Wednesday, May 30, 2012

Berita Gembira Buat Seluruh Mahasiswa Pusat Bahasa Al-Azhar 2011/12




KAHERAH, 29 MEI 2012 -- Kerisauan yang melanda akhirnya terlerai juga. Pengarah Education Malaysia Egypt, Prof. Madya Dr. Hj Su’aidi B. Dato’ Hj Safei telah menyerahkan cek yuran pengajian mahasiswa Malaysia yang mengikuti Kelas Tamhidi Bahasa Arab (Markaz Lughah) di Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Cek yuran ini telah diserahkan kepada wakil Markaz tersebut, Ustaz Tuni lebih kurang jam 11 pagi tadi (waktu tempatan) di Pejabat Pentadbiran Pusat Bahasa Universiti Al-Azhar, Hayyu Sadis, Kaherah.

Mahasiswa dan mahasiswi yang tidak berjaya dalam Peperiksaan Kelayakan (Imtihan Qabul) ke Universiti Al-Azhar pada sesi 2011/2012 diwajibkan mengikuti Kelas Tamhidi Bahasa Arab selama setahun yang dikendalikan oleh Pusat Bahasa Universiti Al-Azhar , Kaherah.

Yuran pengajian perlu dibayar bagi membolehkan para pelajar menduduki peperiksaan yang bakal dijalankan pada bulan Jun hadapan. Beban yuran pengajian yang agak tinggi pada sesi kali ini yang dikenakan oleh pihak pentadbiran Pusat Bahasa akhirnya mendapat perhatian pihak Kerajaan Malaysia.

Kelulusan telah diberikan bagi penajaan sepenuhnya yuran pengajian kesemua pelajar Malaysia yang mengikuti Kelas Tamhidi Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar bagi sesi kali ini.

Hasil kerjasama yang baik antara pihak PMRAM dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) beserta Education Malaysia Egypt (EME) akhirnya membuahkan berita gembira buat seluruh pelajar Kelas Tamhidi Al-Azhar. Pembayaran yuran pengajian telah dilakukan oleh pihak EME setelah kewangan diluluskan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Justeru, PMRAM mengucapkan jutaan terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan pihak kerajaan Malaysia dan KBMK terhadap isu bebanan yuran pengajian yang melanda para pelajar yang mengikuti Kelas Tamhidi Bahasa Arab ini.

PMRAM mengharapkan agar para mahasiswa dapat memberikan perhatian yang sepenuhnya serta berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang bakal dihadapi. Kalian adalah aset modal insan yang bakal menyumbang bakti terhadap agama, bangsa dan tanah air kelak.

“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2024/2025

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIP...