Sunday, June 29, 2014

AKTIVITI MUZAKARAH BERKELOMPOK HEWI KPIPM | BOWLING STRIKE





Kaherah, 27 Jun- Seramai 49 ahli HEWI KPIPM telah melibatkan diri dalam aktiviti permainan bowling yang dianjurkan oleh Biro Tabung Kebajikan, Kesenian, dan Riadah HEWI KPIPM dengan kerjasama Jabatan Fasilitator KPIPM Sesi 2014. Aktiviti ini bermula jam 9.00 pagi di dewan Wisma Darul Ridzuan B dengan mengumpulkan ahli dan melakukan aktiviti ringan dalam usrah masing-masing.
Semua ahli mula bergerak ke pusat Bowling yang terletak di Solah Salim pada jam 10.40 pagi dan permainan berakhir pada jam 2.00 petang. Semua yang terlibat telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang aktiviti dijalankan.
Pihak KPIPM mengharapkan seluruh ahli KPIPM akan lebih menitikberatkan perihal kesihatan tubuh badan seterusnya lebih memberi komitmen untuk istiqamah menghadirkan diri dalam usrah masing-masing.


Berilmu, Beramal, Ikhlas
Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan
#satufikrahsatuamal

Disediakan oleh :
Setiausaha 
Biro Kebajikan, Kesenian dan Riadah 
Keluarga pelajar-pelajar Islam Perak Mesir, KPIPM sesi 2014

TALKSHOW AKU KHALIFAH HARI INI (A.K.H.I) - PEMANDU (SIRI 1)


KAHERAH 25 jun 2014M bersamaan 27 Syaaban 1435H  jam 9 malam bertempat di Dewan Wisma Darul Ridzuan B, Program Pemantapan Du'at (PEMANDU) KPIPM di bawah Biro Dakwah Dan Tarbiah  (BDT) dengan kerjasama Biro Tabung Kebajikan,Kesenian Dan Riadhah  (BTKKR) telah mengadakan satu program talkshow bertajuk AKU KHALIFAH HARI INI (AKHI)” yang telah disampaikan oleh 2 orang panel yang hebat dan disegani iaitu Al-Fadhil Ustaz Muhammad Hanif bin Abdullah dan Dr.Nihal binti Termizi  bersama moderator  Mohd Nor Zafri bin Mohd Ayob. Rancangan talkshow ini berjalan selama 3 pusingan. Program ini turut dihadiri oleh Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak Ustaz Munawir bin Mohamed Noh. Majlis juga di serikan lagi kehadiran Badan Pengurus angkat PMRAM cawangan Perak Ustaz Muhammad Syazwan bin Hamzah.


     Program ini di anjurkan buat para penuntut anak Perak yang berada di Mesir yang bertujuan untuk mengubah paradigma para hadirin tentang kewajipan berdakwah berlandaskan fikrah yang sebenar dan mengaplikasikan ilmu mereka kepada masyarakat sekeliling. Terdapat banyak isi-isi penting yang telah disampaikan oleh para panelis berkenaan dengan konsep kepimpinan. Antaranya para panelis lebih mengutamakan di dalam setiap diri hadirin agar mempunyai fikrah Islamiah yang jelas untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat dan berkualiti. Seterusnya perkara yang perlu dititik beratkan oleh seorang khalifah atau daie ialah senantiasa menjaga hubungan dengan Allah S.W.T. Selain itu, peranan seorang pemimpin juga perlu ditingkatkan dan mencari ruang untuk menambah ilmu pengtahuan samada ilmu yang berbentuk akademik ataupun ilmu kemahiran. Syeikh Dr.Yusof Al-Qardawi telah menggariskan di dalam rukun jemaah terdapat 3 golongan yang perlu ada iaitu ulama, aktivis dan pemikir.

               Program di teruskan lagi dengan persembahan sketsa pentomen oleh Usrah Al-Muhazirun dibawah unit lakonan dan pementasan yang betajuk "Aku Khalifah Hari Ini". Sebelum berakhirnya majlis, pegawai telah memyampaikan taklimat keselamatan dan menyerahkan sumbangan derma kepada wakil mangsa kejadian rompakan di rumah transit baru-baru ini. Diharapkan program seperti ini dianjurkan lagi pada masa akan datang demi kelangsungan KPIPM. Majlis berakhir pada pukul 11.30 malam.

