Thursday, May 28, 2009

Kursus Designer HEWI Berjaya


KAHERAH, 27 MEI - Kursus Designer yang telah dirancang lama, hari ini telah dilaksanakan dengan jayanya di bawah seliaan Timbalan Ketua HEWI, Ust Khairunnisa binti Syed Muhammad Rafeii. Kursus ini bertujuan melahirkan bakat baru dalam dunia grafik.

Selain itu, kursus ini juga mensasarkan supaya tenaga pereka grafik di kalangan HEWI dapat dilahirkan. Program yang disertai seramai 15 orang peserta ini telah bermula pada jam 8.50 pagi, di Dewan Rumah Perak Sementara.

Program telah dirasmikan oleh Yang Dipertua KPIPM sendiri, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil.

Slot pertama yang bertajuk "Pengenalan Asas Adobe", telah disampaikan oleh Ustaz Zulhafeez bin Ahmad Zahidi. Slot ini bermula pada jam 9.30 pagi.

Slot seterusnya disusuli dengan kaedah penghasilan iklan, yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Arifin bin Zakariya.

Manakala slot terakhir pula ialah penghasilan Suara Kampus, yang disampaikan oleh Ustazah Sa'idah binti Abdul Mokti.

Program tamat pada jam 6 petang.

Wednesday, May 27, 2009

Hati Yang Mati

TUHAN tidak mencipta sesuatu itu dengan sia-sia. Semua ada sebabnya. Semua ada gunanya. Semua ada hikmahnya.

Terserah kepada manusia untuk mencari sebabnya, gunanya dan hikmahnya itu.Tuhan hamparkan bumi ini dan mencipta segala sesuatu di dalamnya bukan semata-mata untuk manusia hidup dan berkembang biak di atasnya serta menggunakan segala khazanah kekayaan-Nya.

Sama juga seperti orang yang memakan hidangan yang sedap dan lezat. Dia ingin memakannya sehingga habis. Tetapi tidak terlintas di fikirannya siapa gerangan yang memasaknya.Yang lebih penting, ia bertujuan supaya manusia dapat melihat secara zahir/fisik akan alam ciptaan Tuhan ini. Ini adalah bukti besar kepada manusia tentang wujudnya Tuhan. Ini sebenarnya adalah dalil bagi mereka tentang adanya Tuhan.

Mencari Tuhan melalui ciptaanNya.
Demikian juga di antara sebab Tuhan mencipta sekalian alam. Bukan saja alam syahadah atau alam yang nyata ini yang boleh dilihat oleh manusia tetapi juga alam-alam yang lain. Alam itu adalah alamat atau tanda akan wujudnya Tuhan. Segala apa yang Tuhan ciptakan itu ialah alam.

Alam itu ialah apa sahaja selain Tuhan. Hakikat kewujudan ini hanya ada dua. Satu Tuhan dan satu alam. Tuhan adalah Khaliq yang mencipta. Alam adalah makhluk yang dicipta. Ada alam maka sudah tentu ada Tuhan yang menjadikan.

Namun kebanyakan manusia hanya melihat tetapi mereka tidak nampak apa-apa. Kalaupun mereka nampak, mereka tidak dapat kaitkan alam ini dengan Tuhan. Penglihatan mereka hanya selapis sahaja. Manusia tidak dapat melihat apa yang di sebalik ciptaan Tuhan itu.

Penglihatan mereka seolah-olah terlindung dan terhijab. Sama saja seperti mereka melihat lukisan yang cantik. Mereka tertegun dan memuji kecantikan lukisan itu dan ingin memilikinya. Tidak terbayang di fikiran mereka siapa pelukisnya. Sama juga seperti orang yang memakan hidangan yang sedap dan lezat. Dia ingin memakannya sehingga habis. Tetapi tidak terlintas di fikirannya siapa gerangan yang memasaknya.

Beza mata kepala, mata akal dan mata hati
Manusia sebenarnya dapat melihat dengan berbagai cara. Pertama, dengan mata kepala. Kedua, dengan mata akal. Ketiga, dengan mata hati. Tetapi jarang seseorang itu dapat melihat dengan ketiga-tiga mata ini. Kalau seseorang itu melihat hutan belantara dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak yaitu hutan yang tebal dan menghijau.

