Sunday, February 23, 2014

Muzakarah Berkelompok Gabungan: Memahami Kefahaman Islam yang Menyeluruh

KAHERAH, 21 Februari 2014 – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir melalui Jabatan Fasilitatornya telah berjaya mengadakan Muzakarah Berkelompok Gabungan bagi mahasiswa dan mahasiswi tahun satu dan dua. Muzakarah berbentuk diskusi kitab ini telah diadakan di Wisma Darul Ridzuan B.

Diskusi kitab bagi mahasiswa tahun satu yang bertajuk “Al-Islam Syariatuz Zaman Wal Makan” telah dibentangkan oleh Ustazah Noor Shuhada Binti Zolkafli dan juga Ustazah NurSyuhada Binti Hashifudin. Muzakarah Berkelompok yang turut disertai oleh mahasiswi tahun satu ini telah bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 10.50 pagi. Sambutan yang amat baik telah diberikan oleh mahasiswa dan mahasiswi tahun satu dalam muzakarah berkelompok ini.

Pada sebelah malamnya pula, Muzakarah Berkelompok Gabungan ini diteruskan lagi bagi mahasiswa dan mahasiswi tahun dua. Kali ini kitab yang dibentangkan adalah kitab terakhir yang telah disusun oleh peringkat PMRAM untuk mahasiswa mahasiswi tahun dua iaitu “As Sohwah Al Islamiyyah Baina Al Aamal Wal Mahaazir” (Kebangkitan Islam Di antara Harapan dan Kewaspadaan).Pembentangan dimulakan pada jam 8.30 malam oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Faroaq Bin Ghazali, Mahasiswa Tahun Empat Kuliah Bahasa Arab Kaherah.

Antara pengisian menarik yang dikongsikan oleh pengisi adalah 2 serangan yang besar yang menimpa umat Islam. Serangan pertama adalah dari pihak Monggol Tatar ke atas Khilafah Abbasiah ke-2 pada tahun 656 Hijrah yang telah menghancurkan Baghdad dan serangan kedua adalah serangan pemikiran moden dari Barat yang dibawa masuk dalam Negara-negara Islam Timur. Beliau menerangkan bahawa serangan pertama yang ditimpakan atas umat Islam pada zaman itu adalah sebagai peringatan bagi seluruh umat Islam yang mana pada waktu itu hanya hidup dengan ilmu (belajar dan mengkaji) tetapi tidak pula menghidupkan ilmu (dengan menyampaikan dan mengamalkannya). Walau  bagaimanapun serangan pertama ini masih lagi boleh dimenangi oleh ummat Islam dan ia terbukti pada peperangan ‘Ain Jalut 658 Hijrah yang mana umat berjaya mengalahkan tentera Tatar ini, akan tetapi serangan kedua iaitu serangan pemikiran moden Barat lebih memberi kesan yang mendalam dan jelas pada pemikiran, jiwa, masyarakat dan moral umat Islam.

Sesi soal jawab dibuka setelah beliau selesai membentangkan kitab pada jam 10.30 malam dan ianya mendapat perhatian dan respon yang baik dikalangan ahli yang hadir.

Program berakhir dengan penyampaian cenderahati oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2014, Ustaz Mohamad Hazim Bin Mohd Halim kepada pendiskusi.


“Pihak KPIPM mengharapkan supaya mahasiswa dan mahasiswi dapat memahami dengan jelas akan islam itu dengan sebenarnya dan seterusnya berusaha untuk mendaulatkan islam di atas muka bumi ini.” Ujar Ustaz Mohamad Hazim selepas selesai program.  

Sunday, February 16, 2014

Himpunan Mahabbah HEWI KPIPM: Medium Pengukuh Ukhuwah Mahasiswi

Kaherah, 16 Februari 2014 - Himpunan Mahabbah HEWI telah berlangsung pada pagi 14 Februari 2014 yang lalu dengan mengumpulkan seluruh ahli HEWI khusus untuk menghadapi Mesyuarat Agung Tahunan yang bakal menjelang serta menjadi medium untuk ahli mengukuhkan ukhuwah dan memberikan muhasabah serta cadangan kepada barisan pimpinan HEWI KPIPM sesi 2012/2013.

