Saturday, December 27, 2014

UJIAN ITU HADIAH DARI ALLAH

UJIAN ITU HADIAH DARI ALLAH


    Hari terus berganti hari, kehidupan manusia juga terus berjalan pantas seiring dengan masa yang pantas berlari. Dicelah-celah hari berwarna-warni yang dijalani dan ditelusuri. Tanpa disedari ataupun tidak,manusia sebenarnya telah pun menempuhi pelbagai ujian dan dugaan. Ujian-ujian yang datang menyapa silih berganti dalam pelbagai bentuk dan rupa. Setiap orang ujian yang diberikan oleh Allah S.W.T adalah berbeza-beza mengikut tahap kemampuannya.


  Firman Allah S.W.T :

“Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya.”

(Al-Baqarah 286)


    Allah S.W.T telah mengatakan dengan jelas di dalam Al-quran bahawa Dia tidak akan sesekali menguji hambanya di luar kemampuan hambaNya. Allah S.W.T mengetahui kita kuat menghadapi ujiannya, oleh kerana itu Dia memberikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah S.W.T kepada kita sebagai hambaNya.


    Hakikatnya di saat ini, kita sedang mengecapi bahagia, ada berjuta manusia di luar sana yang sedang dihujani dengan pelbagai ujian atau dihimpit dengan pelbagai dugaan. Diantaranya, baru-baru ini kita digemparkan dengan banjir besar yang menimpa saudara kita di Malaysia. Ada juga dalam kalangan mereka di sana diuji dengan kehilangan harta benda dan sebagainya. Tidak kurang juga, ada manusia diuji apabila apa yang diingini dan diharapkan tidak terjadi dan diberi.


    Mungkin tanpa ujian-ujian dan dugaan yang dikirimkan khas oleh Allah S.W.T untuk kita sebagai hambaNya, kita masih lagi menjadi seorang hamba yang hanyut dan tewas dalam lautan kelalaian. Apa yang paling utama sebenarnya adalah “HADIAH” itu dikirimkan ole h Allah S.W.T  adalah bertujuan untuk menilai sejauh mana tahap keimanan kita terhadapNya.


   Justeru, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali segala prasangka buruk yang mungkin pernah bermain difikiran kita saat diuji. Inilah saatnya bagi kita mengubah fikiran kita dan mula memandang ujian-ujian yang akan kita lalui sebagai sebuah hadiah daripada Allah S.W.T dan bukan lagi satu bebanan. Apabila kita benar-benar menyedari hakikat ini, maka kita akan menjadi seorang hamba yang bersyukur dengan segala ujian yang diberi oleh Allah S.W.T.




SUMBER : Warkah Da'ie, Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2014/2015






Monday, December 8, 2014

PERMOHONAN DERMASISWA ONLINE PERAK TELAH DIBUKA



PERMOHONAN DERMASISWA ONLINE BAGI MAHASISWA/WI PERAK TELAH DIBUKA

Makluman kepada seluruh mahasiswa/wi Perak, permohonan Dermasiswa Zakat Perak sesi 2014/2015 telah dibuka. Bagi sesiapa yang ingin memohon, sila rujuk laman http://www.maiamp.gov.my/dermasiswa untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu :

  • Pemohonan Kali Pertama anda perlu :


- Membuat pendaftaran online terlebih dahulu di laman web yang sama:
             http://www.maiamp.gov.my/dermasiswa
- Dinasihatkan kepada pemohon agar mengisi borang online ini dengan LENGKAP tanpa meninggalkan mana-mana bahagian kosong untuk memudahkan proses permohonan.

