Monday, March 27, 2023

LAPORAN | PROGRAM FAMILY DAY AND WINTER TRIP 2023 (FAMILY '23)

LAPORAN | PROGRAM FAMILY DAY AND WINTER TRIP 2023 (FAMILY ’23)
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023 

KAHERAH – Program Family Day And Winter Trip 2023 (FAMILY ‘23) anjuran Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023 telah dijalankan selama 14 hari dengan bertemakan “Family Creates Memories”.

Family Day And Winter Trip 2023 (FAMILY ‘23) ini bermula pada 9 Februari 2023 bersamaan 18 Rejab 1444H sehingga 23 Februari 2023 03 Syaaban 1444H. Objektif utama yang ingin dicapai ialah mengukuhkan tautan ukhuwah antara satu sama lain, mewujudkan semangat berpasukan melalui persaingan yang sihat dan melahirkan mahasiswa/wi yang cakna akan sirah-sirah nabi terdahulu. Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, FAMILY ‘23  telah berjaya merancang, menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang bagi semua mahasiswa dan mahasiswi.

9 Februari 2023 bersamaan 18 Rejab 1444H Family Day And Winter Trip 2023 (FAMILY ‘23) dimulakan dengan Malam Perasmian. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Asmaul Husna, lagu PMRAM serta lagu tema. Seterusnya diteruskan dengan ucapan daripada pengarah program Ustaz Alif Farhan bin Shuib dan Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023, Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari. Kemudian majlis diteruskan lagi dengan perasmian yang telah disempurnakan oleh Ustaz Najib bin Abd Ghafar, Yang Dipertua BKPJM sesi 2022/2023. Majlis ini diadakan secara langsung di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi pada jam 8.00 malam dan selesai pada jam 9.30 malam. 

Pada tarikh 12 Februari hingga 14 Februari 2023, program telah diteruskan dengan mengadakan jaulah ikhwah ke Sinai dan Dahab manakala jaulah akhawat berlangsung pada 13 Februari hingga 15 Februari 2023 . Jaulah ini adalah hasil kerjasama antara BKAN Taakhi Zon C iaitu Johor, Perak dan Perlis yang mana dianjurkan bersempena dengan cuti semestar penggal pertama selepas imtihan fasa 1 baru-baru ini.
 
Pada tarikh 12 Februari bagi jaulah ikhwah manakala 13 Februari bagi jaulah akhawat, semua peserta telah berkumpul di Dewan Baitul Rahman untuk sesi taklimat sebelum bertolak ke destinasi. Antara yang ditekankan adalah berkenaan tentang etika dan keselamatan sepanjang aktiviti jaulah dilaksanakan. Sebelum memulakan perjalanan, semua peserta digalakkan untuk menunaikan solat sunat musafir. Bilangan keseluruhan peserta ikhwah dan akhawat yang menyertai jaulah ini ialah seramai 122 orang.

   Pada jam 2.30 pagi, para peserta sudah memulakan perjalanan ke Sinai. Dalam pejalanan, bas peserta telah berhenti singgah sebentar  di Nokhtah Hasanah sekitar jam 6.00 pagi bagi menunaikan Solat Subuh. Sejurus selesai menunaikan solat, perjalanan diteruskan. Setelah selesai solat Subuh secara berjemaah, FAMILY ‘23 meneruskan perjalanan ke destinasi pertama yang dituju adalah Kubu Bar Lev yang merupakan tapak peninggalan kubu Israel yang datang menjajah Sinai pada tahun 1967. Sebenarnya Semenanjung Sinai ini tidak kurang daripada 15 kali cubaan bagi kuasa-kuasa luar bagi menguasainya.  

