Saturday, November 26, 2016

SELAMATKAN SAUDARA KITA DI ROHINGYA




SELAMATKAN SAUDARA KITA DI ROHINGYA

          Dunia sekali lagi dikejutkan dengan isu pembantaian Muslim di Rohingya, ia bukanlah isu baru bahkan polemik ini telah lama bertali arus menerpa ke telinga kita dan entah bila pengakhirannya. Sepertimana yang kita sedia maklum, sejak tahun 1982 undang-undang kewarganegaraan Burma tidak mengakui Muslim di Rohingya sebagai warganegara. Sasaran serangan kali ini lebih tertumpu kepada satu wilayah yang terletak di bahagian Utara Arakan atau Rakhine. Wilayah Arakan ini berdekatan dengan sempadan negara Bangladesh dan dihuni oleh minoriti umat Islam. Mereka dianugerahkan dengan kekayaan pelbagai sumber alam yang mencurah-curah tetapi tersenarai dalam kawasan termiskin dek kerana tangan si bedebah yang rakus dan gila kuasa dalam memerintah.

          Secara umum kita telah mengetahui, Proses Genocide (Pembersihan) Etnik Muslim di Myanmar yang merupakan negara tuan rumah bagi Piala AFF Suzuki Cup 2016 telah bermula sejak sekian lama. Jika disoroti tarikh yang paling hampir, pembantaian ini bermula pada Jun 2016 dan serangan terbaru pada pertengahan Oktober 2016. Mereka diasak habis-habisan dari segenap sudut. Berita melaporkan polis dan tentera dikerah untuk menyerbu dan mengusir agar mereka keluar dari perkampungan yang sedia ada. Malahan, tentera juga turut menyekat segala bentuk bantuan makanan, bukan sekadar rumah-rumah dibakar bahkan yang lebih kejam mereka membakar bayi-bayi dihadapan ibu mereka sendiri. Angka kematian terus meningkat dari semasa ke semasa. Situasi lebih memuncak apabila tentera menyerang menggunakan helikopter dan mortar.

          Begitulah potret duka dan nasib muslim di sana. Mereka seolah-olah terpenjara dalam negara sendiri, bagai digantung tidak bertali. Musibah dan keperitan yang dialami ini memaksa mereka menyeberang ke Sempadan Bangladesh, dikhabarkan 37,000 orang pelarian kini sedang meninggalkan kampung halaman masing-masing untuk mencari perlindungan namun ianya tidak juga terbela, bahkan apa yang lebih teruk suara pemimpin Myanmar masih tidak kedengaran, hanya diam seribu bahasa.

          Sabda Nabi SAW: Seorang muslim itu adalah saudara bagi muslim yang lain, oleh itu janganlah kamu menzalimi dan meremehkannya dan jangan pula kamu menyakitinya..

          Justeru itu, peristiwa berdarah ini sewajarnya mendapat perhatian, simpati dan keprihatinan semua pihak. Oleh itu, marilah sama-sama kita mengambil tahu dan cakna akan isu semasa yang berlegar di sekitar umat Islam khususnya dan seluruh dunia umumnya. Teruskan membantu mereka walau sekadar berdoa, kerana doa itu senjata mukmin. Jangan ada yang masih berpeluk tubuh, bahkan tunjukkan solidariti anda selaku mahasiswa. Semoga Allah menurunkan nusrah di bumi bertuah ini dan fajar Islam kan berputik kembali. Sekian.

Bersama bersatu kita jayakan kempen BTKKR sesi kali ini, KEMPEN ACT FOR PEACE !


Disediakah oleh :
Muhammad Nur Ikhwan bin Shamsudin
Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2016/2017

Tuesday, November 8, 2016

PROSEDUR BAHARU MEMPERBAHARUI VISA PELAJAR MALAYSIA UNIVERSITI AL AZHAR


TAKLIMAT PROSEDUR BAHARU MEMPERBAHARUI VISA PELAJAR MALAYSIA UNIVERSITI AL AZHAR

Selasa , 1 Nov 2016 di Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK)

Panel penyampai : Mr Ahmad Zakariyya ( Mudir Qism al Jawazat Maktab Ri'ayah at Tullab al Waafideen ) Rabitah al Khirrijin al Azhar

● PENGENALAN KEPADA "MAKTAB RI'AYAH AT TULLAB AL WAFIDEEN"

Merupakan inisiatif daripada pihak Rabitah melalui pekeliling yang disebut oleh al Imam al Akbar Syeikhul Azhar untuk membantu pelajar asing daripada beberapa buah negara yang ditakrifkan sebagai "دول استطلاع الأمن" bagi melancarkan urusan yang berkaitan dengan permit/iqamah (visa) pengajian di Mesir.

