Tuesday, May 31, 2011

Perasmian Silver Net Oleh Y.B Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid

KAHERAH, 25 Mei – Unit Penyelenggaraan dan Kawalan Silver Net KPIPM yang dipantau di bawah Jabatan Yang Dipertua hari ini telah mencatat sejarah.

Sejarah dicatat dengan perasmian yang telah disempurnakan oleh Y.B Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid.

Beliau yang dalam tempoh lawatan ke Mesir itu, sempat merasmikan Silver Net yang telah beroperasi di Wisma Darul Ridzuan B sebelum ini.

“Kami sangat bersyukur dengan perasmian Silver Net ini, sekaligus dapat memberikan kemudahan kepada ahli KPIPM khususnya”. Ujar Timbalan Yang Dipertua, saudara Mohammad Omar bin Adam ketika mengulas majlis perasmian tersebut.

“Kita berharap agar dengan kemudahan yang disediakan ini, dapat dimanfaatkan oleh penghuni dengan sebaiknya”. Ucapan akhir beliau.

Monday, May 30, 2011

Tarbiah Cycle - BDT

TARBIAH CYCLE

Firman Allah SWT :-

“ Ingatlah ketika Tuhan-Mu berfirman kepada para malaikat : Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka berkata : Apakah patut Engkau menjadikan khalifah di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikankan Engkau? Allah berfirman : Sesungguhnya aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui. ”

Surah Al-Baqarah : 30

Manusia adalah khalifah bumi. Seluruh makhluk tahu akan hakikat ini.

Memimpin bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng.Seorang pemimpin harus berpandangan jauh bagi menggerakkan sesebuah wawasan. Tugas utama pemimpin membantu proses pentarbiahan. Tetapi bukanlah tanggungjawab golongan ini sepenuhnya dalam menjana modal insan berkualiti.

Pengikut itu sendiri harus bersedia untuk dipimpin. Dalam erti kata lain menerima sistem pentarbiahan syarie yang dianjurkan islam.

Sungguh indah aturan islam.Seandai terzahir kekurangan yang boleh diperbaiki sesama kita tidak kira antara pemimpin dan pengikut, dianjurkan untuk menegur dengan cara yang paling berhikmah supaya yang terkhilaf sedar kekhilafannya dan dapat mengislah diri menjadi lebih baik.

‘Ular yang menyusur bawah akar tak akan hilang bisanya’. Pepatah ini eloklah diambil sebagai pengajaran bagi melenturkan ego insan yang menerima teguran. Semoga sifat salamatul sadri menaungi diri.

‘Hidayah itu milik Allah. Apa gunanya kita berdakwah jika hasilnya tidak pasti?’

Sejenak terfikir kebenaran kata-kata ini.Minda terjerat dalam mencari jawapan,sia-siakah berdakwah?

Sedarkah kita,di akhirat kelak yang akan disoal Rabbul Izzati bukan natijah dakwah kita,tetapi usaha dalam mencapai natijah. Mungkin elok dita’kidkan sekali lagi, yang pasti akan disoal di akhirat adalah usaha.

Tanggungjawab manusia berusaha, natijah itu urusan Allah.Nah,mudahkan?!

Ayuh post mortem segala amalan kita yang lalu. Usah sisi baik dalam diri yang digali, tetapi spot kelemahan yang dicari.

Menegur dengan berhikmah,menerima teguran dengan hati terbuka. Inilah tarbiah cycle. InsyaAllah, berkat toleransi lahir masyarakat muslim berintegriti.

Disediakan oleh :

Biro Dakwah Dan Tarbiah KPIPM

sesi 2010/2011

Friday, May 27, 2011

Ehya' al-Jum'ah : "Jangan Lupa Kepada Imtihan Akhirat"

KAHERAH,26 Mei - Ehya al-Jum’ah kali ini diteruskan seperti biasa. Pentazkirah kali ini adalah saudara Mohamad Hafiz bin Ahmad Ali, penuntut tahun dua, kuliah Syariah Islamiah, Kaherah.

Kalam beliau banyak menyentuh soal akhlak sebagai seorang muslim lebih-lebih lagi sebagai seorang penuntut ilmu agama. Nasihat beliau pada hadirin yang hadir, empat perkara penyebab kita lupa pada Allah.

“Kita sebagai manusia yang menumpang di bumi Allah S.W.T ini selalu lupa kepadaNya melalui dunia, makhluk, syaitan, nafsu”. Nasihat beliau di dalam tazkirah beliau.

Majlis tersebut disambung dengan solat sunat Hifzi secara berjemaah. Imam solat sunat Hifzi kali ini diimamkan oleh saudara Muhamad Ainuddin bin Mohd Ishak dan saudara Mohd Nor Hafiz bin Hasyim. Dan kedua-duanya merupakan penuntut kuliah Syariah Islamiah, Kaherah.

Di sebelah pagi pula, tazkirah Subuh telah disampaikan oleh saudari Akmal Hafizah binti Mohamad Fuad, penuntut tahun dua, kuliah usuluddin, Iskandariah.

Pesanan beliau agar semua yang hadir jangan lupa bahawasanya selain kita menanti imtihan yang akan tiba, kita perlu sedar yang sebenarnya kita sedang menjalani imtihan akhirat.

Ehya’ al-Jum’ah kali ini mengajak sahabat-sahabat sekalian merenungi bersama amalan-amalan yang kita kerjakan sebelum ini.

Biro Dakwah dan Tarbiah mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama ahli dalam program-program yang dianjurkan dan selamat menghadapi imtihan.

Permohonan Peruntukan Pendidikan Diluluskan Oleh Kerajaan Negeri

KAHERAH, 26 Mei – Pihak pimpinan KPIPM yang diketuai oleh Yang Dipertua, saudara Khairul Ashraf bin Mohd Khir telah mengatur satu perbincangan tertutup bersama Y.B Dato’ Mohammad Zahir.

Di dalam perbincangan yang diadakan di bilik mesyuarat Wisma Nusantara tersebut, terdapat beberapa isu-isu yang dibincangkan bagi bersama-sama mencari jalan keluar demi masa depan bersama.

Perbincangan utama adalah lebih tertumpu kepada soal pendidikan. Saudara Mohamad bin Dollah, Ketua Biro Pelajaran dan Ilmiah telah membentangkan 2 proposal kepada Y.B dato’.

Di antara proposal yang dibentangkan ialah berkenaan permohonan peruntukan kewangan aktiviti tahunan, beberapa alatan dan bahan bacaan pengajian perubatan. Dan satu lagi proposal berkenaan permohonan fasiliti Perpustakaan Syeikh Ismail Adawi.

Kedua-dua proposal tersebut telah diluluskan oleh Y.B Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Negeri Perak.

Isu Imtihan Qabul juga turut dibincangkan bersama Y.B dato’ di dalam memastikan penghantaran pelajar ke Mesir diteruskan pada tahun ini.

“Bagi persatuan yang baru mula bertatih boleh juga menggunakan rumah bagi dijadikan markaz sementara”. Cadang beliau kepada wakil AJKT PERUBATAN Pusat yang hadir bersama ketika diceritakan masalah yang dihadapi oleh mereka.

“Kami amat menghargai kesudian Y.B dato’ meluangkan masa berbincang dan lontaran idea kepada pihak KPIPM”. Ulas Yang Dipertua selepas perbincangan tersebut.

Ramah Mesra : USD10,000 Peruntukan Kebajikan Disalurkan

KAHERAH, 25 Mei – Satu majlis ramah mesra bersama delegasi kerajaan Negeri Perak telah diadakan bertempat di Dewan Syeikh Sya’rawi.

Rombongan tersebut diketuai oleh Y.B Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid. Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi.

Turut hadir di dalam majlis tersebut 3 orang Badan Pengurus PMRAM iaitu saudara Firdauz bin Noh, Setiausaha Agung, saudara Zulhafeez bin Ahmad Zahidi, Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan dan saudara Nur Ahmad Wafiy bin Nor Azri, Ketua Badan Sambutan & Rehlah.

Pengarah Education Malaysia, Prof. Madya Dr. Haji Suaidi bin Dato' Haji Safei turut hadir bersama dan memberikan ucapan sebelum Y.B Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid di dalam majlis tersebut.

“Kami dari kerajaan negeri Perak juga telah membawa USD10,000 dan ianya diserahkan kepada Pegawai Hal Ehwal Pelajar, En. Muhaimin bin Abdul Majid demi keperluan kebajikan anak-anak Perak khususnya di bumi Mesir ini”. Pengumuman yang dibuat oleh Y.B dato’ kepada semua hadirin.

“Kami juga memohon agar kerjasama daripada pihak Education Malaysia (EM) di dalam memastikan agenda kebajikan berjalan”. Sambung beliau lagi.

Sejurus itu, majlis diteruskan dengan penyampaian wang saku kepada beberapa orang pelajar dan penyerahan pakaian koprat kepada Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli rombongan yang sudi menziarahi anak-anak Perak di bumi Mesir”. Ucap Yang Dipertua KPIPM, saudara Khairul Ashraf bin Mohd Khir kepada wartawan blog.




Sunday, May 22, 2011

Makluman : Majlis Ramah Mesra Bersama Y.B Dato’ Mohammad Zahir Bin Dato’ Abdul Khalid

Assalamualaikum, makluman kepada semua ahli KPIPM,

KPIPM akan mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama Y.B Dato’ Mohammad Zahir Bin Dato’ Abdul Khalid. Majlis akan diadakan pada 25 Mei 2011 (Rabu) bertempat di dewan Syeikh Sya'rawi (Wisma Darul Ridzuan A).

Anda semua dijemput hadir bagi bersama-sama memeriahkan lagi majlis pada malam tersebut.

Friday, May 20, 2011

Ehya al-Jum'ah : Pelajari Sejarah Islam

KAHERAH,19 Mei - Ehya’ Jum’ah diteruskan seperti biasa. Ianya dimulakan dengan bacaan Yaasin dan diikuti dengan tazkirah yang disampaikan oleh saudara Arif Shah bin Abdullah Sani. Beliau merupakan pelajar tahun akhir kuliah Usuluddin syu’bah dakwah.

Di dalam tazkirah beliau, turut disentuh mengenai sejarah yang kian dilupai oleh masyarakat sekarang iaitu sejarah awal Islam. Beliau menegaskan terutamanya kepada pengajian Islam yang mana lebih-lebih lagi perlu cakna dalam hal ini.

Majlis diteruskan dengan solat Hifzi yang diimami oleh saudara Kamarulzaman Bin fakrulrazi pelajar tahun satu, kuliah Syariah Islamiah, Kaherah.

Majlis bersambung pada sebelah paginya dengan tazkirah subuh yang disampaikan oleh saudari Siti Salamah binti Hamzah. Nasihat beliau pada hadirin yang hadir bagi memperkasakan lagi solat Subuh berjemaah.

“Antara punca kejayaan seseorang itu adalah melihat kepada penjagaan solatnya. Maka bagi semua mahasiswa perlu tidak memandang enteng dengan perkara yang berkaitan dengan solat”. Tegas beliau di dalam majlis tersebut.

Solat adalah tiang agama yang menyokong kepada semua amalan yang kita lakukan. Oleh itu, Biro Dakwah dan tarniah menyeru kepada semua agar sentiasa menjaga dan memelihara solat walau kita berada di mana-mana.

Tuesday, May 17, 2011

Solat Sunat Hifzi (19, 26 Mei dan 2 jun 2011) - BDT

Assalamualaikum, makluman kepada semua ahli KPIPM,

KPIPM akan mengadakan Solat Sunat Hifzi bermula pada Khamis ini dan berterusan selam 3 minggu (19, 26 Mei dan 2 jun 2011). Solat akan ditunaikan selepas Solat Isya' bertempat di dewan Syeikh Sya'rawi (Wisma Darul Ridzuan A).

Marilah sama-sama kita menunaikan Solat Sunat Hifzi ini bagi menjaga hafalan kita dan bagi memudahkan kita menghadapi peperiksaan bersama.

Sunday, May 15, 2011

Tahniah Kepada Pengarah Education Malaysia

KAHERAH, 15 Mei - Kepimpinan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir 2010/2011 mengucapkan selamat datang kepada Prof. Madya Dr. Haji Suaidi bin Dato' Haji Safei ke perlembahan Nil ini.

Kami juga mengalu-alukan kedatangan Prof. sebagai Pengarah Education Malaysia yang baru bagi menggantikan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) sebelum ini iaitu Prof. Madya Dr. Jamil B. Hashim.

“Kami mengharapkan agar dengan kehadiran beliau ini dapat mengukuhkan lagi hubungan baik yang telah sekian lama terjalin”. Ujar Yang Dipertua KPIPM apabila ditanya.

Semoga dapat menjalankan tugas dan amanah dengan sebaiknya sekaligus dapat merealisasikan gagasan 1 Malaysia dengan pembawakkan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan .

Muhadharah Terakhir al-Allamah Habib Omar al-Allamah Habib Zein

KAHERAH, 14 Mei – Satu Muhadharah ‘Ammah telah diadakan bersama al-Allamah Habib Omar bin al-Allamah Habib Zein.

Program bermula dengan solat Maghrib berjemaah dan majlis dipengerusikan oleh saudara Firdaus bin Aznan. Majlis diteruskan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh saudara Nur Hafiz Shamsudin dan alunan qasidah yang diketuai oleh saudara Muhammad Adil bin Mohd Fadzil.

Seterusnya ucapan al-Allamah Habib Omar kepada hadirin-hadirat dan beliau juga memberikan banyak pesanan kepada yang hadir.

Antara pesanan beliau :

· Tuntutlah ilmu kerana Allah sedalam-dalamnya bukan kerana syahadah.
· Tuntutlah ilmu untuk beramal.
· Hidupkan sunnah nabi yang semakin lama dilupakan.
· Ramai kalangan kita yang jahil dengan sirah nabi S.A.W.
· Wajib bagi seorang penuntut ilmu sentiasa berdoa kepada Allah.
· Beliau juga menekankan pada pelajar al-Azhar yang menuntut ilmu di Mesir pandai menjaga masa.
· Hadir kuliah-kuliah bersama masyaeikh.

Sebelum akhir majlis, al-Allamah Habib Omar sudi membacakan doa bagi kesejahteraan bersama dan diaminkan oleh hadirin yang hadir.

Setelah itu, solat Isya’ berjemaah yang diimamkan oleh al-Allamah Habib Omar dan sesi bergambar bersama semua yang hadir.

Saturday, May 14, 2011

Jangan Libatkan Diri Dengan Sebarang Demonstrasi

KAHERAH , 14 Mei - Perhatian kepada semua mahasiswa/wi Malaysia agar tidak terlibat dengan mana-mana perhimpunan atau demonstrasi yang berbaur politik .

Sepertimana pekeliling keselamatan yang telah dikeluarkan oleh pihak PMRAM dan KBMK yang melarang sama sekali untuk sebarang penglibatan mahasiswa/wi Malaysia.

" Diatas faktor keselamatan ,pihak PMRAM berharap agar tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan yang berunsurkan politik " ujar Saudara Muhammad Zuhaili bin Saiman selaku Presiden PMRAM 2011.

Sumber : hewipmram55

Isu Palestin : Solat Subuh Berjemaah Di Masjid Nur

KAHERAH, 14 Mei - Sempena Intifadah Palestin esok yang akan disambut secara besar-besaran bagi memperingati Nakhbah Palestin, PMRAM menggalakkan ahli-ahli untuk turun menyertai solat Subuh berjemaah di Masjid Nur esok pagi.

Solat Subuh berjemaah esok sebagai lambang bukti kekuatan umat Islam dalam isu membebaskan Baitulmaqdis serta melumpuhkan kekuatan Israel dalam campur tangan urusan Palestin.

Naib Presiden I PMRAM merangkap Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM Mohd Faizzudin Ghazali, ketika ditemui mengulas, "Isu Palestin adalah isu sejagat umat Islam dan ia bukannya isu politik. Oleh itu, di peringkat PMRAM Pusat kita menggalakkan ahli-ahli PMRAM untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Nur, Abbasiah esok sebagai salah satu sokongan kita terhadap isu pembebasan Palestin" katanya.

Solat subuh berjemaah adalah lambang kekuatan umat Islam, kelebihan solat Subuh adalah lambang seseorang muslim itu sejati dan selamat dari sifat munafiq.

PMRAM juga tidak membenarkan sama sekali kepada mahasiswa untuk mengikuti sebarang demonstrasi dan rapat umum sebagai menghormati faktor keselamatan di Mesir.

Kelmarin, beribu-ribu warga Muslim dan Kristian Mesir telah mengadakan demonstrasi besar-besaran di Iskandariah, Daqhaliah, Laut Merah, Suez, Qalyubiyyah, Dumyat, Isamiliyyah, Bani Suwaif sebagai tanda sokongan kesatuan terhadap isu Palestin dengan membakar bendera Israel.

Sumber : hewipmram55

Revolusi Imtihan : Mendapat Sambutan Hebat

KAHERAH, 12 Mei - Dewan Syeikh Sya’rawi telah digegarkan dengan lagi satu revolusi selepas solat maghrib dan bacaan Yaasin malam tadi.

Program Motivasi Kecemerlangan Imtihan dan Malam Munajat Hamba yang bertemakan “Menuju Keunggulan Cita” anjuran Biro Pelajaran dan Ilmiah dan Biro Dakwah dan Tarbiah menampilkan dua motivator daripada mahasiswa perubatan, Dr Muhammad Yazid bin Hanzir dan pengajian Islam, Ustazah Nikmah Mawadati.

Dr Muhammad Yazid ketika memberikan motivasi

Keunikan program kali ini adalah gabungan dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia dan pertama kali dipengerusikan di dalam bahasa Inggeris.

Motivasi pertama daripada Dr Muhammad Yazid b. Hanzir dengan perkongsian teknik belajar berkesan, teknik hafalan al-Quran yang betul dan motivasi diri.

Saudari Nikmah Mawadati sedang menjawab beberapa soalan yang diajukan

Turut hadir bersama Badan Pengurus PMRAM angkat Perak, saudara Mohd Hafizzul Azri bin Azman dan ditemani oleh saudara Ahmad Daniel bin Mohmad Hassan.

Slot motivasi yang kedua oleh saudari Nikmah Mawadati membicarakan hikmah isi kandungan 7 ayat al-Fatihah yang banyak memberikan semangat dalam perjuangan menuntut ilmu.

Secara keseluruhan, kedua-dua motivator banyak menekankan tuntutan kewajiban menuntut ilmu adalah kerana Allah Ta’ala dan bukan kerana imtihan semata.

Program diteruskan dengan tayangan promo ZIKRAYAT 5 dan video berkenaan sketsa imtihan. Seterusnya ahli-ahli dihidangkan dengan halwa telinga daripada kumpulan al-Muhazirun.

Sambutan Ulang Tahun KPIPM Kali ke-47

Slot terakhir iaitu Sambutan Ulang Tahun KPIPM kali ke-47. Para AJKT bersama-sama memotong kek ulang tahun dan diiringi doa “Allah selamatkan KPIPM” oleh ahli-ahli. Majlis tersebut ditangguhkan dengan sedikit jamuan makan malam dan kembara mimpi untuk Qiamullail Perdana keesokan pagi.

Dengan kerjasama Biro Dakwah dan Tarbiah, diadakan Qiamullail bermula jam 2.50 pagi dan diakhiri dengan tazkirah daripada pentazkirah jemputan, saudara Mohd. Nazrul bin Abd. Nasir dan sedikit tayangan tentang Palestin. Slot Qiamullail kali ini pula dipengerusikan dalam bahasa arab. Program tamat pada kira-kira jam 5.30 pagi.







Thursday, May 12, 2011

Jaulah Ke Saidah Zainab : Pengajian Bukan Penghalang Untuk Berukhuwah

SAIDAH ZAINAB, 11 Mei – Beberapa orang AJKT KPIPM telah mengadakan jaulah ke Saidah Zainab malam tadi. Jaulah yang diketuai oleh Yang Dipertua KPIPM, saudara Khairul Ashraf Mohd Khir itu bermula dengan Solat Maghrib secara berjemaah.

Majlis bersambung dengan sesi ramah mesra yang berlangsung pada kira-kira jam 8.00 malam. Agenda dimulakan dengan ucapan tuan rumah iaitu Dr. Ammar selaku duta KPIPM di Saidah Zainab

Sesi taaruf dan perbincangan sedang dijalankan

Majlis tersebut dipengerusikan oleh saudara Mohamad bin Dollah juga selaku mentor kepada pelajar Perubatan Saidah Zainab.

Majlis diteruskan dengan sesi taaruf. Dan disusuli dengan sesi perbincangan dan penyampaian beberapa maklumat.

Penyampaian cenderahati kepada Perubatan Pusat

Justeru itu, banyak persoalan dan cadangan diajukan kepada pihak persatuan dalam merungkai beberapa masalah yang dihadapi.

“Kami berharap bidang pengajian bukan menjadi penghalang dari kita sentiasa bersama dan berukhuwah”. Harapan Yang Dipertua KPIPM di dalam majlis itu.

Majlis tersebut diakhiri dengan pertukaran cenderahati di antara KPIPM dan Perubatan Pusat.


KPIPM Mengucapkan Selamat Hari Ibu

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) mengucapkan selamat hari ibu kepada seluruh pembaca dan para ibu di seluruh dunia.

Sebagai seorang anak hendaklah sentiasa mencintai dan berbuat baik kepada ibu termasuk bapa. Pengorbanan seorang ibu tidak dapat dikira dan dinilai akan kepenatan dan rintihan keluh kesah serta tungkus lumus.

Kami barisan kepimpinan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2010/2011 mengucapkan selamat hari ibu kepada warga ibu di tanah air. Pohon doakan kesejateraan dan kebahagian di dunia dan di akhirat semoga kami di bumi anbiya’ ini menjadi anak yang berbakti dan soleh.

Siapalah kami untuk membalas jasa ibu yang membesarkan kami. Hanya doa sebagai membalas jasamu walaupun sudah pasti tidak sehebat pengorbananmu kepada kami.

Tuesday, May 10, 2011

Dermasiswa Online : Semak Sebelum 12/5/2011

Perhatian kepada seluruh ahli KPIPM.

Kepada seluruh anak-anak Perak Mesir yang memohon dermasiswa MAIPk, sila semak kembali permohonan anda di Dermasiswa Online http://www.maiamp.gov.my/dermasiswa mahupun yang sudah lengkap atau belum lengkap dengan teliti dan lengkap. Mohon teliti terutamanya pada bahagian F.

Sila selesaikan selewat-lewatnya pada 12/5/2011.

Segala kerjasama, keprihatinan dan ketelitian pihak anda adalah kami hargai.

Pendaftaran Zikrayat 5 Dilanjutkan Sehingga 13 Mei 2011

Perhatian kepada seluruh ahli KPIPM.

Pendaftaran untuk Zikrayat 5 dilanjutkan sehingga 13 Mei 2011.
Bagi yang belum mendaftar, sila hantarkan maklumat mengikut item yang tertera pada borang Zikrayat 5 ke emel rasmi KPIPM kpipm64@yahoo.com.



Sebarang permasalahan sila rujuk Pengarah Penerbitan Zikrayat 5.
Mohd Ridhwan b. Othman 011-0370698

Saturday, May 7, 2011

Ehya al-Jum'ah Minggu Ini - Fahami Ilmu Agama Dengan Jelas

KAHERAH, 5 Mei - Ehya’ al–Jum’ah diteruskan seperti biasa. Bermula dengan alunan burdah, diiringi bacaan Yaasin dan tazkirah mingguan yang disampaikan oleh saudara Ismail bin Nardin, penuntut tahun 4 usuluddin,syu’bah tafsir Kaherah.

Pesan beliau pada yang hadir agar perlu memahami ilmu agama dengan jelas supaya tidak tersesat atau tersalah tafsir dalam membuat apa-apa keputusan.

“Kita tidak perlu takut sangat dengan ancaman atau propaganda pihak tertentu yang hanya untuk menakutkan pelajar–pelajar azhari, tapi perlulah bersikap tegas sekalipun diugut dan sebagainya”. Sambung beliau.

Disebelah pagi pula, majlis bersambung pada tazkirah Subuh yang disampaikan oleh saudari Nihal binti Mohd Tarmizi, pelajar tahun 2 perubatan Kaherah.

“Pergerakan manusia dari segi pertuturan ataupun perbuatan telah diprogramkan bermula daripada otak. Contohnya, sebelum kita bercakap otak kita sudah berfungsi secara kita tidak sedar yang sebenarnya otak kita telah simpan apa yang akan kita cakapkan".

Antara lainnya, beliau menekankan aspek-aspek kesihatan seperti penjagaan makanan berikutan peperiksaan yang senakin hampir, ujar beliau lagi.

Majlis yang dipengerusikan oleh saudari Nasibah binti Abu Bakar menggamitkan suasana dengan berbahasa inggeris. Rencah sebegini menambahkan lagi suasana baru disamping melatih bakat-bakat yang terpendam untuk berani kehadapan.

Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih buat anak-anak Perak yang sentiasa memberikan komitmen dalam apa jua program yang KPIPM anjurkan.

Muktamar Sanawi PMRAM Kali Ke-78 Berlangsung Dengan Jayanya


Kaherah,4 Mei – Pada tahun ini, sekali lagi Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir telah berjaya mengadakan Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-78.

Majlis tersebut juga melihatkan komitmen yang tinggi dengan penglibatan seluruh PMRAM cawangan seramai 301 orang ikhwah dan 200 orang akhawat.

Majlis yang bertempat di Dewan Abdullah Kamil itu dihadiri seramai 25 orang perwakilan dari Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir.


Perwakilan dari Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir

Di dalam Muktamar Sanawi ini juga telah menggambarkan ahli PMRAM prihatin dan cakna di dalam aspek pendidikan ahli mahupun aspek kokurikulum. Ramai yang tampil memberikan pandangan dan cadangan di dalam memastikan pentadbiran PMRAM sentiasa tepat mengikut keperluan ahli.

2 usul telah dibahaskan dan dipersetujui oleh sidang perwakilan. Usul tersebut berbunyi :

1. Bersatu mempertahankan kesatuan BKKIMM dengan tindakan :

· seluruh cawangan bersama-sama dengan menghulurkan sumbangan material.

· Menjana ekonomi BKKIMM bersama taakhi.

2. Mempertahankan kelangsungan pembelajaran di Mesir dengan beberapa cara :

· Mengemaskini sistem pengajian ahli.

· Mempertingkatkan NGO-NGO yang berada di Mesir seperti WAMY dan WAAG.

· Mengadakan hubung jalin antara ILMAM dan PMRAM.

· Mengenalpasti sumber modal insan dari al-Azhar.

PMRAM cawangan Perak (KPIPM) telah diumumkan dengan mendapatkan tempat ketiga bagi BKAN Terbaik pada tahun ini.


Badan Pengurus PMRAM 2011 diumumkan

Muktamar Sanawi tahun ini diakhiri dengan pengumuman Badan Pengurus PMRAM dan AJKT HEWI PMRAM oleh pengarah SPR, saudara Abd Somad Abd Aziz.




Tuesday, May 3, 2011

Hiburan Menurut Pandangan Syarak

Melihat kepada perkembangan semasa hari ini, kita melihat banyak perkembangan dari segi hiburan serta unsur-unsur keterlaluan dalam perkembangan industri muzik dan seni suara, terutamanya yang berkaitan dengan program hiburan realiti tanahair mahupun secara globalnya di seluruh dunia.

Malah lebih malang lagi apabila isu ini sudah menular di sekeliling mahasiswa/wi Islam di timur tengah ini. Sememangnya perkara ini adalah satu isu yang perlu diberikan perhatian. Ini adalah penting kerana perkembangan tersebut begitu menampakkan kesan dan pengaruhnya terhadap gaya hidup remaja dan belia masa kini.

Secara umumnya, Islam tidaklah mengharamkan hiburan secara keseluruhannya, namun hiburan tersebut mestilah mengikut nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama Islam dan tidak melalaikan. Ini kerana hiburan juga merupakan suatu perkara yang fitrah yang rata-rata manusia menjadikan muzik dan seni suara adalah merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan inovasi manusia. Ianya adalah sebahagian daripada aktiviti rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentiasa diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun manusia.

Sebagai seorang muslim, kita meyakini bahawa Islam merupakan satu cara hidup yang sempurna dan pasti dapat menjawab setiap persoalan hidup manusia yang mempunyai keinginan yang bermacam-macam dan tidak terkecuali dalam urusan yang berkaitan dengan hiburan. Tujuan syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk kebebasan manusia tetapi sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana Islam itu sesuai dengan fitrah semulajadi manusia dan boleh diamalkan pada setiap zaman dan tempat walau dimana kita berada.

Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu yang tiada sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.

Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan adalah dibolehkan oleh syarak. Dalil keharusan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin Al-As , yang bermaksud:

"Wahai Abdullah bin Amar, "Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut."

Selain itu, terdapat hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang mengizinkan gendang dimainkan pada majlis-majlis tertentu, sebagaiman Imam Tarmizi telah meriwayatkan daripada Aishah, katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang maksudnya:

"Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta pukullah rebana."

Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan peperangan.

Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata-kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar yang terdiri daripada orang awam.

Sementara Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar pula berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.

Oleh itu apabila membincangkan mengenai hiburan, hal-hal seperti susunan kata-kata yang haram, penampilan penyanyi, masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan manusia, majlis yang disertai dengan makanan dan minuman haram, pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas, dan kesan nyanyian kepada pendengar-pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk hendaklah diambil-kira.

Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat. Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama manusia.

Jelas kepada kita bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani, rohani dan sosialnya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya terhindar dari sebarang penyakit, tetapi juga terhindar dari permasalahan emosi, perasaan, isu-isu rumahtangga, kekeluargaan, tempat kerja dan sebagainya.

Maka dengan itu, sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi hendaklah dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik, dan diterima dari pandangan syarak.

Kesimpulan:

Menurut Fatwa Syeikh Syaltut, muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan melalaikan dan maksiat.

Manakala menurut Al-Ghazali, tidak ada perincian syarak berkenaan peralatan muzik yang halal dan haram. Ia bergantung kepada keadaan masa dan tempat serta mana-mana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat muzik yang melalaikan dan dikaitkan dengan pemain muzik serta penyanyi yang mempamirkan akhlak yang buruk merupakan perkara yang ditegah sama sekali.

Setelah kita melihat secara ringkas perbahasan mengenai hiburan dari sudut pandangan syarak , maka dapatlah kita menilai dan membuat perbandingan antara hiburan yang ada disekeliling kita, adakah ia bertepatan dengan pandangan hukum ataupun tidak. Artikel ini juga mampu memberi panduan kepada kita dalam memilih hiburan yang sesuai untuk kehidupan kita seharian agar tidak tersasar dari nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh agama kita.

Sumber : MANHAL PMRAM

Sunday, May 1, 2011

Revolusi Imtihan Akan Menemui Anda

Assalamualaikum kepada semua warga KPIPM,

untuk makluman ahli KPIPM, pada 12 dan 13 Mei (Khamis & Jumaat) ini,KPIPM akan mengadakan Program Motivasi Kecemerlangan dan Qiamullail 2011. Motivasi tersebut akan disampaikan oleh :

1. Ustazah Nikmah Mawadati

2. Dr. Muhammad Yazid Hanzir

Program akan diadakan di Dewan Syeikh Sya'rawi,Wisma Darul Ridzuan (A). Pastikan anda tidak terlepas bagi sama-sama meningkat semangat dalam menuntut ilmu di bumi Mesir ini.


PENGUMUMAN RASMI : Lokasi Telah Diumumkan



PENGUMUMAN RASMI :

Muktamar HEWI kali -24 akan diadakan pada 3 Mei 2011 (SELASA) dan Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-78 pada 4hb Mei 2011 (Rabu) bertempat di Dewan Solah Abdullah Kamil, Universiti Al-Azhar Hayyu Sadis bermula pada jam 7 pagi.

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...