Wednesday, November 13, 2013

Pengislahan Wisma Darul Ridzuan Mencatat Sejarah

KAHERAH, 9 November 2013 - Sekali lagi mencatat peristiwa dalam sorotan sejarah KPIPM, Wisma Darul Ridzuan A kali ini menjalani proses pembaikpulihan selepas kali terakhir dibaiki pada akhir tahun 2008. Perpindahan barangan penghuni wisma telah dijalankan bermula jam 9.00 pagi sehingga malam. Akhawat berpindah ke Syaqah 5 Wisma B, manakala ikhwah pula berpindah ke 3 buah rumah sewa yang berada sekitar kawasan Sabi'. Segala urusan pembaikpulihan wisma ini adalah di bawah tanggungjawab Syarikat Al-Attal.

Ucapan tahniah dan ribuan terima kasih diucapkan kepada semua barisan kepimpinan KPIPM, Pegawai HEP Mesir serta seluruh ahli KPIPM, ikhwah mahupun akhawat yang bertungkus-lumus dalam menjayakan proses gotong-royong serta pemindahan barang dari Wisma A.

Tautan ukhuwah telah terzahir melalui bantuan seluruh ahli. Semoga ukhuwah antara semua ahli semakin kukuh dan diberkati Allah.


"BERILMU, BERAMAL, IKHLAS"
"MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN"

Monday, November 4, 2013

Musim Sejuk Bukan Penghalang Untuk Ke Kuliah

Akademik merupakan satu pencapaian yang penting dalam kehidupan kita yang dinamakan pelajar. Dengan pencapaian akademik yang kita perolehi, akan  menentukan hala tuju hidup kita seterusnya ke manakah kita selepas ini walaupun sememangnya hakikat penentuan kehidupan pada kekuasaan Allah s.w.t.

Allah s.w.t ada menekankan kepada kita akan suruhan untuk kita untuk menuntut ilmu.

Firman Allah Taala, maksudnya: ".. bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya." (43, An-Nahl dan 7, Al-Anbia')

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ.
 (ابن ماجه وغيره)

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam."

(Ibnu Majah dan Lain-lainnya)

Nabi s.a.w menyebut lagi dalam Darul Qutni mafhumnya:
“Syaitan paling takut keatas orang yang menuntut ilmu daripada ‘abid yang beribadat seribu tahun tetapi tiada ilmu”

Ilmu akademik ataupun ilmu-ilmu turasi yang lainnya semestinya dicari dan dipelajari, bukan hanya membaca dan mendengar pada corong-corong radio dan rakaman kerana semua itu kurang mendatangkan kebaikan dan keberkatan bagi kita selaku penuntut ilmu. Antara adab dalam menuntut ilmu antaranya ialah berguru dan melihat atau berhadapan dengan guru tersebut. Bukanlah dinamakan belajar jika tiada gurunya.

Imam Al-Syafie pernah mengungkap:
"Bersabarlah kamu dalam perjalanan jauh demi menemui gurumu, sesungguhnya lautan ilmu itu diperoleh menerusi perjalanan kamu menemuinya. Sesiapa yang tidak berasa kepahitan menuntut ilmu sedetik, ia pasti menelan kehinaan dek kejahilan sepanjang hayatnya."

Musim sejuk datang lagi 
Bagi kita, mahasiswa yang belajar di bumi Mesir ini, Musim sejuk adalah waktu yang paling seronok untuk berjalan-jalan serta beristirehat. Mesir merupakan negara 4 musim. Walaupun tiada salji, suhu boleh mencecah 5-7 darjah celcius. Ini disebabkan cuacanya yang dingin dan kering memudahkan kita untuk berehat dan tidur dengan selesa walaupun perit dek kesejukan dalam beberapa keadaan seperti hendak berwudhuk, mandi, qadha hajat dan perkara yang berkaitan dengan air.

Musim sejuk, kuliah vs selimut
Sudah menjadi kelaziman apabila tiba musim sejuk, mahasiswa di Mesir lebih suka  memanfaatkan masa mereka untuk ‘bersuluk’ atau ‘berkhalwah’ di bawah satu pelukan selimut yang tebal dan mahal atau dalam erti kata lain ialah tidur tidak kena masa, maka perkara inilah yang perlu diubah agar ia tidak menjadi satu kelaziman akan seseorang yang bergelar mahasiswa. Janganlah musim sejuk dijadikan alasan untuk tidak ke kuliah.

Mungkin ianya menjadi ‘zuruf’ atau situasi yang biasa di kalangan masyarakat setempat. Maklumlah, situasi di Mesir secara kebiasaan masyarakatnya akan tidur selepas sahaja waktu subuh. Mungkin ini menjadi faktor kepada kelaziman mahasiswa kita di Mesir menjadi malas dan tidak proaktif.

Maka mahasiswa perlu bersikap proaktif dalam menangani masalah tersebut supaya tidak menjadi kelaziman pada diri mahasiswa itu sendiri. Dalam membentuk jati diri mahasiswa yang proaktif, ianya memerlukan tindakan susulan yang perlu dilaksanakan. Antara langkah-langkah tersebut ialah:

1 ) Ikhlaskan niat:
Sabda Rasulullah S.A.W:
عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله ومن كانت هجرته إلى دنيا يصيبها أو امرأة يتزوجها فهجرته إلى ما هاجر إليه "( متفق عليه

“Daripada Umar bin Al-Khattab r.a. katanya, “Rasulullah s.a.w. bersabda, Sesungguhnya segala amalan itu adalah bergantung kepada niat, setiap orang memperolehi mengikut apa yang ia niatkan. Sesiapa yang niat hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya maka (ganjaran) hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya dan barangsiapa yang niat hijrahnya kepada dunia yang ia ingin dapatkannya atau kepada perempuan yang ia ingin kahwininya maka pahala hijrahnya adalah kepada apa yang ia hijrahkan (niatkan)” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)”

Mahasiswa yang proaktif akan menjadikan matlamat yang benar sebagai dasar kepada setiap tindakan mereka. Sekiranya tindakan mereka lari daripada asar matlamat yang sebenar, mereka akan segera memperbaiki diri mereka ke arah matlamat tersebut.

Tidak dapat tidak, sebagai mahasiswa Islam, matlamat yang ingin dicapai hanyalah semata-mata ingin menggapai redha Allah S.W.T. Maka konsep ikhlas yang digariskan syara’ perlu diterapkan dalam diri setiap mahasiswa Islam bagi menggapai redhaNya. Maka segala sikap yang menghalang ke arah matlamat tersebut perlu dikikis.

2) Sentiasa berusaha ke arah kejayaan
Perlu difahami bahawa usaha merupakan elemen penting ke arah kejayaan yang dicita-citakan. Usaha yang gigih memerlukan pengorbanan sama ada masa, tenaga, wang ringgit dan sebagainya. Sepertimana yang ditegaskan oleh As-syahid Imam Hasan Al-Banna dalam kata-katanya:

“Yang aku maksudkan dengan “tadhiyyah” (pengorbanan) adalah:  mengorbankan harta, waktu, kehidupan dan segalanya untuk mencapai matlamat yang ingin dicapai.  Tidak ada jihad di dunia ini yang tidak disertai dengan pengorbanan.”

3) Melazimi solat Dhuha
Solat Dhuha merupakan solat yang mempunyai banyak kelebihannya. Kelebihan yang paling besar adalah Allah akan mengurniakan rezeki yang melimpah ruah pada waktu tersebut. Berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W:

“Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang.”

(Hadith Riwayat Abu Daud)

Mengerjakan solat sunat dhuha juga merupakan punca kepada kejayaan kita di dunia sama ada dari segi akademik mahupun kejayaan yang lain. Inilah yang mendorong semangat pelajar supaya terus memberi sepenuh tumpuan kepada pembelajaran di kuliah.

Kesimpulannya, jadikanlah diri kita manusia yang terhormat dengan keyakinan hidup yang mulia. Harus sudah tahu mana yang penting, mana yang tidak penting disamping selalulah muhasabah diri. Di dalam menuntut ilmu tidak perlu untuk berkira itu dan ini.  Letakkanlah diri kita atas keadilan, takut-takut kerana alasan yang kita cari menjadikan diri kita golongan yang tidak bersyukur dan zalim. Apa yang penting semuanya kembalikanlah pada dalam diri kita, bersihkan hati, tenangkan jiwa, lapangkan fikiran, tajdid niat.

“Jom Ke Kuliah!”

Ustaz Muhammad Nizamuddin Bin Sabri
Ketua Biro Pelajaran KPIPM Sesi 2012/2013

Program Ramah Mesra Asnaf Ibnu Sabil MAIPk 2013: Kedatangan Bakal Mahasiswa Mesir

Ipoh, 4 November 2013 – Satu program telah diadakan baru-baru ini bersempena dengan kedatangan pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke bumi Mesir tidak lama lagi. Program yang dinamakan Program Ramah Mesra Asnaf Ibnu Sabil itu bertempat Kompleks Islam Darul Ridzuan dengan tujuan memberikan pendedahan berkenaan dengan dermasiswa serta taklimat penerbangan.


Antara yang berucap pada program tersebut ialah Ustaz Muhd Bakri Bin Li selaku wakil MAIPk dan wakil KPIPM di Malaysia, Ustaz Hakimi Bin Abdul Hamid. Kehadiran pelajar pada program tersebut amat menggalakkan iaitu sekitar 30 orang.  

Wakil KPIPM, Ustaz Hakimi Bin Abdul Hamid memberikan ucapan.
“BERILMU BERAMAL IKHLAS”


“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...