Tuesday, March 24, 2020

PENA AZHARI | TARBIAH RUHIYAH MENUJU TAQWA


PENA AZHARI | TARBIAH RUHIYAH MENUJU TAQWA
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020



بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا وحبيبنا محمد صلى الله عليه وسلم

Memetik cebisan ayat al-Quran daripada surah At-Taubah, ayat 122:

فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةࣲ مِّنۡهُمۡ طَاۤىِٕفَةࣱ لِّیَتَفَقَّهُوا۟ فِی ٱلدِّینِ وَلِیُنذِرُوا۟ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوۤا۟ إِلَیۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ یَحۡذَرُونَ

Maksudnya: "Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya, ( yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali pada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)."

Sedikit tadabbur mengenai ayat yang disebutkan ialah kita sebagai penuntut ilmu hendaklah dan mestilah mempelajari sesuatu ilmu secara bersungguh-sungguh supaya apabila pulang nanti boleh menyebarluaskan ilmu tersebut kepada orang lain khususnya kepada masyarakat tempatan dan tidak lupa juga kepada ahli keluarga yang terdekat. Ilmu yang diberikan mestilah ilmu yang membuatkan seseorang itu kembali kepada Allah S.W.T iaitu ilmu yang selari dengan syara'.

Taklifan kita sebagai hamba Allah bukan sekadar hamba, namun kita juga memikul amanah selaku penuntut ilmu dan juga selaku seorang daie. Maka tidak dapat tidak setiap daripada kita ini akan menghadapi dan melalui jalan tarbiah. Kerana apa ? Kerana tarbiah itu merupakan urat nadi perjuangan Islam dalam diri seorang daie. Seperti yang kita ma'ruf, iman manusia itu ada naik dan turunnya. Ketika kita dikala futur atau lemah, maka tarbiahlah akan membentuk dan mendorong kita agar tidak mudah terbawa-bawa dengan mainan syaitan atau terpengaruh dengan tipu helah dunia ini serta tidak terpesong jauh dari jalan Allah.

Tarbiah itu terdapat dalam beberapa bentuk:
1. Tarbiah Imaniyah
2. Tarbiah Ruhiyah
3. Tarbiah Kemasyarakatan
4. Tarbiah Akal
5. Tarbiah Fizikal
6. Tarbiah Politik
7. Tarbiah Thaqafiyah
8. Tarbiah Akhlak

Adapun yang ingin saya tekankan di sini adalah mengenai Tarbiah Ruhiyah. Tarbiah yang membawa maksud pendidikan. Tarbiah juga ialah satu proses mendidik seseorang dengan ilmu serta pemikiran Islam dan melaksanakannya dalam kehidupan seharian. Pengamalan Islam secara sempurna itu merangkumi aspek amali dan teori serta pemikiran. Manakala maksud ruhiyah pula adalah kerohanian memberikan kekuatan yang tinggi untuk menjalani kehidupan.

Antara jalan Tarbiah Ruhiyah atau jalan menuju Taqwa ialah:
1) Mu’ahadah
Makna : Perjanjian
Setiap daripada kita hendaklah mengingati semula janji-janji yang telah kita janjikan kepada Allah.
Seperti telah disebutkan di dalam surah Al-A'raf, ayat 172 :

وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِيٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَهُمۡ وَأَشۡهَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡۖ قَالُواْ بَلَىٰ شَهِدۡنَآۚ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ إِنَّا كُنَّا عَنۡ هَٰذَا غَٰفِلِينَ

Maksudnya : "Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".

2) Muraqabah
Makna: Pengamatan
Setiap daripada kita mestilah merasakan keagungan Allah itu pada setiap keadaan dan pada setiap waktu. Dengan muraqabah inilah kita dapat lahirkan sifat ikhlas.

3) Muhasabah
Makna : Penghisaban
Hendaklah seorang mukmin memeriksa atau menghisab dirinya ketika selesai melakukan amal perbuatan. Adakah amal yang dikerjakan itu benar-benar meraih redha Allah atau adakah amalnya itu diiringi dengan riya' dan tujuan selain-Nya.
Kata Saidina Umar ibn Khattab:
 "Hisablah dirimu sebelum kamu dihisabkan, timbanglah dirimu sebelum kamu ditimbangkan dan bersiaplah untuk hari kiamat. Di hari itu, kami dihadapkan kepada pemeriksaan, tiada yang tersembunyi dari amal kami barang satu pun".


4) Mu'aqabah
Makna : Penghukuman
Sudah sepatutnya bagi kita jika telah melalaikan diri daripada mengingati Allah, kita menghukum atau mengiqob diri kita (denda)
Sebagaimana diisyaratkan di dalam surah Al-Baqarah ayat 179:

وَلَكُمۡ فِي ٱلۡقِصَاصِ حَيَوٰةٞ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Maksudnya: "Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa."

Hal ini menunjukkan bahawa setiap kesalahan umat Islam tidak akan dibiarkan begitu sahaja, namun ia perlu kepada hukuman terhadap diri kerana jika membiarkan diri dalam kesalahan akan mempermudahkan jalan untuk kesalahan yang lain dan semakin payah untuk meninggalkan kesalahan.
Denda yang dikenakan mestilah yang mudah, tidak sampai membahayakan dirinya.

5) Mujahadah
Makna : Bersungguh-sungguh
Dikala diri merasakan kesulitan dalam melakukan amalan, maka ia harus memaksa dirinya melakukan amalan dengan bersungguh-sungguh, dalam erti kata yang lain memberikan yang terbaik.
Sebagai contoh, cukuplah kita menjadikan Rasulullah S.A.W menjadi qudwah. Baginda solat sehingga  bengkak kakinya walaupun telah jelas bahawasanya baginda merupakan hamba yang dijanjikan syurga. Namun baginda tetap bersungguh-sungguh dalam melakukan amal ibadat. Jadi siapalah kita untuk tidak bersungguh-sungguh dalam setiap amalan?

Percayalah, sekiranya dalaman kita terpasak gagah dan utuh dengan didikan rohani maka tiada siapa yang mampu menghasut kita daripada sifat keduniaan. Paksikan dan bumikan keyakinan dan kepercayaan kita hanya kepada Allah S.W.T semata-mata. Tiada Tuhan selainNya.

Akhir sekali, tarbiah adalah jalan para daie dan murabbi. Tiada jalan lain yang mampu untuk membentuk individu dan ummah yang mendaulatkan agama Allah melainkan individu tersebut dibentuk dengan tarbiah ruhiyah. Jika kita teliti setiap aktiviti yang dijalankan di peringkat KPIPM juga turut diselitkan pelbagai tarbiah dari sekecil-kecil perkara sekalipun. Kerana salah satu jaminan daripada proses tarbiah ini ialah melahirkan  peribadi yang lengkap dan seimbang serta peribadi yang tahan diuji dan terus istiqamah dengan dakwah dan tarbiah dalam pelbagai keadaan dan suasana.

Semoga kita semua dapat mempertingkatkan kekuatan rohani kita dengan tarbiah serta menjadikan medium KPIPM sebagai wasilah tarbiah ruhiyah dalam menuju ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T, insya-Allah.

Siiru 'ala Barakatillah.

FATIN FAIZAH BINTI ZAINAL
KETUA BIRO PERHUBUNGAN, SAMBUTAN DAN REHLAH HEWI KPIPM SESI 2019/2020

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Saturday, March 21, 2020

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN AHLI JAWATANKUASA TADBIR KPIPM SESI 2019/2020




MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN AHLI JAWATANKUASA TADBIR KPIPM SESI 2019/2020
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020

🔰 Berikut merupakan pemakluman pemangkuan jawatan bagi Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sesi 2019/2020.
Adalah dimaklumkan bahawa pemangkuan seperti berikut:

▪Ustaz Aiman bin Mohd Yusoff
(Timbalan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020 )
📞 No. Telefon :
+201092290588
📧 Email : kpipmtsua64@gmail.com

⏩ Dipangku oleh

▪Ustaz Ahmad Azri Fauzan bin Zoolcaphly
(Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020)
📞 No. Telefon : +201554926042
📧 Email: kpipmsua64@gmail.com

Pemangkuan ini berkuatkuasa bermula pada 21 MAC 2020. Sebarang urusan berkaitan boleh menghubungi pemangku jawatan tersebut.

