Friday, April 29, 2011

Muhasabah Separuh Penggal : Ahli Prihatin Tanda Ukhuwah



KAHERAH,28 April – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) pada tahun ini telah mengadakan Muhasabah Separuh Penggal bagi sesi 2010/2011.

Program yang berlangsung di Dewan Syeikh Sya’rawi itu dilihat mendapat sambutan ahli yang menggalakkan. Ini dibuktikan dengan kehadiran ahli muhafazah luar Kaherah walaupun mempunyai komitmen masing-masing.

Pimpinan PMRAM, saudara Ahmad Taufiq Dahlan dan bakal Badan Pengurus PMRAM, saudara Zulhafeez Ahmad Zahidi juga turut sudi meluangkan masa bagi menghadiri program tersebut.

Program yang bermula pada jam 7.00 malam tersebut dimulai dengan bacaan Yaasin secara berjemaah dan disambung dengan pembukaan majlis Muhasabah Separuh Penggal oleh pengerusi majlis.

“Kami mengharapkan agar semua ahli dapat memberikan pendapat dan cadangan kepada pimpinan di dalam memastikan segala gerak kerja pimpinan lebih baik di masa hadapan”. Harap saudara Ibnu Abbas Azizuddin selaku pengendali slot muhasabah.

Malam tersebut melihakan ramai ahli yang memberikan pandangan dan cadangan kepada KPIPM. Ini membuktikan keprihatinan ahli-ahli kepada perjalanan KPIPM di dalam menjalankan gerak kerja yang didasari al-Quran al-Sunnah.

Majlis diakhiri dengan tayangan video Dairi KPIPM, Baiti Jannati dan pelancaran Unit Maktabah yang dibawah pantauan Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM. Seterusnya diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Baiti Jannati.


Wednesday, April 27, 2011

Mahasiswa Mesir Lemah Bahasa Arab : Tuduhan Semata-mata

Baru-baru ini, kita telah dihebohkan dengan satu isu di Malaysia yang mana tuduhan tentang penguasaan bahasa Arab dikalangan mahasiswa/wi di Mesir lemah. Ekoran daripada isu tersebut, Datuk Khalid Nordin, Menteri Kementerian Pengajian Tinggi telah mengambil tindakan susulan untuk melaksanakan peperiksaan kelayakan (Imtihan Qabul) di Malaysia.

Dengan rasa penuh tanggungjawab, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) menafikan segala tuduhan yang dilemparkan oleh beberapa pihak di Malaysia berikutan isu tersebut.

Pihak KPIPM sendiri telah mengambil beberapa inisiatif untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Arab dikalangan mahasiswa/wi. Diantaranya :

1. Menjemput tenaga pengajar kelas tafaqquh dari kalangan masyaikh Arab.

2. Menganjurkan program penterjemahan buku-buku bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu.

3. Mengetengahkan beberapa mahasiswa/wi bagi mendiskusikan kitab-kitab Arab.

4. Menjadikan hari Jumaat sebagai hari berbahasa Arab.

5. Mengadakan bengkel cara-cara menjawab soalan kepada mahasiswa baru.

6. Bekerjasama dengan markaz-markaz bahasa di Kaherah dalam melaksanakan kelas pengukuhan bahasa Arab.

Dari sudut akademik dan pengkuliahan pula, pihak kami telah memperhebatkan kelas tutorial bagi mahasiswa/wi baru dan belajar secara berkumpulan bagi mahasiswa/wi lama untuk mempercepatkan proses pemahaman.

Kita semua sedia maklum, bahawa Universiti al-Azhar juga telah melahirkan ribuan ilmuan yang hebat. Secara tidak langsung membidas segala tuduhan yang mengatakan penguasaan bahasa Arab oleh mahasiswa/wi Mesir lemah.

Justeru itu,KPIPM tidak bersetuju sama sekali di atas tuduhan yang dilemparkan dan kami juga amat berharap agar kedatangan generasi baru di bumi barakah ini dapat diteruskan. Ini adalah bagi memastikan pembinaan generasi ulama’ sentiasa berterusan.

