Tuesday, April 22, 2014

UKHUWAH TUNJANG KESATUAN


               
  Hakikat ukhuwah islamiah adalah ikatan pada hati dan jiwa berlandaskan aqidah yang satu. Hubungan yang dijalin atas dasar ini merupakan ikatan yang paling kuat dan sangat berharga. Ianya meliputi rasa saling mengasihi, menyayangi dan saling memerlukan antara satu sama lain sesama muslim tanpa mengira pangkat, keturunan dan warna kulit.

                Islam telah meletakkan antara salah satu kesempurnaan akhlak seorang muslim ialah mencintai kebaikan yang dilakukan oleh saudaranya sebagaimana dia mencintai melakukan perkara-perkara kebaikan untuk dirinya sendiri. Demikianlah juga membenci keburukan yang dilakukan oleh saudaranya sepertimana dia membenci untuk melakukan keburukan. Dalam menjalinkan hubungan silaturahim  sikap berlapang dada dan kesejahteraan hati sesama muslim merupakan serendah-rendah ukhuwah manakala yang paling tinggi pula ialah ithar ataupun sikap mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri dalam segala hal. Demikianlah konsep bersaudara yang dianjurkan dalam islam yang sebenar-benarnya.

                Dalam hadis Rasulullah saw ada menyebut bahawasanya, dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radhiallahu  anhu, dari Nabi saw bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang di antara kalian hingga ia menncintai untuk saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

                Terdapat beberapa perkara yang menjadi landasan dalam menguatkan hubungan persaudaraan ialah menghulurkan bantuan kepada saudaranya yang berada dalam keadaan kesempitan, sering bertanya khabar serta saling menziarahi dan memenuhi hak ukhuwah saudaranya. Sebelum tercipta ukhuwah islamiah yang benar-benar utuh terdapat empat tahap (marahil) yang perlu dilalui sebagai asas dalam penyatuan.

Pertama : saling kenal-mengenal (taaruf). Pada tahap ini seorang muslim tidak hanya mengenal saudaranya sekadar sahaja. Namun, ianya harus pergi dengan lebih jauh dan cuba untuk mengenali saudaranya melalui cara penampilan, sifat-sifat, serta pemikiran. Pengenalan tahap ini mencakupi aspek ‘jasadi’ iaiti fizikal, ‘fikri’ pemikirannya dan ‘nafsi’ jiwa.

Kedua :  saling memahami (tafaahum). Tahap kedua merupakan kompenen yang sangat penting kerana ia merupakan proses penyatuan. Pada tahap ini kita dituntut untuk memahami perkara yang menjadi kebiasaan saudaranya, kesukaan, karakter, ciri-ciri khas dan cara berfikir. Dengan tindakan yang demikian, perasaan-perasaan seperti “tidak sesuai”, “tidak serasi” dan sebagainya dapat dielakkan dengan cara saling menasihati antara satu sama lain.

Ketiga : saling tolong-menolong (ta’awun). Dalam proses penyatuan perlunya ada sikap saling tolong-menolong antara satu sama lain bagi memudahkan dan meringankan bebanan yang ditanggung. Sikap ini penting untuk saling tampung-menampung dengan kelebihan dan kekurangan yang ada pada setiap individu.

Keempat : saling memikul bebanan (takaaful). Tahap ini merupakan puncak untuk mencapai ukhuwah islamiah. Sikap saling memikul bebanan ini sangat penting kerana setiap individu mempunyai tanggungjawab dan peranan yang berbeza dan memerlukan sokongan dan bantuan antara satu sama lain.


                Dalam menjalinkan hubungan silaturahim sesama muslim kita akan dapat merasakan indahnya persaudaraan serta mendapat pahala kerana menyambung tali silaturrahim.Mengeratkan tali persaudaraan sesama muslim.

                Firman Allah swt : “ Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.
(surah Al-Hujurat ayat-10)

                Ukhuwah adalah saudara bagi iman manakala perpecahan adalah saudara bagi kekufuran. Kekuatan yang paling ampuh ialah kekuatan kesatuan dan perpaduan manakala kelemahan yang meruntuhkan ialah perpecahan. Kemahuan menjalinkan ukhuwah islamiah ataupun tidak, islam akan tetap kekal hingga ke akhirnya dan dakwah akan tetap terus berjalan namun tanpanya kita sebagai umat islam tidak mampu untuk hidup. Ibarat sekelompok kambing biri-biri di dalam hutan, seekor serigala akan mudah menerkam sesekor kambing biri-biri yang keluar dari kelompoknya.

Wallahua’lam.

Oleh :
Nuraimi Jalwati Binti |Mohd Rani
Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN.
KEUNGGULAN SYAKHSIAH TUNJANG WAHDAH



Monday, April 21, 2014

SOLAT SUNAT HIFZI DAN KAEDAHNYA

SOLAT SUNAT HIFZI


Disunatkan bagi mereka yang ingin menguatkan hafalan mereka, terutama yang menghafal al-Quran (golongan huffaz), agar mengerjakan Solat sunat Taqwiyatul Hifzi.  

Kaedahnya :


1. Mengerjakan solat ini empat rakaat, dengan dua kali tahiyat akhir.
2. Mengerjakan pada malam Jumaat, sebaik-baiknya pada sepertiga malam.
3. Mengerjakannya 3, 5 atau 7 malam Jumaat secara berturut-turut.

4. Membaca pada rakaat pertama  : SURAH YAASIN.
5. Membaca pada rakaat kedua      : SURAH AD-DUKHAN.
6. Membaca pada rakaat ketiga      : SURAH AS-SAJADAH.
7. Membaca pada rakaat keempat : SURAH AL-MULK.
8. Setelah selesai solat, bacalah doa tersebut.        

Doa Kuat Hafalan


اللَّـهُـمَّ  إنـِّـي  أَسْــأَلـُكَ  بِـأَنِـّي  أَشْــهَـدُ  أَنـَّكَ  أَنـْتَ  اللهُ  الأَحَــدُ  الـصَّـمَـدُ،  الّـذِيْ  لَـمْ  يَـلِـدْ،  وَلَـمْ يُـوْلَـدْ،  وَلَـمْ  يَـكُـنْ  لَـهُ  كُـفُـوًا  أَحَــدٌ. الَّلـهُـمَّ  صَـلِّ  وَسَـلِّـمْ  عَـلَى  سَــيِّـدِنَـا مُـحَــمَّـدٍ  وَعَـلَى  سَــائِـرِ  الأَنـْبِـيَــاءِ. اللـهُـمَّ  اغْـفِــرْلَـنَـا  وَلإِخْــوَانِـنـَا  الَّـذِيْنَ  سَــبَـقُوْنـَا بِالإِيــْمَـانَ.


الَّلـهُـمَّ  ارْحَـمْــنِـيْ  بِتَــرْكِ  الْـمَعـَـاصِــيْ  أَبَــدًا  مَـا  أَبْــقَيْــتَنِــيْ ، وَا رْحَـمْـــنِيْ  أَنْ  أَتَـكَـلــَّـفَ   مَـا  لاَ  يَـعْــنِيْنِـيْ ، وَارْزُقْـنِـيْ  حُسْــنَ  النَّـظَــرِ  فِيْـمَا  يُـرْضِيْــكَ  عَنِّـيْ.

اللَّـهُـمَّ  يَـا  بَـدِيْعَ   السَّــمـوَاتِ  واْلأ َرْضِ ، يَـا ذَا  الْجـَــلاَلِ  وَاْلإِكْــرَامِ ، وَالْـعِـزَّةِ  التَّـِيْ  لاَ  تُــرَامُ. أَسْــأَلـُكَ  يَـا  اَللهُ ، يَـا  رَحْـمَــنُ بِجَـلاَلِـكَ  وَنُــوْرِ وَجْــهِـكَ ، أَنْ  تَـلْــزَمَ  قَـلْـبِــيْ  حِـفْـظَ  كِـتَــابِكَ  كَــمَا  عَــلَّـمْتَنِـيْ ، وَارْزُقْـنِـيْ  أَنْ  أَتـْلُــوَهُ  عَـلَى  الـنَّـحْـوِ  الَّـذِي  يُـرْضِـيْـكَ  عَـنِّـيْ 


 اللَّـهُـمَّ  يَـا  بَـدِيْعَ  السَّــمـوَاتِ  واْلأَرْضِ ، يَـا ذَا  الْـجَــلاَلِ  واْلإِكْــرَامِ ، والْـعِـزَّةِ  التَّـِـيْ  لاَ  تُــرَامُ. أَسْــأَلـُكَ  يَـا اَللهُ ، يَـا رَحْـمــنُ ، بِـجَــلاَلِـكَ  وَنُــوْرِ  وَجْــهِـكَ ، أَنْ  تُـنَــوِّرَ  بِـكِـتَـابِـكَ  بَـصَــرِيْ ، وَأَنْ  تُـطْـلِـقَ  بِـهِ  لِسَــانِـيْ ، وَأَنْ  تُـفَــرِّجَ  بِـهِ  صَــدْرِيْ ، وَأَنْ  تَـغْـسِــلَ  بِـهِ  بَـدَنِـيْ ، فَـإِنـَّـهُ  لاَ  يُـعِيْـنُنِـيْ  عَـلَى  الْـحَـقِّ  غَيْرُكَ  وَلاَ  يُـؤْتِيْـنِيْـهِ  إِلاَّ  أَنـْتَ ، وَلاَ  حَــوْلَ  وَلاَ  قُـــــوَّةَ   إِلاَّ  بِـاللهِ  الْـعَلِـيِّ  الْـعَـظِيـْــمِ.                       

Sunday, April 13, 2014

TAFAQQUH AN-NISA' : GILAP BAKAT MAHASISWI.


Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
 “Siapa yang dikehendaki Allah padanya kebaikan,maka Allah memberi kefahaman dalam agama”.



