Tuesday, April 28, 2020

PENA AZHARI | PEMUDA MUTIARA AGAMA

PENA AZHARI | PEMUDA MUTIARA AGAMA
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020

الحمد لله الذي بيده وهو على كل شيء قدير, أشهد أن لا إلـه إلا الله وحده لا شريك له, له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير. ,أشهد أن محمدا عبده ورسوله البدر الدجى و سراج المنير. اللهم صلي وسلم وبارك على سيدنا و حبيبنا وإمامنا و قدوتنا محمد نبي الرحمة و شفيع الأمة وعلى آلـه وصحبه ومن تبعه ونصره.

Kalam tuhan bukan sandaran tetapi ia satu pegangan kepada mereka yang bergelar Muslim. Konteks muslim dewasa ini sering dikaitkan kepada laras pemikiran atau konsep mazhab yang pelbagai kerana kefahaman yang berbeza dalam usaha memahami takwilan al-Quran dan as-Sunnah serta batasan berfikir yang tiada had. Oleh itu, mehnah zaman milenium ini tidak asing lagi kepada kita selaku pemuda yang  terdedah kepada pelbagai cabang mazhab pemikiran. Dan pemuda, di manakah peranan kita ?!

Firman Allah SWT:

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِٱلْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَٰهُمْ هُدًى
Maksudnya: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”
(Surah Al-Kahf: Ayat 13)

Peranan pemuda cukup luas atas asbab dirinya yang mempunyai kekuatan tubuh badan, akal dan ingatan yang sangat baik bagi membantu kemenangan Islam dan tamadunnya. Jadi hendaklah kita selaku mahasiswa Islam sentiasa menilik diri, apakah peranan yang telah dijalankan? Di sini saya mengambil beberapa peranan sebagai panduan bersama, antaranya ialah:

1) Ketaqwaan kepada Allah SWT

Prakata pemuda adalah benteng yang kukuh dalam membawa masa depan Islam ke satu fasa yang mencanak dijulang, tiada yang lebih tinggi melainkan posisi Islam yang tertinggi. Beriman kepada Allah SWT bukan nilai asas kepada pemuda sahaja tetapi adalah kompenan yang paling utama kepada semua umat Islam. Fokus tanggungjawab ini, para pemuda perlu memahami bahawa matlamat utama usia muda ini adalah satu kekuatan dan keistimewaan oleh Allah SWT kepada umat manusia untuk digunakannya secara maksima.

عن عمرو بن ميمون ابن مهران أن النبي صلى الله عليه وسلم قال لرجل وهو يعظه اغتنم خمسا قبل خمس شبابك قبل هرامك، وصحتك قبل سقمك، وفراغك قبل شغلك، وغناك قبل فقرك، وحياتك قبل موتك
Dari Amru bin Maimun bin Mahran sesungguhnya Nabi Muhammad Saw berkata kepada seorang pemuda dan menasihatinya, Jagalah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum datang masa sakitmu, waktu luangmu sebelum datang waktu sibukmu, kayamu sebelum miskinmu, hidupmu sebelum matimu.”

Abu Layyist Samarqandi menyatakan dalam kitabnya Tanbihul Ghafilin bahawa 5 perkara ini perlu dipergunakan dengan sebaiknya supaya tidak menyesal pada hari yang mendatang kelak kerana ia tidak dapat berulang kembali. Masa muda adalah komposisi tenaga, kekuatan, akal fikiran dan semangat menjadikan posisi pemuda itu lebih produktif bagi setiap manusia. Hal ini jelas menyatakan bahawa umat Islam pada usia mudanya perlu berperanan dalam membentuk komuniti yang tahan lasak pada fizikalnya dan tahan banting pada spiritualnya.

Maka di sini, para pemuda dengan kegiatan kebajikan itu perlu menyibukkan diri terlebih dahulu dengan meningkatkan keimanan dan kefahaman ibadah yang lebih kejap dan jelas pada kefahaman dan pegangan sebagai golongan beriman, bahkan ia menjadi suatu platform bagi meraih nikmat Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat.

