PENGERTIAN TAHALUF SIASI
Bekerjasama dengan organisasi lain atau gerakan-gerakan lain
yang tidak bermatlamatkan islam untuk membina sebuah kerajaan. Kerjasama ini
berlaku terhadap apa jua bidang yang telah dipersetujui bersama untuk sama-sama
menghadapi musuh yang sama.
HUKUM TAHALUF SIASI
Ulama’-ulama’ gerakan telah memberi pandangan yang berbeza
dalam mengeluarkan hukum bekerjasama dengan gerakan atau organisasi yang tidak
bermatlamatkan perjuangan islam.
1. HARAM
Antara ulama' yang mengharamkan Tahaluf siasi antaranya
adalah Syeikh Muhammad Qutb dan Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin Abdullah.
Ini berdasarkan beberapa hujah dan dalil :
Firman Allah SWT :
يَـأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ لاَ تَتَّخِذُواْ الْيَهُودَ وَالنَّصَـرَى
أَوْلِيَآءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ مِّنكُمْ فَإِنَّهُ
مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَهْدِى الْقَوْمَ الظَّـلِمِينَ - فَتَرَى الَّذِينَ فِى
قُلُوبِهِم مَّرَضٌ يُسَـرِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَن تُصِيبَنَا دَآئِرَةٌ
فَعَسَى اللَّهُ أَن يَأْتِىَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِّنْ عِندِهِ فَيُصْبِحُواْ
عَلَى مَآ أَسَرُّواْ فِى أَنفُسِهِمْ نَـدِمِينَ
Yang bermaksud :” Hai orang-orang yang beriman, janganlah
kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu);
sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa
diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu
termasuk golongan mereka.
Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada
orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit
dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani),
seraya berkata: "Kami takut akan mendapat bencana". Mudah-mudahan
Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan
dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang
mereka rahasiakan dalam diri mereka”. Surah al-maidah ayat 51dan52.(1)
Ayat di atas menjelaskan kerjasama dalam gerakan islam
dengan orang-orang kafir di atas dasar politik akan menjauhkan lagi orang-orang
Islam daripada mereka. Ini kerana, Islam mengharamkan sebarang jenis
ketaatan (wala’) kepada ahli kitab yang
mempunyai akidah yang hampir sama dengan Islam, apatah lagi wala’ kepada
orang-orang kafir yang akidah mereka langsung tidak mempunyai persamaan dengan
akidah Islam.
Firman Allah :
يَسْـئَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَآ إِثْمٌ كَبِيرٌ
وَمَنَـفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا وَيَسْـئَلُونَكَ مَاذَا
يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ كَذلِكَ يُبيّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيَـتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ
Bermaksud : “Mereka bertanya kepada kamu tentang arak dan
judi. Katakanlah, pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat
bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya. Dan mereka
bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah yang lebih dari
keperluan. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat kepadamu supaya kamu
berfikir”. (Surah al-Baqarah ayat 219).(2)
Berdasarkan ayat di atas “الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ
قُلْ فِيهِمَآ إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَـفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ”, ayat
ini menerangkan berkenaan pengharaman arak dan judi. Jika kita lihat dari sudut
tahaluf siyasi, bekerjasama dengan kaum bukan islam kemungkinan akan
mendatangkan manfaat dari beberapa sudut, akan tetapi di lihat dari sudut yang
lain iaitu kearah menegakkan hukum-hukum Allah, ianya pasti tidak akan
tercapai.
Maka kesimpulannya, kerjasama dengan dua gerakan yang
berbeza akan menyebabkan terencatnya usaha gerakan islam dalam menegakkan
daulah islamiyah. Oleh itu kerjasama ini adalah haram kerana ianya lebih banyak
mendatangkan mudharat daripada mendapat manfaat. (3)
2. HARUS
Para Ulama’ Haraki telah mengharuskan tahaluf siasi dalam
gerakan islam antaranya Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Doktor Munir Muhammad al-
Ghahdban.(4) Keharusan tahaluf siyasi dengan kerjasama gerakan yang bukan islam
boleh di bahagikan dalam beberapa perkara dan hujah-hujahnya.
Bekerjasama dengan bukan islam dalam politik
aman (siasah dakwah silmiyah).
Pertama :
BEKERJASAMA UNTUK MELINDUNGI DAKWAH DAN
PENDAKWAH.
Adalah di benarkan kepada seorang pendakwah untuk meminta
pertolongan demi menjaga maslahah da’awiyah dan penda’wah itu sendiri agar
keselamatan diri terjamin dan kerja dakwah berterusan.
Namun, keharusan itu di syaratkan dengan beberapa perkara :
(5)
* Orang bukan islam di yakini
amanahnya untuk merialisasikan kerja-kerja da’wah
* Tidak berlaku di sebalik
kerjasama tersebut pengabaian kepada beberapa prinsip islam
* Tidak berlaku di sebalik
kerjasama tersebut kita berdiam diri dari berkata benar atau setuju dengan kebatilan
* Tidak berlaku di sebalik
kerjasama itu bermuka-muka dengan kafir atau memuji kekufuran mereka
* Tidak berlaku di sebalik
kerjasama itu penguasaan orang kafir ke atas orang islam dengan membawa kepada kemudharatan kepada
penda’wah.
Contoh keharusan bekerjasama dengan mereka
dengan tujuan maslahah dakwah dan pendakwah itu sendiri:
1.Nabi Muhammad SAW bersama
dengan Abu Talib
Seperti yang kita semua maklum, Abu Talib tetap berlembut
dengan Nabi SAW dalam apa jua keadaan. Pihak Quraisy berkali-kali meminta agar
Abu Talib menasihati Nabi Muhammad agar tidak menyentuh perihal berhala mereka,
tetapi Nabi tetap tegas untuk menjalankan da’wahnya. Melihat pendirian Nabi SAW, berkata Abu Talib : "Pergilah,wahai
anak saudaraku.serulah kepada orang ramai apa yang kamu suka(da’wah islam) Demi
Tuhan, aku tidak akan serahkan engkau kepada sesiapa juga selama-lamanya”
Berkata Imam Ibnu Kathir : " Hikmah yang bgitu besar
kepada Islam dan Rasulullah SAW di sebalik kufur Abu Talib ialah kekuatannya
sebagai benteng utuh da’wah Nabi yang sentiasa mempertahankan Nabi. Seandainya
Abu Talib masuk Islam, sudah pasti orang Quraisy tidak akan mempedulikan
kemuliaan ,kebesaran dan penghormatan yang ada pada peribadi Abu Talib. Mereka
akan menghapuskan Nabi SAW serta Abu TAlib dengan kekerasan dan cemuhan jahat
mereka.
Perlindungan yang di berikan Abu Talib kepada Nabi Muhammad
bukanlah ketika di saat getir sahaja
bahkan dalam segenap sudut sehinggakan Nabi menjadi terlalu sayang kepada
beliau.Ini dapat di buktikan bila mana meninggalnya Abu Talib, Nabi menjadi
terlalu sedih.
Jelaslah, bahawa bukan kerana hubungan darah daging sahaja,
tapi kerana jasa dan pengorbanan yang di berikan oleh beliau. Sekiranya darah
daging di jadikan ukuran, ini kurang tepat kerana Nabi tidak melakukan perkara
yang sama pada Abu Jahal dan Abu Lahab.
2.Nabi SAW dengan Al-Najasyi
(seorang Nasrani)
Setelah
bertimpa-timpa ujian yang di hadapi kaum muslimin mekah sehingga sampai ke
tahap akidah mereka di permain-mainkan, Rasulullah mengarahkan sahabat-sahabat
untuk berhijrah ke Habsyah. Al-Habsyah negeri yang di perintah oleh seorang
raja yang bernama An-Najasyi, beragama
Nasrani, orangnya adil dalam memerintah negara.
Penghijrahan ini membuktikan bahawa harus bagi kerajaan
islam atau individu muslim meminta bantuan daripada bukan Muslim dalam misi
menjaga Dakwah Islam, maslahah muslimin ketika suasana dharurat atau hajat syar’iyah.
Banyak lagi contoh yang boleh di ambil sebagai panduan yang
menyatakan bahawa harus dalam bertahaluf siasi dengan bukan islam, seperti
sahabat-sahabat Nabi meminta perlindungan daripada sanak saudara yang kafir
dari serangan musyrikin Mekah.
Jadi, kesimpulannya adalah HARUS bagi kerajaan islam
dan individu muslim untuk meminta bantuan atau pertolongan daripada bukan islam bagi tujuan memelihara
dakwah islamiah dan diri pendakwah apabila di perlukan apatah lagi ketika
darurat demi maslahah Islam.
Keharusan ini berpandukan
beberapa SYARAT :
Syarat 1 : Hendaklah kafir itu boleh di
percayai untuk merialisasikan tujuan yang di maksudkan.mungkin dengan
perjanjian, perbincangan dan sebagainya.
Syarat 2 : Janganlah kerjasama itu
berisiko yang boleh mengakibatkan prinsip islam
atau dasarnya tergadai atau terpaksa di kesampingkan.
Syarat 3 : Janganlah kerjasama itu
terdapat unsur bermuka-muka, hipokrit dengan orang kafir.
Syarat 4 : Janganlah kerjasama itu
mengakibatkan amar makruf nahi mungkar terabai.
Syarat 5 : Janganlah di sebalik
kerjasama itu akan menyebabkan penguasaan orang kafir ke atas islam atau
menyebabkan islam redha dengan agama mereka atau membenarkan serta mengiyakan
kesyirikan yang berlaku.
