KANTA SISWA | SEJARAH : SEJARAH DAN KEJATUHAN KERAJAAN ISLAM DI ANDALUS
Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020
2 Januari 1492 merupakan tarikh tragis bagi seluruh umat Islam terutamanya di Andalus sendiri. Pada ketika inilah berlakunya kejatuhan Empayar Islam di Andalus yang telah bertapak selama 800 tahun atas usaha keras Tariq bin Ziyad dan para tentera Islam membuka kota ini. Perlu kita sedar bahawa kerajaan Islam yang sering diungguli dunia pasti akan dipandang hasad dek pihak musuh dengan pelbagai muslihat. Dan peranan besar kita terutamanya selaku mahasiswa Islam perlu mengetahui dan mendalami sejarah bangkit dan jatuhnya Andalusia yang merupakan kerajaan Islam yang unggul berdiri teguh suatu ketika dahulu.
SEJARAH NAMA ANDALUS
Kerajaan Islam di Andalus yang dahulunya dikenali sebagai Semenanjung Iberia terletak di tenggara Eropah. Para geografis Muslim bersepakat bahawa Andalus ialah sempadan Afrika dan bukannya Benua Eropah.
Dinamakan “Andalusia” kerana beberapa suku yang dikenali sebagai “Vandal” berasal dari Utara Skandinavia; mereka menyerang Andalusia dan hidup di sana dalam waktu yang cukup lama. Sehingga wilayah itu dikenali sebagai “Vandalisia”.
Seiring perjalanan waktu dan percampuran bahasa penduduk, akhirnya dinamakan sebagai “Andalusia”. Kemudian suku ini keluar meninggalkan Andalusia dan kemudian dikuasai oleh kelompok Kristian yang dikenali sebagai “Goth” dan kini kota itu dikenali sebagai “Sepanyol”.
SEBAB BERLAKUNYA PEMBUKAAN KOTA ANDALUS
Pada 92H, kaum muslimin telah berjaya membuka seluruh Afrika di bahagian Utara iaitu Mesir, Libya, Tunisia, Al Jazair, dan Maroko. Ketika mereka telah sampai ke penghujung kawasan Maroko dan tepian Lautan Atlantik, mereka perlu memilih sama ada untuk meneruskan pembukaan ke arah Utara menyeberangi Selat Gibraltar masuk ke Sepanyol dan Portugis yang merupakan Andalusia ketika itu, atau ke arah selatan iaitu padang sahara yang sangat luas tetapi penduduknya sangat sedikit.
Perlu difahami, tujuan pembukaan negara oleh kaum Muslimin sama sekali bukan kerana tamakkan wilayah dan kawasan baru. Namun tujuan utamanya dan terlebih besar yang disasarkan adalah atas dasar berdakwah di jalan Allah dan mengajarkan agama Islam kepada manusia lain.
Pembukaan Kota Andalus terjadi pada 711M iaitu pada zaman khilafah Umawiyah yang ketika itu dipimpin oleh Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik manakala Musa bin Nushair sebagai Gabenor Wilayah Maghribi. Musa mengangkat Tariq bin Ziyad untuk menjadi gabenor bagi Kota Thanjah yang berhampiran dengan Andalus dan Sabtah(Cueta).
Roderic, Raja Andalus ketika itu dikenali dengan sifatnya yang zalim terhadap rakyat sehingga mereka hidup dalam kemiskinan dan sering menekan orang-orang Yahudi. Penguasa Sabtah(Cueta) iaitu Julian melihat umat Islam semakin hari bertambah kuat dan mereka bimbang diserang oleh kaum muslimin.
Dalam masa yang sama, Julian menyimpan dendam terhadap Roderick kerana dia telah merogol puterinya dan membunuh sahabatnya, Witiza sehingga anak-anak Witiza meminta bantuan daripada Julian untuk meyerang Roderic.
Oleh itu, mereka mengirim utusan untuk menemui Tariq bin Ziyad, Gabenor Thanjah dan memintanya untuk menakluk Kota Andalus. Hal ini kerana, kuasa Islam ketika itu sangat kuat seramai 12 000 orang tentera Islam (5 000 tentera Toriq dan 7 000 tentera Musa) dengan beberapa kapal memasuki Andalus. Walaupun maklumat berkaitan tentera Islam ingin menyerang Andalusia lambat diterima oleh Roderic namun dia sempat menyediakan 100 000 orang tentera dengan bersenjata lengkap bagi berhadapan dengan tentera Islam.
Ketika tentera Islam sampai di Selat Gibraltar, Tariq bin Ziyad berdiri di hadapan para pengikutnya lalu memuji Allah lalu memberi semangat kepada tentera Islam untuk berjihad:
“Wahai sekalian pasukan kaum muslimin! Ke mana kalian akan pergi? Lautan ada di belakang dan musuh ada di hadapan kalian. Maka demi Allah, kalian tidak punya pilihan lain, kecuali bersungguh-sungguh dan bersabar !”
Walaupun jumlah tentera Islam sedikit, namun tentera Islam mampu memperoleh kemenangan yang besar di Lembah Barbate. Sebaik sahaja usai pertempuran itu, Tariq bin Ziyad segera memimpin pasukannya dan mengorak langkah ke arah Utara bagi menakluk wilayah Andalus yang masih tersisa iaitu Toledo, ibu kota Gothic.
Dalam tempoh 2 tahun, Islam berjaya membuka seluruh kerajaan di Andalus. Pusat kerajaan Islam di Andalus berpindah dari Toledo ke Cordova. Dengan ini, kerajaan Islam di Andalus telah mencatat sejarah emas bagi pemerintahan Islam yang mampu bertapak begitu lama iaitu selama 800 tahun lamanya.
BERSATUNYA KERAJAAN-KERAJAAN KRISTIAN
Aragon dan Castille merupakan kerajaan Kristian Katolik yang terletak di sekitar Andalus. Kedua-dua kerajaan Katolik ini bergabung bagi menakluk Kota Andalus dengan melaksanakan perkahwinan antara Ferdinand V iaitu Raja Aragon dengan Ratu Isabelle selaku pewaris takhta Castille. Sebelum ini mereka merupakan musuh ketat akan tetapi sanggup bersatu demi mencapai tujuan licik mereka iaitu menamatkan kerajaan Islam di Andalus.
Islam mulai lemah dengan pelbagai muslihat musuh dalam meracuni pemikiran dan aqidah umat Islam di Andalus antaranya dengan menghantar pengaruh yang tidak baik serta perosak-perosak yang menyamar sebagai Muslim.
Kemudian mulailah konflik di dalam takhta pemerintahan di Granada yang ketika itu dikuasai oleh Ali bin Saad bin Muhammad Al-Ahmar (Al-Ghalib Billah). Dia memiliki seorang saudara iaitu Abu Abdillah Muhammad (Zaghal) yang juga ingin merebut takhta pemerintahannya ketika itu. Maka Abu Abdillah meminta bantuan daripada Raja Castille untuk memerangi saudaranya sendiri Al-Ghalib Billah.
Sampai ke kemuncaknya, Ferdinand V memanfaatkan konflik dan perpecahan itu dan mula menyerang benteng-benteng pertahanan Granada.Pertempuran antara kaum muslimin dan pasukan Castille telah terjadi beberapa kali dan sebahagian berakhir dengan kemenangan dan sebahagiannya berakhir dengan kekalahan.
Kalahnya kaum muslimin bukan kerana kuatnya musuh. Akan tetapi atas sebab lemahnya kerajaan mereka yang lebih banyak berfoya-foya sehingga rakyat dibiarkan dalam mempertahankan dan berjuang sendiri demi membela keunggulan negeri itu.
GRANADA SATU-SATUNYA YANG TINGGAL
Selepas berlaku pelbagai konflik dan pertempuran akhirnya kerajaan Islam yang berbaki di Andalus hanyalah di Granada. Umat Islam mula hidup dalam kepura-puraan dan menyamar menjadi orang bukan Islam bagi melindungi diri dan keluarga.
Abu Abdillah Muhammad adalah Raja Islam yang terakhir di bumi Andalus dan kawasan selebihnya telah menjadi milik kerajaan Castille. Beberapa kali kerajaan Castille cuba menakluk Granada namun tidak berjaya sehinggalah Castille berjaya menakluk benteng-benteng yang penting di Granada .
Peristiwa yang menyayat hati tikamana pengepungan Granada yang terakhir, Musa bin Abu Ghassan selaku pemimpin bagi tenteranya telah memberi suntikan semangat dalam kalangan masyarakat untuk tidak takut mati serta berperang di jalan Allah demi membela agama dan negara. Selama tujuh bulan para mujahidin terus bertahan melindungi benteng pertahanan Granada bagi melawan serangan-serangan yang dilancarkan oleh tentera Castille, namun akhirnya jatuh jua di tangan musuh.
JATUHNYA GRANADA
Air mata dunia Islam atas pembunuhan Musa bin Abu Ghassan dan pada tarikh 2 Rabiul Awwal tahun 897H bersamaan 2 Januari 1492M, maka berlakulah penyerahan kunci Istana Al-Hambra oleh Ibnu Al-Ahmar kepada Ferdinand V dan Ratu Isabella. Ia merupakan isyarat berakhirnya tempoh pemerintahan Islam di Granada.
Mereka masuk ke Istana Al-Hambra dengan sombong dan memasang papan salib terbuat dari perak di atas bangunan istana. Ibnu Al-Ahmar hanya mampu melihat dari atas bukit yang jauh menatap Istana Al-Hambra dan mengalirkan air matanya.
Setelah itu, berlakulah pelbagai penindasan ke atas orang Islam yang berbaki di Granada. Mereka dilarang beribadah dan wanita pula dilarang bertudung. Orang Islam kian diperhati setiap detik sehingga ada yang sanggup menanam Al-Quran di dalam dinding rumah.
FAKTOR-FAKTOR JATUHNYA KERAJAAN ISLAM DI ANDALUS
Dapat kita simpulkan di sini beberapa faktor besar kejatuhan kerajaan Islam di Andalus antaranya ialah :
1) Hidup mewah dan cintakan dunia
2) Meninggalkan kerja dakwah dan jihad di jalan Allah
3) Bergelumang dalam perkara maksiat
4) Menyerahkan urusan kepada orang yang bukan ahlinya
5) Jahil agama
Berakhirnya pemerintahan Islam di Andalusia bukanlah kerana kekuatan musuh, tetapi disebabkan oleh lemahnya umat Islam ketika itu. Mengenang sejarah terutamanya sejarah Kerajaan Islam di Andalus bukanlah untuk ditangisi atau diratapi tetapi sebagai kesedaran buat kita selaku umat Islam supaya kita dapat mengambil pengajaran daripadanya.
Firman Allah SWT:
فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
“Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.”
(Al-A’raf:176)
Mahasiswa Islam perlulah cakna dengan sejarah lebih-lebih lagi sejarah Islam. Dengan itu, kita hendaklah mengambil pengajaran dari masa lalu dan bangkit berdiri pada hari ini sehingga kita memperjuangkan kebangkitan dan kemuliaan Islam demi masa depan. Kita perlulah menjaga hubungan persaudaraan dan menghindari segala bentuk perpecahan dan permusuhan, menegakkan yang benar dan menegur segala perkara mungkar. Hal ini kerana, mahasiswa Islam merupakan golongan yang sangat berpengaruh dalam pendidikan dan menjadi ikutan buat generasi akan datang. Maka, kita perlulah mempersiapkan diri dengan ilmu dan akhlak yang terpuji.
Selain itu, mahasiswa Islam merupakan pelapis kepimpinan akan datang. Maka hendaklah generasi ini dibentuk dan dididik dengan acuan Islam agar segala kezaliman dan kemungkaran yang berlaku di dunia pada hari ini dapat diatasi. Bertepatan dengan ayat al-Quran di dalam Surah al-Baqarah, ayat 30:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ (30)
Maksudnya: Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.
Kesimpulannya, mahasiswa Islam memainkan peranan yang sangat penting dalam mencorakkan masa depan Islam. Setiap individu mempunyai peranan masing-masing, maka setiap daripada mereka perlu faham dan cakna untuk setiap tanggungjawabnya.
Siiru ‘Ala Barakatillah.
Rujukan:
Bangkit dan Runtuhnya Andalusia. Jejak kejayaan peradabaan Islam di Sepanyol. –Prof. Dr. Raghib As-Sirjani
"Informasi Wadah Reformasi"
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"