Sunday, May 30, 2010

BAHAYA KEMEWAHAN


Daripada Ali bin Abi Thalib r.a.;" Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya, baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat di manjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekkah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda, “ Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka’bah?”. Maka jawab sahabat, “ Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki”. Lalu Nabi saw.bersabda, “Tidak! Keadaan kamu di hari ini lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu”. (H.R. Tirmizi)
Dalam hadis ini Nabi kita Muhammad SAW menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi-petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tidak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan di hiasi dengan bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Di mana, kalau semuanya sudah ada,maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita Muhammad SAW mengatakan, “ keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita ”, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.
Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari berbuat ibadat kepada Allah SWT. Sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi. Tetapi, bila dibanding dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari berbuat ibadah. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW, “ seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua. Sehinggalah ia di masukkan ke dalam tanah (menemui kematian)”.
Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi disaat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan. Oleh itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan. Biarlah kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan. Sekiranya berlebihan gunakan untuk membantu orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

Monday, May 24, 2010

Al-Fatihah


Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Sekalung takziah diucapkan kepada Ust Abdullah Ariff bin Ahmad Damanhuri serta keluarga atas kehilangan salah seorang ahli keluarga mereka. Bapa beliau, Ahmad Damanhuri bin Din menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ipoh pada jam 4.45 petang tadi( waktu Malaysia ). Bapanya terlibat dengan satu kemalangan selepas Isya’ pada 24 Mei apabila motosikal yang dinaikinya melanggar sebuah lori yang berhenti di tepi jalan. Beliau dikejarkan ke Hospital Gerik sebelum dipindahkan ke Hospital Ipoh pagi tadi. Ust Abdullah Ariff dikatakan akan pulang ke Malaysia pada malam ini. Semuga Allah mencucuri rahmat keatas bapa beliau dan menempatkan rohnya bersama roh orang-orang yang soleh, al Fatihah...

Kenyataan Rasmi Berhubung Isu BKAN Perak


BISMILLAH ARRAHMAN ARRAHIM
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih diberikan nikmat Islam dan Iman kepada kita semua. Moga-moga nikmat yang diberikan ini kekal ke akhir hayat.. Amin Ya Rabbal A’lamin… Dan bersyukur dipanjatkan sekali lagi kerana diberi peluang oleh Pencipta Rabbul ‘izzati untuk saya bertemu dengan sahabat semua melalui kecanggihan dunia moden. Tidak dinafikan dalam kekangan masa yang sempit untuk membuat persediaan peperiksaan yang bakal menjelma, kita tidak terlepas untuk sama-sama mengikuti isu yang berlaku di sekeliling kita terutamanya dalam persatuan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) yang kita dokongi dan sayangi ini.

Sejak akhir-akhir ini, kita kerap menerima kejutan berkaitan dengan masalah KPIPM yang melibatkan ahli, pimpinan dan sebagainnya. Isu ini telah menarik perhatian ramai blogger luar juga termasuk dikalangan ahli KPIPM sendiri. Saya yakin dan percaya sahabat semua sudah membaca, mendengar, memerhati dan menilai daripada apa yang telah berlaku. Pelbagai aduan, kritikan dan komentar daripada banyak pihak telah diterima oleh pimpinan KPIPM. Saya selaku Yang DiPertua KPIPM rasa terpanggil untuk menjelaskan kedudukan yang sebenarnya.

Seperti yang sahabat semua sedia maklum, KPIPM baru sahaja menerima kedatangan seorang bakal pengawai yang dihantar oleh Kerajaan Negeri Perak. Bagi pihak KPIPM, kita mengalu-alukan kedatangan beliau dengan hati yang terbuka, kami dari pihak kepimpinan sama sekali tidak menolak kehadiran beliau ke bumi Mesir ini dengan tujuan untuk menjaga kebajikan anak-anak Perak yang menuntut di Perlembahan Nil.
Untuk pengetahuan ahli KPIPM yang disayangi,

KPIPM masih menunggu surat penempatan pegawai Perak Timur Tengah secara rasmi, kerana pada 27 April lalu kita menerima surat daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang banyak menimbulkan ralat. Oleh itu kita masih menunggu surat berkenaan bagi mengesahkan kedudukan beliau disini. Pimpinan KPIPM telah mengadakan perjumpaan bersama beliau dan kita memutuskan untuk menunggu surat tersebut sebelum beliau melaksanakan tugas secara rasmi.