Majlis bermula pada jam 9.00 pagi dengan alunan ayat suci Al-Quran seterusnya disusuli dengan slot muhasabah dan cadangan daripada ahli. Slot muhasabah dan cadangan ini memberi ruang kepada ahli HEWI di semua peringkat untuk melontarkan idea dan pendapat masing-masing bagi penambahbaikan gerak kerja di peringkat Ahli Jawatankuasa HEWI.

Slot muhasabah ini diselangi dengan slot 'Hang Tuah' iaitu cabutan bertuah dan penyampaian hadiah daripada AJK HEWI kepada ahli. Seterusnya, majlis penutup Himpunan Mahabbah HEWI disempurnakan oleh Ustazah Salsabila bt. Hashim,HEWI Angkat PMRAM Cawangan Perak dan disusuli dengan tayangan video kenangan daripada AJK HEWI. Himpunan Mahabbah pada pagi tersebut diserikan lagi dengan persembahan tarian dabus dan nasyid daripada Usrah Khairatun Hisan.


"Semoga aktiviti seperti ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah yang telah terjalin khususnya buat mahasiswi perak di perlembahan Nil ini dan menjadi satu platform untuk ahli menyuarakan pandangan mereka." Ujar Ustazah Hafsah,Ketua HEWI KPIPM sesi 2012/2013.

Saturday, February 15, 2014

Simfoni Kasih: Mengikat Ukhuwah Mahasiswa Baru

Kaherah, 13 Februari 2014 – Kemeriahan Program Unit Sambutan Mahasiswa Baru KPIPM 2013 (USMB ’13) akhirnya disudahi dengan Program Simfoni Kasih. Program yang bertujuan untuk mengikat ukhuwah dikalangan mahasiswa baru ini diadakan dengan pelbagai aktiviti dan persembahan yang menarik. Antara tetamu yang hadir pada malam tersebut ialah Ustaz Amirul Fahmi Bin Zulkefli, Pengarah USMB KPIPM 2013 dan Ustaz Hanif Bin Abdullah selaku Yang Dipertua KPIPM Sesi 2012/2013 merangkap perasmi bagi penutupan program USMB KPIPM 2013.

Aktiviti yang dijalankan adalah persembahan daripada setiap kumpulan usrah mahasiswa baru iaitu antaranya persembahan nasyid, pentomen, puisidra, tarian dabus dan dikir barat. Rata-rata persembahan yang dipamerkan oleh mereka sangat bertenaga dan menghiburkan. Dua orang hos yang diamanahkan untuk mengendalikan program tersebut iaitu Ustaz Akmal Ahmad dan Ustaz Haziq Muqri memeriahkan lagi suasana program tersebut dengan gelagat dan ragam mereka yang melucukan.

Selesai persembahan, program diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah penghargaan sempena USMB 2013. Antara penghargaan yang diberikan bagi kali ini adalah Anugerah Usrah Terbaik, Anugerah Mahasiswa Tunas Harapan dan penghargaan kepada musyrif USMB 2013. Dalam penyampaian anugerah tersebut, Ustaz Abdul Hakim Bin Mustafa dianugerahkan sebagai Mahasiswa Tunas Harapan manakala Ustazah Nurul Amirah Binti Zulkifli dianugerahkan sebagai Mahasiswi Tunas Harapan.


“Peringkat kami mengharapkan ukhuwah di antara mahasiswa baru tidak terhenti disini. Jadikan program ini sebagai satu kenangan manis yang akan diingati sampai bila-bila.” Kata Ustaz Muhammad Hanif Bin Abdullah, selaku Yang Dipertua KPIPM bagi sesi ini.

Monday, February 10, 2014

Sultan Abdul Hamid II: Khilafah Yang Tegas Menunaikan Amanah

Setiap manusia bertanggungjawab dalam menunaikan amanah yang diletakkan di atas bahunya. Sikap ini perlu diaplikasi ke atas semua manusia kerana semua manusia diletakkan amanah ke atas walau apa jua jawatan dan pangkat sekalipun. Sepertimana sabda Rasulullah S.A.W:

"ﻛﻠﻜﻢ ﺭﺍﻉ ﻭﻛﻠﻜﻢ ﻣﺴﺌﻮﻝ ﻋﻦ ﺭﻋﻴﺘﻪ...."

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawabkan dengan orang di bawah pimpinannya..”

Pada tahun 1901M, Tiodore Hertzel yang merupakan Ketua Pertubuhan Zionis Antarabangsa dan antara pemimpin tertinggi Freemasonry telah memberikan beberapa tawaran yang lumayan kepada Sultan Abdul Hamid II dengan syarat supaya membenarkan penubuhan sebuah syarikat Yahudi di Palestin yang bertanggungjawab membeli tanah-tanah terbiar sekitar Palestin untuk dijadikan kawasan penempatan kaum Yahudi.

Lalu, dengan tegas Sultan Abdul Hamid II menjawab:

"لا أملك هذا... فلسطين ليست ملك اﻷتراك بل ملك العرب وبيت المقدس ليس ملك العرب بل ملك المسلمين فإني لا أستطيع أن أتخلى عن شبر واحد من أرض فلسطين لقد جاهد شعبي في سبيل هذه اﻷرض ورواها بدمه..."

"Palestin bukan milikku, bukan milik bangsa Turki, tetapi milik bangsa Arab. Baitul Maqdis pula bukan milik bangsa Arab, tetapi milik umat Islam seluruhnya. Aku tidak akan sekali-kali menyerahkan bumi Palestin walaupun sejengkal setelah bangsaku berjihad bermati-matian mempertahankan dan menyuburkan tanahnya dengan darah-darah mereka..."

Inilah ketegasan seorang pemimpin yang menjaga amanahnya sebagai seorang yang bertanggungjawab mempertahankan wilayahnya daripada digadaikan begitu sahaja. Walaupun ditawarkan dengan pelbagai tawaran yang lumayan, namun Sultan Abdul Hamid II tetap bertegas untuk tidak menyerahkan tanah Palestin kepada kerakusan Zionis Laknatullah.


Sudah semestinya, seorang pemimpin yang dilantik perlu melaksanakan amanahnya dan tidak akan sesekali mengkhianati dan mengabaikannya. Jawatan bukan dipinta, maka apabila ditaklifkan sebagai pemimpin, maka dialah yang akan melaksanakan dengan kesungguhan dan mujahadah yang tinggi.

Wednesday, February 5, 2014

Kewajipan Muslim Terhadap Masa


Masa amat penting di dalam sepanjang kehidupan manusia. Oleh itu, setiap muslim berkewajipan menjaganya dengan penuh teliti, supaya masa-masanya dapat dipertingkatkan lagi prestasi keimanan, amalan dan pelaksanaan. Melihat kepada kepentingan masa, Allah SWT telah bersumpah di permulaan Al-Quran dalam surah Al-Asr:

والعصر* إن اﻹنسان لفي خسر*
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian.”
(Surah Al-Asr: 1-2)

Tugas utama yang dipikul oleh setiap umat Islam adalah menjaga masa. Masa perlu diberi perhatian lebih daripada harta benda. Setiap detik-detik perjalanan masa, setiap muslim wajib mengawasinya supaya dapat dimanfaatkan untuk agama dan dunianya, untuk kebaikan ummah, di sudut pembangunan rohani dan kebendaan.

Para salafussoleh sangat menjaga masa dan menghargainya sepertimana kata-kata Imam Hassan Al-Basri:

"Aku melihat suatu kaum yang sangat menjaga masa hingga melebihi dari kamu menjaga wang ringgit kamu itu!"

Lantaran ini, para generasi sahabat terlalu berwaspada tentang masa. Setiap masa mereka dipenuhi dengan amal dan gerak kerja yang berguna. Tidak sedikitpun masa yang mereka lepaskan secara percuma.

Khalifah Umar Bin Abdul Aziz berkata:

"Sesungguhnya pertukaran malam dan siang adalah untuk kamu. Oleh itu bekerjalah di waktu siang dan malam!"

Orang yang mengsia-siakan waktu sangat dibenci oleh Allah Taala. Oleh itu pepatah Arab ada menyebut:

"Waktu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, dia pula memotong kamu!"