Monday, April 25, 2011

Muhasabah Separuh Penggal KPIPM

TENTATIF PROGRAM


7.00Malam : Ahli KPIPM mengambil tempat.

: Ucapan aluan pengerusi majlis.

: Ucapan Ketua Hal Ehwal Wanita Islam KPIPM

: Ucapan Yang Dipertua KPIPM

: Pembentangan laporan aktiviti setiap jabatan dan biro KPIPM

: Muhasabah dan cadangan

: Ucapan penggulungan oleh Pemangku Pengerusi Badan Penasihat KPIPM

: Tayangan Video

: Pelancaran Unit Maktabah

: Bacaan doa

: Jamuan

: Bersurai

Sunday, April 24, 2011

Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing

Yang DiPertua KPIPM menyampaikan sumbangan saudara Noorahmad Hakim

KAHERAH,25 April – KPIPM mengucapkan takziah kepada saudara Noorahmad Hakim yang merupakan Ketua Badan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan PMRAM Cawangan Terengganu berikutan masalah kesihatan yang mengganggu beliau semenjak beberapa hari yang lalu.

Yang DiPertua KPIPM,saudara Khairul Ashraf Mohd Khir bersama Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadhah KPIPM, Mohamad Amirul Fahmi Zulkefli petang tadi sempat meluangkan masa bagi menziarahi beliau di rumah Terengganu,Hayyu Asyir.

Mereka juga sempat beramah mesra dan bersuai kenal bersama walaupun hanya mengambil waktu yang singkat. Turut bersamanya petang tadi, ayah kesayangan beliau yang sangat prihatin akan kesihatan beliau.

KPIPM juga berkesempatan menghulurkan bantuan kepada beliau sedikit sebanyak bagi mengurangkan beban beliau dalam menanggung kos rawatan yang agak tinggi baru-baru ini.

Kami mendoakan agar dipercepatkan sembuh dan dapat menjalankan kehidupan seperti sediakala.

Saturday, April 23, 2011

Ehya al-Jum'ah Minggu Ini

KAHERAH,22 april - Biro Dakwah dan Tarbiah sekali lagi telah mengadakan Qiammullail Perdana yang telah berlangsung dengan jayanya di Wisma Darul Ridzuan A. Bermula jam 3.15 pagi dengan alunan zikir seterusnya solat tahajjud, taubat dan hajat.

Sambutan Qiammullail kali ini cukup memberangsangkan dengan kehadiran penghuni-penguni Wisma B dan juga rumah sewa sekitar Kaherah. Majlis yang bermula semalam lagi dengan bacaan Yaasin seterusnya tazkirah yang disampaikan oleh saudara Mohd Ainuddin Mohd Ishak. Beliau menekankan mengenai aspek-aspek penting dalam menuntut ilmu di sini.

Beliau juga mengingatkan kepada hadirin yang hadir untuk tidak melepaskan peluang yang ada untuk mempelajari segala ilmu di al-Azhar dalam mempersiapkan diri bagi berdepan masyarakat kelak.

Suasana bertambah meriah lagi dengan penyampaian hadiah bagi para-para pemenang Sukan Mini yang berlangsung baru-baru ini.

Majlis terus bersambung dengan solat Subuh berjemaah diikuti Tazkirah Subuh yang disampaikan oleh saudari Siti Nur Balqis bte Baharuddin. Tazkirah beliau telah menyingkap kembali kepada sirah para sahabat-sahabat Nabi yang sentiasa tegar dalam memperjuangkan agama suci yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.

Beliau juga mengaitkan konteks mahasiswa dan mahasiswi sekarang agar terus memperkasakan ilmu di dada disamping tidak takut dalam memperjuangkan yang hak.

Majlis yang dipengerusikan oleh saudari Siti Rukhaiyah bte Salim mengucapkan ribuan terima kasih kepada pentazkirah sebelum mengakhiri majlis Ehya al-Jum’ah minggu ini.

Wednesday, April 20, 2011

Ukhuwah Bertaut Di Mansurah

AJK HEWI bermesra di salah satu rumah yang diziarahi

MANSURAH, 17 April - Seramai tiga orang Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah menziarahi ahli di muhafazah Mansurah.

