Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka
dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman, sedang mereka tidak
diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum
mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya
Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Surah al-Ankabut : Ayat 2-3)
Fatrah
imtihan telah tiba. Ada yang tenang dan ada yang gelisah menantikan
kehadirannya. Bahkan tidak kurang juga ada yang tidak merasakan apa-apa dengan
kehadirannya. Yang pasti, semua manusia yang dikurniakan akal yang sihat pasti
mengharapkan natijah cemerlang yang bakal diraih dan dinikmati.
Ya, tidak dinafikan setiap orang ingin
berjaya dalam menuntut ilmu, tetapi kebanyakan mereka tidak sampai kepada ilmu
tersebut kerana tidak mengetahui jalan yang harus ditempuhnya. Sebagaimana kata
seorang tokoh falsafah Barat: “Kamu gagal dengan seribu cara yang telah
dilakukan bukan bererti kamu tidak layak untuk berjaya, akan tetapi kamu belum
menjumpai satu jalan terbaik untuk kamu berjaya".
Begitu juga kisah Ibnu Mas’ud bersama
orang-orang yang bertasbih dengan kerikil. Mereka berkata: “Wahai Abu Abdir
Rahman, kami tidak menginginkan kecuali kebaikan”. Ibnu Mas’ud berkata: “Dan
berapa banyak orang-orang yang menginginkan kebaikan tetapi tidak tercapai.” .
Kerana dia belum berjalan pada jalan dan manhaj yang telah ditentukan.
Ulama’ telah menggariskan beberapa
perkara yang sepatutnya dimiliki oleh setiap orang penuntut ilmu bagi memperoleh
kejayaan sebenar dalam menuntut ilmu.
Pertama : ذكاء (Cerdas). Kecerdasan merupakan syarat
pertama yang harus dipenuhi oleh penuntut ilmu. Imam Ghazali pernah mengatakan
bahawa orang yang pintar adalah orang yang mengetahui bahawa dia tidak tahu
akan sesuatu dan kerana itulah dia mahu belajar.
Kedua : حرص (Tamak). Seseorang yang tamak terhadap
apa sahaja, tidak akan pernah membiarkan walau satu detik pun waktunya berakhir
dengan sia-sia. Detik demi detik akan tersusun rapi sehingga cita-cita berhasil
diraih dengan sempurna. Maka sebagai seorang penuntut ilmu haruslah benar-benar
menjaga efisien waktu, kerana waktu adalah umur.
Ketiga : افتقار (Memerlukan). Seorang penuntut ilmu
harus terus berasa perlu terhadap ilmu, jika ia merasa telah cukup maka itulah
awal kegagalannya. Oleh kerana itu, ketika penuntut ilmu menguasai sesuatu
ilmu, maka tidak boleh merasa bahawa dia
telah menguasai sesuatu. Tetapi harus selalu merasa kurang dan terus memerlukan
ilmu orang lain. Ketika dia merasa sudah tidak memerlukan orang lain, maka pada
saat itulah dia akan mengalami kerugian yang sangat banyak.
Keempat : غربة (Asing). Asing disini memiki dua makna.
Makna yang pertama ialah rehlah dalam menuntut ilmu. Meninggalkan keluarga,
rumah, kampung halaman hanya untuk satu tujuan iaitu menuntut ilmu. Erti kedua
ialah tidak bergaul dengan orang lain kecuali dengan orang-orang yang satu
tujuan (penuntut ilmu) dengannya. Dengan erti kata lain tidak menggunakan waktu
untuk bergelumang dengan perkara-perkara yang tiada hubungan dengan ilmu
pengetahuan.
Kelima : تلقين أستاذٍ. Menghadiri muhadharah para masyayaikh
atau ustaz-ustaz merupakan syarat ke 5 dari 6 syarat berjaya dalam menuntut
ilmu. Yang menghadiri kuliah akan mendapat sekurang-kurangnya tiga manfaat.
Pertama ialah menjimatkan waktu. Kedua ialah mengislah pemahaman yang salah dan
yang ketiga ialah beradab.
Keenam :
طول
زمان (Waktu
yang panjang). Oleh kerana ilmu itu sangat luas dan tidak memiliki akhir, maka
sudah tentu amat memerlukan waktu yang sangat lama. Pepatah Arab mengatakan:
“Tuntutlah ilmu dari buaian sampai ke liang lahad".
Atas dasar inilah seseorang itu perlu
berusaha bersungguh-sungguh dengan memenuhi kesemua kriteria yang telah
digariskan oleh ulama’. Setiap detik waktu hendaklah dimanfaatkan semaksima
mungkin. Sufian at-Tsauri pernah berkata: “Sesiapa yang tidak beradab dengan
waktu, maka waktunya sangat hina dan marah padanya”. Al-Imam Dr Yusuf
al-Qaradhawi juga pernah mengatakan: “Jenayah yang paling besar buat umat Islam
ialah membazir masa”.
Benarlah, kadang-kadang kita terlampau suka
memenatkan pemikiran kita dengan memikirkan persoalan dan natijah masa depan yang belum pasti, sedangkan kita
tidak berusaha sedaya mungkin untuk menempuhi perkara tersebut. Apa yang pasti,
kejayaan itu mampu dimiliki dan lakukan pecutan terakhir dengan masa yang masih
berbaki.
Berusahalah semaksima mungkin selagi mana
belum menjejakkan kaki ke dewan peperiksaan. Sebagai akhirnya, renungkanlah
kata-kata dari Ibrahim bin Adham yang bermaksud :-
“Seseorang itu tidak akan mencapai darjat
orang soleh sehinggalah dia menempuh enam rintangan:
1) Hendaklah dia mengunci pintu kemuliaan
dan membuka pintu kehinaan.
2) Hendaklah dia mengunci pintu nikmat dan
membuka pintu kesempitan.
3) Hendaklah dia mengunci pintu kerehatan
dan membuka pintu kesungguhan.
4) Hendaklah dia mengunci pintu tidur dan
membuka pintu berjaga malam.
5) Hendaklah dia mengunci pintu kekayaan
dan membuka pintu kefaqiran.
6) Hendaklah dia mengunci pintu cita-cita dan
membuka pintu persediaan.”
“Sesungguhnya hikmah itu adalah barang yang
tercicir, dan barangsiapa yang menjumpainya, maka dialah yang berhak ke
atasnya.” - Hukama’.
“MEMARTABAT
KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN”
Sumber : pmram.org
No comments:
Post a Comment