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Tuesday, March 17, 2020

LAPORAN | JEJAK BUMI SINAI 2020 (JEJAK SINAI'20) AKHAWAT


LAPORAN PROGRAM
JEJAK BUMI SINAI 2020 (JEJAK SINAI’20) AKHAWAT

KAHERAH - Pada tarikh 11 Februari hingga 13 Februari 2020, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020 telah mengadakan jaulah ke Sinai dan Dahab yang diberi nama sebagai Jejak Bumi Sinai 2020 (JEJAK SINAI'20) khusus bagi peserta akhawat. Jaulah ini diadakan bersempena dengan cuti semestar penggal pertama dan antara objektif JEJAK SINAI’20 adalah mengambil ibrah daripada aktiviti mengembara, meningkatkan pengetahuan ahli mengenai sejarah Islam dan menyediakan medium kepada ahli untuk mentadabbur alam.

Pada tarikh 11 Februari, semua peserta telah berkumpul di Dewan Baitul Rahman untuk semakan nama dan taklimat yang telah disampaikan oleh Unit Pendaftaran, Disiplin dan Kebajikan. Antara yang ditekankan adalah berkenaan tentang etika dan keselamatan ketika aktiviti jaulah dilaksanakan. Sebelum memulakan perjalanan, semua peserta digalakkan untuk menunaikan solat sunat musafir. Bilangan peserta yang menyertai jaulah ini ialah seramai 50 orang.

Pada jam 3.30 pagi, para peserta sudah memulakan perjalanan ke Sinai. Dalam pejalanan, bas peserta telah berhenti singgah sebentar  di Nokhtah Hasanah sekitar jam 6.00 pagi bagi menunaikan solat subuh. Sejurus selesai menunaikan solat, perjalanan diteruskan.

Setelah selesai solat Subuh secara berjemaah, JEJAK SINAI’20 meneruskan perjalanan ke Semenanjung Sinai pada 7.15 pagi menerusi Terowong Ahmad Hamdi. Panjang keseluruhan Terusan Suez adalah 163 km yang menghubungkan Teluk Suez dibahagian Selatan dan Laut Tengah dibahagian Utara. Manakala lebar terusan ini adalah antara 120 meter sehingga 200 meter. Destinasi pertama yang dituju adalah Kubu Barlief yang merupakan tapak peninggalan kubu Israel yang datang menjajah Sinai pada tahun 1967. Sebenarnya Semenanjung Sinai ini tidak kurang daripada 15 kali cubaan bagi kuasa-kuasa luar bagi menguasainya.  

Kemudian pada jam 8.15 pagi, perjalanan diteruskan lagi ke Uyun Nabi Musa yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari kubu Barlief. Di sinilah terdapat 12 telaga yang telah digali oleh 12 puak daripada kalangan Bani Israel. Tetapi kini hanya tinggal 3 sahaja yang ditemui. Kemudian, kami juga melaksanakan sesi perasmian dan sarapan pagi di sini. Kemudian Jejak Sinai bertolak ke Jabal Nabi Musa A.S (St.Catherina).Pada jam 3.00 petang. Di sini peserta mengambil peluang berdoa dan bertawassul di Maqam Nabi Harun A.S di samping mengambil gambar kenangan di bukit Batu Kesan Lembu Samiri.

Setelah itu, JEJAK SINAI’20 menjejak ke Wadi Arbaein bagi mengambil air gunung serta diberikan pencerahan tentang tempat tersebut oleh musyrif penerangan JEJAK SINAI’20. Setelah selesai kembali ke penginapan dan solat, para peserta berkumpul di halaman tempat penginapan bagi aktiviti Fire Camp dan mengadakan sedikit pengisian iaitu permainan radio karat serta turut dijalankan taklimat keselamatan sebelum mendaki Jabal Musa dan membahagikan peserta kepada empat kumpulan. Setelah selesai taklimat, peserta diberi masa untuk berehat dan membuat persediaan mendaki Jabal Musa.