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN

TAFAQQUH AN-NISA' KEMBALI LAGI...

KELAS TAFAQQUH ANN-NISA' KPIPM KEMBALI LAGI!!

KAHERAH, 25 JUN 2014 - Biro Pelajaran dan Ilmiah Hewi Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014 telah menyambung kembali Kelas Tafaqquh An-Nisa' setelah dihentikan seketika kerana memberi laluan kepada imtihan fasa 2. Pada kali ini, Biro Pelajaran dan Ilmiah Hewi KPIPM 2014 telah meneruskan pembentangan kitab " Kaifa Nastaqbil Ramadan" yang telah dibentangkan oleh Ustazah Syariza Binti Ayub, Ketua Biro Pelajaran dan Ilmiah Hewi KPIPM sesi 2014. Kitab ini dipilih adalah  kerana bulan yang mulia bulan Ramadan yang bakal menjelma dan sebagai persediaan kepada mahasiswi mesir supaya lebih memahami serba sedikit erti sebenar Ramadan.

قال النبي صلى الله عليه وسلم : من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنب- رواه البخاري ومسلم

Nabi Muhammad saw telah bersabda

Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab ( mengharapkan reda dan ganjaran Allah ) akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu."

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim


Kesimpulan yang boleh diambil daripada kitab " Kaifa Nastaqbil Ramadan " ini adalah:

Bulan Ramadan bulan yang paling dimuliakan oleh Allah kerana :

·         Difardukan puasa
·         Diturunkan Al-quran
·         Terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Malam Lailatul Qadr
·         Digandakan pahala satu kefarduan bersamaan  70 kali ganda pahala kefarduan dan pahala amalan sunat bersamaan pahala amalan fardu.


Semoga kita mahasiswa dan mahasiswi tergolong di antara golongan yang menghidupkan bulan Ramadan dengan penuh kesungguhan dan keimanan. Moga-moga kita mencapai tahap ketakwaan yang sebenarnya disisi Allah subhanahu wataala.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN
#satufikrahsatuamal


REHLAH AIN SUKHNAH - Wasilah Ribatan Ukhuwah

Kaherah,  21 Jun 2014 -Biro PerhubunganSambutan Dan Rehlah telah menganjurkan sebuah program iaitu Jaulah Ke Ain Sukhnah. Rombongan ini disertai seramai 61 orang dan turut dihadiri oleh Ustaz Muhammad Arif Bin Hamzah selaku Timbalan Setiausaha Agung PMRAM sesi 2014 merangkap Badan Pengurus Angkat PMRAM Cawangan Perak. Juga turut hadir Ustaz Munawir Bin Mohd Noh, Atase Pendidikan Negeri Perak, beserta keluarga.

                Rombongan bertolak pada jam 6.30 pagi dan tiba di Pantai Ain Sukhnah pada jam 8.30 pagi. Program dimulakan dengan upacara majlis perasmian yang disempurnakan oleh Ustaz Muhammad Arif Bin Hamzah, Timbalan Setiausaha

Antara aktiviti yang dijalankan di AinSukhnah termasuklah mandi-manda di laut, acara sukaneka beserta BBQ.

Pada jam 6.00 petang, acara penyampaian hadiah dan sesi ber gambar dilangsungkan. Pada jam 6.30 petang, rombongan berangkat pulang ke Wisma Darul Ridzuan,  Kaherah.

Semoga program jaulah ini dapat meningkatkan ikatan ukhuwah dalam kalangan anak-anak Perak di bumi mesir khususnya. Di samping dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat pada musim cuti pengkuliahan universiti.


 
                                                 “Jauh perjalanan,  luas pengalaman”.

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan
#SatuFikrahSatuAmal

Saturday, June 14, 2014

AZHARI ACUAN AKHLAK MUHAMMADIAH




Kehidupan yang indah adalah kehidupan yang dihiasi oleh nilai-nilai akhlak yang menjadi asas kepada apa jua aktiviti dalam kehidupan. Islam sebagai agama dan cara hidup yang syumul menekankan umatnya agar menjalani kehidupan berasaskan akhlak dan perilaku yang baik dan mulia seperti junjungan besar Nabi Muhammad SAW.Ia juga merupakan misi terpenting dalam risalah para Nabi . Sabda Nabi SAW mafhumnya :

Ada seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah saw : Ya Rasulullah, bagaimana kami hendak mengenal pasti seseorang itu penghuni syurga? Maka Nabi saw menjawab : Kamu lihatlah seseorang yang lebih condong kepada kebaikan daripada condong ke arah kejahatan. Apabila kita lihat pada hadis tersebut, betapa bernilainya akhlak sehingga Nabi Muhammad saw menyebut dalam sebuah hadis yang bersabda :

إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

" Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ." Akhlak yang dimulakan oleh Nabi Allah Adam as sehingga berakhir dengan Nabi Allah Isa as dan disempurnakan oleh akhlak Nabi Muhammad saw."

Begitu tinggi akhlak Nabi saw sehingga Allah Taala  memuji Nabi Muhammad sallahu'alaihi wasallam dalam firman-Nya :
وإنك لعلى خلق عظيم

" Sesungguhnya engkau ( Ya Muhammad ) sungguh berada di atas akhlak yang paling agung "

Ilmu, iman dan amal merupakan faktor penting dalam pembinaan dan pembentukan akhlak.

Kalam ulama' sufi  : Ilmu adalah makhluk Allah yang ego, jika kita beri sedikit perhatian, maka dia akan beri sedikit tetapi bilamana kita memberi sepenuh perhatian dan cinta maka dia akan beri sepenuhnya.

Apakah kepentingan kepada kita sebagai mahasiswa dan mahasisiwi mencari ilmu? Adakah sekadar ingin mendapat sijil atau sekadar ingin dilihit hebat di mata manusia? Sedarlah bahawa ilmu itu adalah perisai kepada kejahilan diri. Kata penyair dalam bait-bait syair yang indah :

تعلم فليس المرء يولد عالما  #  وليس أخو علم كمن هو جاهل
وأن كبير القوم لا علم عنده  #  صغير إذا التفت عليه الجحافل
وإن صغير القوم إن كان عالما  #  كبير إذا ردت إليه المحافل

Belajar, sesungguhnya seseorang itu tidak dilahirkan alim # dan tiadalah orang berilmu menyamai orang yang jahil.
Sesungguhnya pembesar kaum yang tiada ilmu # menjadi kecil bila dikerumuni bala tenteranya ( meminta pandangan )
Seseorang yang berilmu sekiranya berilmu # ia akan menjadi besar bila dikerumuni orang ramai ( ingin belajar )

Melalui bait- bait syair ini dapatlah kita lihat bahawa seseorang itu akan dilihat dan diangkat darjatnya oleh Allah sekiranya dia mempunyai ilmu pengetahuan. Tetapi kita sebagai penuntut ilmu tidak dapat tidak mestilah membawa ilmu bersama dengan adabnya serta mengamalkan apa yang telah dipelajari supaya ilmu itu dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Ingatlah, bahawa ilmu itu tiada tandingan dengan yang lain kerana yang lain akan hilang dan lenyap, akan tetapi jika matinya orang yang alim maka ilmu yang disampaikan akan kekal bahkan menghilangkan ramai orang yang jahil.



Antara akhlak yang perlu ada pada setiap mahasiswa dan mahasiswi adalah :

1. Ikhlas beramal

Telah berkata Ibrahim At-Tamimi Rahimahullahu Taala :

المخلص من يكتم حسنته كما يكتم سيئاته

"Orang yang ikhlas akan menyembunyikan kebaikannya sepertimana dia menyembunyikan kejahatannya."

2. Banyak memaafkan orang lain.

الكاظمين الغيظ والعافين عن الناس

"Banyak menyimpan kemarahan dan memaafkan orang lain."

Memberi maaf akan memberi ketenangan bukan sahaja untuk orang lain tetapi buat hati kita sendiri. Percayalah, kebencian dan kemarahan kita terhadap seseorang lebih menyeksakan diri sendi berbanding orang yang kita marahkan. Ingatlah, kemarahan itu api yang panas dan membahang dalam diri, manakala kemaafan umpama salji dingin yang akan memadamkannya. Allah bukan sahaja sudi menerima maaf hambaNya bahkan Allah sangat menyayangi setiap hambaNya yang memohon maaf setelah melakukan maksiat dan dosa.

