Sunday, September 27, 2020

PENA AZHARI | DAULAH KECIL

 PENA AZHARI | DAULAH KECIL 
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020


ان الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعالنا, من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له , وأشهد أن لا اله الا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله –صلى الله عليه وعلى آله وأصحابه وسلم تسليما كثيرا. اللهم ثبتنا, واجعلنا هاديا مهديا.

Firman Allah SWT :

وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ١٠٥

 Maksudnya :”Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

(Surah at-Taubah: ayat 105)

       Sebuah ungkapan yang sangat signifikan dengan pemuda dan dai’ sebagai tunas baru Islam tidak sempurna jika tidak dihiasi dengan ilmu, amal dan sebar. Kini, kita berada dalam lingkungan sebuah masyarakat di bawah satu payung yang sudah lama menaungi anak-anak Melayu di bumi Mesir iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Namun setelah PMRAM dibekukan bukanlah suatu alasan untuk tidak meneruskan usaha dan jerih payah mereka terdahulu dalam menjaga kesatuan ini. Medan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir(KPIPM) merupakan sebuah daulah kecil khusus untuk anak-anak Perak di bumi Mesir demi menjaga kelangsungan survival PMRAM.

      Acapkali pasti terlintas dalam fikiran kita, adakah nilai dan kepentingan Islam yang dijaga dan diperjuangkan oleh PMRAM suatu ketika dahulu seiring dengan perjuangan Rasulullah dan para sahabat suatu ketika dahulu juga? Pasti menjadi persoalan di minda mahasiswa dan mahasiswi kini, bagaimanakah Rasulullah SAW memposisikan para penolong agama lebih dikenali dengan as-Sabiqun al-Awwalun dalam membangunkan para intelektual dari kalangan umat Islam pada ketika itu? Adakah mereka terdiri dari golongan buta huruf, mundur, miskin, pelarian dan seangkatan dengannya seperti yang digembar-gemburkan oleh para pengkritik dan penentang agama Islam?

    Mari sama-sama kita renungi kebijaksaan Rasulullah SAW dalam memposisikan para sahabat pada ketika itu untuk menjaga umat Islam dan kepentingannya demi kemaslahatan ummah.

     Para Muhajirin dan Ansar pada ketika itu telah dibahagikan kepada 8 golongan. Mereka diklasifikasikan mengikut kemampuan, kebijaksanaan, kemahiran, ketokohan dan keteladanan dalam berperanan penting mengikut posisi yang telah disusun oleh Rasulullah SAW. Antaranya ialah:

  1. Kebijaksanaan para pemimpin
  2. Ilmu para ulama’
  3. Kewibawaan para amilin
  4. Darah para syuhada (Para prajurit)
  5. Doa para solihin (Ahli Suffah)
  6. Kehebatan para da’I (Para pendakwah)
  7. Harta para aghniya’ (Orang kaya yang dermawan)
  8. Rahim wanita solehah

        Antara para sahabat yang dilatih oleh Rasulullah SAW untuk golongan yang pertama ialah empat Khulafa ar-Rasyidin. Jika kita menyelak lembaran-lembaran periwayatan hadis, jarang kita akan dengari hadis yang diriwayatkan oleh mereka.

         Golongan kedua, mereka ini merupakan golongan yang berpotensi dengan ilmu dan sesuai dengan karakter sebagai seorang ulama, sebagai contoh Abdullah bin Umar. Suatu ketika saat berlakunya peperangan dan beliau menginjak umur 16 tahun, beliau meminta izin Rasulullah untuk menyertai peperangan namun tidak diizinkan. Setelah dipinta oleh ayahandanya Umar al-Khattab maka Rasulullah mengizinkan tetapi berada sebaris dengan posisi paling belakang bersama-sama para wanita yang merawat.

            Antara sahabat nabi bagi golongan ketiga ialah Hassan bin Thabit. Beliau berperanan untuk mengajarkan anak-anak orang Islam untuk membaca dan menulis. Selain itu golongan ini berperanan penting dalam mewujudkan kesenian Islam, pendidikan Islam dan bidang-bidang fardu kifayah dalam Islam. Sahabat gagah perkasa seperti Usamah bin Zaid, Khalid bin al-Walid dan lain-lain berada dalam golongan keempat. Mereka sangat berperanan penting dalam mempertahankan Islam di medan peperangan.

         Golongan kelima kebanyakan mereka ini terdiri dari kalangan ahli Suffah. Selain itu, kehebatan golongan keenam juga tidak disangkal kerana mereka merupakan pendakwah yang meredah daratan dan lautan untuk menyebarkan agama Islam. Maka tidak hairanlah jika jasad mereka disemadikan di China, India dan sebagainya.