Kalau dia melihat dengan mata akal, maka akan terlihat balak dan kayu-kayuan yang dapat dijadikan bahan kekayaan. Kalau dia melihat dengan mata hati, dia akan nampak keagungan dan kehebatan Tuhan dan hikmah yang terkandung di dalam ciptaan hutan tersebut. Terasa di hatinya betapa hebatnya Tuhan.

Kalau seseorang itu melihat laut dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak adalah air yang luas dan membiru serta ombak yang tidak henti-henti memukul pantai. Orang yang melihat dengan mata akal akan nampak ikan di dalamnya yang dapat ditangkap dan dijual.

Orang yang melihat dengan mata hati pula akan nampak kehebatan Tuhan dan hikmah dalam ciptaan laut yang begitu luas dan dalam, yang siapa-siapa pun tidak tahu apa sajakah rahsia yang tersimpan di dasarnya. Terasa betapa kerdilnya dia di hadapan Tuhan.

Alam tidak membawa mereka kepada Tuhan. Hati mereka buta karena jiwa mereka telah matiSiapa yang melihat dataran bumi dengan mata kepala, maka itulah saja yang dia lihat yaitu tanah dan batu-batuan. Siapa yang melihat dengan mata akal akan nampak minyak, emas, intan berlian dan segala macam logam yang terkandung di dalam perutnya.

Siapa yang melihat dengan mata hati pula akan nampak hebatnya perbuatan Tuhan yang telah menghamparkan bumi ini untuk dihuni oleh manusia di mana manusia boleh hidup dan mengabdi diri kepada Tuhan. Terasa di hatinya betapa pemurah dan pengasihnya Tuhan.

Namun demikian, kebanyakan manusia buta mata hatinya. Mereka hanya nampak apa yang menguntungkan dan yang boleh memuaskan kehendak nafsu mereka sahaja. Mereka hanya terangsang dengan nilai dunia yang ada pada sesuatu ciptaan itu. Mereka tidak nampak Tuhan di sebalik ciptaan-Nya. Alam tidak membawa mereka kepada Tuhan. Hati mereka buta karena jiwa mereka telah mati.

Jiwa mereka sudah tidak bisa berfungsi lagi. Mereka sudah tidak mempunyai rasa. Mereka tidak terangsang langsung dengan Akhirat. Mereka tidak ingin kepada Syurga. Mereka tidak takut kepada Neraka. Mereka tidak merasakan peranan Tuhan dalam hidup mereka.

Tidak rasa diri hamba
Mereka tidak rasa bahwa Tuhan itu wujud. Kalaupun mereka tahu yang Tuhan itu wujud, tetapi hanya sebatas tahu saja. Ia belum menjadi suatu keyakinan atau satu pegangan. Justeru itu, soal Tuhan diambil ringan.

Tidak ada rasa bertuhan. Apabila rasa bertuhan tidak ada, mereka pun tidak dapat merasakan bahawa mereka itu adalah hamba. Selagi jiwa mereka ini tidak dihidupkan, selagi itulah mereka akan hanyut di alam dunia mengikut arus yang akan membawa mereka kepada kelalaian, kesesatan dan kebatilan.

Tidak ada rasa bertuhan. Apabila rasa bertuhan tidak ada, mereka pun tidak dapat merasakan bahawa mereka itu adalah hamba. Berdoalah banyak-banyak dan buatlah kebajikan sebanyak mungkin agar Tuhan berkenan mencampakkan hidayah. Tanpa hidayah, manusia tidak akan dapat menjadi insan yang tulen yang layak menjadi hamba dan khalifah Tuhan. Setelah hidayah barulah datang ilmu. Setelah ilmu baru boleh yakin dan faham. Setelah faham, barulah dapat beramal.Setelah jiwa hidup, mata hati akan celik.

Ketika itu, kita akan terlihat apa-apa yang tersembunyi selama ini. Tuhan akan angkat hijab bagi kita. Akan terbongkar segala rahsia yang tidak pernah kita tahu sebelum ini. Hati akan mudah dengan kebenaran dan jinak dengan kebaikan. Keyakinan datang tanpa perlu difikir dan diakal-akalkan.

Segala-galanya akan mudah difahami. Tuhan ada berfirman di dalam Al Quran, maksudnya: Sesungguhnya kami jadikan untuk Neraka jahanam, banyak dari kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mau memahami. Yang mempunyai mata tetapi tidak mau melihat. Yang mempunyai telinga tetapi tidak mau mendengar. Mereka itu seperti binatang ternak bahkan lebih sesat lagi. Mereka itu orang-orang yang lalai.

Gunakan Email Groups Dengan Sebaiknya

26 MEI, KAHERAH - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah bertahun-tahun membuat email groups khusus di bawah persatuan. Ia adalah salah satu saluran untuk berkongsi pendapat, dan menyampaikan maklumat-maklumat persatuan kepada ahli.

Email Group ini ditubuhkan atas satu tujuan yang penting, supaya ahli dapat bersama-sama menerima faedah dan kebaikannya. Namun, sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa email yang tidak sepatutnya dihantar, atau melanggar disiplin yang telah difahami bersama.

Berkata tentang masalah ini, Ustaz Hanif bin Musa, Timbalan Yang Dipertua KPIPM, selaku pengelola bahagian email group menasihat ahli agar berhati-hati ketika menghantar email.

Kadangkala, email yang dihantar tidak mencerminkan kita sebagai pelajar agama. Beliau juga mengingatkan, kadangkala terdapat di kalangan kita yang gemar mem"foward" email-email yang sampai kepadanya. Beliau menasihati agar email tersebut dipastikan kebenarannya.

Beliau menambah lagi, manakala email yang berbentuk peribadi, bolehlah dihantar secara peribadi. Manakala email yang berunsurkan lucu, beliau mengharapkan supaya ia tidak keterlaluan sehingga menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Friday, May 22, 2009

Tahniah Kepada Ust Fatimatuz Zahra

21 MEI, ISKANDARIAH - Tarikh yang dinanti-nantikan oleh seorang ustazah yang bernama Ustazah Fatimatuzzahra binti Badrisyah. Pada 14 Mei lalu, beliau telah selamat melahirkan seorang anak perempuan di sebuah hospital di Iskandariah.

Pada ketika itu, Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah banyak membantu dalam menyelia proses tersebut. Beberapa AJK Unit Mutazawwijin Iskandariah (UMI) bertugas untuk mengendalikan dalam masalah ini.

Mengikut laporan yang diberikan kepada wartawan blog, bayi yang seberat 3.27kg tersebut selamat lahir pada jam 7.15 pagi di Hospital Abrah di Asafirah.

Beliau telah memaklumkan kepada persatuan hari ini bahawa anaknya telah diberi nama Nur Sayyidah Nafisah binti Mohd Khairi.

Us Azizuddin bin Aznan, Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah, berkata kepada wartawan blog bahawa beliau mewakili KPIPM mengucapkan tahniah di atas anugerah yang diberikan oleh Allah SWT tersebut.

Beliau juga menyatakan bahawa tabung kutipan untuk Ust Fatimatuzzahra telah diedarkan semalam, bagi menampung perbelanjaan yang ditanggung oleh beliau. Setakat ini kutipan masih dijalankan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam membantu Ust Fatimah, terutamanya DPMI sendiri.

Sunday, May 17, 2009

Persediaan Sebagai Da'ie

Mewujudkan kepimpinan yang diredhoi oleh Allah SWT dituntut oleh syara', sebagaimana yang telah terakam dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
.
"Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada kemungkaran, merekalah orang-orang yang beruntung" (Surah Al-Imran:104)

Berdasarkan firman Allah tersebut, telah jelas kepada kita bahawa tugas menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar adalah satu tugas yang pasti disoal oleh Allah di akhirat nanti. Namun persediaan adalah diantara perkara yang terpenting untuk menegakkan kembali Islam di dalam kehidupan ummah. Rasulullah SAW terlebih dahulu disediakan oleh Allah SWT sebelum baginda SAW ditugaskan dengan kerja-kerja dakwah yang berat.

Firman Allah di dalam surah al- Anfal, ayat 60 yang bermaksud:
.
"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahui sedang Allah mengetahuinya."

