PENA
AZHARI | AKTIVIS DAN PENDUKUNG
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020
Firman Allah SWT:
يَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ إِنْ تَنْصُرُواْ
اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَ يُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman! Jika kamu menolong
Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
[Surah Muhammad: ayat 7]
Kalam Allah ini jelas menunjukkan
janji Allah kepada sesiapa sahaja yang membantu agama-Nya. Maka jelaslah
menunjukkan akan kepentingan dan kewajipan bagi kita selaku seorang Muslim agar
sentiasa menolong agama-Nya, berdakwah kepada-Nya, membantu Rasul-Nya dan
berjihad melawan musuh-musuh-Nya dengan mengharapkan keredaan-Nya.
Barangsiapa yang menolong agama
Allah baik dengan ucapan mahupun perbuatan maka Allah telah berjanji akan
memudahkan asbab pertolongan yang diberikan, memberi kesabaran, kekuatan
dan ketenangan dalam kehidupan. Sesungguhnya segala imbalan itu disesuaikan
dengan jenis perbuatan dan amal yang dilakukan.
Pernah atau tidak kita mendengar perkataan aktivis dan
pendukung?
Mungkin kita pernah terdengar tapi
kita tidak menghayati atau cuba untuk memahami makna sebenar perkataan
tersebut.
Aktivis atau pendukung ialah orang
yang giat bekerja untuk kepentingan suatu organisasi. Seseorang yang
mengorbankan tenaga, masa dan buah fikirannya demi mewujudkan sebuah organisasi
yang baik dan tersusun. Organisasi juga memerlukan seorang aktivis yang rela
menyumbangkan tenaga dan idea yang bernas untuk kelangsungan hidup organisasi.
Sebenarnya, aktivis ialah orang
yang sentiasa membantu gerak kerja dalam sesebuah organisasi. Sesebuah
organisasi yang mantap dan hebat bukan semata-mata melihat kepada pimpinannya
sahaja bahkan memerlukan pendukung-pendukung yang sentiasa membantu dan
menyokong dari belakang. Membantu suatu oraganisasi adalah salah satu gerak
kerja Islam dan gerak kerja ini sangat dimuliakan oleh Allah SWT.
Allah berjanji di dalam Kitab-Nya, surah Al- Hajj ayat 40 :
وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهَ مَنْ يَنْصُرُهُ, إِنَّ اللهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang
menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
Benarlah janji Allah dan Allah
tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang ikhlas dan sanggup bekorban demi agama
Allah. Hari ini, ramai yang menjadi ahli di dalam sebuah organisasi tetapi
berapa ramai yang mampu menginfakkan diri untuk membantu sekiranya diperlukan
dan diseru. Konsep “Satu Fikrah, Satu Amal” harus ditekankan dan difahami
dengan sebaiknya bagi seluruh ahli yang bergelar aktivis dan pendukung kepada
sebuah persatuan. Dan sekiranya semua mampu memahami dengan sebaiknya konsep
ini maka nescaya sesebuah organisasi itu akan berjalan dengan baik dan
tersusun.
Banyak kelebihan dan manfaat yang
kita akan dapat sekiranya kita berada di dalam organisasi, kita akan
memperolehi nikmat kesatuan yang cukup indah dan mengambil pengalaman semasa
bekerja dan membantu sebuah organisasi. Selain daripada itu juga, ukhuwah
menjadi satu keutamaan bagi memastikan sebuah organisasi itu bergerak dengan
baik dan selamat.
Mutakhir ini, yang menjadi
permasalahan dalam sesebuah organisasi adalah kerana kualiti ahli yang tidak
memuaskan. Kuantiti bukanlah menjadi satu kekuatan kepada organisasi akan
tetapi kita menilai ahli dengan kualiti. Hal ini demikian kerana kadangkala
kuantiti itu tidak menjamin kepada kemenangan sepertimana sirah Perang Badar
yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran. Dalam perang ini Rasulullah SAW
memimpin tentera yang hanya melibatkan sekitar 313 orang Islam, 8 berpedang, 6 berbaju
perang, bersama 70 ekor unta dan 2 ekor kuda. Sedangkan kaum Quraisy memiliki
1000 orang, 600 persenjataan lengkap, 700 unta dan 300 kuda. Namun disebabkan
keyakinan dan semangat jihad orang Islam yang tinggi, maka Allah memberikan
kemenangan kepada mereka.
Jelaslah bahawa sebagai seorang
yang faham akan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah, maka haruslah kita
menjadi seorang pendukung dan aktivis kepada organisasi yang dibina setelah
sekian lama. Kita mungkin bukan perancang dan pemikir akan tetapi kita mampu
menjadi pendukung dan penggerak yang menggerakan sesebuah organisasi dengan
baik. Kita mungkin tidak mampu berada di tampuk pimpinan yang berperah otak
untuk menyusun segala aktiviti kepada ahli namun kita mampu menjadi seorang
ahli yang bertungkus lumus dalam menjayakan segala aktiviti.
Seringkali didengari ayat ini, "Kami
tak mampu kerja di barisan hadapan, kami kerja di belakang sahaja" .. Ya,
ayat inilah yang sering
berulang kali didengari sejak awal sampai ke bumi Mesir. Satu perkara yang
perlu diingatkan bahawa bekerja di belakang itu boleh, namun jangan dibiarkan
sehingga hilang terus lenyap menyepikan diri.
Biar di manapun posisi kita, kita
tetap membantu dalam gerak kerja ini. Pimpinan atau ahli kita tetap aktivis
yang sejati. Teruslah menjadi tulang belakang sesebuah organisasi, semangat dan
kefahaman yang seiring hingga mencapai redha Ilahi. Yakinlah dengan janji
Allah, bantulah dengan sebaiknya dan ikhlaskan diri dalam segala amalan yang
telah disumbangkan nescaya syurga menanti kerana itulah tempat yang abadi.
Semoga pelayaran KPIPM terus menjadi pelayaran yang hebat untuk Islam.
Ayuh semua !
Jadilah aktivis dan pendukung yang mampu memberikan impak
yang besar bagi memastikan persatuan tercinta ini terus dijulang tinggi dan
meraih syurga yang hakiki.
Sirru Ala Barakatillah buat semua pimpinan dan aktivis
KPIPM..
Bekerja dengan KPIPM,
Bekerja kerana Allah.
USTAZAH ZAINATUL NAZIFA BINTI ABDUL WAHAB
(FASILITATOR KPIPM SESI 2019/2020)