Wednesday, May 30, 2012

Prinsip Kemanusiaan, Integrasi Antara Kebajikan & Kasih Sayang



Saban hari kebejataan isu kemanusiaan berterusan disiarkan melalui media massa samada elektronik, cetak dan seumpamanya. Dunia kini disajikan dengan kekejaman yang berlaku kepada umat Islam di Syria. Setiap saat dan ketika sudah pasti bilangan nyawa terkorban meningkat dan terus meningkat.

Akal kewarasan manusia yang bertuhankan nafsu haloba kian merasuk jiwa lantas nyawa manusia seperti langsung tidak bernilai lalu dengan sewenangnya dijadikan mangsa ratahan kezaliman durjana.

Saat ini anak-anak kecil pula dijadikan mangsa kekejaman mereka, sampai bila kita mahu meratap penderitaan mereka tanpa melakukan apa-apa tindakan. Kehidupan yang berlantaikan darah dan jeritan anak-anak kecil seakan menjadi hiburan bagi golongan angkuh ini.

Peradaban manusia lenyap dihambat keseronokan dunia sementara, maka tidak dapat tidak kita perlu mengetahui intipati prinsip kemanusiaan untuk diekspresikan kasih sayang dan kebajikan dalam melestarikannya sekaligus menjadi satu momentum membuka mata dunia agar membendung kezaliman.

Ingin dihargai adalah salah satu prinsip kemanusiaan tidak kira daripada mana latar belakangnya kerana penghargaan adalah satu kurniaan istimewa samada di kalangan manusia apatah lagi Allah SWT. Justeru, penghargaan ini tidak akan dapat dirasai melainkan kita belajar untuk menghargai orang yang berada di sekeliling kita.

Kini apakah perlakuan yang diberikan kepada umat Islam di Syria adalah satu penghargaan ataupun sebaliknya. Sudah pasti itu bukan satu penghargaan malahan penghinaan yang bukan sahaja kepada rakyat Syria tetapi untuk seluruh umat Islam. Masih wujud lagi golongan yang berselingkuh tanpa bersuara untuk menyatakan betapa kejamnya perlakuan mereka lakukan.

Kata pepatah "Alah bisa tegal biasa" seperti tidak dijentik satu perasaan luar biasa namun sebaliknya merasakan satu kebiasaan terhadap apa yang mereka lakukan. Kemusnahan ideologi seumpama ini perlu dineutralkan dengan insulin kesucian Islam dengan merasakan bahawa kini saudara kita di Syria memerlukan doa daripada kita.

Memperanankan diri kita dalam setiap perkara juga adalah prinsip kemanusiaan yang perlu ada apatah lagi dalam menyalurkan kebajikan kepada golongan memerlukan. Tuntasnya akan lahir rasa kasih sayang dan tanggungjawab apabila jiwa dan hati kita disuntik rasa betapa perlunya memberikan kebajikan tanpa mengira latar belakang dan pangkat kedudukan.

"Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul"  itulah ungkapan kata yang acap kali didengari, namun masih belum kukuh ikatan kasih sayang sesama muslim andai kita beralasankan bahawa itu sahaja kemampuan yang kita ada. Sesungguhnya doa itu senjata bagi orang beriman, tetapi persoalannya pernahkah tergambar keperitan dan kesengsaraan saudara kita di Syria di saat kita berdoa kepada Allah SWT.

Adakalanya menuturkan kata-kata lebih mudah berbanding melaksanakan apa yang kita bicarakan, maka sewajarnya kita menjadikan doa sebagai salah satu usaha dalam menghentikan kezaliman yang semakin dahsyat di bumi Syria.

Selari dengan tema pembawaan PMRAM 2012 "Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan" di bawah subtopik "Mahasiswa Mendepani Isu Sejagat", maka ia perlu diaplikasikan oleh semua mahasiswa Islam agar tahap pemikiran mahasiswa tidak hanya terpenjara dengan kefahaman tidak sihat apatah lagi akhir zaman ini kewujudan hiburan daripada pelbagai alternatif semakin hari semakin menular seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Kempen Prihatin Syria yang telah dilancarkan oleh PMRAM di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM merupakan sebagai satu alternatif menyampaikan maklumat berkaitan isu kezaliman dengan mengadakan roadshow selain melancarkan kutipan bagi membantu umat Islam di Syria.

"Mahasiswa Mendepani Isu Sejagat"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Ahmad Huzaifah bin Fauzi
Naib Presiden III
[Lajnah Kebajikan & Kemanusiaan]
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM