Saturday, September 19, 2009

Rombongan Maut

Iblis dan Syaitan akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Syaitan mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.

Hadith Rasulullah s.a.w.. menerangkan:
Yang bermaksud: "Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan Syaitan di waktu maut."

Rombongan 1
Akan datang Syaitan dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Syaitan itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t. inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2
Akan datang Syaitan kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah s.w.t., matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 3
Akan datang Syaitan mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepadabinatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t.. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4
Akan datang Syaitan merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya.

Rombongan 5
Akan datang Syaitan merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan danminuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Syaitan, berkata dengan rayu-merayu "Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga."Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6
Akan datanglah Syaitan merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia:
"Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu."
Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula Syaitan yang menyerupai ulamak dengan berkata:
"Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?
Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut:
"Aku tidak tahu."Berkata ulamak Syaitan:
"Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah s.w.t. hendaklah kamu patuh kepada kami."
Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Syaitan bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut).
Kemudian orang yang sedang dalamsakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu:
"Bagaimanakah Zat Allah?"
Syaitan merasa gembira apabila jeratnya mengena .Lalu berkata ulamak palsu: "Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu. "Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu,maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.Berkata Syaitan:
"Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah."
Berkata orang yang dalam sakaratul maut:
"Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini."
Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7
Rombongan Syaitan yang ketujuh ini Syaitan terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Nabi Muhammad s.a.w. bahawa umat Nabi Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat.
Ketahuilah bahawa Syaitan itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut.
Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Syaitan dan Iblis yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut.

Writing by :Hannie

Terima Kasih Kepada Penyumbang


KAHERAH, 18 SEPTEMBER – Sempena Syawal yang menjelma ini, KPIPM telah menerima beberapa sumbangan daripada pelbagai pihak dan individu. Sumbangan-sumbangan ikhlas ini berbentuk wang, makanan, keperluan asasi dan sebagainya.

Mengulas lanjut tentang perkara ini, Ustaz Mohd Zahid bin Abu Bakar, Ketua Biro Tabung Kebajikan Kesenian dan Riadhah, memberitahu wartawan blog bahawa sumbangan yang diterima bukan sahaja di Mesir, bahkan KPIPM juga menerima sumbangan daripada Malaysia.

Beliau berkata lagi, sumbangan yang diterima di Malaysia telah disalurkan kepada ahli KPIPM yang menjadi wakil di Malaysia. Antara sumbangan yang diterima ialah melalui kuliah-kuliah Ramadhan yang disampaikan oleh beberapa orang ahli KPIPM yang pulang bercuti di Malaysia.

“Dalam masa yang sama, KPIPM di Mesir juga menerima sumbangan-sumbangan berbentuk juadah berbuka puasa, keperluan asasi dan kewangan” Katanya.

Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir, Yang Dipertua, mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang-penyumbang ikhlas tersebut. Beliau juga berharap agar beberapa individu yang lebih ramai dapat menampilkan diri bagi membantu ahli-ahli KPIPM di sini.

KPIPM Bersama Masyarakat Di Malaysia


LENGGONG, 18 SEPTEMBER – KPIPM pada tahun ini telah melebarkan sayapnya apabila mengambil kesempatan mengadakan beberapa pertemuan dan program bersama masyarakat di Malaysia.

Wartawan blog telah menemui Us Muhammad Sayuti bin Mohammad Zawahib, Setiausaha Agung, yang kini berada di Malaysia. Beliau memberitahu bahawa pada hari ini, telah diadakan mesyuarat bagi pelaksanaan sebuah program kemasyarakatan, hasil kerjasama dengan Pejabat Agama Pengkalan Hulu.

Program tersebut dinamakan sebagai Kem Remaja Luqman, yang akan diadadakan pada pertengahan bulan Oktober 2009.

Beliau berkata lagi, sebelum ini telah diadakan mesyuarat sebanyak dua kali iaitu pada 2 dan 9 September di Pejabat Agama Daerah Pengkalan Hulu, bagi membincangkan tentang pelaksanaan program tersebut.

Selain itu, pada waktu yang sama, KPIPM telah bekerjasama dengan Generasi Ilmuan Perak United Kingdom dan Ireland (GEMARAK) untuk melaksanakan sebuah program motivasi untuk sekolah menengah. Program tersebut telah diadakan di Sri Iskandar. Wakil KPIPM ke prprogram tersebut ialah Ustaz Abdul Hadi bin AB Rahman, mantan Setiausaha Agung KPIPM.

Mengulas lanjut tentang perkara ini, Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak atas nama kebajikan masyarakat.

“Alhamdulillah, anak-anak Perak Mesir masih lagi mendapat tempat di mata masyarakat, dan masyarakat hari ini sememangnya memerlukan kita”, katanya kepada wartawan blog.

Beliau juga berterima kasih kepada Pegawai Tadbir Daerah Pengkalan Hulu, Ustaz Joshuade Reza bin Mohd Zaim, yang bersama-sama KPIPM bagi menjayakan program Kem Remaja Luqman tersebut. Tidak ketinggalan kepada ahli-ahli KPIPM yang sudi membantu KPIPM untuk menaikkan nama KPIPM di mata masyarakat Malaysia.

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...