Kunjungan mahabbah yang diwakili oleh saudari Nur Syuhada Bt Hashifuddin, saudari Siti Aisah Bt Nasaruddindan saudari Nur Aimi Jalwati Bt Mohd Rani ini disambut mesra oleh ahli-ahli yang berada di sana.

Tujuan ziarah ini adalah untuk mengeratkan lagi silaturrahim di antara pimpinan dan ahli yang berada di muhafazah. Selain itu, beberapa maklumat telah disampaikan berhubung dengan pengisian borang dermasiswa online dan tidak dilupakan juga peringatan tentang tanggungjawab pembayaran yuran Ithar KPIPM.

KPIPM mengucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswi (AMP) pengajian Islam dan perubatan iaitu Saudari Khaniah Bt Zulbakri dan Dr. Sarah Nabila Bt Mansor kerana sudi meluangkan masa mengiringi wakil HEWI KPIPM ke rumah-rumah ahli. Semoga ukhuwah yang terbina ini berkekalan sehingga akhir hayat kita bersama.

Friday, April 15, 2011

Diskusi Kitab : Nilai Waktu

KAHERAH, 14 April 2011 - Menyambung kesinambungan dalam pembinaan thaqafah ahli, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak (KPIPM) sekali lagi telah menganjurkan satu program diskusi kitab bertajuk قيمة الوقت, karangan al-Ustaz `Amru Khalid.

Diskusi kitab anjuran Biro Pelajaran Ilmiah KPIPM ini menampilkan al-Fadhil Ustaz Mohd Ridzuan B. Nazri, Yang DiPertua Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang, sebagai pendiskusi jemputan.

Bermula pukul 7.30 malam, pendiskusi menyentuh terlebih dahulu berkenaan muhasabah diri sebagai seorang hamba dan da`ie dalam memahami erti sebenar nikmat waktu.

Ustaz Mohd Ridzuan Nazri ketika sedang mendiskusi

Menurut beliau , حياة الوقت waktu itu hidup kerana amalan manusia itu sendiri dalam menzahirkan penghambaannya kepada Rabbul `Alamin. Maka bilamana manusia terleka dari tanggungjawabnya terhadap nikmat waktu,berlakulah kerosakan di muka bumi yang sedang menanti tempoh tamatnya iaitu hari Kiamat.

Menyedarkan hadirin tentang hakikat nilai waktu itu berdasarkan tulisan penulis, pendiskusi turut menekankan kepentingan 3 P, pengetahuan, pemikiran dan persaudaraan, dalam kehidupan mahasiswa kini.

Program tersebut berakhir pada pukul 9 malam diikuti dengan penyampaian cenderamata penghargaan dari pihak persatuan kepada al-Fadhil Ustaz Ridzuan. Semoga program ini membangkitkankan kembali kesedaran kita terhadap penggunaan dan penjanaan waktu itu sendiri.

Wednesday, April 13, 2011

Facebook KPIPM : Menyampaikan Maklumat Dengan Lebih Efektif

KAHERAH, 13 April – Baru-baru ini KPIPM telah membuka media baru di Facebook, PMRAM cawangan Perak.

Ini adalah berikutan penyampaian maklumat kepada semua ahli KPIPM di seluruh cawangan dilihat perlu dipertingkatkan

“Sebelum ini kita menggunakan blog rasmi KPIPM,yahoo messenger dan yahoo group untuk menyebarkan sebarang maklumat”. Ujar saudara Mohammad Omar bin Adam, Timbalan yang Dipertua ketika mengulas tentang media baru itu.

“Namun KPIPM melihat dengan penggunaan media baru ini dapat meningkatkan penerimaan maklumat dengan lebih efektif kepada seluruh ahli”. Tambah beliau lagi.

“KPIPM telah membuka satu facebook rasmi iaitu PMRAM cawangan Perak,satu blog rasmi iaitu kpipm64.blogspot.com dan satu emel rasmi iaitu kpipm64@yahoo.com . KPIPM tidak bertanggungjawap ke atas kewujudan laman sosial yang lain”. Tegas beliau ketika ditanya mengenai laman sosial yang menyerupai KPIPM.

