Monday, May 14, 2012

Perkara 3 (1) - Islam Agama Persekutuan : Satu Penilaian



Sejarah Islam Sebelum Penjajahan

Kedatangan Islam ke Tanah Melayu bermula seawal abad ke-14 secara amnya. Khususnya di Malaysia ia memberikan kesan yang mendalam terhadap sistem dan perlembagaam Negara.

Sebelum kemerdekaan pada tahun 1957, sebahagian besar perlembagaan Negeri-negeri Melayu adalah bersifat tidak bertulis. Walaubagaimanapun sejarah awal perlembagaan bertulis telah bermula dengan Perlembagaan Negeri Johor (1895) dan Perlembagaan Negeri Terengganu (1911).

Islam telah diberikan kedudukan yang istimewa apabila Islam tidak hanya terikat dengan tradisi kekeluargaan semata-mata bahkan melibatkan undang-undang pemerintahan yang melibatkan urusan keduniaan di bawah Sultan. Maksudnya Islam sudah pun diamalkan dengan menyeluruh sebelum datangnya penjajahan. Ini dapat dilihat contohnya dalam pelbagai versi Undang-undang Melaka atau Risalat Hukum Kanun.

Berikutan itu juga, Undang-undang Melaka telah mempengaruhi iaitu memberikan kesan kepada undang-undang negeri lain seperti Undang-undang Pahang 1596, Undang-undang Kedah 1605, Undang-undang Johor 1789, Undang-undang 99 Perak 1879 dan Undang-undang Mahkamah 1885 di Terengganu.

Pemakaian undang-undang Islam adalah secara menyeluruh termasuk undang-undang tanah dan Sultan-sultan bukan sahaja menjadi ketua agama, tetapi juga pemimpin politik.

Sejarah Islam Selepas Penjajahan

Campurtangan British di negeri-negeri menyebabkan agama Islam telah diasingkan daripada aspek awam. Undang-undang Islam hanya dipakai dalam bidang kekeluargaan sahaja. Dasar ini pada umumnya diterima dalam Perjanjian Malayan Union 1946 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Justeru, selain undang-undang diri dan keluarga, undang-undang umum yang dipakai adalah berasaskan undang-undang Inggeris. Pemakaian undang-undang Islam diketepikan secara beransur-ansur menerusi keputusan kehakiman dan kemudiannya diperkukuhkan dan diperluaskan undang-undang bertulis iaitu Civil Law Ordinance 1937, 1951 dan 1956.

Di Sabah dan Sarawak, pertembungan terawal dengan undang-undang Inggeris berlaku selepas ketibaan James Brook di Sarawak dan perlantikannya sebagai Gabenor pada tahun 1841. Di bawah penjajahan peribadinya (private colonial rule), sistem keadilan Inggeris yang difahami telah diperkenalkan di samping mengekalkan adat negeri yang boleh diguna pakai. Undang-undang Inggeris dilaksanakan secara lebih teratur apabila kedua-dua negeri tersebut menjadi English Protectorates dalam tahun 1888.

Sebelum kedatangan pengaruh Inggeris, undang-undang yang dipakai pada asasnya ialah undang-undang adat anak negeri berbagai-bagai bangsa pribumi termasuk apa yang dikenali pada masa itu sebagai Mohamedan Law. Undang-undang Islam dikira sebagai sebahagian daripada adat anak negeri dan ditadbir oleh Mahkamah Anak Negeri yang berasingan.

Semasa Sabah dan Sarawak menjadi protectotares Inggeris pada tahun 1888-1946 dan colonies selepasnya, prinsip undang-undang Inggeris telah diterima menerusi metode yang sama seperti di Semenanjung iaitu melaui perundangan secara langsung dan keputusan mahkamah.

Islam Sebagai Agama Persekutuan

Menurut Perlembagaan Persekutuan 1963 (sebelum ini ialah Perlembagaan Merdeka 1957) pada Perkara 3(1) menjelaskan bahawa agama Islam merupakan agama Persekutuan.  Dan dalam masa yang sama agama-agama lain masih bebas diamalkan oleh setiap penganutnya sebagaimana dalam Perkara 11(1). Namun begitu, agama-agama lain dikenakan syarat bahawa penyebaran apa-apa kepercayaan atau agama bukan Islam tidak dibenarkan dilakukan dikalangan orang Islam sebagaimana dalam Perkara 11(4).

Walaupun Islam mendapat kedudukan yang istimewa dalam Perlembagaan menurut Perkara 3, namun Hukum Syara’ (undang-undang Islam) tidak disebutkan dalam definisi undang-undang di bawah Perkara 160. Menurut Perlembagaan, perkataan “undang-undang” termasuklah undang-undang bertulis, common law setakat mana ia berkuatkuasa dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuatkuasa undang-undang dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.
Undang-undang Islam hanya terpakai kepada orang Islam sahaja. Dari segi mengada atau menghukum kesalahan-kesalahan (jenayah), undang-undang Islam hanya dibenarkan setakat mana yang ditentukan oleh undang-undang Persekutuan. Hal ini bermakna bahawa Parlimen diberi kuasa menentukan sejauh mana undang-undang jenayah Islam dapat dilaksanakan.

Dari segi aspek undang-undang keluarga dan diri orang Islam secara umumnya ia boleh diputuskanoleh Mahkamah Syariah berdasarkan hukum syara’ sepenuhnya.

Justeru, jelas bahawa pengasingan kuasa undang-undang Islam dalam Mahkamah Syariah hanya dihadkan kepada aspek keluarga dan diri sahaja apabila Mahakamah Syariah diberikan hak sepenuhnya untuk melaksanakan sebarang keputusan menurut Hukum Syara’. Manakala dari sudut konteks jenayah ia masih ditentukan oleh peruntukan Persekutuan walaupun tidak dinafikan bahawa Mahkamah Syariah masih diberikan kuasa untuk mendengar perbicaraan tersebut, namun peruntukan hukum bukanlah sepenuhnya mengikut Hukum Syara’. Hal ini demikian kerana setakat ini kuasa keizinan adalah bergantung kepada Parlimen dalam sebarang penggubalan dan pindaan yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

Satu contoh undang-undang Persekutuan yang mengawal bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah ialah Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965 (Pindaan 1984) bagi Semenanjung yang kemudian diperluaskan ke Sabah dan Sarawak menerusi Mahkamah Syariah (bahagian Jenayah) (Amendment) Act 1989 (A730). Akta ini telah menghadkan hukuman maksimum bagi kesalahan jenayah yang boleh dikenakan iaitu tidak melebihi 3 tahun penjara atau denda RM 5000 atau 6 sebatan atau mana-mana gabungan hukuman tersebut.

Sehubungan itu, berdasarkan kepada peruntukan yang telah dihadkan tersebut menjadikan hukum-hukum jenayah yang telah dikhususkan oleh Islam seperti hudud dan qisas tidak dapat dilaksanakan melainkan akta-akta yang telah ditentukan sahaja.

Disebabkan itu, mengenai Perkara 3(1), Allahyarham bekas Hakim Datuk Hashim Yeop  A Sani menafsirkannya bahawa Islam adalah agama Persekutuan pada umumnya di mana bagi tujuan-tujuan luar Malaysia ia boleh disifatkan sebagai negara Islam sungguhpun tidak semua undang-undang di Malaysia berasaskan ajaran Islam.

Islam Sebagai Cara Hidup

Agama Islam diturunkan oleh Allah SWT sebagai satu sistem dalam kehidupan manusia. Disebabkan itu, Islam bukan hanya satu bentuk kepercayaan semata-mata sebagaimana agama-agama yang lain. Bahkan Islam tidak hanya berbentuk ideology-ideologi semata-mata yang tidak mementingkan ikatan kepercayaan dengan hubungan tuhan.

Apabila menyingkap kalimah Islam maka ia menekan 3 aspek utama iaitu akidah (kepercayaan), syariat dan akhlak. Kesemua ini mendsiplinkan manusia dalam satu cara hidup yang teratur dan tersusun. Bahkan jelas dengan dalil-dalil bahawa Islam tidak lari daripada konteks kehidupan.

Disebabkan itu, apabila membincangkan syariat Islam ia amat berbeza dengan sistem atau undang-undang yang diasaskan oleh manusia. Hal ini demikian kerana asasnya adalah berasaskan wahyu Allah dan ia berbentuk syumul serta sesuai sepanjang zaman.

Dr Wahbah Az-Zuhaily menulis di dalam kitabnya Fiqh Al-Islam Wa Adillatuh bahawa hukum feqh yang diperuntukkan oleh Islam menjadikan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dengan nilai-nilai Islam. Hal ini apabila selain ibadah, ia juga menekankan aspek sosial yang melibatkan :

-       Ahwal syakhsiah atau institusi kekeluargaan
-       Pengurusan kewangan yang melibatkan perbincangan hukum ke atas kontrak dan duit.
-       Jenayah.
-       Kehakiman.
-       Pemerintahan dalam negara.
-       Hubungan antarabangsa.
-       Akhlak dan adab.

Maksud daripada firman Allah SWT :

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan kepada kamu agama kamu, dan telah aku sempurnakan ke atas kamu nikmat-Ku, serta Aku telah redha bagi kamu akan Islam sebagai ad-din (agama).” – Surah Maidah : 3

Nabi SAW bersabda :

تَرَكْتُ فِيكُم أَمْرَيْن إِنْ تَمَسَّكْتُم بِهما لَن تَضِلُّوا أَبَدا : كِتاب الله والسُّنَّة

“Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara, sekiranya kamu berpegang kepadanya kamu sesekali tidak akan sesat selama-lamanya : Al-Quran dan As-Sunnah” – Bukhari dan Muslim

Mengenai perbahasan-perbahasan ilmiah yang lebih terperinci boleh rujuk artikel-artikel yang lepas di :

-       Kewajipan Membebaskan Penjajahan Ke Atas Syariat Islam :http://www.manhal.pmram.org/2012/04/kewajipan-membebaskan-penjajahan-ke.html

-       Islam : Konsep Dan Kewajipan Menjaganya 
http://www.manhal.pmram.org/2012/05/islam-konsep-dan-kewajipan-menjaganya.html

-       Hukum Hudud Ke Atas Non Muslim : http://www.manhal.pmram.org/2011/10/pencerahan-isu-hudud-terhadap-non.html

-       agama Dan Politik Dari Kaca Mata Islam Dan Sekular : http://www.manhal.pmram.org/2011/11/agama-dan-politik-pada-kacamata-islam.html

Maka, umat Islam wajib melaksanakan kesemua apa yang telah diperuntukkan oleh syariat Islam. Perlaksanaan sebahagain dan menafikan sebahagian yang lain merupakan satu dosa besar dan yang dimurkai oleh Allah SWT sebagaiman yang tercatat dalam Al-Quran berkaitan perihal bangsa Yahudi :

“Maka adakah kamu beriman dengan sebahagian Al-Kitab dan kamu menolak sebahagian yang lain?” – Surah Al-Baqarah : 85

Berkata Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna :

“Sesungguhnya Islam itu agama yang umum iaitu mensistemkan segala urusan kehidupan pada setiap bangsa dan umat bagi setiap zaman dan masa. Islam telah datang dengan sempurna dan mulia dalam setiap bidang bagi kehidupan ini khususnya dalam konteks urusan yang melibatkan dunia. Maka Islam telah meletakkan batu asas bagi setiap urusan dan menunjukkan jalan atau cara hidup kepada manusia untuk mempraktikkannya dalam ruang lingkap sempadannya.” – Kitab Nazorat Fi Risalah At-Ta’lim

Maka agama Islam bukan hanya sekadar kepercayaan semata-mata tanpa ada perlaksanaan dari sudut syariat yang sempurna. Islam juga bukan hanya boleh mengambil atau menceduk sebahagian kemudian mengambil sebahagian ideologi yang lain. Akan tetapi Islam mesti dilaksanakan dengan sempurna dan seluruh. Hal ini demikian kerana Islam yang merupakan agama atau ad-din yang diredhai di sisi Allah secara hakikatnya merupakan :

“Satu cara hidup yang lengkap yang diredhai oleh Allah bagi kehidupan manusia dari 2 sudut iaitu roh (batin) dan jasad (zahir).” – Dr Shadiq Syaif Nu’man dalam kitab beliau yang berjudul Al-Khilafah Al-Islamiyah Wa Qadhiyyah Al-Hukm Bima Anzala Allah

Kesimpulan

Agama Islam merupakan satu cara hidup ke atas seluruh manusia khususnya umat Islam. Dalam Perlembagaan Persekutuan pada Perkara 3(1) menyatakan bahawa agama Islam merupakan agama rasmi Persekutuan. Dan hasilnya Islam dalam konteks Malaysia memiliki keistimewaan yang sangat banyak.