3. Merasakan diri tidak pernah bersyukur

Apa yang dimaksudkan disini adalah tidak pernah dirinya baik sedangkan mulut sentiasa mengucapkan   " ALHAMDULILLAH " tetapi tidak pernah merasakan dirinya bersyukur dengan nikmat Allah. Kata Al-Imam As-Syafie :

حب الصالحين ولست منهم  #  وأكره الطالحين وأشر منهم

"Aku kasih orang soleh tetapi aku bukan orang yang soleh, aku benci orang-orang yang jahat tapi aku lebih jahat daripada orang-orang jahat."

Disini kita boleh lihat bagaimana akhlak para sahabat Nabi saw walaupun mulia disisi Allah tetapi menganggap diri mulia dan tinggi.

4. Memuliakan para guru dan alim ulama'.

Ilmu ibarat rumah dan guru umpama tangganya, dari mana lagi ingin ke rumah kalau tidak melalui tangganya? Hormatilah mereka kerana mereka adalah pewaris para nabi dan janganlah menyebarkan fitnah kepada mereka kerana darah para ulamak adalah racun.

Kesimpulannya, setiap daripada kita perlulah berusaha berakhlak mulia dan proses pembentukannya mestilah bermula daripada diri sendiri atau fardu muslim. Pembentukan fardu muslim ini boleh dilihat melalui 10 muwassafat tarbiyyah dan dijadikan panduan menuju ke arah akhlak yang baik. Bertepatan dengan usul KPIPM 2014 ingin melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berketrampilan melalui pemantapan sahsiah dan akhlak Islamiah.

Disediakan oleh :
Ustazah Syariza Binti Ayub
Ketua Biro Pelajaran dan Ilmiah HEWI,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN

#SATUFIKRAHSATUAMAL



MERUNGKAI KELEBIHAN MALAM NISFU SYA’BAN

Kaherah – 29 Mei 2014 : Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sekali lagi  telah mengadakan  Ribat Perdana KPIPM yang saban kali dilakukan pada setiap bulan.Ribat Perdana KPIPM ini dikelolai penuh di bawah Biro Dakwah dan Tarbiah sesi Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir Sesi 2014.Ribat Perdana  ini di adakan adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim dalam kalangan anak-anak di seluruh Mesir.Selain itu juga Ribat Perdana ini di adakan adalah untuk membentuk rohani dan memupuk nilai ketaqwaan dalam diri mahasiswa Islam khususnya.

Ustaz  Arif bin Hamzah selaku Timbalan Setiausaha Agung PMRAM sesi 2014

Seperti biasa Ribat Perdana kali ini di mulai dengan Alunan Qosidah dan seterusnya bacaan Yassin yang di ketuai oleh Saudara Abdul Rahman Bin Mohd Azli Mahasiswa Pengajian Islam Universiti Al-Azhar,Kaherah.Selepas itu program diteruskan lagi dengan pengisian rohani oleh saudari Nor Atiqah Binti Hamdan Mahasiswi Kuliah Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar,Kaherah yang telah merungkai satu tajuk yang penting iaitu mengenai ‘yaum al-qiamah ‘.Sebagaimana yang kita tahu bahawa hari kiamat adalah perkara yang pasti.

Terdapat banyak tanda-tanda kiamat kecil yang telah berlaku pada masyarakat zaman kini. Allah s.w.t telah merakamkan dalam Al-Quran mengenai hari kiamat ini di dalam surah Al-Ahzab ayat 63.Antara tanda-tanda kiamat kecil adalah penaklukan baitul maqdis, zina yang bermaharajalela, bermaharajalelanya alat muzik, menghias masjid untuk membanggakannya, munculnya kekejian, memutuskan hubungan silaturrahim, orang yang hina mendapat kedudukan yang terhormat dan sebagainya. Sebagai seorang muslim hendaklah kita mempersiapkan diri sebaik yang mungkin sebelum kita menemui kematian.