      Kemudian pada jam 8.30 pagi, perjalanan diteruskan lagi melalui Uyun Nabi Musa yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari Kubu Bar Lev. Di sinilah terdapat 12 telaga yang telah digali oleh 12 puak daripada kalangan Bani Israel. Tetapi kini hanya tinggal 3 sahaja yang ditemui. Seterusnya, peserta bertolak ke Jabal Nabi Musa A.S (St.Catherina) pada jam 3.00 petang. Di sini, para peserta mengambil peluang berdoa dan bertawassul di Maqam Nabi Harun A.S di samping mengambil gambar kenangan di bukit Batu Kesan Lembu Samiri.
Setelah itu, FAMILY ‘23 ke penginapan dan solat. Para peserta berkumpul di halaman tempat penginapan bagi taklimat penginapan. Seterusnya peserta diberi masa untuk berehat, melaksanakan solat makan malam dan BBQ. Turut dijalankan taklimat keselamatan sebelum mendaki Jabal Musa dan membahagikan peserta kepada beberapa kumpulan. Setelah selesai taklimat, peserta diberi masa untuk berehat dan membuat persediaan mendaki Jabal Musa.

     Ekspedisi mendaki bermula jam 1.00 pagi dan mengambil masa selama 4 jam untuk sampai ke puncak bukit. Sejurus selepas sampai di puncak, para peserta menunaikan solat subuh secara berjemaah di puncak bukit serta menikmati pemandangan matahari terbit. Setelah selesai aktiviti pendakian, peserta pulang ke tempat penginapan bagi bersiap-siaga untuk ke destinasi seterusnya iaitu Dahab.

      Apabila tiba di Dahab, para peserta jaulah terus menuju ke Hotel Octopus yang merupakan tempat penginapan semasa di sana. Di sana adalah tempat untuk kami menunaikan solat , berehat dan menjamu selera. Peringkat jaulah telah memberi ruang kepada para peserta bagi mengisi masa lapang pada waktu petang dengan aktiviti menaiki ATV Quard Bike di kawasan berdekatan tempat penginapan. Pada waktu malam pula, para peserta diberi masa berehat dan melakukan aktiviti bebas.
Pada hari ketiga, seusai menunaikan solat Subuh, semua peserta mengambil sarapan dan bersiap ke aktiviti yang terakhir iaitu aktiviti Glass Boat. Dengan melaksanakan aktiviti ini, kami dapat melihat hidupan-hidupan di dalam laut secara terus dalam masa yang sama menikmati keindahan ciptaan Allah dan mengambil gambar kenang-kenangan.   
           
      Akhir sekali, setelah bersiap untuk check-out, kami memulakan perjalanan pulang ke Kaherah. Dalam perjalanan pulang, FAMILY ’23 diteruskan dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah di dalam bas yang disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023, Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari kepada musyrif penerangan dan unit makanan sebagai tanda penghargaan di atas bantuan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang jaulah berlangsung. 
FAMILY ‘23 diteruskan pada hari berikutnya 16 Februari 2023, dengan pengisian oneman show yang bertajuk “Piala Dunia Qatar 202: Persepsi vs Realiti” yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Azib bin Azizan, Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2022/2023. Aktiviti ini dilaksanakan selepas bacaan Yaasin dan Ehya' al-Jum’ah
Pada 18 Februari 2023, FAMILY ‘23 dihangatkan lagi dengan aktiviti outdoor bagi ikhwah di Istad Abbasiah, Kaherah. Aktiviti outdoor ikhwah dimulakan dengan perasmian dan acara perarakan semua kontinjen daripada 3 buah rumah sukan iaitu red crescent, blue helmet dan green berets. Aktiviti diteruskan dengan ucapan alu-aluan Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023, Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari. Seterusnya, aktiviti diteruskan dengan acara larian 100 meter, 200 meter, 4x100 meter, 4x200 meter. Antara aktiviti lain adalah lari ikat kaki berpasangan, sukaneka, tarik tali, bola baling, bola tampar dan lain-lain. 

     FAMILY ‘23 diteruskan pada hari berikutnya 19 Februari 2023, dengan aktviti outdoor akhawat  dijalankan di Hadiqah Atfal dimulai dengan perarakan seluruh kontinjen rumah sukan. Seterusnya aktiviti diteruskan dengan majlis perasmian dan ucapan alu-aluan Ketua HEWI KPIPM sesi 2022/2023, Ustazah Noor Raihana Zawani binti Johari. Antara aktiviti yang diadakan adalah acara balapan iaitu 100 meter, 4x100 meter. Terdapat juga acara sukaneka seperti kerusi muzik, teka-teki sirah, pecahkan belon, ball pass back, bola beracun dan lain-lain turut dipertandingkan.

    Pada 19 Februari 2023, Piala KPIPM dan Piala An-Nisa’ mewarnai FAMILY ‘23 dan ia merupakan perlawanan yang dinanti-nantikan oleh mahasiswa dan mahasiswi Perak di Lembah Nil ini. Piala KPIPM berlangsung di Padang Zahra, Hayyu Asyir sementara di peringkat akhawat berlangsung di Padang Alsun, Hayyu Thamin. Sebanyak 16 pasukan bertanding untuk memenangi Piala KPIPM. Perlawanan akhir menyaksikan pertembungan di antara pasukan An-Nasr dan Swordfish 1. Akhirnya, pasukan An-Nasr telah berjaya menjadi juara pada sesi kali ini. Bagi anugerah pemain terbaik Piala KPIPM ialah saudara Muhamad Hafizul Akmal bin N Rodzi dan penjaring gol terbanyak, saudara Azizul Haniff bin Abdul Aziz manakala Piala An-Nisa’ pula telah menyaksikan pertempuran sengit antara kumpulan Jauhar wakil BKPJM dan Queen Gaurus daripada wakil KPIPM. Hasil perlawanan bola baling ini telah dimenangi oleh Queen Gaurus dan penjaring gol terbanyak ialah saudari Nurhafizah binti Mohd Basri manakala pemain terbaik ialah saudari Nur Nazifa binti Abdul Rahim. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang.

      Majlis Penutupan FAMILY ‘23 telah diadakan di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Baitul Ridzuan pada 23 Februari 2023. Program bermula pada jam 5.30 malam dimulai dengan Ehya' al-Jum’ah sehingga 6.00 malam. Sejurus Solat Isyak berjemaah dan bacaan Yaasin, Majlis Penutupan FAMILY ‘23 dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis. Selepas itu, majlis diteruskan dengan ucapan pengarah, Ustaz Muhammad Alif Farhan bin Shuib dan Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023, Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari.

      Seterusnya majlis diserikan lagi dengan persembahan daripada wakil setiap rumah-rumah sukan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah sajak, nasyid dan lakonan. Seterusnya, majlis diteruskan dengan acara yang ditungggu-tunggu iaitu penyampaian hadiah bagi setiap pemenang rumah sukan dan pengumuman pemenang rumah sukan bagi keseluruhan. Rumah merah iaitu rumah Red Crescent telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan FAMILY ‘23. Sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh ahli rumah sukan atas kejayaan yang diperolehi. Majlis diakhiri dengan tayangan video penutup FAMILY ‘23 dan santapan jamuan serta sesi bergambar sebagai kenang-kenangan. Majlis ini telah berakhir pada jam 10.00 malam.

    Maka, berakhirlah sudah program FAMILY ‘23 Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023. Diharapkan agar program ini dapat mengeratkan tautan ukhuwah sesama anak-anak Perak di Mesir serta mengukuhkan peranan KPIPM sebagai wadah kesatuan anak-anak Perak di bumi Mesir. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan program FAMILY ‘23 dan semoga program Hari Keluarga akan datang dapat dianjurkan dengan lebih gemilang dan berjaya kelak. Sekian, terima kasih.

“Family Creates Memories”

#FAMILY23
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM
 
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Disediakan oleh :
Ustaz Muhammad Izzuddin Yassin bin Rizalman
Setiausaha Family Day And Winter Trip 2023 (FAMILY ‘23)
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...