Beliau juga diminta untuk melampirkan bidang tugas sebagai Pegawai Perak Mesir bagi memudahkan pengurusan berkaitan anak-anak Perak disini dan harapan kita agar lantikan ini mengikut prosuder yang betul seperti pegawai di BKAN-BKAN yang lain.
Oleh yang demikian, KPIPM masih melaksanakan tugas seperti biasa mengikut bidang tugas yang diamanahkan. Sebarang keputusan diperingkat KPIPM masih dibawah bidangkuasa pimpinan KPIPM.

Berkenaan kes pukul yang melibatkan ahli Perak, kes ini berlaku sehingga menimbulkan kekecohan dikalangan ahli, disini ingin saya jelaskan bahawasanya kes tersebut telah pun selesai. Kami telah menyiasat dan bertemu dengan individu-individu yang terlibat. Saya mengharapkan agar kes ini tidak berulang lagi, dan ia perlu dijadikan sebagai pengajaran buat semua.

Akhir kalam, saya selaku Yang DiPertua KPIPM berharap agar seluruh ahli KPIPM supaya bersabar dan belapang dada. Justeru, ahli KPIPM perlu bertanya jika ada sebarang kemusykilan atau kesamaran kepada saya atau pimpinan bagi mendapat penjelasan yang lebih jelas tentang apa yang berlaku. Selaku mahasiswa Islam tidak sepatutnya menerima sesuatu perkara tanpa berfikir dan menelitinya. Jangan cepat membuat spekulasi salah terhadap sesuatu perkara kerana tindakan ini boleh mengundang perpecahan dikalangan ahli KPIPM. Wallahu a’lam……

Siiru ala barakatillah….

Kemantapan Fikrah, Membina Syakhsiah

KHAIRUL ASHRAF BIN MOHD KHIR

Yang Dipertua Keluarga pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
Sesi 2009/2010

Friday, May 21, 2010

Majlis Khatam Al-Quran


KAHERAH 20 MEI : Majlis Khatam Al-Quran telah diadakan dibawah kendalian Biro Dakwah dan Tarbiah bertempat di Dewan Syeikh Sya'rawi, Wisma Darul Ridzuan. Majlis bermula selepas solat Maghrib dengan bacaan Yaasin yang dipimpin oleh Al-Fadhil Ust Ibnu Abbas bin Azizuddin. Majlis kemudiaannya diteruskan lagi dengan tazkirah mingguan yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ust Mohd Tajul Urus bin Mohd Khariry.
Antara pengisian yang disampailan oleh beliau adalah menjadi lumrah manusia ini diuji dan setiap ujian mempunyai nilaian tertentu disisi ALLAH SWT. Beliau juga memberi saranan agar dapat sentiasa sabar dalam menghadapai pelbagai variasi ujian yang datang menjengah.
Selepas solat Isya' majlis Khatam Al-Quran dimulakan, Alhamdulilah kehadiran anak-anak Perak dalam menjayakan program tersebut boleh dibanggakan. Ini sebagai satu bukti bahawa anak-anak Perak Mesir masih lagi mampu memberi komitmen yang sepenuhnya biarpun masing-masing sibuk dengan peperiksaan. Majlis tersebut tamat pada jam 11.45 malam dengan jamuan yang telah disediakan.

Wednesday, May 19, 2010

Majlis Dialog Bersama YDP


KAHERAH, 13 Mei – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) dibawah seliaan Biro Dakwah dan Tarbiah telah mengadakan satu majlis dialog bersama YDP KPIPM Al-Fadhil Ustaz Khairul Ashraf dan Setiausaha Badan Penasihat Al-Fadhil Ustaz Shamsul Arif Bin Mad Daud. Majlis yang bermula selepas bacaan Yaasin serta tahlil dan solat isya’ secara berjamaah telah dihadiri oleh ramai ahli daripada Kaherah mahupun muhafazah. Turut serta didalam majlis tersebut ialah wakil PMRAM Al-Fadhil Ustaz Ahmad Taufiq (BP angkat Perak) dan Ustaz Mohd Zahid berserta wakil HEWI PMRAM.
Majlis yang dipengerusikan oleh Ustaz Ibnu Abbas bin Azizuddin itu sepatutnya dihadiri oleh Ustaz Abdul Muhaimin bin Abdul Majid,namun disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan, beliau tidak dapat menghadirkan diri ke majlis tersebut.
Di dalam ucapan sesi dialog, lebih kurang sebanyak 20 soalan telah dikemukan oleh ahli dan telah dijawab satu persatu oleh YDP dan penasihat. Majlis telah menyaksikan kesatuan ahli yang kukuh dan jitu bagi mempertahankan KPIPM dari diganggu oleh anasir-anasir luar yang mahu merosakkan persatuan.
Didalam ucapan pergulungannya, YDP menyarankan kepada seluruh ahli supaya menjaga dan mengeratkan lagi ukhuwah kekeluargaan yang telah terbina sekian lama dan berusaha bersungguh-sungguh dalam mengulangkaji pelajaran supaya keputusan cemerlang menjadi milik bersama.
Majlis dialog diakhiri dengan peberian hadiah kepada pemenang pertanding Baiti Jannati yang dianjurkan oleh Biro Perumahan KPIPM.Bagi kategori rumah sewa telah dimenangi oleh dua rumah yang berkongsi mata iaitu Bait Bujang dan Vista Karisma,manakala kategori Wisma Perak telah dimenangi oleh Bait Jaafari (Shaqah 8),bagi kategori akhawat pula dimenangi oleh Baitus Salam.Hadiah telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Taufiq bagi ikhwah dan Ustazah Nurul Izzah selaku wakil PMRAM.
Majlis berakhir pada pukul 11.50 malam dengan semua tetamu dan ahli turun untuk menjamu selera.

Wednesday, May 12, 2010

Makluman : Perubahan Panel Majlis Dialog


MAKLUMAN

Makluman kepada semua ahli KPIPM, Majlis Dialog yang akan diadakan pada Hari Khamis ini (13 Mei) bersama Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Ashraf bin Mohd Khir sahaja. Manakala Ustaz Abdul Muhaimin bin Abdul Majid tidak dapat menghadirkan diri dalam majlis tersebut.

Majlis Dialog ini akan tetap diteruskan seperti biasa. Semua ahli KPIPM dijemput hadir untuk bersama-sama mengikuti dialog bersama Yang Dipertua KPIPM. Sekian

Disediakan oleh
Timbalan Yang Dipertua,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
2009/2010

Tuesday, May 11, 2010

Pimpinan KPIPM Menziarahi Ahli Di ARMA


Abbasiah, KAHERAH – Demi memastikan kebajikan ahli Perak terjaga, AJKT dan AJK HEWI telah mengadakan ziarah mahabbah ke Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) untuk melawat dan bertanya khabar ahli Perak yang menetap disana.

Kunjungan AJKT telah diwakili sendiri oleh YDP KPIPM Us. Khairul Ashraf bin Mohd Khir pada hari Rabu 5 Mei 2010.Kunjungan YDP telah disambut oleh pengerusi ARMA us. Ahmad Faisal b. Mat Shah. Perjumpaan tersebut telah dihadiri seramai 5 orang ahli Perak yang tinggal disana.

Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai zakat, pendidikan, kebajikan ahli dan masalah-masalah lain yang berkaitan dengan persatuan. Di dalam pertemuan itu juga, YDP membuka ruangan muhasabah dari ahli untuk pimpinan dan persatuan. Perjumpaan itu berakhir pada pukul 4.30 petang.

Kunjungan AJK HEWI pula telah diadakan pada hari Ahad 9 Mei 2010. AJK HEWI telah diwakili oleh Ketua HEWI Ustazah Siti Salamah bt Hamzah, Timbalan Ketua HEWI, Ustazah Dzulyalyna bt Ahmad Zahidi, BTKKR HEWI Ustazah Nursyuhada bt Hashifudin dan mandubah Kaherah Ustazah Nor Azura bt Rahim. Semua ahli Perak akhawat telah berkumpul di bilik Ustazah Saadah bt Abd Razak yang merupakan ajk mandubah di ARMA.

Perjumpaan itu telah dihadiri seramai 12 orang akhawat termasuk seorang mahasiswi perubatan. Turut hadir di dalam perjumpaan itu ialah Ustazah Nor Hajar Nafeah bt Zuber yang merupakan Timbalan Pengerusi ARMA dan antara ahli Perak yang tinggal disana.

Majlis bermula pada pukul 2.30 petang. Pertemuan selama 2 jam tersebut telah membincangkan beberapa perkara antaranya berkenaan masalah kebajikan ahli Perak berkisar tentang pembelajaran, kesihatan, masalah kewangan dan sebagainya. AJK HEWI sempat bertanya kepada seorang ahli mengenai masalah kesihatan yang dialami baru-baru ini. Perjumpaan berakhir pada pukul 4.45 petang dengan sama-sama menunaikan solat asar berjemaah.

Kunjungan AJKT dan AJK HEWI ke sana merupakan wakil PMRAM untuk memastikan kebajikan ahli terjamin. Aktiviti ziarah seperti ini akan diteruskan lagi dimasa akan datang. Jutaan terima kasih buat semua ahli Perak yang berada di ARMA.

Monday, May 10, 2010

SOLAT SUNAT HIFZI DAN KENDURI ARWAH


Wisma Darul Ridzuan A, 6 MEI – Bersempena musim peperiksaan yang akan menjelang tiba, pihak KPIPM mengambil kesempatan mengadakan majlis solat Sunat Hifzi untuk meguatkan rohani ahli KPIPM. Majlis tersebut juga dilengkapkan dengan kenduri arwah khusus untuk Allahyarham Us Mohammad Hafizul Husna b Mohamad Salehuddin yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini. Majlis bermula selepas solat Maghrib diikuti dengan bacaan Yassin dan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Us Ahmad Syamsul Arif b Mad Daud. Beliau dalam tazkirahnya mengingatkan ahli agar memelihara amal ibadat supaya hubungan dengan Allah bertambah erat. Selain itu, beliau turut berpesan agar ilmu yang diperolehi di sini dapat menjadi darah daging dan mampu diterjemahkan melalui perbuatan dan kelakuan. Majlis diakhiri dengan jamuan pada jam 11 malam.

KUNJUNGAN HORMAT KE KEDUTAAN


Kaherah, 4 MEI - Kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia diketuai oleh Presiden PMRAM, Ustaz Shahrizan bin Mohd Hazime dan turut disertai oleh semua Yang Dipertua BKAN. Pihak KBMK yang diwakili oleh En. Shaiful Anuar bin Mohammad, Kuasa Usaha Sementara bersama En. Samsul Kahar bin Kamarudin, Setiausaha Kedua. Perjumpaan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan diantara pihak kedutaan dengan PMRAM dan persatuan anak negeri disamping mendengar penjelasan terhadap beberapa isu. Ustaz Khairul Ashraf bin Mohd Khir dalam perjumpaan tersebut telah mengetengahkan beberapa masalah dan isu diperingat KPIPM termasuk masalah pendidikan, keselamatan dan sebagainya. En. Shaiful dalam jawapannya menyatakan bahawa masalah yang berlaku akan dibuat tindakan susulan. Pihak KBMK amat berbesar hati dengan kunjungan tersebut serta berharap agar perjumpaan seumpama itu dapat diadakan dengan lebih kerap pada masa akan datang.

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...