Saturday, December 19, 2009

Petua Ustaz Abdullah Nasih Ulwan

Petua Kekalkan UkhwaFillah

Ini satu petua yang bagus (jika diamalkan) untuk mengekalkan solidariti sesama Muslim.
Petua untuk mengekalkan persahabatan:


1. Nyatakan rasa kasihmu kepada saudaramu.

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'Alaihi Wasallam :
"Jika seseorang itu kasih akan saudaranya, beritahulah kepadanya yang dia kasih kepadanya."
[Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi]

2. Mintalah supaya saudaramu mendoakanmu sebelum berpisah.

Umar bin Al-Khattab radhiallahu anhu berkata,
"Saya minta izin kepada Baginda SallaLlahu 'Alaihi Wasallam untuk mengerjakan umrah." Baginda SallaLlahu 'alaihi Wasallam membenarkan dan berpesan; "Jangan lupa bila berdoa untuk kami bersama."
[Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi]

3. Bermanis muka ketika bertemu.

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'Alaihi Wasallam:
"Janganlah kamu memandang hina terhadap kebaikan walaupun kecil, walaupun bermanis muka ketika bertemu dengan kawan-kawan."

4. Segeralah bersalam apabila bertemu.

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam, maksudnya:
"Tiadalah dua orang Islam yang bertemu lalu bersalaman melainkan dosa mereka akan diampunkan sebelum berpisah."

5. Selalu menziarahi saudaranya dari masa ke semasa (satu tempoh yang tidak terlalu kerap dan tidakterlalu jarang).

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam, ertinya:
"Siapa yang mengunjungi orang sakit atau menziarahi saudara seagama dengannya, menyerulah penyeru (malaikat), engkau baik, perjalanan engkau juga baik dan engkau akan menduduki rumah di Syurga."
Sabdanya lagi di dalam riwayat yang lain:

"Ziarahilah saudaramu untuk menambahkah kasih sayang."

6. Memberi ucapan tahniah kepada saudaranya danmenyukakan hatinya.

"Siapa yang menemui saudaranya dengan apa-apa yang menyukakannya, nescaya Allah Azzawajalla akan menyukakannya pada hari kiamat."

7. Memberi hadiah kepada saudaranya ketika-ketika yang munasabah.

"Hendaklah kamu memberi hadiah, ia boleh membangkitkan kasih sayang dan menghapuskan rasa dendam di hati."
[Riwayat Dailami dari Anas]

8. Laksanakan tanggungjawab persaudaraan dengan sempurna.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam bersabda, maksudnya: "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan Akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat.
Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."

[Riwayat Muslim]

:: Rujukan: Iman, Senjatan Menghadapi Cabaran Zaman karangan Dr Abdullah Nasih Ulwan.

Imtihan dan Pengorbanan

Menjengah musim peperiksaan membuatkan hati makin sempit dan ketat untuk perkara-perkara lain yang membuang masa, selain daripada urusan menelaah pelajaran. Masa 24 jam yang dikurnia mahu diguna sepenuh dan semaksima mungkin untuk kepentingan diri bagi memastikan penguasaan pelajaran dicapai sepenuhnya. Fenomena ini adalah sesuatu yang positif lantas menjahkan perubahan kearah yang lebih berdisiplin dan teratur. Namun, sesuatu mahu diingatkan disini, tentang ukhuwah dan tentang indahnya i’brah sirah, untuk kita sama-sama fikir dan renung sejenak, mengapa kita ditempatkan bersama manusia-manusia lain hanya kita dan dunia kita semata.

Penghijrahan Baginda Nabi S.A.W bersama bapa ZaatuNitaqain meninggalkan mutiara-mutiara i’brah yang cukup berkilau. Keberaniaan gadis yang berusia muda terserlah apabila meredah kepekatan malam tanpa ditemani siapa-siapa demi menghantar bekalan makanan kepada Baginda Nabi S.A.W dan bapanya selama 3 malam. Apa yang difikirkan oleh gadis kecil ini? Semestinya dia sedang memikirkan tentang sumbangan yang perlu disumbangkan dalam peristiwa bersejarah ini, walau hanya sekadar menghantar makanan, bukannya membunuh musuh atau sumbangan lain yang lebih bermakna pada nisbah manusia. Lebih mengharukan bagaimana sanggup mengorbankan tali pinggangnya (yang ketika itu setiap gadis-gadis arab mesti memilikinya) untuk mengikat bekalan makanan buat perjalanan penghijrahan insan mulia.

