Monday, February 29, 2016

MESRA'16 | Keberjayaan Tema "Pumpunan Kasih, Cerminan Ukhwah"


KAHERAH - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015/2016 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak telah menganjurkan program yang dinamakan Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir (MESRA'16). MESRA'16 yang berkonsepkan "retro"  telah berlangsung dengan jayanya selama enam hari bermula dari 9 sehingga 14 Februari 2016 bertempat di Wisma Darul Ridzuan. Program yang bertemakan "Pumpunan Kasih, Cerminan Ukhuwah"  ini melibatkan seluruh ahli KPIPM selari dengan objektif yang digariskan pada kali ini iaitu memupuk semangat kesukanan dalam kalangan ahli, meluaskan capaian thaqafah anak-anak Perak dalam ilmu kontemporari, mencungkil bakat anak-anak Perak dalam pelbagai bidang dan kemahiran serta mengukuhkan silaturrahim dan semangat kerjasama dalam kalangan mahasiswa/wi Pengajian Islam dan Sains Kesihatan.

     MESRA'16 bermula pada hari Selasa, 9 Februari 2016 bersamaan 29 Rabi'ul Akhir 1437 H jam 9.00 pagi dengan aktiviti explorace akhawat dan perjumpaan rumah sukan ikhwah dan akhawat. Pada sebelah malamnya seawal jam 7.00 malam, KPIPM mengadakan Malam Pelancaran program Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir (MESRA'16). Program ini dirasmikan oleh Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak, Ustaz Munawir bin Mohamed Noh selepas sahaja Ucapan Aluan dari Pengarah MESRA'16 Ustaz Khairul Naim bin Abd Razak serta Yang Dipertua KPIPM sesi 2015/2016 Ustaz Muhamad Ainuddin bin Mohd Ishak. Majlis diteruskan lagi dengan slot Bual Bicara bertajuk "The Hidden Truth Behind Science and al-Quran"  yang menampilkan dua orang pengisi yang tidak asing lagi di Bumi Anbia iaitu Ustaz Hanifulfuad bin Hussien, Graduan Lughah al-Azhar dan Saudara Muhammad Hanif bin Mahamad, Ahli Majlis Tertinggi Perubatan (MTP) dan moderator .

     Pada hari kedua program MESRA'16 diteruskan dengan aktiviti-aktiviti outdoor ikhwah dan akhawat. Antara aktiviti outdoor ikhwah iaitu sukan Bola Tampar dan Sukaneka yang bertempat di Istad Abbasiah manakala aktiviti outdoor akhawat berbentuk sukaneka bertempat di Hadiqah Atfal.

     MESRA'16 ini bersambung pada keesokan harinya dengan acara indoor ikhwah dan indoor akhawat seperti khutbah, khat, poster, hafazan, gubahan buah, debat mahasiswi, pantun dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh mengilap bakat-bakat terpendam dalam kalangan anak-anak Perak. Pada sebelah malam hari ketiga MESRA16 diadakan Talkshow Care Line yang bertajuk "Vaksin Antara Tanggapan dan Hakikat"   Talkshow tersebut telah dikupas oleh dua orang ahli panel iaitu Dr Muhammad Zofir Wajdi dan Dr Nihal Tarmizi dan moderator Dr Ahmad Azhan Fahimi, kesemua mereka adalah pelajar Sains Kesihatan dari Perak sendiri.

     Kemesraan MESRA'16 diteruskan lagi pada hari keempat dengan pertandingan Piala KPIPM dan Piala an-Nisa' di sebelah ikhwah yang dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Hazim bin Mohd Halim AJK Penasihat Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015/2016 bertempat di Nadi Zahra Sahah II. Di sebelah akhawat pertandingan Piala an-Nisa' bagi sukan bola jaring yang dimulakan dengan perlawanan permukaan antara HEWI KPIPM vs HEWI BKPJM.

