Sunday, August 23, 2015

KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BKAN MESIR : ISU DAKWAAN PENYELEWENGAN BAYARAN ASRAMA DI KAHERAH





KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI (BKAN) DI MESIR

23 OGOS 2015

SUSULAN ISU DAKWAAN PENYELEWENGAN BAYARAN ASRAMA DI KAHERAH

Mesyuarat Yang Di-Pertua (YDP) Badan Kebajikan Anak Negeri pada hari Sabtu bertarikh 22 Ogos 2015 di Wisma Perak Baitul Ridzuan, Kaherah yang dipengerusikan oleh Saudara Muhammad Asri bin Mohd Salim, YDP Keluarga Pelajar-pelajar  Islam Perak Mesir  adalah bertujuan membincangkan tindakan susulan hasil perjumpaan YDP-YDP BKAN bersama pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) pada 17 Julai 2015 bertempat di Asrama Sementara Wilayah Persekutuan yang lepas. Mesyuarat telah mencapai kata sepakat seperti berikut :

1) Merujuk kepada ucapan Yang Mulia Tuan Yang Terutama Dato' Ku Jaafar bin Ku Shaari, Duta Besar Malaysia ke Mesir dan ditauliah serentak ke Palestin, beliau telah menafikan keterlibatan BKAN dalam isu penyelewengan tersebut dan menyatakan kenyataan tersebut adalah bersifat umum dan tidak membabitkan BKAN.

2) Justeru, BKAN memohon pihak KBMK mengeluarkan satu kenyataan menafikan keterlibatan persatuan-persatuan negeri sekaligus bagi membersihkan BKAN dalam dakwaan penyelewengan ini yang telah tersebar luas dalam media perdana negara dan media akhbar di Mesir sama ada melalui media rasmi KBMK atau akhbar-akhbar tempatan.

3) BKAN akan terus komited dalam meneruskan pengurusan kebajikan pelajar-pelajar baru ke Mesir dengan kerjasama Atase Pendidikan Negeri.

Akhirnya, BKAN amat berbesar hati agar pihak KBMK memandang serius perkara ini. BKAN juga mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian menjemput YDP-YDP BKAN ke majlis pertemuan tersebut sekaligus menafikan keterlibatan BKAN dalam isu yang dinyatakan.

MUHAMMAD ‘ASRI BIN MOHD SALIM (YANG DIPERTUA KPIPM)
ANAS BIN MOHD BHUKHARI         (YANG DIPERTUA BKASM)
MOHAMMAD BIN MOHAMAD ZIN (YANG DIPERTUA KPKM)
SYAHID SYAMIL BIN RAMLI         (YANG DIPERTUA BKMIP)
USAMAH BIN ARIS         (YANG DIPERTUA BKPJM)
AHMAD RABBANI BIN ISMAIL (YANG DIPERTUA BKKIMM)
AHMAD WALIYUDDIN BIN JOHARI        (YANG DIPERTUA KPT)
MOHD JASRY RAIMY BIN JOHARI (YANG DIPERTUA BKPPPM)
MUHAMMAD YASIN BIN AWANG (YANG DIPERTUA BKAWM)
AHMAD MAHIR BIN C. NASRUDDIN (YANG DIPERTUA KPP)
MOHD SHAFIQ BIN MOHD NASER (YANG DIPERTUA MKKK)


#BersamaBersatu
#Satu_Fikrah_Satu_Amal

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

Wednesday, August 5, 2015

Defisit Wang vs Defisit Iman

          

Islam adalah satu-satunya ad-din yang diwahyukan Allah kepada  Rasulullah S.A.W untuk mengatur seluruh sendi kehidupan manusia dan alam semesta. Kegiatan perekonomian manusia atau disebut juga sistem muamalat turut diatur dalam Islam dengan prinsip Ilahiyah. Bertepatan dengan pembawaan KPIPM sesi ini, sistem ekonomi satu unsur yang amat penting bagi meneruskan kelangsungan sesebuah persatuan dan komuniti umumnya.
Rasulullah S.A.W sendiri telah menunjukkan qudwah terbaik dalam bidang ekonomi melalui perniagaan yang baginda S.A.W jalankan.

Sabda Rasulullah S.A.W:
“Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan.”
(HR Tarmizi)

          Segala kegiatan perekonomian yg berlaku di dunia ini juga mengikut ketetapan dari Ilahi. Pelbagai sistem pengurusan Islam yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah telah diwujudkan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang kian mendesak. Al-Mudharabah, Al-Ijarah, Ar-Rahnu dan Al-Wadi’ah merupakan antara konsep muamalat yang telah disusun oleh para ulamak bagi memastikan pelaksanaannya selari dengan kehendak syariat. Hal ini penting bagi memastikan harta yang dimiliki manusia jauh dari unsur riba, gharar dan sebagainya.

          Namun, perlu diingat, segala harta yang ada pada manusia  adalah anugerah dari Yang Maha Kuasa. Manusia dipinjamkan sedikit sahaja harta di dunia untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Setiap harta yang dimiliki ini akhirnya akan dihitung serta disoal oleh Allah S.W.T. kelak untuk dipertanggungjawabkan.

          Dalam kehidupan sebagai mahasiswa, kita tidak terlepas dari merangka dan berhadapan dengan aliran keluar masuk wang sama ada untuk dimanfaatkan dalam perihal pelajaran mahupun kos sara diri. Item debit iaitu kemasukan wang dalam akaun kewangan rata-rata bersumberkan dari penaja “FAMA” iaitu Father and Mother. Antara fenomena yang kerap kali timbul adalah bahagian kredit akaun tersebut gagal dikesan ke mana aliran dan curahannya sehinggakan kadangkala berlaku defisit (penggunaan wang melebihi dari kemasukan wang) dan terpaksa menebalkan muka berulang kali menelefon kembali ibubapa menyatakan masalah yang sama.

          Namun, dalam kesibukan kita menyusun perancangan kewangan dan kehidupan setiap hari,bagaimana pula dengan perjalanan akaun amal kehidupan kita selaku hamba-Nya di dunia ini? yang mana nilaian untung bersih dari akaun tersebut akan kita raih di akhirat kelak. Tepuk dada,tanya iman.

Firman Allah S.W.T:
Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan satu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan Allah S.W.T dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui
                                                                                                                           (Surah As-Saff : 10-11)

Pernahkan dihitung item debit akaun iman kita sepanjang kehidupan sejak dari kecil sehingga dewasa kini? Alangkah indahnya apabila catatan debit itu dipenuhi dengan amalan soleh yang membawa kepada pertambahan iman.

          Namun, amat sedih saat kita memandang di bahagian kredit, ia sarat dengan senarai perbuatan dosa dan noda yang menghapuskan semua catatan debit. Bahkan lebih parah lagi jika catatan kredit tersebut melebihi catatan debit dan membawa kepada defisit iman. Jika perkara tersebut terzahir dan nampak dengan jelas di hadapan kita, sudah pasti ianya menjadi suatu penyesalan yang tiada kesudahan di akhirat kelak.

Riwayat Abu Jaafar Al-Khatami dari bapanya dari datuknya Umair bin Hubaib berkata:
“Iman manusia bertambah dan berkurang”. Ada yang bertanya: “Bagaimana ia bertambah dan berkurang?” Lalu beliau menjawab “Apabila kita mengingati-Nya, bertahmid dan bertasbih kepada-Nya maka iman akan bertambah. Apabila kita melupakan-Nya, lalai dan cuai dari mengingati-Nya maka imannya akan berkurang.”

         Jika akal makanannya ilmu, maka hati makanannya adalah iman. Akal yang dipenuhi ilmu juga perlukan pimpinan hati yang sarat dengan iman. Emas perlu ditempa, intan perlu digilap, mungkin begitulah juga tamsilan iman manusia. Iman perlu ditempa oleh ujian, digilap melalui kesusahan. Sengatan ujian kadang-kadang menyakitkan namun apabila dapat dihadapi dan ditangani dengan redha maka ia seolah-olah satu cecair imunisasi yang dapat mengilatkan kembali iman yang pudar.

Firman Allah S.W.T:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebutkan nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya maka bertambahlah iman mereka (kerananya)”
                                                                                                                                   (Surah Al-Anfal: 2)

          Jadikan akaun kehidupan kita yang mana debitnya adalah pahala daripada amal kebaikan dan jangan mengkreditkan akaun tersebut dengan dosa-dosa yang kita lakukan. Defisit wang tidak mengapa kerana wang mudah dicari , namun jika yang menjadi defisit itu adalah iman, maka rugilah kita di akhirat kelak. kerana iman dan amal tapak semaiannya hanyalah di dunia. Akhirat kelak merupakan tempat menuai dan mengutip hasilnya.

Debit pahala, kredit dosa ???
Buatlah pelarasan iman.

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...