Rasulullah SAW telah diutuskan untuk menyeru manusia kembali mengabdikan diri mereka sepenuhnya kepada Allah. Dengan bimbingan wahyu, Rasulullah SAW telah berjuang selama 23 tahun untuk membentuk sebuah ummah dan kemudiannya membina sebuah daulah yang matlamat utamanya ialah untuk mendapat mardhotillah. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah meletakkan iman kepada Allah sebagai teras utama dalam pembentukan ummah muslimin dan sirah Rasullulah SAW ini perlulah diambil iktibar dan diaplikasikan dalam kehidupan umat islam masa kini, bak kata pepatah "di mana bumi dipijak di situ langit di junjung".

Majoriti mahasiswa yang bermastautin di bumi mesir ini berada di bawah naungan satu organisasi induk iaitu Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan KPIPM khususnya, semestinya fungsi persatuan ini dibentuk adalah untuk melaksanakan tanggungjawab kebajikan kepada ahli-ahlinya dan yang lebih utama memandu ahli ke arah kebenaran dan menghapus kebatilan dan kemungkaran . Allah SWT memerintahkan agar kaum muslimin mentaati ‘Ulil Amri’ iaitu pemimpin yang ingin membentuk ahlinya ke arah kejayaan dunia dan akhirat dan selagi mana ianya tidak menyuruh kepada kemaksiatan.

Keutuhan persatuan yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah sekiranya tidak mendapat sokongan,maka akan jadilah seperti zaman kerajaan uthmaniah yang mana Islam dihancurkan bukan kerana peperangan tetapi hanya dengan serangan pemikiran dan budaya. Jika kita lihat, baginda SAW juga telah menjadikan daulah sebagai alat utama dalam melaksanakan segala yang terkandung di dalam tuntutan –tuntutan iman kepada Allah. Pimpinan iman dan kenegaraan ummah muslimin di bawah Rasulullah SAW adalah merupakan kemuncak pengabdiaan manusia terhadap khaliqNya. Pimpinan ini jugalah yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai panduan yang mesti dicontohi oleh seluruh manusia hingga kini dan selamanya.

Maka perlunya pentarbiahan rohani dan jasmani yang secukupnya, untuk memahami konsep iman dan taqwa, amar ma'ruf dan nahi mungkar. As-Syahid Imam Hasan Al-Banna telah menggariskan 10 ciri-ciri yang perlu ada pada setiap individu dan seseorang pimpinan iaitu faham, ikhlas, amal, tadhiyah, jihad, taat, thabat, tajarrud, ukhuwah, dan thiqah. Oleh itu persediaan adalah amat penting, kerana terkadang-kadang kita perlu menjadi "ad da'ie" dan juga kadang-kadang menjadi "mad'u" untuk mengelakkan daripada sifat riya' dan takabbur.

Semoga dengan kerjasama yang bersepadu dan erat diantara pimpinan dan ahli KPIPM khususnya, dapat melahirkan generasi pelapis kepimpinan yang mantap dalam segala aspek. Di samping sedar akan peranan dan tanggungjawab masing-masing, bukan hanya mencari kesalahan dan menunding jari kepada kepimpinan yang ada tanpa memberi sebarang input yang baik untuk digunapakai oleh persatuan yang didokongi ini. Apabila kita tekad bersama, usaha di letak, dan tawakal di hati, akan dimudahkan jalan untuk kita dalam meneruskan perjuangan Islam ini insyaAllah.
Oleh :
Asma binti Mohammad Aziz

Lepasan Syariah Islamiah,
Universiti al Azhar,
Iskandariah

Friday, May 15, 2009

Program Mingguan dan Halaqah Muraja'ah al Quran

KAHERAH, 14 MEI - Program mingguan KPIPM sentiasa berjalan walaupun peperiksaan sedang dihadapi oleh mahasiswa. Program-program kerohanian seperti ini bertujuan menambahkan keyakinan dan hubungan mereka terhadap Allah SWT.

Pada minggu ini pula, Biro Dakwah dan Tarbiah telah menerukskan program ini seperti biasa. Bacaan Yasin kali ini dipimpin oleh Ustaz Muhammad Sayuti bin Mohammad Zawahib. Kemudian disusuli dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustazah Hurriyyah binti Abdul Mokti.