     Setelah berlangsung selama enam hari, kini tibalah majlis penutupan program Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir (MESRA'16). Sebelum perasmian penutupan majlis MESRA'16, majlis dimulakan dengan Malam Kesenian Islam. Pada malam ini persembahan adalah mengikut wakil-wakil rumah sukan masing-masing. Antara persembahan yang telah diadakan adalah persembahan Dabus, lakonan, nasyid dan Dikir Barat. Majlis Penutupan MESRA'16 telah dirasmikan oleh Pengerusi Badan Penasihat KPIPM sesi 2015\2016, saudara Muhammad Hanif bin Abdullah diikuti juga dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang sepanjang program MESRA'16. Kumpulan rumah sukan terbaik pada sesi ini telah disandang oleh rumah sukan merah iaitu Doremi. Majlis berakhir sekitar jam 11.30 malam dengan jamuan ringan.

     Besarlah harapan dari pihak kami Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015\2016 agar program-program sebegini dapat mengeratkan lagi ikatan kasih sayang yang padu serta jalinan ukhuwah yang kukuh di antara semua ahli Perak di bumi Mesir. Segala kerjasama yang baik dari semua peringkat kami ucapkan ribuan terima kasih.






"Pumpunan Kasih, Cerminan Ukhuwah"
BERILMU,BERAMAL,IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Tuesday, February 16, 2016

DAURAH'16 | "KEMANTAPAN ILMUWAN TERAS NAHDHAH ISLAMIAH"


KAHERAH- Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2015/2016 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak telah menganjurkan program ilmiah selama empat hari bermula dari 31 Januari sehingga 3 Februari 2016 di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Baitul Ridzuan. Program yang  diberi nama Daurah Fashlus Syita’ KPIPM (DAURAH ’16) diadakan bagi menambah thaqafah dan ilmu pengetahuan agama dalam kalangan ahli KPIPM.

           Program yang bertemakan ‘Kemantapan Ilmuwan Teras Nahdhah Islamiah’ ini melibatkan seluruh ahli KPIPM selari dengan objektif yang digariskan pada program kali ini iaitu memperkasakan medium sebaran ilmu turathi dan kontemporari kepada ahli serta memaksimumkan suasana ilmu di samping mengeratkan ukhwah dalam kalangan ahli KPIPM.

           Program ini bermula selepas solat Subuh pada hari Ahad, 31 Januari 2016 seawal jam 6.30 pagi dengan Daurah Kitab Fiqh Mar’ah (Al-Ibanah wal Ifadhoh). Kitab ini dikupas oleh Ustaz Khairul Faris bin Abdul Aziz, Mahasiswa Tahun 4 Kuliah Bahasa Arab Universiti Al Azhar. Daurah kitab ini berlangsung selama 2 jam dan diselangi oleh alunan qasidah oleh sekumpulan ahli KPIPM.

           Selepas Isyak pada jam 7 malam, program diteruskan dengan talaqqi kitab tafsir al-Jalalain (Surah an-Nur) bersama Sheikh Ahmad Muhammad al-Syarnubi selama 2 jam. Program berjalan lancar seperti yang telah dirancang.

           Pada hari kedua bertarikh 1 Februari 2016, Daurah Fashlus Syita’ ini diteruskan dengan sambungan kupasan Kitab Fiqh Mar’ah (Al-Ibanah wal Ifadhoh) oleh Ustaz Khairul Faris bin Abdul Aziz selama 2 jam dan diselangi oleh alunan qasidah oleh sekumpulan ahli KPIPM.

          Pada sebelah petang, telah diadakan pertandingan bacaan kitab arab di Dewan Syeikh Idris Al Marbawi, Baitul Ridzuan bagi peserta akhawat dan Dewan Syeikh Sya’rawi, Baitul Rahman bagi peserta ikhwah. Penganjur program juga telah menetapkan bahawa setiap muzakarah berkelompok diwajibkan untuk menghantar seorang peserta. Pertandingan yang diadili oleh 2 orang juri akhawat dan 2 orang juri ikhwah ini disertai oleh 13 orang peserta akhawat dan 15 orang peserta ikhwah. Pertandingan ini dimulakan pada jam 1.30 petang dengan penerangan oleh Ahli Jawatankuasa pertandingan dan disusuli dengan undian nombor giliran serta tajuk pembentangan. Program ditangguhkan pada jam 3.15 petang bagi memberi ruang kepada peserta dan penonton untuk menunaikan solat Asar. Kemudian program bersambung pada jam 3.45 petang dan tamat pada jam 4.45 petang. Semua peserta yang bertanding telah mempamerkan kepetahan dan kefasihan dalam membaca kitab Arab dan menyampaikan hujah masing-masing. Program ini juga berjalan lancar seperti yang telah dirancang.

          Pada sebelah malam pula, tepat jam 7 malam selepas Isyak, program Daurah Fashlus Syita’ diteruskan dengan sambungan kupasan kitab tafsir al-Jalalain (Surah an-Nur) oleh Sheikh Ahmad Muhammad al-Syarnubi yang berlangsumg selama 2 jam. Kupasan kitab ini ditangguhkan pada lain hari yang akan ditetapkan kelak.

         Pada hari ketiga bertarikh 2 Februari 2016, Daurah Fashlus Syita’ ini diteruskan dengan sambungan kupasan Kitab Fiqh Mar’ah (Al-Ibanah wal Ifadhoh) oleh Ustaz Khairul Faris bin Abdul Aziz yang berlangsung selama 2 jam bermula pada jam 6.30 pagi sehingga jam 8.30 pagi. Daurah sekali lagi diserikan dengan alunan qasidah yang dialunkan oleh ahli KPIPM.

        Pada sebelah petang, telah diadakan pertandingan terjemah petikan Bahasa Arab  di Dewan Syeikh Idris Al Marbawi, Baitul Ridzuan bagi ikhwah dan akhawat yang berlangsung serentak. Pertandingan ini juga mewajibkan kepada setiap muzakarah berkelompok untuk menghantar seorang peserta. Pertandingan ini disertai oleh 8 orang peserta akhawat dan 11 orang peserta ikhwah.Pertandingan ini dimulakan pada jam 1.30 petang dengan penerangan peraturan pertandingan oleh AJK Pertandingan. Pertandingan yang  berlangsung selama 1 jam ini berjalan lancar seperti yang telah dirancang.

         Pada sesi malam, program Daurah Fashlus Syita’ diteruskan dengan diskusi kitab Thaqafah Daieyah oleh Ustaz Hussaini bin Mohamed Hussain, mahasiswa Tahun 2 Kuliah Usuluddin Universiti Al Azhar. Program ini berlangsung selama 2 jam bermula pada jam 7 malam sehingga 9 malam. Sambutan diskusi kitab ini amat memberangsangkan. Program ini berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada pengisi oleh YDP KPIPM sesi 2015/2016, Ustaz Mohammad Ainuddin bin Mohd Ishak dan diiringi oleh  Pengarah Daurah Fashlus Syita’ iaitu  Ustaz Muhammad Syafiulsyafi bin Othaman.

       Pada hari terakhir bertarikh 3 Februari 2016, program diteruskan dengan kupasan Kitab Fiqh Mar’ah ( Al-Ibanah wal Ifadhoh) pada jam 6.30 pagi  oleh Ustaz Khairul Faris bin Abdul Aziz selama 2 jam dan diselangi oleh alunan qasidah yang merdu oleh ahli KPIPM. Program berakhir pada jam 8.40 malam dengan penyampaian cenderahati kepada pengisi oleh YDP KPIPM sesi 2015/2016, Ustaz Mohammad Ainuddin bin Mohd Ishak dan diiringi oleh Ustaz Muhammad Syafiulsyafi bin Othman selaku Pengarah Daurah Fashlus Syita’.

      Pada sesi malam selepas isyak telah berlangsungnya Forum Mahasiswa yang bertemakan “Ancaman Ideologi, Islam Penyelamat”. Dua orang pengisi telah dijemput khas untuk mengupas topik hangat ini. Pengisi pertama ialah Ustaz Muhammad Daud bin Ashaari iaitu Mahasiswa Tahun 3 kuliah Usuluddin Syu’bah Dakwah di Universiti Al Azhar dan pengisi kedua ialah Dr Hazrie Hayat bin Sofaruddin, Mahasiswa Tahun 6 kuliah Perubatan di Universiti Kaherah. Forum ini dikendalikan oleh Muhammad ‘Arif bin Yaaziz , Timbalan Yang Dipertua KPIPM sesi 2015/2016 selaku moderator. Forum ini berlangsung selama 2 jam dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada para pengisi oleh YDP KPIPM sesi 2015/2016, Ustaz Mohammad Ainuddin bin Mohd Ishak diiringi oleh Pengarah Program Daurah Fashlus Syita’, Ustaz Muhammad Syafiulsyafi bin Othaman. 

      Program diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Baca Kitab Arab dan Pertandingan Terjemahan Petikan Bahasa Arab. Bagi pemenang ikhwah, hadiah disampaikan oleh YDP KPIPM sesi 2015/2016, Ustaz Mohammad Ainuddin bin Mohd Ishak diiringi oleh Pengarah Program Daurah Fashlus Syita’, Ustaz Muhammad Syafiulsyafi bin Othaman. Manakala bagi pemenang akhawat, hadiah disampaikan oleh Ketua HEWI KPIPM sesi 2015/2016, Ustazah Syariza binti Ayob. 

      Akhir kalam, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana Daurah Fashlus Syita’ pada tahun ini berjalan lancar dan mencapai objektif yang diketengahkan. Pelbagai input-input menarik dan berguna  yang dapat diterapkan dalam kehidupan  setiap ahli-ahli KPIPM .Terima kasih kepada pihak yang terlibat bagi menjayakan program Daurah Fashlus Syita’ dan berharap agar program sebegini akan dianjurkan pada masa akan datang.



BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Monday, February 15, 2016

PERMOHONAN DERMASISWA MAIPk 2016 (PEMOHON KALI PERTAMA)




MAKLUMAN |  PEMBUKAAN PERMOHONAN
DERMASISWA MAIPk 2016

PERMOHONAN DERMASISWA ZAKAT
(FISABILILLAH) MAJLIS AGAMA ISLAM & 'ADAT
ISTIADAT MELAYU PERAK BAGI MAHASISWA/WI
PERAK PENGAJIAN ISLAM, SAINS KESIHATAN
DAN LAIN-LAIN TELAH DIBUKA PADA :

15 FEBRUARI 2016 HINGGA 14 MAC 2016,
KHUSUS UNTUK PERMOHONAN (KALI PERTAMA)

Makluman kepada seluruh mahasiswa/wi Perak,
permohonan Dermasiswa Zakat (Fisabillah)
MAIPk telah dibuka.

Bagi sesiapa yang ingin memohon :
Sila layari : www.maiamp.gov.my/dermasiswa
untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu para pemohon dikehendaki :

1. Mengemaskini borang online terlebih
dahulu di laman web:
www.maiamp.gov.my/dermasiswa

2. Dinasihatkan kepada pemohon agar
mengisi borang online ini dengan LENGKAP tanpa
meninggalkan mana-mana bahagian kosong
untuk memudahkan proses permohonan.

3. Sila cetak (print) borang permohonan
online anda yang telah lengkap, kemudian
lampirkan dokumen-dokumen berikut:
(1) SALINAN SURAT BERANAK
(2) SALINAN KAD PENGENALAN
(3) SALINAN PASSPORT
(4) SALINAN KAD PENGENALAN IBU/BAPA/PENJAGA
(5) SALINAN SLIP GAJI IBU/BAPA/ PENJAGA
ATAU SURAT PENGESAHAN PENDAPATAN DARI
KETUA KAMPUNG /PENGHULU BAGI YANG
BEKERJA SENDIRI
(6) SURAT TAWARAN PENGAJIAN DARIPADA KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI/JABATAN AGAMA ISLAM PERAK
(7) SALINAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SPM (FAKULTI ULUM ISLAMIAH)
(8) SALINAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN STAM (SELAIN FAKULTI ULUM ISLAMIAH)
(9) SALINAN TERJEMAHAN KEPUTUSAN
PEPERIKSAAN SEMASA (MARKAZ LUGHAH DIKECUALIKAN)
(10) SALINAN TERJEMAHAN PENGESAHAN PENGAJIAN SEMASA

Diingatkan kepada pemohon untuk menghantar
borang online serta salinan yang lengkap
SEBELUM TARIKH TUTUP yang telah
dikemukakan dan semua salinan mestilah disahkan.

Sebarang permasalahan dan Pertanyaan sila
Rujuk:

Setiausaha Agung KPIPM sesi 2015/2016
Saudara Khairul Naim bin Abd. Razak
(+201100403093)

Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2015/2016
Saudari Nurul Izzaty binti Osman
(+201127066847)

ATASE Pendidikan Negeri Perak :
Ustaz Munawir Bin Mohamed Noh
(+201093355520)


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN
KESATUAN"

Saturday, February 13, 2016

YDP-YDP BKAN | ISU KEGAGALAN PENDAFTARAN 138 ORANG PELAJAR KE MAAHAD QIRAAT

KENYATAAN BERSAMA YDP-YDP BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI (BKAN)
ISU KEGAGALAN PENDAFTARAN 138 ORANG PELAJAR KE MAAHAD QIRAAT



1. YDP-YDP BKAN mengambil perhatian serius berkaitan isu kegagalan mendaftarkan 138 orang pelajar Malaysia ke Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra dan Mansurah. Justeru, satu pertemuan khas disusun pada petang ini dengan menjemput Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) Shoubra, Muhammad Shahid Izzudin Bin Mohd Zulkafli untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan permasalahan ini.

2. YDP-YDP BKAN meneliti dengan dekat usaha berterusan pihak Kedutaan Besar Malaysia ke Kaherah (KBMK) melalui Education Malaysia Egypt (EME) dalam menyelesaikan permasalahan ini. Namun, beberapa solusi yang dicadangkan oleh pihak KBMK dan EME kepada para pelajar dalam taklimat yang diadakan pada 31 Januari 2016 lalu dilihat membebankan para pelajar dengan jumlah kos yang perlu ditanggung.

3. Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Pengerusi DPM Shoubra, Mesyuarat YDP-YDP BKAN bersepakat mencadangkan beberapa solusi kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia ke Kaherah (KBMK) dan Education Malaysia Egypt (EME) untuk dipertimbangkan :
a. Mendapatkan kenyataan bertulis dari pihak Al-Azhar sebagai jaminan kepada pelajar-pelajar yang tidak berjaya didaftarkan pada sesi ini untuk didaftarkan semula bagi sesi kemasukan 2016/2017.
b. Sekiranya tiada sebarang jaminan pendaftaran untuk mereka pada sesi hadapan, pihak YDP-YDP BKAN mencadangkan untuk mereka dibantu dan dipermudahkan kemasukan ke universiti-universiti tempatan bagi meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya.
c. Mendapatkan bantuan kewangan daripada pihak kerajaan atau pihak swasta bagi meringankan beban pelajar-pelajar sekiranya usaha mendaftarkan mereka menemui jalan penamat.

4. YDP-YDP BKAN sedia memberikan kerjasama penuh dalam usaha mencari solusi kepada permasalahan ini sama ada dari sudut tenaga mahupun sumbangan idea.

5. YDP-YDP BKAN mengharapkan permasalahan yang dibelenggu oleh pelajar-pelajar ini dapat menemui jalan penyelesaiannya dan kami menyeru kepada semua ahli untuk terus berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan usaha yang dilakukan ini.

Terima kasih.

(4 JAMADIL AWWAL 1437 / 13 FEBRUARI 2016)

#BersamaBersatu
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"BERILMU, BERAMAL, IKHLAS"

Thursday, February 11, 2016

PROGRAM THAQAFAH | KENYATAAN BERSAMA YDP-YDP BKAN DI MESIR

[KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI (BKAN) DI MESIR]



Mesyuarat Yang Di-Pertua (YDP) Badan Kebajikan Anak Negeri pada hari Jumaat bertarikh 05 Febuari 2016 di Wisma Sultan Muhammad Ke-V, Kaherah yang dipengerusikan oleh Saudara Muhammad Iman bin Fadzil, YDP Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir (BKPPPM)  adalah bertujuan membincangkan gerak kerja secara bersama bagi kelangsungan aktiviti-aktiviti Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN).
 
Mesyuarat telah mencapai kata sepakat untuk menganjurkan program bersama bagi meningkatkan pengetahuan (thaqafah) ahli khusus kepada mahasiswa baru (sesi kedatangan 2015/2016). Justeru, mesyuarat bersetuju untuk melantik Pengarah dan Timbalan Pengarah program bagi menggerakkan program bersama ini sebagaimana berikut :

Pengarah  : Muhammad Ezzani Bin Ismail (Ahli BKASM)
Timbalan Pengarah  : Intan Nabihah Binti Suhaimi (Ahli MKKK)

Maklumat lanjut berkaitan program akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Terima kasih.
Tarikh :  1 Jamadil Awwal 1437 / 10 Febuari 2016 (Rabu)


#BersamaBersatu
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Keilmuan Memangkin Kesatuan Islam"

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...