Ribat Perdana KPIPM di teruskan lagi pada keesokan harinya dengan sedikit pengisian seperti qiamulail, solat subuh Jemaah,bacaan Al-Ma’thurat , Surah Al-Waqiah dan akhir sekali  tazkirah khas yang telah disampaikan oleh Ustaz  Arif bin Hamzah selaku Timbalan Setiausaha Agung PMRAM sesi 2014 merangkap Badan Pengurus Angkat PMRAM Cawangan Perak.

Tajuk  yang sangat menarik yang telah disampaikan oleh beliau ialah ‘ Merungkai Kelebihan Malam Nisfu Syaban ’.Seperti yang telah tercatat dalam kitab-kitab,pada malam nisfu syaban ini Allah telah menurunkan banyak kebaikan,rahmat dan diampunkan segala dosa-dosa bagi mereka yang memohon keampunan kepada Allah SWT.Mafhum hadis Nabi SAW ada menyebut bahawasanya Allah s.w.t akan mengampuni dosa hamba-hambanya pada malam nisfu syaban kecuali mereka yang musyrik kepada Allah dan mereka yang bermusuhan.

Tambahan pula,malam nisfu syaban ini juga adalah malam yang dimaqbulkan doa seperti malam jumaat, malam awal rejab dan malam dua hari raya.Pada bulan ini kita di galakkan untuk memperbanyakkan berpuasa dan melakukan amal-amal kebaikan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Namun perlulah kita ingat sesungguhnya amalan yang kita lakukan bukan untuk mendapat syurga Allah semata-mata akan tetapi  untuk mendapatkan rahmat dan redha Allah kerana masuknya syurga seseoarang hamba Allah bukan kerana amalannya tetapi kerana rahmat Allah SWT kepadanya.

                Semoga ceramah yang disampaikan dapat menatijahkan kefahaman yuang jelas tentang hari-hari kebesaran dalam Islam. Seterusnya dapat dipraktikkan dan diamalkan dalam kehidupan setiap individu muslim. Selari dengan usul yang dibawa oleh KPIPM bagi sesi ini untuk meningkatkan kefahaman Islam yang menyeluruh dalam kalangan ahli.

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN

#SATUFIKRAHSATUAMAL


Tuesday, June 10, 2014

‘IBRAH DI SEBALIK SYA’BAN

            
 ‘IBRAH DI SEBALIK SYA’BAN

            Terdapat banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada dua peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Sya’ban,iaitu peristiwa pertukaran arah kiblat dan terbelahnya bulan kepada dua.

     Dalam peristiwa pertukaran arah kiblat, kita dapat lihat bagaimana Nabi Muhammad SAW dan para sahabat menunjukkan sikap bagaimana perintah Allah SWT itu hendaklah dilaksanakan serta-merta tanpa bertangguh. Tidak perlu menghabiskan solat yang sedang dilakukan dan menunggu solat yang berikut bagi menghadap ke arah qiblat yang baru. Berbeza sekali dengan sikap kebanyakan umat Islam hari ini yang suka bertangguh dan melakukan sesuatu perkara tanpa landasan Al-Quran dan As-Sunnah. Sungguh jauh ketinggalan akhlak kita berbanding akhlak yang ditunjukkan oleh baginda Nabi S.A.W serta para sahabat.

   Nabi Muhammad SAW seperti mana yang ketahui,baginda sering disakiti dan diingkari oleh puak kafir kerana membawa kebenaran iaitu mentauhidkan Allah SWT. Ini termasuklah kejadian bulan terbelah dua, yang mempamerkan sikap buruk pihak musyrikin yang sukar menerima kebenaran yang terbentang. Mereka tetap dengan sikap degil mereka sedangkan mereka sendiri yang meminta baginda S.A.W menunjukkan bukti kebenaran kononya dengan bukti kebenaran tersebut mereka akan tunduk dan menyerah kalah.