Selepas Solat Isya', program diteruskan dengan Halaqah Muraja'ah al Quran yang dikhususkan untuk mahasiswa tahun 1. halaqah ini ini bertujuan menguatkan lagi hafalan mahasiswa baru dan membantu mereka dalam cemerlang di dalam subjek al Quran.

Pada keesokan paginya, selepas selesai Solat Subuh berjemaah, program tazkirah diadakan selepas Solat Subuh berjemaah. Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Ibnu Abbas bin Azizuddin.

Us Khairul Asyraf bin Khir memberitahu wartawan blog, bahawa program Halaqah tersebut telah diadakan seawal Program USMB dilaksanakan. Ia diteruskan sehinggalah hari ini bagi membantu mahasiswa dalam menghafal al Quran. Beliau sendiri berharap agar usaha ini mendapat sambutan oleh semua.

Thursday, May 14, 2009

Kembara Ke Matruh dan Siwa (KEMAS 09) Akan Diadakan Jun Ini

KAHERAH, 13 MEI - Rehlah ke Matroh dan Siwa telah menjadi program tahunan bagi KPIPM. Pada tahun ini, Biro Perhubungan dan Rehlah telah merancang untuk mengadakan rehlah tersebut, sepertimana yang telah dijalankan sebelum ini. Pada tahun ini, BPSR telah membuat kelainan sedikit dengan mengadakannya secara taakhi.

BKAN dan DPM yang turut bersama KPIPM pada tahun ini untuk ke Matruh dan Siwa ialah Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir dan Dewan Perwakilan Mahasiswa Syibin el Kom. Program ini telah diketuai oleh DPM Syibin, dan ia dinamakan sebagai "Kembara Matruh dan Siwa 09".

Program yang akan diadakan pada 27-29 Jun ini dikatakan mendapat sambutan yang menggalakkan setakat ini daripada ketiga-tiga gabungan ini.

Selain itu, kelainan yang dibuat di dalam rehlah kali ini juga pihak penganjur telah mengadakan pertandingan mencipta trademark program. Mengulas tentang perkara ini, Us Muhammad Sayuti bin Mohammad Zawahib, Ketua Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah telah memberitahu wartawan blog ketika ditemu bual.

Beliau mengatakan bahawa sesiapa yang memenangi pertandingan mencipta trademark itu, akan dihadiahkan sehelai baju program. Beliau berkata "Pihak penganjur akan mencetak baju T Shirt sempena rehlah ini, dan pemenang bagi pertandingan tersebut akan dihadiahkan T Shirt istimewa ini".

Beliau mengharapkan supaya program gabungan ini dapat dijayakan oleh semua ahli, khususnya ahli KPIPM sendiri.

YDP KPIPM, Us Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil menyatakan bahawa "Kembara Ke Matruh dan Siwa" ini diadakan bukanlah tanpa tujuan. Sebaliknya, program ini dapat menambahkan pemahaman tentang nilai ukhuwah, dan melihat kebesaran Allah SWT.

Beliau berkata lagi "tidak dinafikan, ada di kalangan peserta yang lalai daripada tujuan sebenar mereka pergi berehlah. Tetapi hakikatnya perkara ini perlu sebati dalam jiwa setiap peserta. Keindahan alam tidak dilihat pada mata sahaja, bahkan ia perlu difikirkan kejadiannya".

Friday, May 8, 2009

Program Mingguan dan Qiamullail Perdana

KAHERAH, 7 MEI - Hari ini, Biro Dakwah dan Tarbiah telah mengadakan program Bacaan Yasin dan Tazkirah Mingguan. Seperti kebiasaan, setiap malam Khamis, BDT akan mengadakan Bacaan Yasin dan Tazkirah.

Pada 7 Mei, Bacaan Yasin dipimpin oleh Us Mohd Faiz bin Hassan. Setelah selesai bacaan Yasin, ditambah dengan tazkirah yang disampaikan oleh Us Muhammad Amin bin Abdul Rahman. Selesai tazkirah tersebut, Yang Dipertua, Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil memberikan sedikit maklumat berkaitan dengan persediaan mahasiswa untuk berhadapan dengan masyarakat Malaysia.

