Wednesday, November 25, 2020

LAPORAN | PROGRAM APRESIASI GRADUAN PERAK DI MESIR 2020 (KHIRRIJIN'20)

LAPORAN | PROGRAM APRESIASI GRADUAN PERAK DI MESIR 2020 (KHIRRIJIN'20)

Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2020/2021


KAHERAH, 18 November 2020 – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah menganjurkan program Apresiasi Graduan Perak di Mesir 2020 (KHIRRIJIN’20) yang bertemakan “Pulang Mencurah Bakti” bertempat di Sally Mall, al-Manteqah al-Oula, Kaherah. Program KHIRRIJIN'20 ialah anjuran Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2020/2021 untuk meraikan graduan dan graduanita Perak yang berjaya menamatkan pengajian mereka dan mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan sesi lepas. Antara objektif lain adalah untuk mengeratkan ukhuwah Islamiah sesama mahasiswa dan mahasiswi Perak tahun akhir di bumi Mesir. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menyelaraskan teknikal kepulangan graduan dan graduanita Perak. 
           
KHIRRIJIN'20 kali ini hanya memfokuskan kepada pelajar tahun akhir yang telah menamatkan pengajian, calon tasfiah dan dur thani. Program ini telah berjaya mengumpulkan graduan dan graduanita seramai 43 orang (24 orang graduan dan 19 orang graduanita) yang terdiri daripada Kuliah Syariah Islamiyah, Kuliah Usuluddin, Kuliah Bahasa Arab, dan Kuliah Ulum Islamiyah Universiti al-Azhar, Mesir. 
          
Program Apresiasi Graduan Perak di Mesir 2020 ini diadakan pada hari Rabu, 18 November 2020 bermula pada jam 2.30 petang dengan kehadiran tetamu dan sesi pendaftaran untuk para peserta. Majlis dimulakan dengan penerangan perjalanan ringkas majlis, etika disiplin, protokol majlis dan Standard Operating Prosedures (SOP) yang dikendalikan oleh Unit Disiplin dan Protokol KHIRRIJIN’20. Kemudian, diteruskan dengan nyanyian Nasyid Asmaul Husna serta bacaan ayat suci al-Quran yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Khairil Anam bin Mohamad Ridzuan, Setiausaha Agung KPIPM sesi 2020/2021.
Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada pengarah KHIRRIJIN’20, al-Fadhil Ustaz Aiman bin Mohd Yusoff dan ucapan perasmian oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2020/2021, al-Fadhil Ustaz Ammar Rushdi bin Jamaluddin  secara tidak langsung turut memberikan kata-kata semangat dan suntikan kepada anak-anak Perak untuk mencurahkan bakti kepada masyarakat di tanah air kelak.
            
Pada jam 4.30 petang, para graduan dan graduanita di sajikan dengan hidangan Hi-Tea sambil mendengar kalam nasihat daripada wakil graduan dan graduanita  iaitu Ustaz Muhammad Afiq bin Amran, Ustaz Mohamad Ridzuan bin Mohamad Jamil, Ustazah Ainun Hazirah binti Zulkahar dan Ustazah Rabiatul Husna binti Imran. Seterusnya, majlis berehat seketika untuk memberi laluan bagi menunaikan Solat Fardhu Maghrib. 
Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan agenda mendengar tausiyah yang telah disampaikan oleh Syeikh Habibullah Hassan Ahmad, Pensyarah Jabatan Aqidah dan Falsafah, Universiti al-Azhar. Antara isi penting yang disampaikan ialah berkenaan menuntut ilmu itu tiada tempoh tertentu dan mestilah berlaku secara berterusan. Selain itu syeikh juga menyarankan supaya para graduan mestilah berkhidmat kepada ilmu iaitu dengan mengajar apa yang telah dipelajari dan beramal dengan ilmu untuk memahami Islam yang sebenar.
Setelah selesai mendengar kalam dan pesanan daripada Syeikh Habibullah Hassan Ahmad, majlis diteruskan lagi dengan sesi fotografi bersama syeikh dan para graduan dan graduanita sebagai tanda kenang-kenangan. Pada akhir program, majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak, Encik Mohammed Tasyreef bin Mohamd Tarmizi dan Pembantu Pegawai Atase Encik Muhammad Fauzan bin Abd Rahim.
             
Selepas itu, majlis dimeriahkan dengan persembahan nasyid daripada Usrah al-Muhazirun di bawah seliaan Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM. Seterusnya, para peserta menjamu selera dengan makanan yang telah disediakan oleh pihak program. Setelah selesai jamuan makan malam, semua peserta akhawat bergerak pulang bersama Musyrif Keselamatan yang telah disediakan.
            
Alhamdulillah pada pukul 9.00 malam Program Apresiasi Graduan Perak di Mesir 2020 pada tahun ini telah melabuhkan tirai dan berjalan lancar dengan izin-Nya. Pihak majlis merakamkan jutaan tahniah buat para penggerak program kerana telah berjaya menjalankan majlis dengan jayanya. Mudah-mudahan, dengan adanya program sebegini dapat menjadi wasilah dan pemangkin semangat bagi penuntut ilmu dan membina mahasiswa dan mahasiswi al-Azhar yang berilmu dan beramal.

"Pulang Mencurah Bakti"

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Disediakan oleh : 
Muhammad Zuhairi bin Kharuddin
Setiausaha Program Apresiasi Graduan Perak di Mesir 2020 (KHIRRIJIN’20),
Jabatan Setiausaha Agung,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2020/2021















Monday, November 23, 2020

KENYATAAN RASMI | SERUAN MENINGKATKAN TAHAP PENJAGAAN KESIHATAN


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT pemilik alam semesta yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam kepada Rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda, para tabi’in dan seterusnya pewaris-pewaris perjuangannya.

Firman Allah SWT :

قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوۡلَىٰنَاۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal". (Surah at-Tawbah, Ayat 51)

Berdasarkan firman Allah SWT di atas, kita mengetahui segala yang terjadi pada diri kita merupakan ketentuan daripada Allah. Namun, kita perlu memahami konsep usaha dan tawakkal yang telah Allah ajarkan kepada kita. Bukan sekadar berserah, namun perlu ada usaha yang kita laksanakan.

Beberapa hari yang lalu, bumi Mesir yang barokah ini telah dituruni hujan lebat menandakan pertukaran musim sudah berlaku. Ditambah pula dunia kini diberikan ujian Allah dengan pandemik COVID-19, maka perlu di antara kita memastikan tahap kesihatan kita berada di dalam tahap yang baik bagi memudahkan kita melaksanakan urusan seharian seperti menghadiri kelas di universiti, urusan kuliah dan lain-lain.

Oleh itu, bertepatan dengan usul yang telah sama-sama kita persetujui ketika Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-54 yang lalu dengan matan usul : “Mengoptimumkan peranan KPIPM sebagai persatuan induk anak-anak Perak dengan memperkasa kebajikan dan sumber tenaga”, KPIPM sentiasa komited bagi menjaga kebajikan ahli terutama berkaitan kesihatan ketika musim sejuk. 

Berikut merupakan nasihat dan saranan yang saya harapkan semua ahli dapat ikuti iaitu :
1) Meningkatkan tahap kebersihan diri dan penjagaan kesihatan yang tinggi pada setiap masa seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan hand sanitizer.
2) Memakai pakaian yang tebal jika berada di luar rumah.
3) Mendapatkan rawatan segera jika mengalami simptom-simptom terutamanya demam, sakit tekak, batuk, selsema atau kesukaran bernafas.
4) Memaklumkan berkenaan perkhidmatan bantuan ke hospital atau klinik kepada Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM.

Di kesempatan ini juga, saya ingin memaklumkan, peringkat KPIPM melalui Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah akan menjalankan culaan kesihatan ahli. Culaan ini akan disebar melalui mas'ul rumah. Oleh itu, diharapkan semua ahli dapt mengisi culaan tersebut.

Saya harapkan semua ahli dapat sama-sama menjaga kesihatan serta cakna dengan kesihatan sahabat-sahabat yang lain. Saya juga mendoakan agar seluruh anak Perak khususnya dan seluruh mahasiswa serta mahasisiwi Malaysia amnya, diberikan keselamatan dan kesejahteraan sepanjang menimba ilmu di bumi Mesir ini.

اللهم اكشف عنا البلاء والوباء والغلاء ما لا يكشفه أحد غيرك  

“Ya Allah selamatkanlah kami dari bala, wabak, dan kesusahan yang menimpa kami, tiadalah kesembuhan melainkan dari engkau.”

Wallahua'lam.

Ammar Rushdi bin Jamaluddin
Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2020/2021

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Sunday, November 22, 2020

LAPORAN | PROGRAM MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-54 DAN MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-33 (MAT-54 & MTH-33)

LAPORAN | PROGRAM MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-54 DAN MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-33 (MAT-54 & MTH-33)

KAHERAH - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020 telah berjaya menganjurkan program mega bagi seluruh anak-anak Perak di Mesir iaitu Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-54 dan Mesyuarat Tahunan HEWI kali ke-33 (MAT-54 & MTH-33). Program ini dibawah seliaan Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020 dengan bertemakan “Syura Menggugah Legasi”. 