     Hakikatnya mereka mempunyai niat yang buruk terhadap baginda Nabi S.A.W, kononnya Rasulullah SAW tidak akan mampu menunjukkan sebarang bukti kerana yang diminta semuanya bersifat luar biasa dan tidak masuk akal. Andainya bukti tersebut gagal ditunjukkan oleh baginda S.A.W maka semakin galaklah mereka memusuhi dan mengeji baginda Nabi S.A.W. Namun baginda tetap bersabar dengan sikap mereka sehingga mereka mempercayai dan menyakini keagungan dan keesaan Allah SWT.

    Lewat peristiwa ini, dapatlah kita mengambil pengajaran melalui kesabaran ketabahan Nabi SAW tanpa perlu berputus -asa dalam menyampaikan risalahNya dan memperjelaskan ketauhidan Allah SWT. Umat Nabi Muhammad SAW seharusnya menjauhi sikap yang ditunjukkan oleh puak kafir Quraisy yang mana mereka ini membutakan mata mereka sendiri setelah kebenaran di bentangkan di hadapan mereka. Janganlah sesekali kita menjadi seperti mereka yang sudah dibentangkan kebenaran tetapi sedaya-upaya mencari helah untuk membenarkan pegangan mereka yang tersasar itu.

      Begitulah yang terjadi kepada sebahagian masyarakat yang sering mencari helah untuk menidakkan atau melarikan diri dari suatu perintah Allah SWT. Hakikatnya mereka tahu tetapi buat seperti orang yang tidak tahu, bahkan ada pula yang berani mencabar serta memperlekehkan sesebuah syariat tersebut. Tidak cukup itu, mereka dengan lantang dan biadapnya sanggup melabelkan ahli ulamak sebagai sesat, wahabi dan kafir.Tidakkah ini persis sikap puak-puak kafir Quraisy? Hal ini jelas menunjukkan akhlak dan perilaku buruk itu berulang kembali pada hari ini.


Sumber : Risalah Tinta Dakwah (8), Biro Dakwah & Tarbiah KPIPM 2014.

Thursday, June 5, 2014

"USRAH WASILAH PERJUANGAN"


Allah subhanahu wataala telah berfirman di dalam kitabnya yang membawa maksud :

"Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka,dan kami tambahkan pertunjuk kepada mereka.Dan  kami teguhkan hatimereka ketika mereka berdiri(Bangun dan menghadap Raja Dikyanus yang zalin dan sombong) lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi,kami tidakmenyeru Tuhan selain dia.Sesungguhnya,kalau kami berbuat demikian,tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran."
                                                                                                                      
                                                                                             (Surah Al-Kahfi:13-14)
     


Berdasarkan ayat di atas  jelaslah kepentingan ruh golongan syabab (pemuda) dalam memastikan kesinambungan gerak kerja Islam. Ayat ini jugak menceritakan kepada kita syarat dan asas untuk memastikan  golongan ini berjuang  dan kita  juga berpegang untuk menjadi golongan pemuda yang berperanan dalam mengangkat darjat ummmah.
   
       Termaktub di dalam  sirah Rasulullah sallahu’alahi wasallam dan sejarah Islam yang mana golongan pemuda ini memainkan peranan penting dalam memastikan tertegaknya panji Allah subhanahu wataala di atas hamparan  bumi ini.

     Apabila kita ingin menegakkan panji Allah subhanahu wataala pasti di sana akan ada syarat yang perlu dipatuhi serta dipersetujui  yang telah ditetap oleh Allah subhanahu wataala agar pertolongan Allah subhanahu wataala dan kemenangan daripadaNya menjadi milik perjuangan Islam yang hakiki.

Antara elemen yang terpenting yang perlu dipatuhi adalah:

1)    Memiliki iman yang kental dan iman yang tasdik (dibenarkan) bukan sahaja pada hati dan jiwa kita akan  tetapi iman yang dicernakan dalam bentuk  amalan yang mampu menjadi qudwah(contoh) umpama al-Quran dan as-Sunnah menerangi bumi ini.

2)    Al-huda (pertunjuk dari Allah s.w.t). Dakwah merupakan satu proses pemindahan maklumat dan arahan al-Quran ke alam waqi’ie (realiti) dan ianya berhajat kepada pentafsiran dan penjelasan kepada semasa ummah.Islam tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk abstrak ataupun khayalan akan tetapi permasalahan ini akan dapat di rungkaikan melalui Al-huda daripadaNya.

3)    Islam bukanlah addin(agama) untuk golongan al-mutafajirin(golongan yang hanya melihat) mahupun al-mutaqa’idin(golongan yang hanya berpeluk tubuh) tetapi golongan yang ditunjukkan adalah golongan yang bersifat haraki yang dinamiklagi produktif yang berupaya melahirkan sebuah natijah yang bukan bersifat jumud(beku).Ini tidak bermakna kita mengharapkan kepada sebuah natijah yang cepat akan tetapi ianya merupakan satu rangsangan daya juang yang sentiasa berpegang dan mengecapi redha daripada Allah s.w.t.

4)    Pertautan hati yang antara lainnya membawa makna untuk memerintahkan kita supaya bekerja  dan bergerak secara kolektif dan menghimpunkan hati-hati kita dengan ikatan iman,islam dan ukhuwah islamiyahyang tidak mengenal erti perbezaan melainkan taqwa kepada Allah s.w.t.Ikatan ini adalah ikatan yang simpulannya tidak akan terungkai melainkan dengan permasalahan serta perbezaan furu’(perkara yang cabang) tetapi yang sentiasa diarahkan oleh panduan al_quran dan as-Sunnah.



Usrah merupakan tunjang kekuatan dalaman umat Islam.

     Usrah yang bermaksud keluarga yang merupakan satu medan di mana ahlinya turut menjalani satu proses pembentukan yang dibina berdasarkan semangat ukhuwah islamiyah.Jika kita menyebut ianya sebagai salah satu proses pembentukan maka di sana membawa  makna penekanan  serta perbincangan  di dalam usrah dalam mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh.Penekanan terhadap unsur-unsur yang dapat melahirkan peningkatan dalam kefahaman islam sebagai satu sistem yang lengkap lagi melengkapkan.

       Islam amat menitik beratkan pembentukan usrah dikalangan ahlinya dan mengarah mereka supaya mampu menjadi qudwah hasanah ,mengeratkan ikatan ukhuwah  serta mengangkat tahap persaudaraan mereka dari sudut perkataandan teori kepada perbuatan dan praktikal. Usrah disusun untuk mengapai keredhaan Allahs.w.t disamping mendekatkan diri kepadaNya, selain itu, fungsi usrah juga adalah bagi mengeratkan tautan ukhuwah serta memelihara dan menghubungkan diri sesama manusia dan alam,mendalami ilmu fardu ain,memberi galakan serta bimbingan dalam aspek ibadah kepada ahli usrah,merawat unsur negatif  dalam diri dan mendalami dan menteladani sirah dan sejarah Islam.

     Aktiviti usrah dapat memupuk semangat islam  dikalangan ahli yang menyertainya.Pelbagai pendedahan dan perbincangan usrah  antaranya bacaan al-quran ,tafsir,fiqh,akidah,isu semasa dan banyak lagi.Selainitu,hubungan silaturahim yang terbina dapat meningkatkan keberanian kepada ahli usrah dalam menyampaikan pendapat dan melampirkan hujah dikalangan ahli usrah.

 Sehubungan itu, isi usrah mestilah dikembangkan  supaya menjadi lebih menarik dan kreatif tidaklah hanya tertumpu kepada pembacaan teks dan hafalan semata-mata.Pendekatan usrah ini juga sangat efektif kerana bilangan ahli di dalamnya  tidaklah terlalu ramai dan dapat memfokuskan topik perbincangan yang dibincangkan mengikut  ketetapan ketua usrah.

            Oleh yang demikian, jelaslah di sini betapa pentingnya usrah sebagai satu wasilah dakwah dan perjuangan. Bertepatan dengan dasar KPIPM yang menjadikan Al-Quran dan As-sunnah sebagai panduan, yangtelah  menjadikan Jabatan Fasilitator sebagai salah satu penggerak institusi tarbiah khusus buat anak-anak Perak di Bumi Mesir ini.

SATU FIKRAH SATU AMAL

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN
KEUNGGULAN SYAKHSIAH TUNJANG WAHDAH.

Nukilan :
Saudari Nabilah Binti Mokhtar
Timbalan Pengarah,
Jabatan Fasilitator Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
Sesi 2014.




LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...