Selesai daripada taklimat tersebut, Solat Isya berjemaah didirikan, dan ditambah selepas itu Solat Sunat Hifzi. Solat Sunat Hifzi pada malam ini telah diimamkan oleh Us Zulhafeez bin Ahmad Zahidi.

Pada keesokan harinya, Qiamullail Perdana diadakan sempena peperiksaan yang bakal kunjung tiba. Solat Tahajjud dan Taubat diimamkan oleh Us Khairul Asyraf bin Khir, manakala Solat Hajat dan Witir diimamkan oleh Yang Dipertua sendiri.

Setelah selesai berqiamullail, Solat Subuh berjemaah didirikan seperti biasa, dan disusuli dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ust Farhana binti Ali. Seperti biasa juga, Risalah al Wasatiah turut diedarkan kepada semua yang hadir.

Kehadiran ahli dalam program ini sekitar 50 orang. YDP mengharapkn bahawa semua ahli di Kaherah terutamanya dapat bersama dalam program mingguan ini.

Zikrayat 4 Sudah Muncul


KAHERAH, 5 MEI - Detik bersejarah yang dinanti-nantikan oleh ahli KPIPM selama ini, iaitu kemunculan Zikrayat 4. Sejarah penghasilan Zikrayat 4 ini bermula dari sesi lepas, 2007-2008. Hari ini, akhirnya Zikrayat 4 berjaya dicetak dan telah pun sampai di Rumah Perak.

Us Ahmad Arifin Zakariya, Mantan YDP KPIPM berkata bahawa pembikinan Zikrayat 4 itu masih dalam proses semakan semula sebelum ia diedar kepada mereka yang menempah. Beliau menambah lagi, Zikrayat tersebut telah dicetak sebanyak 250 naskah, dan beliau meminta supaya mereka yang menempah, dapat hadir ke Rumah Perak Sementara untuk menuntut buku tersebut.

Us Hafizuddin Zakariya, Pengarah Sidang Redaksi Zikrayat memaklumkan kepada wartawan kpipmblog bahawa sebarang tuntutan buku tersebut boleh dibuat kepada beliau, bermula awal Jun ini.

YDP KPIPM, Us Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil menyifatkan bahawa penghasilan Zikrayat 4 ini adalah satu kemudahan daripada Allah SWT. Beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam pembikinan Zikrayat 4 ini. Beliau juga mengharap agar ia dapat digunakan sebaik mungkin.

Beliau menambah lagi bahawa kemunculan Zikrayat 4 ini memberi kesan yang mendalam dalam melaksanakan objektif KPIPM sendiri untuk mengeratkan ukhuwah sesama ahli. Ia juga adalah tuntutan al Quran dan Nabi Muhammad SAW.

Wednesday, May 6, 2009

Jihad Penentu Nasib Palestin Dan Dunia

Selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabat, keluarga baginda, para tabien dan tabi’ tabien. Semoga pemergian mereka tetap memberikan inspirasi kepada kita selaku pejuang-pejuang Allah di muka bumi ini. Begitu juga sekalung Al Fatihah kepada pejuang2 islam yang telah lama pergi menemui Allah S.W.T setelah bertungkus lumus ingin melihat kalimah Allah ini sentiasa berada di puncak yang paling mulia dan tinggi. Semoga pemergian mereka Allah akan melahirkan lagi para pejuang islam yang gagah perkasa sebagai pengganti kepada perjuangan mereka.

Sahabat2 sekalian…….

Dunia islam pada masa kini makin lama makin ditekan dengan pelbagai cara yang dilakukan oleh musuh2 islam. Inilah realiti yang berlaku kepada kita setelah Allah mengkhabarkannya di dalam Al Quran. Cumanya yang menjadi persoalan kepada kita, apakah umat islam diseluruh dunia memang tidak ada kekuatan untuk menentang mereka walhal umat islam adalah umat yang paling ramai di dunia berbanding umat bukan islam? Memang persoalan ini ada jawapannya. Nabi Muhammad S.A.W sendiri ada menyatakan di dalam hadisnya bahawa umat islam pada akhir zaman ibarat buih di lautan. Bukan beerti umat islam sikit, tetapi banyak hakikatnya lemah bagaikan buih di lautan disebabkan penyakit al wahnu yang makin bermaharajalela di dalam hati manusia iaitu penyakit cintakan dunia dan takut mati. Inilah penyakit al wahnu yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Sahabat2 sekalian…..

Harapan kita selaku umat islam yang mencintai serta merindukan tempat yang menjadi saksi kepada peristiwa isra’ dan mikraj Nabi Muhammad S.A.W sudah lama terpendam di dalam hati sanubari kita. Setelah panglima islam yang gagah perkasa iaitu Salahuddin Al Ayubi telah berjaya merampas kembali bumi Palestin daripada cengkaman musuh-musuh islam, bumi Palestin berjaya diselamatkan dan beraada di dalam aman dan damai sehinggalah kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924 akibat daripada pengkhianatan Mustafa Kamal Atarturk yang bertopengkan Yahudi terhadap dunia islam pada ketika itu. Akibat daripada kejatuhan kerajaan islam yang besar ini, maka dunia islam sudah lagi tidak digeruni oleh musuh-musuh islam. Begitulah juga nasib yang sama berlaku kepada bumi Palestin yang akhirnya dirobek-robek oleh musuh-musuh islam.
Kemasukan kumpulan Yahudi yang pertama di dalam bumi Palestin oleh Britain memberi kesan yang teramat pedih kepada umat islam di Palestin khususnya dan umat islam di seluruh dunia umumnya. Sejak kemasukan kumpulan Yahudi tersebut, maka pengusiran serta penindasan yang dilakukan secara besar-besaran terhadap umat islam di Palestin terus berlaku sehinggalah seruan Intifadhah rakyat Palestin dilaungkan oleh pengasas Hamas pada ketika itu iaitu As-Syahid Syeikh Ahmad Yasin. Penentangan terhadap Yahudi ini jelas menunjukkan bahawa umat islam di Palestin tidak redha melihat musuh-musuh islam meratah-ratahkan penduduk Palestin. Ini juga membuktikan bahawa Yahudi tidak ada hak untuk tinggal di bumi Palestin. Manakala dakwaan mereka menyatakan bahawa bumi Palestin adalah bumi datuk nenek moyang mereka adalah tidak benar sama sekali.
Namun begitu, pemergian Syeikh Ahmad Yasin tersebut mengundang teka-teki siapakah yang bakal menjadi pengganti beliau untuk terus menaikkan semangat umat islam di Palestin dan umat islam di seluruh dunia demi untuk memastikan agar keamanan di bumi Palestin terus berada di dalam genggaman islam. Walaupun begitu, semangat yang ditiupkan oleh Syeikh Ahmad Yassin tidak terus terpadam apabila para pejuang Hamas terus berikrar untuk menyelamatkan bumi isra’ ini. Semoga dengan ketabahan serta semangat jihad yang wujud di dalam hati pejuang-pejuang Hamas akan dapat merampas kembali bumi Palestin suatu hari nanti. Insyaallah!!!

Pada ketika ini, kita dikhabarkan bahawa genjatan senjata telah dikeluarkan oleh kuasa-kuasa besar dunia untuk mengamankan kembali bumi Palestin. Termasuk Negara Malaysia sendiri yang sentiasa menggesa agar kuasa dunia dan juga PBB mengeluarkan arahan supaya gencatan senjata diadakan untuk memastikan keamanan dunia pada hari ini. Namun persoalan yang timbul sekarang, apakah genjata senjata ini benar-benar berterusan serta berpanjangan? Jawapannya sudah semestinya tidak. Kalau kita kenangkan kembali peristiwa perjanjian Hudaibiyyah antara Nabi Muhammad S.A.W dengan puak Musyrikin Mekah, kita dapati bahawa puak musyrikin Mekah sendiri akhirnya mengkhianati perjanjian dengan Nabi Muhammmad S.A.W. Kalaulah dengan Nabi Muhammad S.A.W mereka boleh khianat, apatah lagi dengan situasi yang berlaku sekarang antara pejuang Hamas dengan tentera Israel. Apakah Israel benar-benar ingin membuat perjanjian seperti yang sedemikian? Ini terbukti apabila sehingga sekarang mereka masih lagi membedil di sekitar Semenanjung Gaza menyebabkan angka kematian semakin hari semakin meningkat.

