Saturday, December 28, 2019

KENYATAAN YDP | SOLIDARITI KPIPM BERSAMA BKKIMM

KENYATAAN YDP | SOLIDARITI KPIPM BERSAMA BKKIMM
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam yang telah mengurniakan pelbagai nikmat dan rahmat kepada hambaNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda, Nabi Muhammad SAW yang diutuskan olehNya membawa rahmat kepada sekalian alam.

Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir merupakan sebuah persatuan pelajar yang membawa agenda kesatuan, kebajikan dan pendidikan kepada anak-anak Melaka di Mesir. Semenjak ditubuhkan pada tahun 1976, persatuan ini terus utuh menaungi seluruh anak-anak Melaka di Mesir.

Namun tanggal 28 Disember 2010 merupakan detik hitam yang berlaku kepada Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir, ketika mana pengiktirafannya sebagai sebuah persatuan yang menaungi seluruh anak-anak Melaka telah ditarik oleh Kerajaan Negeri tanpa ada sebab yang jelas. Tragedi hitam ini dirasai oleh Badan Kebajikan Anak Negeri serta memberi kesan kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi Mesir khususnya.

Semenjak 43 tahun penubuhan, BKKIMM terus komited membawa aspirasi mahasiswa serta menjadi platform utama bagi mahahsiswa Melaka untuk bersuara. Namun setelah peristiwa 28 Disember, berlakunya insiden penafian hak apabila anak Melaka tidak diberikan penempatan yang sepatutnya, tidak diberikan ruang dan beraktiviti di rumah negeri, diancam untuk ditarik bantuan zakat dan pelbagai diskriminasi lain yang menindas hak mahasiswa.

Namun semangat dan kezaman BKKIMM tidak pernah luntur dan goyah. Buktinya apabila BKKIMM meneruskan pergerakannya di Rumah Melaka Sementara (RMS) serta menanggung sendiri kos penempatan tersebut lebih kurang 4 tahun lamanya sejak dinafikan hak penempatan mereka di Wisma Seri Melaka. Ianya menjadikan BKKIMM sebagai persatuan yang komited menjaga kebajikan anak-anak Melaka serta konsisten dalam mebawa agenda mahasiswa Islam.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka”
(Surah at-Taubah : 42)

Firman Allah SWT ini menjadi dalil bahawa jalan yang harus diharungi dalam menyeru manusia ke arah kesatuan dan kebaikan bukanlah suatu jalan yang mudah dan dihamparkan dengan karpet merah. Pasti akan ada dugaan dan ujian yang dihadapkan bagi menilai siapakah yang benar-benar beriman kepadaNya.

Oleh itu, saya selaku Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir mewakili seluruh anak-anak Perak di Mesir menyatakan kebersamaan bersama BKKIMM sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam usul mesyuarat agung kali ke-50 yang lalu iaitu :

“Bersama mempertahankan hak Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dan Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) bagi menyatakan solidariti mahasiswa.”

Ayuh kita seluruh mahasiswa meningkatkan kecaknaan dan keprihatinan kita terhadap peristiwa ini. Marilah kita berganding bahu dan bersatu hati dalam menjayakan aspek kesatuan yang menjadi tonggak kekuatan mahasiswa Islam. Semoga BKKIMM terus kekal kuat dan utuh menerjang badai membawa agenda mahasiswa sekaligus memenuhi tuntutan Islam.

Siiru 'Ala Barakatillah.

#BKKIMM28DISEMBER
#SolidaritiBersamaBKANMelaka

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Muhammad Fahmi bin Zakaria
Yang Dipertua
Keluar Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020

Sunday, December 22, 2019

PENA AZHARI | MUMTAZ DI SISI ALLAH

PENA AZHARI | MUMTAZ DI SISI ALLAH 
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020





الحمد لله الذي بيده الملك وهو على كل شيء قدير, أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له, له الملك و له الحمد وهو على كل شيء قدير. وأشهد أن محمدا عبده ورسوله البدر الجى و سراج المنير, اللهم صلي وسلم و بارك على سيدنا و حبيبنا و إمامنا و قدوتنا محمد نبي الرحمة و شفيع الأمة, وعلى آله و صحبه ومن تبعه ونصره.
Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"
[Az-Zariyat : 56]

Salah satu daripada tujuan penciptaan manusia, bahkan tujuan paling utama kita selaku hambaNya adalah untuk beribadat kepadaNya. Ibadat bermaksud mengabdikan diri dengan tunduk, patuh dan merendah diri di hadapan Allah. Tunduk patuh kepada Allah pula bererti menurut segala suruhan-Nya samada yang termaktub di dalam Al-Quran atau yang disampaikan melalui sunnah Rasulullah SAW. Ibadat juga bermaksud meninggalkan setiap apa yang dilarang oleh Allah SWT.

Bolehlah difahami bahawa sesiapa yang patuh kepada kebendaan dan keduniaan serta mencintainya lalu menurut segala kemahuannya, maka ia termasuk di dalam menurut hawa nafsu, harta dan kuasa namun bukanlah patuh secara mutlak kepada Allah dan Rasul-Nya.

Tidaklah kita dapat lari daripada dunia yang merupakan pentas ujian. Bukan sahaja orang Islam, bahkan mereka yang tidak mempercayai Tuhan sekalipun tidak akan terlepas dari ditimpa ujian samada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan. Ujian yang Allah timpakan ke atas hambaNya tidak akan berakhir kecuali setelah tamatnya riwayat hidup kita di dunia ini. Dan akhirat pula adalah tempat pemarkahan dan pembalasan terhadap kita berpandukan keputusan ujian kita di dunia.

Maka, janganlah kita hidup di dunia ini hanya untuk menunaikan segala tunjuk penciptaan manusia. Jangan pula sekadar untuk menjadi orang yang paling baik atau untuk memenuhi rukun Islam yang lima semata-mata. Jangan pula kita hidup untuk menjadi pemimpin dunia sahaja, ataupun hidup menyerahkan takdir kepada Allah kerana menunggu tibanya hari akhirat. Sebaliknya tuntutan tersebut hendaklah diadun sebaiknya dan dipenuhi tuntutan keseluruhannya. Dan ia bertepatan juga dengan kehidupan kita selaku penuntut ilmu, bukanlah tujuan utama semata-mata melangsaikan tuntutan ilmu, namun kita mempunyai tugas dan hak yang sangat banyak untuk ditunaikan terutamanya kepada umat sejagat.

Dari Abu Hurairah RA maksudnya:
“Barangsiapa yang menempuh suatu perjalanan dalam rangka untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Dalam kehidupan penuntut ilmu, jadilah seorang pemburu, yang setia mencari dan memburu kejayaan. Tidaklah menjadi sebagai penunggu yang mengharapkan kejayaan itu akan datang bergolek, kerana konsep tawakal dalam Islam tidak bermaksud kita hanya berserah kepada Ilahi tanpa ada keringat yang diusahakan.

USAHA, DOA DAN TAWAKAL

Perlu kita ingat dan ketahui tugas dan tuntutan sebagai seorang penuntut ilmu yang telah digariskan oleh Imam Burhanul Islam Az-Zarnuji di dalam kitabnya "Ta'lim Muta'allim Toriq At-Ta'allum" iaitu:
1) Menghilangkan kejahilan dalam diri
2) Menghilangkan kejahilan dalam keluarga
3) Menghilangkan kejahilan dalam masyarakat

Orang yang paling wajar dicontohi dalam amalan kehidupan seharian kita ialah Rasulullah SAW. Baginda insan yang paling kuat beribadah sehingga melecet tumit kaki akibat terlalu lama sembahyang. Baginda juga berjuang mempertahankan pemerintahan Islam sehingga cedera dan diancam pembunuhan. Dan pada waktu yang sama, baginda juga menunaikan segala amanah di muka bumi ini seperti amanah negara, amanah harta, amanah keluarga, amanah tubuh badan dan sebagainya.

Kehidupan Rasulullah juga tidak sunyi daripada ujian yang bertimpa-timpa di samping memerah keringat dan mempertaruhkan nyawa demi menjaga serta meneruskan legasi agama Islam yang suci ini.

Jendela 2019 hampir melabuhkan tirainya. Acapkali kita diperingatkan tentang amalan yang telah dilakukan. Sama ada catatan di bahu kanan lebih banyak ataupun catatan bahu kiri lebih memuncak.

Firman Allah SWT :

وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ

Maksudnya: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat”
[Ash-Shu'ara: 214]

 Sedarkah kita bahawa talian hayat dunia hampir ke penghujungnya? Adakah masih leka berdiam diri memikirkan masalah peribadi berbanding masalah ummah masa kini? Adakah sudah mencukupi amalan yang kita lakukan sehingga detik ini?

Maka, ingatlah janji Allah SWT bahawa akan diganjarkan kepada mereka ganjaran yang setimpal bagi mereka yang memperluas dan mempertahankan agama Islam.

Hari berlalu hari, tahun berganti tahun, tanggungjawab yang dipikul seorang penuntut ilmu semakin menjadi bebanan. Namun perkara tersebut bukanlah alasan untuk berjaya. Jika disibukkan dengan waktu-waktu yang sebelumnya dengan penyesalan tanpa perubahan, maka engkau menyempitkan dan mensiakan waktu yang ada. Tidak akan terlewat bagi sesiapapun yang mahu memulakan. Kegagalan hari ini bukanlah sebagai penamat riwayat hidup tetapi sebagai permulaan bagi sesuatu kejayaan. Ketahuilah kejayaan di sisi Allah itu melampaui akal manusia. Kecapilah mumtaz di sisi Tuhan kerana ia jauh lebih bermakna daripada dunia dan seisinya.

Akhir kalam, semoga dengan wadah kesatuan ini iaitu Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) dapat mendekatkan lagi diri kita kepada Allah SWT dengan pembawaan Islam yang syumul merangkumi segala aspek berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Berhati-hatilah dalam mengorak langkah menuju kejayaan haqiqi di sisi Allah. Kadangkala kita merasakan kita di landasan yang betul namun rupanya kita berada dalam perjalanan yang salah. Bersuhbahlah dengan Al-Quran dan Sunnah agar kita tidak akan pernah terpesong daripada petunjukNya. Semoga setiap kejayaan yang kita kecapi merupakan kejayaan demi ummah sejagat dan meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. InsyaAllah.


Aiman Bin Mohd Yusoff
Timbalan Setiausaha Agung
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Thursday, December 19, 2019

MAKLUMAN | PEMBUKAAN PEMBAYARAN WANG ITHAR

MAKLUMAN | PEMBUKAAN PEMBAYARAN WANG ITHAR
Lembaga Tabung Ithar, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020

Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡهِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمۡ حَاجَةٗ مِّمَّآ أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِهِمۡ خَصَاصَةٞۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Maksudnya: Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

[Surah Al-Hashr : 9 ]

Sifat Ithar merupakan nilai yang sangat sukar untuk ditemui dalam kalangan masyarakat kini. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Ithar tersebut? Ithar merupakan sifat terpuji yang mana mendahulukan orang lain lebih daripada diri sendiri. Ia merupakan tingkatan tertinggi untuk mencapai ukhuwah Islamiah bahkan yang paling sulit untuk didapatkan. Dalam erti kata lain, Ithar bermaksud gaya hidup masyarakat yang tolong-menolong, bantu-membantu, bertimbang rasa, menghormati, bersimpati dan pemurah kepada golongan yang memerlukan pertolongan atau berada dalam keadaan kesempitan dan kesusahan.

Perhatikan bagaimana nilai Ithar yang diperlihatkan oleh para sahabat R.A di dalam peperang Yarmuk, ketika mana berada dalam keadaan nazak dan kehausan namun masing-masing mengutamakan sahabat yang lain berbanding diri mereka sendiri. Akhirnya, ketiga-tiga mereka syahid tanpa sempat meminum setitis pun kerana lebih mengutamakan orang lain berbanding diri mereka sendiri.

Rasulullah SAW bersabda :

 لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

Artinya: “Tidak beriman seseorang di antaramu hingga kamu mencintainya seperti kamu mencintai dirimu sendiri.”

(HR Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, KPIPM sebagai sebuah Badan Kebajikan Anak Negeri bertanggungjawab bagi memupuk rasa Ithar dan Tadhiyah yang dianjurkan oleh Islam agar mekar di dalam diri dan jiwa seluruh anak Perak di bumi Mesir.

Maka dengan itu, diwujudkan satu dana yang dinamakan Tabung Ithar dan diuruskan oleh ahli lembaga yang dilantik. Secara rasminya tabung ini telah dilancarkan pada 20 Februari 1998 oleh Presiden PMRAM, Ustaz Ahmad Bukhori Ghazali.

Oleh itu, saya selaku Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020 menyeru kepada seluruh ahli KPIPM agar kita sama-sama menyumbang kepada Tabung Ithar bagi membantu rakan seperjuangan kita yang menghadapi kesulitan atau kesusahan agar sedikit sebanyak kita mampu meringankan beban mereka dan menyuburkan nilai Ithar dalam diri kita semua.

Semoga segala sumbangan kita dihitung oleh Allah SWT sebagai amal jariah dan menjadi syafaat bagi kita mendapatkan syurga Allah SWT di hari akhirat kelak.

