Wednesday, June 27, 2012

Usrah Indoor Games Peringkat Kaherah



Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadhah KPIPM akan mengadakan Usrah Indoor Games (muzakarah berkelompok peringkat Kaherah).

Program akan berlangsung di Wisma Darul Ridzuan A& B pada 29 & 30 Jun 2012 ini jam 8 pagi.

Antara aktiviti-aktiviti menarik ialah table tennis, scrabble, chess, congkak.

29 Jun 2012 : aktiviti akhawat
30 Jun 2012 : aktiviti ikhwah

Sama-sama kita eratkan jalinan ukhuwah di halaman riadhah ini.

Daurah Musim Panas Kembali Lagi



Di bawah Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM akan mengadakan Daurah Sempena Musim Panas pada 1-5 Julai 2012 ini.

Nantikan kemunculannya mengisi musim cuti anda.

Tuesday, June 26, 2012

Projek Sumbangan Amal Palestin (PROSMA) Kembali Lagi



Projek Sumbangan Amal Palestin (PROSMA) Kembali Lagi !

kami mengalu-alukan sumbangan daripada seluruh ahli KPIPM di perlembahan Nil ini yang sudi menghulurkan sumbangan.

Sumbangan boleh dihulurkan kepada wakil kami :

Saudara Amar Arif : +201122909385
Saudara Sufi Hanifah : +201115459049

Saudari Farhana Ali : +201116421360
Saudari Nabila mokhtar : +201119784628

KRITERIA BARANG
*Pakaian khas musim panas
*Aksesori-aksesori
*Jubah, kemeja, seluar dan lain-lain
*Hendaklah barangan itu tidak rosak/tidak koyak/boleh digunakan lagi/bernilai

Monday, June 25, 2012

Perubahan Tarikh Summer Trip MEMORI '12 kepada 30 Jun Ini



Perubahan Tarikh Jaulah Akhawat KPIPM ke Mansurah dan Dumyat 

Tarikh yang dijadualkan pada 7 Julai 2012 telah bertukar ke 30 Jun 2012 dengan sebab-sebab tertentu.

Sehubungan itu, bagi mereka yang berminat boleh segera mendaftarkan diri sebelum 28 Jun ini.

Sebarkan

تهنئة قلبية خاصة | Sekalung Tahniah Buat Dr. Mursi, Presiden Mesir



تتقدم الجمعية الملايوية بجمهورية مصر العربية بأحرى التهانى القلبية إلى السيد الرئيس : د. محمد مرسى وذلك بمناسبة فوزه فى الإنتخابات الرئاسية الأولى بعد الثورة 25 يناير رئيسا لــ جمهوريه مصر العربيه أكبر دولة عربية فى الشرق الأوسط

.ونسأل الله العظيم رب العرش الكريم لكم دوام التقدم لصالح مصر والأمة العربية والإسلامية جميعا ولها تأثيرا عميقا فى تكوين دول الإسلامية الأخرى فى العالم. ونتمنى لكم التوفيق فى رفع راية الحرية والعدالة

وفقكم الله وسدد خطاكم وإلى الأمام دائما
--------------------------------------------------------------------------------------------------
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mengucapkan sekalung  tahniah buat Dr. Muhammad Mursi, yang diumumkan sebagai Presiden baru Mesir di atas kemenangan pilihan raya pertama kali selepas revolusi 25 januari.

Kami mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kebaikan untuk Mesir dan masyarakat arab serta seluruh dunia Islam. Semoga hasil kemenangan ini memberikan kesan yang besar kepada pembentukan negara-negara Islam di seluruh dunia.

Kami mengharapkan agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada Dr. Muhammad Mursi dalam menegakkan panji-panji Islam.

PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR
PMRAM 2012

Sumber : pmram.org

Diplomasi Menurut Perspektif Islam - Siri 1



Diplomasi merupakan hubungan dua hala yang dijalinkan oleh sekurang-kurangnya dua pihak untuk bertukar-tukar kepentingan/kebaikan secara bersama, sama ada kebaikan itu datang dari sudut agama, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Islam mengakui bahawa manusia itu adalah makhluk ciptaan yang lemah dan tidak mampu hidup secara bersendirian. Oleh yang demikian mereka memerlukan partner, rakan kongsi, individu-individu ataupun pihak-pihak lain yang dapat bekerjasama dalam memastikan keselesaan, keperluan dan kehendak dalam kehidupan mereka dapat dicapai dengan baik.

Dalam mewujudkan jalinan kerjasama ini, Islam telah meletakkan beberapa syarat ataupun garis panduan agar hubungan yang dijalinkan ini tidak melanggari 5 maqasid yang telah ditetapkan oleh syarak bertujuan untuk menjaga agama, maruah/diri, akal, keturunan dan harta.

Begitu juga dalam konteks kenegaraan, setiap negara bebas untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara yang mereka sukai sama ada negara tersebut dipimpin oleh seorang ketua negara yang muslim ataupun non-Muslim.

Garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak ini jelas bertujuan untuk menjaga semua kepentingan umat Islam daripada ditindas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Justeru, seorang pemimpin yang bijak, mereka akan menilai dan mengkaji terlebih dahulu kebaikan dan risiko yang terpaksa ditanggung sebelum menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana negara terutamanya negara non-Muslim agar ianya tidak memberikan kesan yang buruk kepada negara di masa hadapan.

Di zaman Rasulullah SAW juga terdapat beberapa perjanjian ataupun jalinan hubungan diplomatik yang dilaksanakan oleh Baginda Nabi SAW bersama dengan bangsa-bangsa dan negara-negara yang lain. Semua ini membuktikan bahawa Islam mengharuskan hubungan diplomatik tersebut dilakukan untuk kebaikan secara bersama antara dua pihak yang terlibat dan tidak memberi sebarang mudarat dan keburukan.

Secara mudahnya, Islam telah menetapkan piawaian khusus sebelum hubungan diplomatik antara negara ini dapat dilaksanakan dan ianya diklasifikasikan dalam 3 kategori sebagaimana berikut :

1) Kerjasama yang penuh : Iaitu kerjasama yang dilakukan dalam membentuk kesepakatan sistem pentadbiran, ekonomi, sosial dan sebagainya di antara dua buah negara Islam ataupun lebih, sama ada arab ataupun bukan arab bagi mewujudkan umat Islam yang satu. Hubungan ini juga dikenali sebagai sistem khilafah islamiyah yang wajib untuk ditegakkan atas muka bumi ini.

2) Hubungan berbentuk mendekatkan/kerjasama : Hubungan diplomatik seperti ini dijalinkan bersama-sama negara non-Muslim berasaskan kepada  kepentingan secara bersama antara dua pihak sama ada dari sudut keamanan dan juga pertukaran manfaat yang diperolehi oleh kedua-dua belah pihak. Hubungan seperti ini iaitu (Negara Islam & non-Islam) diharuskan oleh syarak selama mana tidak menimbulkan pertelingkahan dan pertembungan yang boleh memudaratkan orang Islam.

3) Hubungan yang mesti diboikot/ diperangi : Hubungan dengan mana-mana negara yang telah menyakiti hati dan memerangi Umat Islam serta mereka yang cuba untuk menafikan hak umat Islam sama ada berbentuk perampasan hak milik tanah ataupun mencemarkan kesucian agama Islam. Islam mengharamkan jalinan hubungan dengan mana-mana negara yang tidak menghormati kesucian umat Islam dan tidak mampu untuk mengikut segala perjanjian dan permuafakatan yang telah termetrai secara bersama.

Sehubungan dengan itu, setiap pemimpin negara Islam yang diberi tanggungjawab oleh rakyat untuk mengemudi pelayaran bahtera sesebuah negara itu perlu mengetahui dan memahami dengan atas dasar apakah hubungan diplomatik itu ingin dilangsungkan. Ini adalah penting bagi memastikan kelancaran sistem pentadbiran sesebuah negara Islam agar ianya dapat menjaga keseluruhan maslahat negara dan rakyat daripada dinodai oleh musuh-musuh yang tidak bertanggungjawab serta mendapat keredhaan daripada Allah SWT.

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Abdul Aziz Bin Ali.
Presiden ,
(Lajnah Perhubungan Antarabangsa & Pengerusi HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

Sunday, June 24, 2012

KEMBARA '12 Pasti Memukau Anda



Anda sedang memikirkan aktiviti di musim cuti ini??

Di bawah Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah KPIPM akan mengadakan Jaulah ke Matruh dan Siwa pada 16-18 Julai 2012.

Antara tempat-tempat menarik yang akan dilawati ialah muzium Rommel, Hamman Cleopatra, Pantai Agiba, Jabal Mauta dan banyak lagi aktiviti-aktiviti menarik menanti anda di sana.

Oleh itu, bagi sesiapa yang berminat untuk mengikuti jaulah ini, sila daftarkan nama anda segera SEBELUM tarikh tutup pada 10 Julai 2012. Pendaftaran hanya LE300.00 sahaja.

Serahkan butiran diri anda kepada Zulhelmi bin Badiuzzaman di talian +201123210082. Penyertaan hanya dibuka kepada IKHWAH SAHAJA.

Saturday, June 23, 2012

Ribat KPIPM : Isu Umat Islam Dicakna Menuju Ramadhan



KAHERAH, 22 Jun – Sempena menyambut bulan Sya’ban yang mulia ini, Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah mengadakan Program Ehya’ Jum’ah yang dikelolai oleh Biro Dakwah Dan Tarbiah KPIPM. Program yang melibatkan seluruh anak Perak yang menuntut di bumi Anbiya’ ini adalah bertujuan untuk melahirkan golongan mahasiswa yang berperibadi unggul seiring dengan usul yang dibawa oleh KPIPM pada tahun ini.

Selesai solat Maghrib berjemaah, program yang bertempat di Wisma Darul Ridzuan A telah dimulakan dengan alunan burdah secara beramai-ramai. Seterusnya majlis yang dipengerusikan oleh saudara Adil bin Mohd Fadzil merangkap Ketua Biro Dakwah Dan Tarbiah KPIPM 2011/2012 telah diserahkan kepada saudara Ikmal Fikri Bin Mah Ali mahasiswa pengajian Syariah Islamiah tahun satu Universiti Al-Azhar Kaherah bagi mengepalai bacaan yaasin pada malam  itu.

Selesai bacaan yaasin, program pada malam itu diteruskan lagi dengan penyampaian tazkirah oleh saudari Nur Shuhada Binti Hashifuddin mahasiswi kuliah Syariah Islamiah tahun tiga Universiti Al-Azhar Kaherah.

Memetik dari ayat 30 surah Al Fussilat, beliau telah mengingatkan kepada semua hadirin mengenai kepentingan amalan istiqamah dalam menjalani kehidupan seharian sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Disamping itu, beliau juga telah menerangkan 8 cara untuk sentiasa beristiqamah serta mengingatkan supaya segala amalan baik yang dilakukan sepanjang fatrah imtihan yang lepas akan berterusan walaupan fasa Imtihan kian berakhir. Selasai solat Isyak dan solat hajat berjemaah Program Ehya Jum’ah ditangguhkn dengan semua hadirin saling bersalam salaman.


Pada keesokan paginya pula Program Ehya’ Jum’ah diteruskan lagi dengan Qiamullail Perdana yang bermula seawal jam 2.20 pagi. Selasai solat Subuh berjemaah, program pada pagi itu diteruskan lagi dengan Ribat KPIPM yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Abdul Malik Bin Abdul Karim , merangkap Penasihat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012 sebagai santapan rohani pada pagi itu.

Beliau menyentuh beberapa perkara mengenai peristiwa Israk mikraj, bulan Ramadhan serta beberapa isu semasa umat Islam yang berlaku pada hari ini yang perlu di ketahui oleh setiap induvidu muslim. Sesudah itu program Ehya’ Jum’ah pada minggu ini telah ditangguhkan dengan bacaan tasbih kaffarah dan surah Al-Asr.

Wednesday, June 20, 2012

Percanggahan Maklumat Mengenai Kematian Mubarak



Menurut Anggota Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir, Jeneral Mamduh Syahin kepada "CNN", berita kematian Mubarak adalah tidak benar.

Kata beliau "Dia tidak mati seperti yang dilaporkan, tetapi kesihatan beliau semakin merosot dan dia berada dalam keadaan kritikal."