Kedua :
BEKERJASAMA DENGAN BUKAN ISLAM SEBAGAI PEMBANTU
DALAM POLITIK
Para fuqaha telah berijma’ mengenai hukum harus bekerjasama
atau meminta bantuan orang kafir untuk menunjuk arah tentera muslimin dalam
peperangan,menunjukkan kubu-kubu pertahanan musuh,dengan tujuan memperkasakan
lagi kekuatan tentera musimin.
Berkata Ulama’ Hanafi, Maliki, Syafi’ dan Hambali : Haram ke
atas kita meminta bantuan dari kafir dalam berjihad,tetapi di haruskan seumpama
meruntuh kubu musuh,menggali terowong,atau mengoperasikan manjanik alat
melontar batu besar seperti lastik atau sebagainya.(6)
Ketiga :
KERJASAMA YANG TIDAK MENGGADAIKAN PRINSIP-PRINSIP
UTAMA SYARA'
Contohnya akidah dan perundangan (hudud). Contoh yang
berlaku pada zaman Rasulullah SAW dimana Nabi SAW banyak membuat pakatan
kerjasama dengan Bani-bani arab untuk menguatkan kerajaaan Madinah dalam
menghadapi ancaman berterusan dari Musyrikin Quraisy.
Keempat :
MANFAAT ATAU FAEDAH YANG BOLEH DITERIMA OLEH
BUKAN ISLAM
Pertama : Hak-hak
yang wajib di berikan kepada mereka
1. Wajib
menunaikan hak mereka sebagai rakyat sepertimana muslim.
2. Di berikan
sejumlah daripada ghonimah
3. Memelihara
keamanan mereka dan melepaskan tawanan di kalangan mereka
Kedua : Hak-hak yang tidak boleh di berikan kepada bukan
muslim
1. Berperang
dengan mereka menentang musuh mereka ynag bukan muslim
2. Membekalkan
senjata kepada bukan muslim
3. Memberikan
gelaran syahid kepada mereka
JAWAPAN TERHADAP GOLONGAN YANG MENGHARAMKAN
TAHALUF SIASI
Terdapat dalil-dalil dan pandangan yang boleh di jadikan
hujah untuk menolak golongan yang mengharamkan tahaluf siasi, antaranya ialah :
1. Berdasarkan ayat al-Quran yang digunakan sebagai hujah iaitu dari surah al-Maidah,
ayat 51-52 bukanlah merujuk kepada tahaluf siasi tetapi merujuk kepada
orang-orang munafik yang terus meletakkan kepatuhan kepada orang-orang Yahudi
di Madinah. Ianya turun kepada ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai yang
bertindak untuk menyokong kabilahnya Yahudi Bani Qainuqa’ di dalam berhadapan
dengan Nabi Muhammad SAW. Konsep tahaluf siasi tiada kena mengena dalam ayat ini
tetapi ianya di tujukan kepada orang yang keluar dari gerakan Islam untuk
bekerjasama dengan musuh bagi melawan Islam.(7)
2. Berdasarkan ayat 219 dari surah al-Baqarah, ianya juga
tiada kaitan dengan pengharaman tahaluf siyasi. Ini kerana daripada tahaluf
siyasi yang dilaksanakan di beberapa buah negara seperti islam seperti Mesir,
Yaman dan Negara islam yang lain manfaat yang besar banyak diperolehi oleh kaum
muslimin. Jadi di dalam masalah manfaat dan mudharat ini,mestilah di lihat dan
di kaji serta dipertimbangkan berdasarkan keadaan semasa yang berlaku.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan di atas, dapatlah di fahami bahawa hukum bekerjasama dengan bukan
islam adalah HARUS dari sudut syara’ selama mana ia memberikan kemaslahatan
umum mengatasi kemudharatan.
Disediakan oleh :
FELO
MANHAL PMRAM
1.
Dayang Siti Nuraini binti Awang Damit Yahya
2.
Syahidatul Akmal binti Mohd Dahlan
3.
Hanisah binti hj. Muslim
4.
Nor Eina binti Md. Ali
______________________________
RUJUKAN
1. Al-Quran al-Karim, surah al-Maidah ayat
51dan52
2. Al-Quran al-Karim. Surah al-Baqarah ayat 219
3. Kitab Waqiunal Maasir oleh Muhammad Qutb
(2004),(m/s 465)
4. Doktor Munir Muhammad al- Ghahdban, kitab
al-Tahaluf al-Siyasi fi al-Islam, (m/s 114-116)
5. Majalah As-Syari’ah Wa Ad Dirasat
Al-Islamiyah,tajuk:Al-Isti’anah Bi al-Kuffar,Dr Muhammad Uthman
Shubair,m/s(242),cetakan Universiti Kuwait,tahun:1407H/1987M
6. Al –Bidayah Wa An-Nihayah,Ibnu
Kathir,(3/41),cetakan ;Dar al- Maarif,Beirut,tahun 1980
7. Tafsir Ibnu Kathir, jilid 2, (m/s 69-70)
Sumber : manhal.pmram
No comments:
Post a Comment