Justeru, generasi para sahabat sentiasa bekerja demi mempertingkatkan lagi prestasi hidup mereka dari masa ke semasa samada dari sudut prestasi ilmu yang berguna, beramal salih, memperbaiki diri atau membantu orang lain. Sepertimana kata-kata Ibnu Mas'ud:

ما ندمت على شيء ندمي على يوم غربت شمسه نقص فيه أجلى ولم يزد فيه عملي
"Belum pernah aku menyesal. Melainkan penyesalanku di setiap hari apabila terbenam matahari, semakin singkat umurku ini, sedangkan amalanku takut-takut tidak bertambah."


Oleh itu, memanfaatkan masa dengan sebaiknya merupakan kewajipan bagi setiap muslim. Moga kita dikalangan mereka yang menjaga masa dengan baik demi menunaikan kewajipan yang digariskan oleh Allah Taala. 

Nama penulis adalah Ustaz Muhammad Hanif Bin Abdullah, Mahasiswa Kuliah Syariah Islamiah Tahun 2, Al-Azhar, Kaherah. Beliau juga memegang amanah sebagai Yang Dipertua KPIPM bagi sesi 2012/2013.

Tuesday, February 4, 2014

Makluman Lanjutan Tarikh Permohonan Dermasiswa MAIPk 2013/2014 Kali Ke-2



Makluman kepada seluruh mahasiswa/wi Perak:

Memandangkan terdapat beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan, pihak pengurusan zakat telah melanjutkan tarikh permohonan Dermasiswa Zakat Perak bagi sesi 2013/2014 sehingga 28 Februari 2014. Diingatkan kepada pemohon untuk segera melengkapkan permohonan secara online serta salinan dokumen yang lengkap pada tarikh yang ditetapkan.

Sebarang permasalahan dan pertanyaan, sila rujuk:

1) Setiausaha Agung KPIPM –
Ustaz Mohammad Ainuddin Bin Mohd Ishak (01146626390)

2) Setiausaha HEWI KPIPM –
Ustazah Nor Atiqah Binti Hamdan (01141738859)

3) Pembantu Tadbir Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Perak Egypt  –
Ustaz Abdul Munaim Bin Nordin (01147886907)

"BERILMU BERAMAL IKHLAS"

"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

Monday, February 3, 2014

Menyedari Hakikat Diri Dalam Dakwah


Bagi merealisasikan cita-cita Islam dan melaksanakan tugas-tugas Islam, seseorang itu perlu bermuhasabah ke atas dirinya sendiri dan menyedari sejauh mana kedudukannya dalam Islam. Dia juga harus mendakwah orang lain seperti dia mendakwah dirinya sendiri, terutama dari segi iltizamnya kepada Islam supaya menginsafi firman Allah Taala:

"أتأمرون الناس بالبر وتنسون أنفسهم وأنتم تتلون الكتاب أفلا تعقلون"
"Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupai diri kamu sendiri, padahal kamu membaca kitab, apakah kamu tidak berfikir?"
(Surah Al-Baqarah : 44)

Dan janganlah pula amal yang dikerjakan itu menjadi sia-sia seperti firman Allah SWT:

الذين ضل سعيهم في الحياة الدنيا وهم يحسبون أنهم يحسنون صنعا
"Orang-orang yang telah sia-sia perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka mereka berbuat sebaik-baiknya."
(Surah Al-Kahfi:104)

Mereka yang benar-benar rugi ialah apabila mereka yang mengalami kerugian di akhirat walaupun menerima keuntungan yang besar semasa di dunia. Keuntungan yang sebenarnya menurut pertimbangan di akhirat hanyalah untuk orang-orang yang baik mengerjakan amal soleh yang bermula daripada dirinya sebelum didakwahkan kepada orang lain supaya turut melakukannya.

Jika diteladani kembali sirah Rasulullah SAW,semasa hayat Baginda ketika di usia kanak-kanak, Baginda mendidik jiwanya dengan mengembala kambing. Sepertimana sabdanya:
ما من نبي إلا وقد رعى الغنم

"Tidaklah dikalangan Nabi kecuali mengembala kambing."

Kambing merupakan haiwan yang degil dan sukar untuk dikawal. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW mendidik jiwanya dengan melatih kesabarannya sebelum memulakan dakwahnya kepada masyarakat yang mempunyai ragam yang lebih teruk daripada kambing.