Allah ta’ala yang Maha Penyayang tidak pernah membiarkan apa-apa amalan yang dibuat oleh hambanya sepi tanpa nilaian. Sekali pandang, sumbangan Saidatuna Asma’ adalah suatu yang biasa, seolah-olah nisbahnya dengan dunia perfileman atau drama rekaan manusia, dimana penonton sudah pasti hanya akan memandang watak utama tanpa sedikit pun melihat siapakah pembantu rumah yang sedang memasak, atau siapakah tukang sapu yang turut serta memenuhi watak-watak dalam drama atau filem tersebut. Disinilah indahnya Islam dan pengasihnya al-Khaliq terhadap hamba-hambanya. Biar kecil sumbangan yang dihulur, sedikit pun tidak dibiar tanpa anugerah hingga Saidatuna Asma’ dijanjikan dengan Nitaqain (dua tali pinggang dari syurga) diakhirat kelak.

Disinilah tujuan utama risalah ini ditulis, mahu dan ingin sekali menjemput pembaca budiman untuk sama-sama kita fikirkan tentang “ dimana juga situasi kita, lapang atau sempit, pupukkan dalam diri tentang mahu bertolong menolong dalam kebaikan dan tidak sama sekali bergandingan didalam kejahatan” bersesuaian dengan potongan dari surah al-Maidah ayat 2 diatas. Malu jika kita tahu tentang sejarah, malangnya sejarah itu menjadi sejarah lapuk dan berhabuk dalam diri tanpa ada istifadah bernilai ditepuk keluar. Dasar Islam menyeru kepada berjemaah jelas menuntut untuk kita saling bergandingan dan bantu membantu didalam kebaikan.

Gerakkan dalam diri untuk sentiasa berfikir apakah bentuk-bentuk pertolongan yang ingin kita sumbangkan dalam kebangkitan Islam, sebagaimana runsingnya hati Saidatuna Asma’ yang meronta ingin melakukan sesuatu yang boleh disumbang. Jangan sekali kita menunggu selepas tamat pengajian, atau ‘nanti-nantilah’. Bermulalah dari sekarang, biar kecil dan sedikit, tidak perlu difikir tentang itu, utamanya, kita sedang melakukan sesuatu untuk Islam, dan perlu diingat, umur kita tidak dijamin sampai esok.

Hakikatnya, kita memasak untuk teman-teman serumah, juga satu bentuk pertolongan ke arah kebaikan yang cukup besar. Biar masa telaah terbuang sedikit (itu akan diganti oleh Allah semestinya), namun kita telah bantu memudahkan urusan teman-teman yang lain didalam medan perjuangan mereka (dan hakikatnya kita berada dalam medan perjuangan yang sama -Allahumma amen). Niat dihati juga perlulah jelas dan tepat, ikhlas dan niatkan segalanya untuk Islam. Buat akhirnya, fatrah imtihan yang sedang kita lalui ini harapannya kita mampu membentuk hati dan mentarbiyah diri untuk sentiasa mahu memberi masa pada orang keliling ketika kita diperlukan untuk satu-satu masa dan satu-satu bentuk pertolongan. Potongan ayat suci dan Hadis diatas satu tasyji’ untuk kita pegang sebagai pemujuk hati. Mudah-mudahan hati sentiasa mengingat diri. Wallahua’lam. Bittaufiq
.

Tuesday, December 15, 2009

Fikirlah Sendiri

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”. (al-‘Asr: 1-3)

Islam agama yang syumul. Surah ringkas ini sudah cukup menggambarkan bahawa betapa mahalnya nilai masa dalam hidup manusia sehingga ia menjadi saksi terhadap untung atau ruginya manusia mengendalikan hidupnya sehingga bertemu noktah nihayah. Bernilainya masa dalam hidup manusia, namun ia tidak pernah meminta untuk dihargai. Bukan kerana ia tidak mempunyai suara, lantas ia tiada ruang dan peluang untuk merayu manusia menghargainya. Namun kitalah yang terlalu jahil menghargai setiap detik masa yang telah berlalu dan bakal berlalu. Kita jahil dalam mendalami kefahaman kita terhadap surah yang cukup ringkas dan padat ini. Kita terlupa mungkin, bagaimana caranya kita menghargai masa, begitu jugalah ia menjadi saksi dalam menghitung keberjayaan mahupun kegagalan kita dalam imtihan yang bakal menjelang ini.