Memetik kata-kata Imam Hassan al-Banna, "Asas keimanan adalah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara dan semua sifat ini tidak wujud kecuali pada diri seorang pemuda.”

2. Menuntut ilmu, mentaati perintah Allah dan mengikut Sunnah Rasulullah

Pemuda Islam, agen perubahan atau pendakwah perlulah memahami konteks ilmu sebagai buah untuk disalurkan kepada masyarakat. Kepentingan memiliki ilmu juga adalah simbolik bagi Itiqad dan jati diri seseorang pemuda dalam membawa imej Islam kepada masyarakat sekeliling tanpa meneliti kapasiti dakwah atau kuantiti yang didakwah tetapi lebih menerapkan kualiti pada diri pendakwah dan orang yang didakwahnya.

Perbincangan pembentukan dan pengaplikasian ilmu bukan terpundak pada sesuatu tempoh atau zaman tertentu, hakikatnya ia berjalan seiring untuk menatijahkan satu nilai kefahaman yang baik kerana bila dibincangkan soal kefahaman semua itu adalah ketentuan Allah SWT kepada seseorang hamba-Nya. Taufiq dan hidayah adalah ganjaran kepada mereka yang mempunyai ketaqwaan yang tinggi dan amal yang menggunung.

Firman Allah SWT :
وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”
(Surah Al-Ankabut: Ayat 69)

Fokus pada mengupas tuntutan Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW tidak lari dari meneliti kepada manhaj yang disusun oleh para ulama amilin yang meletakkan setiap sudut ruang kehidupan manusia ini berkait dengan tuntutan Islam. Oleh itu, hakikat masa muda bukan sahaja semangat semata tetapi perlu mengkhususkan satu bidang ilmu yang mampu memberi manfaat kepada Islam tanpa mengabaikan atau menafikan kepentingkan bidang ilmu yang lain.

Akhirnya, 3 hukum atau prinsip kemenangan yang dinyatakan oleh Syeikh Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Jilul Mansyud, pertamanya adalah kemenangan itu adalah hak Allah secara mutlak kepada siapa yang Dia kehendaki. Kedua, Allah SWT akan membantu mereka yang konsisten membantu agama Allah. Ketiga, kemenengan ini hanya berpihak kepada mereka yang berserah diri kepada Allah SWT tanpa mengharap ganjaran lain atau secara ringkasnya ia sentiasa berpihak kepada golongan Mukmin sahaja.

Para reformis muslim perlu berusaha meraih iman, ilmu dan akhlak yang baik pada tahap maksima pada usia muda kerana zaman muda ini tidak akan berulang kembali. Jadi peranan kita selaku pemuda ini cukup penting seperti akar kepada sebatang pokok. Tanpa akarnya yang teguh, tidak dapat menghasilkan daun yang rimbun dan buah yang lebat lagi ranum. Letakkan posisi kita selaku mahasiswa Islam untuk sentiasa bergerak memanfaatkan diri kepada orang lain terutamanya ketika di alam universiti agar kita dapat pulang kembali berkhidmat kepada negara dan agama setelah kembali ke tanah air. Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir inilah menjadi salah satu platform buat anak-anak Perak di bumi anbiya ini untuk kita bergerak membumikan gerak kerja serta sebagai medan latihan agar lebih lancar perjalanannya di kemudian hari, insya-Allah.

Siiru Ala Barakatillah.

Ustaz Mohamad Nur Hafiz bin Musri
(Fasilitator KPIPM sesi 2019/2020)

BERILMU, BERAMAL,  IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN

Saturday, April 4, 2020

KENYATAAN YDP | SARANAN UNTUK MEMATUHI ARAHAN PIHAK BERAUTORITI


KENYATAAN YDP | SARANAN UNTUK MEMATUHI ARAHAN PIHAK BERAUTORITI
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020



Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT pemilik alam semesta yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam kepada Rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda, para tabi’in dan seterusnya pewaris-pewaris perjuangannya.