Sahabat-sahabat sekalian…..

Hanya dengan cara jihadlah merupakan cara yang terbaik bagi memastikan keamanan di bumi Palestin supaya terpelihara untuk selama-lamanya. Kalau kita perhatikan diseluruh dunia, rata-rata ramai pemuda islam yang mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk turun membantu pejuang Hamas di bumi Palestin. Tetapi malangnya, pengkhianatan negara-negara Arab terhadap dunia islam yang berkiblatkan kuasa besar dunia mengundangkan kemarahan umat islam di seluruh dunia. Semua sempadan-sempadan yang menghubungkan dengan negara Palestin ditutup semuanya.
Inilah realiti yang berlaku terhadap negara-negara islam sekarang. Mereka hanya melihat serta bersuka ria terhadap apa yang berlaku di bumi Palestin. Mereka menganggap biarlah rakyat Palestin disembelih sedemikian rupa asalkan mereka hidup bahagia di dalam alam material mereka. Sedikit pun tidak tergambar kesedihan di wajah-wajah mereka. Benarlah dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W. yang menyatakan bahawa umat islam pada akhir zaman walaupun ramai tetapi hakikatnya bagaikan buih di lautan. Oleh dengan itu, bantuan terhadap Palestin hanyalah melalui dengan makanan, pakaian, ubat-ubatan yang mana bantuan ini telah lama disumbangkan tetapi bumi Palestin tetap tidak akan berubah malah sentiasa menjadi mangsa kekejaman Israel. Oleh yang sedemikian, tidak lain dan tidak bukan hanya dengan membuka pintu jihadlah dapat menyelesaikan masalah yang berlaku. Hanya dengan jihadlah dapat memastikan bumi Palestin benar-benar berada di bawah kuasa islam di Palestin iaitu Hamas.

Sebelum ini juga kita telah mendengar bahawa kesemua gerakan-gerakan islam diseluruh dunia akan bersatu tenaga untuk merampas kembali tanah Palestin yang dirampas secara haram oleh Israel. Moga-moga dengan penyatuan tersebut akan melahirkan panglima-panglima islam yang gagah berani seperti Salahuddin Al Ayubi, Thoriq B. Ziad, Imaduddin Zanki, serta yang lain-lain lagi.
.
Kita sentiasa merindui kelahiran Salahuddin Al Ayubi yang kedua agar bumi Palestin khasnya serta seluruh dunia amnya akan tunduk di bawah pemerintahan islam yang sebenar. Semoga dengan kelahiran pejuang-pejuang islam yang gagah perkasa itu nanti, akan mengembalikan semula sistem khilafah islamiyyah yang telah lama diidam-idamkan selama ini berikutan kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang mahsyur pada tahun 1924. Hanya dengan kuasa islamlah dapat mengembalikan keamanan di alam ini. Insyaallah…..!!!
Oleh :
Ustaz Arifsyah bin Abdullah Sani
Tahun 3, Kuliah Usuluddin,
Jabatan Dakwah,
Universiti al Azhar,
Kaherah

Peperiksaan Sudah Bermula

MESIR, 4 MEI - Hari ini telah bermulalah musim peperiksaan yang telah dinanti-nantikan selama ini. Segala macam persiapan telah dilakukan oleh para mahasiswa untuk berhadapan dengan ujian ini. Di dalam tempoh ini juga, mahasiswa di kuliah Qiraat dan Perubatan turut sama menghadapi peperiksaan.

Sebelum ini PMRAM telah meletakkan 11 April sebagai permulaan kepada persediaan mahasiswa untuk menghadapi peperiksaan. Suasana peperiksaan yang penuh dengan kelas tutorial, belajar berkumpulan dan sebagainya, dapat dilihat di rumah-rumah negeri.

Di peringkat KPIPM dan Badan Kebajikan Anak Negeri yang lain, kerap mengadakan Solat Hajat sempena peperiksaan. Bahkan turut mengadakan program-program motivasi dan beberapa aktiviti berkaitan peperiksaan.

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...