Laporan ini bercanggah dengan Agensi Berita Timur Tengah yang mengatakan bahawa Husni Mubarak telah meninggal dunia selepas diserang strok dan dikejarkan ke hospital semalam (selasa).

Sumber : 
CNN

Menuju Cahaya





Di desa
Aku terus hanyut dibuai angin-angin lama
Hembusannya indah melekat di jiwa
Bunyiannya indah menenangkan jiwa muda
Ukhwah terasa walau baru berjumpa seketika 


Di kota
Bahangnya terasa walau di bawah tiupan gergasi tiga
Hati gelisah walau menghadap yang Maha Esa
Manusia berjalan tidak kenal siapa
Menongkah jalan mencari redha manusia



Kini aku musafir  merentas benua
Ke bumi Mesir bertalaqqi dan membina jiwa
Mencari yang hakiki untuk cicipan anak muda Negara
Kita harapan masyarakat desa dan kota
Tanamkan tekad pasangkan cita-cita
Aku pemuda pemudi harapan agama, bangsa dan negara.


Disediakan oleh :
el_zahra'
Usuluddin, Kaherah

Tuesday, June 19, 2012

Tahniah Dengan Kelahiran Cahaya Mata Ketujuh


(sekadar gambar hiasan)

KAHERAH, 19 Jun-KPIPM mengucapkan tahniah buat pasangan Ustaz Mohd Nasuha Bin Ismail dan Ustazah Fazidah Bt Daud, Kuliah Usuluddin,tahun dua, Kaherah yang menerima cahaya mata ke 7 semalam.

Puteri  seberat 3.3kg itu selamat dilahirkan melalui pembedahan di Hospital Ar-Rahmah Misr El-Jadidah pada tanggal 28 Rejab 1433H bersamaan 18 Jun 2012 pada jam 3.55 petang.

Sehingga kini, seperti dilaporkan bayi masih berada di Hopital dan akan pulang ke rumah  tengah hari ini.

“Kita mengucapkan syukur kepada Allah dengan memberikan nikmat zuriat seorang puteri kepada pasangan ustaz Nasuha, Semoga hidup lebih diberkati dengan kehadiran puteri kesayangan.” Ujar Saudara Mohammad Omar, YDP KPIPM ketika dihubungi. 

Semoga zuriat yang dikurniakan menjadi srikandi buat agama.

Semoga Berjaya Dalam Peperiksaan Kemasukan Al-Azhar (Imtihan Qabul)



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T diatas segala nikmat yang dikurniakan kepada sekalian makhluk. Seterusnya,dapat meneruskan kehidupan dalam dunia yang penuh dengan cabaran dan rintangan ini.

Sahabat bakal generasi Al-Azhar,

Kami bagi pihak Keluarga pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) mengucapkan semoga berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan kemasukan Al-Azhar (Imtihan Qabul)kepada pelajar negeri perak yang akan mendudukinya.

Seperti dijadualkan peperiksaan kemasukan Al-Azhar (imtihan qabul) bagi pelajar negeri Perak bersama negeri Kedah dan Perlis akan berlangsung pada 20 Jun 2012, Rabu yang bertempat di Kolej Islam As-Sofa Ampang, Selangor.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan(saja) mengatakan: "Kami telah beriman, sedang merekatidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah mengujiorang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnyaAllah mengetahui orang-orang yang benar dansesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”(Surah al-Ankabut : Ayat 2-3)

Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) yang menaungi anak-anak perak di Mesir memandang serius dalam memastikan generasi Al-Azhar sentiasa berterusan untuk mendalami ilmu di bumi yang berkat ini.

Justeru, pihak KPIPM akan sentiasa mendoakan kecemerlangan buat sahabat yang menduduki peperiksaan seterusnya melayakkan diri untuk menjadi mahasiswa/wi Al-Azhar.

“Berilmu, Beramal, Ikhlas”              
“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan

MOHAMMAD OMAR BIN ADAM
Yang DiPertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2011/2012

Monday, June 18, 2012

Sabar Menempuh Dugaan



“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan : “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi rajiuun”  [QS Al-Baqarah: 155 - 156]

Siswa siswi dirahmati Allah SWT, untuk mengatasi segala ujian dan cubaan ini, tatkala mendekati usia baligh manusia diberi dua kekuatan oleh Allah SWT. Kekuatan pertama ialah kekuatan hidayah untuk mengetahui kebenaran secara tepat.

Manakala  kekuatan kedua adalah sabar sebagai pelengkap bagi kekuatan pertama yang akan membantu dan menampungnya untuk melawan  hawa nafsu dan godaan syaitan.  Sabar terbahagi kepada 3 bahagian:

1. Sabar terhadap perintah, dengan jalan mentaatinya.
Sabar dalam ketaatan merupakan sabar terhadap tugasan  yang amat berat. Seseorang yang taat dan patuh memerlukan sabar dalam tiga keadaan :

Pertama : Sabar sebelum ketaatan,  iaitu dengan mengikhlaskan niat, sepertimana yang selalu disarankan setiap kali sebelum bermulanya program oleh AJK disiplin. Juga sering kita praktikkannya sebelum mengangkat Takbiratul Ihram. Membulatkan tekad untuk terus jujur dan menepati janji ini amat berat bagi orang yang mengerti hakikat niat dan ikhlas untuk membangkitkan iman. 

Kedua :  Sabar ketika  melakukan, iaitu menjadikan hati  tidak lalai kepada  Allah dan tidak malas untuk menepati pelaksanaan peraturan dan hukum yang Allah perintahkan. Melakukan taat bukan untuk habuan tetapi kerana rasa cinta kepadaNya. 

Ketiga :  Selepas menunaikan taat, hati menuntut  kesabaran yang sangat tinggi  dengan tidak merasa bangga dan mendabik dada kerana  riak dan populariti, sehingga mengakibatkan hilangnya keikhlasan.

2.  Sabar terhadap larangan dan kemungkaran dengan jalan menjauhinya.
Sentiasa sabar melawan kelemahan, kekesalan dan kepayahan  juga merupakan sabar yang amat berat. Seperti yang digambarkan dalam al-Quran berkenaan sabarnya Nabi  Yusuf AS dalam menghadapi godaan isteri al-‘Aziz itu lebih utama berbanding kesabarannya terhadap kejahatan dan tipu muslihat saudara-saudaranya yang mencampaknya ke dalam perigi.

