LAPORAN PROGRAM HARI KELUARGA ANAK-ANAK PERAK DI MESIR (MESRA ‘17)
KAHERAH – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2016/2017 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak telah menganjurkan program yang dinamakan Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir (MESRA’17). MESRA’17 kali ini berkonsepkan “Pahlawan Moden” yang telah berlangsung dengan jayanya selama lima hari bermula 5 Februari sehingga 9 Februari 2017 bertempat di Wisma Darul Ridzuan. Program yang bertemakan “Pugari Ukhuwah, Sinari Mahabbah” ini melibatkan seluruh ahli KPIPM selari dengan objektif yang digariskan pada kali ini iaitu memperkukuhkan peranan KPIPM sebagai wadah kesatuan anak-anak Perak di bumi Mesir, menerapkan kefahaman Islam yang syumul berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, meluaskan capaian pengetahuan ahli dalam ilmu kontemporari, seterusnya, memaksimumkan medium ekonomi dan kebajikan kepada ahli, mengasah bakat ahli dalam bidang yang pelbagai serta menjayakan Kempen Ma’an Najah & Kebersihan.
MESRA’17 bermula pada hari Ahad, 5 Februari 2017 bersamaan 8 Jamadil Awal 1438 H jam 9.00 pagi dengan perjumpaan dan persiapan rumah sukan ikhwah dan akhawat yang bertempat di Dewan Syeikh Sya’rawi bagi ikhwah dan Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi bagi akhawat. Pada sebelah malamnya seawal jam 7.00 malam, diadakan pula Malam Pelancaran Program Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir (MESRA’17). Program ini dirasmikan oleh Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak, Ustaz Munawir bin Mohamed Noh selepas sahaja Ucapan Aluan daripada Pengarah MESRA’17, Ustaz Muhamad Saiful Adli bin Ahmad Padli serta Yang Dipertua KPIPM sesi 2016/2017 Ustaz Khairul Naim bin Abdul Razak. Majlis diteruskan lagi dengan pelancaran gimik perasmian MESRA’17 di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Baitul Ridzuan serta tayangan video pengenalan MESRA’17. Kemudian, diteruskan dengan talkshow ‘’Sembang Santai UBM’’ yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Mu'aaz bin Ramli, Ustaz Muhammad Amir bin Ghazali dan Ustazah Umi Atikah binti Samsudin bermoderatorkan Ustazah Nur Farahin binti Hambali.
Pada hari kedua, program MESRA’17 dimulakan dengan Tazkirah Perdana yang disampaikan oleh Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri Wilayah Persekutuan, Ustaz Abdul Wafi Bin Alias seusai solat fardhu Subuh bertempat di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Baitul Ridzuan. Kemudian program diteruskan lagi dengan aktiviti outdoor ikhwah dan akhawat. Antara aktiviti outdoor ikhwah adalah perbarisan, acara sukaneka dan balapan 4x100 m, 8x100 m, 4x200 m dan 100 m yang bertempat di Istad Abbasiah manakala aktiviti outdoor akhawat berbentuk perbarisan dan sukaneka bertempat di Hadiqah Atfal.
MESRA’17 diteruskan pada hari berikutnya iaitu hari ketiga dengan acara indoor ikhwah dan akhawat seperti hafazan, khat, tebar roti canai, master chef, pejuang kreatif, madah pejuang, pahlawan translator dan bermacam-macam aktiviti menarik yang telah disusun oleh peringkat pengisian MESRA’17. Pada sebelah malam pula, program diteruskan dengan talkshow PEMANDU atau dikenali sebagai Program Pemantapan Du’at yang bertajuk “Kita Mahasiswa Khalifah Islam” yang disampaikan oleh Ustaz Sharul bin Malek (Mantan Penasihat BKMIP), Ustazah Siti Aisyah binti Ismail (Fasilitator BKASM) bermoderatorkan Ustaz Mohammad Fadzil bin Abdul Rahim (Fasilitator KPIPM). Program PEMANDU diakhiri dengan persembahan daripada Usrah Al-Muhazirun.
Kemesraan MESRA’17 dihangatkan lagi dengan pertandingan Piala KPIPM dan Piala An-Nisa’ pada hari keempat. Pertandingan tersebut bertempat di padang Futsal Zahra’ bagi ikhwah dan Padang Sallab bagi akhawat.
Lanjutan daripada hari keempat, maka tibalah Majlis Penutupan Program Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir (MESRA’17). Sebelum itu, majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan di sebelah akhawat. Antaranya persembahan Choral Speaking, Boria, Nasyid dan Dikir Barat. Kemudian, pada sebelah petang pula diadakan khidmat kebajikan. Antara perkhidmatan yang dibuat adalah berbekam, refleksologi dan gunting rambut. Pada sebelah malam, majlis diteruskan lagi dengan Pertandingan Persembahan Dikir Barat ikhwah mengikut wakil rumah sukan masing-masing. Majlis Penutupan MESRA’17 telah dirasmikan oleh Pengerusi Badan Penasihat KPIPM sesi 2016/2017, Ustaz Muhammad Hanif bin Abdullah diikuti dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang sepanjang program MESRA’17. Kumpulan rumah sukan terbaik pada sesi kali ini telah disandang oleh Rumah Merah iaitu ‘Fire Fighter’. Tahniah diucapkan kepada seluruh ahli rumah sukan merah di atas kejayaan yang diperoleh. Majlis berakhir sekitar jam 11.30 malam dengan sedikit jamuan ringan.
Maka berakhirlah sudah program MESRA’17 sesi 2016/2017. Diharapkan agar program ini dapat memberi manfaat dan seribu satu kenangan buat ahli-ahli KPIPM baik yang datang dari jauh mahupun yang dekat. Sesungguhnya setiap permulaan pasti ada pengakhiran, dan begitulah juga MESRA’17. Moga Allah jaga ukhuwah Islamiah dan kesatuan kita bersama. Diharapkan juga agar program sebegini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang, bahkan disajikan pula dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang lebih menarik pada masa akan datang.
Sekian, terima kasih.
“Pugari Ukhuwah, Sinari Mahabbah”
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”
Disediakan oleh :
Setiausaha MESRA'17 KPIPM sesi 2016/2017