Monday, October 28, 2013

Persediaan Mahasiswi Baru Perak Menghadapi IQ Dipertingkat

Kaherah, 28 Oktober 2013 - Pada 4 Oktober yang lalu, Kelas Intensif Bahasa Arab telah diadakan di Taiping, Perak khusus bagi pelajar-pelajar Perak yang mengambil Imtihan Qabul di Malaysia. Justeru itu, Kelas Intensif IQ bagi 4 orang mahasiswi baru Perak yang telah tiba di Mesir bersama ILMAM Selangor pada 8 Oktober yang lalu juga telah berjalan pada setiap hari bermula sejak awal kedatangan mereka di sini sehingga ke hari ini.. Kelas Intensif ini merupakan persediaan bagi menghadapi Imtihan Qabul yang dijadualkan pada 30 Oktober 2013 ini.

KPIPM  telah berusaha untuk membantu mahasiswi baru ini mengikuti kelas yang telah diadakan di rumah Selangor serta menghantar beberapa orang tenaga pengajar dari kalangan ahli Perak sendiri untuk mengajar mereka di Wisma B. Antara pengisian dalam kelas-kelas tersebut adalah mengenai pendedahan silibus IQ seperti Qiraah, Qawa'id, Muhadathah dan Istima'. Mahasiswi-mahasiswi ini begitu gigih menelaah dan mengulangkaji pelajaran bagi memantapkan diri menghadapi IQ.

Pihak persatuan akan terus membantu dan memberi sokongan kepada mereka dalam menghadapi IQ tidak lama lagi. Harapannya semoga mereka berjaya dengan cemerlang dan dapat meneruskan pengajian ke Universiti Al-Azhar seterusnya melahirkan lebih ramai generasi pelapis Azhari dan menjadi permata yang bakal menyinar kelak.

"MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN"
"BERILMU, BERAMAL, IKHLAS"




Sunday, October 27, 2013

Usrah Gabungan BBQ: Meribat Ukhuwah Sesama Ahli

Kaherah 25 Oktober 2013 - Demi Menjayakan salah satu usul KPIPM iaitu “Memperkasakan Muzakarah Berkelompok di setiap peringkat”, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah mengambil pendekatan dengan mengadakan Usrah Gabungan. Antara aktiviti yang dibuat ialah membakar “BBQ Ukhuwwah” diperingkat Ikhwah. Manakala diperingkat Akhawat pula, dilaksanakan Aktiviti dewan bagi mengisi kelapangan masa yang ada. Diharapkan program yang berlangsung dapat menanam semangat saling tolong-menolong dan meribat ukhuwah di antara ahli KPIPM dengan lebih erat.


Ehya' Jum'ah: Tazkirah Perdana Bersama Pegawai HEP

Kaherah, 24 Oktober 2013 - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah  meneruskan Program Ehya’ Al-Jum’ah dengan jayanya. Majlis dimulai dengan alunan Qasidah dan diteruskan dengan bacaan Yaasin. Antara yang menarik pada kali ini, KPIPM telah menjemput Yang Berbahagia Al-Fadhil Ustaz Munawir bin Mohamed Noh, Pegawai Hal Ehwal Pelajar Perak Mesir selaku pentazkirah jemputan pada minggu tersebut. Beliau telah berkongsi sedikit sebanyak tentang perihal taqwa serta menghuraikan maksud tersirat berdasarkan kata-kata Saidina Ali R.A.

Beliau juga memberi nasihat kepada seluruh anak-anak Perak yang hadir supaya sentiasa mencari Ilmu yang bermanfaat di bumi Mesir ini dengan bersungguh-sungguh.

“Biarlah Ilmu yang kita timba disini akan dimanfaatkan apabila kita pulang untuk menghadapi masyarakat kelak.”ujar beliau.



KPIPM mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi menerima jemputan tersebut dan diharapkan program seperti ini akan terus dilaksanakan pada masa akan datang. Majlis ditutup dengan Kaffaratul majlis dan Surah Al-Asr.

Wednesday, October 23, 2013

Perjumpaan Perkenalan Bersama Pegawai Baru

Kaherah, 21 Oktober 2013 – Bersempena dengan kehadiran Pegawai HEP Perak Mesir baru-baru ini, satu perjumpaan telah diadakan di antara barisan kepimpinan KPIPM dan Pegawai HEP Perak Mesir, Ustaz Munawir Bin Mohamed Noh.

Perjumpaan yang diketuai oleh Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Muhammad Hanif Bin Abdullah bermula pada jam 8.00 malam dengan sedikit taaruf ringkas daripada kesemua AJKT dan AJK HEWI KPIPM seterusnya ucapan alu-aluan daripada Pegawai HEP.

Perjumpaan yang bertujuan untuk perkenalan awal ini juga membincangkan tentang kerjasama kedua-dua pihak dalam menyalurkan kebajikan kepada anak-anak Perak di bumi Mesir. Antara yang dibincangkan adalah tentang pembawaan KPIPM dan Pegawai HEP serta beberapa cadangan penambahbaikan.

“Pihak KPIPM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ustaz Munawir diatas kesudian meluangkan masa bersama kami di dalam perjumpaan ini. Insyaa Allah, segala pendapat dan cadangan yang dilontarkan akan cuba diusahakan demi kebaikan anak-anak Perak di Mesir.” Ulas Yang Dipertua KPIPM diakhir ucapan.



“Harapan saya supaya kita cuba mengambil manfaat dengan kerjasama yang kita lakukan. Sekiranya berlaku kekhilafan, ia adalah suatu perkara yang biasa sebagai seorang profesional.” Ujar Ustaz Munawir yang pernah memegang jawatan sebagai AJKT KPIPM suatu ketika dahulu.

“BERILMU, BERAMAL, IKHLAS”

“MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN”

Yeop FC Ditabalkan Sebagai Juara

Kaherah, 20 Oktober 2013 – Pasukan Yeop FC yang mewakili KPIPM telah dinobatkan sebagai juara Kejohanan Futsal Piala Ukhuwah PMRAM 2013 baru-baru ini. Perjalanan Yeop FC pada peringkat liga berhasil kerana berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya apabila menduduki tempat kedua di dalam kumpulan.

Pada peringkat pusingan kalah mati, pasukan Yeop FC akhirnya berjaya memenangi kesemua perlawanan dan seterusnya melayakkan diri ke peringkat akhir. Pada perlawanan akhir, pasukan Yeop FC dipertemukan dengan pasukan Zaqaziq FC yang mewakili DPM Zaqaziq. Pada separuh masa pertama, Yeop FC berada di hadapan dengan mata 1-0 hasil daripada jaringan saudara Ikmal Fikry melalui sepakan jarak jauh.

Kedudukan selesa Yeop FC akhirnya tidak lama apabila pasukan Zaqaziq FC berjaya menyamakan kedudukan sebelum separuh masa pertama tamat. Akhirnya, perlawanan berkesudahan dengan seri dan juara akan ditentukan melalui sepakan penalti. Akhirnya, pasukan Yeop FC dinobatkan sebagai juara dengan penentuan sepakan penalti. Sementara itu, saudara Ikmal Fikry Bin Mah Ali yang merupakan penjaga gol tunggal Yeop FC ditabalkan sebagai pemain terbaik bagi kejohanan tersebut.


“Kami selaku barisan kepimpinan KPIPM merasa bangga diatas pencapaian yang telah ditunjukkan oleh skuad Yeop FC dalam mengharumkan nama KPIPM sekaligus melahirkan mahasiswa yang sihat dan fokus.” Ulas Ustaz Muhammad Hanif selepas ditemuramah.

“BERILMU, BERAMAL, IKHLAS”

“MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN”



Sunday, October 13, 2013

KPIPM Menyambut Ketibaan Pegawai Baru

Kaherah, 13 Oktober 2013 – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir mengalu-alukan kedatangan Pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) Perak Mesir yang baru, Encik Munawir Bin Mohamed Noh  ke bumi anbiya’.

Ketibaan tepat jam 5.30 pagi tadi di lapangan terbang Kaherah telah disambut baik oleh Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Muhammad Hanif Bin Abdullah, wakil AJKT beserta dua orang Badan Pengurus Angkat iaitu Ustaz Al-Amin Bin Haji Salleh dan Ustaz Salihin Bin Abdullah. Encik Munawir Bin Mohamed Noh akan menggantikan Encik Muhaimin Bin Abdul Majid sebagai Pegawai HEP Perak Mesir yang baru bagi sesi ini.  

Pihak KPIPM mengharapkan agar beliau dapat menjalankan amanah dengan baik demi menjaga kebajikan anak-anak Perak di bumi Mesir ini. 




Monday, October 7, 2013

Gotong-Royong: KPIPM mengalu-alukan kedatangan pelajar baru

KAHERAH, 7 Oktober 2013- Gotong-royong pembersihan Wisma Darul Ridzuan B telah dijalankan di peringkat ikhawah semalam, 6 Oktober 2013 bermula jam 7.00 pagi sehingga 12 tengahari manakala di peringkat akhawat telah dijalankan pada hari ini pada jam 11.00 pagi sehingga 3.00 petang. Gotong-royong ini bertujuan sebagai persediaan bagi menyambut kedatangan pelajar-pelajar baru yang bakal datang ke Mesir tidak lama lagi. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada seluruh ahli yang terlibat dalam membantu menjayakan gotong-royong ini.

"Our Home Our Responsibility"


MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS




 Antara kerja-kerja pembersihan




PBSA'13 Memberi Semangat Baru

TRONG, 29 Sept- Program bakti siswa Al-Azhar (PBSA'13) telah diadakan di Maahad Tarbiah Islamiyah Batu 8 bermula jam 10 pagi. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir bagi sesi baru 2013/2014. Seramai 24 orang ikhwah dan 14 orang akhawat yang telah hadir pada PBSA'13 tersebut bersama ibu bapa.Program bermula dengan majlis perasmian oleh Al-Fadhil Ustaz Hafizuddin Zakaria selaku Pengerusi Ikatan Lepasan Mahasiswa Perak (ILMAM) Perak. 

 Slot Perasmian oleh Ustaz Hafizuddin b. Zakaria


Antara pengisian yang disampaikan adalah berkenaan pengenalan Al-Azhar, KPIPM dan PMRAM serta Taklimat Keselamatan Mesir dan Pengenalan Imtihan Qabul (IQ) daripada wakil persatuan yang hadir pada hari tersebut. Setiap slot yang disampaikan disusuli dengan sesi soal jawab daripada pelajar dan ibu bapa.

"Kami sangat berbesar hati kerana masih ramai pelajar baru yang akan menyambung pelajaran ke Mesir seterusnya memastikan kelangsungan pelajar keluaran Al-Azhar. Diharap kepada pelajar-pelajar ini yang bakal menduduki Imtihan Qabul lulus dengan cemerlang" kata Ustaz Zulhafeez Ahmad Zahidi selaku Pengarah PBSA'13. Program bersurai kira-kira jam 3.00 petang.



 Slot Pengenalan Al-Azhar oleh Ustazah Nurul Fadhilah bt. Abdul Rahman



 Slot penerangan Isu Keselamatan Mesir oleh Ustaz Muhammad Kamal b. Faudzi
dan Ustaz Zulhafeez b. Ahmad Zahidi

Sesi soal jawab oleh pelajar dan ibu bapa

KPIPM cakna kebajikan ahli di Malaysia

LUBUK MERBAU, 28 SEPT. - Pada tanggal 21 September yang lalu, cahaya mata sulung kepada pasangan bahagia Ustaz Mohd Ridhwan b. Othman dan Ustazah Hishmah Zulfa bt. Khalid telah selamat dilahirkan di Hospital Taiping, Perak. Oleh itu, HEWI KPIPM telah mengambil kesempatan untuk menziarahi pasangan ini di teratak mereka di Lubuk Merbau yang diwakili oleh Dr. Nasibah bt. Abu bakar, Timb. Ketua HEWI KPIPM 2012/2013 dan Ustazah Norul Aimi bt. Mohamad Razi, Anggota Badan Penasihat KPIPM 2012/2013. 



Puteri kecil ini diberi nama Faqihatul Azkiya' binti Mohd Ridhwan yang telah berusia 7 hari pada ketika itu. Selain itu, kesempatan ini juga diambil bagi menziarahi ayah kepada Ustazah Hishmah Zulfa dan juga Ustaz Shazwan yang dikatakan telah terlantar sakit sejak sebulan yang lalu. Walaubagaimanapun keadaan ayah mereka semakin beransur pulih. 

"KPIPM mengucapkan tahniah atas kelahiran permata sulung ini dan takziah atas ujian yang menimpa Ustaz Khalid, iaitu ayah kepada Ustazah Hishmah dan Ustaz Shazwan. Semoga Allah memberikan kesembuhan dan berharap agar ahli keluarga tabah menghadapi ujian ini." Ujar Dr. Nasibah. Semoga kelahiran bayi sulung pasangan ini bisa menjadi penawar dan kegembiraan kepada ahli keluarga mereka. Ziarah ini diakhiri dengan penyerahan sedikit sumbangan daripada KPIPM kepada pasangan ini. KPIPM selaku persatuan yang menjaga kebajikan ahli akan cuba untuk sentiasa mengambil cakna terhadap keperluan ahli.

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...