Murtad yang paling bahaya ialah
apabila berlakunya kemurtadan sultan (kuasa pemerintahan) iaitu perubahan
kekuasaan Islam kepada kekuasaan yang menurut ideologi barat dan hawa nafsu.
Dengan adanya kekuasaan Islam, masyarakat Islam mampu untuk menjaga akidah
umatnya, menentang dan menyekat golongan murtad. Apabila terjadinya murtad
kekuasaan Islam ini, maka, akan dapat dilihat perkara sebaliknya akan berlaku
bahkan tidak akan ada lagi ruangan untuk Islam melainkan terlalu sedikit. Maka
dapat disaksikan ketika itu tersebarnya (bertambahnya) golongan fasik
melindungi golongan yang murtad dan memberikan golongan murtad laluan dan
pintu-pintu untuk terus menyebarkan dakyah mereka.
Jika berlakunya kemurtadan
begini (murtad kuasa) maka kita akan dapat lihat para pemerintah akan memberi
kesetiaan kepada musuh-musuh Islam, menentang wakil-wakil Allah (ulama’-ulama’
dan orang yang memegang panji Islam), memperlekehkan akidah,
mempermudah-mudahkan syariat Islam, tidak menyempurnakan konsep amar makruf dan
nahi mungkar, bahkan menghina kesucian Islam dan syiar-syiar Islam,
memperlekehkan para sahabat, Khulafa Ar-Rasyidin dan para ulama’. Kita dapat
melihat mereka hanya akan mengiktiraf hukum-hakam yang terdapat dalam syariat
dalam konteks yang terlalu sempit,
seperti solat di masjid, nikah, talak dan lain-lain.
Bahkan, kita juga dapat melihat
mereka akan mewar-warkan pentingnya ilmu dan pengetahuan yang semata-mata
memberikan kepentingan keduniaan, dalam masa yang sama mengenepikan ilmu-ilmu
dan cabang-cabangnya yang berkaitan dengan ilmu agama sehingga lenyapnya
pemikiran yang berasaskan Islam dan jati diri muslim. Tidak cukup dengan semua
ini, mereka akan menyekat pula pintu-pintu dakwah. Mereka akan menghalang dan
menutup pintu-pintu yang menjadi medan penyebaran dakwah.
Pendakwah-pendakwah akan
ditahan, ceramah-ceramah dikecilkan skopnya dan jalan-jalan ke arah pendekatan
dakwah akan disempitkan sekaligus ditutup rapat. Mereka mahu mentajdid
(memperbaharui) sistem yang tersedia ada dalam Islam. Mereka mahu menafsir semula
tafsir-tafsir ulama’ muktabar yang terdahulu dengan penafsiran menuruti
pandangan dan hawa nafsu mereka. Mereka mahu memimpin dunia dengan mengikut
kaedah mereka bukannya mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh Islam.
Lebih menghairankan, mereka masih
mengatakan bahawa mereka bergerak atas landasan Islam walaupun dalam masa yang
sama mereka melakukan yang hal-hal yang dikatakan tadi. Mereka berselindung di
sebalik nama Islam. Mereka ditarbiyah oleh aliran-aliran yang berpelembagaan
Yahudi untuk menghancurkan Islam. Mereka inilah golongan yang menghancurkan
Islam dari dalam. Mereka inilah yang disifatkan sebagai musuh dalam selimut.
Daripada kalangan mereka juga
ada yang digelar sebagai ulama’ sultan. Ulama’ sultan ini selalunya akan
berusaha untuk mengaburi mata masyarakat awam akan agama Islam itu sendiri
dengan menggalakkan mereka untuk bersatu dalam tema-tema, iklan-iklan dan
prinsip-prinsip agama yang palsu. Mereka meletakkan nama Islam yang baru.
Mereka mengubah rukun-rukun dengan katanya untuk lebih maju mengikut aliran
semasa. Adakah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sejak 1400 tahun yang
dahulu tidak cukup sempurna mengikut aliran semasa? Apakah mereka fikir
rukun-rukun di dalam Islam itu direka-reka mengikut hawa nafsu Nabi Muhammad SAW
dan para sahabat sehinggakan mereka tergamak untuk mengubahnya semula? Adakah
mereka tidak tahu bahawa agama Islam itu diturunkan oleh Allah?
Mereka inilah iaitu ulama
sultan’ yang mengampu para pemerintah semata-mata untuk mengisi perut dan
mendapat habuan dunia. Keadaan mereka sama sahaja dengan ahli kitab pada zaman
dahulu yang dicela oleh Allah kerana sanggup menjual Al-Quran dengan harga yang
murah (membelakangi hukum Allah) semata-mata ingin mendapatkan kesenangan yang
bersifat fana (sementara). Mereka juga bertanggungjawab meletakkan Al-Quran di
belakang punggung (membelakangi hukum Allah) kerana mendahulukan urusan dunia!
