Saturday, July 22, 2017

MINDA PIMPINAN | AKHLAK MULIA YANG SEMAKIN MENGHILANG



AKHLAK DALAM KALANGAN MANUSIA KIAN HILANG

Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum Waramatullahi Wabarakatuh..

     Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, Penguasa Hari Pembalasan. Selawat dan salam dipanjatkan ke atas Nabi Muhammad, penutup sekalian nabi dan rasul, ahli keluarga Baginda, para sahabat, dan para pejuang agama Allah sepanjang zaman.

     Manusia adalah makhluk Allah yang teristimewa yang memiliki tabiat dan mentaliti yang mempengaruhi amalan dan tingkah lakunya, maka keperibadian inilah yg menjadi perbicaraan dan perbincangan yang utama dalam sesebuah akhlak.

     Memang tidak dapat disangkalkan lagi bahawa akhlak merupakan nadi utama dalam pembangunan rohani manusia. Setiap tamadun umat manusia dari dahulu sehingga kini ianya terbina daripada asas akhlak ataupun dikenali sebagai tamadun kemanusiaan.

     Di sini, bukanlah takrif akhlak yang cuba kita kupaskan, namun masalah akhlak yang semakin hilang dalam kalangan manusia itu sendiri baik dewasa, remaja mahupun kanak-kanak.

     Mutakhir ini, akhlak dalam kalangan kita cukup rendah sehingga boleh menimbulkan fitnah yang cukup besar bagi umat Islam itu sendiri di mana, telah wujudnya manusia yang mengambil enteng perihal akhlak sehinggakan berlaku ketidaktarikan golongan bukan Islam untuk mendalami Islam, bahkan terus menolak dan menganggap Islam agama yang tiada kedamaian. Maka, ini bukanlah satu contoh akhlak yang baik bagi umat Islam. Persoalannya, mengapa kita perlu mengambil tindakan yang merugikan agama kita sendiri?

     Sebagaimana yang kita tahu, kepentingan akhlak yang mulia akan mencorak tingkah laku dan kehidupan seseorang. Apabila sesebuah akhlak yang mulia telah menjadi sebati dalam diri maka akan lahir tindakan spontan bergantung kepada nilai akhlak yang ada padanya. Akhlak juga mencerminkan keimanan seseorang. Dengan erti kata lain, iman yang sempurna akan melahirkan akhlak yang mulia. Mafhum dalam sebuah hadis yang berbunyi, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (HR. Abu Daud, Ahmad dan Tirmidzi).

     Selain itu, akhlak adalah pemangkin perubahan. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa keruntuhan akhlak dan moral akan menggagalkan usaha kepada perubahan. Sepertimana yang telah berlaku di Turki ketika kejatuhan Khilafah Uthmaniah, keruntuhan nilai akhlak dalam kalangan pemerintah dan tentera-tenteranya merupakan faktor utama kejatuhan khilafah ini. Jadi, nilai sesebuah akhlak itu sangatlah penting buat umat Islam kini.

     Tidak ada manusia yang terbaik akhlaknya melainkan Rasulullah S.A.W.. Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Saidatina Aisyah R.A tentang akhlak Rasulullah S.A.W.. Lalu Aiyah R.A menjawab: Akhlak Rasulullah S.A.W adalah Al-Quran. (HR Muslim).
Dan banyak sirah rasulullah yang boleh kita teladani.

     Namun, kita bukanlah tuhan untuk menentukan kesempurnaan akhlak seseorang, tetapi baik dan mulianya akhlak itu jika digunakan ke arah yang lurus dan betul mengikut landasan syarak serta berdoa agar seluruh kesejahteraan umat Islam di dunia ini terpelihara dengan akhlak yang baik.

     Berdasarkan kata hukamak ‘Lisanul Hal Aqwa Min Lisanul Maqal’ yang bermaksud bahasa sikap itu lebih tinggi daripada bahasa ucapan. Ini dapat membuktikan sesuatu tindakan yang kita lakukan itu lebih penting berbanding percakapan indah semata.

     Justeru itu, Akhlak Islamiyah perlu dipraktikkan dalam kalangan umat Islam sendiri agar kesatuan tercapai, terutamanya generasi yang bakal memimpin negara. Dan perhatikanlah, mencontohi akhlak mulia Rasulullah S.A.W. hugs merupakan sunnah Rasulullah yang semakin dilupakan oleh umatnya. Semoga kita semua termasuk dalam golongan manusia yang mencontohi Rasulullah SAW dan menjadikan Baginda Qudwah Hasanah dalam segenap aspek yang dituntut.

Siiru ‘ala barakatillah…

“BERILMU, BERAMAL, IKHLAS”
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”

Tinta Pimpinan oleh :
Nur Afifah Najihah binti Ahmad Khalil
Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2016/2017


Wednesday, July 12, 2017

Madrasah Ramadan Marhalah Maghfirah

IHYA TARBAWI RAMADAN 2017

KAHERAH - 25 Mei 2017 hingga 23 Jun 2017, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah mengadakan satu program bersempena bulan Ramadan dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak. Program tersebut telah diberi nama Ihya' Tarbawi Ramadan 2017 dengan singkatan IHTIRAM'17. Program ini di bawah seliaan Biro Dakwah & Tarbiah KPIPM sesi 2016/2017 bertemakan "Madrasah Ramadan Marhalah Maghfirah”.

   IHTIRAM'17 telah bermula dua hari sebelum Ramadan dan aktiviti IHTIRAM'17 bermula pada hari kedua Ramadan 28 Mei 2017. Majlis Pelancaran dan Malam Perutusan IHTIRAM'17 telah diadakan pada hari Khamis 25 Mei 2017 bersamaan 28 Syaban 1438 H pada waktu malam setelah selesai bacaan yasin bagi program Ehya' al-Jum'ah. Majlis tersebut bermula dengan ucapan daripada Pengarah IHTIRAM'17, Ustaz Muhammad Nurul Ihsan bin Mohd Husin dan diteruskan dengan ucapan daripada YDP KPIPM Ustaz Khairul Naim bin Abd Razak seterusnya ucapan daripada perasmi Encik Munawir bin Mohamed Noh selaku Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak. Seterusnya majlis diteruskan dengan gimik pelancaran yang disempurnakan oleh perasmi dan diakhiri dengan kata-kata penutup oleh pengerusi majlis.

   Pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan. Antaranya adalah Raudhatul Jannah iaitu Daurah Ilmiah KPIPM. Antaranya Daurah kitab Talim al-Muta'allim Tariq at-Ta'allum yang telah disampaikan oleh YDP KPIPM Ustaz Khairul Naim bin Abd Razak, Daurah kitab Taqrir Azhari lil- Anam yang membincangkan bab puasa telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat KPKM sesi 2016/2017 iaitu Ustaz Syed Ahmad Ridwan bin Syed Mad Zain dan Daurah Kitab Bahjatul Mardhiah yang telah disampaikan oleh Pengarah Akademi Tok Guru KPKM sesi 2016/2017, Ustaz Abdullah bin Hussin.

   Seterusnya telah berlangsung program yang dinamakan Pondok ar-Rayyan, antara aktiviti yang telah dijalankan adalah Forum "Related Sunnah In Islam" , Ramadan Cinema, Diskusi Kitab Risalah ila Akhi Fillah, Tausiah Ammah daripada Syeikh Islam bin Majdi Hilal, teori dan praktikal Sembelihan, Program PEMANDU dengan slot yang bertajuk INFIRU, dan terakhir, Forum Bersama Bersatu. Forum Bersama Bersatu ini dijalankan bagi melaksanakan usul tergempar KPIPM iaitu Bersama mempertahankan hak Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKIMM) dan Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) bagi menyatakan solidariti mahasiswa yang telah disampaikan oleh dua orang panel dan moderator daripada kalangan AJKT KPIPM iaitu Ustaz Muhammad Nur Ikhwan bin Shamsudin (Ketua BTKKR KPIPM), ahli panel pertama merupakan YDP BKKIMM, Ustaz Muhammad Anuar bin Abdullah dan ahli panel kedua merupakan YDP BKPJM, Ustaz Muhammad Arif bin Hamzah.

   Antara yang lain adalah program Madrasah Ramadan iaitu tazkirah Subuh. Madrasah Ramadan yang pertama bertajuk Ramadan Madrasah Tarbiah yang telah disampaikan oleh Ketua HEWI KPIPM, Ustazah Nurul Izzaty binti Osman. Manakala Madrasah Ramadan siri kedua pula bertajuk Ibrah Perang Badar Membuka Jalan Dakwah yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hazim bin Mohd Halim yang merupakan AJK Badan Penasihat KPIPM. Seterusnya, siri yang ketiga, Tazkirah Nuzul al-Quran yang bertajuk Al-Quran Manhaj al-Hayah yang telah disampaikan oleh Ustazah Siti Hajar binti Ahmad Daud yang merupakan Timbalan Ketua HEWI KPIPM sesi 2016/2017. Dan Madrasah Ramadan siri terakhir, tazkirah bertajuk Maza bada Ramadan disampaikan oleh Ustaz Ahmad Fariz bin Mohd Zaini, YDP BKPPPM.

    Di samping itu, IHTIRAM'17 telah menjemput Imam Khusus daripada pelajar Shoubra iaitu slot Bersama Imam Terawih Jemputan dengan perkongsian bacaan qiraat. Antaranya adalah Ustaz Muhamad Sufian bin Muhammad, imam jemputan dengan bacaan qiraat Qalun dan Bazzi, Ustaz Muhamad Tajul Adnin bin Abd Aziz dengan bacaan qiraat Khallaf, Hamzah dan Khallad, dan Ustaz Nur Muhammad Anas bin Mohd Razak, beliau membacakan riwayat Warsh An Nafi & riwayat As-Susi An Abu Amr.

    Selain itu, telah diadakan Kembara Tarawih khusus bagi akhawat, iaitu solat tarawih di masjid rakyat tempatan. Antaranya di Masjid Ibad, Masjid Tantawi dan Masjid Musa. Seterusnya, telah diadakan aktiviti edaran Shantoh Ramadan iaitu edaran kurma dan bubur lambuk sekitar selepas asar yang melibatkan YDP dan Barisan AJKT, Ketua HEWI dan Barisan AJK HEWI serta adhoc pelaksana IHTIRAM'17 dengan mengedarkannya kepada kesemua ahli KPIPM yang terdiri daripada ahli Wisma Baitul Ridzuan, Baitul Rahman, rumah sewa dan mutazawwijin di sekitar Hayyu Sabiek. Aktiviti menarik yang lain adalah pertandingan kuiz, poster dan wallpaper Ramadan. Pertandingan tersebut adalah untuk meningkatkan kemahiran dan thaqafah ahli.

   Pada 23 Jun 2016 bersamaan 28 Ramadan 1438H, telah berlangsung Majlis Penutupan IHTIRAM'17 dan telah dibuat secara berasingan antara ikhwah dan akhawat. Bagi sebelah ikhwah, majlis telah berlangsung di padang futsal Wafa El-Amal. Antara aktiviti yang diisi untuk ikhwah adalah permainan futsal, penyampaian hadiah bagi pertandingan sepanjang IHTIRAM 17 dan sahur jamaie. Bagi sebelah akhawat pula, majlis telah berlangsung di Dewan Syeikh Sya'rawi, Baitul Rahman. Antara aktiviti yang telah dilakukan adalah aktiviti BBQ, Iftor Jamaie, tazkirah ringkas yang telah disampaikan oleh Ustazah Nazuha binti Suhimi yang memegang jawatan sebagai fasilitator KPIPM, seterusnya ucapan penutup dan diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi pemenang pertandingan sepanjang IHTIRAM  17.

    Buat akhirnya, besarlah harapan daripada pihak kami Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2016/2017 agar program sebegini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah islamiah dalam kalangan ahli Perak di bumi Mesir. Segala kerjasama yang baik daripada semua peringkat sama ada secara langsung atau tidak langsung kami ucapkan jazakumullahu khairan kathira.

"Madrasah Ramadan Marhalah Maghfirah”

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN

Disediakan oleh :
Setiausaha IHTIRAM'17,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir 
sesi 2016/2017.

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...