Thursday, April 15, 2010

PMRAM Cawangan Perak Mendapat Anugerah BKAN Terbaik


15 APRIL - Muktamar Sanawi PMRAM kali ke 77 yang berlangsung pada 13 April lalu mencatatkan kenangan manis buat KPIPM.

Tepat jam 12 malam 14 April, telah diumumkan di hadapan sidang muktamar bahawa PMRAM Cawangan Perak (KPIPM) menerima anugerah Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) terbaik.

Ia disusuli dengan Dewan Perwakilan Mahasiswa terbaik yang dimenangi oleh Zagazig.

Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir merasa berbangga dengan ahli KPIPM di atas anugerah tersebut.

Beliau berkata bahawa KPIPM telah menerima anugerah BKAN terbaik selama dua tahun berturut-turut. Iaitu pada sesi PMRAM 2008 dan 2010.

Beliau berharap agar prestasi kecemerlangan ini dapat diteruskan.

"Terima kasih kepada semua ahli KPIPM yang bersama dengan PMRAM" katanya kepada media

Tuesday, April 13, 2010

Perwakilan KPIPM Di Muktamar Sanawi PMRAM ke 77


13 APRIL - Muktamar Sanawi PMRAM kali ke 77 sedang berlangsung di Nadi Riadhi Madinah Nasr, Hayyu Sadis. KPIPM tidak ketinggalan untuk menghantar perwakilan untuk program ini.

Sepertimana yang telah dimaklumkan kepada media, perwakilan lelaki seramai 24 orang, manakala perwakilan dari kalangan perempuan seramai 20 orang.

Perwakilan PMRAM cawangan Perak telah diketuai oleh Ustaz Mohd Ridhwan bin Othman, Ketua Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah.

Tidak ketinggalan beberapa orang ahli KPIPM turut sama dalam muktamar ini sebagai pemerhati.

Monday, April 12, 2010

Perwakilan Perak Di Muktamar HEWI


12 APRIL - Sepertimana yang telah dimaklumkan, semalam telah berlangsungnya Muktamar HEWI PMRAM yang berlangsung di Dewan Abdullah Kamil. HEWI KPIPM tidak ketinggalan untuk melibatkan diri di dalam muktamar ini bersama beberapa perwakilan dari Negeri Perak.

Seramai 296 perwakilan cawangan PMRAM, di peringkat BKAN dan DPM yang hadir di dalam majlis tersebut.

Program dimulakan dengan perasmian yang dilancarkan oleh Timbalan Presiden PMRAM, Ustaz Muhammad Shahrizan bin Hazime. Majlis tersebut dimulakan pada jam 8.30 pagi.

Antara tentatif program ialah pembentangan minit mesyuarat kali ke 22, laporan gerak kerja HEWI PMRAM dan sebagainya.

Program berakhir pada jam 6.30 malam.

Usrah Mutazawwijat Di Peringkat UBM Dijalankan


12 APRIL - Pada 9 April lalu, Unit Bait Muslim sekali lagi mengadakan usrah di kalangan isteri-isteri buat kali kedua. Ia adalah kesinambungan daripada usrah di peringkat Mutazawwijin yang diadakan pada bulan Disember lalu, dan diteruskan lagi di peringkat isteri-isteri.

Perjumpaan dimulakan pada jam 8 malam di Surau Akhawat yang terletak di Bilik no. 6, dan berakhir pada jam 10 malam.

Perjumpaan telah dikendalikan oleh Ustazah Nor Hafizah binti Shamsuddin, Timbalan Pengerusi Unit Bait Muslim KPIPM.

Antara pengisian yang dibuat ialah perbincangan tentang masalah-masalah yang dihadapi dalam pengurusan rumahtangga, perbincangan hal kewanitaan, dan sebagainya.

Ustaz Nor Hafizah berharap agar perjumpaan sesama isteri ini dapat diteruskan bagi menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi, dan memberi motivasi kepada isteri-isteri.

Tahniah, PMRAM Sudah Berumur 80 Tahun


11 APRIL - Sempena tarikh penubuhan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), pihak Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) mengucapkan tahniah kepada PMRAM di atas kesinambungannya yang telah hidup selama 80 tahun.

PMRAM telah ditubuhkan pada 11 April 1930, dan ia masih gagah sehingga tarikh pada hari ini, 11 April 2010.

KPIPM telah menghantar surat rasmi ucapan tahniah di atas kesinambungan yang begitu panjang tersebut.

Antara isi surat tersebut, menyatakan bahawa KPIPM akan terus menyumbangkan tenaga dan pakar untuk menaikkan PMRAM. Bahkan, KPIPM akan terus bersama PMRAM dalam memberikan kebajikan yang sewajarnya untuk mahasiswa Melayu di bumi Mesir.

Friday, April 9, 2010

Anugerah Bait Mithali Bulan Mac


8 APRIL – Kempen Bait Mithali telah mula dilancarkan pada awal sesi KPIPM 2009/2010 lagi, di bawah anjuran Biro Perumahan KPIPM.

Sebelum ini, Biro Perumahan telah meletakkan tiga kategori pemilihan Bait Mithali, iaitu Rumah Sewa, Rumah Ikhwah dan Rumah Akhawat di Wisma A dan B.

Pada hari ini, telah diumumkan pemenang Bait Mithali untuk Bulan Mac. Rumah sewa dimenangi oleh Bait Bujang yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Sayuti bin Mohamad Zawahib. Rumah Ikhwah di Wisma Darul Ridzuan dimenangi oleh Bait Apokalis (Syaqah 9 Wisma A). Manakala Rumah akhawat disandang oleh Baitul ‘Adn (syaqah 4 Wisma A).

Hadiah telah disampaikan oleh Yang Dipertua, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir dan hadiah di peringkat HEWI diserahkan oleh Ustazah Siti Salamah binti Hamzah selepas berakhirnya Program Pemantapan DUAT pada jam 11 malam.

Ustaz Aliff Hadi, Ketua Biro Perumahan memaklumkam kepada media bahawa penilaian akan dibuat pada setiap bulan, dan hadiah akan diberikan setiap bulan di dalam program-program KPIPM. Beliau juga berharap agar penghuni Wisma A dapat memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam menjaga keceriaan dan kebersihan Wisma Darul Ridzuan.

Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Bersama Keluarga Allahyarham


8 APRIL – Pada 5 April lalu, Biro Dakwah dan Tarbiah telah menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil untuk Allahyarham Mohamad Hafizul Husna.

Sempena kehadiran ibu Allahyarham, Nur Azizah binti Sulaiman bersama sanak saudara yang lain di bumi Mesir, KPIPM sekali lagi mengadakan majlis yang sama bersama keluarga jenazah. Majlis diadakan malam tadi, selepas Solat Fardhu Magrib.

Majlis telah diketuai oleh Ustaz Ibnu Abbas bin Azizuddin, Ketua Biro Dakwah dan Tarbiah. Majlis diteruskan dengan Solat Isya berjemaah, dan jamuan.

Puan Nur Azizah mengucapkan jutaan terima kasih kepada KPIPM dan PMRAM di atas kerjasama yang diberikan dan kebajikan yang dicurahkan kepada Allayarham.

Pihak media telah dimaklumkan bahawa ibu Allahyarham dan sanak saudara akan mula bertolak pulang ke Malaysia pada 9 April.

Pembentangan Kertas Kerja Pengendalian Mesyuarat



8 APRIL – Sepertimana yang telah dijadualkan, Program Pemantapan DUAT (PEMANDU) sekali lagi mengorak langkah dengan mengadakan pembentangan kertas kerja oleh jemputan khas dari Negeri Selangor.

Beliau yang dimaksudkan ialah Ustazah Siti Nabila binti Misnan, Timbalan Unit Perancang dan Latihan Pusat Sumber Tenaga PMRAM (PESAT).