 -Sila cetak (print) borang permohonan online anda yang telah lengkap, kemudian lampirkan dokumen-dokumen berikut (sebanyak satu salinan sahaja) :

1.       SALINAN PASPORT DAN VISA PEMOHON.
2.       SALINAN KAD PENGENALAN PEMOHON DAN SIJIL LAHIR.
3.       SALINAN SURAT TAWARAN SAMBUNG BELAJAR / PENGESAHAN        KULIAH.
4.       SALINAN SIJIL PENGAJIAN (SPM /STAM/ SYAHADAH THANAWI/           SIJIL I’DADI (BU’UTH).
5.       SALINAN SURAT KEBENARAN MELANJUTKAN PELAJARAN KELUAR   NEGARA DARI KEMENTERIAN PENDIDIKAN.
6.       SALINAN KAD PENGENALAN IBU DAN BAPA / PENJAGA.
7.       PENYATA GAJI IBU BAPA/ PENJAGA ATAU SURAT PENGESAHAN       PENDAPATAN DARI KETUA KAMPUNG/ PENGHULU BAGI YANG           BEKERJA SENDIRI.
  • Bagi yang PERNAH MEMOHON anda perlu:


1.       Mengemaskini online terlebih dahulu di laman web: http://www.maiamp.gov.my/dermasiswa
2.       Dinasihatkan kepada pemohon agar mengisi borang online ini dengan LENGKAP tanpa meninggalkan mana-mana bahagian kosong untuk memudahkan proses permohonan
3.       Sila cetak (print) borang permohonan online anda yang telah lengkap, kemudian lampirkan dokumen-dokumen berikut:

1.       PENGESAHAN PENGAJIAN TERKINI
2.       KEPUTUSAN PEPERIKSAAN TERKINI
3.    PENYATA GAJI IBU BAPA/ PENJAGA ATAU SURAT PENGESAHAN       PENDAPATAN DARI KETUA KAMPUNG/ PENGHULU BAGI YANG           BEKERJA SENDIRI.

Diingatkan kepada pemohon untuk menghantar permohonan serta salinan dokumen yang lengkap SELEWAT-LEWATNYA 21 DISEMBER 2014 kepada Pejabat ATASE Pendidikan Negeri Perak, Baitul Ridzuan (Wisma B).

Sebarang permasalahan dan pertanyaan sila rujuk:


·         Setiausaha Agung KPIPM sesi 2014/2015
-Saudara Muhamad Akmal Bin Ahmad (+201158452897)

·         Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2014/2015
-Saudari Umi Atikah Binti Samsudin (+201122528674)

·         ATASE Pendidikan Negeri Perak
-Ustaz Munawir Bin Mohamed Noh (+201122141005)

·         Pembantu ATASE Pendidikan Negeri Perak
-Ustaz Abdul Munaim Bin Nordin (+201147886907)



IBRAH BAHNASA'14 : "Kembara Sejarah, Perluas Thaqafah"



Kaherah, 29 november 2014, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014/2015 di bawah anjuran  Biro Perhubungan Sambutan dan Rehlah (BPSR) telah mengadakan jaulah ke Bahnasa El-Minya seramai 69 orang peserta di peringkat ikhwah. Manakala jaulah di peringkat HEWI di bawah anjuran  Ketua HEWI telah diadakan seminggu selepas itu pada 6 Disember 2014 telah mendapat penyertaan seramai 48 orang peserta.


       Program jaulah kali ini dinamakan Ibrah Bahnasa’14 dan bertemakan “Kembara Sejarah, Perluas Thaqafah”. Antara objektif yang digariskan dalam program ini adalah  untuk menghayati pengorbanan dan jasa para sahabat dan auliya', menambahkan ilmupengetahuan serta  menanamkan fikrah Islamiah dalam kalangan ahli KPIPM. Para perserta program bertolak dari Kaherah pada jam 12.30 malam ke Bahnasa dengan menaiki sebuah bas dan coaster.


          Keesokkan harinya, para perserta berkumpul di Masjid Sheikh Ali Jumam pada jam 7.40 pagi. Program di mulakan dengan alunan qasidah oleh saudara Ahmad Azhan Bin Fahimi dan tazkirah rohani yang disampaikan oleh saudara Amin Syazwan Bin Shahrin. Selepas itu, para perserta bersarapan dan seterusnya mendengar sedikit taklimat penerangan mengenai tempat-tempat yang akan dilawati oleh musyrif penerangan iaitu Ustaz Huzairy Bin Zamzuri. Para perserta dibawa melawati makam pertama iaitu Qadhi Qudho Bahnasa, Aulad A’qil Bin Abi Tolib, Syaid Ali Jumam dan seterusnya berpindah ke pokok Saidatina Maryam yang mana merupakan tempat  beliau berteduh ketika kembali ke Baitul Maqdis.

          Selepas itu, program ini diambil alih oleh saudara Ahmad yang berbangsa arab selaku Ketua Bahagian Penerangan di Bahnasa dengan  membawa peserta-perserta menziarahi makam ahli bait Hassan Bin Solleh Bin Zainul Abidin Bin Hassan Bin Ali, Saidatina  Ruqoyah dan Muhammad Quraisy ulama’ pada zaman Uthamaniah. Perjalanan diteruskan lagi ke makam 12 ahli Badar yang telah syahid di Bahnasa ketika mana Saidina Umar mengarahkan tenteranya membuka kota Bahnasa bagi  menyebarkan ajaran Islam. Para  perserta turut tidak melepaskan peluang untuk menziarahi makam Saidah Quwailah Binti Azwar yang merupakan salah seorang wanita yang berani berjuang untuk menyelamatkan saudaranya yang telah ditahan oleh tentera Rom. Beliau telah menyamar sebagai lelaki dan mencerobohi kem tentera tersebut.

           Kemudian, para perserta bergerak ke perkampungan yang berhampiran dan di situ terdapatnya sebatang sungai yang bersambung dari Sungai Nil dikenali sebagai "Bahrul Yusufi". Seterusnya para peserta berhenti berehat di masjid yang berdekatan iaitu Masjid Hassan Bin Solleh Bin Ali Bin Zainul Abidin. Uniknya masjid ini kerana masih mengekalkan tiang asalnya dan penduduk di situ  masih menggunakan  air  telaga sebagai tempat  berwudhu'. Dalam perjalanan pulang para peserta berhenti menziarahi makam A’fan Bin A’bban Bin Uthman Bin A’fan dan Muhammad Bin Abi Qufadi. Seusai menunaikan solat zohor dan makan tengah hari,  semua peserta menaiki kenderaan untuk ke makam Tujuh Wanita. Makam ini adalah makam terakhir  para perserta lawati sebelum berangkat pulang ke Kaherah.

          Alhamdulillah, jaulah Bahnasa yang dianjurkan ini telah mendapat sambutan yang baik dari ahli dan mencapai objektif yang telah dirangka dan tema yang telah dibawa iaitu ‘Kembara Sejarah, Perluas Thaqafah”.





Sunday, December 7, 2014

RAMAH MESRA BERSAMA AHLI KPIPM DI DALAM PROGRAM INTERAKSI BKAN ANJURAN PERUBATAN CAWANGAN MANSURAH



Mansurah, 3hb Disember yang lalu Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah memenuhi jemputan Perubatan Cawangan Mansurah (PCM) bagi memberi penerangan mengenai Badan Kebajikan Anak Negeri Perak atau KPIPM dalam majlis Interaksi BKAN yang dianjurkan oleh mereka di sana.

     KPIPM diwakili oleh Yang Dipertua, Setiusaha Agung dan beberapa orang AJKT dan HEWI tidak melepaskan peluang untuk berjumpa dan beramah-mesra dengan anak-anak perak yang berada di sana. Program yang diadakan ini bertujuan untuk memperkenalkan fungsi BKAN kepada mahasiswa baru secara khasnya dan kepada seluruh anak-anak Perak di bumi Mansurah secara amnya di samping mengeratkan ukhuwah di antara pimpinan dan ahli KPIPM. Pihak Kpipm disambut baik setibanya di bumi Mansurah oleh mandub dan mandubah serta anak-anak Perak di sana.

     Program Interaksi BKAN untuk anak-anak Perak bermula pada jam 8.30 malam yang di pengerusikan oleh Saudara Abdul Rahman Bin Abdul Halim selaku Mandub Mansurah. Ramah mesra ini dimulakan dengan ucapan daripada Yang Dipertua Saudara Muhammad 'Asri Bin Mohd Salim dan ucapan wakil Perubatan Cawangan Mansurah, kedua-dua ucapan darpada wakil ini menyatakan kegembiraan dapat bertemu di dalam program seperti ini.

     Seterusnya program diteruskan lagi dengan sesi taaruf serta pengenalan mengenai sejarah KPIPM yang telah dibentangkan oleh Yang Dipertua KPIPM sendiri. Selesai taaruf dan penerangan dari Yang Dipertua semua yang hadir disajikan dengan tayangan video pengenalan AJKT dan HEWI sesi 2014/2015 dan sejarah KPIPM sejak awal penubuhannya.

     Program diteruskan lagi dengan taklimat mengisi borang keahlian KPIPM dan Taklimat Zakat atau dermasiswa yang disampaikan oleh Jabatan Setiausaha Agung KPIPM. Seterusnya sesi soal jawab dibuka kepada semua anak-anak Perak di sana. Semua yang hadir memberikan respon yang baik terhadap segala taklimat yang telah dibentangkan.

     Dengan berakhirnya sesi soal jawab tersebut maka berakhirlah program Intetaksi BKAN atau Ramah Mesra Pimpinan KPIPM bersama ahli KPIPM di Mansurah. Pihak KPIPM amat berbesar hati kerana telah diberikan peluang seperti ini dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perubatan Cawangan Mansurah kerana menjemput KPIPM ke sana. Semoga jalinan ukhuwah ini kekal selamanya dan diharapkan program seperti ini dapat di teruskan lagi pada masa akan datang.






MUZAKARAH BERKELOMPOK GABUNGAN : Tubuh Cergas Manifestasi Minda Yang Cerdas


Tubuh cergas manifestasi minda yang cerdas.


Jumaat, 5 Disember- ‘Hari Jumaat, Hari Usrah’. Pihak KPIPM telah mengadakan Muzakarah Berkelompok (MB) gabungan di peringkat ikhwah. Penganjuran ini dikelolai oleh Jabatan Fasilitator di bawah Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2014/2015 yang berlangsung di Nadi Syabab, Hayyu Sadis.


     Aktiviti futsal yang berlangsung mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua ahli. Turut hadir menyertai seluruh barisan kepimpinan KPIPM memeriahkan lagi suasana aktiviti riadhah tersebut.


     Sehubungan dengan itu, keberjayaan aktiviti ini sangat menggalakkan dan mencapai objektifnya. Antara objektif MB gabungan ini adalah untuk meribat ukhwwah sesama ahli yang baru dan lama, serta menjaga kesihatan jasmani di kalangan ahli agar sentiasa cergas dan menatijahkan akal yang cergas juga.


     Pihak penganjur mengharapkan agar seluruh ahli dapat memberikan komitmen yang terbaik di dalam MB setiap minggu, serta tidak dilupakan untuk kita bersama-sama menjaga kesihatan jasmani dan rohani supaya momentum tubuh badan sentiasa cergas. Di samping imtihan yang bakal tiba tidak lama lagi.







Tuesday, December 2, 2014

Di Manakah Keutamaan Kita?

Di manakah keutamaan kita?
Kuliah dan Talaqqi kedua-duanya adalah ilmu. Namun di sana ada perbezaan di antara keduanya. Antara unsur yang membezakan keduanya ialah sistem pengajian talaqqi ini tiadanya sistem peperiksaan, dan juga sistem talaqqi biasanya bermatlamatkan ‘khatam seluruh isi kitab dari kulit ke kulit’ bermula daripada mensyarahkan tajuk kitab, riwayat hidup pengarang kitab sehinggalah apa yang disampaikan oleh pengarang kitab pada penutup dibahagin akhir kitab. Dan akhirnya pengajar akan mengijazahkan sanad (bersambung ilmunya daripada syeikh sehingga pengarang kitab) kepada anak murid.