     Seterusnya golongan ketujuh merupakan sahabat kaya dan pemurah seperti Abdul Rahman bin Auf merupakan antara millionaire yang banyak berkorban dalam perjuangan agama Islam. Manakala golongan terakhir ialah wanita solehah yang menjaga keturunan dan kemuliannya sehingga terlahirlah generasi hebat dari kalangan para sahabat,tabiin, tabi tabiin dan seterusnya. Tidak dinafikan kehebatan para sahabat kerana ramai yang memegang dua hingga tiga peranan dalam menjaga kemurnian Islam.

          Sejarah kebangkitan dan kemenangan Islam sehingga berjaya menawan 2/3 dunia suatu ketika dahulu membuktikan Islam megah di persada dunia kerana 8 golongan ini berjaya memainkan peranan penting natijah daripada kebijaksanaan Rasulullah SAW. Kerajaan Rom dan Parsi pada ketika itu berdiri gah mendabik dada dengan kekuatan, kekuasaan, kezaliman serta kemegahan ketamadunan mereka. Namun, benang kebatilan mereka berjaya diruntuhkan oleh kewibawaan dan kecekalan tentera Islam pada ketika itu. Disebalik kemenangan itu jangan pernah kita terleka kerana pada tahun 132 hijrah sejarah mencatatkan kejatuhan kerajaan Islam pada ketika itu. Faktor kelemahan dan perpecahan yang dihadapi ialah pemimpin yang tidak bijaksana, ulama kaki pengampu, amilin yang pemalas, syuhada yang pengecut, dai’ yang tidak hebat, para solihin yang terpisah dari bukit-bukit, orang kaya yang bakhil dan bersikap nafsi-nafsi dan para wanita yang rosak.

         Kemenangan mereka bukanlah untuk dibangga-banggakan sahaja, namun perlu usaha dan istiqamah dalam meneruskan perjuangan sehingga Islam kembali menyinari dunia dengan keadilan dan syariatnya. Sebuah pepatah arab berbunyi (كلت يوم أكل الثور الأبيض) yang bermaksud ”Sejak aku izinkan engkau memangsa lembu putih, maka sebenarnya semenjak itu pula aku mengizinkan diriku dimangsai…”. Peribahasa arab ini menekankan mengenai pentingnya persatuan dan kesatuan.  Apabila sesama saudara membiarkan saudaranya “diterkam” oleh musuh, maka tunggulah giliran, suatu hari terkaman itu juga menimpa dirinya juga.

     Perpecahan merupakan sifat manusia maka sewajarnya pembinaan aspek kesatuan ini harus dijaga dan dipelihara. Asas sebuah kesatuan dibina di atas dasar akidah dan keimanan kerana ia merupakan benteng utama umat Islam dalam membela dan menjaga saudaranya yang lain. Dalam daulah kecil inilah kita diajar mengenal dan mempelajari erti pengobanan, Ithar, sabar, saling melindungi dan sebagainya. Hayatilah firman Allah SWT :

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٠٣

Bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”.

Siiru ala barakatillah

Ustazah Mashitah binti Mohd Yusoff
(Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2019/2020)

 
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN , MELESTARIKAN KESATUAN”

Friday, September 25, 2020

TAZKIRAH JUMAAT | INFAQ, PENGORBANAN HAKIKI DALAM MEDAN DAKWAH

TAZKIRAH JUMAAT | INFAQ, PENGORBANAN HAKIKI DALAM MEDAN DAKWAH
Jabatan Fasilitator, Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2019/2020
 



Harta yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia hanyalah bersifat sementara untuk memenuhi keperluan harian serta rutin kehidupan selaku hamba Allah SWT. Adapun kehendak perlu dikawal dan diatasi dengan baik kerana ia sudah semestinya mempunyai tentangan hebat daripada musuh tegar dari diri seseorang manusia iaitu nafsu.
 
Namun, bagi pendakwah yang menjadikan hartanya sebagai 'bayaran' untuk berjual beli dan mendapat redha Allah SWT, sudah semestinya diinfaqkan kepada medan dakwah dan perjuangan Islam. Pendakwah yang sering menyumbang khususnya dari sudut harta di medan dakwah meletakkan tujuan besarnya dalam memastikan intipati dakwah dapat disampaikan kepada mad'u dengan lebih lancar, jelas dan memberi impak yang berkesan.
 