Pembentangan bermula pada jam 9.30 malam di Dewan Syeikh Sya’rawi, Wisma Darul Ridzuan A, selepas Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil yang diadakan untuk Allahyarham Mohammad Hafizul Husna.

Pembentangan berakhir pada jam 10.50 malam.

Wednesday, April 7, 2010

Perjumpaan Ibu Jenazah Bersama Persatuan Dan Kedutaan


7 APRIL - Pada jam 9.40 pagi tadi, ibu Allahyarham Mohamad Hafizul Husna bin Mohamad Salehuddin bersama sanak saudaranya berkunjung ke Pejabat Kedutaan Malaysia, dan diiringi oleh Yang Dipertua KPIPM.

Tujuan kehadiran mereka di sana adalah bagi membincangkan tentang urusan mahkamah, pengajian dan sebagainya yang berkaitan dengan Allahyarham.

Ustaz Shahrizan bin Mohd Hazime, Timbalan Presiden PMRAM antara yang terlibat dalam perbincangan tersebut. Pertemuan kali pertama bersama dengan En Saiful, wakil Kedutaan dan pihak persatuan dan PMRAM membincangkan tentang urusan passport dan mahkamah bagi menyelesaikan kes ini.

Selepas itu, perjumpaan kali kedua diadakan bersama dengan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) bagi membincangkan urusan-urusan yang berkaitan dengan kuliah dan pengajian Allahyraham.

Masing-masing tidak ketinggalan mengucapkan takziah kepada beliau (ibu mangsa) di atas insiden yang terjadi

Mereka bertolak pulang pada jam 12.50 dan singgah di Hayyu Asyir sebentar sebelum bertolak pulang ke Hayyu Sabiek.

Ustazah Siti Salamah binti Hamzah memberitahu media pada petang tadi bahawa Ahli Jawatankuasa HEWI baru sahaja mengadakan kunjungan ziarah ibu jenazah pada jam 3 petang tadi.

Ibu Jenazah Menziarahi Kubur Allahyarham Hafizul Husna


6 APRIL - Selepas berlaku insiden kemalangan maut baru-baru ini, Yang Dipertua KPIPM telah menghubungi ahli keluarga mangsa. KPIPM dimaklumkan bahawa ibu jenazah, Nur Azizah binti Sulaiman akan berkunjung ke bumi Mesir bersama beberapa orang sanak saudara.

Pagi tadi, sepertimana yang dijangkakan, ibu dan sanak saudara jenazah tiba di bumi Mesir, dan sempat berbincang dengan pihak KPIPM untuk mengatur jadual perjalanan mereka di bumi Mesir.

Pada jam 1.39 petang, Yang Dipertua bersama ibu dan sanak saudara mangsa mula bertolak dari Hayyu Sabiek dengan menggunakan dua kenderaan.

Dalam masa yang sama, Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Amin bin Abd Rahman menjemput Ustaz Syed Aisam yang bertanggungjawab dalam menjaga kawasan perkuburan Melayu, bertolak ke sana.

Mereka tiba di kawasan perkuburan sepertimana yang telah dijadualkan.

Azizah binti Sulaiman, ibu mangsa menceritakan kepada beberapa orang yang berada di situ beberapa kisah berkaitan dengan anaknya.

"Allahyarham pernah memesan kek daripada saya, untuk dikirimkan ke Mesir. Tetapi hajatnya tidak kesampaian apabila kek tersebut tidak sempat untuk saya sediakan", katanya.

"Selain itu, insiden yang menimpa Allahyarham, hampir sama dengan apa yang terjadi pada bapanya dahulu. Juga meninggal dunia dalam kemalangan, dan bentuk pelanggaran pun hampir sama", katanya lagi.

Selain itu, beliau menceritakan bahawa tarikh kematian suaminya pada 1 April, manakalah kematian Allahyarham pada 4 April.

Ustaz Syed Aisam, selaku Yang Dipertua Perlis dan juga penjaga kawasan perkuburan Melayu menyifatkan bahawa kehadiran pengiring jenazah Allahyarham adalah paling ramai setakat ini. Bermula dari solat jenazah, sehinggalah ke tanah perkuburan.

Yang Dipertua, Ustaz Khairul Ashraf bin Mohd Khir berkata, Allahyarham adalah seorang yang baik, hafiz al Quran, rajin bertalaqqi, rajin mengajar, memberi komitmen dalam usrah dan persatuan, rajin membantu ibu dan bapa saudaranya yang berada di sini, hebat dalam pengajian dan study group, dan sebagainya.

"Insya Allah, KPIPM akan cuba mengetengahkan perkara ini ke pihak Kedutaan dan JPMK untuk membawa kes ini ke peringkat kerajaan Mesir" katanya.

Beliau berkata lagi, bahawa perkara ini telah dimaklumkan kepada Dato Syeikh Mohd Nor Masnur al Hafiz, Pengarah JAIPk, dan pihak JAIPk bersedia untuk memberi bantuan dan kemudahan yang diperlukan oleh persatuan dalam pengurusan jenazah.

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak persatuan atas pengurusan yang dilakukan dalam memberi kebajikan kepada ahli, dan keprihatinan dalam menjaga rakyat Perak di bumi Mesir.

Tuesday, April 6, 2010

Khatam Kitab at Tibyan Fi Adabi Hamlatil Quran



6 APRIL - Kitab at Tibyan Fi Adabi Hamlatil Quran karangan Imam Nawawi RA telah bermula pengajiannya pada sesi 2007/2008 yang telah diajar oleh Ustaz Mohd Azrul bin Ismail sebanyak 2 kali seminggu.

Alhamdulillah, kitab ini telah tamat diajar oleh beliau pada hari ini di Dewan Syeikh Sya'rawi, Wisma Darul Ridzuan A, pada jam 8.12 malam.

Kelas pengajian ini telah disudahi dengan bacaan doa oleh beliau.

Ustaz Muhammad Firdaus bin Aznan berkata bahawa beliau masih menunggu cadangan daripada Ustaz Mohd Azrul bin Ismail sendiri untuk memilih kitab yang mana untuk diajar.

Selain itu, beliau mengiklankan bahawa kelas pengajian bersama Habib Omar akan bertambah subjek, dalam keadaan waktunya dikekalkan pada Hari Isnin setiap minggu. Pengajian-pengajian baru oleh beliau telah pun diiklankan.

Pembaikpulihan Bilik Nombor 3 Hampir Siap



6 APRIL - Pada 27 Mac lalu berlaku satu insiden yang tidak diduga. Sebahagian besar kepingan cat dan simen di bahagian atap bilik depan rumah 3, Wisma Darul Ridzuan A, runtuh.

Alhamdulillah, insiden ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan, kerana kebetulan pada waktu tersebut, semua penghuni bilik tidak berada di dalam bilik tersebut.

Sejurus selepas itu, Yang Dipertua, Ustaz Khairul Asyraf segera memaklumkan perkara tersebut kepada pihak kontraktor Syarikat al Attal.

Pada keesokan harinya, wakil daripada syarikat terbabit datang untuk melihat tempat kejadian, dan mengadakan sedikit perbincangan dengan pihak persatuan yang dihadiri oleh Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Syamsul Arif bin Mat Daud dan Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil.

Pada 29 Mac, wakil daripada syarikat terbabit datang buat kali kedua untuk membuat perbincangan dengan pihak persatuan untuk menilai dan meneliti beberapa kawasan yang dijangka akan mengalami kerosakan yang sama.

Dalam masa yang sama, syarikat terbabit telah menghantar beberapa orang pekerja untuk memulakan gerak kerja membaik pulih keadaan.

Sehingga hari ini, kerja-kerja pembaik pulihan masih diteruskan dan telah selesai sebanyak 90 %.

Ustaz Muhammad Amin bin Abd Rahman, Timbalan Yang Dipertua memberitahu media bahawa insiden ini bukanlah kali pertama, bahkan sebelum ini pernah terjadi. Pada 25 Februari, Wisma Darul Ridzuan A mengalami kebocoran yang teruk di tingkat paling atas.

"Ia menyebabkan sebahagian maktabah dan pejabat dipenuhi dengan air akibat daripada kebocoran yang berlaku. Perkara ini juga telah diselesaikan oleh syarikat terbabit baru-baru ini", katanya.

Yang Dipertua, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir meminta kepada semua ahli KPIPM untuk melaporkan kepada Biro Perumahan atau pihak terbabit tentang kerosakan yang dialami.

Semua laporan-laporan ini akan diserahkan kepada Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMPk)

Pengumuman : Hari Pembuangan Undi


PENGUMUMAN
HARI PEMBUANGAN UNDI

Hari : Sabtu
Tarikh : 10 April 2010
Masa : 9 pagi - 5 petang
Tempat : Rumah Selangor

Sila bawa bersama :

Kad PMRAM
dan Passport

SEMAKAN DAFTAR PEMILIK KALI KE 2

Tarikh : 6 dan 7 April
Masa : 1 petang - 5 petang

Tempat :
Ikhwah Di Rumah Perak
Akhawat Di Rumah Penang

Disediakan oleh
Suruhanjaya Pilihanraya
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir
PMRAM 2010

Monday, April 5, 2010

Majlis Bacaan Yasin Dan Tahlil Mendapat Sambutan


5 APRIL - Dingin kehilangan Allahyarham Mohammad Hafizul Husna bin Mohamad Salehuddin masih lagi terasa. Sepertimana yang telah dirancang, Biro Dakwah dan Tarbiah telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil untuk disedekahkan kepada Allahyarham.

Pada jam 6.25 malam, selepas Solat Magrib sudah kedengaran selawat dan burdah yang dialunkan oleh Ketua Biro Dakwah dan Tarbiah, Ustaz Ibnu Abbas bin Azizuddin. Pada jam 6.44 malam, Majlis Bacaan Yasin telah dimulakan dengan diketuai oleh beliau sendiri, dan disambung pula dengan Tahlil.

Setelah azan isya dilaungkan, semua hadirin mendirikan Solat Isya berjemaah, dengan diimamkan oleh Ustaz Hairul Nizam bin Mat Husin.

Setelah selesai Solat Isya, semua hadirin menikmati jamuan. Majlis ini dihadiri lebih dari 100 orang dari pelbagai negeri dan cawangan.

Yang Dipertua, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang membantu, dan hadirin dalam menyedekahkan pahala untuk Allahyarham.

Pengumuman : Majlis Bacaan Yasin Dan Tahlil


PENGUMUMAN

Biro Dakwah dan Tarbiah akan mengadakan majlis bacaan Yasin dan Tahlil untuk disedekahkan kepada Allahyarham Mohamad Hafizul Husna bin Mohamad Salehuddi. Butiran majlis seperti berikut :

Tempat :
Dewan Syeikh Sya'rawi (Wisma A)

Tarikh :
5 April (hari ini)

Waktu :
Selepas Maghrib

"Gotong royong akan bermula selepas Asar. Semua dijemput hadir."

Disediakan oleh :
Ketua Biro Dakwah dan Tarbiah
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2009/2010

Pegebumian Jenazah Selesai Disempurnakan


5 APRIL - Semalam berlakunya kejadian kemalangan yang meragut nyawa seorang ahli KPIPM, yang bernama Mohamad Hafizul Husna bin Mohammad Salehuddin, mahasiswa tahun 3, Kuliah Bahasa, Universiti al Azhar, Kaherah.

Proses memandikan jenazah dan pengebumian terpaksa ditangguhkan hari ini kerana beberapa masalah teknikel di pihak Hospital dan Polis. Pada hari ini, urusan tersebut berjaya diselesaikan dan jenazah selamat di kebumikan.