Usaha ini adalah di dalam memastikan semua ahli KPIPM sentiasa cakna dengan apa sedang berlaku walaupun berada di luar kota Kaherah.

Bagi sesiapa yang mempunyai sebarang cadangan dan masalah,boleh berhubung dengan KPIPM melalui emel rasmi kpipm64@yahoo.com dan melalui yahoo messenger dengan id kpipm64. Kunjungi dan sertailah facebook KPIPM di PMRAM cawangan Perak.

Feqh al-Khamsah : Ilmu Wajib Seorang Da`ie

KAHERAH,12 April 2011 – Pembentangan kertas kerja Feqh al-Khamsah anjuran Biro Pelajaran & Ilmiah, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak (KPIPM) akhirnya selesai.

Pembentangan kertas kerja tersebut telah berlangsung selama tiga hari bermula pada hari Ahad,10 April 2011 dan tamat malam tadi. Pembentangan kali ini membuktikan kebersamaan di antara BKAN-BKAN lain di dalam memahami Fiqh Khamsah ini. Ini boleh dilihat dengan kehadiran bukan sahaja dari kalangan anak-anak Perak bahkan turut bersama sahabat-sahabat dari BKAN yang lain seperti BKAN Selangor, Melaka dan lain-lain.

Pembentangan dimulakan dengan kertas kerja Feqh an-Nusus yang dibentangkan oleh al-Fadhil Ustaz Abdul Halim bin Ahmad, tahun 1 Master Feqh al-Muqaran Universiti al-Azhar.

Malam kedua pula menampilkan al-Fadhil Ustaz Nuruddin al-Zanki, tahun 3 Usuluddin Tafsir Universiti al-Azhar, sebagai pembentang kertas kerja Feqh al-Aulawiyyat & Feqh al-Muazzanat. Beliau turut menekankan keutamaan mahasiswa kini yang perlu rajin mencari dan mengkaji tentang satu-satu hal daripada sekadar mendengar dan bertaqlid buta.

Pada malam ketiga pula merupakan malam terakhir di mana pembentangan kertas kerja Feqh al-Waqi’ & Feqh at-Tagyir telah disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Fairuz bin Shuib, tahun 4 Syariah Islamiah Universiti al-Azhar. Pembentangan kali ini lebih menjurus kepada sesi soal jawab bersama hadirin.

Pihak persatuan mengharapkan agar pembentangan kertas kerja yang telah disusun memberikan manfaat dalam pembinaan thaqafah dan jati diri seorang da’ie.

KPIPM Ziarah Ahli Perak Di Tanta

TANTA,11 April – Satu ziarah anak-anak Perak telah dibuat oleh KPIPM ke cawangan Tanta baru-baru ini. KPIPM yang diwakili oleh saudara Mohammad Omar bin Adam, saudara Ibnu Abbas bin Azizuddin dan saudara Mohamad Amirul Fahmi bin Zulkefli.

Ziarah ini telah diketuai oleh saudara Mohammad Omar bin Adam yang juga merupakan mentor cawangan Tanta bagi sesi tahun ini.

Disamping ziarah dari rumah ke rumah ahli,terdapat beberapa perkara dan maklumat disampaikan kepada semua ahli. Antaranya adalah berkenaan isu keselamatan di Mesir berikutan revolusi yang berlaku baru-baru ini.

“KPIPM menasihatkan agar semua ahli tidak terlibat dalam mana-mana rusuhan walaupun rusuhan kecil”. Nasihat beliau ketika bersama ahli.

Maklumat terbaru juga turut disampaikan kepada ahli antaranya berkenaan Dermasiswa Online yang baru dibuka pada tahun ini.

“KPIPM berharap agar semua ahli dapat bersama-sama membantu di dalam menyebarkan maklumat berkaitan dengan Dermasiswa Online ini”. Harapan saudara Ibnu Abbas yang bertanggungjawap di dalam perihal zakat di sini.

KPIPM juga sempat menziarahi saudara Muhammad Amirullah bin Abdul Razak yang mengidap penyakit kulit baru-baru ini. KPIPM juga mengambil peluang untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada beliau bagi menanggung kos rawatannya.

