Wednesday, May 30, 2012

Pembukaan Konstantinople, Iktibar Buat Semua



Kota Konstantinople merupakan sebuah kota yang cukup kuat dikuasai oleh Empayar Kristian Byzantine. Kekuatan dan kekebalan Kota Konstantinople ini terbukti apabila 12 kali percubaan tentera Islam untuk menawan kota tersebut menemui jalan buntu. Walaupun begitu, semangat yang ditunjukkan oleh umat Islam untuk menundukkan keangkuhan Empayar Kristian Byzantine tidak pernah luntur sehinggalah akhirnya mereka berjaya menawan Kota tersebut pada 29 Mei 1453 di bawah bimbingan Sultan Muhammad al-Fateh.

Sumber Kekuatan Kepada Kemenangan

Kehebatan Empayar Kristian Byzantine seolah-olah suatu perkara yang mustahil untuk ditewaskan, namun berbekalkan dengan keazaman yang tinggi, perancangan yang rapi berasaskan penyelidikan sejarah yang mendalam, dan diikuti kerja berpasukan yang jitu maka segala-galanya tidak mustahil. Pemilihan strategi yang tepat pada waktunya dan keyakinan tinggi yang luar biasa kepada pertolongan Allah SWT menjadikan perkara yang seolah-olah mustahil itu mampu untuk dilaksanakan.

Setelah 2 tahun mengambil alih tampuk pemerintahan, setiap malam  Sultan Muhammad Al-Fateh mengkaji pelan Kota Konstantinople untuk  mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji faktor-faktor kegagalan usaha-usaha generasi terdahulu dalam mengembalikan Konstantinople kepada Islam serta berbincang dengan panglima-panglimanya tentang strategi yang sesuai untuk digunakan dalam misi tersebut.

Begitulah peranan utama yang dimainkan oleh baginda Sultan pada waktu itu yang dianggap sebagai watak utama yang membentuk ke arah kemenangan Islam. Tidak pernah merasa jemu dan berputus asa menjadikan baginda sentiasa optimis dengan janji Nabi Muhammad SAW bahawa suatu hari nanti Konstantinople pasti akan dibuka oleh umat Islam sebagaimana yang telah disabdakan oleh baginda Nabi SAW 800 tahun sebelum berlakunya kemenangan tersebut.

Kemenangan dan kejayaan tidak sekali-kali datang bergolek ke arah kita dan ianya bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dikecapi bahkan perkara tersebut memerlukan kepada kesungguhan yang luar biasa dalam pelbagai aspek bagi merealisasikan hasrat yang luar biasa itu.

Dalam usaha membebaskan Kota Konstantinople ini , Sultan Muhammad al-Fateh terlebih dahulu memperkuatkan angkatan tenteranya dengan kekuatan  dari sudut jasmani dan rohani, spiritual serta kelengkapan ketenteraan yang mencukupi. Ini penting bagi memastikan tenteranya tidak tersungkur awal sebelum misi selesai dijayakan.

Hasilnya, dengan kekuatan kerjasama antara umat Islam ini ditambah dengan ketaatan kepada pemimpin yang diketuai oleh Sultan Muhammad al-Fateh menjadikan misi penawanan ini berjaya dilangsaikan. Walaupun usia baginda Sultan pada waktu itu agak muda sekitar 21 tahun, namun didikan serta tarbiah yang diberikan berlandaskan tuntutan Islam menjadikan umat Islam tidak merasa kekok untuk menuruti segala arahan yang telah dikeluarkan oleh pimpinan.

Sikap Pemimpin Yang Dicari-cari

Kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapakah di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardu walaupun sekali sila duduk!". Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak ada seorang pun di antara mereka yang pernah meninggalkan solat fardu.

Baginda bertanya lagi, “Siapakah di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Lalu sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!". Kali ini semuanya duduk kecuali Sultan Muhammad al-Fateh sahaja yang berdiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardu, solat sunat rawatib dan solat tahajud sejak baligh.

Inilah kehebatan luar biasa anak didikan Syeikh Aq Shamsuddin al-Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis baginda yang berbunyi :

( لتفتحن القسطنطانية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش )
Pasti akan dibuka Kota Konstantinople, sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tentera di bawah pimpinannya”

Abdul Aziz Bin Ali
Presiden ,
(Lajnah Perhubungan Antarabangsa & Pengerusi HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2024/2025

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIP...