Friday, January 31, 2014

Daurah Ilmiah in Winter Season '14 Menambah Thaqafah Ahli

KAHERAH,31 Jan – Daurah Ilmiah In Winter Season '14 anjuran Biro Pelajaran dan Ilmiah Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2012/2013 telah berlangsung dengan jayanya selama 5 hari bermula pada 25 Januari sehingga 29 Januari 2014. Antara objektif program ini diadakan adalah untuk menambah thaqafah dalam kalangan anak-anak Perak khususnya serta bagi  mengisi masa cuti sempena musim sejuk dengan perkara yang bermanfaat. Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan anak-anak Perak sendiri dan juga daripada ahli luar.

                  Daurah Ilmiah membuka tirai dengan diskusi kitab Fathul Qorib (Bab Jinayat),yang disampaikan oleh Al-fadhil Ustaz Nazrul bin Nasir. Antara tajuk yang dibentang dalam bab jinayat ini adalahmengenai bab hudud dan cara pelaksanaannya. Bermula pada hari kedua sehingga hari keempat  disebelah pagi, Daurah Ilmiah diteruskan lagi dengan diskusi kitab Aqidatul Awwam yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Akmal ,diikuti pada sebelah malam pembentangan kitab Hadharah Islamiah oleh Ustaz Mohamad Syafiq bin Sahimi yang merupakan FELO MANHAL PMRAM.


                Pelbagai isu yang telah dikupas dengan begitu menarik sekali sepanjang pembentangan tersebut. Antara perkara yang diberi  penekanan ialah peranan kita sebagai seorang pemuda Muslim seharusnya sedar dan cakna dengan apa yang berlaku disekeliling kita,memahami hakikat sesuatu perkara dengan jelas serta mempunyai keinginan untuk melakukan perubahan dengan melaksanakan manhaj yang bertepatan dengan kehendak Islam.

                    Daurah Ilmiah melabuhkan tirai dengan penerangan isu semasa berkaitan Mesir yang telah disampaikan oleh,Ustaz Zahari bin Ali. Pelbagai kupasan  menarik yang telah disampaikan sepanjang Daurah Ilmiah berlangsung,diharap dapat membuka  minda  terutamanya kita sebagai mahasiswa yang merupakan agen pengubah dalam masyarakat pada masa akan datang.


Tuesday, January 28, 2014

RIBAT MAHABBAH HEWI Meribat Kesatuan Ahli

Kaherah,21 Jan- Buat julung-julung kalinya HEWI KPIPM di bawah Biro Dakwah dan Tarbiah HEWI KPIPM sesi 2012/2013 telah mengadakan Ribat Mahabbah HEWI. Program Ribat Mahabbah HEWI KPIPM ini telah diadakan di Dewan Wisma Darul Ridzuan B bermula jam 10 malam sehinggalah jam 3.30 pagi.

Antara objektif yang telah digariskan adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama ahli HEWI serta barisan pimpinan serta mengumpulkan seluruh ahli selepas selesai imtihan fasa satu. Selain itu, program ini dijalankan adalah untuk memperbaiki individu serta muhasabah diri terutamanya dari sudut dalaman atau rohani kepada yang lebih baik bagi membentuk individu generasi pembawa islam yang cemerlang.

Detik 10 malam, program dimulakan dengan sedikit tayangan video khas daripada Biro Dakwah dan Tarbiah HEWI KPIPM dan selepas itu diteruskan dengan slot muhasabah yang telah dikendalikan oleh Ustazah Norul Aimi Bt Mohamad Razi dan Ustazah Suyaibatul Aslamiah Bt Saad yang diberi tajuk Islah Nafsak Wad’u Ghairak dan di akhiri dengan bacaan surah Assajadah secara berjemaah. Pada keesokan harinya program bersambung dengan qiamullail jamai'e seawal jam 3.30 pagi dan solat subuh berjemaah.


"Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh ahli HEWI yang hadir kerana sudi meluangkan sedikit masa dan memeriahkan program tarbiyah ini." ujar Ustazah Nurul Fadhillah Khairi, Ketua Biro Dakwah & Tarbiah HEWI KPIPM Sesi 2012/2013.

Sebelum berakhir, mutiara harapan daripada Ustazah NurHafsah Awalluddin selaku Ketua HEWI KPIPM sesi 2012/2013, "Semoga program-program seperti ini sedikit sebanyak dapat membentuk tarbiyah serta jati diri para akhawat selaku serikandi pejuang Islam dan meribat kesatuan ahli. In sha Allah".


Saturday, January 25, 2014

Anda Berhutang??


Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik bagi mencapai keuntungan dan mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu. Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli sesuatu barangan. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta, syarikat mereka, ada juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membayar jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.

Daripada sabda nabi SAW yang bermaksud :

" Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban.Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)"
( Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugi kannya, Allah pun akan merugikannya"
                    ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat Islam agar berdoa dilepaskan dari hutang iaitu :

اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : " إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف"
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari"
                 ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

Berlandaskan dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa aktiviti berhutang ini adalah kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu yang boleh. Beberapa tindakan perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan. Janganlah hanya ingin nampak bergaya kita sanggup berhutang. Seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Orang yg berhutang, apabila diberikan amanah dia khianat, apabila dia berjanji dia mungkir, apabila dia bercakap dia berbohong".

Memang betul. Majoriti orang yg berhutang tak kiralah samada kawan sendiri, saudara sendiri atau sesiapapun tiga ciri-ciri yang Nabi sebutkan ini akan
mula wujud wujud dalam diri penghutang tersebut.

Nasihat saya kepada mereka-mereka yang berhutang, bayarlah hutang anda itu. Jika sudah ada duit, dahulukanlah duit anda itu untuk langsaikan hutang anda. Jangan fikir nak enjoy saja. Ingat sahabat-sahabat, jika di dunia kita terlepas di akhirat kelak pasti menanti kita untuk dihisab.

“BERILMU BERAMAL IKHLAS”
“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”


Nama penulis adalah Ustaz Hussaini Bin Hussein, Mahasiswa Kuliah Usuluddin Tahun 1, Al-Azhar, Kaherah. Beliau juga memegang amanah sebagai Biro Ekonomi KPIPM bagi sesi 2012/2013.

Wednesday, January 15, 2014

Makluman Lanjutan Tarikh Permohonan Dermasiswa MAIPk 2013/2014

Makluman kepada seluruh mahasiswa/wi Perak, permohonan Dermasiswa Zakat Perak bagi sesi 2013/2014, tarikh bagi permohonan akan dilanjutkan sehingga tarikh 22 Januari 2014. Diingatkan kepada pemohon untuk segera melengkapkan permohonan secara online serta salinan dokumen yang lengkap pada tarikh yang ditetapkan.

Sebarang permasalahan dan pertanyaan, sila rujuk:

1) Setiausaha Agung KPIPM –
Ustaz Mohammad Ainuddin Bin Mohd Ishak (01146626390)

2) Setiausaha HEWI KPIPM –
Ustazah Nor Atiqah Binti Hamdan (01141738859)

3) Pembantu Tadbir Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Perak Egypt  –
Ustaz Abdul Munaim Bin Nordin (01147886907)

"BERILMU BERAMAL IKHLAS"

"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...