Monday, February 24, 2020

LAPORAN PROGRAM HARI KELUARGA ANAK-ANAK PERAK DI MESIR 2020 (MESRA'20)


LAPORAN PROGRAM
HARI KELUARGA ANAK-ANAK PERAK DI MESIR 2020 (MESRA ‘20)

KAHERAH, 2 - 6 Februari 2020 - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020 telah berjaya menganjurkan program mega yang tidak asing lagi bagi seluruh anak-anak Perak di Mesir iaitu program Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir 2020 (MESRA ‘20). Pada tahun ini MESRA ‘20 berkonsepkan barisan pahlawan Perak yang telah berlangsung dengan jayanya selama lima hari, bermula dari 2 Februari sehingga 6 Februari 2020. Program yang bertemakan ‘’Nyeghongen Bersama, Ukhuwah Terbina’’ ini, melibatkan seluruh anak-anak Perak di Mesir selari dengan obejktif yang digariskan pada kali ini iaitu mengukuhkan kesatuan yang bercirikan kekeluargaan dalam kalangan anak-anak Perak di Mesir, menerapkan kesyumulan Islam berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, menyerlahkan bakat ahli dalam pelbagai bidang, mengoptimumkan medium kebajikan dalam kalangan ahli dan meningkatkan thaqafah mahasiswa/wi dalam pelbagai aspek.

Kemeriahan MESRA ‘20 membuka langkah awal dengan mengadakan perjumpaan setiap rumah sukan ikhwah dan akhawat pada 30 Januari 2020 bertempat di beberapa buah rumah sewa ahli yang telah ditetapkan. Pada tarikh 2 Februari 2020 bertempat di Dewan Syeikh Sya'rawi Baitul Rahman, program bermula dengan Slot Forum Unit Bait Muslim yang dipengerusikan oleh Ustaz Daniel Iskandar bin Zaini yang bertajuk "Kahwin, Anda Bersedia?", Pengisian forum tersebut disampaikan oleh dua orang panel iaitu Ustaz Khairul Naim bin Abd Razak dan Ustazah Nurul Izzaty binti Osman . Seusai Forum Unit Bait Muslim, majlis diteruskan lagi dengan acara Majlis Perasmian dan Gimik Pelancaran Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir 2020 (MESRA ‘20). Hadirin dan hadirat disajikan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah MESRA ‘20, Ustaz Muhammad Ikmal bin Sharifuddin serta kalam daripada Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020, Ustaz Muhammad Fahmi bin Zakaria. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Tuan Haji Mohamad Tasyreef bin Mohamd Tarmizi selaku Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak sekaligus merasmikan MESRA ‘20. Akhir sekali, majlis disajikan dengan tayangan video pengenalan MESRA ‘20.

Pada 3 Februari 2020, MESRA ‘20 dihangatkan lagi dengan aktiviti outdoor bagi ikhwah di Istad Abbasiah, Kaherah dan aktiviti indoor bagi sebelah akhawat di Wisma Baitul Rahman. Aktiviti outdoor ikhwah dimulakan dengan acara perarakan semua kontinjen rumah sukan. Akitiviti diteruskan dengan ucapan alu-aluan Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020, Ustaz Muhammad Fahmi bin Zakaria. Seterusnya, aktiviti diteruskan dengan Speaker Corner yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Nur Ikhwan bin Shamsuddin yang bertajuk “Cabaran Islam di Malaysia Era 2020” di bawah kendalian Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020. Antara aktiviti yang djalankan adalah larian 100 meter, 4x100 meter, Lari Ikat Kaki Berpasangan, Nyeghongen, Laga Ayam,Bola Baling, Bola Tampar dan lain-lain. Pada masa yang sama, di sebelah akhawat pula berlangsungnya Hari Kebajikan iaitu gotong-royong di jalan sekitar penempatan anak-anak Perak. Selepas Zohor, berlangsungnya permainan indoor akhawat di Dewan Syeikh Sya’rawi, Baitul Rahman bermula pada jam 1.00 petang. Antara aktiviti yang menarik adalah Mewarna Poster, Gubahan Buah, Spelling Bee, Bingo, Musang Berjanggut, Rumah Kita dan lain-lain lagi.