3.  Sabar menghadapi takdir, dengan cara tidak berkeluh kesah
Seseorang tidak boleh merasa cukup dengan satu jenis kesabaran sahaja, kerena ia hidup di antara perintah-perintah yang wajib kita kerjakan dan larangan-larangan yang mesti kita tinggalkan.

Sebagaimana ia juga sentiasa berada di antara ketentuan-ketentuan takdir yang harus kita terima, serta nikmat yang wajib kita syukuri. Kita tidak pernah melepasi dari semua keadaan ini.

Maka sebagai seorang hamba, kesabaran tersebut harus sentiasa kita miliki sampai mati. Kesabaran merupakan satu keadaan  yang sukar dan perlu diusahakan dengan susah payah untuk merasai kemanisannya.

Al-Quran menggariskan  beberapa faktor  dalam  meringankan beban manusia, antaranya :

1. Memahami erti kehidupan yang sebenar.
Kehidupan dunia bukanlah syurga kebahagiaan atau tempat tinggal abadi, tetapi medan pelaksanaan tugas dalam menempuh ujian dan dugaan. Al Qur’an menjelaskan kepada kita bahawa kehidupan dunia penuh kesulitan dan kepayahan. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam susah payah.” (QS Al Balad: 4) 

Allah SWT menciptakan kehidupan dunia ini bercampur baur antara kesenangan dan kesusahan, antara kenikmatan dan penderitaan, antara  kebencian dan kecintaan. Tidak akan ada suka tanpa duka, tidak ada kesihatan tubuh tanpa penyakit, tiada istirehat  tanpa segunung lelah, atau pertemuan tanpa perpisahan, juga keamanan tanpa ketakutan.

2. Yakin akan adanya pahala yang baik di sisi Allah kerana di dalam al-Qur’an tidak ada janji pahala dan ganjaran yang lebih besar melainkan pahala sabar.
Firman Allah SWT: “Dan orang - orang  yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada tempat yang tinggi dalam syurga, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, itulah sebaik-baik pembalasan bagi orang-orang yang beramal, (iaitu) yang sabar dan bertawakkal kepada Rabbnya.” (QS Al Ankabut: 58 - 59)

3. Beriman kepada takdir dan sunatullah.
Apa yang menimpa diri seseorang bukanlah suatu kesalahan atau kekeliruan atau terjadi secara kebetulan. Semua yang sudah ditentukan takdirNya tidak mungkin salah atau meleset. Takdir Allah merupakan suatu kepastian, baik manusia itu rela menerimanya ataupun menzahirkan kemarahan. Menerima ketentuan, baik dengan sabar ataupun dengan resah gelisah.

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”  (QS Al Hadid: 22 - 23)

4. Yakin adanya jalan keluar dari musibah
Yakin  bahawa akan datangnya kemenangan dari Allah bagi orang-orang beriman sebagai ganti terhadap ujian dan dugaan yang dialaminya, bakal menghilangkan kegusaran hati, menghapus jiwa putus asa, dan percaya akan hadirnya hari esok yang lebih cerah bakal menanti.

Allah mengurniakan setiap insan itu akal untuk berfikir dengan dipandu oleh iman yang sejahtera dalam menelusur sebuah kehidupan yang sementara menuju Sang Pencipta.

"Julang Keilmuan Jana Keizzahan"
"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

Siti Hajar Aishah Binti Sakdon
Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan
Hal Ehwal Wanita Islam ( HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

Hilangnya Mutiara Pejuang, Al-Fadhil Ustaz Yahya Othman



7 JUN 2012 -Al-Fadhil Ustaz Yahya Othman seorang murabbi yang melalui liku kehidupan dengan  sentiasa merasai kenikmatan ilmu tidak kira di bumi sendiri ataupun di tanah asing.

Ketokohan kepimpinannya mula menyinar semenjak usia muda lagi dengan penglibatan beliau dalam organisasi. Dalam usia 15 tahun lagi, kepercayaan telah diberikan pada beliau apabila dilantik Jawatankuasa Belia Negeri Kelantan di Mekah sebagai Penolong Setiauasa .

Kepimpinannya tidak hanya dilenturi begitu sahaja bahkan terus diasak kemampuannya sebagai pemimpin dalam Jawatankuasa Biro Kebajikan, Persekutuan Melayu Mesir (PMM) pada tahun 1961 dan telah bertukar nama kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) pada tahun 1971.

Beliau juga pernah memegang amanah selaku Setiausaha Biro Pendidikan tahun 1962 dan pada tahun 1963, beliau diamanahkan menjadi wakil pelajar Malaysia dalam Kelab Pelajar Asing Antarabangsa.

Langkahannya pernah berlegar sekitar bumi Nabi Musa ini bukan hanya sekadar ilmuwan bahkan sebagai kepimpinan. Kesenangan dan kesusahannya menjadi bukti dirinya layak digelar murabbi.

Titisan air mata menerima pemergiannya adalah untuk memberikan isyarat kepada pemuda Islam bahawa dunia semakin tua dan kitalah yang perlu mewarisinya. Jadilah generasi harapan ummah untuk bersama-sama membangunkan Islam tidak kira selama mana tempohnya.

Semoga kilauan mutiara ini bisa menyedarkan kita betapa berharganya diri andai diberikan segalanya untuk agama sekaligus menjadi kita pejuang agama setiap masa dan ketika.

PMRAM mengucapkan takziah buat keluarga Almarhum Ustaz Yahya Othman di atas pemergiannya, semoga segala pengorbanannya diberikan ganjaran setimpal dan ditempatkan bersama-sama orang-orang beriman.

Sumber : pmram.org

Sunday, June 17, 2012

Ribat KPIPM Sempena Israk dan Mikraj


Ribat KPIPM 
Qiamullail Perdana 

Hari Jumaat 
2 Sya'ban 1433 H / 22 Jun 2012
Jam 2.20 Pagi 
Dewan Syeikh Sya'rawi, Wisma Darul Ridzuan A

TAZKIRAH SUBUH 
Sempena 
Israk Mikraj , Ramadhan dan Isu semasa Umat Islam

Oleh :

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Abdul Malik Bin Abdul Karim 
(Penasihat PMRAM 2012)


Penghayatan Israk Dan Mikraj


Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selaut kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi, atas kurniaan nikmat Iman dan Islam, buat seluruh hambanya dalam melakukan amal ibadah dan ketaatan sehari-hari. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti Baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.

Sejarah Yang Dirakamkan Dalam Al-Quran

Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Suatu Peristiwa Yang Menguji Keimanan

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya ataupun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Persediaan Hamba Bertemu Sang Pencipta

Baginda Rasulullah S.A.W. sebelum diIsra’kan telah menjalani suatu 'pembedahan' untuk membersihkan hati serta dimasukkan unsur rohani, iman dan hikmat. Jelas membuktikan di sini bahawa pada peringkat pertama untuk bertemu Allah kelak adalah pembersihan diri dan jiwa daripada segala sifat buruk, seterusnya menanamkan sifat baik dan ihsan dalam diri seorang hamba.

Dengan jiwa tenang, penuh keimanan dan ketakwaan, kita akan beroleh kemudahan untuk bertemu dan menghadap Allah, Tuhan Semesta Alam

Sahabat sekalian,

Sebagai penuntut ilmu yang berfikir, diharapkan semoga sejarah yang telah terlakar ini dapat kita hayati pengajarannya dalam melakukan gerak kerja amar makruf nahi munkar melalui dakwah fardhiah khususnya. Marilah sama-sama kita memperkasakan Biah Solehah dalam kalangan ahli KPIPM, baik di Wisma Darul Ridzuan mahupun rumah sewa. Samada  Pengajian Islam ataupun Perubatan.

“Berilmu Beramal Ikhlas”
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"


Saturday, June 16, 2012

Israk dan Mikraj : Perintis Bukti Ketaatan Hamba Kepada Pencipta


Sudah lumrah kehidupan seorang hamba untuk sentiasa melaksanakan segala suruhan dan perintah tuannya. Ini adalah dengan ketaatan yang sepenuhnya akan menjamin kehidupannya senang tanpa sebarang kesulitan.

Namun begitu, andai sebaliknya berlaku sudah pasti akan wujud pelbagai kesulitan akibat keingkarannya dalam mematuhi perintah dan arahan.

Tarikh 27 Rejab merupakan detik bersejarah bagi umat Islam kerana bermulanya satu pensyariatan kepada umat Islam. Pensyariatan tersebut ini terkandung dalam Rukun Islam kedua iaitu "Menunaikan solat lima waktu sehari semalam".

Peristiwa Israk dan Mikraj seringkali menjadi kisah untuk diteladani apakah intipati dan ibrah yang boleh dijadikan sebagai peringatan kepada umat Islam. Apabila  kita menghayati segala pengalaman dilalui oleh Nabi Muhammad SAW sudah pasti akan menjentik minda dan akal untuk meyakini betapa kasihnya Allah SWT pada Rasulullah SAW.

Segala kesulitan sepanjang menyampaikan dakwah, telah mengajar Baginda menjadi seorang penyabar dan tabah maka pengakhirannya Baginda dijemput Allah SWT untuk bersua. Peluang ini diterima oleh Baginda sebagai satu amanah yang perlu dipikul dan bakal diwarisi oleh umatnya.

Detik itu, bermula perintah solat bagi seluruh manusia sebagai bukti ketaatan seorang hamba kepada penciptanya. Tidak terkecuali kedudukan pangkat dan darjat, perbezaan budaya dan adat, setiap muslim wajib melaksanakannya dalam apa cara keadaan sekali.

Peristiwa ini juga membuktikan bagaimana pemikiran seorang pemimpin dalam menentukan satu keputusan. Baginda Rasulullah SAW adalah pemimpin bijaksana dalam menilai sesuatu tindakan. Buktinya pada awal perintah solat diwajibkan adalah sebanyak 50 waktu maka dengan mendengar pendapat Nabi Musa A.S, Baginda telah meminta untuk dikurangkan sehingga 5 waktu sahaja.

Beginilah akhlak pimpinan dalam memutuskan satu tindakan dengan memikirkan kebaikan semua pihak bukan hanya dalam tempoh singkat malahan untuk satu tempoh masa yang panjang.

Kewajipan solat merupakan satu bukti kukuh bahawa segala nikmat dan kurniaan dalam kehidupan manusia datangnya daripada Allah SWT . Bahkan kebaikan menunaikan solat dapat mencegah manusia daripada pelbagai tindakan yang menyimpang daripada kehendak Allah SWT dan ajaran Baginda Rasulullah SAW sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud : "Sesungguhnya solat dapat mencegah daripada perkara yang keji dan mungkar".

Justeru, sejarah Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar diingati namun perlu difikirkan segala intipati yang boleh diambil untuk memberikan kita suntikan semangat dalam diri seorang hamba.

Andai benar kita seorang hamba mensyukuri segala kurniaan diberikan selama ini buktikan kepada tuhan sekalian alam Allah Rabbul Jalil bahawa kita seorang hamba bertaqwa dengan meyakini segala janji dan balasannya kelak.

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Ahmad Baihaki bin Rashid
Naib Presiden I
(Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011

Sumber : pmram.org

Thursday, June 14, 2012

Perbincangan Mengenai Jika Pilihanraya Berlaku Pada Musim Haji



Persoalan mengenai mana prioriti yang perlu diutamakan apabila melibatkan pertembungan ibadah Haji dan juga kewajipan mengundi sekiranya pilihanraya berlaku pada musim Haji dapat dilihat kepada beberapa aspek yang penting sebelum kesimpulan dibuat. Aspek-apek yang penting ialah mengetahui bentuk kewajipan ibadah Haji dan kewajipan mengundi dalam pilihanraya serta memahami kaedah feqh muwazanat dan feqh aulwiyat.

HUKUM MENGERJAKAN HAJI

Haji merupakan rukun kelima dalam rukun Islam. Hal ini jelas berdasarkan kepada sabda Nabi SAW :

“Dibina Islam itu atas 5 perkara (rukun), penyaksian tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad merupakan utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan puasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.” – Bukhari dan Muslim

Bermula musim untuk umat Islam mengerjakan haji dengan ihram haji ialah pada bulan Syawal, Zulkaedah dan sehingga 10 Zulhijjah. Maka inilah ibadah Haji yang mempunyai waktu-waktu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“(Masa untuk mengerjakan ibadah) Haji itu ialah beberapa bulan yang tertentu.” – Surah Al-Baqarah : 197

Para ulama’ sepakat bahawa kewajipan haji adalah sekali sahaja bagi yang berkemampuan. Adapun kali yang kedua dan selebihnya merupakan ibadah tambahan yang dilakukan oleh individu tersebut sahaja, bukan atas dasar kewajipan. Hal ini dilihat kepada Nabi SAW tidak melaksanakan haji melainkan sekali sahaja iaitu Haji Wada’.[1]

Syarat wajib Haji ialah :

1    1-   Islam
2    2-   Baligh
3    3-   Berakal
4    4-   Merdeka
5    5-   Berkemampuan

Berkemampuan di sini dimaksudkan dengan cukup bekalan untuk melaksanakan ibadah Haji serta perjalanan yang ingin dilalui selamat ke atas jiwanya dan hartanya. Jika seseorang muslim tersebut tidak mencukupi salah satu syarat ini maka Haji tidak wajib ke atasnya.

Dalam Mazhab As-Syafie, kewajipan Haji tidak wajib melaksanakannya di awal waktu, bahkan terpulang kepada seseorang muslim untuk melaksanakannya pada bila-bila masa (ketika mencukupi syarat-syarat wajib) sebelum luput kewajipan tersebut iaitu kematian dan sakit sehingga menyebabkannya tidak mampu.

Sehubungan itu, sekiranya seseorang muslim tersebut mengetahui walau secara sangkaan yang kuat (zhan) akan seperti kematiaan dan sakit yang teruk maka haram baginya untuk melewatkan kewajipan haji sehingga menyebabkan luput kewajipan haji ke atasnya. Namun jika ia tidak mengetahui walau secara sangkaan yang kuat maka hukum kewajipan Haji kembali kepada asal iaitu terpulang kepadanya untuk melaksanakan kewajipan Haji pada bila-bila masa (apabila mencukupi syarat-syarat wajib).

Justeru, berdasarkan ilmu usul feqh berkenaan dengan kewajipan Haji ini, ia termasuk dalam kategori wajib muwassa’[2] (luas) iaitu wajib melakukan pada bila-bila masa dalam tempoh kewajipan tersebut sebelum luput kewajipan itu.

Maka kesimpulan mengenai kewajipan Haji dapat dibuat beberapa perkara :

-      Wajib dan merupakan salah satu rukun Islam
-      Kewajipan hanya sekali sahaja
-      Kewajipan apabila mencukupi 5 syarat wajib
-     Termasuk dalam wajib muwassa’ (luas) iaitu boleh melaksanakan pada bila-bila masa dalam  tempoh kewajipan sebelum luput kewajipan dengan sebab kematian atau sakit yang teruk

Hukum Mengundi

Majoriti ulama’ menyatakan bahawa hukum mengundi wajib dan ia dikira berdasarkan kepada konsep penyaksian iaitu memberikan saksi bahawa calon yang undi tersebut adalah baik dan layak untuk memegang amanah sebagai pemerintah.


Pendapat ini digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, Syeikhul Al-Azhar Syeikh Ahmad Tayyib, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah dan sebagainya.


Justeru warganegara yang layak mengundi wajib mengundi atas dasar memberikan penyaksian. Jika calon tersebut tidak layak serta tidak amanah maka ia tidak boleh berkrompomi dengannya. Jika calon tersebut amanah dan mampu memikul tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama dan maslahat keduniaan manusia ia mestilah mengundi calon tersebut. Hal ini demikian kerana memberikan kuasa kepada orang yang akan memberikan kerosakan adalah haram kerana bersubahat dengannya.


Berkata Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna : “Memberikan undian adalah suatu penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah)”


Hal ini demikian kerana mengundi mengundikan wasilah bagi memilih tampuk kepimpinan Islam dalam konteks mendirikan Negara Islam untuk melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh. Sehubungan itu mengundi merupakan wajib kerana ia termasuk dalam wasilah bagi tujuan yang wajib iaitu mendirikan Negara Islam. Maka ini termasuk dalam kaedah :

ما لا يَتِمُّ الواجِبُ إلا به فَهُوَ واجِب
Sesuatu kewajipan yang tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu perkara maka ia menunjukkan bahawa perkara tersebut adalah wajib. Membangunkan negara Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat secara menyeluruh tidak dapat tidak mesti dengan pentadbiran sesebuah negara. Maka tanpa melalui pilihanraya, gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk mentadbir negara.

Imam Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa jihad tidak hanya tertumpu kepada satu jenis sahaja iaitu menganngkat senjata berhadapan dengan musuh di medan perang. Sehubungan itru, Imam Ibnu Qayyim membahagikan jihad kepada 13 peringkat[3] iaitu :

-         - Jihad menentang nafsu sebanyak 4 peringkat
-         - Jihad menentang syaitan sebanyak 2 peringkat
-         - Jihad menentang golongan kafir sebanyak 4 peringkat
-         - Jihad menentang golongan zalim, bid’ah dan fasik sebanyak 3 peringkat

Maka segala perbuatan yang dilakukan bagi memenangkan Islam atau menaikkan Islam merupakan jihad dan ketaatan kepada Allah SWT serta mendapat pahala di hari akhirat. Sekiranya membuang benda yang menyakiti di tengah jalan atau laluan manusia juga dikira dalam Islam sebagai perkara yang mendatangkan pahala serta salah satu cabang daripada iman sebagaimana dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

 “Iman itu lebih 70 cabang atau lebih 60 cabang, yang paling afdhal (tinggi) ialah (mengucap) penyaksian ‘tiada tuhan yang disemnbah melainkan Allah’ dan peringkat yang terendah ialah membuang perkara yang menyakiti (benda kotor dan sebagai) yang berada di tengah jalan. Malu itu satu cabang daripada iman”[4]

Justeru apakah menentang serta menolak kezaliman (dengan cara mengundi kepada pihak yang adil dalam pilihanraya) tidak termasuk dalam berjihad di jalan Allah SWT? Maka sudah tentu ia juga termasuk dalam konteks berjihad, melihat kepada beberapa hujah iaitu :

1     1-   Ia merupakan seruan dakwah yang disebutkan oleh Allah SWT sebagai seruan yang berbentuk hikmah dan peringatan yang baik
2      2-   Waktu, masa, tenaga serta harta yang dibelanjakan bagi memenangkan pihak yang adil dan menarik masyarakat kepada perjuangan Islam dan menerima perundangan Islam merupakan jihad sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT berkaitan Allah SWT membeli jiwa serta harta mereka dengan bayaran syurga
3     3- Termasuk juga dalam konteks menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ia menyeru masyarakat dalam memilih perjuangan Islam dan menolak pihak yang zalim. Pihak yang tidak melaksanakan Islam adalah pihak yang zalim
4    4-   Undi juga dikira sebagai salah satu konsep nasihat iaitu menasihati pemimpin. Ia termasuk dalam seruan Islam berkenaan agama sebagai konsep nasihat.
5   5-   Termasuk dalam kewajipan masa kini iaitu menentang kerajaan yang zalim. Mengalahkan pihak dengan undian sebagaimana mengalahkan pihak musuh di medan perang. Tuntutannya mengalahkan pihak kezaliman dan memenangkan Islam walau dalam bentuk yang berbeza.

Sehubungan itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa :


1      1- “Sesiapa yang memberikan saksi (undian) kepada seorang yang tidak soleh bahawa lelaki tersebut adalah soleh (layak menjadi pemimpin) maka ia sesungguhnya orang yang memberikan undi tersebut telah melakukan dosa dan kesalahan berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Hajj pada ayat ke-30 yang bermaksud :


2      2- “Dan jauhilah kekotoran syirik dan perkataan yang dusta (menipu)”

3   3- Maka sesiapa yang mengundi seseorang calon kerana kepentingan peribadi seperti kroninya atau kawannya atau kepentingan lain (selain Islam), maka ia telah melanggar konsep saksi. Sedangkan Allah menyuruh manusia memberikan saksi kerana-Nya (kepentingan Islam) bukan sebab kepentingan lain. Berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah At-Thalak pada ayat ke-2 yang bermaksud :


4     4- “Dan hendaklah kamu menyempurnakan penyaksian itu kerana Allah semata-mata”

5   5- Dan sesiapa yang tidak mengundi atau tidak memberikan undi kepada yang selayak (dengan sengaja) ia dikira telah menyembunyikan penyaksian dan ini bersalahan dengan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 283 yang bermaksud :


6 6-“Dan janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan penyaksian sesungguhnya ia berdosa akan hatinya”[5]

Justeru berkaitan hukum mengundi, dapat disimpulkan kepada beberapa perkara :

-     1- Mengundi merupakan satu kewajipan kerana mengundi merupakan wasilah bagi memilih kepimpinan Islam dalam mendirikan Negara Islam
-     2- Mengundi dalam pilihanraya termasuk dalam konteks jihad kerana menentang kezaliman dan menolak pihak yang melawan syariat Islam bagi memenangkan pihak Islam atau gerakan yang membawa perjuangan Islam
-    3- Dalam ilmu usul feqh, kewajipan mengundi termasuk dalam wajib mudhaiyaq(sempit) iaitu mesti dilaksanakan pada waktu itu juga. Iaitu tempoh mengundi bagi pilihanraya Malaysia adalah 5 tahun sekali, maka kewajipan mengundi adalah pada waktu pilihanraya sahaja iaitu dalam tempoh 5 tahun sekali
-     4- Kewajipan mengundi adalah setiap kali berlakunya pilihanraya

Feqh Muwazanat Dan Feqh Aulawiyat

Feqh muwazanat ialah pemahaman bagi sesuatu perkara yang bertembung samada pertembungan di antara maslahat dengan mudharat atau pertembungan maslahat dengan maslahat, mudharat dengan mudharat.

Feqh Aulwaiyat ialah memahami keutamaan bagi sesuatu perkara dalam mendahulukan apa yang sepatutnya didahulukan. Maka kedua-dua feqh ini mempunyai kaitan yang sangat rapat kerana dalam permasalahan yang timbul iaitu yang melibatkan pertembungan 2 perkara maka kita mesti memahami pertembungan yang berlaku sebelum mendahulukan atau mengutamakan sesuatu perkara tersebut.

Antara contoh yang disebutkan dalam Al-Quran ialah, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang yang mengerjakan Haji dan memakmurkan MAsjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah.”

Maka dalam ayat tersebut perbuatan memberi minum dan memakmurkan Masjid Al-Haram merupakan kebajikan namun ia bukanlah aulawiyat yang dikehendaki oleh Allah sehingga mereka tidak mahu beriman serta berjihad. Maka aulawiyat yang patut diutamakan ialah beriman serta berjihad. Sebab itu Allah menyebut 2 golongan tersebut tidak sama martabat mereka di sisi Allah.

Justeru, dalam konteks jika pilihanraya berlaku pada musim Haji, maka kita mesti mengambil kira dari sudut feqh muwazanat dan feqh aulawiyat. Penilaian ini dapat dilihat kepada :

Feqh Muwazanat : –

1   1-   Haji merupakan kewajipan dan ia adalah termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu rukun Islam. Mengundi merupakan kewajipan dan ia juga termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu wasilah bagi mendirikan agama.
2     2-   Hasil kewajipan menunaikan Haji adalah kembali kepada individu yang melakukan Haji tersebut. Hasil kewajipan mengundi adalah kembali kepada umum iaitu pemerintah Islam yang diundi dan menang akan membawa maslahat umum dalam pemerintahannya.
3  3-   Kesan tidak melaksanakan Haji pada tahun tersebut akan memberikan mudharat individu tersebut sahaja (iaitu masih belum melaksanakan kewajipan Haji) dan kewajipan tersebut boleh diganti dengan peluang pada tahun-tahun yang akan datang. Kesan tidak mengundi akan memberikan kesan yang umum (apabila pihak Islam dikalahkan oleh pihak yang menolak perjuangan Islam) dan kesannya adalah sepanjang tempoh 5 tahun iaitu Islam tidak dapat memerintah dan kezaliman akan memerintah sepanjang tempoh tersebut.

Justeru, ibadah Haji dan mengundi merupakan pertembungan di antara maslahat dan maslahat, maka konsep yang dilihat adalah kepada 3 perkara[6] sebagaimana yang dibentangkan di atas, iaitu

-          -Martabat maslahat. Haji (agama) dan mengundi (agama)
-          -Kadar menyeluruh samada umum atau individu. Haji (individu) dan mengundi (umum)
-          - Kesan waktu mudharat samada pasti atau tidak. Haji (pasti berlaku mudharat tetapi
              tahun tersebut sahaja) dan mengundi (pasti berlaku mudharat tetapi untuk tempoh        
              5 tahun)

 Feqh Aulawiyat : -

-          Haji merupakan penting iaitu tahap wajib. Mengundi merupakan penting iaitu tahap wajib.
-          Haji tidak segera iaitu termasuk dalam konteks wajib muassa’ (luas), tempoh melaksanakannya sebelum luput kewajipan iaitu kematian atau sakit teruk. Mengundi termasuk dalam konteks wajib mudhaiyyaq (sempit), tempoh melaksanakannya ialah dalam waktu kewajipan tersebut ketika dalam pilihanraya.

Maka dalam penilaian feqh aulawiyat dilihat kepada sesuatu kondisi perkara tersebut samada penting atau tidak, dan segera atau tidak. Hasilnya sebagaimana yang telah dibentangkan di atas.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pembentangan di atas mengenai hukum Haji dan mengundi dalam pilihanraya serta pemahaman mengenai feqh aulwaiyat dan feqh muwazanat, dapat kita ketahui bahawa :

1    1-   Haji dan mengundi merupakan kewajipan dan maslahat serta martabatdharuriyatnya adalah peringkat agama kerana Haji merupakan salah satu rukun Islam manakala mengundi merupakan kewajipan dalam mendirikan agama.

2    2-   Haji lebih fokus kepada individu yang melakukan ibadah Haji terseut iaitu maslahat dan mudharat adalah ke atas individu sahaja. Adapun mengundi lebih fokus kepada umum iaitu maslahat atau mudharat yang bakal terima menyebabkan pihak yang ramai dan umum.

3    3-   Haji dan mengundi merupakan penting kerana ia merupakan kewajipan namun Haji tidak termasuk dalam konteks yang perlu diselesaikan segera (wajibmuwassa’) manakala mengundi mesti dilaksanakan segera iaitu dalam tempoh tersebut juga (wajib mudhaiyyaq).

4   4-   Kewajipan haji adalah sekali sepanjang hayat manakala kewajipan mengundi adalah setiap kali pilihanraya.

Sehubungan itu hasil perbincangan di atas menjelaskan beberapa perkara :

1    5-   Pihak kerajaan (mana-mana negara terutama Negara-negara Islam), elakkan daripada berlakunya pertembungan tarikh antara pilihanraya dan ibadah Haji bagi meraikan syiar Islam iaitu Haji agar umat Islam dapat fokus untuk melaksanakan ibadah Haji sepenuhnya.

2    6-   Jika terdesak seperti tidak ada tarikh yang lain melainkan terpaksa bertembung maka umat Islam mesti peka dan faham terhadap aulawiyat antara 2 kewajipan ini.

3    7-   Individu yang sudah melakukan Haji sebelum ini, tidak menjadi keutamaannya lagi untuk melakukan ibadah Haji ketika itu, kerana Haji wajib sekali sahaja. Maka apabila bertembung perkara wajib (mengundi) dengan sunat (Haji kali ke-2 dan seterusnya) didahulukan perkara wajib (mengundi).

4    8-   Jika bertembung antara 2 kewajipan iaitu ibadah Haji dan mengundi maka sebagaimana perbincangan di atas, diutamakan mengundi. Sirah menunjukkan bahawa jenazah Nabi SAW dikebumikan selepas para sahabat berbincang melantik ketua pemimpin. Besarnya kewajipan melantik pemimpin sehingga dilewatkan pengebumikan jenazah baginda SAW.

5    9-   Jika individu yang sudah mendapat peluang mengerjakan Haji, akan tetapi berasa berat untuk menangguhkan ibadah Haji tersebut kerana bimbang berlaku mudharat besar yang dirasakan, maka jangan niat larikan diri daripada kewajipan mengundi, akan tetapi wajib ke atasnya ketika itu berdoa di depan Kaabah agar diberikan kemenangan kepada pihak Islam. Namun perlu ingat, walaupun begitu, keutamaan yang sebenar ialah mengundi (berdasarkan perbincangan di atas).

6   10-   Umat Islam perlu memahami kaedah bahawa menanggung mudharat yang kecil (wang dan masa kerana terpaksa tunggu giliran untuk ibadah Haji) supaya menghilangkan mudharat yang lebih besar (pihak zalim memerintah disebabkan pihak Islam hilang undi).

Wallahu a’lam….

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
1   1-    Al-Intikhabat Ahkam Wa DHawabit, oleh Dr Akram Kassab, cetakan Dar As-Salam
2   2-   Min Fiqh Ad-Daulah Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar As-Sharouq
3   3-   Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Dr Abdul Aziz Azzam, cetakan Dar Al-Hadis Al-Kaherah
4   4-   Dhawabit Al-Maslahat, Dr Muhamad Said Ramadhan Al-Buti, cetakan Dar Al-Fikr
5   5-   Nihayah As-Sul Syarh Minhaj Al-Wusul Ila ‘Ilmi Al-Usul, cetakan Dar Ibnu Hazm
     6-   Hasyiah Baijuri, cetakan Dar Al-Maktab Al-Islami



[1]  Hasyiah Baijuri, jilid pertama, cetakan Dar Al-Kutub Al-Islami, m/s 591
[2] Nihayatul Sul Fi Syarhi Minhaj Al-Wusul Ila ‘Ilmi Al-Usul, jilid pertama, m/s 98
[3]  Zad Al-Ma’ad, oleh Imam Ibnu Qayyim. Rujuk kitab Al-Intikhabat Ahkam Wa Dhawabit, oleh Dr Akram Kassab, cetakan Dar As-Salam, m/s 33
[4]  Sahih Muslim no 35
[5]  Min Fiqh Ad-Daulah Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi m/s 138-139
[6] Dhawabit Al-Maslahat, oleh Dr Said Muhamad Ramadhan Al-Buti, m/s 261

Sumber : manhal-pmram

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...