Sejak kebelakangan ini rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan
beberapa isu politik yang membabitkan adegan dan peristiwa yang sungguh
memalukan negara. Belum reda isu yang berkaitan dengan paparan laporan lucah di
muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2 Mei yang lalu, timbul pula isu
melibatkan tuduhan sebagai 'Bapa Kafir' kepada seorang tokoh agama yang
tersohor di negeri Kelantan. Bahkan tohmahan tersebut ditujukan kepada seorang
pemimpin yang disanjungi oleh rakyatnya.
Melihat kepada sikap kurang matang segelintir golongan cerdik
pandai rakyat negara kita ini, PMRAM merasa terpanggil untuk menyatakan
pendirian dan pandangan selaku gerakan mahasiswa Islam yang sentiasa memerhati
perkembangan dan situasi terkini negara Malaysia. Tuduhan tersebut telah
dilemparkan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor terhadap Menteri
Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Setia Bentara Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai
'bapa kafir' menurut sumber (gambar).
Bagaimanpun Tan Sri Rahim Noor menafikan beliau membuat kenyataan
sedemikian. Pemberita yang namanya tersiar sebagai salah seorang penulis berita
itu, Rahmah Ghazali juga menafikan beliau
menulis berita itu.
Walau daripada siapa sekalipun tuduhan ini datang, ia tidak
sepatutnya terjadi bahkan ahkbar New Strait Times perlu meneliti terlebih
dahulu laporan yang ingin dipaparkan agar tidak menimbulkan fitnah dan
kebencian oleh rakyat. Akhbar New Strait Times telah kerap kali mengguris hati
umat Islam dan kesilapan ini tidak sepatutnya berulang.
Tuduhan tersebut telah menimbulkan pelbagai tanggapan dan persepsi
negatif serta meningkatkan lagi api kemarahan rakyat terhadap pihak-pihak
terbabit. Islam mengajar Umatnya agar sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku
dalam kehidupan lebih-lebih lagi apabila di sana terdapat perbezaan pendapat
dan pandangan di kalangan Umat Islam. Islam tidak mengajar Umatnya bertindak
diluar daripada apa yang telah digariskan oleh syarak sama ada dari segi
perbuatan mahupun perkataan.
Allah SWT berfirman di dalam surah an-Nisa' ayat ke-148 yang
bermaksud :
" Allah tidak menyukai akan perkataan buruk (yang di
ucapakan) secara terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan
sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ".
Justeru, sebagai seorang muslim kita seharusnya berwaspada
daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat dan boleh menyakiti hati orang lain
lebih-lebih lagi kalimah yang dikeluarkan itu ditujukan kepada golongan Ulama
ataupun mereka yang hampir kepada Allah SWT. Bukan itu saja, bahkan tidak salah
sekiranya saya menyatakan bahawa isu mengkafirkan orang ini adalah melibatkan
isu akidah dan pegangan kita terhadap agama Islam. Kita sebagai hamba Allah SWT
tidak layak untuk menentukan seseorang itu adalah kafir di pandangan mata kasar
kita sekalipun kita melihat mereka itu melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.
PMRAM mengharapkan agar seluruh ahli politik tanah air bersedia untuk berdebat dan berdialog secara
matang dengan hujah dan fakta bukannya menfitnah dan memaki hamun orang lain apabila
tidak sehaluan dan tidak sependapat. Islam telah meletakkan garis panduan yang
terbaik dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang membabitkan pelbagai
pandangan.
Begitu juga dengan pihak media dinasihatkan jangan sesekali
mengeluarkan berita tanpa diketahui asal-usulnya. Jadilah media yang adil dan
matang dalam melaporkan sesuatu isu, bukan memanaskan lagi semarak kebencian
rakyat dan mendatangkan fitnah yang menambah celaru.
Kami sebagai golongan anak muda mengharapkan agar seluruh rakyat
Malaysia menggunakan pendekatan yang lebih mesra dalam menyelesaikan sesuatu
konflik dan masalah bukannya menggunakan politik maki hamun, fitnah, politik
lucah dan sebagainya yang boleh mengeruhkan dan memburukkan lagi keadaaan dan
suasana harmoni kehidupan rakyat Malaysia.
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"
Abdul Aziz Bin Ali,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012
sumber : pmram.org
No comments:
Post a Comment