Islam adalah satu-satunya ad-din
yang diwahyukan Allah kepada Rasulullah
S.A.W untuk mengatur seluruh sendi kehidupan manusia dan alam semesta. Kegiatan
perekonomian manusia atau disebut juga sistem muamalat turut diatur dalam Islam
dengan prinsip Ilahiyah. Bertepatan dengan pembawaan KPIPM sesi ini,
sistem ekonomi satu unsur yang amat penting bagi meneruskan kelangsungan
sesebuah persatuan dan komuniti umumnya.
Rasulullah S.A.W sendiri telah menunjukkan qudwah terbaik
dalam bidang ekonomi melalui perniagaan yang baginda S.A.W jalankan.
Sabda Rasulullah
S.A.W:
“Sembilan
persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan.”
(HR Tarmizi)
Segala
kegiatan perekonomian yg berlaku di dunia ini juga mengikut ketetapan dari
Ilahi. Pelbagai sistem pengurusan Islam yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah
telah diwujudkan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang kian mendesak. Al-Mudharabah,
Al-Ijarah, Ar-Rahnu dan Al-Wadi’ah merupakan antara konsep muamalat
yang telah disusun oleh para ulamak bagi memastikan pelaksanaannya selari
dengan kehendak syariat. Hal ini penting bagi memastikan harta yang dimiliki
manusia jauh dari unsur riba, gharar dan sebagainya.
Namun, perlu
diingat, segala harta yang ada pada manusia
adalah anugerah dari Yang Maha Kuasa. Manusia dipinjamkan sedikit sahaja
harta di dunia untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Setiap harta yang
dimiliki ini akhirnya akan dihitung serta disoal oleh Allah S.W.T. kelak untuk
dipertanggungjawabkan.
Dalam
kehidupan sebagai mahasiswa, kita tidak terlepas dari merangka dan berhadapan
dengan aliran keluar masuk wang sama ada untuk dimanfaatkan dalam perihal
pelajaran mahupun kos sara diri. Item debit iaitu kemasukan wang dalam akaun
kewangan rata-rata bersumberkan dari penaja “FAMA” iaitu Father and Mother.
Antara fenomena yang kerap kali timbul adalah bahagian kredit akaun tersebut
gagal dikesan ke mana aliran dan curahannya sehinggakan kadangkala berlaku
defisit (penggunaan wang melebihi dari kemasukan wang) dan terpaksa menebalkan
muka berulang kali menelefon kembali ibubapa menyatakan masalah yang sama.
Namun, dalam
kesibukan kita menyusun perancangan kewangan dan kehidupan setiap
hari,bagaimana pula dengan perjalanan akaun amal kehidupan kita selaku
hamba-Nya di dunia ini? yang mana nilaian untung bersih dari akaun tersebut
akan kita raih di akhirat kelak. Tepuk dada,tanya iman.
Firman Allah S.W.T:
“Wahai orang-orang
yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan satu perdagangan yang dapat
menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Kamu beriman kepada Allah dan
Rasul-Nya serta berjihad pada jalan Allah S.W.T dengan harta dan jiwamu. Itulah
yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui”
(Surah
As-Saff : 10-11)
Pernahkan dihitung item debit akaun iman kita sepanjang
kehidupan sejak dari kecil sehingga dewasa kini? Alangkah indahnya apabila
catatan debit itu dipenuhi dengan amalan soleh yang membawa kepada pertambahan
iman.
Namun, amat
sedih saat kita memandang di bahagian kredit, ia sarat dengan senarai perbuatan
dosa dan noda yang menghapuskan semua catatan debit. Bahkan lebih parah lagi
jika catatan kredit tersebut melebihi catatan debit dan membawa kepada defisit
iman. Jika perkara tersebut terzahir dan nampak dengan jelas di hadapan kita,
sudah pasti ianya menjadi suatu penyesalan yang tiada kesudahan di akhirat
kelak.
Riwayat
Abu Jaafar Al-Khatami dari bapanya dari datuknya Umair bin Hubaib berkata:
“Iman
manusia bertambah dan berkurang”. Ada yang bertanya: “Bagaimana ia bertambah
dan berkurang?” Lalu beliau menjawab “Apabila kita mengingati-Nya, bertahmid
dan bertasbih kepada-Nya maka iman akan bertambah. Apabila kita melupakan-Nya,
lalai dan cuai dari mengingati-Nya maka imannya akan berkurang.”
Jika akal
makanannya ilmu, maka hati makanannya adalah iman. Akal yang dipenuhi ilmu juga
perlukan pimpinan hati yang sarat dengan iman. Emas perlu ditempa, intan perlu
digilap, mungkin begitulah juga tamsilan iman manusia. Iman perlu ditempa oleh
ujian, digilap melalui kesusahan. Sengatan ujian kadang-kadang menyakitkan
namun apabila dapat dihadapi dan ditangani dengan redha maka ia seolah-olah
satu cecair imunisasi yang dapat mengilatkan kembali iman yang pudar.
Firman Allah
S.W.T:
“Sesungguhnya
orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebutkan nama Allah
gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya maka bertambahlah
iman mereka (kerananya)”
(Surah Al-Anfal: 2)
Jadikan
akaun kehidupan kita yang mana debitnya adalah pahala daripada amal kebaikan
dan jangan mengkreditkan akaun tersebut dengan dosa-dosa yang kita lakukan.
Defisit wang tidak mengapa kerana wang mudah dicari , namun jika yang menjadi
defisit itu adalah iman, maka rugilah kita di akhirat kelak. kerana iman dan
amal tapak semaiannya hanyalah di dunia. Akhirat kelak merupakan tempat menuai
dan mengutip hasilnya.
Debit pahala, kredit dosa ???
Buatlah pelarasan iman.