Melihat kepada fenomena warga KPIPM khususnya, barangkali surah ringkas yang telah kita hafal dan ketahui maksudnya sedari kecil ini hanya sesuai dibaca seusai sesuatu majlis, perjumpaan dan mesyuarat sahaja. Lantaran kesibukan kita dalam menyusun atur hidup di bumi anbiya' ini, meralitkan kita untuk menilik kembali di darjat manakah telah kita letakkan masa sehingga akhirnya kita tergolong di kalangan mereka yang rugi dan menyesal dengan masa lalu?

Menyentuh tentang imtihan yang bakal tiba lebih kurang sebulan sahaja lagi...sekali pandang, kelihatannya masih jauh untuk kaki melangkah ke dewan imtihan. Seolahnya masih ada waktu untuk bertatih menelaah kitab, masih punya masa untuk berbual kosong. Masih, masih dan masih…dan akhirnya kita tersepit, maka kita mengharapkan masa yang ada melebihi dari 24 jam sehari. Kita lupa mungkin, dalam kepelbagaian jenis dan reka bentuk jam yang tidak mampu kita hitung, di sana terdapat sesuatu yang sama, sesuatu yang tetap iaitu 1 hari = 24 jam, 1 jam = 60 minit, 1 minit = 60 saat...lakukanlah apa sekalipun, ia tetap dan tidak akan berubah.

Jika kita seorang pemimpin, insan yang diamanahkan melayari bahtera KPIPM berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah, ke manakah kepadatan masa yang kita bicarakan selama ini telah kita laburkan atau mungkin juga kita sia-siakan? Tiada ertinya jika kita hebat di gelanggang persatuan tetapi amanah keluarga kita kesampingkan hingga ia menjadi tohmahan terhadap golongan pimpinan.

Jika kita hanya sebagai ahli, ke manakah perginya masa yang sewajarnya kita peruntukkan untuk merealisasikan sifar gagal? Barangkali masa yang kita miliki tidak mencukupi lantaran dalam sehari berbelas jam disia-siakan menonton movie, berchatting, berkhayal dan sebagainya.

Siapa pun kita, berlaku adillah dengan diri sendiri. Sekalipun tidak mampu berkata jujur pada orang lain, usahlah diri sendiri diperbodohkan. Jika selama ini mulut lantang bersuara memuhasabah rakan-rakan lain, ambillah sedikit waktu untuk memuhasabah diri sendiri. Koreksilah kembali diri…barangkali segala nasihat dan amanat yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada kita telah kita bakul-sampahkan disebabkan kebodohan dan kesombongan yang beraja di hati.

Inginkan kejayaan tanpa membayar dengan sejumlah besar pengorbanan, maka ia adalah sesuatu yang mustahil menurut perkiraan akal manusia. Jika tidak sanggup berkorban...silakan...kerana bukan siapa-siapa yang akan menolong kita jika bukan diri kita sendiri.

Mantan Presiden PMRAM, Us Hairul Nizam bin Mat Hussain, dalam blog beliau menyatakan.."Sepatutnya seorang pelajar hanya sepatutnya tidur dalam jangka masa 6 jam sehari. Baik, katakan mereka menyambut seruan ini untuk study sehari dalam masa 10 jam, ini bermakna ada 8 jam lagi buat mereka untuk dihabiskan pada aktiviti-aktiviti yang lain. Persoalannya mengapa masih tidak mahu serius dalam study. Adakah satu hari hanya mahu study sejam sahaja atau 2 jam atau 3 jam? Kalau hanya itu waktu untuk study, saya pasti kawan-kawan tidak akan mampu untuk menggondol natijah Imtiyaz ataupun Jayyid Jiddan."

Jadi, apa lagi yang ditunggu...berkorbanlah untuk tidak terkorban. Korbankan masa kalian untuk mencedok sebanyak mungkin mutiara ilmu di sini agar di masa hadapan anda tidak menjadi mangsa korban atas kebodohan diri anda melaburkannya ke pelaburan yang sia-sia.

"Kejayaan adalah hasil usaha mereka yang gigih berusaha. Kecemerlangan merupakan usaha yang tidak putus asa. Kegembiraan adalah anugerah yang amat berharga bagi mereka yang berjaya."

Ya Allah, semoga kejayaan akan tertulis indah buat kami...amin Ya Rob!

Tuesday, December 1, 2009

Terima Kasih Atas Pengorbanan Sahabat-sahabat

KAHERAH : Pihak persatuan mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga bagi menjayakan sambutan Aidil Adha pada tahun ini. Bermula dengan giliran menjaga unta, kambing dan khoruf sehingga hari memasak, komitmen yang diberikan amat membanggakan. Jadual tugasan yang telah disusun oleh jawatankuasa program dilaksanakan dengan baik dan berlapang dada oleh mereka yang ditugaskan.

Terdapat juga dikalangan ahli yang bertugas membawa bersama kitab-kitab dan nota pelajaran mereka semasa bertugas. Jadual tugasan ini sedikitpun tidak menggangu pembelajaran mereka bagi menempuhi peperiksaan yang hampir menjelang.

Ustaz Aminuddin Bin Sadri dari Syaqah 9 yang ditemui ketika bertugas pada syif tengah malam (12.00 malam hingga ke 6.00 pagi) melahirkan perasaan bangga kerana dapat menjaga binatang korban tersebut.

“Walaupun sekarang ini musim sejuk, namun saya berasa seronok serta taajub dapat menjaga unta pada malam ini”

“Mudah-mudahan unta yang saya jaga ini dapat mendoakan kejayaan saya dalam peperiksaan yang akan datang” ujar beliau secara bergurau.

“Saya amat berharap agar semua sahabat yang berada di muhafazah (luar Kaherah) dapat turun beramai-ramai ke Kaherah untuk sama-sama menyambut hari raya di sini” tambahnya lagi. Beliau yang kini menuntut di Kuliah Syariah Tahun Dua, Kaherah menggunakan kesempatan berjaga malam ini untuk menelaah kitab-kitab pengajainnya.

Pagi Penyembelihan

Kehadiran anak-anak Perak dari seluruh bumi Mesir yang membanjiri perkarangan Wisma A telah menghidupkan kemeriahan suasana di pagi raya serta membangkitkan semangat gotong-royong melapah, memotong serta mengagihkan daging korban ke rumah-rumah ahli sekitar Kaherah.

Dua ekor unta telah disembelih oleh Ustaz Muhammad Mujahid Bin Mohammad Fadzil, Pengerusi Badan Penasihat KPIPM dan Ustaz Khairul Ashraf Bin Mohd Khir, YDP KPIPM. Dua ekor khoruf pula disembelih oleh Ustaz Fareez Izhar Bin Zainuddin, Pengarah Program dan Ustaz Mohd Zulfadhli Bin Zainal, AJK Badan Penasihat KPIPM manakala tiga ekor kambing telah disembelih oleh Ustaz Muhammad Bin Dolah, Ustaz Mohd Shahril Bin Mohd Nasir dan Ustaz Ahmad Shazwan Bin Khalid (pemilik panggu).

Proses melapah dan memotong daging berakhir sebelum azan Asar walaupun diselangi berhenti rehat untuk solat Jumaat. Selepas Asar, daging korban diedarkan ke rumah-rumah ahli.

Kerja Gotong-royong telah berlarutan hingga ke pagi berikutnya bagi merebus dan memasak daging korban tersebut.

“Kebersamaan ahli dalam menjayakan sambutan korban tahun ini membuktikan bahawa KPIPM merupakan wadah penyatuan terbaik untuk semua anak-anak Perak di bumi Mesir ini” kata Ustaz Khairul Ashraf Bin Mohd Khir, YDP KPIPM ketika ditemui oleh wartawan blog.

“Jangan lupa untuk datang beramai-ramai pada hari terbuka PMRAM Cawangan Perak esok” sambungnya lagi sebelum meninggalkan kami untuk membantu kerja gotong-royong.

Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian Dan Riadhah (BTKKR) menyatakan perasaan terharu di atas kerjasama yang telah diberikan. Beliau juga mengharapkan semangat kerjasama ini dapat berlangsung hingga ke masa-masa akan datang.

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...