Kaherah - 10 Mac :  Biro Pelajaran dan Ilmiah Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir Sesi 2014 untuk kesekian kalinya mengadakan kelas pengajian Tafaqquh An-Nisa'  sebagai ahli-ahli Perak khususnya akhawat untuk menambah ilmu dan thaqafah dalam diri. Kelas pengajian Tafaqquh An-Nisa' pada sesi kali ini menampilkan tenaga pengajar dari kalangan mahasiswi Perak sendiri. Antara objektif yang ingin dibawa oleh Biro Pelajaran dan Ilmiah pada sesi kali ini adalah melahirkan mahasiswi yang berkemahiran dalam segenap sudut terutamanya dari sudut pengucapan awam dan membaca kitab bahasa arab melalui pembentangan kutaib bertepatan dengan tema HEWI PMRAM " Keunggulan Syakhsiah Tunjang Wahdah ".

Kelas pengajian Tafaqquh An-Nisa' ini dimulakan dengan pembentangan kutaib " LASNA FI ZAMAN ABRAHAH " oleh Ustazah Norul Aimi binti Mohd Radzi, mahasiswa Tahun 3, Kuliyyah Usuluddin ( Hadis ), Universiti Al-Azhar Kaherah. Kelas pengajian ini diadakan di Dewan Mini Wisma B pada setiap Khamis selepas solat Asar.

Pihak KPIPM berharap agar semua ahli dapat mengambil manfaat melalui medium yang telah disediakan oleh persatuan demi melahirkan mahasiswi bertaqwa, berilmu dan berthaqafah serta berfikrah yang jelas dalam mendepani masa hadapan.



BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 

KEUNGGULAN SYAKHSIAH, TUNJANG WAHDAH
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN.



Sunday, April 6, 2014

PROGRAM EHYA JUMU'AH : Majlis Pelancaran Kempen Biro KPIPM



Kaherah – 3 April 2014 : Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah mengadakan Program Ehya’ Jumaah sekaligus mengadakan Majlis Pelancaran Kempen Biro di bawah KPIPM. Program ini telah dijayakan pada sesi-sesi sebelumnya dan diteruskan lagi pada sesi kali ini dibawah kelolaan Biro Dakwah dan Tarbiah. Perlaksanaan ini sedikit sebanyak dapat memberi impak yang positif kepada ahli KPIPM kerana memperkenalkan kempen bagi setiap biro dan dalam masa yang sama dapat membina syakhsiah mahasiswa dari acuan azhari khususnya.

                Program ini dimulai dengan solat maghrib berjemaah,membaca surah yasin dan diteruskan dengan pengisian tazkirah yang disampaikan oleh Ustazah  Nur Aini Kamilah bt Abd Razak. Perkongsian yang dibawa berkaitan dengan kisah salafussoleh.Beliau menekankan mengenai aspek syakhsiah diri dari segi amalan kebaikan, amanah, menjauhi perkara-perkara ghibah, mengelakkan diri dari sifat marah dan saling menghormati.Akhlak yang mulia merupakan uslub yang paling penting dalam diri seorang daie yang membawa risalah perjuangan baginda Rasulullah s.a.w.Sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam kitab mulia Nya “ Ajaklah ummat manusia ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan dengan nasihat yang baik..(Surah Al-Nahl : ayat 125).

              Selepas selesai sahaja tazkirah program diteruskan lagi dengan pelancaran kempen bagi setiap biro yang dimulai dengan Biro Ekonomi,Biro Perhubungan Sambutan dan Rehlah,Biro Perumahan,Biro Pelajaran dan Ilmiah,Biro Tabung Kebajikan Kesenian dan Riadah dan yang terakhir adalah Biro Dakwah dan tarbiah.Kempen tersebut telah ditandatangani oleh Yang Dipertua KPIPM Sesi 2014,Ustaz Mohamad Hazim bin Mohamad Halim.Kemudian program diteruskan lagi dengan pemberian watikah kepada semua fasilitator untuk muzakarah berkelompok untuk sesi 2014.  

                Keesokan harinya, program ini diteruskan lagi dengan solat subuh berjemaah bacaan  al-Ma’thurat dan bacaan surah waqiah.Seterusnya program diteruskan lagi dengan pengisian rohani yang disampaikan oleh Ustaz Munir Izzam Ilyas bin Azmi selaku Ketua Biro Tabuhg Kebajikan Kesenian dan Riadah sesi 2014. Kisah yang dikongsikan adalah berkaitan dengan Lapangan dalam Berdakwah.Dakwah adalah satu pekerjaan yang membawa kepada ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. Dalam berdakwah banyak uslub-uslub yang telah digariskan oleh para ulama. Sehubungan dengan itu, jangan merasa kekurangan yang ada pada diri tidak mampu untuk melaksanakan dakwah tersebut. “ Gilaplah bakat dan kelebihan yang ada pada jalan Allah, dan terimalah kekurangan yang ada serta perbaikilah agar lebih baik”. Akhirnya program di akhiri dengan tasbih kafarah dan surah al-Asr.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS.

MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN.

"SATU FIKRAH, SATU AMAL"

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...