● PELAJAR YANG TERLIBAT TERBAHAGI KEPADA 3 KATEGORI

1) Marhalah Jami'iyyah (Kuliah & Perubatan)
2) Ma'ahid al Azhar (Bu'uth, Qiraat Shoubra)
3) Markaz Bahasa Arab Sheikh Zayed

● KEDUDUKAN "MAKTAB RI'AYAH AT TULLAB AL WAFIDEEN"

1) Bagi urusan pelajar LELAKI KULIAH, PERUBATAN & MARKAZ :
Dalam Masjid bersebelahan dengan Kuliah Dakwah al Azhar Hayyu Saadis

2) Bagi urusan pelajar PEREMPUAN KULIAH,PERUBATAN & MAKAZ :
Dalam Bangunan Kulliyah Soidalah di Kulliyatil Banat, Tingkat 2

3) Bagi pelajar MA'AHID AL AZHAR LELAKI & PEREMPUAN
(Bu'uth & Shoubra) :
Maahad al Bu'uth, Madinatul Bu'uth Abbasiyah

● Al Azhar telah mewartakan satu pekeliling baharu di mana semua pengeluaran Tasdiq & Ifadah disekatakan dalam satu format sahaja dan ianya tidak lagi diserahkan kepada pelajar secara individu, malah sebaliknya pihak pengurusan universiti sendiri yang akan menguruskan pengeluaran (Tasdiq dan Ifadah) kemudian menghantarnya ke Maktab Ri'ayah at Tullab al Wafideen. Urusan ini dianggarkan memakan masa selama 3-4 hari oleh pihak panel pembentang. Walaubagaimanapun ianya tertakluk kepada tahap komitmen diperingkat kuliah itu sendiri. Para pelajar hanyalah perlu mengisi BORANG PERMOHONAN TASDIQ/IFADAH yang disediakan di kuliah masing2 dan menunggu dalam tempoh 3-4 hari sebelum ke Maktab Ria'yah at Tullab al Wafideen untuk urusan permohonan visa. Al Azhar melancarkan tatacara ini setelah mendapati lebih daripada 200 TASDIQ palsu dan pelbagai format yang diterima diperingkat pengurusan Imegresen Republik Arab Mesir.

● TATACARA PEMBAHARUAN VISA

► Pastikan tempoh sah visa/iqamah masih berbaki sekurang-kurangnya 1 bulan sebelum pasport dihantar untuk proses pembaharuan.

► Isi borang permohonan Tasdiq / Ifadah di kuliah masing2 (boleh survey di kuliah masing-masing tempat yang dikhususkan untuk urusan ini) - kebiasaannya di 'syu'un', sebagaimana yang diterangkan oleh pembentang tiada apa-apa bayaran yang dikenakan pada urusan ini.

► Selepas 3-4 hari pelajar menuju ke Maktab Ri'ayah at Tullab al Wafideen (mengikut pusat pengajian masing-masing) bagi proses permohonan iqamah/visa. Di sini pelajar perlu :

      1) Mengisi borang Iqamah Imegresen Republik Arab Mesir (borang disediakan di sana dan PASTIKAN TIADA SEBARANG KESALAHAN DIBUAT SEMASA MENGISI BORANG, BERIKAN MAKLUMAT SEPERTIMANA YANG TERTERA PADA PASPORT, dan SEBARANG KESALAHAN YANG DIKESAN PADA BORANG MENGAKIBATKAN BORANG TERSEBUT TIDAK AKAN DIPROSES dan PELAJAR PERLU MENGISI BORANG YANG BARU)

      2) Sediakan 2 keping gambar berukuran pasport
      3) Sediakan 2 salinan muka depan pasport
      4) Sediakan 2 salinan setiap helaian pasport yang bercop
      5) Bagi pelajar MARKAZ sahaja , perlu mendapatkan 'Khitab Safarah' yang akan dikeluarkan oleh pihak Education Malaysia Egypt (EME)
      6) Bayaran perlu dibuat sebanyak EGP 24.00 bagi kos setem rasmi, pelajar akan dibekalkan dengan Resit Pembayaran dan Perakuan Terimaan Pasport daripada pihak Maktab setelah bayaran dibuat. Diingatkan kepada pelajar agar menyimpan sebaik mungkin Resit dan Perakuan tersebut untuk keselamatan dan urusan berkaitan dengan pihak berkuasa setempat

► Tempoh pengeluaran iqamah/visa memakan masa selama 1 bulan selepas   tarikh permohonan dibuat kemudian pelajar boleh tuntut pasport masing-masing  selepas tempoh tersebut di Maktab yg berkenaan.

● MAKLUMAT TAMBAHAN

- Waktu operasi Maktab bermula hari Ahad hingga Khamis pd jam 6.00 pagi hingga 2 petang setiap minggu (tidak termasuk cuti umum Negara Mesir)

- Urusan boleh diwakilkan sekiranya Wakil tersebut mendapat pengesahan rasmi daripada pihak KBMK dan KEMENTERIAN LUAR NEGERI MESIR (surat, setem dan cop)

- Kelewatan permohonan memperbaharui visa akan dikenakan denda bermula pada kadar EGP 80.00 dan seterusnya mengikut tempoh kelewatan. Perkara ini akan dikemaskini melalui pekeliling pihak Imigresen Mesir dari semasa ke semasa

- Sebarang komentar dan penambahbaikan bolehlah diutarakan kepada 'Maqar ar Raabitah, Idarah al Wafideen.

Yang Benar,

MUHAMMAD NUR IKHWAN BIN SHAMSUDDIN
KETUA BIRO TABUNG KEBAJIKAN, KESENIAN DAN RIADAH
KPIPM SESI 2016/2017

BERILMU BERAMAL IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN "

Monday, November 7, 2016

"MB GABUNGAN MENYATUKAN KITA"




MB GABUNGAN MENYATUKAN KITA
KAHERAH, 4 November 2016 Keluaga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir di bawah anjuran Biro Dakwah dan Tarbiah dan Biro Tabung Kebajikan Kesenian dan Riadah telah mengadakan Muzakarah Berkelompok Gabungan  ikhwah. Ahli yang hadir seramai 80 orang, program ini bertemakan ‘We Are One Family’

Muzakarah berkelompok gabungan ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan di antara ketua dan ahli muzakarah berkelompok di peringkat KPIPM. Selain itu, medium ini digunakan sebaiknya untuk mengeratkan lagi hubungan di antara ahli dengan kepimpinan sesi kali ini. Sebelum memulakan program ini, pihak pimpinan telah bertungkus lumus dalam merancang aktiviti dan menyediakan peralatan aktiviti  untuk melancarkan lagi program yang akan dijalankan. Program yang mengambil masa tidak begitu lama namun kesan dan objektifnya sangat memberangsangkan, disamping dapat mengukuhkan ukhwah dalam kalangan ahli, program seperti ini juga dapat mencerdaskan minda dan menyihatkan tubuh badan bersesuaian dengan kalam hukama "akal yang sihat datangnya dari tubuh badan yang sihat" .

Pada jam 8.00 pagi ahli sudah bergerak ke destinasi program iaitu Hadiqah Lotus. Pada jam 9.00 pagi aktiviti sudah dijalankan. Aktiviti yang disusun oleh pihak penganjur kali ini berbentuk riadah sukaneka. Terdapat beberapa acara telah dijalankan antaranya simpul mahabbah, lontaran kasih, duck ping pong dan sebagainya. Pelbagai gelagat dan aksi yang lucu dapat dilihat semasa aktiviti dijalankan dan peserta nampak ceria dan bersuka ria.

Alhamdulillah muzakarah berkelompok ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan ahli dan ianya berjalan denagn lancar. Satu usaha yang baik dirancang oleh pihak pimpinan untuk menghimpunkan ahli KPIPM yang berada di bumi anbiya ini khususnya di Kaherah. Muzakarah berkelompok kali ini mencapai objektif yang telah digariskan oleh pihak penganjur. Program di akhiri dengan ucapan Yang Dipertua KPIPM Ustaz Khairul Naim bin Abd Razak. Seterusnya ucapan dari Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak Ustaz Munawir bin Mohamed Noh.







Saturday, November 5, 2016

STRUKTUR ORGANISASI KPIPM SESI 2016/2017


STRUKTUR ORGANISASI KPIPM SESI 2016/2017 






BERILMU BERAMAL IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"




LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...