Islam menegaskan bahawasanya berjihad menegakkan agama Allah SWT perlu mencakupi pelbagai sudut dan kekuatan yang dimiliki, iaitu dengan menggunakan jiwanya, kekuatan anggotanya mahupun harta yang dimiliki. Ibnu Taimiyyah mengatakan : "Sesiapa yang tidak mampu berjihad dengan badannya, dan mampu berjihad dengan hartanya, wajib hukumnya berjihad dengan harta". Ini membuktikan bahawa jihad harta ini bukan perkara remeh yang sering menjadi kesukaran bagi pendakwah berharta.
 
Harta dan anak-anak, dua perkara ini yang lazimnya menjadi gangguan dan kesibukan seseorang apabila hatinya tidak mengetahui tujuan penciptaannya dan bagaimana untuk memanfaatkannya. Fitrah penciptaan manusia sudah semestinya mencintai harta benda.
 
Firman Allah SWT ;
 
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَٰلِكَ مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ
 
Maksudnya: "Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."
-Surah Al-Imran, Ayat 14-
 
Islam tidak menghina harta benda dan tidak memeranginya, malah Islam juga tidak melarang seseorang untuk menjadi kaya kerana ia memberi manfaat buat sesiapa yang memanfaatkannya semula buat Islam. Namun Islam menyatakan bahawa wujud juga satu golongan yang mempunyai sifat bakhil. Sedangkan Islam menguatkan bahawa harta benda ialah nikmat Allah SWT yang mesti disyukuri. Allah SWT telah berpesan di dalam Al-Qur'an agar manusia menghindari sifat-sifat bakhil di dalam firman-Nya:
 
هَٰٓأَنتُمۡ هَٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم
 
Maksudnya: "(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian - kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu."
-Surah Muhammad, Ayat 38-
 
 
DARI MANAKAH SUMBER DANA?
 
Tidak wujud, berjalan, mahupun berkesan sesebuah dakwah tersebut tanpa adanya sebuah aktiviti atau program. Dan tidak dapat tidak, ianya memerlukan dana dan sumber kewangan bagi memastikan perjalanannya berjalan lancar dan baik. Lantaran itu, sumber kewangan daripada penyumbang dana menjadi suatu kemestian bagi membiayai aktiviti atau program tersebut sehingga mampu menuju sasarannya dan memperoleh kejayaan.
 
Dakwah tidak akan berjaya sekiranya ahlinya bakhil serta tidak menyumbang untuk kelangsungan aktiviti dakwah tersebut. Maka kita perlulah menanamkan dalam minda kita bahawa setiap aktiviti mahupun program dakwah yang berlangsung akan menjadi kewajipan buat diri untuk menjadi penyumbang utama dengan kadar yang kita mampu agar menjadi 'modal' kita di hari perhitungan nanti serta tauladan bagi generasi baru kelak.
 
 
TIDAK ADA JIHAD TANPA PENGORBANAN
 
Memang begitulah hakikatnya, tidak ada jihad tanpa pengorbanan. Suatu hakikat yang mesti difahami oleh aktivis dakwah secara jelas dan nyata.
 
Sekiranya seseorang menyangka bahawa dia akan memberikan komitmen 100% dalam menegakkan syiar Islam, sanggup melakukan apa sahaja yang diarahkan, akan tetapi dia bakhil dalam mengorbankan roh, harta, waktu dan segala-galanya, maka hendaklah dia mengintrospeksi kembali dirinya serta komitmennya terhadap dakwah.
 
Firman Allah SWT ;
 
۞إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَۚ
 
Maksudnya : "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga"
-Surah At-Tawbah, Ayat 111-
 
 
KESIMPULAN
 
Aktivis dakwah yang sebenarnya tentu memahami bahawa dia merupakan wasilah dalam proses pemberian hidayah kepada seseorang serta dalam menyampaikan dakwah kepada mereka. Untuk menunaikan tugas-tugas dan tuntutan dakwah, maka segala urusan perlu dipermudahkan, salah satunya ialah harta benda. Ianya mesti diinfaqkan kepada jalan Allah SWT.
 
Justeru itu, perkara tersebut perluah dilakukan dengan berlapang dada dan bersikap dermawan.
 
Allah SWT berfirman ;
 
وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِهِمۡ خَصَاصَةٞۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
 
Maksudnya: "Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya."
-Surah Al-Hashr, Ayat 9-
 
Alangkah bahagianya kita jika Allah SWT menerima semua itu daripada kita. Hebatnya para sahabat terdahulu, ada dalam kalangan mereka yang miskin dan kekurangan harta tetapi mempunyai hati yang pemurah menderma dengan nilai yang banyak. Maka sudah pasti harta mereka diberkati dan pengorbanan mereka diredai oleh Allah SWT.
 