Namun begitu, peruntukkan yang diberikan dalam konteks undang-undang syariah Islam masih lagi dihadkan. Hanya dari sudut kekeluargaan dan diri sahaja yang masih diberikan kuasa sepenuhnya kepada Mahkamah Syariah. Adapun dari konteks jenayah, Mahkamah Syariah masih lagi terikat dengan akta-akta Perlembagaan yang menyebabkan peruntukan syariat Islam dalam konteks jenayah tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Sedangkan sejarah menunjukkan bahawa sebelum datangnya penjajah yang mengecilkan skop pemerintahan Islam, undang-undang Islam sudah pun dilaksanakan di Tanah Melayu. Bahkan undang-undang Islam tidak hanya terhad kepada adat, diri dan kekeluargaan bahkan melibatlkan undang-undang tanah dan jenayah.

Abu A’la Al-Maududi menegaskan bahawa :

“Sesungguhnya apa yang dituntut dengan kerajaan pemerintahan Islam dan perlembagaan Islam ialah terbitnya satu perasaan yang kuat bahawa seseorang muslim apabila ia tidak mengikuti undang-undang Allah (secara menyeluruh) maka apa yang disebutkan mengenai Islam adalah dakwaan yang batil.” – kitab Al-Hukumah Al-Islamiyah Lil Maududi

Syeikh Abdul Kadir ‘Audah di dalam kitabnya yang berjudul Al-Mal Wa Al-Hukm Fi Al-Islam menerangkan bahawa :

“Sesungguhnya Islam menuntut manusia untuk mengikutinya apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT dan wajib ke atas mereka melaksanakan apa yang telah diturunkan oleh Allah tanpa yang lain.”

Berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, bagi memastikan Islam dapat peruntukkan yang sepenuhnya untuk melaksanakan satu cara hidup yang lengkap, menjadi kewajipan ke atas wakil Islam yang menjadi ahli Parlimen untuk membawa atau meminda perkara ini. Hal ini demikian kerana Parlimen diberikan kuasa untuk menentukan sejauh mana undang-undang Islam dapat dilaksanakan.

Maka sekiranya dengan barisan yang ada masih kurang mampu untuk memartbatkan Islam sepenuhnya menjadi kewajipan ke atas umat Islam yang berjuang untuk mengambil peranan bagi memastikan mereka mampu membawa perkara ini di peringkat Parlimen agar Islam dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya.

Ambillah pesanan yang ditinggalkan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna ketika menerangkan peranan Ikhwan Muslimun ketika memasuki pilihanraya Mesir :

“Kita tidak berhajat kepada kuasa pemerintahan dalam perjuangan kita. Maka sekiranya kita mendapat terdapat golongan yang sanggup memikul kejerihan dan kesusahan amanah perjuangan ini, dan melaksanakan amanah serta mereka menjalankan hukum Islam sebagaimana yang ditetap oleh Al-Quran, maka kita akan menjadi pembantu mereka, pendokong serta penyokongnya. Sekiranya tiada, maka menjadi kewajipan ke atas kita untuk mengambil kuasa pemerintahan tersebut agar dengannya kita dapat membebaskan daripada setiap kerajaan yang tidak melaksanakan hukuman Allah SWT.” – kitab Al-Ikhwan Al-Muslimun Wa Al-Intikhabat

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
1-    Fiqh Al-Islam Wa Adillatuh, oleh Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-1, cetakan Dar Al-Fikr
2-    Al-Khilafah Al-Islamiyah Wa Qadhiyah Al-Hukm Bima Anzalallah, oleh Dr Shadiq Syaif Nu’man, cetakan Dar As-Salam
3-    Nazorat Fi Risalah At-Ta’lim, oleh Muhamad Abdullah Al-Khatib dan Muhamad Abdul Halim Hamid, cetakan Dar At-Tauzik Wa An-Nasyr Al-Islamiyyah
4-    Ghairu Al-Muslimin Fi Al-Mujtama’ Al-Islami, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
5-    Undang-Undang Perlembagaan Dan Pentadbiran, oleh Prof Madya Dr Abdul Samat Musa, cetakan Pusat Pengajian Jarak Jauh UKM Bangi

Sumber : manhal.pmram

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...