Ekspedisi mendaki bermula jam 1.00 pagi dan mengambil masa selama 4 jam untuk sampai ke puncak bukit. Sejurus selepas sampai di puncak, para peserta menunaikan solat subuh secara berjemaah di puncak bukit. Kemudian, peserta jaulah menikmati pemandangan matahari terbit serta diteruskan dengan pengisian mengenai sejarah Jabal Nabi Musa AS. Setelah selesai aktiviti pendakian, peserta pulang ke tempat penginapan bagi bersiap-siaga untuk ke destinasi seterusnya iaitu di Dahab.

Apabila tiba di Dahab, para peserta jaulah terus menuju ke tempat penginapan untuk daftar masuk Hotel Octopus, menunaikan solat dan menjamu selera. Peringkat jaulah telah memberi ruang kepada para peserta bagi mengisi masa lapang pada waktu petang di kawasan berdekatan tempat penginapan. Dan pada waktu malam pula, para peserta diberi masa berehat dan melakukan aktiviti bebas.

Pada hari ketiga, seusai menunaikan solat Subuh, aktiviti diteruskan lagi dengan menaiki ATV Quard Bike. JEJAK SINAI’20 singgah sebentar di suatu bukit yang diberi nama Canyon bagi menikmati sarapan pagi dan berjalan-jalan di sekitar bukit tersebut. Setelah selesai, peserta pun bergerak pulang ke penginapan sebentar untuk bersiap ke aktiviti yang terakhir iaitu aktiviti Glass Boat. Di sana, kami dapat melihat keindahan ciptaan Allah di samping mengambil gambar kenang-kenangan sepanjang aktiviti ini.                          
                                             
Akhir sekali, seusai bersiap untuk check-out, kami memulakan perjalanan pulang ke Kaherah. Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di sebuah masjid di Sharm El-Sheikh untuk menunaikan solat iaitu masjid Sahabat sambil bergambar. Kemudian, kami meneruskan perjalanan pulang dan mengadakan majlis penutup dan penyampaian hadiah yang disampaikan oleh wakil AJKT KPIPM iaitu Ustaz Muhammad Izzuddin Yassin bin Rizalman kepada Musyrif Penerangan dan Unit Makanan sebagai tanda penghargaan di atas bantuan dan kerjasama yang telah diberikan. Segala aktiviti penutup dan penyampaian hadiah dilaksanakan di dalam bas.

Setelah selesai majlis penutup, Setiausaha (Unit Pengisian) JEJAK SINAI'20 meneruskan aktiviti di dalam bas dengan mengadakan aktiviti tukar hadiah yang telah disampaikan oleh Ketua HEWI beserta Pengarah JEJAK SINAI'20. Alhamdulillah, peringkat JEJAK SINAI’20 telah selamat tiba di perkarangan Mahkamah Hayyu Sabik pada jam 1.30 pagi.

Akhir sekali, besarlah harapan daripada  JEJAK SINAI’20 agar aktiviti sebegini dapat dijalankan pada masa akan datang supaya ia menjadi suatu medium menambahkan thaqafah serta mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah Islamiah dalam kalangan anak-anak Perak di bumi Mesir. Segala kerjasama yang baik daripada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung, kami dahulukan dengan ucapan "Jazakumullahu khairan kathira".

“Menelusuri Sirah, Menyingkap Ibrah”

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

Disediakan oleh :
Nur Sahira Afiqah binti Abdul Rahim
Setiausaha (Unit Pengisian) Jejak Bumi Sinai 2020 (JEJAK SINAI'20),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020









LAPORAN | JEJAK BUMI SINAI 2020(JEJAK SINAI'20) IKHWAH


LAPORAN PROGRAM 
JEJAK BUMI SINAI 2020 (JEJAK SINAI'20) IKHWAH

KAHERAH - Pada tarikh 9 Februari hingga 11 Februari 2020, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020 telah mengadakan jaulah ke Sinai dan Dahab yang diberi nama sebagai Jejak Bumi Sinai 2020 (JEJAK SINAI'20) khusus bagi peserta ikhwah. Jaulah ini diadakan bersempena dengan cuti semestar penggal pertama dan antara objektif JEJAK SINAI’20 ialah mengambil ibrah daripada aktiviti mengembara, meningkatkan pengetahuan ahli mengenai sejarah Islam dan menyediakan medium kepada ahli untuk mentadabbur alam.

