26 Oktober, Kaherah – Satu program motivasi telah berjaya dianjurkan oleh Biro Pelajaran Ilmiah, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sesi 2010/2011. Program tersebut telah dirancang khas buat mahasiswa-mahasiswi baru KPIPM. Ia turut menyaksikan penglibatan bersama mahasiswa baru dari BKAN taakhi Zon A, antaranya BKAN Perlis dan Terengganu.
Program motivasi berbentuk ceramah itu telah disampaikan oleh Anggota Lembaga Penasihat MKKK,Al-Fadhil Ustaz Abu Bakar bin Razak yang ditemani oleh YDP KPIPM, Al-Fadhil Ustaz Khairul Ashraf bin Mohd Khir. Program tersebut bertujuan menaikkan kembali semangat para mahasiswa/wi baru lantaran keputusan imtihan qabul baru-baru ini. Bermula selepas solat Maghrib, program berlangsung selama 2 jam dengan ceramah yang cukup menarik berkisar tentang matlamat sebenar kedatangan pelajar ke bumi Anbiya’ ini. Menjadi seorang ulama’ yang tegar merupakan keypoint dalam penyampaian Al-Fadhil Ustaz Abu Bakar pada malam tersebut. Turut diselitkan aktiviti hands-on dan sesi soal jawab.
Program motivasi tersebut diakhiri dengan persembahan slide show yang disediakan khas buat mahasiswa-mahasiswi baru KPIPM berkisar tentang `kembara ilmu’ mereka, bermula di Malaysia hingga ke bumi Mesir ini. Moga-moga program tersebut berjaya menaikkan kembali semangat para mahsiswa baru bagi meneruskan kembali perjuangan ilmu ini biar apa pun keputusan yang bakal mereka ambil.