Thursday, December 24, 2015

MB GABUNGAN - "KAMI RASAKAN SEPERTI HARI KELUARGA"


MUZAKARAH BERKELOMPOK  GABUNGAN|IKHWAH

KAHERAH, 18 Disember 2015, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir di bawah anjuran Biro Dakwah dan Tarbiah (BDT) dan Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah telah mengadakan Muzakarah Berkelompok Gabungan Ikhwah. Ahli yang hadir sekitar 90 orang.

Muzakarah Berkelompok Gabungan ini bertujuaan untuk mengukuhkan lagi hubungan antara ketua dan ahli Muzakarah berkelompok diperingkat KPIPM. Selain itu, medium ini digunakan sebaiknya utuk mengeratkan lagi hubungan ahli dengan kepimpinan KPIPM sesi ini. Sebelum memulakan program ini, pihak pimpinan telah bertungkus lumus merancang aktiviti dan menyedia peralatan aktiviti untuk melancarkan lagi program yang akan dijalankan. Program yang mengambil masa tidak begitu lama namun kesan dan objektifnya sangat memberangsangkan, di samping dapat mengukuhkan ukhuwwah dalam kalangan ahli, program seperti ini juga dapat merehatkan fikiran ahli yang mana sekarang ini sedang bertungkus-lumus membuat persiapan untuk menghadapi imtihan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Pada jam 6.50 pagi ahli sudah mula bergerak ke destinasi program iaitu di Hadiqah Lotus. Pada jam 7.15 pagi aktiviti sudah mula dijalankan. Aktivti yang disusun oleh pihak penganjur kali ini berbentuk riadah sukaneka. Terdapat beberapa acara telah dijalankan antaranya Lari Ukhuwwah, Sambut Belon, Lari Itik Bertelur dan sebagainya. Pelbagai gelagat yang lucu dapat dilihat semasa aktiviti dijalankan dan peserta nampak ceria dan bersuka ria.

  Alhamdulillah Muzakarah Berkelopok ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan ahli dan ianya berjalan dengan lancar. Satu usaha yang baik dirancang oleh pihak pimpinan untuk menghimpunkan ahli KPIPM yang berada di bumi Anbiyak ini khususnya di Kaherah. Muzakarah Berkelompok kali ini mencapai objektif yang telah digariskan oleh pihak penganjur. "Kami rasakan seperti Hari Keluarga" itu antara komentar sebahagian peserta yang hadir.








BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Wednesday, December 23, 2015

BAGAIMANA RASULULLAH SAW MENYEMPURNAKAN AKHLAK YANG MULIA


BAGAIMANA RASULULLAH ﷺ MENYEMPURNAKAN AKHLAK YANG MULIA?

     Ramai orang menganggap akhlak yang baik, cantik, molek, mulia itu hanya dispesifikkan kepada berapa akhlak yang dipandang baik dan sejuk di pandangan orang lain. Seperti penyayang, pemurah, pemaaf dan sebagainya. Namun kita tidak menerokai kesemua akhlak yang mulia di sisi Allah SWT yang termaktub di dalam Al-Quran Al-Karim.

     Rasulullah ﷺ adalah role model utama kepada umat Islam yang mempunyai akhlak yang paling sempurna. Allah SWT memuji ketinggian akhlak Rasulullah ﷺ di dalam Al-Quran :

                                                                (وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ)
"Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia."

[Surat Al-Qalam : 4]

     Para Nabi-nabi yang sebelumnya juga disifatkan dengan sifat-sifat akhlak yang terpuji, tetapi mengapa Allah SWT menggunakan kalimah 'azim satu-satunya kepada Nabi Muhammad ﷺ? Apakah rahsia disebaliknya?

     Perkataan 'azim menunjukan kesempurnaan akhlak yang ada pada baginda. Bukan sahaja sempurna dengan sifat penyayang, pemurah, pemaaf , lemah lembut dan sewaktu dengannya, akan tetapi Rasulullah ﷺ juga seorang yang berani, tegas dalam menegakkan hak, sanggup berkorban, amanah, setia dengan janji dan banyak lagi kesempurnaan akhlak yang ada pada baginda.

     Segala apa yang disifatkan dalam Al-Quran merupakan akhlak Rasulullah ﷺ sepertimana apa yang disebut di dalam hadis apabila Saiditina Aisyah RA apabila ditanya tentang akhlak baginda :

ﻛَﺎﻥَ ﺧُﻠُﻘُﻪُ ﺍﻟْﻘُﺮْﺁﻥَ
“Akhlak beliau adalah Al-Quran."
[HR Ibn Baz]

     Umat Islam perlu juga mengetahui bahawasanya akhlak baginda Nabi Muhammad ﷺ adalah akhlak yang menyempurnakan akhlak manusia yang telah sedia ada. Kerana manusia itu secara fitrahnya mempunyai naluri dan akhlak asasi yang baik. Cuma ia tidak diacukan dengan acuan yang sebenar. Sabda Rasulullah ﷺ :

إنما بعثت لأتمم مكارم اﻷخلاق
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."
[HR at-Thabrani]

     Secara asasnya, manusia itu sifatnya penyayang dan pemaaf. Namun jika menurut Islam penyayang dan penyabar itu apabila terpesong daripada dasar Islam, maka nilai akhlak tersebut akan tertolak.

     Seperti seseorang lelaki menyayangi wanita yang bukan mahram sehingga bisa mencetuskan perbuatan zina. Juga memaafkan kafir harbi yang memerangi orang Islam.

     Seperti contoh seruan Rasulullah ﷺ untuk merotan anak yang tidak solat apabila masuk umur 10 tahun. Apa yang digagaskan dalam undang-undang hak asasi manusia bahawa orang dewasa tidak dibenarkan mencederakan kanak-kanak secara hakikat menghakis kefahaman umat Islam terhadap seruan Rasulullah ini.

     Akhlak seorang ibu atau bapa perlu tegas dalam mendidik lebih-lebih lagi dalam menyeru ke arah dasar Islam kepada anaknya iaitu solat. Maka perkara itu menyempurnakannya, kerana akhlak yang tidak mulia apabila membiarkan anak tidak mendirikan solat yang merupakan tiang agama.

     Oleh sebab itu, dalam mencontohi Rasulullah ﷺ perlu kita ambil keseluruhan akhlak baginda. Bukan mengambil sebahagian akhlak yang mudah diadaptasi dan meninggalkan akhlak yang sukar untuk dilaksanakan.

Moga-moga kecintaan kita pada Rasulullah ﷺ semakin menebal pada bulan "Maulidur Rasul" ini. Wallahua’lam.


Amar Arif bin Ahmad Po'aad
Mantan Timb. Yang Dipertua KPIPM sesi 2012/2013

PARLIMEN GREECE BERSETUJU IKTIRAF PALESTIN



Selasa, 22 Disember 2015.

ATHENS: Parlimen Greece dalam satu sesi khas pada Selasa meluluskan resolusi yang menyeru kerajaannya untuk mengiktiraf negara Palestin.

Presiden sidang berkenaan, Nikos Voutsis berkata kesemua parti dalam parlimen Greece telah memberi sokongan penuh kepada resolusi itu.

Voutsis berkata resolusi itu menggesa kerajaan Greece untuk "menggunakan prosedur yang sesuai bagi mengiktiraf Palestin dan menggiatkan usaha-usaha diplomatik bagi meneruskan perbincangan damai" di rantau itu.

Persidangan khas parlimen Greece itu turut dihadiri Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Perdana Menteri Greece, Alexis Tspiras, sebelum ini mengumumkan pihaknya tidak akan lagi merujuk dokumen-dokumen rasmi kepada pihak berkuasa Palestin, namun ia akan merujuk sebagai Palestin sahaja.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Mahmoud pada Isnin.

Jelasnya, lawatan Mahmoud ke Greece adalah sebagai simbolik bagi "mengukuhkan" hubungan antara kedua-dua Negara berkenaan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Athens mempunyai hubungan yang rapat dengan rejim Israel, terutamanya dalam bidang penjanaan tenaga, namun tetap mengekalkan hubungan yang baik dengan Palestin.

Tsipras ke Israel pada bulan lalu apabila dia bertemu dengan Mahmoud dan Perdana Menteri rejim, Benjamin Netanyahu.

Menurut Tspiras, Greece akan melihat "waktu yang terbaik" untuk mengiktiraf Negara Palestin, dengan mengambil kira "hubungan persaudaraan negara-negara Arab dan hubungan kerjasama dengan Israel."

Bendera Palestin dikibarkan buat kali pertama di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 30 September lalu sebagai satu tanda simbolik.

Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2015/2016 menyeru kepada semua untuk bersama-sama cakna dengan isu ummah demi masa depan umat Islam seluruhnya.

Ayuh bersama jayakan kempen FREEDOM !

Sumber : www.aljazeera.com

Monday, December 21, 2015

MAKLUMAN PEMBUKAAN PERMOHONAN DERMASISWA MAIPk 2016



PERMOHONAN DERMASISWA ZAKAT (FISABILILLAH) MAJLIS AGAMA ISLAM & 'ADAT ISTIADAT MELAYU PERAK BAGI MAHASISWA/WI PERAK PENGAJIAN ISLAM, SAINS KESIHATAN DAN LAIN-LAIN TELAH DIBUKA PADA 21 DISEMBER 2015 HINGGA 10 JANUARI 2016, KHUSUS UNTUK PERMOHONAN KALI KEDUA DAN BERIKUTNYA

Makluman kepada seluruh mahasiswa/wi Perak, permohonan Dermasiswa Zakat (Fisabillah) MAIPk telah dibuka.

Bagi sesiapa yang ingin memohon :
Sila layari : www.maiamp.gov.my/dermasiswa untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu para pemohon dikehendaki :

1.       Mengemaskini borang online terlebih dahulu di laman web:
www.maiamp.gov.my/dermasiswa

2.       Dinasihatkan kepada pemohon agar mengisi borang online ini dengan LENGKAP tanpa meninggalkan mana-mana bahagian kosong untuk memudahkan proses permohonan.

3.       Sila cetak (print) borang permohonan online anda yang telah lengkap, kemudian lampirkan dokumen-dokumen berikut:

1.       SALINAN TERJEMAHAN PENGESAHAN PENGAJIAN SEMASA
2.       SALINAN TERJEMAHAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SEMASA
3.       SALINAN SLIP GAJI IBUBAPA/ PENJAGA ATAU SURAT PENGESAHAN PENDAPATAN DARI KETUA KAMPUNG /PENGHULU BAGI YANG BEKERJA SENDIRI

Diingatkan kepada pemohon untuk menghantar borang online serta salinan yang lengkap SEBELUM TARIKH TUTUP yang telah dikemukakan

Sebarang permasalahan dan Pertanyaan sila Rujuk:
·         Setiausaha Agung KPIPM sesi 2015/2016
-Saudara Khairul Naim bin Abd. Razak
(+201100403093)


·         Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2015/2016
-Saudari Nurul Izzaty binti Osman (+201127066847)

·         ATASE Pendidikan Negeri Perak :
-Ustaz Munawir Bin Mohamed Noh (+201093355520)


Yang menjalankan tugas,
Khairul Naim bin Abd. Razak
Setiausaha Agung KPIPM sesi 2015/2016


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

KEMBARA AULIYA' TANTA : "AULIYA' DIJEJAKI, THAQAFAH DIMILIKI"


TANTA- Ketua Hal Ehwal Wanita Islam KPIPM sesi 2015/2016, di bawah seliaan Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah telah mengadakan ziarah maqam ke Tanta dengan penyertaan seramai 49 orang peserta. Ziarah ini diberi nama Kembara Auliya’ Tanta (KEMBARA’15).

  Ziarah yang bertemakan “Auliya’ Dijejaki, Thaqafah Dimiliki” ini seiring dengan objektif yang telah dirangka iaitu menambah thaqafah dengan mendalami kehidupan dan perjalanan ulama’, meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli. Para peserta program bertolak dari Kaherah sekitar jam 8 pagi dengan menaiki dua buah coaster dan sebuah van.

  Maqam auliya’ pertama yang kami ziarahi ini sangat masyhur dengan panggilan ‘Penyair Rasulullah’. Beliau merupakan pengasas Tarikat Khotibiyah dan telah menghimpunkan lebih 500 khutbah Nabi S.A.W serta berpegang dengan mazhab Hanafi. Beliau adalah Syeikh Mohd Kholil Khotib. Taklimat penerangan mengenai maqam-maqam yang diziarahi ini telah disampaikan oleh musyrif penerangan khusus dari Tanta iaitu Ustaz Mohd. Faiq Izzuddin bin Sahar.

  Seterusnya, para peserta dibawa menziarahi Syaikhah Sayyidah Nur Sobah R.A. Beliau merupakan antara Auliya’ atau Sufiyyah di kalangan wanita yang terkenal dengan sifat pemurah sehinggakan pada hari raya korban beliau telah infakkan sebanyak 60 ekor khoruf untuk disembelih.

  Setelah itu, para peserta berhenti berehat di Masjid Sidi Ahmad Badawi yang terkenal dengan keindahan struktur pembinaannya di Tanta. Di masjid ini juga menempatkan maqam Syeikh Sidi Ahmad Badawi dan terdapat bilik barangan beliau.

  Kemudian, perjalanan diteruskan lagi dengan menziarahi maqam yang berdekatan seperti maqam Sidi Salim Al-Maghribi yang merupakan pakcik kepada Sidi Ahmad Badawi, maqam Sidi Ahmad Bahai, maqam Sidi Marzuq Al-Ghazi dan maqam Sidi Mihi yang merupakan guru kepada Syeikh Jamzuri iaitu penulis buku Tuhfatul Atfal.

  Sebelum bertolak pulang ke Kaherah, para peserta sempat menziarahi maqam Syeikh Izzir Rijal atau nama sebenar Muhammad bin Izzuddin. Beliau diberi nama Izzir Rijal kerana terkenal dengan sikap suka membantu orang yang susah dan orang yang berdukacita. Beliau mempunyai nasab dengan Imam Hassan, anak kepada Sidina Ali.

   Alhmdulillah, kesemua 8 maqam di Tanta telah berjaya diziarahi dan mendapat sambutan yang baik dari para peserta bertepatan dengan tema yang dibawa “Auliya’ Dijejaki, Thaqafah Dimiliki”. Rombongan bertolak pulang ke Kaherah pada pukul 5.00 petang dan selamat sampai sekitar jam 8.00 malam.




BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

JELAJAH BAHNASA : "MENELUSURI SEJARAH, MENYINGKAP IBRAH"



JEJAK BAHNASA’15|MENELUSURI SEJARAH, MENYINGKAP IBRAH


KAHERAH, 12 Disember 2015,Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015/2016 di bawah anjuran Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah (BPSR) telah mengadakan ziarah Bahnasa El-Minya dengan ahli seramai  49 orang di peringkat ikhwah.

     Ziarah Bahnasa kali ini telah diberi nama Jejak Bahnasa’15 dengan bertemakan ”Menelusuri  Sejarah, Menyingkap Ibrah”. Antara objektif yang digariskan dalam program ini adalah untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Sang Pencipta dengan menghayati ciptaannya, seterusnya adalah untuk menambahkan thaqafah dengan meneladani kehidupan dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli KPIPM. Para peserta program telah berkumpul di Baitul Rahman pada pukul 5.30 pagi dan bertolak dari Kaherah ke Bahnasa pada pukul 6.00 pagi dengan menaiki sebuah bas.

     Sebelum sampai ke destinasi Badan Kebajikan Anak Negeri BKAN Melaka telah menghubungi pengarah program Jejak Bahnasa’15 dengan memaklumkan bahawa pihak polis tidak membenarkan ziarah Bahnasa tanpa surat lawatan dari Kementerian Pelancongan Mesir. Pada pukul 9.30 pagi para peserta sampai di Masjid Sheikh Ali Jumam. Kami hanya diberi peluang oleh pihak polis untuk menziarahi kawasan sekitar Masjid Syeikh Ali Jumam dan makam Tujuh Wanita sahaja. Program  dimulakan dengan para peserta bersarapan. Selepas itu, diteruskan dengan taklimat penerangan yang disampaikan oleh musyrif penerangan iaitu Ustaz Muhd Abror bin Mohd Ishak  dan  Ustaz Muhd Akmal Alif bin Salleh.

   Para peserta dibawa menziarahi makam yang pertama iaitu Qadhi Qudho Bahnasa, Aulad A’qil bin Abi Tolib, Syaid Ali Jumam  dan seterusnya berpindah ke pokok yang dikatakan tempat berteduhnya Saidatina Maryam dan anaknya Nabi Isa AS ketika kembali ke Baitul Maqdis. Setelah itu musyrif penerangan telah menceritakan makam-makam  yang berada di sekitar Bahnasa seperti Saidatina Ruqoyah, Makam 12 ahli Badar yang telah syahid ketika mana Saidina Umar mengarahkan tenteranya membuka kota Bahnasa bagi menyebarkan ajaran islam. Seterusnya adalah Quwailah binti Azwar yang merupakan seorang wanita yang berani untuk menyelamatkan saudaranya yang telah ditahan oleh tentera Rom pada ketika itu dengan menyamar sebagai lelaki dan mencerobohi kem tentera tersebut.

     Kemudian,m usyrif penerangan juga telah menceritakan tentang sebatang sungai yang dinamakan sebagai “Bahru Yusuf” yang mana sungai ini bersambung dengan Sungai Nil. Seterusnya, musyrif penerangan juga telah menceritakan tentang makam A’fan bin A’bban bin Uthman bin A’fan yang merupakan cucu Saidina Uthman bin A’fan. Seusai menunaikan solat jamak takdim, para peserta menaiki bas untuk makam yang terakhir iaitu makam “Tujuh Wanita“. Para pesrta diberi peluang untuk berguling di kawasan belakang makam Tujuh Wanita yang dikatakan para ulama’ juga pernah berguling di situ sebelum berangkat pulang ke Kaherah. Para peserta telah makan tengah hari di kawasan perhentian fayyoum. Para peserta sampai di Kaherah pada pukul 6.00 malam.

 Alhamdulillah,ziarah Bahnasa yang dianjurkan ini telah mendapat  sambutan yang baik dari kalangan ahli walaupun ada kesukaran yang tidak dapat di halangi oleh para peserta. Ziarah Bahnasa ini juga telah mencapai objektif yang telah digariskan dan tema yang telah dibawa bersama iaitu “Menelusuri Sejarah,Menyingkap Ibrah”  





BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Thursday, December 17, 2015

ILMU & KEPENTINGANNYA



Ilmu & Kepentingannya

"طلب العلم فريضة على كل مسلم"
(HR Al-Baihaqi)

     Kebanyakan manusia mengetahui ilmu itu adalah sesuatu benda yang penting. Kerana dengan ilmu itu akan terbitnya amalan yang berasaskan ilmu. Tetapi ramai dalam kalangan kita tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan tuntutan ilmu itu.

Apa itu tuntutan ilmu?

     Mengungkap keratan ayat di atas yang menunjukkan bahawa setiap manusia yang bergelar seorang muslim, terletak pada bahunya untuk mencari atau mendalami ilmu. Dalam pada yang sama, kita ketahui bahawa rata-rata seorang muslim itu semakin gigih untuk mencari atau mendalami ilmu. Akan tetapi apakah yang kita inginkan? Kemegahan? Pangkat? Harta? Ramai juga dalam kalangan kita terkeluar landasan daripada apa yang kita niatkan.

     Ramai yang pada awalnya, berniat hanya kerana Allah, akan tetapi mereka kalah di pertengahannya dengan segala onak dan duri yang telah dirancangkan oleh syaitan.

"Masa itu seperti pedang, sekiranya kita tidak memotongnya maka dia akan memotong kita".

     Masa bukanlah satu perkara yang kita boleh buat acuh tak acuh. Ramai di antara kita telah menyesali akan perbuatan mereka, yang mana mereka terlalu alpa dan lalai akan kenikmatan yang diberikan kepadanya. Mununtut ilmu dan masa ini tiadalah perbezaan. Kerana apa? Kerana tiada istilah yang menyatakan bahawa ilmu ini tertumpu pada seseorang yang khusus. Malahan ramai ulama' yang masih mencari ilmu walaupun usia mereka sudah lanjut.

     Tatkala itu juga, segala ilmu itu perlu disertakan dengan amal. Seperti yang kita ketahui Islam itu bukan hanya bergerak dengan seorang individu tetapi bergerak secara berkumpulan (Jemaah). Dengan cara berkumpulan inilah, seperti yang kita lihat bahawasanya Islam ini menjadi salah satu kumpulan yang digeruni oleh musuh. Ilmu itu perlu disebarkan kepada semua, ini kerana ingin menubuhkan sesuatu kumpulan yang kuat dan memerlukan amal yang berlandaskan ilmu. Sekiranya tiada ilmu maka tiada kekuatan akan sesuatu kumpulan. Ia akan menjadikan Islam itu sunyi, tiada apa dapat dilakukan. Menjadikan Islam itu hanyalah sekumpulan tidak dapat melakukan apa-apa seperti sekarang ini. Kita ditindas oleh musuh-musuh kita, kerana apa? Kerana kita tiada ilmu yang secukupnya untuk mengalahkan mereka. Akan tetapi segala benda ini mesti mempunya permulaan. Seperti mana seorang manusia itu terjadi memerlukan permulaan. Permulaannya bermula dari diri sendiri. Apabila diri sendiri itu dapat menguasai sesuatu itu, ia akan dapat memberikan manfaat kepada orang lain. Ia akan menjadikan Islam kembali ke zaman kegemilangan Islam dahulu.

Karya dari :
Usrah Rahmatan Lil ' Alamin
Wisma Perak Baitul Ridzuan
11/12/2015


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Tuesday, December 1, 2015

MAKLUMAN PENANGGUHAN PROGRAM DI PERINGKAT KPIPM

MAKLUMAN PENANGGUHAN PROGRAM DI PERINGKAT KPIPM




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

           Sesi pengajian fasa pertama bagi 2015/2016 kini semakin rancak dalam tempoh persediaan menuju ke musim peperiksaan. Semua mahasiswa/wi sedang bersiap sedia dengan setiap medium yang ada bagi memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.
          
          Sehubungan dengan itu, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015/2016 dengan ini memaklumkan bahawa tanggal 15 Safar 1437 H bersamaan 27 November 2015 sebagai tarikh penangguhan sebarang program di peringkat KPIPM dengan pengecualian program yang berbentuk ilmiah dan motivasi. Ini bagi memberi persediaan dan semangat kepada mahasiswa/wi dalam menghadapi peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi.

          Oleh yang demikian, KPIPM mengharapkan seluruh mahasiswa/wi dapat memanfaatkan setiap peluang yang ada dan memberikan sepenuh perhatian dalam pelajaran. Peringkat KPIPM juga mendoakan agar semua mahasiswa/wi meraih kejayaan dalam peperiksaan seterusnya berbakti kepada ummah.


“BERILMU BERAMAL IKHLAS” 
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”


Mohammad Ainuddin bin Mohd Ishak,

Yang Dipertua (Perhubungan Luar & Unit Perangcang)

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015/2016

Tuesday, November 3, 2015

YDP KPIPM YAKIN MAHASISWA USMB 2015 BAKAL JADI KEPIMPINAN MASYARAKAT AKAN DATANG

YDP KPIPM YAKIN MAHASISWA USMB 2015 BAKAL JADI KEPIMPINAN MASYARAKAT AKAN DATANG

KAHERAH, 31 Oktober 2015 - Program USMB KPIPM 2015 yang dijalankan selama 3 bulan akhirnya melabuhkan tirainya. Para peserta akhirnya mendapat pelbagai input sepanjang program ini berlangsung dengan harapan agar mereka dapat meneruskan perjuangan sebagai seorang mahasiswa yang proaktif.