Apabila berlakunya kemurtadan
kekuasaan dalam sesebuah negara, maka timbul satu persoalan yang bermain di
kotak fikiran kita. Siapakah yang bakal bangun untuk memerangi mereka? Siapakah
yang akan memberikan fatwa terhadap kemurtadan mereka? Siapakah yang berani
bersuara lantang dalam menegur kesalahan dan jenayah yang telah mereka lakukan?
Dan siapakah yang akan menghukum mereka dan melaksanakan hukuman ke atas
kesalahan mereka?
Jawapannya tidak lain dan tidak
bukan ialah pandangan umum daripada kalangan umat Islam itu sendiri dan juga
hati sanubari yang masih terpahat dengan nilai-nilai Islam yang dipimpin oleh
ulama’-ulama’ bebas (bukan ulama’ sultan), ahli pendakwah dan pemikir-pemikir
Islam yang masih tinggal. Walau apa jua rancangan jahat yang dirancang dan
dilakukan oleh pihak yang bencikan Islam dengan menutup pintu-pintu dakwah dan
menghalang laluan orang untuk menuju ke arah kebenaran.
Tidak mudah untuk mereka
memadamkan api obor-obor Islam. Bukan mudah bagi mereka untuk menghilangkan
nilai-nilai Islam yang tertanam di dalam sanubari umat Islam yang masih kental
akan akidahnya. Bukan mudah bagi mereka untuk memesongkan akidah umat Islam
melainkan mereka yang lemah imannya. Hal ini demikian kerana Allah telah
berjanji di dalam Al-Quran bahawa Allah akan menjaga agama Islam dan akan ada
satu kaum yang dibangkitkan oleh Allah untuk meneruskan perjuangan Islam.
Daripada Thauban RA, Nabi SAW
bersabda :
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ
من أُمَّتِي ظَاهِرِينَ على الْحَقِّ لَا يَضُرُّهُمْ من خَذَلَهُمْ حتى يَأْتِيَ أَمْرُ
اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ
Maksudnya: sekumpulan umatku
akan senantiasa (berterusan) menzahirkan kebenaran. Tidak akan
memudharatkan mereka (menggugat) oleh
orang yang mengkeji mereka, sehinggalah tiba hari kiamat, mereka tetap dalam
keadaan demikian.-(riwayat muslim)
Pada beberapa dekad yang lalu,
perancangan dalam bentuk penjajahan telah pun berlaku ke atas negara-negara
Islam. Penjajahan yang dilakukan oleh Perancis ke atas negara-negara arab dan
penjajahan British ke atas negara-negara Islam di Asia menjadi bukti sejarah
walau sehebat mana pun rancangan jahat mereka, mereka masih tidak mampu
mencabut roh Islam dari akar umbi di dalam jiwa orang-orang Islam. Namun,
fikrah umat Islam telah tercemar di bawah jajahan mereka sehinggalah pada hari
ini rancangan jahat mereka tetap diteruskan walaupun bukan mereka yang
meneruskan tetapi kesinambungan ini diteruskan oleh anak didikan mereka. Inilah
berlakunya kemurtadan kuasa hasil daripada didikan berkonsepkan Yahudi dan
Nasrani.
Banyak lagi rancangan-rancangan
jahat mereka, bukan sekadar penjajahan dengan melaungkan semangat kemodenan
tapi idealogi-idealogi hasil ciptaan para pemikir barat telah diserap masuk ke
dalam negara-negara Islam misalnya sekularisme, kapitalisme, liberalisme,
sosialismes dan banyak lagi yang tujuannya adalah sama iaitu untuk memisahkan
di antara agama dan dunia, untuk menjauhkan umat Islam daripada prinsip-prinsip
Islam dalam kehidupan. Mereka menyerang dari segenap penjuru.
Inilah akibat berlakunya
kemurtadan kuasa di negara Islam. Hasilnya, tiada kuasa besar Islam yang mampu
dilaksanakan dengan sempurna. Tiada lagi media-media massa yang bertindak
sebagai medium utama dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Tidak cukup
dengan itu, kuasa kehakiman Islam juga dihadkan sekecil-kecilnya bagi memberi
laluan ke atas kekuasaan barat yang menjadi sumber rujukan utama.
Seterusnya, umat Islam akan
terhimpit, tiada lagi kuasa yang mampu membela nasib mereka. Lihat saja pada
Palestin dan Turki yang sudah sekian lama dihujani peluru khususnya Palestin.
Turki pula seolah-olah menjadi muzium yang menyimpan khazanah dan ketamadunan
kegemilangan Islam suatu ketika dahulu, di mana nilai-nilai murni Islam semakin
hari semakin dirobek.
Inilah yang dikhuatiri oleh
Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang dikatakan di dalam hadis yang diriwayatkan
oleh Thauban RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
إنما أَخَافُ على أُمَّتِي
الْأَئِمَّةَ الْمُضِلِّينَ
Maksudnya : Sesungguhnya
perkara yang aku takuti ke atas umat aku ialah para pemimpin yang sesat.
(Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
Wallahu a'lam...
** petikan dari kitab Ar-Riddah
Wa 'Uqubatuha. karangan Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM
2012
Sumber : manhal.pmram
No comments:
Post a Comment