Pada tarikh 9 Februari, jam 1.00 pagi semua peserta diminta untuk berkumpul di Dewan Baitul Rahman untuk semakan nama dan taklimat yang telah disampaikan oleh Unit Pendaftaran, Disiplin dan Kebajikan. Antara yang ditekankan adalah berkenaan tentang etika dan keselamatan ketika aktiviti jaulah dilaksanakan. Sebelum memulakan perjalanan, semua peserta digalakkan untuk menunaikan solat sunat musafir. Bilangan peserta yang menyertai jaulah ini adalah seramai 48 orang.

                Pada jam 2.30 pagi, bas telah sampai di hadapan perkarangan Baitul Rahman. Setelah selesai peserta memasukkan barang, bas memulakan perjalanan ke destinasi yang ditetapkan. Dalam pejalanan, kami singgah sebentar  di Nokhtah Hasanah bagi menunaikan solat subuh. Sejurus selesai menunaikan solat, perjalanan diteruskan.

Bagi memeriahkan suasana, Setiausaha (Pengisian) JEJAK SINAI'20 telah mengadakan majlis perasmian yang telah disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020, Ustaz Muhammad Fahmi Bin Zakaria dan diselangi oleh Pengarah JEJAK SINAI'20, Ustaz Meor Amin Nurrasyid bin Meor Azhar. Setelah itu, para peserta diisi dengan penerangan yang telah disampaikan oleh Musyrif Penerangan yang bertugas iaitu Ustaz Muhammad Bukhari Bin Abdullah, tentang Terusan Suez. Kemudian, menceritakan serba sedikit tentang sejarah yang telah berlaku di tempat yang kami lalui.

Pada hari pertama, pelbagai tempat yang menarik telah dilawati pada jaulah kali ini. Antaranya ialah Kubu Barlief iaitu tapak kubu perang Israel terakhir yang berjaya ditawan. Kemudian, para peserta melawat ke Uyun Nabi Musa AS serta bersarapan di sana. Setelah selesai di Uyun Nabi Musa A.S, perjalanan diteruskan ke Jabal Nabi Musa A.S dan terus melawat ke kawasan batu kesan lembu Samiri dan Maqam Nabi Harun AS. Setiap tempat yang dilawati akan diadakan sedikit penerangan dari peringkat musyrif penerangan sebagai input ilmu dan thaqafah tambahan bagi para peserta dalam mengambil ibrah dan pengajaran atas setiap perkara yang telah terjadi.

Sesudah sampai sahaja di Dahab, para peserta terus bergerak ke tempat penginapan dan mendaftar masuk Hotel Octopus dan seterusnya menjamu selera. Selepas makan malam pada jam 7:00 malam, para peserta diberi keizinan untuk melakukan aktiviti bebas samada membeli cenderamata atau menikmati makanan laut (seafood) di kedai-kedai yang berhampiran. Setelah penat berjalan dan aktiviti bebas, semua peserta pulang ke bilik masing-masing jam 12:00 malam.                           

Pada hari ketiga, seusai menunaikan solat Subuh, aktiviti diteruskan lagi dengan menaiki ATV Quard Bike. Ketika di sana, para peserta telah singgah sebentar di suatu bukit yang diberi nama Canyon bagi menikmati sarapan pagi beserta "syai" dan berjalan-jalan di sekitar bukit tersebut. Setelah selesai, peserta pun bergerak pulang ke penginapan sebentar untuk bersiap ke aktiviti yang terakhir iaitu aktiviti Glass Boat. Di sana, peserta jaulah dapat melihat keindahan ciptaan Allah dan di samping mengambil gambar kenang-kenangan di sepanjang aktiviti ini.                                                                        
Akhir sekali, seusai bersiap untuk check-out, JEJAK SINAI’20 memulakan perjalanan pulang ke Kaherah. Dalam perjalanan pulang, para peserta telah berhenti singgah sebentar di sebuah masjid di Sharm El-Sheikh untuk menunaikan solat iaitu Masjid Sahabat sambil bergambar. Kemudian, kami meneruskan perjalanan pulang dan mengadakan majlis penutup dan penyampaian hadiah yang disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM iaitu Ustaz Muhammad Fahmi Bin Zakaria kepada Musyrif Penerangan dan Unit Makanan sebagai tanda penghargaan atas bantuan dan kerjasama yang telah diberikan. Segala aktiviti penutup dan penyampaian hadiah dilaksanakan di dalam bas.

Setelah selesai majlis penutup, Setiausaha (Pengisian) JEJAK SINAI'20 meneruskan aktiviti di dalam bas dengan mengadakan sambungan taaruf dan aktiviti tukar hadiah yang telah disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM beserta Pengarah JEJAK SINAI'20. Para peserta JEJAK SINAI’20 selamat tiba di perkarangan Mahkamah Hayyu Sabik pada jam 1.30 pagi. Alhamdulillah, kami tiba dengan selamat.          

Akhir sekali, besarlah harapan JEJAK SINAI’20 agar aktiviti sebegini dapat dijalankan pada masa akan datang agar ia menjadi suatu mediaum menambahkan thaqafah serta mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah Islamiah dalam kalangan anak-anak Perak di bumi Mesir. Segala kerjasama yang baik daripada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung, kami dahulukan dengan ucapan "Jazakumullahu khairan kathira".

“Menelusuri Sirah, Menyingkap Ibrah”

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

Disediakan oleh :
Muhammad Akmal Azri bin Ab Wahab
Setiausaha (Pengisian) Jejak Bumi Sinai 2020 (JEJAK SINAI'20),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020









Monday, March 2, 2020

PENA AZHARI | ADAB PENUNTUT ILMU

PENA AZHARI | ADAB PENUNTUT ILMU
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020


الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد :
قال الله تعالى : "وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِیَعۡبُدُونِ"
Maksudnya :
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."
[Surat Adh-Dhariyat 56]

Sebagai seorang hamba kepada Allah, kita diciptakan untuk melaksanakan segala suruhanNYA dan meninggalkan segala laranganNYA. Akan tetapi, perlulah kepada ilmu yang benar dalam melaksananya serta adab yang dituntut demi menjaga kualiti segala suruhan dan larangan tersebut.

Antara adab-adab yang perlu dilazimi sebagai penuntut ilmu dalam kitab "ila tholibil ilmi" karangan Syeikh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri ialah :
1. Ikhlas niat kerana Allah SWT.
2. Menghafal ayat-ayat al-Quran.
3. Mempelajari bahasa arab dan menguasainya.
4. Menghiasi diri dengan akhlak yang baik.
5. Menjauhi diri dari sifat ghurur, takabbur dan haya'.

1. IKHLAS NIAT KERANA ALLAH SWT 
Niat yang ikhlas kerana Allah SWT merupakan satu elemen yang penting dalam  melaksanakan segala amalan dan ibadah kerana Allah SWT. Ia juga syarat penerimaan sesuatu pahala bilamana kita melakukan amalan. Kita juga dianjurkan sentiasa memperbaharui niat setiap masa demi menjaga kualiti amalan tersebut, sepertimana didalam hadis yang terkenal riwayat Umar Ibnu al-Khattab r.a daripada Nabi saw berkata :

 “Sesungguhnya setiap amalan tergantung pada niatnya. Setiap orang akan mendapatkan apa yang ia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya untuk Allah dan Rasul-Nya. Siapa yang hijrahnya karena mencari dunia atau karena wanita yang dinikahinya, maka hijrahnya kepada yang ia tuju.” (HR. Bukhari dan Muslim).

Bahkan kita sebagai penuntut ilmu agama, seharusnya menuntut ilmu dengan niat yang ikhlas kerana niat yang tidak ikhlas dan salah boleh menyebabkan hilangnya keberkatan ilmu tersebut.