Pada jam 8.30 pagi, Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir bersama keluarga jenazah, dan beberapa orang ahli KPIPM sudah tiba di perkarangan Hospital Zahra'.

Pada jam 9.30 pagi, bilangan ahli KPIPM yang menunggu sudah hampir mencapai 40 orang. Setelah beberapa urusan berjaya diselesaikan di pihak polis dan hospital, akhirnya pada jam 10.22 pagi, jenazah mula dimandikan oleh pihak hospital.

Segala urusan pemandian jenazah berjalan lancar dengan pantauan daripada Presiden PMRAM, Yang Dipertua KPIPM, ayah saudara mangsa, dan beberapa orang lagi, termasuk saksi utama, Ustaz Mohd Azuan bin Kamaruddin.

Setelah selesai proses tersebut, jenazah telah dibawa ke Hayyu Asyir untuk disembahyangkan dan dikebumikan di perkuburan orang Melayu yang terletak di sana.

Proses pengebumian selesai pada jam 12.57, dan Timbalam Presiden PMRAM, Ustaz Shahrizan bin Hazime mula mengepalai majlis bacaan tahlil, dan disusuli dengan doa yang dibacakan oleh Ustaz Mohd Azrul bin Ismail.

Pada jam 1.15, himpunan telah bersurai.

Kenyataan Rasmi YDP KPIPM


Kenyataan Rasmi Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir Berhubung Isu Kemalangan Maut

Berhubung kemalangan maut yang melibatkan salah seorang ahli Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir pada tarikh 4 April 2010. Mangsa bernama Muhammad Hafizul Husna bin Salehuddin, nombor keahlian KPIPM 1622, nombor kad pengenalan 870509-08-5529, nombor passport A 17657707, nombor keahlian PMRAM 18383

Kemalangan berlaku pada jam 11.10 tengahari, di Jalan Imarah Syurtah, Hayyu Zohor, melibatkan sebuah kereta berjenama Nubira, Daewoo yang merempuh laju motor berjenama Dayun yang dipandu perlahan oleh mangsa.

Beliau kemudiannya dibawa ke Hospital Zahra’ dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.20 tengahari.

Segala urusan telah diselesaikan oleh pihak persatuan dengan dibantu oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK), waris terdekat beliau, dan beberapa kenalan rapat.

Saya berharap agar semua ahli KPIPM khususnya supaya berhati-hati ketika menunggang motosikal dan berwaspada dalam menjaga keselamatan bersama. Saya juga berharap agar mana-mana pihak yang pernah memberi pinjaman kepada Allahyarham, dan belum dilangsaikan, supaya dapat memaklumkan kepada pihak persatuan secepat mungkin.

Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli KPIPM yang banyak membantu dalam menyelesaikan perkara ini, lebih-lebih lagi dalam urusan dengan masyarakat Arab dan pihak polis.

Khairul Asyraf bin Mohd Khir
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2009/2010

Sunday, April 4, 2010

Pengumuman : Solat Jenazah Dijangka Pada Jam 10 pagi


Makluman kepada semua ahli KPIPM

Esok akan diadakan Solat Jenazah

Allahyarham Muhammad Hafizul Husna bin Salehuddin

Bertempat di Dataran Hayyu Asyir,
dijangka jam 10 pagi.

SEBARANG PERUBAHAN AKAN
DIMAKLUM KEMUDIAN

Oleh :

Khairul Asyraf bin Mohd Khir
Yang Dipertua KPIPM
2009/2010

Solat Jenazah Dan Pengebumian Ditangguh Esok




4 APRIL - Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir memberitahu bahawa pengurusan untuk mengeluarkan jenazah daripada pihak Hospital Zahra mengalami masalah.

"Semua urusan jenazah dan pengebumian akan ditangguhkan esok" katanya.

Kemalangan yang berlaku pada 11.10 pagi tadi, berakhir dengan kematian Allahyarham Muhammad Hafizul Husna bin Salehuddin, mahasiswa Kuliah Bahasa Arab, tahun 3, Universiti al Azhar, Kaherah.

Sehingga jam 7 malam tadi, tasrih daripada pihak polis untuk mengeluarkan jenazah masih lagi belum dapat dikeluarkan, menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan esok.

Selepas maghrib tadi, di Wisma Darul Ridzuan telah diadakan Majlis Bacaan Yassin dengan dikendalikan oleh Ustaz Ibnu Abbas bin Azizuddin, Ketua Biro Dakwah dan Tarbiah.

Pada jam 9 malam, beberapa orang saksi telah dipanggil oleh Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir untuk pihak persatuan membuat laporan, untuk diserahkan ke Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir dan Jabatan Pendaftaran Malaysia.

"Maklumat untuk solat jenazah pada esok hari akan dimaklumkan kemudian", katanya.

Kemalangan Maut Yang Melibatkan Ahli KPIPM


4 APRIL - Seorang ahli KPIPM mengalami kemalangan pada jam 11.10 pagi tadi, di Hayyu Zohor, jalan Imarah Syurtah. Mangsa, Allahyarham Muhammad Hafizul Husna bin Salehuddin, meninggal ketika sampai di Hospital.

Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 12.20 tengahari tadi oleh pihak hospital.

Turut berada di hospital, Ustaz Abdul Muizz Mohamad, Presiden PMRAM dan Pegawai Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, En. Khairi Jamaluddin

Sehingga kini, pada jam 3.37 petang, jenazah masih lagi dalam hospital, dan pihak berwajib sedang berurusan di Balai Polis untuk membuat laporan.

Ustaz Muhammad Amin bin Abd Rahman, Timbalan Yang Dipertua, memberitahu media bahawa jenazah akan dikebumikan di Mesir, dan solat jenazah akan dibuat setelah selesai urusan mandi dan kafan.

Saturday, April 3, 2010

Kelas Tafaqquh Di Wisma Darul Ridzuan


31 MAC - Hari ini, Kelas Tafaqquh masih lagi berjalan seperti biasa. Antara kelas-kelas tersebut ialah, Pengajian Kitab Taqriratus Sadidah, yang diajar oleh Ustaz Shahrian bin Hazime, at Tibyan Fi Adabi Hamlatil Quran yang diajar oleh Ustaz Mohd Azrul bin Ismail, dan beberapa buah kitab yang diajar oleh Habib Omar.

Kelas pada 31 Mac, ialah Pengajian Taqriratus Sadidah, yang telah bermula selepas Maghrib, sehingga menjangkau sedikit daripada waktu Isya.

Ustaz Muhammad Firdaus bin Aznan berkata bahawa beliau belum merancang untuk menambah pengajian tafaqquh di sebelah malam. Memadai dengan 3 kelas ini. Cuma, kelas yang berbentuk daurah sudah dirancang dan akan dilaksanakan pada cuti Fasa Kedua nanti.

Biro Pelajaran dan Ilmiah telah mengadakan Daurah 2 kitab sebelum ini, iaitu pada cuti Fasa Pertama. Kitab-kitab tersebut ialah, al Wajiz Fi Qawa'id al Fiqhiyyah karangan Dr Abdul Karim Zaidan, yang diajar oleh Ustaz Helmi Aris, dan kitab Ta'limul Muta'allim yang diajar oleh Ustaz Mohd Nazrul Nasir.

"Untuk musim peperiksaan, Biro Pelajaran akan lebih memberikan penumpuan kepada Kelas Tutorial, dan Kelas Tafaqquh akan ditangguhkan satu hari nanti, apabila dimaklumkan oleh PMRAM", katanya.

"Alhamdulillah, setakat ini kelas tutorial sangat menggalakkan samada di peringkat KPIPM, mahupun di peringkat PMRAM sendiri", katanya lagi.

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...