KPIPM mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang bersama-sama meluangkan masa untuk mengeratkan ikatan silaturrahim. Semoga ikatan ini berkekalan sehingga ke akhirat kelak.

Saturday, April 9, 2011

Wakil KPIPM Ziarah Ke Damanhur

DAMANHUR, 7 April - Saudara Muhammad Hanif bin Abdullah dan saudara Mohamad Amirul Fahmi bin Zulkefli yang mewakili AJKT KPIPM telah mengadakan ziarah ke cawangan Damanhur baru-baru ini.

Ziarah ini diadakan bukan sahaja bertujuan untuk merapatkan silaturrahim di antara ahli-ahli KPIPM malah sekaligus bagi memastikan ahli-ahli di cawangan di dalam keadaan baik.

Disamping itu juga,peluang ini digunakan bagi menziarahi saudara Hafiz bin Othman yang telah kehilangan ibu kesayangannya pada hari isnin yang lepas.

Pihak persatuan mengucapkan takziah dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada beliau. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh saudara Muhammad Hanif selaku Mentor Damanhur.

Sebelum ziarah tersebut berakhir, masa turut diluangkan untuk membaca Yaasin beramai-ramai di Markaz DPM Damanhur. Setelah itu,ketika jamuan makan turut dimanfaatkan untuk beramah mesra bersama tuan rumah dan tetamu yang hadir.

Friday, April 8, 2011

Peringatan Bersama Untuk Langkah Keselamatan

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) meminta semua mahasiswa/wi Islam yang berada di Mesir mengambil langkah berjaga-jaga dengan lebih serius terhadap perkara-perkara berikut :

KESELAMATAN

1- Tidak menyertai sebarang demontrasi.

2- Tidak menyerahkan butiran peribadi kepada NGO-NGO Arab yang meminta keahlian. Rujuk kepada YDP masing-masing.

3- Tidak mendekati kawasan-kawasan yang terdapat demontrasi seperti Medan Tahrir.

4- Patuhi Pekeliling Keselamatan yang telah dikeluarkan oleh pihak PMRAM.

KECURIAN

1- Pastikan rumah dalam keadaan yang selamat dan kunci sebelum keluar.

2- Tidak digalakkan jalan berseorangan terutama bagi mahasiswi.

3- Tidak bermudah-mudah untuk menyapa persoalan daripada warganegara asing terutama yang menyamar sebagai 'mabahis'.

4- Berjaga-jaga ketika membuat kunci pendua. Pastikan hanya set kunci yang diminta sahaja yang dibuat.


pmram.org

Program Ehya al-Jum'ah Minggu Ini

KAHERAH,7 April - Majlis bacaan Yaasin diteruskan seperti biasa pada minggu ini. Majlis yang dimulakan dengan bacaan Yaasin dan diikuti dengan bacaan tahlil buat arwah-arwah yang telah pergi meninggalkan kita.

Pentazkirah pada malam ini pula ialah saudara Mohd Faizal bin Jaafar. Dalam tazkirahnya telah menyebut betapa bahayanya rokok di dalam masyarakat. Saranan beliau juga agar ahli-ahli KPIPM dapat mematuhi peraturan yang telah dikuatkuasakan oleh pihak persatuan untuk tidak merokok di syaqah atau di kawasan Wisma.

“Berhenti merokok adalah sebaik-baik tuntutan”. Ujar beliau lagi. Ketua Biro Dakwah & Tarbiah KPIPM,saudara Fareez Izhar bin Zainuddin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli yang sentiasa menyokong dan mendokong segala aktiviti persatuan selama ini.

Saudara Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil selaku pemangku Pengerusi Badan Penasihat menyeru warga KPIPM agar mengambil cakna mengenai sejarah kpipm.

“Siapa lagi yang akan menjaga keluarga ini kalau bukan kita (ahli KPIPM)”. Katanya dalam ucapan penutup malam ini secara langsung menutup majlis pada program Ehya al-Jum’ah minggu ini.

Kenyataan Rasmi Berhubung Sistem Dermasiswa Online - SU Agung

Adalah dengan ini pihak Jabatan Setiausaha Agung Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah menerima makluman berkenaan Sistem Dermasiswa Online yang telah dibuka oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) .