MAT-54 & MTH-33 telah bermula 9 November 2020 pada hari Isnin yang dimulai dengan Tazkirah Ambang MAT dengan tajuknya Pengurusan di Zaman Rasulullah SAW. Tazkirah tersebut telah disampaikan oleh Ustazah Zafirah Khalilah binti Zulkefly, Graduanita Kuliah Syariah Islamiah secara siaran langsung bermula jam 7.30 malam. 

Antara pengisian menarik yang boleh diambil ialah metode untuk mengaplikasikan pengurusan di zaman Rasulullah dalam sesebuah organisasi. Antara isi pentingnya ialah :
 🔸Pemilihan tulang belakang 
 🔸Pemilihan pusat organisasi
 🔸Keterampilan dan ucapan seorang pemimpin
 🔸Perancangan strategi mengikut keadaan semasa
 🔸Wakil pemimpin untuk menyampaikan maklumat
 🔸Kedudukan nuqaba’ dalam masyarakat
 🔸Pusat organisasi 
 🔸Sistem taakhi
 🔸Perlembagaan asas organisasi
 🔸Pembahagian lajnah dalam organisasi
 🔸Pengurusan hubungan luar organisasi

Selain itu, pada 12 November 2020 pogram diteruskan lagi dengan Mesyuarat Tahunan HEWI kali ke-33 pada hari Khamis. Mesyuarat bertempat di Dewan Syeikh Sya'rawi, Baitul Rahman yang bermula pada jam 2.00 petang dan berakhir pada jam 7.50 malam. Perwakilan yang terlibat bagi menjayakan mesyuarat pada petang itu adalah seramai 54 orang. 

Pada hari yang sama, program diteruskan lagi dengan Malam Perasmian bermula jam 9 malam secara siaran langsung. Program ini telah dirasmikan oleh Encik Mohamad Azrul bin Ismail, Atase Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Seterusnya, program terakhir yang dinantikan ialah Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-54 yang bertarikh 15 November 2020 pada hari Ahad. Mesyuarat diadakan di Dewan Masjid Tontowi bermula jam 9.30 pagi dan ditangguhkan pada jam 3.57 minit petang.

Berikutan wabak pandemik yang melanda, teknikal peringkat program telah mengehadkan bilangan perwakilan bagi setiap dewan untuk menjaga penjarakan sosial. Perwakilan telah ditempatkan di dua dewan dan tiga buah rumah bagi zon rumah sewa. Perwakilan di dewan adalah seramai 57 orang ikhwah dan 43 orang akhawat manakala perwakilan di zon 1 sebanyak 9 orang ikhwah, zon 2 sebanyak 11 orang ikhwah dan zon 3 sebanyak 14 orang akhawat.

Program berakhir dengan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-54. Alhamdulillah program ini berjalan dengan lancar dan diharapkan agar program ini dapat menambahbaik lagi tampuk kepimpinan sesi akan datang dengan muhasabah dan cadangan yang telah diberikan. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan MAT-54 & MTH-33 secara langsung atau tidak langsung. Semoga Allah membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran. Sekian, terima kasih.

“Syura Menggugah Legasi”
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
‘’MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN’’

Disediakan oleh :
Muhammad Hafiz Arsyad bin Suhaimi
Setiausaha
Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-54 dan Mesyuarat Tahunan HEWI kali Ke-33 (MAT-54 & MTH-33),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020.

Thursday, November 19, 2020

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2020/2021

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2020/2021
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2020/2021

Makluman kepada seluruh ahli, berikut adalah direktori Ahli Jawatankuasa Tadbir, Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam & Anggota Badan Penasihat KPIPM sesi 2020/2021.

Sebarang permasalahan boleh merujuk ahli jawatankuasa yang berkaitan.

Siruu 'Ala Barakatillah.

#KPIPMKeluargaKita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN "








Tuesday, November 17, 2020

MAKLUMAN | PERJAWATAN AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2020/2021

MAKLUMAN | PERJAWATAN AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2019/2020
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020

Dengan sukacitanya dimaklumkan perjawatan Ahli Jawatankuasa Tadbir, Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam & Anggota Badan Penasihat KPIPM sesi 2019/2020.

Mari sama-sama kita mendoakan agar seluruh barisan kepimpinan dapat menunaikan amanah dengan sebaiknya.

Siruu 'Ala Barakatillah.

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYdp

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN "

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...