Akademik merupakan satu
pencapaian yang penting dalam kehidupan kita yang dinamakan pelajar. Dengan
pencapaian akademik yang kita perolehi, akan
menentukan hala tuju hidup kita seterusnya ke manakah kita selepas ini
walaupun sememangnya hakikat penentuan kehidupan pada kekuasaan Allah s.w.t.
Allah s.w.t ada menekankan kepada kita akan suruhan
untuk kita untuk menuntut ilmu.
Firman Allah Taala, maksudnya: ".. bertanyalah kamu kepada
orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya."
(43, An-Nahl dan 7, Al-Anbia')
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ.
(ابن ماجه وغيره)
Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Menuntut
ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam."
(Ibnu Majah dan
Lain-lainnya)
Nabi s.a.w menyebut
lagi dalam Darul Qutni mafhumnya:
“Syaitan paling takut keatas orang yang menuntut ilmu
daripada ‘abid yang beribadat seribu tahun tetapi tiada ilmu”
Ilmu akademik ataupun ilmu-ilmu turasi yang
lainnya semestinya dicari dan dipelajari, bukan hanya membaca dan mendengar
pada corong-corong radio dan rakaman kerana semua itu kurang mendatangkan
kebaikan dan keberkatan bagi kita selaku penuntut ilmu. Antara adab dalam
menuntut ilmu antaranya ialah berguru dan melihat atau berhadapan dengan guru
tersebut. Bukanlah dinamakan belajar jika tiada gurunya.
Imam Al-Syafie pernah mengungkap:
"Bersabarlah kamu dalam perjalanan
jauh demi menemui gurumu, sesungguhnya lautan ilmu itu diperoleh menerusi
perjalanan kamu menemuinya. Sesiapa yang tidak berasa kepahitan menuntut ilmu
sedetik, ia pasti menelan kehinaan dek kejahilan sepanjang hayatnya."
Musim
sejuk datang lagi
Bagi kita, mahasiswa yang belajar di
bumi Mesir ini, Musim sejuk adalah waktu yang paling seronok untuk
berjalan-jalan serta beristirehat. Mesir merupakan negara 4 musim. Walaupun
tiada salji, suhu boleh mencecah 5-7 darjah celcius. Ini disebabkan cuacanya
yang dingin dan kering memudahkan kita untuk berehat dan tidur dengan selesa
walaupun perit dek kesejukan dalam beberapa keadaan seperti hendak berwudhuk,
mandi, qadha hajat dan perkara yang berkaitan dengan air.
Musim sejuk, kuliah vs selimut
Sudah menjadi kelaziman
apabila tiba musim sejuk, mahasiswa di Mesir lebih suka memanfaatkan masa mereka untuk ‘bersuluk’ atau
‘berkhalwah’ di bawah satu pelukan selimut yang tebal dan mahal atau dalam erti
kata lain ialah tidur tidak kena masa, maka perkara inilah yang perlu diubah
agar ia tidak menjadi satu kelaziman akan seseorang yang bergelar mahasiswa. Janganlah
musim sejuk dijadikan alasan untuk tidak ke kuliah.
Mungkin ianya menjadi
‘zuruf’ atau situasi yang biasa di kalangan masyarakat setempat. Maklumlah,
situasi di Mesir secara kebiasaan masyarakatnya akan tidur selepas sahaja waktu
subuh. Mungkin ini menjadi faktor kepada kelaziman mahasiswa kita di Mesir
menjadi malas dan tidak proaktif.
Maka mahasiswa perlu
bersikap proaktif dalam menangani masalah tersebut supaya tidak menjadi
kelaziman pada diri mahasiswa itu sendiri. Dalam membentuk jati diri mahasiswa
yang proaktif, ianya memerlukan tindakan susulan yang perlu dilaksanakan.
Antara langkah-langkah tersebut ialah:
1 ) Ikhlaskan niat:
Sabda Rasulullah S.A.W:
عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :
" إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله
فهجرته إلى الله ورسوله ومن كانت هجرته إلى دنيا يصيبها أو امرأة يتزوجها فهجرته إلى
ما هاجر إليه "( متفق عليه
“Daripada Umar
bin Al-Khattab r.a. katanya, “Rasulullah s.a.w. bersabda, Sesungguhnya segala
amalan itu adalah bergantung kepada niat, setiap
orang memperolehi mengikut apa yang ia niatkan. Sesiapa yang niat hijrahnya
adalah kepada Allah dan RasulNya maka (ganjaran) hijrahnya adalah kepada Allah
dan RasulNya dan barangsiapa yang niat hijrahnya kepada dunia yang ia ingin
dapatkannya atau kepada perempuan yang ia ingin kahwininya maka pahala
hijrahnya adalah kepada apa yang ia hijrahkan (niatkan)” (Hadith riwayat
Bukhari dan Muslim)”
Mahasiswa yang proaktif
akan menjadikan matlamat yang benar sebagai dasar kepada setiap tindakan
mereka. Sekiranya tindakan mereka lari daripada asar matlamat yang sebenar,
mereka akan segera memperbaiki diri mereka ke arah matlamat tersebut.
Tidak dapat tidak,
sebagai mahasiswa Islam, matlamat yang ingin dicapai hanyalah semata-mata ingin
menggapai redha Allah S.W.T. Maka konsep ikhlas yang digariskan syara’ perlu
diterapkan dalam diri setiap mahasiswa Islam bagi menggapai redhaNya. Maka
segala sikap yang menghalang ke arah matlamat tersebut perlu dikikis.
2) Sentiasa berusaha
ke arah kejayaan
Perlu difahami bahawa
usaha merupakan elemen penting ke arah kejayaan yang dicita-citakan. Usaha yang
gigih memerlukan pengorbanan sama ada masa, tenaga, wang ringgit dan
sebagainya. Sepertimana yang ditegaskan oleh As-syahid Imam Hasan Al-Banna
dalam kata-katanya:
“Yang aku maksudkan
dengan “tadhiyyah” (pengorbanan) adalah:
mengorbankan harta, waktu, kehidupan dan segalanya untuk mencapai
matlamat yang ingin dicapai. Tidak ada
jihad di dunia ini yang tidak disertai dengan pengorbanan.”
3) Melazimi solat
Dhuha
Solat Dhuha merupakan
solat yang mempunyai banyak kelebihannya. Kelebihan yang paling
besar adalah Allah akan mengurniakan rezeki yang melimpah ruah pada waktu
tersebut. Berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W:
“Wahai anak Adam,
janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada
permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu
sampai akhir siang.”
(Hadith Riwayat Abu Daud)
Mengerjakan solat sunat dhuha juga merupakan punca
kepada kejayaan kita di dunia sama ada dari segi akademik mahupun kejayaan yang
lain. Inilah yang mendorong semangat pelajar supaya terus memberi sepenuh
tumpuan kepada pembelajaran di kuliah.
Kesimpulannya, jadikanlah diri kita manusia yang
terhormat dengan keyakinan hidup yang mulia. Harus sudah tahu mana yang
penting, mana yang tidak penting disamping selalulah muhasabah diri. Di dalam
menuntut ilmu tidak perlu untuk berkira itu dan ini. Letakkanlah diri kita atas keadilan,
takut-takut kerana alasan yang kita cari menjadikan diri kita golongan yang
tidak bersyukur dan zalim. Apa yang penting semuanya kembalikanlah pada dalam
diri kita, bersihkan hati, tenangkan jiwa, lapangkan fikiran, tajdid niat.
Ustaz Muhammad Nizamuddin Bin Sabri
Ketua Biro Pelajaran KPIPM Sesi 2012/2013