Sehubungan itu, diharapkan kepada seluruh anak perak di Mesir agar mengambil perhatian terhadap perkara ini. Pemohon boleh mengisi permohonan berkenaan seperti maklumat berikut.

Cara untuk mendaftar Sistem Dermasiswa Online :

1.Pergi ke alamat berikut http://www.maiamp.gov.my/dermasiswa/
2.Anda perlu memenuhi kesemua syarat2 yang ada, dengan cara klik pada box2 tersebut.
3.Bila kesemua syarat dipenuhi, ada butang daftar di bahagian bawah. klik pada daftar tersebut.
4.Bila sudah daftar, baru anda boleh login masuk untuk kemaskini profil anda.

Sebarang pertanyaan berhubung dengan Sistem Dermasiswa Online ini boleh merujuk kepada Saudara Ibnu Abbas Bin Azizuddin,Setiausaha Agung KPIPM di talian 011-0313027 dan Saudari Nursyuhada Binti Hashifuddin, Setiausaha HEWI KPIPM di talian 011-5997922.

Wednesday, April 6, 2011

Kenyataan Rasmi Yang DiPertua

Penghargaan Kepada Pihak-pihak Yang Memberikan Bantuan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T diatas segala nikmat yang dikurniakan kepada sekalian makhluk. Seterusnya,dapat meneruskan kehidupan dalam dunia yang penuh dengan cabaran dan rintangan ini.

Terlebih dahulu saya selaku Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) ingin mengucapkan selamat kembali ke Bumi Mesir yang penuh barakah kepada seluruh anak-anak Perak Mesir. Semoga kembalinya kita ke Mesir membawa semangat yang membara dalam mencari mutiara ilmu yang meluas di bumi yang bertuah ini.

Pada tanggal 25 januari 2011 mencatatkan satu nostalgia yang perlu diingati oleh rakyat Malaysia di Mesir. Peristiwa rusuhan dan tunjuk perasaan besar-besaran yang melibatkan warga tempatan Mesir yang berakhir dengan perletakan jawatan Hosni Mubarak, Presiden Mesir. Sayugianya, sebagai mahasiswa yang mempunyai sensitiviti perlu mengambil iktibar terhadap apa yang telah berlaku.

Seperti sedia maklum, “OPS PIRAMID” yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan Malaysia dibawah Dato' Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak telah selesai dengan jayanya. Seterusnya, “OPS PENGHANTARAN PULANG PELAJAR KE MESIR” dijayakan melalui kerajaan negeri masing-masing.

Sehubungan itu, saya bagi pihak Keluarga Pelajar- pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) mewakili suara anak-anak Perak di Mesir merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas bantuan yang diberikan. Khususnya pihak kerajaan Negeri Perak di bawah pemerintahan Dato’ seri Dr Zambry Bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak dengan duit tambang (tiket kapal terbang) yang diberikan sebanyak RM2000.00. Selain itu, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan wang saku yang diberikan sebanyak RM500.00. Tidak dilupakan kepada pihak Yayasan Perak yang telah dilantik oleh kerajaan Negeri Perak sebagai sekreteriat rasmi bagi melaksanakan misi penghantaran pelajar ke Mesir di bawah kendalian Tuan Haji Jamil Bin Mat Kasa, Pengurus Besar Yayasan Perak. Tidak ketinggalan juga, parti-parti politik, NGO-NGO dan pihak lain yang banyak membantu dari sudut kewangan, motivasi diri dan sebagainya.

Oleh yang demikian, pihak KPIPM mengharapkan agar segala bantuan ini dapat dimanfaatkan oleh seluruh anak-anak perak di Mesir demi mencapai kejayaan yang cemerlang. Seterusnya, sebagai agen perubah dalam membina masyarakat kelak.

Harapan saya, semoga hubungan pihak KPIPM bersama kerajaan Negeri Perak, MAIPk dan Yayasan Perak terus utuh dalam memberikan kerjasama menjaga kebajikan, keselamatan dan akademik anak-anak perak di mesir.

Wassalam,

Satu Fikrah Satu Amal

Khairul Ashraf bin Mohd Khir Al-Hafiz
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2010/2011

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...