Berbeza pula dengan sisitem pengajian di kuliah (universiti), yang mana matlamat mereka pula ‘menghabiskan keseluruhan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan untuk imtihan’. Jikalau pensyarah laju seperti arnab yang makan lobak 6 kilogram setiap hari, insyaAllah akan habis kesemua sukatan tersebut, manakala jikalau pensyarah seperti kura-kura yang tidak diberi makan selama 6 hari, makanya terkadang setengah buku pun tidak sampai, terus dibuat peperiksaan sekadar pada apa yang dipelajari kerana mengejar masa peperiksaan.

Sebagai Azhari/ah, kedua-duanya perlu, cuma yang manakah perlu diutamakan? Disinilah persoalannya. Pertama sekali kita kembali kepada asas. Apakah tujuan kita ke Mesir? Iya, menuntut ilmu sebanyak mungkin. Kemudian amanah kita. Amanah pada diri sendiri dan ibu bapa. Apakah yang ibu bapa ingin lihat daripada kita di sini? Iya, berjaya dalam pelajaran dan cemerlang dalam peperiksaan. Sudah tentu kita tak ingin kecewakan mereka bukan? Maka di sini jelas keutamaan kita adalah kuliah berbanding talaqqi dek kerana amanah kita terhadap orang tua.

Seterusnya pengajian talaqqi yang bagaimanakah kita perlu ikut dan bagaimana dengan pengurusan masanya pula? Sekadar pandangan,  harus kenalpasti dahulu jenis pengajian kitab yang ingin kita ikuti bersesuaian dengan tahap kita. Seeloknya mula dari bawah . Perlahan-lahan naik satu demi satu. Kemudian buat ketetapan dalam satu atau dua pengajian dahulu yang ingin diikuti dan istiqamah. Tak perlu tergopoh gopoh nak ikut banyak pengajian sehingga akhirnya membebankan kita dan berhenti sekerat jalan.

Dari aspek masanya pula, pastikan pengajian yang diikuti tidak bertindih dengan kelas di kuliah. Sekiranya iya, maka perlu membatalkan pengajian talaqqi tersebut. Khususnya bagi mahasiswa tahun pertama, lebih digalakkan lagi untuk memfokuskan pengajian di kuliah sehinggalah keadaan menjadi stabil . Seterusnya, kosongkan waktu selepas isya’ untuk muzakarah bersama rakan-rakan. Cukuplah seharian kita bertalaqqi, luangkan masa pula untuk  belajar sendiri atau duduk berbincang bersama kawan-kawan berkenaan ilmu sama ada ilmu di kuliah atau sebagainya.


Hakikatnya di Mesir ini ada tiga kelompok pelajar, kelompok yang pertama adalah mereka yang cenderung pada kelas di kuliah sahaja, tidak langsung mengikuti mana-mana kelas selainnya. Golongan ini sudah cukup baik kerana ia masih berada dilandasan sebenar. Adapun kelompok yang kedua adalah sebaliknya, mereka hanya tumpu pada pengajian talaqqi sehingga mengabaikan kelas di kuliah. Kelompok ini dilihat kurang baik kerana sudah tersasar dengan tujuan utama serta amanah pada orang tua. Ibu bapa tidak nampak aktiviti kita di sini, cuba suatu hari kita hubungi mereka dan beritahu mereka yang kita selalu ponteng kuliah. Boleh bayang tak bagaimana perasaan mereka? Kelompok yang terakhir adalah mereka yang mampu untuk menyeimbangkan kedua-duanya. Ini dilihat sebagai golongan yang terbaik atas beberapa sebab , antaranya , kemungkinan untuk berjaya dalam peperiksaan adalah tinggi atas kesungguhannya menuntut ilmu serta tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar dan seorang anak. Maka kita nilailah kita di kelompok yang mana. Wallahu a’lam.

SUMBER: Warkah Da'ie (BIL 7), Biro Dakwah dan Tabiah KPIPM Sesi 2014/2015

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...