Muhammad Fahmi bin Zakaria
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS

"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Thursday, December 5, 2019

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2019/2020

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2019/2020
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020

Berikut merupakan pemakluman pemangkuan jawatan Anggota Badan Penasihat Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sesi 2019/2020:-

🔹Ustaz Hussaini bin Mohamed Hussain
(Pengerusi Badan Penasihat KPIPM sesi 2019/2020)
+201140151395

Dipangku oleh:

💠Ustaz Mohamad Azri Rusydi bin Mat Zaki
(Setiausaha Badan Penasihat KPIPM sesi 2019/2020)
+201552104288
__________________________

💠Ustaz Khairul Naim bin Abd Razak
(Ajk Badan Penasihat KPIPM sesi 2019/2020 )
+201100403093

📍Pemangkuan ini berkuatkuasa mulai 5 Disember 2019

Sebarang urusan berkaitan,sila hubungi pemangku bagi jawatan tersebut.

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Tuesday, December 3, 2019

LAPORAN MAJLIS KESYUKURAN DAN ANUGERAH CEMERLANG 2019(MKAC'19)

LAPORAN | MAJLIS KESYUKURAN DAN ANUGERAH CEMERLANG 2019 (MKAC’19)
JABATAN SETIAUSAHA AGUNG KPIPM SESI 2019/2020

KAHERAH, 26 November 2019 – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah menganjurkan program Majlis Kecemerlangan dan Anugerah Cemerlang  2019 (MKAC’19) yang bertemakan “Ilmuan Cemerlang, Tunjang Integrasi Ummah” bertempat di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah. Program MKAC’19 adalah satu usaha Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020  untuk meraikan kejayaan mahasiswa dan mahasiswi serta graduan dan graduanita Perak yang mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan sesi lepas. Antara objektif lain adalah untuk memberi inspirasi dan contoh terbaik kepada anak-anak Perak lain untuk terus bersemangat bagi mencapai kejayaan bersama. Bahkan, melalui program sebegini dapat mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain khususnya bagi anak-anak Perak di bumi Mesir.

           MKAC’19 telah berjaya mengumpulkan mahasiswa, mahasiswi, graduan dan graduanita seramai 193 orang yang terdiri daripada Kuliah Syariah Islamiyah, Kuliah Usuluddin, Kuliah Bahasa arab, Kuliah Qiraat, dan Kuliah Ulum Islamiyah Al-Azhar. Selain itu, turut bersama beberapa peserta daripada Kuliah Perubatan dan Kuliah Pergigian Al-Azhar. Seramai 81 mahasiswa dan 105 mahasiswi yang telah berdaftar dan menerima anugerah atas kejayaan mereka. Malahan, 3 graduan dan 4 graduanita yang berjaya menamatkan pengajian mereka pada sesi lepas turut mengambil peluang untuk menyertai program pada kali ini.

            Majlis Kecemerlangan dan Anugerah Cemerlang 2019 ini diadakan pada hari Selasa, 26 September 2019 bermula pada jam 2.00 petang dengan kehadiran tetamu dan sesi pendaftaran untuk peserta. Majlis dimulakan dengan penerangan perjalanan ringkas majlis serta etika disiplin dan protokol majlis yang dikendalikan oleh Unit Pengisian dan Persembahan dan juga Unit Disiplin dan Protokol MKAC’19. Kemudian, diteruskan dengan nyanyian Nasyid Asmaul Husna serta bacaan ayat suci Al-quran yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Uzair bin Muhammad Zakuan.

            Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan kalam ucapan daripada pengarah MKAC’19, Al-Fadhil Ustaz Ammar Rushdi bin Jamaluddin dan ucapan Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020, Al-Fadhil Ustaz Muhammad Fahmi bin Zakaria. Seterusnya diteruskan lagi dengan ucapan perasmian oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Firdaus bin Asri selaku Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Perlis (KPP) sesi 2019/2020 dan secara tidak langsung turut memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak Perak untuk terus berusaha dalam menuntut ilmu di bumi Mesir ini.

            Jam 4.15 petang, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil serta hadiah buat mahasiswa dan mahasiswi yang mendapat pangkat Mumtaz dan Jayyid Jiddan. Kemudian majlis berhenti seketika untuk memberi laluan bagi menunaikan solat fardhu Maghrib. Selesai solat, peserta diminta kembali ke dewan bagi meneruskan agenda majlis, dengan penyampaian sijil dan hadiah buat mahasiswa dan mahasiswi yang lulus peperiksaan.