Firman Allah SWT :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”
(Surah An Nisa :59)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.A, beliau berkata : “Aku bertanya kepada Rasulullah () tentang taun, kemudian Rasulullah () mengkhabarkan kepadaku dengan bersabda :

أَنَّهُ كَانَ عَذَابًا يَبْعَثُهُ اللهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، فَجَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، فَلَيْسَ مِنْ رَجُلٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ فِي بَيْتِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللهُ لَهُ إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ الشَّهِيدِ

Maksudnya : “Sesungguhnya ia merupakan azab yang dihantarkan oleh Allah () kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Maka Allah menjadikan ia sebagai rahmat bagi golongan yang beriman. Tidaklah seorang lelaki itu saat berlakunya taun lalu dia duduk di dalam rumahnya dengan penuh sabar serta mengharapkan ganjaran pahala, dan dia tahu tidaklah musibah menimpa dirinya melainkan apa yang Allah () telah tetapkan buat dirinya maka dia mendapat seperti ganjaran pahala orang yang syahid.”
[Riwayat Ahmad : 26139]

Firman Allah SWT dan Hadis Nabi SAW di atas menjadi dalil bahawa wajib bagi rakyat untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib dan tetap bersabar serta berdoa sepanjang berada di rumah. Pahala syahidlah buat mereka yang bersabar tetap tinggal di rumah tatkala wabak berjangkit sedang melanda.


Berdasarkan Adivisory Note yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bertarikh 3 April 2020, para pelajar adalah dinasihatkan untuk kekal berada di negara pengajian mereka sekarang, sentiasa menurut arahan daripada pihak universiti dan pihak berkuasa tempatan di negara berkenaan serta mengikuti perkembangan terkini yang sahih berkaitan perkara ini.


Oleh itu, berikutan penularan wabak COVID-19 di bumi Mesir, saya Muhammad Fahmi bin Zakaria selaku Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020 ingin menyarankan kepada seluruh anak Perak di bumi Mesir agar tidak pulang ke Malaysia dan kekal di negera semasa serta mengikuti segala arahan dan perkembangan yang dikeluarkan oleh KBMK (Kedutaan Besar Malaysia Kaherah) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara).


Berdasarkan makluman daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, kami juga ingin memaklumkan bahawa situasi semasa di Mesir adalah terkawal. Walau bagaimanapun seluruh mahasiswa dan mahasiswi adalah dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah pencegahan sepertimana yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi membendung wabak ini. Sebarang simptom-simptom berkaitan wabak virus COVID-19 seperti demam, selsema, sakit tekak dan sakit kepala yang berpanjangan, bolehlah merujuk kepada Pejabat Atase Negeri Perak, Yang Dipertua dan Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM. Mereka yang mempunyai simptom ini juga dinasihatkan agar mengamalkan kuarantin diri (Self Quarantine).

Semoga dengan kita semua mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan ini dapat memastikan wabak ini tidak menular. Selain itu, marilah kita bersama-sama mengamalkan amalan solat sunat Hajat dan Qunut Nazilah sepertimana yang digalakkan di peringkat Badan Kebajikan Anak Negeri setiap kali solat bagi memohon kepada Allah SWT kekuatan dan perlindungan dalam menghadapi wabak ini.

Saya juga mendoakan agar seluruh anak Perak khususnya dan seluruh mahasiswa serta mahasisiwi Malaysia amnya, diberikan keselamatan dan kesejahteraan sepanjang menimba ilmu di bumi Mesir ini.

اكشف عنا البلاء والوباء والغلاء ما لا يكشفه غيرك  اللهم

“Ya Allah selamatkanlah kami dari bala, wabak, dan kesusahan yang menimpa kami, tiadalah kesembuhan melainkan dari engkau.”

Wallahualam


Muhammad Fahmi bin Zakaria 
Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...