Marilah kita mendidik jiwa kita dengan tarbiah Islamiah yang telah ditunjukkan oleh baginda Nabi SAW. Di dalam kita bermujahadah melakukan gerak kerja perjuangan dan dakwah Islam, maka sedarlah akan hakikat diri kita bahawa kita memerlukan kekuatan ruhiyyah supaya ianya selari dengan keutuhan perjuangan yang kita hadapi sekarang.


نحن جيل النصر المنشود

Nama penulis adalah Ustaz Asri Bin Salim, Mahasiswa Kuliah Syariah Islamiah Tahun 2, Al-Azhar, Kaherah. Beliau juga memegang amanah sebagai Biro Perhugungan Sambutan Dan Rehlah KPIPM bagi sesi 2012/2013.

Saturday, February 1, 2014

PERMOHONAN ITHAR KINI DIBUKA : Muat Turun Borang


Makluman buat seluruh ahli KPIPM, 
Lembaga Tabung Ithar KPIPM kini membuka permohonan Ithar bagi sesi kali ini.


SYARAT PERMOHONAN
-Pemohon mestilah ahli KPIPM.
-Mengisi borang yang disediakan dengan lengkap dan ditandatangani oleh Bendahari KPIPM atau Ahli Majlis Perwakilan ( bagi ahli di cawangan).
- Permohonan mestilah diluluskan di dalam mesyuarat Ahli Lembaga Tabung Ithar.

Kategori Pemohon : 
- Pemohon yang menerima zakat atau bantuan dan telah membayar wang ithar. 
- Pemohon yang tidak dapat zakat atau sebarang bantuan.

TARIKH PERMOHONAN
1 Februari 2014 - 8 Februari 2014

Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan borang permohonan, sila hubungi :
-Ustaz Mohamad Hazim bin Mohd Halim
BENDAHARI KEHORMAT KPIPM SESI 2012/2013
+201117936552

-Ustazah Nazuha binti Mohd Suhimi
BENDAHARI HEWI KPIPM SESI 2012/2013
+201119786761

ATAU
-menghubungi Ahli Majlis Perwakilan cawangan anda
-muat turun borang di blog rasmi KPIPM 
Untuk muat turun borang permohonan ithar klik di sini

"BERILMU, BERAMAL, IKHLAS"
"MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN"

Program Pemantapan Du'at (PEMANDU) Membentuk Daie Versatile

KAHERAH, 1 Februari 2014 – Telah berlangsung dengan jayanya Program Pemantapan Du’at (PEMANDU) siri terakhir bagi sesi 2012/2013 pada Khamis yang lalu, 30 Januari 2014 . Siri terakhir ini adalah merupakan siri keempat bagi PEMANDU pada sesi kali ini. Program ini telah berlangsung di Dewan Wisma Darul Ridzuan B bermula pada jam 8 malam.

Pada kali ini, PEMANDU telah membawakan sebuah Talkshow yang bertajuk "Dai’e Versatile", yang mengetengahkan erti pendakwah yang serba boleh serta dapat menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan. Antara barisan panel bagi talkshow tersebut adalah Ustaz Fariz Bin Ramli , Ustaz Helmy Bin Abdul Wahab dan Ustazah Nur Aini Kamilah Binti Abdul Razak serta dikendalikan oleh 3 orang moderator yang menceriakan suasana. Antara pengisian yang diketengahkan oleh ahli panel adalah mengenai ciri-ciri pendakwah yang sebenar serta persediaan untuk menjadi pendakwah yang cemerlang serta berkebolehan.

Seusai talkshow, program disusuli dengan ucapan Pengarah PEMANDU sesi 2012/2013 iaitu Ustaz Muhammad Amir Bin Ghazali seterusnya diikuti dengan majlis perasmian penutup oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2012/2013, Ustaz Muhammad Hanif Bin Abdullah.


Sebelum berakhir, program ini turut diserikan lagi dengan tayangan video dari PEMANDU dan persembahan Usrah Al-Muhazirun iaitu taranum, nasyid, dan sajak di bawah kelolaan Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sekaligus mengakhiri program tersebut.


Secara keseluruhan, program kali ini telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada semua ahli KPIPM. Semoga program PEMANDU sesi ini dapat melahirkan para daie yang serba boleh dan mampu membentuk pemikiran yang selari dan selaras dengan acuan Islam seterusnya melahirkan kader dakwah yang jelas matlamatnya dalam menjalankan amal Islami.


LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...