Monday, April 17, 2017

LAPORAN | SUMBANGAN TABUNG ANAK MELAKA

SUMBANGAN TABUNG ANAK MELAKA : SIMBOL KEBERSAMAAN BKAN

SABTU, 15 April 2017 - Penyerahan hasil kutipan sumbangan Tabung Anak Melaka di dalam program Kongres Badan Kebajikan Anak Negeri pada baru-baru ini telah diserahkan kepada pihak Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM).

     Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh wakil Yang DiPertua Badan Kebajikan Anak Negeri, Ustaz Muhammad Syazwan Faiz bin Shahrom, Yang DiPertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) kepada Ustaz Muhammad Anuar bin Abdullah, Yang DiPertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM). Penyerahan telah diadakan pada 8 April 2017 yang lalu bertempat di Rumah Melaka Sementara, Hayyu Sabie dengan hasil kutipan sebanyak LE 14,700.

     Sehubungan dengan itu, seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri mendoakan agar segala urusan dipermudahkan. Moga-moga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM).

“Muafakat Asas Kejayaan”

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"

Sunday, April 9, 2017

MINDA PIMPINAN | KASIH SAYANG TANPA SEMPADAN


UKHUWAH : KASIH SAYANG TANPA SEMPADAN

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

     Segala puji bagi Allah S.W.T kita ucapkan atas limpah dan kurnianya dapat lagi kita bersama-bersama menghirup udara dan menikmati pemadangan serta panorama yang indah dan cantik atas kurniaan daripada Allah S.W.T, maka bersyukurlah kita semua wahai manusia yang beriman.

     Syukur merupakan sifat yang mana pada hari ini manusia kian alpa, kian lupa akan nikmat-nikmat yang Allah S.W.T berikan kepada kita semua. Tanpa kita sedar hayat dan umur kita kian berlalu pergi tanpa kita sedari bahawasanya telah banyak nikmat yang kita kecapi setelah sekian lama kita berada di bumi Allah S.W.T ini.

Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 172 yang bermaksud ;

(( Wahai orang-orang yang beriman, makan lah diantara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah S.W.T, jika benar-benar kepadanya kamu menyembah))

Maka jelas bahawa setiap manusia perlu bersyukur atas segala nikmat yang telah kita kecapi selama ini. Janganlah kita menjadikan diri kita ini sebagai insan yang tidak bersyukur serta kufur atas nikmat-nikmat yang telah diberikan.

     Di sini, saya ingin menyampaikan coretan ringkas mengenai satu tajuk yang mana menjadi salah satu item pembawaan Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2016/2017, Ustaz Khairul Naim bin Abdul Razak yang berbunyi :

“UKHUWAH : Memantapkan ukhuwah dalam kalangan ahli melalui pemerkasaan biah solehah”

Mahasiswa/wi sekalian,

     Apakah yang dimaksudkan dengan ukhuwah? Jika kita lihat perkataan ini sering dijadikan istilah yang disebut-sebut dalam konteks mengeratkan tali silaturahim sesama kita pada hari ini. Tetapi sejauh manakah kita mengetahui makna dan erti yang tersirat disebalik perkataan “ukhuwah” itu tersendiri? Tahukah kita?

Allah S.W.T berfirman :

" إنما المؤمنون إخوة فأصلحواْ بين أخويكم واتقواْ الله لعلكم ترحمون"
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, dan maka berdamailah diantara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu); dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”
((Surah Al-Hujurat : 10))

Di dalam Hadis 40 Imam an-Nawawi, daripada Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W bersabda :
"المسلم أخو المسلم"
((Seorang muslim itu saudara muslim yang lain))

Disebut dalam Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat, “ukhuwah” membawa maksud persaudaraan : mereka yang bekerja seolah-olah dalam satu keluarga besar, sentiasa bertolak ansur dan menjalinkan tali antara satu sama lain.

     Apabila kita melihat ayat Al-Quran, Hadis serta definisi menurut Kamus Dewan Bahasa & Pustaka di atas, perkataan "ukhuwah" merujuk kepada persaudaraan serta lebih sinonim dengan keluarga. Ia juga merujuk kepada sebuah ikatan dalam membina sebuah keluarga. Yang mana ikatan yang baik dapat mencernakan sebuah keluarga yang baik. Namun, jika ikatan tersebut tidak baik, maka ia akan menghasilkan sebuah keluarga yang tidak baik.

Imam al-Ghazali pernah menyebut : “Ukhuwah itu bukan terletak pada pertemuan, bukan pada manisnya ucapan di bibir. Tetapi pada ingatan seseorang terhadap saudaranya di dalam ingatan doanya”

As-syahid Imam Hassan Al-Banna telah meletakkan tiga tahap atau peringkat ukhuwah dalam Islam iaitu :

🔰Berlapang dada
🔰Bersangka baik
🔰Ithar

     Sirah dan sejarah telah membuktikan kepada kita betapa indah dan manisnya nilai ukhuwah. Jika kita lihat kembali sirah ketika peristiwa penghijrahan kaum Muhajirin dari Kota Mekah ke Yathrib (Kota Madinah), hijrah berlaku dalam keadaan kaum Muhajirin tidak membawa barang berharga bahkan meninggalkan semua barang-barang di Mekah. Tetapi ketika mereka tiba di Kota Madinah, kaum Ansar (Aus dan Khazraj) telah memberikan segala harta dan keperluan kepada mereka, bahkan ada yang menyerahkan rumah mereka, memberikan penempatan dan ada juga menyerahkan isteri kepada mereka. Betapa hebatnya nilai ukhuwah dan ithar yang telah diterapkan oleh kaum Ansar ketika itu berlandaskan ajaran Rasulullah S.A.W.

     Persoalannya, dimanakah tahap kita dalam menerapkan nilai ukhuwah dalam diri?Ayuhlah sahabat sahabiah kita perbaiki diri. Manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan, bahkan asal perkataan manusia itu sendiri adalah daripada perkataan نسيان, iaitu sifatnya yang lupa. Setiap kesilapan pasti mempunyai hikmah dan himmah bagi setiap manusia itu sendiri. Perbaikilah diri kita.

Ikhwah dan akhawat sekalian,

     KPIPM sentiasa komited dalam membawa nilai ukhuwah ini dalam kalangan ahli. Sebagaimana kita lihat ketika ini, KPIPM sentiasa memberikan yang terbaik kepada semua ahli dalam membawa nilai ukhuwah dalam kalangan anak-anak Perak di Mesir. Marilah sama-sama menjaga ukhuwah yang kita bina ini agar terus berkekalan sehingga ke akhirnya.

     Dalam sebuah hadis yang mafhumnya mengatakan apabila dua orang sahabat bersahabat kerana Allah dan berpisah kerana Allah S.W.T, maka ditempatkan mereka di dalam syurga. Indahnya nilai ukhwah, Allah S.W.T telah menjanjikan syurga kepada kita sebagai umat Islam. Amatlah rugi bagi seseorang muslim yang meyakini Allah Taala tetapi tidak meninggalkan amalan yang mulia ini.

     Buat akhirnya, hikmah berukhuwah dapat menatijahkan sebuah kesatuan yang baik dalam melayari bahtera ketika ini. Saya menyeru dan mengharapkan agar sama-samalah kita memelihara ukhuwah yang dibina bersama Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir ini agar terus berkekalan dan utuh hingga ke akhirnya. Bersamalah kita dalam menjayakan setiap pembawaan yang dibawa dalam membawa risalah Islam di atas muka Allah Taala ini. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa kepada Allah Taala.

     Saya akhiri penulisan ini dengan sepotong ayat Al-Quran yang bermaksud :
“Lalu Allah Taala menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu dengan nikmat Islam) maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang bersaudara.”
((Al-Imran : 103))

Sekian, siiru 'ala barakatillah.

“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”
“Satu Fikrah, Satu Amal”
“Berilmu, Beramal, Ikhlas”

Tinta Pimpinan oleh :
Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri,
Setiausaha Agung KPIPM sesi 2016/2017

Thursday, April 6, 2017

YDP BKAN | RESOLUSI KONGRES BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI

KENYATAAN BERSAMA YDP BKAN : RESOLUSI KONGRES BKAN

     Berikutan telah berlangsungnya Kongres Badan Kebajikan Anak Negeri, peringkat kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program tersebut. Kehadiran yang melebihi seribu orang menunjukkan bahawa semangat persaudaraan dan kesatuan yang telah dibina sekian lama masih kukuh terpasak dalam kalangan mahasiswa Malaysia di Mesir.

     Kongres Badan Kebajikan Anak Negeri ini diadakan bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi menangani isu-isu yang berlaku di kalangan mahasiswa. Pelbagai pandangan dan cadangan telah dilontarkan agar perkara tersebut dapat dilaksanakan secara bersama. 

     Hasil dari pembentangan wakil-wakil Yang Dipertua BKAN dan perbahasan daripada wakil-wakil BKAN berkaitan isu yang telah dibentangkan. Peringkat Majlis Yang Dipertua BKAN telah bersepakat untuk mengeluarkan beberapa resolusi untuk digerakkan secara bersama.

     Justeru, kami menyeru kepada semua mahasiswa agar memfokuskan kepada menjayakan 4 RESOLUSI YANG TELAH DIPERSETUJUI dalam kongres lepas iaitu :

1. Bersama bersatu dalam membawa wadah kesatuan dan menjadikan BKAN sebagai lidah rasmi mahasiswa Malaysia Mesir.
2. Menggempur gerak kerja amar ma'ruf  nahi mungkar demi kesejahteraan bersama.
3. Meningkatkan pencapaian akademik mahasiswa Malaysia Mesir dalam membentuk ulama amilin.
4. Sedia mendepani segala cabaran dalam mempertahankan hak mahasiswa.

"Bersatu Hati Teguh Berdiri"
"Muafakat Asas Kejayaan"

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...