Pepatah Melayu ada berbunyi
"Air Dicincang Takkan Putus" dan perumpamaan " Bagai Isi Dengan
Kuku " memberikan gambaran bahawa nilai keakraban dalam kehidupan begitu
bernilai dan bermakna.
Ukhuwwah dalam perjuangan
seumpama ikatan kekeluargaan didasari dengan keimanan dan kefahaman untuk
memperjuangkan Islam. Oleh yang demikian, ikatan ukhuwwah begitu dititik
beratkan untuk menghadapi ranjau perjuangan mendatang kerana apa yang pasti
ianya bukan selalunya indah.
Dalam memastikan panji-panji
Islam dikibarkan dengan gemilang maka pendokong Islam sendiri perlu mempunyai
kesediaan semaksima mungkin terutama di kalangan rakan sekerja.
Saling melengkapi dan memahami
antara satu sama lain adalah tunjang kepada melahirkan momentum yang cukup
bertenaga dalam medan perjuangan sekaligus bersedia melaksanakan gerak kerja
Islam di setiap posisi.
Ironinya apabila ikatan
ukhuwwah semakin pudar dan lusuh, sudah pasti memberi ruang kepada pihak-pihak
tertentu mengaburi keindahan dan kepentingan ukhuwwah dengan pandangan yang
begitu dangkal dan jelek.
Kesannya kualiti kefahaman
dalam berukhuwwah disalah tanggap dan menjadikan keadaan lebih parah apabila
wujudnya krisis "Gunting Dalam Lipatan". Kebersamaan dalam menghadapi
setiap krisis dan berlapang dada menerima pendapat akan menatijahkan keadaan
yang lebih baik dan harmoni.
Sesungguhnya kebenaran Islam
tidak mungkin tertegak dengan usaha individu namun sebaliknya dimartabatkan
hasil kerjasama dan gerak kerja bersama apabila momentum ukhuwwah dijana dengan
semaksima mungkin.
Ancaman luaran yang seringkali
menunggu peluang seperti menangguk di air keruh sekali-kali tidak mampu
memugarkan kesatuan ukhuwwah yang dibina dibawah lembayung Islam dan keyakinan
jitu pada janji Allah Rabbul Izati.
Landasan ukhuwwah tidak mengira
darjat dan pangkat kerana perjuangan Islam diamanahkan kepada seluruh pendokong
Islam daripada latar belakang yang pelbagai. Samada kepimpinan mahupun ahli,
binalah satu kesatuan persaudaraan yang kukuh dalam membantu perjuangan Islam
dan penyambung risalah kenabian untuk generasi masa depan.
"PMRAM Untuk Semua"
"Memartabat Keilmuan
Memimpin Kesatuan"
Zulhafeez bin Ahmad Zahidi
Timbalan Presiden
Lajnah Perancang dan Panitia
Persekutuan Melayu Republik Arab
Mesir 2012
Sumber : pmram.org
No comments:
Post a Comment