2. MENGHAFAL AYAT-AYAT AL-QURAN
Al-Quran merupakan sumber utama dalam syariat Islam, kunci segala ilmu yang ada dan pegangan dalam kehidupan orang Islam. Maka wajiblah keatas kita menguasainya dengan selalu membaca, menghafal dan tadabbur sebelum menguasai ilmu-ilmu lain. Berkata Imam An-Nawawi Rahimahullah : "Perkara pertama yang perlu bagi seorang pelajar ialah menghafal al-Quran al-Karim kerana ia ilmu yang paling penting.....". Syeikh telah menyebut di dalam kitabnya, bilamana kita menghafal al-Quran banyak kelebihan dan kemuliaan yang diperolehi antaranya, menjadi sebaik-baik manusia di sisi Allah SWT, al-Quran menjadi syafaat dan hujjah kepadanya, dan dijauhkan dari fitnah dajjah serta aman dari azab kubur. Kita juga disarankan bilamana menghafal al-Quran merujuk kitab-kitab tafsir bagi memudahkan untuk menghafal selari dengan kefahaman makna, memahami ayat-ayat suruhanNYA, laranganNYA, azab dan nikmat yang ada serta ayat-ayat hukum hakamNYA.

3. MEMPELAJARI BAHASA ARAB DAN MENGUASAINYA
Sebagai pelajar yang belajar ilmu agama wajib keatas kita juga untuk mempelajari bahasa arab dan menguasai dengan sebaik mungkin kerana bahasa arab adalah bahasa yang diturunkan di dalam al-Quran dan bahasa untuk bercakap dengan Nabi saw. Berkata Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah : “Dan sesungguhnya bahasa Arab itu sendiri sebagian dari agama. Hukum mempelajarinya adalah wajib, kerana memahami Al-Quran dan As-Sunnah itu wajib, dan keduanya tidaklah boleh difahami kecuali dengan memahami bahasa Arab."

4. MENGHIASI DIRI DENGAN AKHLAK YANG BAIK
Di dalam menjaga adab-adab ketika menuntut ilmu, kita juga haruslah menghiasi diri dengan akhlak yang baik kerana perkara tersebut disukai oleh Allah SWT dan anjuran oleh Nabi saw. Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi, daripada Abu Dzar Jundub ibn Junadah, daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda:
 "Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.

5. MENJAUHI DIRI DARI SIFAT GHURUR, TAKABBUR DAN HAYA'
Bilamana kita sudah menguasai ilmu dengan baik, berhati-hatilah dengan sifat ghurur dan takabbur yang boleh merosakkan ilmu yang diperolehi dan ia merupakan penyakit hati yang keji.

Ghurur pada bahasa ialah terpedaya, seseorang yang berilmu, hatinya tidak terlepas dari penyakit ini dan sangat merbahaya jika mereka tidak sedar akan virus penyakit sudah terlekat di hatinya. Kesannya, ia akan merasakan dirinya berilmu berbanding orang lain dan dirinya perlu disegani orang sekeliling.

Takabbur pula, sifat merasai tinggi diri dan suka mengatasi orang lain, sedar atau tidak sedar ia telah mencabar keangungan Allah SWT dan mengundang balasan yang pedih. Rasulullah saw bersabda dalam sohih Muslim : "Tidak masuk Syurga bagi sesiapa yang dalam hatinya ada sebesar zarah dari sifat takabbur".

Manakala haya' merupakan sifat terpuji, akan tetapi ia akan menjadi sifat keji bilamana sifat tersebut menjadi penghalang kepada penuntut ilmu dalam menambahkan ilmu dan perkara-perkara kebaikan.

Jadi penulis mencadangkan supaya sifat yang perlu dihiasi untuk menghalangi tiga sifat ini bermaharajalela di dalam hati ialah sifat tawaduk (merendah diri) dengan ilmu yang ada dan orang sekeliling.

Sumber :
1. Kitab "ila tholibil ilmi"
Syeikh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri
2. Kitab "Ihya Ulumuddin"
Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali
3. Kitab "Hadis 40"
Imam an-Nawawi

Disediakan oleh:
Ustazah Norfadilah binti Mohd Nasir
Fasilitator KPIPM sesi 2019/2020

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...