Semoga kita dikurniakan himmah dalam perjuangan dan dakwah sepertimana golongan-golongan terdahulu berdakwah. Tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk memastikan kelangsungan Islam dapat dicapai serta disebar luas di seluruh dunia Insya-Allah.
Amin.
 
"Usrah Pencetak Generasi Tarbawi"
 
**Sumber rujukan :
Kitab Apa Ertinya Saya Menganut Islam karangan Sheikh Fathi Yakan
Bahagian 3 (Bab Ke-2 : Saya mesti bersedia menunaikan kewajipan Infaq dalam dakwah)
 
Disediakan oleh: Setiausaha Jabatan Fasilitator, Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2019/2020.
 

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Friday, September 4, 2020

TAZKIRAH JUMAAT | KEISTIMEWAAN FIKRAH ISLAMIAH

 

TAZKIRAH JUMAAT | KEISTIMEWAAN FIKRAH ISLAMIAH
Jabatan Fasilitator, Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2019/2020

Firman Allah SWT :
إِنَّ ٱلدِّینَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَـٰمُ
Maksudnya: Sesungguhnya agama  (yang benar dan diredhai) di sisi Allah hanyalah  Islam.
 (Surah Ali-Imran : ayat 19)

وَمَن یَبۡتَغِ غَیۡرَ ٱلۡإِسۡلَـٰمِ دِینࣰا فَلَن یُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِینَ

Maksudnya : Sesiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai agama, maka sama sekali tidak diterima daripadanya, dan di akhirat kelak termasuk ke dalam golongan orang yang rugi. (Surah Ali-Imran : ayat 85)

            Allah SWT telah memberikan pilihan kepada manusia samada memilih Islam atau kekufuran. Apabila Allah SWT tidak menerima orang yang mengambil agama selain Islam, maka di akhirat kelak dia termasuk dalam golongan orang yang rugi berdasarkan ayat di atas.

            Agama Islam ialah agama yang akan kekal hingga hari akhirat. Sumber-sumber yang syarie iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW menjadi pedoman kepada umat Islam dalam menjalani kehidupan di dunia ini . Ia juga meliputi peraturan dan undang-undang kehidupan yang luas, lengkap dan merangkumi segenap aspek kehidupan manusia.

            Masyarakat masa kini kurang memahami ajaran Islam sehingga mencampur aduk ajaran Islam dengan ajaran yang lain. Sejak zaman kemajuan Islam yang telah runtuh pada pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah, dunia pada hari ini telah menafsirkan Islam dengan penafsiran yang menyimpang dan tidak sesuai dengan hakikat Islam yang sebenar.

            Kerana itu, para pendakwah Islam perlu menerapkan dalam pemikiran umat Islam, tentang fikrah Islamiah yang syumul selain mengamalkan segala kewajipan yang  telah ditetapkan. Hal ini kerana keistimewaan fikrah Islamiah itu sendiri, yang berlainan dengan ajaran dan fahaman ciptaan manusia. Antara ciri-ciri khusus keistimewaan fikrah Islamiah ialah :

1)      ISLAM BERSIFAT AJARAN ILAHI (RABBANIYYAH)

Islam merupakan agama yang bersifat Rabbaniyyah. Ajaran Islam berbeza dengan ajaran selain Islam yang dicipta oleh akal manusia sendiri. Penciptanya ialah Allah SWT yang pengetahuanNya meliputi segala sesuatu. Oleh itu, ajaran Islam mencakupi seluruh fenomena kehidupan. Sifat ini menyebabkan ajaran Islam mampu mengatasi segala permasalahan kehidupan secara terus menerus.  

Bahkan, sifat "ciptaan manusia" yang ada dalam ajaran-ajaran selain Islam merupakan kuman yang berjangkit dan menyebabkan kemusnahan dan kerosakan. Itulah titik tolak tempat munculnya segala kekurangan dan kepincangannya.

2)      ISLAM BERSIFAT SEMPURNA (SYUMULIYYAH)

Keistimewaan yang seterusnya ialah Islam itu sifatnya sempurna dan universal mencakupi segala aspek kehidupan manusia mencakupi segenap dimensi seperti politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya.

Ia juga mencakupi segala peraturan yang tetap tentang bagaimana hubungan individu dengan dirinya sendiri, keluarga, Tuhan, masyarakat dan negaranya . Terdapat juga dasar dan prinsip yang diatur sesuai dengan fitrah manusia yang murni serta menurut pandangan Islam terhadap alam, manusia dan kehidupan.

Memang benar, zaman moden ini terdapat ajaran atau peraturan ciptaan manusia yang nampaknya sempurna dalam sesuatu bidang kehidupan tetapi jika diteliti, ternyata ajaran tersebut tidak sempurna dalam setiap perinciannya, tidak seimbang dan tidak bersesuaian.

3)      ISLAM BERSIFAT MEROMBAK DAN MEMBANGUN (INQILABIYYAH)

Inqilabiyah ialah melaksanakan perubahan secara keseluruhan  dengan mencabut dan meruntuhkan jahiliyyah serta membangun atau menegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliyyah itu. Mesti bersifat tajarrud iaitu membebaskan diri daripada prinsip selain daripada Islam.

Islam tidak membenarkan umatnya hidup secara Jahiliyyah. Islam tidak hanya ditetapkan sebagai agama bagi sebuah negara dengan rakyatnya hanya melaksanakan tuntutan Islam dalam skop ibadah sahaja, bahkan Islam perlu dijadikan satu-satunya sumber peraturan dan pegangan hidup dalam sebuah negara.

Jadi, Islam tidak boleh dipisah-pisahkan dan  keseluruhan ajarannya mestilah dihayati, baik berupa perintah , larangan, ibadah atau selainnya. Allah berfirman yang bermaksud:

"Apakah kamu beriman kepada sebahagian Kitab Suci, dan kafir kepada sebahagiannya yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian selain kehinaan dalam kehidupan dunia ini. Dan pada Hari Kiamat kelak mereka akan dikembalikan kepada siksa yang berat. Allah tidak lengah daripada yang kamu perbuat. " (Surah Al-Baqarah: ayat 85)

4)      ISLAM BERSIFAT ABADI (ISTIMRARIYYAH)

Keistimewaan yang keempat ialah Islam yang bersifat kekal dan abadi. Hal ini kerana Islam mampu menyelesaikan segala persoalan kehidupan dan mampu mengatur kehidupan manusia dalam setiap perkara. Banyak peraturan yang dicipta manusia diubah semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu masalah dalam suatu keadaan tertentu sahaja, tidak sesuai lagi, sudah ketinggalan zaman dan nampak kekurangan serta kejanggalannya. Berbeza dengan Islam, sifatnya abadi dan kekal serta tidak memerlukan kepada perubahan dan dapat digunakan sepanjang zaman.

5)      ISLAM BERSIFAT SEJAGAT ('ALAMIYYAH)

Keistimewaan kelima, ajaran Islam meliputi setiap perkara di dunia. Syariah dan peraturan-peraturan Islam menyerap dalam segenap aspek kehidupan manusia yang terus menerus berkembang dan meningkat di seluruh pelusuk dunia ini. Islam mengatur kehidupan manusia di mana saja berada di seluruh permukaan bumi ini.

Ajaran Islam bukanlah terhasil pada lingkungan hidup dan tradisi di tempat tertentu, bahkan Islam adalah peraturan Ilahi yang menjadi pedoman hidup bagi umat manusia seluruhnya tanpa mengira tempat dan budaya. Sifatnya yang bersumber dari wahyu Ilahi yang mencakupi peraturan dan undang-undangnya. Oleh sebab itu, Islam dapat menguasai wilayah yang luas dan mampu untuk membentuk kehidupan yang makmur dan sejahtera.

Dengan keistimewaan ini juga, Islam berbeza dengan seluruh peraturan ciptaan manusia kerana ciptaan itu diketengahkan untuk mengatasi sesuatu persoalan yang sedang dihadapi oleh masyarakat. Bahkan Islam menyelamatkan masyarakat dari suasana bertentangan antara suatu masalah dengan masalah yang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Al-Quran bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi Al-Quran membenarkan Kitab-kitab Suci yang sebelumnya, dan menjelaskan segala sesuatu dan menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman." (Surah Yusuf: ayat 111)

Sebagai seorang pendakwah menjadi kewajipan ke atas kita untuk menjelaskan fikrah Islamiah ke dalam pemikiran umat Islam hari ini. Umat Islam perlu menjadikan Islam sebagai cara hidup yang meliputi segenap aspek kehidupan, tidak mengambil sebahagian sahaja daripada Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain yang menyebabkan kita mudah untuk dipermainkan atau terjerumus dalam permainan musuh.

 "Usrah Pencetak Generasi Tarbawi"


**Sumber rujukan :

    Kitab Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam karangan Sheikh Fathi Yakan  Bab 3 ( Bahan Dakwah )

Disediakan oleh: Setiausaha Jabatan Fasilitator, Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2019/2020.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"    

 

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...