            Seterusnya, majlis diserikan lagi dengan kedatangan Sheikh Habibullah Hassan Ahmad daripada Universiti Al-Azhar bagi memberikan tausiah kepada semua mahasiswa dan mahasiswi Perak khususnya. Selepas tausiah, Sheikh Habibullah telah menyampaikan sijil dan hadiah buat graduan dan graduanita. Kemudian, hadiah dan sijil kepada Tokoh Mahasiswa MKAC’19, Ustaz Muhammad Bukhari bin Abdullah, Tokoh Mahasiswi MKAC’19, Dr. Nor Shafiqah binti Musa, Tokoh Graduan MKAC’19, Ustaz Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak dan Tokoh Graduanita MKAC’19, Ustazah Mimi Nur Suhada binti Sho’aid.

            Pada jam 9.00 malam, sesi bergambar telah diadakan untuk merakam kenangan manis buat semua peserta MKAC’19. Selepas itu, semua peserta menjamu selera dengan makanan yang telah disediakan oleh pihak majlis. Sebuah bas telah disediakan bagi peserta akhawat yang akan pulang ke Hayyu Sabiek. Pada pukul 9.30 malam, semua peserta akhawat sudah bergerak pulang bersama Musyrif Keselamatan yang telah disediakan.

            Akhirnya, Majlis Kesyukuran dan Anugerah Cemerlang 2019 pada tahun ini berjalan dengan lancar dengan izin-Nya. Pihak majlis merakamkan jutaan tahniah buat KPIPM kerana telah berjaya menjalankan majlis sebegini ini dengan jayanya. Mudah-mudahan, dengan adanya program sebegini dapat menjadi wasilah dan pemangkin semangat bagi penuntut ilmu dan membina mahasiwa dan mahasiswi Al-Azhar yang berilmu dan beramal.

"Ilmuan Cemerlang, Tunjang Integrasi Ummah"

Berilmu, Beramal, Ikhlas
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”

Disediakan oleh :
Muhammad Naim bin Mohd Ikmal Hisham,
Setiausaha Majlis Kesyukuran dan Anugerah Cemerlang 2019 (MKAC’19),
Jabatan Setiausaha Agung Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020



















Sunday, December 1, 2019

MAKLUMAN | PENANGGUHAN PROGRAM KPIPM FASA 1

MAKLUMAN | PENANGGUHAN PROGRAM KPIPM FASA 1
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020

Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh (berjuang) di (Jalan) Kami, Kami akan benar-benar menunjukkan Jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan”

(Al-Ankabut: 69)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan kepada kita nikmat Iman dan Islam serta menjadikan kita sentiasa dalam naungan-Nya. Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) adalah kesatuan anak-anak Perak di Mesir yang berperanan mempersiapkan mahasiswa-mahasiswa Islam yang berkualiti dalam menghadapi tanggungjawab di Malaysia kelak termasuk dalam aspek pendidikan.

Berdasarkan firman Allah SWT di atas, dapat kita fahami bahawa perlunya sikap bersungguh-sungguh dalam setiap gerak kerja kita, supaya apa yang diminta dan dambakan dalam kehidupan diterima, diredhai dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Tujuannya adalah mendapat keredhaan dan kecintaan yang sebenarnya daripada Allah SWT.

Justeru, bersungguh-sungguh adalah intipati yang penting untuk berjaya dalam kehidupan semua manusia dan yang paling penting ialah mendapat keredhaan, kecintaan dan kasih sayang pencipta sekalian makhluk, Allah SWT.

Seperti sedia maklum, pengajian fasa pertama Universiti Al-Azhar bagi sesi 2019/2020 kini berada di dalam fatrah menuju ke musim peperiksaan. Semua mahasiswa/wi kini sedang bersiap sedia dengan setiap medium yang ada bagi memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.
     
Sehubungan dengan itu, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020 telah memutuskan bahawa pada 1 Disember 2019 bersamaan 4 Rabiul Akhir 1441H adalah tarikh penangguhan bagi sebarang program di peringkat KPIPM dengan pengecualian program yang berbentuk ilmiah, motivasi dan tarbiah. Ia bertujuan memberi persediaan dan semangat yang jitu kepada mahasiswa/wi dalam menghadapi peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi.

Oleh yang demikian, KPIPM mengharapkan seluruh mahasiswa/wi dapat memanfaatkan setiap peluang yang ada dan memberikan sepenuh perhatian dalam pelajaran. Peringkat KPIPM juga mendoakan agar semua mahasiswa/wi meraih kejayaan dalam peperiksaan seterusnya dapat memanfaatkan ilmu yang dimiliki kepada masyarakat.

Semoga kejayaan yang diperoleh menjadikan kita bertambah ketaqwaan kepada Allah SWT.

 Siiru 'Ala Barakatillah.

Muhammad Fahmi bin Zakaria
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...