiada padanya pemisahan. Oleh itu, Islam tidak mengetahui akan penyakit ini iaitu memisahkan apa itu ruhiyy (spiritual), apa itu madiyy (material), apa itu agama dan apa itu keduniaan…”

Oleh itu, Islam tidak memisahkan diantara kedua-dua aspek penting dalam diri manusia. Waspadalah dengan serangan pemikiran yang negative yang membelenggu diri umat Islam pada hari ini. Bersempena dengan musim imtihan ini, jadikanlah setiap tempat kita dalam suasana ilmu dan mahabbah sesama kita. Insyaa Allah, dengan cara begini, kejayaan yang diidamkan akan mudah dicapai melalui usaha, doa daripada rakan-rakan dan tawakkal kepada Allah. Senantiasa mendoakan kawan-kawan lain juga merupakan salah satu sebab doa kita akan termakbul.

Rujukan:صحوة الإسلامية بين اﻵمال والمحاذير karangan Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi
 ماذا يعني إنتمائ للإسلام karangan Dr. Fathi Yakan.


اصلح نفسك وادع غيرك!


BIODATA PENULIS
Nama penulis adalah Ustaz Muhammad Kamal Bin Faudzi yang merupakan mahasiswa kuliah Usuluddin, Tahun 1, Universiti Al-Azhar. Beliau sekarang memegang jawatan sebagai  Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian Dan Riadah KPIPM sesi 2012/2013.



Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM