Monday, March 30, 2015

KEYBOARD: ATURAN JARI YANG EFEKTIF MEMBINA UMMAH YANG PRODUKTIF






KEYBOARD: ATURAN JARI YANG EFEKTIF MEMBINA UMMAH YANG PRODUKTIF

          Dunia dakwah dinihari kian menuntut para penyerunya menguasai pelbagai sudut kemahiran yang tidak hanya terhad pada kemahiran pengucapan awam atau membaca kitab sahaja. Hal ini disebabkan keluasan medium dakwah itu sendiri yang mana ianya seriringan dengan pembangunan teknologi yang kian membiak bagai cendawan tumbuh selepas hujan seperti teknologi komputer dan perisian-perisian berbentuk kontemporari. Tuntas, kemahiran yang turut menjadi tuntutan ke atas pendakwah hari ini adalah ilmu dan kemahiran penulisan ilmiah dan Islami. Wadah penulisan ini sebenarnya telah lama menjadi cabang dalam medan menyebarkan dakwah ini sepertimana yang dapat kita lihat betapa banyak buku-buku berkaitan thaqafah dan dakwah telah berada di pasaran. Tokoh-tokoh ulamak dahulu juga telah meninggalkan kepada kita tulisan-tulisan mereka sebagai medium mereka menyebarkan syiar Islam yang mana ia dapat dikekalkan sehingga ke hari ini. Namun, usaha murni golongan agamawan ini seharusnya kita teruskan pada hari ini demi memastikan dakwah dan syariat Islam itu dapat disebarluaskan dengan lebih efektif.

          Dalam memenuhi tuntutan ini, kita tidak dapat lari dari memperlengkapkan keperluan-keperluan asas agar penulisan yang bakal dipersembahkan dapat meyakinkan para penggemarnya. Antara item utama yang wajib dititikbertkan ialah penampilan ilmu yang benar dan tidak mengikut kefahaman akal peribadi semata. Ilmu yang ditampilkan perlulah berlandaskan sumber yang benar, tidak lari dari garisan sebenar dan jelas untuk dihadam oleh para pembaca. Jika kita bukan dari golongan yang mempunyai kemahiran dalam bidang ilmu dan thaqafah ini, maka tidak salah untuk terus bertapak dalam medan penulisan ini selagi mana kita dapat merujuk sumber sahih dari golongan intelektual sama ada melalui penulisan mahupun pengucapan mereka.

           Selain itu, penulisan yang dipersembahkan adalah lebih berkesan dan memberi input yang baik sekiranya diserikan lagi dengan kefahaman Islam yang benar dan syumul. Fikrah Islamiah ini sewajibnya turut disalurkan melalui medan ini agar generasi pembaca dapat memurnikan pemikiran mereka selain dapat melestarikan ilmu yang diterapkan. Penguasaan ilmu tanpa pemilikan fikrah yang betul hanyalah ibarat rumah mewah yang indah tersergam tetapi kosong, tidak berisi perabot mahupun perhiasan. Jika direnung dunia globalisasi hari ini telah banyak membentangkan ideologi-ideologi buruk yang bisa memusnahkan pemikiran anak-anak muda hari ini. Lantas, faktor inilah yang menuntut para penulis agar turut melampirkan fikrah Islamiah dalam penulisan masing-masing supaya ia turut menjadi medium tambahan dalam merealisasikan kesatuan fikrah sedunia.

           Di samping itu, para pendakwah juga perlu menguasai ilmu dan teknik-teknik penulisan yang betul agar tulisan yang dihasilkan mendapat perhatian dan dapat mencuri hati pembaca untuk terus menghabiskan pembacaan sehingga ke noktah terakhir. Bayangkan penulisan yang dipaparkan tidak diatur cantik mengikut susunan sebenar, bercelaru huruf besar dan kecilnya dan berkecamuk format penulisannya, maka pastinya isi yang ingin disampaikan di dalamnya juga sukar difahami dan dipraktikkan oleh pembacanya seterusnya penat lelah menulis hanyalah sia-sia tanpa dapat dimanfaatkan. Pembacaan bahan ilmiah yang berterusan juga membantu untuk menambah baik teknik-teknik penulisan selain dapat meningkatkan nilai tambah dari sudut pengetahuan. Bak kata pepatah “jika mahu pandai berucap, banyakkan mendengar, jika mahu pandai menulis, banyakkan membaca”.

          Justeru, marilah sama-sama kita memperlengkapkan diri dengan ilmu kemahiran ini agar kalimah SYIAR ISLAM yang kita canang-canangkan bukan sekadar propaganda kosong hanya dek kerana tidak berkemahiran dalam bidang pengucapan awam yang menjadi medan utama dalam dunia dakwah ini. Ketahuilah, medan menyampaikan dakwah itu luas, tidak terhad pada bidang tertentu sahaja bahkan meliputi pelbagai wadah lain termasuklah bidang penulisan ini. Semoga dengan usaha kecil kita dalam menyebarkan kefahaman Islam ini dinilai dan diredhai Allah S.W.T. seterusnya dapat menambat hati masyarakat untuk terus bersama Islam sehingga ke Hari Kiamat kelak.



BERILMU BERAMAL IKHLAS

“MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN”



OLEH: SITI NABILAH BINTI ZAKARIA

TIMBALAN KETUA HEWI KPIPM SESI 2014/2015

Thursday, March 26, 2015

NISA' SPORT DAY | العقل السليم في الجسم السليم

LAPORAN NISA' SPORT DAY
KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2014/2015

RABU, 18 MAC 2015 - Ketua Hal Ehwal Wanita Islam Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014/2015 telah menganjurkan satu aktiviti sukan di bawah seliaan Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah HEWI KPIPM sesi 2014/2015  yang dinamakan "Nisa' Sport Day". Aktiviti sukan ini telah berlangsung bermula jam 1.30-4.00 petang dan bertempat di Padang Nadi Zahra’, Haiyu ‘Asyir . Tema yang dibawakan pada program kali ini ialah " " العقل السليم في الجسم السليم  dan ia bersesuaian dengan matlamat penganjuran iaitu bagi meningkatkan tahap kecerdasan tubuh badan yang menatijahkan keaktifan berfikir dan kecerdasan akal dalam meneliti dan menghadam ilmu yang dipelajari.

Seluruh ahli HEWI yang terlibat telah berkumpul dan bertolak dari kawasan penempatan (Mahkamah Haiyu Sabie’) pada kira-kira jam 1.00 petang dengan menaiki sebuah bas. Aktiviti sukan ini dimulai dengan Majlis Perasmian oleh HEWI Angkat PMRAM Cawangan Perak merangkap Unit Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM 2014 , Ustazah Fathan Husna Binti Fauzi. Sejurus selepas itu, aturcara disusuli dengan aktiviti warming up seterusnya bermulalah perlawanan Bola Tampar dan aktiviti sukaneka. Kumpulan dibahagikan mengikut pembahagian Muzakarah Berkelompok KPIPM . Seluruh hadirat yang hadir  telah memberikan komitmen yang terbaik dan bersungguh-sungguh dalam setiap permainan yang dipertandingkan sama ada dalam perlawanan bola tampar mahupun dalam acara sukaneka. Aktiviti ini berakhir pada tepat jam 4.00 petang dan ahli bersiap-siap untuk bertolak pulang ke kawasan penempatan.

Besarlah harapan dari pihak KPIPM agar aktiviti ini dapat mencapai objektif yang telah digariskan iaitu meribat ukhuwah Islamiah dalam kalangan mahasiswi KPIPM, memupuk semangat kerjasama dan persaingan yang sihat serta melahirkan mahasiswi yang mempunyai tubuh badan yang cergas dan minda yang cerdas. Semoga objektif yang selaras dengan pembawaan KPIPM sesi kali ini pada item ketiga iaitu “UKHUWAH: Menerapkan nilai sahsiah Islamiyah bagi mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli” Berjaya direalisasikan dalam kalangan ahli HEWI KPIPM seterusnya dapat meribat kesatuan demi kelangsungan survival KPIPM akan datang.






BERILMU BERAMAL IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN”



 

AZHARIAH GENERATION JANA MAHASISWI BERTHAQAFAH

KAHERAH,20 MAC- Jabatan Fasilitator Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014/2015  telah mengadakan aktiviti Muzakarah Berkelompok Gabungan di peringkat mahasiswi KPIPM yang berkonsepkan “Azhariah Generation”. Aktiviti ini melibatkan penyertaan dari setiap kumpulan Muzakarah Berkelompok (akhawat) yang mana setiap MB diberi tugasan untuk diselesaikan dalam tempoh satu minggu. Antara tugasan yang ditaklifkan ialah penghasilan kertas kerja “Wanita Sayap Kiri Perjuangan”, Powerpoint berkaitan Khulafa’ ar-Rasyidin, buku skrap berkenaan gerakan-gerakan Islam, video dokumentari tentang tempat-tempat menarik di Mesir, dan infographic berkenaan Perubatan Islam. Setiap kumpulan MB telah memberikan komitmen terbaik dalam menyiapkan tugasan yang diberi.

Aktiviti dan tugasan ini tidak lain adalah demi menjayakan usul Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-48 iaitu  “Mengupayakan mahasiswa/ mahasisiwi  Perak untuk meningkatkan tahap pencapaian akademik dan thaqafah”. Antara objektif yang ditekankan melalui aktiviti ini ialah:

       1.Merapatkan ukhwah Islamiah dalam kalangan ahli.
       2.Melahirkan ahli yang berthaqafah dan berkemahiran dalam pelbagai aspek.
       3.Memberi kefahaman dan fikrah tentang Islam yang syumul.

 Kemuncak bagi aktiviti berkumpulan ini, Jabatan Fasilitator telah mengadakan Muzakarah Berkelompok Gabungan di peringkat akhawat bagi membentangkan hasil tugasan Azhariah Generation tersebut. Bermula jam 9 pagi, semua ahli berkumpul di Dewan Syeikh Sya’rawi, Baitul Rahman. Majlis dimulakan dengan tadarus Al-Quran dan diteruskan dengan pembentangan hasil tugasan yang diberikan dan pembentangan berakhir kira-kira pada jam 1 petang.  Pada sebelah malam, Muzakarah Berkelompok Gabungan diteruskan lagi dengan aktiviti BBQ yang diberi nama “Kite Bako Je”, slot Ukhuwah: “Dari Awok Untuk Teman”, penyampaian hadiah bagi program Nisa’ Sport Day dan tayangan video.

Akhir kata, besarlah harapan kami agar seluruh ahli terus memberikan komitmen yang terbaik dalam muzakarah berkelompok kerana ianya merupakan wasilah tarbiyah dan medan menambah thaqafah. Hal ini kerana generasi tarbiyah adalah generasi yang menjadi tonggak harapan dalam merealisasikan agenda pentarbiyahan terhadap  generasi akan datang yang mana terdidik dengan acuan Al-Quran dan As-Sunnah. Semoga penganjuran aktiviti ini menjadi titik tolak dalam melatih mahasiswi KPIPM khususnya agar mendalami ilmu dan thaqafah yang syumul seterusnya dapat membina jati diri yang produktif dan dapat  melahirkan generasi rabbani selaras dengan tema Jabatan Fasilitator sesi kali ini iaitu “Membumikan Tarbiah,Tunjang Generasi Rabbani”.




BERILMU BERAMAL IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN”

KPIPM FUTSAL NIGHT : Bukti Kesatuan Ahli KPIPM

KPIPM FUTSAL NIGHT

RABU, 18 Mac 2015 : Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014/2015 (BTKKR) telah mengadakan program Futsal Night yang bertempat di Zahra' Sahah II kepada seluruh anak-anak Perak Mesir bagi mengeratkan ukhwah antara satu sama lain di samping mengumpulkan anak-anak Perak di sekitar Kaherah dan juga muhafazah.

Malam Rabu tersebut telah menyaksikan kehadiran lebih 90 orang anak-anak Perak bagi menjayakan program Futsal Night anjuran BTKKR ini. Program yang dijadualkan bermula pada jam 7 malam terpaksa ditangguh sehingga jam 8.30 malam akibat ketiadaan bekalan elektrik di kawasan Sahah Riadi 2, Zahra’, Kaherah. Sebelum perlawanan dimulakan, kesemua anak-anak Perak dibahagikan kepada 10 kumpulan yang disusun mengikut nama pahlawan-pahlawan Melayu lama seperti Tun Perak, Dato’ Sagor, Ngah Ibrahim dan lain-lain.

Kumpulan yang melangkah ke peringkat seterusnya ialah kumpulan Tok Janggut, Dol Said, Dato’ Maharajalela dan Ngah Ibrahim. Kumpulan Dato’ Maharajalela telah menjuarai pertandingan futsal pada kali ini yang berakhir pada jam 12.00 malam. Seterusnya berlangsung penyampaian hadiah kepada semua kumpulan oleh Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) Sesi 2014/2015, Saudara Muhamad ‘Asri Bin Mohd Salim.

Usai majlis penyampaian hadiah dan sesi bergambar, kesemua anak Perak pulang menaiki pengangkutan yang telah disediakan oleh pihak KPIPM. Terima kasih di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan diucapkan kepada semua. Semoga program seperti ini dapat dilangsungkan lagi pada masa yang akan datang.






BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

Monday, March 23, 2015

KPIPM Vocational Day 2015




KPIPM VOCATIONAL DAY ‘15

KAHERAH, 14 MAC 2015 : KPIPM Vocational Day 2015 di bawah seliaan Timbalan Yang Dipertua (Unit Penerangan dan Penerbitan) dan Biro Perumahan KPIPM sesi 2014/2015 telah berjaya diadakan. Program kemahiran berlangsung  di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Wisma Perak Darul Ridzuan.  Program yang bertemakan ‘Smart Learn, Smart Skill’ ini adalah bertujuan untuk melahirkan ahli yang berkemahiran di samping mencungkil bakat ahli. Program ini juga memupuk kesedaran dan keyakinan ahli untuk berdikari dalam menangani masalah teknikal rutin. Antara bidang-bidang kemahiran yang diketengahkan  dalam kursus ini adalah pengetahuan tentang asas keselamatan , kemahiran dalam bidang perpaipan, elektrik, teknikal pemasangan PA System dan pembesar suara dan penyuntingan video (Sony Vegas).

Program yang bermula seawal 7.30 pagi ni dimulakan dengan dangan pendaftaran peserta dan menerima peserta sebanyak 45 orang ahli di kalangan Ahli KPIPM ikhwah dan akhawat. Seterusnya program diteruskan lagi dengan perasmian yang disempurnakan oleh wakil Badan Pengurus PMRAM 2014 iaitu Saudara Muhammad Mukhzin Bin Amran Ketua Badan Kebudayaa,Kesenian dan Sukan.

Program dimulakan dengan  slot pertama kendalian Saudara Khairul Naim Bin Abd Razak dengan Taklimat Asas dan Keselamatan. Slot  ini menerapkan pelbagai aspek keselamatan kepada ahli dan menerangkan penggunaan peralatan dengan cara yang betul mengikut piawaian keselamatan yang betul. Selepas itu, Program diteruskan lagi dengan slot kedua iaitu Slot Perpaipan Teori dan Praktikal di bawah kendalian Saudara Abdul Rahman Bin Sarwani. Slot kedua ini memberi pendedahan kepada Ahli berkenaan cara membaiki dan menangani masalah perpaipan yang sering kali berlaku di sekitar wisma. Rata-rata ahli menunjukan respon yang positif semasa program ini berlangsung.

Setelah selesai slot kedua, program diteruskan lagi dengan slot ketiga iaitu slot Elektrik di bawah kendalian Saudara Ikmal Fikry Bin Mah Ali. Pada slot ketiga ini, ahli diberi penerangan dan sekaligus praktikal berkenaan pemasang komponen elektrik pada lampu dan pengetahuan tentang permasalahan yang sering berlaku pada lampu. Rata-rata ahli berpuas hati dengan penerangan yang diberikan serta menunjukkan respon yang menggalakan. Program diteruskan lagi dengan slot keempat, kali ini para peserta didedahkan dengan cara pemasangan dan kendalian teknikal PA system dan speaker. Slot ini dikendalikan oleh saudara Muhammad Nizamuddin  Bin Sabri merupakan wakil PMC (PMRAM Multimedia Centre) yang berpengalaman dalam bahagian teknikal.

Selepas rehat selama beberapa jam, program diteruskan lagi dengan slot akhir kendalian Saudara Ahmad Hakimi Bin Ahmad Suhaimi dengan memberi pendedahan tentang penyuntingan video (sony vegas). Slot akhir ini memberi impak pulangan yang besar kepada para peserta kali ini kerana mereka didedahkan dengan pelbagai teknik asas cara menyunting video. Rata-rata peserta berpuas hati dengan kaedah penerangan perisian tersebut.

Akhir sekali, program melabuhkan tirai pada  jam 9.45 malam yang diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada pengisi sekaligus majlis penutupan Program KPIPM Vocational Day 2015. Dengan harapan agar program kemahiran ini dapat lagi melahirkan ahli-ahli yang berkemahiran dan  dapat lagi diteruskan pada masa akan datang.










BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

Friday, March 6, 2015

SEKILAS MASA HADAPAN


MASA HADAPAN , ramai orang mampu menduga, malah ramai juga yang cuba mentafsirkannya. Namun, tidak ramai yang  berusaha merealisasikan apa telah diduga dan ditafsir itu. Tidak kurang juga yang hanya menunggu dan berpeluk tubuh menanti setiap detik yang berlalu, membiarkan masa itu pergi umpama berlalunya daun yang hanyut dibawa arus.
Sesungguhnya di sisi Allah ilmu tentang hari kiamat dan Dia yang menurunkan hujan dan yang mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tidak ada seorang pun yang mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakan esok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi PengetahuanNya.”
(Surah Luqman : 34)

Andai ditanya kepada anak kecil apa itu masa hadapan, pasti terbayang oleh dirinya ketika itu sedang bergelar seorang doktor atau mungkin juga seorang pensyarah. Andai ditanya kepada seorang mahasiswa, boleh jadi tergambar akan dirinya yang sedang menggenggam kemas segulung ijazah di hadapan ibu dan ayahnya, dan apabila ditanya kepada seorang ibu yang sedang mengandung mungkin jelas tergambar di hadapannya seorang bayi yang comel sedang berada di atas pangkuannya.
Setiap individu mempunyai tafsiran masa hadapan yang berbeza dan boleh jadi juga sama dengan yang lain. Tatkala itu, menjengah di fikiran bagaimana pula tafsiran masa hadapan seorang mukmin yang bertaqwa. Sudah tentunya mereka yang sempurna imannya akan mengimpikan satu pengakhiran di mana dia bertemu dengan Sang Pencipta, Allah Rabbul ‘Izzati dalam keadaan dirinya redha kepada Allah dan Allah redha kepadanya.
        “Wahai jiwa yang tenang , kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan                          diredhaiNya.” (Surah Al-Fajr : 27-28)

Hari demi hari, bulan demi bulan terus menerpa, namun ramai yang gagal merancang dan mencapai masa hadapan yang diimpikan. Salahnya diri kita apabila memandang sesaat yang akan datang itu hanya ibarat setitis air hujan yang menitis ke bumi, yang mana ia tiada memberi manfaat bagi kita. Ingin diminum tidak menghilangkan dahaga, malah hendak mencuci pakaian juga tidak akan hilang kotorannya. Namun kita lupa daripada setitis hujan itulah akan terhasilnya empangan yang besar, daripada sesaat cuma itulah seseorang mampu menjadi insan terhebat pada zamannya.

“Orang yang bijak ialah mereka yang menghisab dirinya dan beramal untuk bekalannya selepas mati."
  (HR Imam Ahmad, Tarmidzi & Ibnu Majah)

Imam Hassan al-Banna telah menggariskan tujuh peringkat amal yang perlu dicapai oleh setiap individu muslim. Bijaknya Al-Imam kerana susunan tersebut memperuntukkan seluruh kehidupan muslim daripada peringkat individu hinggalah kepada pembinaan negara dan khilafah. Qudwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W  jelas menggambarkan kepada kita bahawa tugas dan amanah kita di dunia ini sangat besar. Muslim terbaik tidak hanya memikirkan masa hadapan dirinya bahkan meliputi keluarga, masyarakat, negara dan sudah semestinya  agama Islam yang dikasihi.
               
Kita selaku mahasiswa Islam khususnya memikul tugas dakwah peninggalan Rasulullah S.A.W dan para ulama’ terdahulu dalam menyebarkan agama Islam. Usah biarkan diri kita yang membantut dan yang menghentikan perjuangan mereka yang telah lama dibina. Terdapat beberapa perkara yang menjadi kewajipan kepada kita selaku penuntut ilmu dan pemuda Islam, antaranya:
     1)      Sucikan niat dan lazimi diri untuk sentiasa berusaha menambahkan ilmu pengetahuan dalam                bidang turathii mahupun kontemporari.
     2)      Elakkan daripada banyak membuang masa dan melakukan perkara-perkara yang tidak                          bermanfaat.
     3)      Perbanyakkan zikir dan amalan-amalan sunat bagi menyucikan jiwa dan hati daripada sifat-                sifat mazmumah.
     4)      Kukuhkan ikatan persaudaraan Islamiah bersama sahabat dan saudara seakidah yang lain.
     5)      Sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memberikan sumbangan dalam gerak kerja dakwah dan jemaah.
Ilmu dan amal tidak mungkin dapat dipisahkan, tidak berguna ilmu tanpa amal begitulah juga sebaliknya. Seiring dengan lima pembawaan KPIPM bagi sesi ini yang meliputi aspek thaqafah, fikrah, ukhuwah, kebajikan dan ekonomi. Kita KPIPM bukan sahaja ingin melahirkan mahasiswa Islam yang berilmu dan berthaqafah, malah yang mampu membawa fikrah Islamiah kepada masyarakat umum. Seterusnya, menginfakkan diri untuk sentiasa  menyumbang dan berbakti kepada agama Islam yang tercinta sehingga tercapai natijah masa hadapan yang diimpikan iaitu bagi memartabatkan Islam dan meninggikan kalimah Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W di atas muka bumi dengan izin-Nya.
“Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya”.



Nurul Fadhillah Mohd Khairi
Ketua Hal Ehwal Wanita Islam
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
Sesi 2014/2015

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...