      Pada kali ini, program penutup bagi USMB ini disudahi dengan aktiviti santai iaitu Jaulah ke Ain Sukhnah. Program ini bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah di kalangan mahasiswa baru dan juga memberikan suntikan semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan sebagai mahasiswa.

     Program yang dimulakan dengan aktiviti sukaneka ini dilaksanakan dengan bergitu jayanya. Seterusnya program ini dijayakan lagi dengan acara dewan dan program penutup USMB ini akhirnya dirasmikan oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2015/2016, Ustaz Ainuddin Bin Ishak.

     "Peringkat KPIPM mengharapkan agar kalian selepas ini bakal menjadi mahasiswa Mesir yang berkualiti dan bakal menjadi pemimpin kepada masyarakat nanti. Kami yakin dengan komitmen kalian sepanjang program USMB ini, kalian bakal menjadi kepimpinan masyarakat akan datang." Ujar Yang Dipertua dalam ucapan beliau.

     "Harapan kami kepada kalian agar bersedia untuk menjadi kepada kepimpinan KPIPM akan datang." Ujar Pengarah USMB, Ustaz Hakimi Bin Abdul Hamid.




BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

MAKLUMAN PEMANGKUAN TIMBALAN YANG DIPERTUA KPIPM SESI 2015/2016


Makluman Pemangkuan Timbalan Yang Dipertua (Unit Penerangan dan Penerbitan) KPIPM sesi 2015/2016


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"


Wednesday, October 21, 2015

KALAM RASMI YANG DIPERTUA KPIPM SESI 2015/2016



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, DIA-lah yang telah mengurniakan kepada kita dua nikmat terbesar dalam kehidupan iaitu nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam dipanjatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang telah menginfaqkan seluruh kehidupannya untuk meninggikan dan memperkasakan agama Allah SWT. Tidak dilupakan juga, kepada para sahabat Nabi dan insan-insan yang meniti jalan dakwah dan jejak langkah mereka di sepanjang zaman.

Firman Allah SWT:

 "Allah SWT tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Ia mendapat pahala (dari kebaikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): " Ya tuhan kami, jangan Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Berilah kemaafan kepada kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." - (Al Baqarah: 286).

Islam merupakan agama yang syumul meliputi segenap aspek dalam kehidupan sama ada dari sudut pendidikan, kemasyarakatan, ekonomi, politik dan lain-lain. Allah SWT telah menciptakan alam semesta dan melantik  manusia sebagai khalifah-Nya. Dari konotasi berikut, boleh difahami bahawa manusialah yang selayaknya memikul dan menggalas amanah dalam merencana risalah dakwah untuk disampaikan buat masyarakat pada hari ini. Melihat kepada pelbagai masalah yang berlaku dewasa kini, tidak dapat tidak bagi setiap pencinta ilmu agar melengkapkan diri dengan ilmu turathi dan kontemporari untuk menghadapi rencam masyarakat pada masa akan datang. Bahkan tidak cukup setakat itu, hardskill dan softskill juga perlu dikuasai.

Bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

" Katakanlah (wahai Muhammad): tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri, maka tuhan kamu lebih mengetahui siapakah (di antara kamu) yang lebih betul jalannya." – (Al-Isra’ : 84)

Lanjutan dari kefahaman berikut, ilmu yang dituntut mestilah dipraktikkan dengan sebaiknya mengikut kemampuan yang dimiliki. Ilmu yang dipelajari sewajarnya diterjemahkan dan dipraktikkan, KPIPM adalah antara medium dan peluang terbaik bagi seluruh ahli untuk menterjemahkan perkara tersebut.

Alhamdulillah, Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-49 telah berjaya dilaksanakan baru-baru ini, ahli KPIPM telah sepakat dan sebulat suara akan menjayakan satu usul yang telah dibentang dan diperbahaskan, iaitu ;

"Meningkatkan kualiti mahasiswa melalui penjanaan sumber tenaga yang berkemahiran dalam pelbagai bidang."

Mesyuarat berlangsung dengan baik dan lancar. Melihat kepada keterlibatan dan komitmen dari ahli KPIPM yang prihatin di dalam segala isu yang berlaku. KPIPM berharap agar sokongan dan dokongan padu tersebut mampu dikekalkan.

Legasi kepimpinan sesi 2015/2016 akan berusaha untuk melaksanakan usul yang telah disepakati tersebut. Namun, kebersamaan ahli dalam membumikan dan merealisasikan usul tersebut juga amatlah diharapkan. Barisan kepimpinan sesi 2015/2016 juga ingin menekankan 5 item penting yang menjadi pembawaan KPIPM iaitu:

Thaqafah    : Meningkatkan penguasaan ilmu-ilmu asas dan akademik dalam kalangan ahli.
Kemahiran : Memperkasakan bidang pengurusan dan kemahiran untuk melahirkan tenaga mahir.
Ukhuwah   : Menerapkan nilai sahsiah yang terpuji bagi mengukuhkan ukhuwah islamiah.
Kebajikan   : Mengutamakan kebajikan ahli dalam pelbagai aspek serta mengukuhkan ekonomi KPIPM.
Fikrah     : Memantapkan kefahaman Islam dalam kalangan ahli mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah.

Pihak kepimpinan pada sesi kali ini menyeru kepada seluruh ahli KPIPM agar bersama-sama menjayakan kelima-lima item tersebut bagi memastikan KPIPM terus terkehadapan dari segala sudut.
 
Semoga KPIPM terus utuh menjadi wadah kesatuan Islam bagi anak-anak Perak di bumi Mesir ini. Didoakan agar seluruh pejuang agama Allah SWT diberi ganjaran yang berlipatkali ganda di dalam misi memburu redha Allah SWT ini.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN”

MOHAMMAD AINUDDIN BIN MOHD ISHAK
YANG DIPERTUA
KELUARGA PELAJAR-PELAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2015/2016

Monday, October 19, 2015

RIADAH KPIPM : FUTSAL NIGHT 2015 "Malam Bersama Semua"

       
FUTSAL NIGHT : MALAM BERSAMA SEMUA

         Pada tanggal 15 okotber 2015 yang lalu, Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015/2016 (BTKKR) telah mengadakan program Futsal Night kepada seluruh anak-anak Perak Mesir bagi mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain di samping mengumpulkan anak-anak Perak di sekitar Kaherah dan juga muhafazah.

          Malam Rabu tersebut telah menyaksikan kehadiran lebih 100 orang anak-anak Perak bagi menjayakan program Futsal Night anjuran BTKKR ini. Anak-anak Perak dibahagikan kepada 14 kumpulan yang disusun mengikut nama buah-buahan di dalam bahasa arab seperti tuffah, mauz, bittikh dan sebagainya.

          Futsal pada kali ini tidak dapat meneruskan perlawanan separuh akhir dan akhir kerana kesuntukan masa. Jadi pemenang adalah mengikut kumpulan yang telah diberikan. Kumpulan A telah dimenangi oleh kumpulan Karoz dan naib johan, kumpulan Mauz, manakala bagi kumpulan B, johan kumpulan jatuh kepada kumpulan Farowlah dan naib johan, kumpulan I’nab. Seterusnya berlangsung penyampaian hadiah kepada semua kumpulan oleh Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak, Ustaz Munawer bin Mohd Noh diiringi oleh Yang Dipertua KPIPM 2015/2016, Ustaz Mohammad Ainuddin bin Mohd Ishak.

           Selesai majlis penyampaian hadiah, kesemua anak Perak pulang menaiki pengangkutan yang telah disediakan oleh pihak KPIPM. Semoga program seperti ini dapat dilangsungkan lagi pada masa yang akan datang.








BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

Wednesday, October 14, 2015

STRUKTUR ORGANISASI KPIPM SESI 2015/2016

STRUKTUR ORGANISASI KPIPM SESI 2015/2016



BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN "

Friday, October 9, 2015

DIREKTORI : BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2015/2016



Anggota Badan Penasihat KPIPM Sesi 2015/2016 

DIREKTORI : AHLI JAWATANKUASA TADBIR & AHLI JAWATANKUASA HEWI KPIPM SESI 2015/2016


1) Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM sesi 2015/2016




2) Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) KPIPM sesi 2015/2016
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"


Sunday, October 4, 2015

INDAH’15 - Penghayatan Sirah Aidiladha Menyulam Mahabbah Ahli KPIPM



KAHERAH- 23 September 2015, bersempena dengan perayaan Aidiladha, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah menganjurkan program Inspirasi Aidiladha 2015 (INDAH’15) dengan kerjasama Atase Pendidikan Negeri Perak. Program yang bertemakan “Hayati Sirah, Sulami Mahabbah” ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Muhammad Ainuddin Bin Mohd Ishak yang bertempat di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Baitul Ridzuan. Sebanyak 40 ekor kambing dan 3 ekor unta telah dijadikan korban pada tahun ini.

Pada pagi hari raya pertama, ahli KPIPM bergegas ke Masjid Ibadurrahman, Hayyu  Sabei' bagi menunaikan solat sunat Aidiladha bersama penduduk sekitarnya. Manakala di sebelah malamnya pula Ceramah Perdana di bawah kelolaan Biro Dakwah dan Tarbiyah KPIPM sesi 2015/2016 diadakan bagi mencapai objektif yang dibawa oleh INDAH’15.

Seterusnya, pada hari raya kedua, seawal jam 6 pagi ahli bergotong-royong menjalankan proses penyembelihan dan melapah sehingga masuk waktu solat jumaat. Seusai solat, aktiviti melapah diteruskan dan agihan daging kepada ahli KPIPM dibuat setelah selesai sahaja pembahagian dibuat.

Pada hari terakhir, INDAH ‘15 dimeriahkan dengan majlis rumah terbuka Aidiladha dan Walimatul Urus yang dihadiri oleh tetamu-tetamu jemputan dan tetamu luar serta seluruh ahli KPIPM sendiri. Pada sebelah malamnya, INDAH ’15 diteruskan lagi dengan slot Talkshow yang bertajuk “Single is Simple, Berdua Lebih Baik” yang telah diisi oleh Ustaz Rafzan dan pasangannya Ustazah Fatimah Salwani serta seorang moderator oleh Ustaz Muhammad Mu’aaz bin Ramli. Bagi menjayakan malam raikan cinta (UBM), majlis diteruskan lagi dengan slot taaruf pengantin,  sebanyak tiga pasangan yang telah terlibat. Seterusnya, para hadirin dihiburkan dengan persembahan nasyid dari Usrah Al-Muhazirun di bawah kelolaan Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2015/2016. Majlis pada malam itu diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi pemenang pertandingan "Selfie" dan tayangan video penutup.

Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dari anak-anak Perak sendiri dan juga individu-individu luar. Semoga Inspirasi Aidiladha 2015 pada kali ini memberi banyak input kepada ahli KPIPM yang bertepatan dengan tema INDAH’15 “Hayati Sirah, Sulami Mahabbah”.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"













Tuesday, September 22, 2015

MAT'49 & MTH'28 - “MUSYAWARAH MEMACU KEGEMILANGAN KESATUAN”


KAHERAH, 19 SEPTEMBER 2015 – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir  sesi 2014/2015 di bawah Jabatan Setiausaha Agung telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke-49 dan Mesyuarat Tahunan Hewi (MTH) kali ke-28.  Objektif program ini diadakan adalah untuk mengeratkan ukhuwah antara ahli dan pimpinan.  Selain itu, untuk memberi pendedahan kepada ahli tentang gerak kerja persatuan, dan merupakan medium muhasabah dan cadangan bagi meningkatkan kualiti gerak kerja berorganisasi.  Program ini berlangsung di Dewan Syiekh Idris Al- Marbawi, Baitul RIdzuan dengan bertemakan “MUSYAWARAH MEMACU KEGEMILANGAN KESATUAN”.
              Bermula 8.00 pagi, Kaunter Pendaftaran Ahli KPIPM telah dibuka. Meraka telah diberi taklimat awal berkenaan disiplin dan protokol sepanjang program itu berlangsung. Seterusnya, program itu di serikan lagi dengan Majlis perasmian. Program ini dirasmikan oleh Atase Pendidikan Negeri Perak En.Munawer bin Mohamed Noh. Selepas itu, bermulalah acara yang dinantikan iaitu Persidangan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-49. 
              Persidangan ini terbahagi kepada dua sesi, iaitu sesi pagi dan petang. Sesi pagi dimulakan dengan ucapan dari Yang Dipertua KPIPM, Muhammad ‘Asri Bin Mohd Salim. Seleps itu, pembentangan laporan jabatan dan biro sepanjang sesi 2014/2015. Pada sesi  petang, dibentangkan laporan kewangan. Seterusnya, pembentangan usul.
            Pada tahun ini, ada dua usul yang dibincangkan. Pertama, “Meningkatkan kualiti mahasiswa melalui penjanaan sumber tenaga yang berkemahiran dalam pelbagai bidang” oleh Syariza bt Ayub. Kedua, “Meningkatkan Thaqafah di kalangan ahli KPIPM” oleh Nur Saaidah bt Jaafar. Usul pertama dibahaskan dan diterima sebulat suara, manakala usul kedua juga dibahaskan dan keputusannya adalah usul ini dirangkumkan ke dalam usul yang pertama dengan undian sebanyak 96 orang.

            Di penghujung program Yang Dipertua KPIPM, Muhammad ‘Asri Bin Mohd Salim memberi ucapan penangguhan seterusnya, pembubaran AJKT dan AJK HEWI sesi  2014/2015. Selepas itu, program ini diserahkan kepada pengarah SPR untuk pengisytiharan AJKT dan AJK HEWI KPIPM sesi 2014/2015. Seterusnya, berakhirlah Mesyuarat Agung Tahunan keli ke- 49 pada tahun ini dengan jayanya.







Anggota Badan Penasihat KPIPM Sesi 2015/2016

Anggota Badan Penasihat KPIPM Sesi 2015/2016




Ahli Jawatankuasa Tadbir dan Ahli Jawatankuasa HEWI KPIPM Sesi 2015/2016

Ahli Jawatankuasa Tadbir dan Ahli Jawatankuasa HEWI KPIPM Sesi 2015/2016







LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...