MESRA ‘20 diteruskan pada hari berikutnya 4 Februari 2020, dengan aktviti indoor ikhwah dan outdoor akhawat. Aktiviti outdoor akhawat turut dijalankan di Istad Abbasiah dimulai dengan majlis perasmian dan perarakan seluruh kontinjen rumah sukan. Seterusnya, pengisian Speaker Corner daripada Ustazah Ummi Salamah binti Kamarulazahar yang bertajuk “Cabaran Islam di Malaysia Era 2020” bawah kendalian Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020. Antara aktiviti yang diadakan adalah acara balapan iaitu 100, 200, 4x100, 4x200 meter dan lontar peluru. Terdapat juga acara sukaneka seperti Kejor Yop Kejor, Kampung People dan lain-lain turut dipertandingkan. Dalam masa yang sama, di sebelah ikhwah telah berlaku aktiviti Hari Kebajikan iaitu gotong-royong di jalan sekitar penempatan anak-anak Perak. Pada pukul 1.00 petang, acara indoor ikhwah dimulakan dengan pelbagai aktiviti seperti Susun Nut, Flip Tic Tac Toe, Belon Piramid, Tebar Roti Canai, Teh Tarik dan lain-lain. Turut diadakan juga aktiviti kemuncak iaitu pertandingan bercerita dan Debat Pantun. Pada sebelah malam, aktiviti diteruskan lagi dengan akitiviti gotong-royong BBQ dan jamuan yang turut dihadiri Tuan Haji Tasyreef bin Mohamd Tarmizi, Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak beserta keluarga dan Encik Muhammad Fauzan bin Abdul Rahim, Penolong Atase Pendidikan Negeri Perak beserta keluarga.

Pada 5 Februari 2020, Piala KPIPM dan Piala An-Nisa’ mewarnai hari keempat MESRA ‘20 dan ia merupakan perlawanan yang dinanti-nantikan oleh mahasiswa dan mahasiswi Perak di Lembah Nil ini. Piala KPIPM berlangsung di Sport Arena, Az-Zahra, Hayyu Asyir sementara di peringkat akhawat berlangsung di Padang Alsun, Hayyu Thamin. Sebanyak 19 pasukan bertanding untuk memenangi Piala KPIPM. Perlawanan akhir menyaksikan pertembungan di antara pasukan Pak Kodi FC dan Perlis. Akhirnya, Pak Kodi FC berjaya menjuarai dengan penentuan sepakan penalti 1-0 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan. Bagi anugerah pemain terbaik Piala KPIPM ialah saudara Mohamad Naim bin Abdul Razak dan penjaring terbanyak, Zulfadhli bin Amran dengan 6 jaringan, manakala Piala An-Nisa’ pula penjaring terbanyak ialah saudari Nurul Hidayah binti Safaruddin dan pemain terbaik ialah saudari Nurul Fatehah binti Zainal Abidin. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang.

Pada hari kelima, berlangsungnya aktiviti Hari Kebudayaan bagi Akhawat di sebelah petang. Majlis bermula pada pukul 12.30 tengahari di Dewan Wisma Baitul Rahman, Hayyu Sabiek. Majlis bermula dengan ucapan pengerusi majlis. Antara persembahan yang ditontonkan ialah tarian tradisional, choral speaking, sketsa dan boria. Selepas itu, majlis diserikan lagi dengan ucapan Timbalan Pengarah 2 MESRA ‘20, Ustazah Syahidatul Aimi binti Khairuddin. Akhir sekali, majlis menutup tirai dengan jayanya.

MESRA ‘20 kini di hampir ke penghujungnya. Malam Kebudayaan dan Majlis Penutupan MESRA ‘20 telah diadakan di Dewan Masjid Tantawi, Hayyu Sabiek pada 6 Februari 2020. Program bermula pada jam 6.00 malam dimulai dengan Ehya' Juma’ah sehingga 6.30 malam. Sejurus Solat Isyak berjemaah, Malam Kebudayaan dan Majlis Penutupan MESRA ‘20 dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis. Selepas itu, bermula acara Malam Kebudayaan yang dipengerusikan oleh dua hos iaitu saudara Abdul Latif bin Abdullah dan saudara Luqman Hamdi. Antara aktiviti yang dijalankan ialah sajak, dikir barat, nasyid dan lakonan. Seterusnya, barulah diteruskan dengan ucapan Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020, Ustaz Fahmi bin Zakaria.

 Acara yang ditunggu oleh para hadirin telahpun tiba iaitu acara penyampaian hadiah bagi setiap pemenang rumah sukan dan pengumuman pemenang rumah sukan bagi keseluruhan. Rumah Kuning iaitu Rumah Megat Terawis telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan MESRA ‘20. Sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh ahli rumah sukan atas kejayaan yang diperoleh. Majlis diakhiri dengan tayangan video penutup MESRA ‘20 dan santapan jamuan serta sesi bergambar sebagai kenang-kenangan. Majlis berakhir pada jam 11.00 malam.

Maka berakhirlah sudah program MESRA ‘20 Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020. Diharapkan agar program ini dapat mengeratkan tautan ukhuwah sesama anak-anak Perak di Mesir serta mengukuhkan peranan KPIPM sebagai wadah kesatuan anak-anak Perak di bumi Mesir. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan program MESRA ‘20 dan semoga program MESRA akan datang dapat dianjurkan dengan lebih gemilang dan berjaya kelak. Sekian, terima kasih.


‘’Nyeghongen Bersama, Ukhuwah Terbina’’

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
‘’MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN’’

Disediakan oleh :
Muhammad Sharifuddin bin Md Sallim
Setiausaha,
Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir 2020 (MESRA ’20),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020.


















Friday, February 14, 2020

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN AHLI JAWATANKUASA TADBIR KPIPM SESI 2019/2020


MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN AHLI JAWATANKUASA TADBIR KPIPM SESI 2019/2020
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020


🔰 Berikut merupakan pemakluman pemangkuan jawatan bagi Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sesi 2019/2020.
Adalah dimaklumkan bahawa pemangkuan seperti berikut:

▪Ustaz Muhammad Fahmi bin Zakaria
(Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020 )
📞 No. Telefon :
+201100689202
+201022945138
📧 Email : kpipmydp64@gmail.com

⏩ Dipangku oleh

▪Ustaz Ammar Rushdi bin Jamaluddin
(Timbalan Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020)
📞 No. Telefon : +201024375220
📧 Email: kpipmtydp64@gmail.com

Pemangkuan ini berkuatkuasa bermula pada 14 FEBRUARI 2020
Sebarang urusan berkaitan boleh menghubungi pemangku jawatan tersebut.

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Wednesday, February 12, 2020

LAPORAN DAURAH INTENSIF NAHU DAN SORF 2020 (DAURAH INTENSIF’20)

LAPORAN DAURAH INTENSIF NAHU DAN SORF 2020 (DAURAH INTENSIF’20)

Bukita Gantang, Perak - Pada 31 Januari hingga 2 Februari, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) Negeri Perak telah menganjurkan Program Daurah Intensif Nahu & Sorf 2020 (DAURAH INTENSIF’20) yang bertempat di Ehtno Valley, Bukit Gantang, Perak . Tema yang telah diletakkan oleh program pada kali ini ialah “Generasi Rabbani, Penyambung Legasi“. Antara objektif program ini ialah :

1) Menambah pengetahuan berkaitan ilmu alat sebagai persediaan ke Timur Tengah
2) Memberi pendedahan awal tentang persediaan menghadapi Imtihan Qobul
3) Memberi penerangan tentang peranan Al-Azhar, sejarah persatuan serta pengajian dan kehidupan di Mesir
4) Menghidupkan nilai ukhwah Islamiah
5) Memberi semangat dan motivasi kepada mahasiswa/wi

Alhamdulillah, DAURAH INTENSIF’20 pada kali ini telah berjaya mengumpulkan seramai 70 peserta yang terdiri daripada Lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Lepasan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM). DAURAH INTENSIF’20 ini juga berlangsung selama 3 hari bermula pada hari Jumaat sehingga hari Ahad.
Pejalanan hari pertama, bermula pada jam 2 petang dengan kehadiran peserta ke tempat program dan sesi pendaftaran. Selepas itu, program diteruskan lagi dengan Daurah Nahu bagi Kitab Matan Jurumiyah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak, Mantan YDP KPIPM sesi 2018/2019 . Pada sebelah malam, DAURAH INTENSIF’20 diteruskan dengan Majlis Perasmian yang dirasmikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Firdaus bin Hassan yang merupakan Mantan YDP KPIPM sesi 1998 dan beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada para peserta untuk terus bersungguh –sungguh dalam menuntut ilmu.

Pada hari kedua, DAURAH INTENSIF’20 diteruskan dengan sambungan pembentangan Kitab Matan Jurumiyah dan juga bermula daurah bagi Kitab Sorf iaitu Matan Bina’ yang disampaikan oleh Ustazah Syariza binti Ayub, Mantan Ketua HEWI KPIPM sesi 2015/2016. Seterusnya, pada sebelah petang, telah dijalankan aktiviti Ziarah Asnaf. Dalam aktiviti ini, para peserta diberi peluang untuk menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada para asnaf di kawasan setempat. Untuk makluman, segala keperluan aktiviti Ziarah Asnaf telah ditaja oleh Syarikat Al-Ikhsan. Sebelum memulakan aktiviti ziarah, sedikit taklimat telah disampaikan oleh Encik Muhammad ‘Arif bin Yaziz selaku wakil Syarikat Al-Ikhsan yang juga merupakan Mantan Timbalan Yang Dipertua KPIPM sesi 2015/2016.


Antara aktiviti yang dijalankan pada hari kedua ialah Slot Penerangan Imtihan Qobul yang disampaikan oleh Ustazah Nurul Huwaida binti Alias selaku Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah HEWI KPIPM sesi 2019/2020. Turut juga dijalankan pada hari kedua ialah aktiviti Gerak Kerja Berkumpulan (Sharing Moment) oleh fasilitator-fasilitator kepada para peserta berkaitan fakulti yang akan diambil ketika menyambung pengajian ke Mesir.

Hari terakhir DAURAH INTENSIF’20 dimulakan dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhamad Mujahid bin Ir Haji Mohd Fadzil, Mantan YDP KPIPM sesi 2008/2009 berkaitan peranan sebenar Al-Azhar. Kemudian diteruskan lagi dengan slot latih tubi. Para peserta dibekalkan contoh-contoh soalan berkaitan nahu dan sorf. Selepas itu, program diteruskan dengan slot wakil Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) Negeri Perak yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohamad Adil bin Mohamad Fadzil dan penerangan sejarah persatuan yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohamad Hazim bin Mohd Halim, Mantan YDP KPIPM sesi 2014 sebagai wakil Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir.
Daurah Intensif Nahu dan Sorf 2020 diteruskan dengan Majlis Penutupan yang dirasmikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Fadhli bin Baharum sebagai wakil Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Pada jam 12.45 petang, sesi bergambar telah diadakan bagi merakamkan kenangan manis buat semua peserta DAURAH INTENSIF’20. Selepas itu, semua peserta menjamu selera bersama ibu bapa dengan makanan yang telah disediakan di peringkat program.

Akhirnya sekali, peringkat program mengharapkan semua peserta dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh serta terus bersemangat sepanjang tiga hari menyertai daurah intensif nahu dan sorf. Pihak program merakamkan jutaan terima kasih buat KPIPM, JAIPk, ILMAM dan Syarikat Al-Ikhsan kerana telah menganjurkan dan menyumbang bagi Program Daurah Intensif Nahu dan Sorf 2020 ini sebagai persediaan untuk para peserta menyambung pengajian ke bumi Mesir.

Berilmu, Beramal, Ikhlas
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”

Disediakan oleh :
Muhammad Arif Syah bin Abdullah Sani
Setiausaha Daurah Intensif Nahu dan Sorf 2020 (DAURAH INTENSIF’20),
KPIPM sesi 2019/2020











LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...